"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: ‘Selamat maju jaya’ kepada Ismail jika dipecat Umno

Samuel Chua

SHAH ALAM: Presiden PKR Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada Ismail Sabri Yaakob jika Umno memilih untuk memecatnya.

“Jika Umno putuskan untuk memecat perdana menteri, selamat maju jaya kepada Ismail. Saya tidak dimaklumkan dan tiada perbincangan mengenai isu ini,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Nasional PKR.

Anwar, yang merupakan presiden PKR, membuat komennya berikutan laporan bahawa “panglima perang” Umno menuntut Ismail memecat Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, memohon pengampunan diraja untuk Najib Razak, dan mengadakan pilihan raya umum awal.

Tuntutan itu dilaporkan dibuat pada mesyuarat biro politik Umno pada Rabu, yang dihadiri Ismail.

Strategi pemilihan PKR

Anwar berkata, PKR dijangka menyelesaikan persiapannya untuk pilihan raya menjelang akhir bulan depan. Pengarah Pilihan Raya PKR Rafizi Ramli telah merangka strategi untuk parti itu yang akan diterangkan kepada ahli parti tidak lama lagi.

“Kita akui kekalahan kita pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor telah mendedahkan beberapa kelemahan. Kami telah menyusun strategi dan dapat melihat bahawa keadaannya berbeza sekarang.

“Kami akui sebahagian besarnya ada kaitan dengan pentadbiran 22 bulan (Pakatan Harapan) yang mempunyai kelemahan dan sumbangannya,” katanya pada sidang media itu, lapor Bernama.

Dalam ucapannya di konvensyen itu, Anwar berkata PKR sedang mencari pendekatan baharu untuk pilihan raya umum, dan berkata kemenangan boleh dicapai melalui jentera yang berkesan.

“Pada masa sama, saya berbangga PKR mempunyai dua generasi kepimpinan. Orang ramai bertanya kepada saya apa yang akan berlaku jika saya ‘pergi’, saya kata parti akan kekal dalam tangan yang baik,” katanya.

Kegagalan Barisan Nasional

Beliau mengkritik Barisan Nasional kerana telah mengecewakan orang Melayu semasa pakatan itu berkuasa selama 60 tahun.

“Di mana tanah rizab Melayu? Apa dah jadi dengan Felda? Apa khabar semua veteran tentera kita? Bagaimana pula dengan belia terpelajar yang tidak mempunyai pekerjaan?

“Majoriti mereka yang terlibat adalah orang Melayu. Bagaimanapun, mereka mudah dibeli oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk orang ramai menyokong masyarakat berbilang kaum, sambil menambah masa depan Malaysia bergantung kepada Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban dan kumpulan etnik lain.

‘Tiada perkara peribadi’ terhadap Najib

Anwar turut bercakap mengenai bekas perdana menteri Najib Razak, yang telah menjalani hukuman penjara 12 tahun, dan berkata kes terhadapnya bukan peribadi tetapi hanya sebahagian daripada perjuangan pembangkang untuk memerangi rasuah.

“Kami benci penyalahgunaan kuasa (daripada ahli politik), dan mereka yang menjadikan orang lebih miskin sambil memperkayakan diri dan keluarga mereka. Sebab itu kita lawan,” katanya.

Najib dibicarakan dalam kes lain, melibatkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Dia dihantar ke penjara Kajang pada Selasa selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

Apa dah jadi: Tangisan dan ejekan di taklimat khas Umno

Malaysiakini

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberikan taklimat khas kepada perwakilan parti berkenaan pemenjaraan Najib Razak, di depan ahli keluarga bekas perdana menteri itu.

Di awal ucapannya, Zahid kelihatan menahan air mata ketika menyuarakan penghargaan kepada isteri Najib, Rosmah Mansor dan anak-anak mereka kerana hadir di World Trade Centre di Kuala Lumpur.

Najib menjalani hukuman penjara sejak empat hari lalu selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Menyuarakan kesedihannya, Zahid berkata kini tiada lagi Najib bersama-sama barisan kepimpinan dan anggota Umno.

"Tersentuh rasanya apabila melihat ke bawah, sosok yang selalu berada bersama-sama dengan kita, hilang daripada pandangan mata. Pemimpin dan sahabat sejati kita kini terkurung.

"Tak dapat dibayang pedih rasanya apabila mengenangkan, dek kerana dendam politik, orang yang banyak berjasa, yang menyentuh setiap jiwa dan melakarkan pelbagai pendekatan agar rakyat pimpinannya sejahtera, kini terpisah dengan keluarga dan rakyat yang merindui sentuhannya," katanya memulakan ucapan.

Sepanjang ucapannya, Zahid tidak memberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya berundur, seperti yang dispekulasi ramai pihak.

Namun, setiap kali nama Ismail Sabri atau menerusi jawatannya - naib presiden Umno - disebut, para perwakilan yang hadir dapat didengar memberikan sorakan 'boo'.

Ismail Sabri tidak hadir ke taklimat itu, difahamkan kerana ada program di kawasan Parlimennya, Bera.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber yang berkata ada kemungkinan penyokong kuat Najib akan menggunakan sesi taklimat ini untuk menyalahkan Ismail Sabri atas pemenjaraan Najib.

Mohamaddin Ketapi dan Ahli Parlimen Libaran sertai PBM?

Anne Muhammad

Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi (kiri) dan Ahli Parlimen Libaran, Zakaria Edris dikatakan akan menyertai PBM, menurut sumber.

PETALING JAYA: Dua Ahli Parlimen dari Sabah, termasuk seorang daripada Bersatu, dijangka menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) esok.

Menurut sumber rapat dengan PBM, Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi dan Ahli Parlimen Libaran, Zakaria Edris dari Bersatu akan menyertai PBM dan bertanding atas tiket parti itu pada PRU15.

“Pengumuman akan dibuat pada Ahad,” katanya kepada FMT.

Mohamaddin sebelum ini keluar Bersatu dan mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas. Beliau adalah bekas menteri pelancongan, seni, dan budaya semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Zakaria antara empat Ahli Parlimen Umno Sabah yang keluar daripada parti itu untuk menyertai Bersatu pada tahun 2019.

Penyertaan Mohamaddin dan Zakaria dalam PBM dijangka menambah jumlah Ahli Parlimen parti itu. Ketika ini PBM diwakili Larry Sng (Julau), Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau), dan Zuraida Kamaruddin (Ampang) di Dewan Rakyat.

PBM juga mempunyai lima ADUN iaitu Haniza Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa), Leong Cheok Keng (Malim Nawar), A Sivasubramaniam (Buntung), dan Paul Yong Choo Kiong (Tronoh).

Parti itu dikatakan mempunyai 200,000 ahli di 162 bahagian seluruh negara.

PBM telah menghantar permohonan menyertai Barisan Nasional dan menunggu keputusan daripada gabungan itu.

Presiden PBM, Larry Sng sebelum ini menegaskan parti itu akan menyokong kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob seterusnya memastikan jumlah majoriti yang ada terus kekal.

PBM juga akan mempertahan semua kerusi semasa yang dimenangi wakil rakyatnya pada PRU14.

Sementara itu, beberapa pemimpin PBM ketika dihubungi enggan mengesahkan spekulasi Mohammaddin dan Zakaria akan menyertai mereka.

Bagaimanapun, PBM memaklumkan bahawa Presiden Larry Sng akan mengadakan sidang akhbar bersama Mohammaddin esok.

Azam Baki gagal bertindak skandal LCS, eloklah berundur segera dari SPRM

MOHD ALI HASHIM

Kalau tidak dapat jelaskan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ambil tindakan terhadap sesiapa pun dalam isu skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS), lebih baik Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berundur dan melepaskan jawatan. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, SPRM telah pun menerima laporan audit forensik skandal LCS yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada dakwaan rasuah selama lebih dari dua tahun. 

Manakala Azam pula tidak menafikan yang SPRM telah memiliki laporan audit forensik yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd bagi pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) selama lebih dari dua tahun yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada pertuduhan rasuah. 

“Mengapa, selepas dua tahun menerima laporan audit forensik, SPRM masih gagal untuk mendakwa sesiapa pun dalam skandal perolehan tentera laut terbesar dalam sejarah negara ini

“Jawapan dari Azam mengenai tiga pertuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, yang tidak berkaitan sama sekali dengan skandal LCS kerana tuduhan-tuduhan tersebut adalah mengenai perkara yang terjadi sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LQA) kontrak perolehan LCS yang bernilai RM9 billion pada 16 Disember 2011. 

“Transaksi meragukan dalam laporan audit forensik skandal LCS dari tahun 2011 ke tahun 2014 dengan 10 muka surat digelapkan telah menimbulkan pelbagai persoalan dan mengapa SPRM masih tidak mendakwa sesiapa pun mengenai skandal terbabit  selepas dua tahun berlalu, ” ujar beliau. 

Tambahnya lagi, skandal LCS yang melibatkan RM9 bilion adalah skandal 1MDB yang baharu kerana laporan audit forensik menunjukkan keadaan di mana hanya seekor ‘jerung’ yang amat besar sahaja yang boleh mengatur skandal mega sebesar ini,. 

Sehubungan itu soal beliau, apakah SPRM telah menyiasat siapakah ‘jerung’ besar di sebalik skandal LCS serta apakah sebabnya kabinet tidak membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja atau pun bimbang ‘jerung’ besar terbabit akan terdedah dan terbongkar. 

Mengapa ‘sial’, ‘babi’, ‘bodoh’ jadi zikir harian sebahagian anak Melayu sekarang?

ARIF ATAN

Perkataan keji seperti ‘sial’ macam sudah jadi sebagai zikir harian sebahagian budak Melayu sekarang. Cuba dengarkan bagaimana anak-anak remaja ini berbual apabila berkumpul.

Daripada kedai mamak hingga ke perkarangan masjid, perkataan-perkataan buruk itu laju saja meluncur dari lidah mereka. Tidaklah semua begitu tetapi seolah-olah sudah sampai tahap dinormalisasikan pula.

Itu jugalah yang dapat didengar dalam satu video tular yang memaparkan seorang lelaki dipercayai penuntut universiti sedang membebel kepada rakannya yang sedang berbaring ‘bergayut’ di telefon.

Tidaklah lawak mana leteran lelaki itu tetapi perkataan yang digunakan menggambarkan budaya bercakap anak Melayu sekarang yang tanpa sedar mendoakan keburukan sesama bangsanya.

Perkataan yang diguna lelaki itu seperti ‘sial’ dan ‘mampus’ mengingatkan pengalaman saya apabila terdengar perbualan sekumpulan remaja belasan tahun sejurus turun mendaki dari puncak Bukit Dua Ringgit, Hulu Selangor.

“Bergetar kepala lutut sial,” kata seorang remaja lelaki yang berseluar kuning tutup paras lutut.

“Relakslah bodohhh,” kata kawannya seorang lagi yang agak berisi badannya dengan “doh” itu ditebal dan dipanjangkan bunyinya.

Bersama-sama mereka ada seorang anak gadis bertudung manis yang gelak saja sambil menjeling saya yang berkerut sambil menarik pelitup di dagu rapat ke hidung.

Sebenarnya, semasa mereka bergambar di bay-route atau ‘ketupat besi’ di puncak bukit itu, saya sudah terserempak dan terdengar perbualan mereka bertiga yang kuat sehingga membuatkan sepasang pendaki Cina berusia sekitar 50-an pun sama menoleh kepada mereka seketika.

“Jap, aku nak delete gambar-gambar lucah aku,” kata salah seorang anak muda lelaki itu sambil gelak sebelum memberikan telefonnya kepada anak dara itu.

Yang si gadis itu pula bersahaja mengambil telefon itu, “syial (bunyi ‘sy’ bagi ‘sial) la ko (kau) ni. Banyak ke (gambar lucah)? Tengok sikit!”

Mengapa ‘sial’, ‘babi’, ‘bodoh’ begitu kerap disebut sebahagian anak Melayu generasi Z (1995-2010) sekarang dalam perbualan mereka? Itu belum disentuh lagi soal pengaulan bebas dan perkongsian bahan lucah memandangkan masing-masing 24 jam bertemakan telefon bimbit.

Bayangkan untuk tempoh 10, 15 tahun akan datang apabila mereka berkahwin dan menjadi ibu bapa, bagaimana adab berbahasa anak-anak mereka pula nanti?

Bahasa menunjukkan bangsa. Perangai seseorang dapat dilihat daripada cara bertutur. Kalau ‘syial’ dan ‘bodoh’ begitu kerap dipakai kononnya tanda mesra berkawan atau mahu nampak ‘cool’, entah di mana silapnya peranan institusi kekeluargaan dan pendidikan kita selama ini.

Simpati kepada ‘Daddy’, tahniah kepada Saudara Bahri dan pasukan SPRM serta mahkamah

DR SHAHNOR BASRI

Penulis berasa simpati kepada keluarga Bossku Datuk Seri Najib Razak (DSNR) atau “daddy’ kerana terpaksa merengkok dalam penjara, setelah ketiga-tiga mahkamah utama negara tanpa sedikit khilaf mensabitkan hukuman penjara ke atas “Daddy”. Namun simpati penulis lebih kepada rakyat Malaysia yang telah puluhan tahun terpersona dengan kebobrokan Barisan Nasional dan kepimpinannya.

Sebanyak RM42 juta dana SRC International telah di’sakau’ dan Yang Arif Hakim-hakim yang bersidang telah bersetuju sebulat suara supaya hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang telah di jatuhkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 dikekalkan. Pada 8 Dis 2021, DSNR juga telah gagal mengenepikan sabitan dan hukuman tersebut di peringkat Mahkamah Rayuan.

Pasukan Operasi Khas SPRM yang diketuai Bahri amat terkesan dengan apa yang berlaku8230 Gambar Malaysiakini

Bekas Pengarah Operasi SPRM Bahri Mohamad Zin antara figura penting dalam siasatan terhadap SRC International yang kemudian bersara awal pada tahun 2017 selepas dipindahkan secara mengejut ke Jabatan Perdana Menteri bersama seorang lagi Pegawai Kanan SPRM Rohaizad Yaakob. Beliau tidak harus dilupakan. Pada ketika itu juga rakyat mesti diingatkan juga bahawa seorang Timbalan Pendakwa Raya SPRM turut di tahan reman.

Pasukan yang diketuai oleh Saudara Bahri kemudian turut digantung. Kegigihan pasukan ini akhirnya menghasilkan buah yang mungkin memberikan kebanggaan kepada Bekas Pengarah Operasi SPRM dan anak buahnya itu. Beliau dikhabarkan telah diugut, digertak dan cuba diberikan suapan untuk memberhentikan siasatan. Beliau telah berkorban dan terkorban namun telah dengan penuh dedikasi bertugas demi integriti, kejujuran dan keikhlasannya untuk membela kebenaran. Siasatan SRC International, 1MDB telah turut mengorbankan figura kanan SPRM seperti Ketua Pesuruhjaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Namun yang paling malang, masih ramai yang menjunjung kerakusan kuasa, kejijikan amalan salahguna kuasa dan rasuah. Laskar Siber yang mendokong DSNR sehingga memberi amaran usah diberi lagi perubahan kerajaan seperti berlaku dalam PRU14! Ini lah perkataan atau hujah yang paling tidak bermaruah, keji dan anti demokrasi. Amaran ini semata-mata mahu menutup segala kebobrokan kerajaan BN, menutup semua salahlaku dan mendabik diri kalis undang-undang.

Rasuah, salah guna kuasa, rompakan harta rakyat, penyelewengan dana, pembolotan kontrak yang selama ini menjadi budaya mereka nampaknya ingin dikembalikan sebaik berkuasa kembali. Maka, memang patutlah mereka benci sangat dengan perubahan kerajaan walau hanya selama 22 bulan tetapi telah berjaya mendedahkan kes salah laku berprofil tinggi. Sekiranya diberi peluang lima tahun penuh, sudah pastilah banyak agenda perubahan (reform) dan pembersihan akan boleh dilakukan lagi.

PRU15 yang sedang didesak oleh BN dan kuncu-kuncu BossKu adalah semata-mata bertujuan supaya mereka boleh menutup tembelang dan kejahatan puluhan tahun yang dilakukan dan tidak terbongkar terus-terusan. Sekiranya mereka berjaya dalam PRU15 kali ini, jika dilihat kenyataan-kenyataan laskar siber dan kepimpinan Umno/BN, mereka mahu menutup semua najis-najis rasuah, salahguna kuasa mereka selama ini dengan apa cara sekali pun, termasuk mungkin merombak struktur institusi kehakiman dan peguam negara. Kenyataan-kenyataan mereka sehari dua ini juga menggambarkan mereka seolah-olah menolak keadilan mahkamah dan kejujuran pihak pendakwaan.

Penulis amat bersetuju dengan pandangan Yang Arif bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Raus Sharif yang mengingatkan agar semua pihak membaca dahulu penghakiman dan alasan yang diberikan. Keputusan mahkamah menurut beliau tidak harus di kritik secara semberono.

Ketika berucap di Simposium Parlimen Malaysia 2022 (Selasa, 23 Ogos 2022) Tuan Raus menegaskan bahawa beliau mempertahankan kebebasan badan kehakiman dengan menepis pengaruh luar ketika sebarang kes diputuskan. Tun Raus menegaskan lagi bahawa mereka yang mahu mencabar undang-udang sebagai mencabar perlembagaan perlu membuktikan perkara itu di mahkamah. Dengan kata lain bukan melalui hujah laskar siber atau ulasan kedai kopi pimpinan Umno/BN atau siapa sahaja yang hanya membidas keadilan undang-undang tanpa melihat fakta dan analisis sebenar yang dikemukakan oleh para hakim terhadap sebarang kes.

Desakan pengampunan DiRaja hanya sehari sahaja selepas hukuman dijatuhkan dengan sabitan 12 tahun penjara melalui penyalahgunaan kuasa dan sakauan sebanyak RM42 juta sungguh tidak wajar. Masih terlalu awal. Jika dia banyak berjasa sekali pun, maka boleh diberi pengampunan awal, ramai juga lagi yang mungkin berada dalam penjara dan mereka juga mungkin telah banyak berjasa kepada negara. Sedang rakyat menderita, ramai pegawai penyiasat SPRM telah menjadi mangsa, kecewa dan terhina, sistem yang telah diporak perandakan, pembohongan demi pembohongan (sumbangan atau dana Arab atau Putera Arab) yang tidak dapat dibuktikan dalam mahkamah. 

Adakah rakyat Malaysia mudah-mudah memberi simpati untuk mengizinkan rayuan pengampunan dan pembebasan dalam masa beberapa hari setelah pasukan penyiasat SPRM, Pendakwa, Yang Arif Hakim-Hakim telah bentindak mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang, maka biarkan pesalah yang telah diadili menjalani hukuman sambil bermuhasabah akan dosa rakusnya.

DSNR, dalam warkah Daddy kepada keluargaku dan cucu-cucunya mencatatkan “daddy berpegang teguh kepada ajaran Islam”. Oleh itu DSNR a.k.a Daddy renunglah beberapa petikan ayat Al-Quran dan Hadith Nabi saw berikut supaya di masa akan datang daddy akan tersentuh dengannya sebagai panduan:-

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah mengkhianati Allah dan rasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu sedang kamu mengetahunya.” (AlAnfal: 27)

Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Daripada Abdullah bin Amru, katanya: Telah bersabda Rasullullah saw: Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Hadith Riwayat Al Imam Ibn Majah)

Akhirnya Allah SWT mengingatkan kita semua dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya”. (Surah AlBaqarah: 188).

Yang Arif Hakim-hakim dan para penyiasat SPRM (terutama Saudara Bahari dan  Rohaizad) telah menjalankan tugasan dangan cemerlang. Perbicaraan dan rayuan telah berjalan disemua peringkat mahkamah dengan saksi-saksi dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan. Selepas pihak pendakwaan mendengar keterangan 57 orang saksi selama 58 hari dan kemudian 19 saksi pembelaan memberi keterangan selama 33 hari di peringkat Mahkamah Tinggi, maka sesungguhnya Mahkamah telah menjalankan tugasnya mengikut lunas perlembagaan. Mencabar kesahihannya adalah mencabar perlembagaan negara terutamanya ketika negara sedang menyambut ambang kemerdekaan negara pada 31 Ogos 2022.

Terimakasih Saudara Bahari dan pasukan petugas SPRM, jasa saudara akan diingat oleh rakyat dan akan mendapat balasan setimpal di sisi Allah SWT kerana kejujuran dan integriti saudara-saudara semua walau telah teraniaya dan terhina. Terimakasih kepada Yang Arif Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara dan pasukannya yang sangat tegas dan telah mendapat sanjungan antarabangsa dan telah berjaya memulihkan keyakinan terhadap sistem perundangan dan keadilan negara.

Bertaubatlah Pas! Sebuah parti Islam sanggup bersama pemimpin tidak amanah, khianati rakyat

MOHD ALI HASHIM

“Bertaubatlah Pas,”saran Pengerusi Jawatankuasa Manifesto AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria kepada Pas setelah melihat Pas tetap terus menyokong mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun bukti demi bukti telah pun dizahirkan di Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

Lebih pelik katanya, Pas seolah-olah menyokong Najib secara membabi buta dan tetap bersikap pekak badak.

“Kes seperti 1MDB-SRC yang berlaku di hadapan mata. Najib disyaki dan diragui terlibat secara langsung.

“Namun Pas tetap menyokong dan bersama Najib sepertimana perjumpaan Pas dengan Arul Kanda yang baru mengambilalih 1MDB tatkala itu.

” Walaupun pada ketika itu, Najib tidak dibuktikan bersalah, tetapi bukti-buktinya begitu jelas dan pembohongan yang berlaku juga begitu ketara terserlah. Tetapi Pas tetap tidak menunjukkan langsung rasa was-was terhadap. Najib.

“Bahkan ketika Mahkamah Tinggi memutuskan Najib bersalah, pemimpin-pemimpin tertinggi Pas mengunjungi dan memberi sokongan moral. kepada Najib.

“Apakah pemimpin-pemimpin tertinggi Pas tidak langsung mengikuti perbicaraan Najib di Mahkamah?,” tanya beliau ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, insiden yang berlaku sebelum ini dimana Rafizi Ramli pertama kalinya menyebut kes 1MDB pada tahun 2013, sebaliknya beliau pula terus ditahan oleh pihak Polis. Kemudian institusi utama kerajaan pula disenyapkan satu persatu.

Persoalannya yang bermain difikiran hingga kini ialah bagaimanakah sebuah parti Islam sanggup bersama dengan pemimpin yang tidak amanah dan mengkhianati rakyatnya.

Rafizi: KAITAN DR. LATIFF DALAM SKANDAL LCS SUATU UJIAN BUAT MAHIADDIN DALAM MELAWAN RASUAH

Sejak saya mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh (670430-01-XXXX) sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Datuk Dr. Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) di dalam Laporan Forensik Projek LCS, sehingga sekarang Dr. Latiff tidak menafikan kenyataan itu.

Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Dr Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

Dengan tiadanya penafian atau kenyataan balas menafikan yang individu yang dinamakan itu isterinya, rakyat boleh membuat kesimpulan bahawa pendedahan saya itu benar. Lagi pun, perkara ini dinyatakan secara bertulis di dalam Laporan Forensik Projek LCS.

Sejumlah besar kontrak Alizes Marine Limited (syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) dengan kontrak kapal LCS adalah untuk membekalkan alat-alat gantian (“spare parts”) kapal.

Syarikat ini dilantik dengan memberi gambaran bahawa ia berkaitan dengan sebuah syarikat Perancis (Alizes Marine France) yang mempunyai lesen pengeksport alat-alat gantian pertahanan dari Kerajaan Perancis. Setelah memperolehi kontrak membekalkan alat-alat ganti dari projek LCS, invois-invois dengan alamat palsu dihantar dan arahan pembayaran menyelewengkan dana ke syarikat-syarikat berlainan yang didaftarkan di Malta dan Labuan. Akaun bank yang digunakan juga dari Singapura, bukannya di Perancis.

Laporan Forensik Projek LCS telah mendedahkan bahawa syarikat palsu ini tidak pun mempunyai lesen pengeksport alat-alat gantian pertahanan seperti yang didakwa.

Lebih teruk lagi, syarikat palsu ini menghantar invois bagi barang-barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian pertahanan. Sesetengah barang-barang yang dibekalkan adalah barang-barang biasa yang boleh dibeli di pasar raya Mydin atau kedai serbaneka 7-Eleven.

Perenggan 2.6.20 Laporan Forensik Projek LCS mendedahkan:

“Global purchase orders (PO) issued to Alizes Marine contained certain items which did not belong to Depot level spare parts (repairs and maintenance) such as mineral water, cotton bud packs, cleaning cloth, fans etc. This signified the level of discrepancy and deception in the process of procurement.”

“Purchase Order (PO) yang dikeluarkan kepada Alizes Marine (untuk menempah alat-alat gantian kapal) mengandungi sesetengah barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian Depot (untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal) seperti air mineral, puting kapas telinga, kain-kain kecil untuk mencuci, kipas dan sebagainya. Ini menunjukkan tahap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam proses perolehan.”

Kontrak untuk membekalkan kononnya alat-alat gantian kapal yang diberikan kepada Alizes Marine melibatkan pembayaran sekitar RM210 juta setakat tahun 2011 ke 2015 sahaja.

Sebab itu ada beberapa soalan penting yang perlu dijawab berhubung stok alat-alat gantian kerana Laporan PAC mendedahkan projek telah membeli sehingga RM1.7 bilion alat-alat gantian sedangkan kapal belum siap.

Soalan-soalan penting:

1. Berapa banyak dari RM1.7 bilion yang dibeli itu sebenarnya alat-alat gantian yang diperlukan untuk kapal bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal? Berapa banyak dari stok alat gantian itu sebenarnya untuk barang-barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa?

2. Apabila UMNO/BN mendakwa projek telah mencapai 50% kemajuan sehingga 2018 (sejak pembinaan bermula), berapa banyak dari peratusan kemajuan itu bersabit dengan pembelian barang-barang yang tidak ada kena-mengena dengan alat gantian kapal seperti ini? Kita tahu bahawa kemajuan projek itu mengambil kira semua aktiviti termasuk tempahan alat-alat gantian kapal.

Dengan tiadanya penafian dari Dr Latiff atau fakta-fakta yang menolak pendedahan setakat ini, sudah sampai masanya tindakan politik diambil terhadap Dr Latiff.

Ada dua tindakan bermaruah yang perlu disegerakan:

1. Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memecat Dr. Latiff dari jemaah menteri

2. Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri yang BERSATU membuat keputusan supaya Dr. Latiff digantikan dengan calon lain dari BERSATU di dalam jemaah menteri

Ini satu ujian penting untuk menilai adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan BERSATU benar-benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini.

RAFIZI RAMLI

Timbalan Presiden Keadilan

25/08/2022.

Berang minta ‘putus’, teman lelaki tekup mati kekasih guna bantal

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki dipercayai membunuh kekasihnya dengan menekup muka menggunakan bantal, susulan berang mangsa mahu memutuskan hubungan mereka, dalam kejadian di sebuah rumah, di Kampung Pandan, Klang.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong, berkata remaja berusia 19 tahun itu ditahan di tepi jalan berdekatan lokasi kejadian dipercayai dalam usaha untuk melarikan diri.

Beliau berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan kenalannya iaitu remaja berkenaan meminta bantuan untuk mengambilnya di Kampung Pandan kerana dia sudah menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga tidak sedarkan diri.

Katanya, pihak polis kemudian ke lokasi tempat kejadian dan menemui mangsa iaitu seorang wanita berusia 24 tahun dalam keadaan terbaring di atas katil di sebuah bilik rumah berkenaan.

“Pemeriksaan pada badan mangsa tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Bertindak atas maklumat pada 9.20 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menahan suspek warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes ini berdekatan lokasi kejadian,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengannya,” katanya.

Beliau berkata, semasa tangkapan dibuat, polis merampas pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

Katanya, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sudah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Pihak polis masih menjalankan siasatan dan akan melengkapkan siasatan dalam tempoh masa yang terdekat,” katanya.

Cha berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 31 Ogos ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Wajarkah Najib menerima pengampunan diraja?

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Sejak sembilan orang hakim mahkamah (satu di mahkamah tinggi, tiga di mahkamah rayuan dan lima di mahkamah persekutuan) sebulat suara memutuskan Najib bersalah dan kini dihukum penjara, saya kerap ditanya soalan di atas.

Jujurnya, saya tak boleh nak jawab soalan sesukar itu .

Jika soalan itu hanya sekadar bertanya “adakah YDPA melalui Lembaga Pengampunan boleh mengampunkan Najib? Soalan itu, secara relatif agak senang dijawab .

Ya, dari segi perundangan telah ada banyak kes duluan (legal precedents) yang menujukkan bahawa banduan yang dihukum oleh mahkamah telah diampunkan melalui pengampunan diraja.

Kuasa pengampunan itu ada dinyatakan secara jelas di bawah Perkara 142 Perlembagaan Persekutuan.

Jika kita lihat beberapa keputusan mahkamah pula, kuasa mengampun YDPA itu dikatakan ‘is a power of high prerogative of mercy’.

Dan jika tidak silap saya, Lord Diplock J ada menyatakan bahawa ‘mercy‘ itu tidak tertakluk kepada sebarang hak di sisi undang-undang.

Dalam bahasa inggeris, hakim itu habaq ‘mercy is not the subject of legal rights. It begins when legal rights end’.

Justeru itu, jika saya sekadar ditanya adakah YDPA boleh mengampunkan Najib, jawapan saya jika dari sudut undang-undang adalah ‘ya boleh’.

Tetapi, jika ditanya lagi ‘adakah Najib wajar diampunkan?’, saya mengaku saya tidak boleh nak jawab soalan itu.

Saya juga rasa adalah tidak wajar juga saya cuba mendahului YDPA dalam hal ini.

Paling minima yang saya boleh lakukan hanya sekadar mengemukakan beberapa senario atau kemungkinan yang sudah tentu tidak mengikat kuasa YDPA.

Ia sekadar faktor yang mungkin akan dipertimbangkan dengan sebaik mungkin oleh YDPA mengikut kebijaksanan YM Tuanku.

Senario yang mungkin YDPA akan pertimbangkan, pada hemat saya, adalah reaksi rakyat jika Najib ditakdirkan diampunkan.

Mungkin sahaja YDPA dengan kebijaksanaan tinggi baginda tidak akan pandang ringan melihat insiden seperti di Sri Lanka.

a) Dengan 9 orang hakim yang dilantik atas perkenan YDPA yang sebulat suara dan dalam satu suara yakin seyakin-yakinnya Najib bersalah, mungkin sahaja faktor itu juga akan diambil kira dengan sewajarnya oleh YDPA dan Lembaga Pengampunan.

b) Begitu juga saya yakin berkemungkinan besar YDPA juga akan mengambil kira ‘nature’ dan bentuk jenayah Najib iaitu sebuah kesalahan salah guna kuasa di bawah seksyen 23 Akta SPRM, tiga kesalahan pecah amanah di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan dan tiga kesalahan pengubahan wang haram di bawah AMLA dan semua itu dilakukan atas kapasiti dia sebagai mantan PM dan menteri kewangan!

c) Kes jenayah yang Najib terlibat bukan kes biasa. Ia melibatkan jenayah gergasi luar biasa yang ada kaitan dengan 1MDB iaitu mantan anak syarikat 1MDB.

Mengambil kira bagaimana kes jenayah yang ada kaitan dengan 1MDB ini telah dengan parahnya merosakkan ekonomi, nama dan reputasi negara, berkemungkinan besar YDPA , saya percaya tidak akan memandang remeh hal tersebut.

Saya tak rasa YDPA akan meremehkan begitu sahaja pandangan masyarakat luar jika Najib diampunkan.

Ya, benar mungkin ada bertanya kenapa DSAI boleh pula diampunkan sebelum ini.

Untuk tujuan berhujah diandaikan kita menerima anggapan memang DSAI bersalah (untuk rekod tidak semua mahkamah putuskan DSAI bersalah). Adakah kesalahan DSAI ada melibatkan jenayah segergasi jenayah Najib yang 9 hakim puas hati Najib memang bersalah!

Saya percaya faktor itu juga mungkin akan diambil kira oleh YDPA .

Akhirnya ada yang berhujah dengan maxim ini ‘justice must be tampered with mercy’. Ya, benar.

Tetapi saya tertarik dengan kata-kata seorang hakim senior di India yang mengakui bahawa ‘justice must be tampered with mercy’ tapi hakim itu juga habaq ‘but mercy cannot subtitute justice’.

Penulis buku, Tom Wright ingat kembali bagaimana Najib beli jam setengah juta ringgit untuk Rosmah

SITI NUR ZAWANI MISCON

Melihat Undang-undang yang akhirnya menghukum Datuk Seri Najib Razak, membuat seorang bekas wartawan US terpanggil menceritakan semula bagaimana dia mula-mula menulis mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan membongkarkan penyelewengan dilakukan oleh bekas perdana menteri Malaysia itu.

Pengarang buku dari US, Tom Wright membukukan penyelewengan dana 1MDB dalam buku Billion Dollar Whale dengan banyak bukti berkait hal itu.

Dia berkata, kunjungan Najib ke butik Chanel di Ala Moana Center, Hawaii pada 2014 adalah detik paling tepat untuk menggambarkan perangai sebenar beliau.

Katanya, ketika lawatan bertemu bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, negara Malaysia sedang dilanda banjir terburuk. Isteri Najib, Datin Seri Rosmah ketika itu dikatakan sangat marah kerana percutian mereka terpaksa dipendekkan.

Najib kemudian memujuk Rosmah dan membawanya ke butik Chanel untuk membelikan jam tangan bernilai USD130ribu (RM583,000) sebagai hadiah hari lahir. Bayaran dibuat menggunakan kad kredit yang diuruskan oleh Jho Low (menggunakan dana wang negara Malaysia).

“Mula-mula transaksi tidak berjaya dan menjatuhkan air muka Najib. Beliau menghubungi Jho Low menggunakan Blackberry untuk menyelesaikan masalah itu. Akhirnya transaksi pembelian menggunakan kad kredit itu lulus.

“Kami telah melaporkan cerita ini dalam buku ‘Billion Dollar Whale’. Kami juga telah menerima penyata kad kredit Najib, ternyata ada tertulis butik Chanel di Hawaii. Masalahnya ada dua Chanel di Hawaii. Bila saya cuba bertanya Chanel yang mana satu, saya diusir keluar.

“Ketika berkunjung ke Chanel cawangan Ala Moana, seorang ‘saleswoman’ dari China meminta saya tunggu sehingga dia habis syif. Saya menanti 6 jam di Starbucks berhampiran. Dia kemudiannya cerita bagaimana Najib dan Rosmah datang membeli seutas jam berharga RM583,000 itu. “Saya dari China dan saya benci rasuah,” ujarnya setelah kami terangkan tujuan kami,” tulis Wright di laman Twitter.

Selepas itu, Wright menerima transkrip dari Blackberry Jho Low yang menunjukkan perbualan bersama Najib tentang masalah kad kredit di kedai Chanel. Mereka memperoleh dokumen bank bahawa kad kredit itu dibayar dengan wang 1MDB.

Kata Wright, selepas pembelian itu yang seolah-olah hadiah biasa buat Rosmah, Najib terbang pulang untuk melawat bencana banjir yang mengakibatkan 200,000 dipindahkan. Rosmah, yang kes pembicaraan beliau sedang berlangsung pula terus bercuti dan berbelanja sakan.

“Saya tidak percaya kepada karma, tapi melihat gambar anak Najib di Instagram, jelas sekali kemarahan beliau. Saya juga bukan warganegara Malaysia.

“Tapi tingkahlaku pasangan ini di butik Chanel yang diupayakan dengan kerjasama kakitangan Goldman Sachs, cukup untuk menggambarkan betapa rosaknya dunia hari ini,” ceritanya lagi.

Jika benar sumpah mubahalah atasi bukti, kenapa Presiden Pas tak bersumpah saja dalam kes saman Sarawak Report?

FAIZ FADZIL

Kenyataan AJK Pas Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki bahawa beliau masih belum yakin Datuk Seri Najib Razak bersalah kerana sumpah mubahalah yang dibuat Najib sehari sebelum Mahkamah Persekutuan memutuskan secara muktamad Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram dana KWAP dalam SRC sebanyak RM42 juta itu tidak dinafikan masuk ke akaun peribadi Najib dan bukti dokumentar jelas menunjukkan wang tersebut habis dibelanjakan.

Mahkamah Persekutuan juga mendapati dapatan Hakim Nazlan bahawa pembelaan derma putera Arab tidak dibuktikan.

Maka, Pas dicabar untuk justifikasikan di mana silapnya keputusan mahkamah di dalam kes ini supaya sistem undang-undang dan kehakiman negara tidak tercemar dengan dakyah songsang Pas ini.

Jika sumpah mubahalah boleh diterima dalam sistem perundangan, kenapa tidak Presiden Pas bersumpah mubahalah sahaja di dalam kes saman fitnah dana RM90 juta terhadap Editor Sarawak Report Clare Brown?

Untuk apa Pas perlu membayar RM1.4 juta sebagai kos menarik balik kes jika sumpah mubahalah sah bagi membebaskan Pas daripada tuduhan tersebut?

Pendirian flip-flop Pas ini menunjukkan sikap hipokrasi Pas dalam menghalalkan perjuangan mereka atas sentimen agama.

Soalan bderapi dari Rafizi: Berapa banyak dari peruntukan RM1.7b LCS diguna beli putik kapas?

Malaysiakini 

Dalam serangan terbarunya berkaitan skandal kapal tempur pesisir (LCS), Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan sebanyak mana wang daripada peruntukan RM1.7 bilion untuk alat gantian kapal itu sebenarnya digunakan untuk "barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa".

Rafizi juga menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad, yang didakwa memiliki perkaitan dengan skandal itu, dipecat daripada kabinet.

"Sejak saya mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Latiff di dalam laporan forensik projek LCS, sehingga sekarang Latiff tidak menafikan kenyataan itu.

"Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isterinya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai," kata Rafizi dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata sebahagian besar kontrak Alizes Marine Limited (yang menurutnya syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) dengan kontrak kapal LCS adalah untuk membekalkan alat ganti untuk kapal itu.

"Setelah memperolehi kontrak membekalkan alat-alat ganti dari projek LCS, invois-invois dengan alamat palsu dihantar dan arahan pembayaran menyelewengkan dana ke syarikat-syarikat berlainan yang didaftarkan di Malta dan Labuan," dakwa Rafizi.

"Akaun bank yang digunakan juga dari Singapura, bukannya di Perancis," katanya merujuk kepada fakta bahawa Alizes Marine adalah syarikat yang berpangkalan di Perancis.

Dia juga membangkitkan laporan forensik projek itu mendedahkan syarikat tersebut tiada lesen untuk mengeksport alat ganti pertahanan seperti yang didakwa.

Ini menimbulkan persoalan penting, kata bekas ahli parlimen Pandan itu.

Berapa banyak daripada RM1.7 bilion yang dibeli sebenarnya adalah peralatan gantian diperlukan untuk kapal untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, kerana banyak alat ganti sebenarnya adalah barangan kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa?

Apabila Umno BN mendakwa projek telah mencapai 50 peratus kemajuan sehingga 2018, berapa banyak dari peratusan kemajuan itu bersabit dengan pembelian barang-barang yang tidak ada kena-mengena dengan alat gantian kapal seperti ini? Kita tahu bahawa kemajuan projek itu mengambil kira semua aktiviti termasuk tempahan alat-alat gantian kapal.

Perenggan 2.6.20 Laporan Forensik Projek LCS mendedahkan: “Purchase Order (PO) yang dikeluarkan kepada Alizes Marine (untuk menempah alat-alat gantian kapal) mengandungi sesetengah barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian Depot (untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal) seperti air mineral, puting kapas telinga, kain-kain kecil untuk mencuci, kipas dan sebagainya. Ini menunjukkan tahap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam proses perolehan.”

Rafizi mendakwa Latiff dan Zainab sebagai "jerung besar" yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tiada kelayakan.

Justeru, dia menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri memecat Latiff daripada Kabinet dan Muhyiddin pula selaku presiden Bersatu perlu memaklumkan secara rasmi kepada Ismail Sabri siapa yang ingin dicalonkan oleh parti itu untuk menggantikan Latiff.

Untuk rekod, Latiff merupakan anggota Umno sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

Ketika masih bersama Umno, dia pernah menjadi timbalan menteri pertahanan ketika kementerian itu dipimpin Ahmad Zahid Hamidi.

"Ini satu ujian penting untuk menilai adakah Muhyiddin dan Bersatu benar- benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini," kata Rafizi lagi.

Ismail dalam dilema lepas Najib masuk penjara

Alyaa Alhadjri & Fion Yap

ANALISIS | Dengan Najib Razak kini dalam penjara, Umno kehilangan salah seorang peneraju utama kempen parti itu dalam menghadapi pilihan raya.

Perkembangan itu dilihat membuatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob - yang berdepan tekanan dalaman untuk membubarkan parlimen - berada dalam dilema bukan saja berhubung nasib BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15, tapi juga kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Dari satu sisi, penganalisis berpandangan, akur dengan tuntutan yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan PRU pada tahun ini boleh membantu Ismail Sabri menenangkan akar umbi parti itu yang kelihatan yakin untuk menang, berdasarkan kejayaan BN pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Bagaimanapun, menangguhkan PRU hingga tahun depan dilihat dapat memberi masa kepada Ismail Sabri membina agenda pembaharuannya dan seterusnya mengambil alih kawalan dalam Umno daripada Zahid yang kini menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah di mahkamah.

Saintis politik di Universiti Sunway, Wong Chin Huat berkata susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengekalkan sabitan kesalahan bekas perdana menteri itu, pengaruhnya ikut terjejas dan tidak mustahil diatasi oleh Ismail Sabri.

“Walaupun Najib menarik perhatian ramai seperti seorang selebriti, dia mungkin tidak lagi dapat meraih lebih banyak undi.

“Ismail Sabri tidak mempunyai karisma Najib tetapi jika beliau kekal sehingga habis penggal (15 Julai 2023) dan melakukan lebih banyak pembaharuan, beliau akan dapat menampilkan dirinya sebagai perdana menteri yang memulihkan kestabilan dan melaksanakan banyak pembaharuan sejak 2018,” kata Wong.

Kata Wong, tidak seperti Zahid, "pendekatan pelbagai parti" Ismail Sabri termasuk melalui memorandum persefahaman dengan pembangkang bermakna beliau akan terhindar daripada digambarkan sebagai "perasuah".

“Kempen yang kurang bersifat memburuk-burukkan pada PRU15 akan membolehkan gaya kebapaannya bertahan dengan lebih baik di wilayah tradisi Umno,” kata Wong.

Secara kebetulan, pemenjaraan Najib berlaku ketika Ismail Sabri meraikan tugasnya selama setahun sebagai perdana menteri dengan pelbagai pembaharuan yang diluluskan di bawah terajunya.

Justeru, kata Shazwan Mustafa Kamal, pengarah bersekutu di Vriens & Partners , dasar awam, hal ehwal kerajaan dan perundingan risiko politik, penting bagi ahli parlimen Bera itu mengekalkan sokongan bipartisan bagi kekal memegang jawatan perdana menteri.

Shazwan berkata, antara lain, pentadbiran Ismail Sabri telah berjaya meneruskan rang undang-undang penting yang bertujuan menghalang lompat parti, Akta Anti Gangguan Seksual, dan beberapa pembaharuan pekerja.

Bola kini di gelanggang Ismail Sabri

Selain itu, Ismail Sabri juga dapat menggilap imejnya melalui pembaharuan yang dirancang termasuk rang undang-undang pembiayaan politik, had penggal perdana menteri memegang jawatan, dan larangan merokok melalui Generasi Penamat.

“Pada asasnya, pencapaian ini tidak penting bagi Umno; presiden parti terus mendesak perdana menteri supaya mengadakan pilihan raya segera.


Zahid, Najib dan sejumlah besar kepimpinan parti - yang digelar 'Kluster Mahkamah' - menghadapi pertuduhan rasuah berprofil tingg. Mereka melihat mandat baharu berpotensi menjadi jalan keluar," katanya.

“Bola kini berada di gelanggang perdana menteri. Dia boleh sama ada akur kepada tuntutan kepimpinan partinya untuk membubarkan parlimen atau meluangkan masa dengan menumpukan pada langkah pembaharuan yang belum selesai sambil membiarkan prosiding undang-undang terhadap pemimpin partinya yang lain terus berjalan.

“Dengan memilih yang kedua, beliau boleh cuba membina kes untuk Umno masa depan yang terhindar daripada rasuah pemimpin generasi terdahulu.

"Dia kemudian boleh mengemukakan hujah yang meyakinkan untuk menjadi perdana menteri bagi penggal kedua,” kata Shazwan.

'Akar umbi Umno kecewa dengan PM'

Sementara itu, felo penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, pengikut Umno yang lebih konservatif mungkin kecewa dengan Ismail Sabri kerana dia mungkin kelihatan gembira dengan keputusan mahkamah Najib.

Selain itu, kata Awang Azman, akar umbi Umno juga tidak berpuas hati dengan pendirian Ismail Sabri yang enggan mengadakan PRU15 awal dan dilihat "tidak ikhlas" untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga PRU15 diadakan.

Justeru, profesor madya di Universiti Malaya itu tidak melihat Ismail Sabri akan berpeluang untuk mengukuhkan kuasa terhadap Zahid dalam parti selepas Najib dipenjarakan malam tadi.

Awang Azman kemudian meramalkan Umno akan terus mendesak PRU15 diadakan tahun ini supaya PH tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menggunakan kes SRC atau meneroka lebih banyak kes untuk menarik lebih banyak sokongan daripada rakyat.

“Lebih banyak masa yang diberikan Umno untuk menangguhkan pilihan raya, semakin tinggi peluang PH untuk menang,” tambah Awang Azman.

Penganalisis politik Kartini Aboo Talib pula berkata Zahid dijangka terus menekan Ismail Sabri, walaupun ia akan menjadi tugas yang lebih sukar memandangkan kesan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib tanpa campur tangan daripada kerajaan.

"Politik tetap stabil dan keputusan mahkamah harus dipatuhi sebagai suatu yang berintegriti. Dari segi imej dunia ia akan mengangkat kebebesan mahkamah sesuai dengan doktrin pemisahan kuasa.

"Bagi parti politik seperti Umno, ia harus dianggap sihat bila bisul dalam badan telah dikeluarkan," kata Kartini, yang juga merupakan timbalan pengarah Institut Penyelidikan Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia.

‘Kuasa Zahid untuk menamakan calon’

Sementara itu, bagi Shazwan, di bawah ketetapan semasa, kekuatan Zahid sebagai presiden parti terletak pada kuasanya untuk menandatangani surat pelantikan bagi calon Umno untuk PRU15.

Shazwan berkata keengganan Ismail Sabri untuk tunduk kepada tekanan daripada Umno boleh melihat Zahid menggunakan kuasanya sebagai "pilihan terakhir" untuk mempengaruhi akar umbi parti.

"Saya rasa jika perdana menteri tidak puas hati dengan tuntutan Umno, dia (Zahid) boleh memilih untuk berbuat demikian, tetapi itu akan menjadi peluru untuk pilihan terakhir yang memberi kesan kepada kumpulan-kumpulan dalam Umno," katanya.

Hujung minggu lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan telah memanggil semua pemimpin bahagian parti itu untuk "mesyuarat tergempar" yang diketuai oleh Zahid di ibu pejabat parti. Susulan itu , timbul khabar angin yang mengatakan mereka yang hadir di bawah tekanan daripada spekulasi bahawa sesiapa yang tidak hadir boleh diketepikan dari senarai calon BN.

Ismail, yang tidak hadir dalam mesyuarat itu, kemudian berkata mereka yang hadir hanya membincangkan perkara-perkara mengenai pengukuhan parti menjelang PRU15, dan beliau mendakwa tidak mengetahui sebarang gesaan untuk mengadakan PRU segera.

'Kesan minimum kepada pembangkang'

Sementara itu, penganalisis juga berkata keputusan akhir SRC Najib tidak memberi kesan besar dalam mempengaruhi sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH), yang pernah merampas kuasa persekutuan semasa PRU ke-14 lalu melalui kempen berhubung skandal 1MDB.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata PH gagal untuk beralih daripada 1MDB dan Najib sejak 2018, walaupun majoriti rakyat Malaysia tidak lagi begitu mengikuti isu itu,

“PH perlu mengartikulasikan perpaduan dan kesepaduannya sendiri, selain meyakinkan pengundi bahawa ia boleh menangani masalah yang membelenggunya dalam tempoh singkat dalam kerajaan.

“Lebih kritikal, PH perlu mencari jalan untuk mendekati pengundi Melayu menjelang PRU15. Jika gagal berbuat demikian, ia hanya bergantung kepada sokongan bandar, bukan Melayu - bukan satu kedudukan yang meyakinkan untuk cuba mengambil alih pentadbiran negara,” kata Ibrahim.

Ibrahim juga berkata walaupun pemenjaraan Najib boleh meningkatkan peratusan keluar mengundi dalam kalangan penyokong PH, yang dilihat lesu akibat perkembangan berikutan PRU14 atau Langkah Sheraton, masih tiada jaminan sokongan Melayu yang amat diperlukan untuk mempertahankan kerusi yang mereka menangi pada 2018, apatah lagi memenangi kerusi baru.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata dalam meraikan kemenangan kerana menghantar Najib ke penjara, keputusan Mahkamah Persekutuan adalah "antiklimaks" untuk PH, berbeza dengan sabitan asal di Mahkamah Tinggi beberapa tahun lalu.

“Jadi untuk PH sekali lagi menggunakan isu Najib, mungkin mereka tidak akan mendapat sokongan padu yang sama.

“Bagi mereka mengulangi isu 1MDB akan menjadi antiklimaks dan tidak memberi sebarang kelebihan tambahan. Sebaliknya, kelebihan tambahan adalah kepada Umno dan BN dengan satu liabiliti kurang untuk dijawab,” jelasnya.

Ismail Sabri sebelum ini berkata kerajaan persekutuan pimpinan Umno mesti menangani skandal baru-baru ini termasuk projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM6 bilion sebelum melangkah ke PRU15, bagi mengelak perkara itu meletup seperti skandal 1MDB.

Menteri gesa ambil tindakan segera terhadap insiden lelaki berbaju separa bogel, bersongkok di KLFW

FMT Reporters

story-image

Gambar menunjukkan seorang lelaki berbaju separa bogel dan memakai songkok sempena Kuala Lumpur Fashion Week baru-baru ini yang mengundang kecaman ramai.

PETALING JAYA: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera terhadap seorang lelaki yang dikatakan melakukan provokasi terhadap Islam dalam Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad membuat gesaan itu susulan gambar menunjukkan seorang lelaki berbaju separa bogel dan memakai songkok sempena KLFW baru-baru ini yang dikecam warganet.

“Masyarakat Islam kita cukup marah dan kecewa. Sempadan batas agama, sensitiviti keagamaan dan kaum usah dibuat bahan mainan.

“Usahlah kita berperilaku yang melanggar dengan ajaran agama, adat ketimuran dan tatasusila,” katanya di Facebook.

Video hina Nabi cetus ketegangan di Hyderabad, India

Shakir Husain & Bernama

GLOBAL l Ketegangan tercetus di bandar Hyderabad di selatan India selepas seorang pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) mengeluarkan video menghina Nabi Muhammad (SAW).

BJP menggantung anggota Dewan Undangan Negeri Telangana, T Raja Singh selepas beliau ditahan polis pada Selasa kerana kenyataan yang menyinggung perasaan itu.

Bagaimanapun, Singh dibebaskan beberapa jam selepas dihadapkan ke mahkamah.

Umat Islam mengadakan protes di Hyderabad, ibu kota Telangana, menuntut penahanan ahli politik itu.

Singh merupakan ahli politik kontroversi kerana pernah membuat komen provokatif tentang umat Islam dan Islam sebelum ini.

Negeri itu diperintah oleh Telangana Rashtra Samithi (TRS), sebuah parti politik negeri.

Dalam video yang disiarkan di media sosial pada Rabu, anggota polis yang berpakaian anti rusuhan dilihat memukul penunjuk perasaan dan menyerbu masuk ke dalam rumah.

Presiden Majlis-e-Ittehadul Muslimeen (AIMIM) Seluruh India Asaduddin Owaisi, yang mewakili Hyderabad di parlimen India, berkata terdapat "cubaan yang disengajakan" oleh BJP dan anggota dewan tempatan untuk menimbulkan masalah.

Beliau berkata bantahan akan berterusan sehingga ahli politik BJP itu dipenjarakan.

- Bernama

Penyokong Najib sengaja buat lupa Anwar 3 tahun dipenjara sebelum diberi pengampunan diraja

NASUHA RAHMAN

Penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak sengaja membuat lupa bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjalani hukuman penjara selama lebih tiga tahun, mulai 2015, sebelum diberi pengampunan diraja, demikian menurut A.Kadir Jasin.

Katanya, pengampunan Anwar Ibrahim pada tahun 2018 sering disebut sebagai duluan (precedent) bagi mengampunkan Najib yang baru menjalani hukuman penjara dua hari.

“Belum pun sehari Mohd Najib masuk penjara atas kesalahan berkaitan RM42 juta duit syarikat kerajaan, SRC International Sdn Bhd, sudah ada ‘Mamat-mamat’ yang mengaku pakar undang-undang kata banduan itu atau warisnya boleh memulakan proses mendapatkan pengampunan diraja.

“Pengampunan Anwar dikemukakan kepada pengundi dalam manifesto PH. Lagipun, kesalahan beliau tidaklah membebankan negara dan rakyat jelata dengan hutang berbilion-bilion ringgit seperti yang dilakukan oleh Najib dalam SRC International dan 1MDB,” katanya.

Meurut Kadir, penyokong kluster mahkamah sengaja lupa atau tidak tahu bahawa Almarhum Harun Idris juga menjalani hukuman penjara yang lama dalam kes pecah amanah Bank Rakyat sebelum diberikan pengampunan.

Penyokong Najib sengaja buat lupa Anwar 3 tahun dipenjara sebelum diampunkan

Beliau dipenjarakan pada tahun 1977 dan dapat pengampunan hanya pada 1982 bersama-sama 62 banduan lain bersempena ulang tahun ke-25 kemerdekaan negara.

“Harun tidak ambil duit untuk dirinya sendiri tapi untuk pentaskan tinju Muhammad Ali-Joe Bugner di Kuala Lumpur pada tahun 1975.

“Begitu juga dengan Almarhum Mokhtar Hashim yang membunuh musuh politiknya, Mohamad Taha Talib, pada tahun 1982.

“Dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun 1983 dan pada tahun berikutnya diberikan pengampunan kepada penjara seumur hidup oleh Yang di-Pertuan Agong. Dia dibicarakan di Kuala Lumpur dan dipenjarakan di Penjara Pudu. Pada tahun 1991 dia diberikan pengampunan kedua dan dibebaskan setelah sembilan tahun dalam penjara,”ujarnya.

Katanya, jadi bukanlah semudah yang digambarkan bagi Yang di-Pertuan Agong (atau Raja-raja Melayu yang lain) memberi pengampunan kerana beban tanggungjawab di bawah undang-undang adalah sangat berat kerana ia adalah hak mutlak Baginda.

Akhirnya Bagindalah yang memikul beban tanggungjawab dan risiko tindakan tersebut, bukan Perdana Menteri atau Lembaga Pengampunan yang hanya memberi nasihat.

“Kesimpulannya, pengampunan bagi Najib dan gengnya (sekiranya mereka juga didapati bersalah) bukanlah sesuatu yang automatik atau telah terpahat di atas batu, tidak kiralah sama ada Umno menang atau kalah.

“Itu belum diambil kira dinamik politik negara dan Umno sendiri. Dalam Umno pun bukan semua mahu kluster mahkamah dibebaskan atau diampunkan. Sudah pun nampak ada kelompok yang lebih suka jika sesetengah atau semua anggota kluster mahkamah dipenjarakan sebagai salah satu cara membersih dan menyembuhkan semula parti itu,”katanya.

Semalam, kira-kira 300 penyokong Najib Razak berhimpun di luar Istana Negara bagi menyerahkan memorandum memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk bekas Perdana Menteri.

Penyokong Najib mendakwa bekas pemimpin itu tidak mendapat layanan yang adil kerana mahkamah menolak permohonan Najib Razak memasukkan bukti tambahan, serta enggan menangguhkan rayuan akhir kes berkenaan untuk memberi masa kepada peguam untuk bersedia.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dilapor berkata, Najib mesti memohon pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari atau hilang kerusi Parlimen.

Pas dan Bersatu pun kena minta maaf pada rakyat Malaysia

AMMAR ATAN

Perginya Najib ke penjara tidak akan menyucikan Umno-BN. Sebaliknya, Umno-BN perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap segala macam salah urus tadbir dan penyelewengan yang telah dilakukan.

Pas, Bersatu yang beri nyawa pada parti kleptokrat

Pas dan Bersatu yang turut sama bersekongkol dengan BN juga harus memohon maaf atas tindakan mereka terus “memberi nyawa” kepada parti kleptokrat itu. Jangan gadaikan prinsip dan nilai agama sebenar hanya kerana tamak kuasa.

Pendedahan demi pendedahan baru-baru ini jelas menunjukkan Barisan Nasional (BN) langsung tidak layak mentadbir negara. Lebih menyedihkan, wang persaraan tentera dan pekerja kerajaan adalah antara dana yang telah disalahgunakan sepanjang pemerintahan BN.

Pada 18 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan diberitahu RM4 bilion milik Kumpulan Wang Amanah Persaraan telah disalurkan ke SRC International hanya bersandarkan satu surat daripada Najib Razak. Sekarang ini, 90 peratus dana ini telah dibekukan di Switzerland.

Berkaitan isu kapal LCS pula, 3 laporan rasmi yang telah dinyahwarta menunjukkan banyak salah urus tadbir dilakukan dengan sengaja.

Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) telah mengesahkan bahawa kelewatan projek LCS bermula sejak 2015, dan bukannya setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan, seperti yang didakwa oleh Najib.

Zahid Hamidi juga menipu rakyat Malaysia bahawa dia tidak terlibat dalam skandal RM9 bilion LCS ini, namun laporan kerajaan menunjukkan Zahid telah menyatakan sokongannya kepada surat niat daripada Boustead Naval Shipyard (BNS) secara bertulis pada tahun 2010.

Di samping salah guna kuasa, UMNO-BN juga gagal menguruskan syarikat milik kerajaan dengan baik. Selain 1MDB, SRC dan Tabung Haji, contoh lain termasuk “bailout” yang diberikan Kabinet Najib Razak menerusi Minister of Finance Incorporated (MOF Inc) untuk menyelamatkan projek kesayangan Najib, Menara Exchange 106 TRX.

Menara itu dibina pada ketika Kuala Lumpur dipenuhi dengan bangunan komersial. Difahamkan masih banyak unit dalam Menara Exchange 106 ini yang belum disewakan atau dijual. Apa sudah jadi kepada pelaburan kerajaan menerusi MOF Inc? Adakah lebur begitu sahaja?

Bukan itu sahaja, konglomerat Boustead Holdings Bhd juga telah menjadi “bom jangka” ketika pentadbiran Najib Razak. Jumlah hutang Boustead telah melonjak daripada RM3.16 bilion pada tahun 2010 kepada setinggi RM8 bilion pada tahun 2015 dan seterusnya direkodkan pada RM6.2 bilion pada tahun 2017.

Ini jauh lebih tinggi daripada pegangan tunai atau “cash and cash equivalents” Boustead sebanyak RM592 juta setakat 2017.

Malah, Boustead juga mengalami krisis kecairan ketika itu apabila nilai liabiliti semasa (bertempoh kurang 12 bulan) direkodkan pada RM7.1 bilion, berbanding nilai aset semasa RM4.8 bilion.

Selain kelemahan kewangan, Boustead juga mengalami kelemahan pengurusan. Situasi di Boustead mula dipulihkan setelah Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, di mana sebuah pelan transformasi telah dilancarkan pada tahun 2019. Langkah sama turut dilaksanakan di peringkat LTAT, iaitu pemilik majoriti Boustead.

Tambahan, di bawah Pakatan Harapan, satu audit forensik telah diarahkan pada tahun 2019 terhadap BNS, syarikat milik Boustead yang diberikan kontrak BNS.

Segala macam pembaharuan yang kita lihat pada hari ini datang daripada usaha Pakatan Harapan sebelum ini. Jika tiada sebarang pemulihan dimulakan di LTAT dan Boustead, yang akan merana adalah pesara tentera.

Pemuda AMANAH menggesa agar kerajaan Malaysia lebih bertanggungjawab menguruskan duit rakyat dan syarikat berkaitan kerajaan.

Lantiklah individu yang benar-benar berkelayakan untuk mengemudi GLC dan pastikan individu-individu yang menyalah gunakan kuasa dihukum. Paling penting, jangan sama sekali libatkan politik dalam urusan korporat negara.

Ammar Atan ialah Pengarah Strategi Pemuda AMANAH Nasional

Bekas pengarah SPRM imbas kembali fitnah, ugutan ketika siasat kes SRC

Malaysiakini

Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Bahri Mohammad Zin, yang memainkan peranan penting dalam siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap Najib Razak semalam membuktikan kebebasan sistem kehakiman.

Bahri juga mengimbas kembali bagaimana dia dan pasukannya berada dalam tekanan ketika menyiasat kes SRC, dengan fitnah, ugutan dan tawaran habuan agar menghentikan siasatan.

"Paling tidak boleh saya lupakan ialah apabila timbalan pendakwa raya SPRM dan beberapa pegawai BOK ditahan sebelum difitnah.

"Saya pernah berasa 'keseorangan' ketika anak buah saya dianiaya dan saya sendiri ditukarkan ke JPM ketika itu," katanya seperti dipetik Berita Harian, hari inI. 

Pada 2015, siasatan SPRM terhadap kes SRC diganggu apabila polis menyerbu pejabat mereka dan menangkap beberapa pegawai dalam pasukan Bahri. Timbalan pendakwa raya SPRM pula ditahan reman.

Bahri dan seorang lagi pegawai kanan SPRM, Rohaizad Yaakob, kemudian dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Dia kemudian bersara awal pada 2017 ekoran kekecewaan berhubung kes SRC namun kembali bertugas pasa Mei 2018 selepas PH mengambil alih pentadbiran persekutuan.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun di Kompleks Penjara Kajang. Dia juga didenda RM210 juta.

Kata Bahri lagi, keputusan itu menyangkal tanggapan yang Najib akan "diselamatkan" kerajaan.

"...Sekali gus melambangkan sistem kehakiman kita benar-benar bebas walaupun membabitkan kes berprofil tinggi dan sensitif seperti ini," katanya lagi.

Lebih 35,000 tandatangan petisyen mohon Agong jangan ampun Najib

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lebh 35,000 individu menandatangani petisyen dalam talian memohon Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, tidak memperkenan pengampunan diraja terhadap pemenjaraan Najib Razak berhubung kes SRC International.

Petisyen itu dimulakan kumpulan reformasi sistem pilihan raya, Bersih, di tengah-tengah gesaan daripada penyokong Najib mahu bekas perdana menteri itu diberikan pengampunan diraja.

Terdahulu, kumpulan penyokong Umno menghantar memorandum kepada Istana Negara, hari ini, memohon pengampunan diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara turut menuntut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghantar surat kepada Agong memohon pengampunan kepada Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu memulakan hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, semalam, susulan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman. Beliau juga diperintah membayar denda RM210 juta.

Petisyen yang dilancarkan di Change.org merayu kepada Agong supaya menolak mengampun Najib kerana beliau disabit bersalah mencuri dana awam.

Katanya, bekas perdana menteri itu sudah diberikan perbicaraan adil dan proses wajar, sambil menambah rakyat terpaksa menanggung akibat kesan penyelewengan pemimpin yang dipilih.

“Rakyat sepenuh hati memohon limpah perkenan Tuanku untuk mempertimbangkan rayuan patik-patik sekalian agar sebarang permohonan ampun oleh Najib, yang telah memberi malu kepada negara ini. Sebagai negara, kita tidak boleh bertoleransi dengan korupsi walau siapa pun pelakunya.

“Biarlah Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan membayar denda RM210 juta untuk dijadikan amaran kepada semua pemimpin yang sangka mereka boleh dengan korup menyalahgunakan kuasa”.

NGO penyokong Najib desak supaya Najib diberi pengampunan diraja dalam masa 1minggu

Baru sehari Najib dipenjara, NGO tuntut PM mohon pengampunan diraja

Faiz Zainudin dan Shahrul Shahabudin

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu memulakan proses pengampunan diraja terhadap Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Baru sehari Najib Razak menjalani hukuman penjara susulan sabitannya dalam kes RM42 juta SRC International, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, memohon pengampunan diraja bagi bekas presiden Umno itu.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz, berkata jika Ismail gagal memenuhi tuntutan itu segera, mereka merancang melakukan perhimpunan besar-besaran di pekarangan Istana Negara.

“Perdana menteri harus bagi surat kepada Agong, perkara itu mesti dilakukan daripada perdana menteri.

“Jika minggu ini tak ada pengampunan, minggu depan kami datang besar lagi. Kami mohon campur tangan,” katanya selepas menyerahkan referendum kepada Agong berhubung pengampunan diraja terhadap Najib di Istana Negara.

Referendum itu turut meminta Agong memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan Peguam Negara Idrus Harun bagi memberi penjelasan sama ada wujud konflik kepentingan dalam kes membabitkan bekas perdana menteri itu.

Beliau juga turut mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi “mengarahkan” Ismail bertindak segera memohon campur tangan Agong membebaskan Najib dan jika perkara itu gagal dituruti, Umno wajar menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan perdana menteri.

“Kami mohon presiden Umno, kami tak ingin subahat tapi selaku ahli Umno, kami mohon keluar dan tarik sokongan supaya ada pembubaran Parlimen jika tiada tindakan dibuat. Kami percayakan perdana menteri, tapi kalau perkara ini tidak berlaku kami anggap kerajaan ini zalim.

“Kalau kerajaan Muhyiddin Yassin tak apa. Ini ialah kerajaan BN, kamu aniaya orang banyak berjasa. Jika hari ini Zahid tak berkeras, perdana menteri tak buat sesuatu, saya akan isytihar keluar parti. Baik saya kerjasama dengan DAP, pemimpin mereka (pembangkang) meringkuk dalam penjara, mereka bekerjasama,” katanya.

Syed Mohammad juga meluahkan rasa kecewa apabila tiada pemimpin Umno turun menyertai penyerahan referendum walaupun parti itu mempunyai 191 bahagian seluruh negara.

Terdahulu, lebih 100 penyokong kumpulan itu berkumpul di hadapan pintu masuk 3 Istana Negara.

Penyerahan referendum itu juga dibuat berikutan dakwaan menyebut bahawa Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Ghazali yang mengendalikan kes Najib sebelum ini, mempunyai konflik kepentingan berkaitan dengan perkhidmatan beliau sebelum itu.

Semalam Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dihadapi Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan sabitan dan hukuman Najib oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lalu, seterusnya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 28 Jul 2020, Nazlan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib atas tujuh tuduhan rasuah.

Remaja tikam dua individu sebagai 'latihan' bunuh keluarga sendiri

Sinar Harian

Remaja tikam dua individu sebagai 'latihan' bunuh keluarga sendiri

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan akibat kejadian tikaman rambang tersebut. - Foto: Agensi

TOKYO: Seorang remaja di Jepun ditahan dalam kejadian tikaman rambang melibatkan dua individu di ibu kota pada akhir minggu lalu.

Jurucakap polis berkata, suspek memberitahu serangan itu adalah 'latihan' untuk membunuh ahli keluarganya sendiri.

"Saya menikam mereka kerana untuk mengetahui sama ada saya boleh membunuh orang," kata remaja perempuan berusia 15 tahun itu ketika disoal siasat pihak berkuasa.

Difahamkan, suspek dari Toda, wilayah Saitaman ditahan di lokasi kejadian selepas disyaki cuba membunuh seorang wanita berumur 53 tahun dan anak perempuannya yang berusia 19 tahun di Shibuya.

Sumber polis mengesahkan gadis itu juga menyatakan tujuan dia menyerang kedua-dua mangsa kerana mahu dijatuhi hukuman mati.

Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati gadis berkenaan menghampiri anak-beranak tersebut ketika mereka sedang berjalan di sebuah jalan sempit di bandar itu sebelum bertindak menikam mangsa dengan pisau dapur.

Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan akibat tikaman tersebut termasuk luka sedalam kira-kira 10 sentimeter.

Pada malam pertama…

DR MUHAIMIN SULAM

Bukan mudah untuk tidur, biar kelopak mata dipaksa-paksa memejam rapat. Sekejap mengiring ke kiri, ke kanan, terlentang. Mahu menairap terasa sesak dada pula. Malam itu adalah malam yang panjang. Fajar siang sangat lambat. Saya dapat rasai apa yang bekas Perdana Menteri alami.Terasa begitu terasing, terpisah dan jauh.

Mahu tahu waktu, tak tau kecuali bertanya dengan anggota polis yang bertugas. Baru pukul 2 pagi. Selang beberapa ketika tanya lagi. Baru jam 3 pagi. Sampailah waktu subuh bila terasa sayup-sayup suara azan kedengaran di celah lubang lokap. Teringat pesan tok guru, solatlah malam bila begitu.

Teringatjuga cerita Syed Qutb, Imam Abu Hanifa terpenjara dalam buku-buku yang pernah saya baca. Malam itu mula terasa mahu bermunajat. Rindu memanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Berkuasas. Tiada apa yang mampu saya lakukan kecuali mengisi malam dengan solat. Ayat al Quran yang sama diulang-ulang baca. Terasa kesal tidak banyak surah yang dihafal.

Mulalah fikiran melayang mengenang anak isteri yang terpaksa ditinggalkan. Anak-anak masih kecil mungkin mereka tidak faham mengapa masih belum pulang bapanya. Ibunya pun enggan berterus terang. Memujuk dengan mengatakan bahawa bapa mereka sedang berkursus. Anak-anak kecil percaya pujukan ibunya. Begitulah adat anak-anak yang bersih hati dan jiwanya.

Pada masa itulah saya memujuk hati. Bersabarlah. Inilah ujian yang Tuhan berikan kepada kamu. Jika kamu tabah dan sabar, nescaya Allah SWT akan kurniakan kemudahan dan keringanan pada masa hadapan. Mungkin ini ujian untuk meningkatkan taqwa dan hampir diri dengan Allah SWT. Bermacam-macam jenis monolog malam pertama itu.

Jika diberikan saya sekeping kertas dan mata pena, nescaya saya akan tulis puisi dan warkah dari lokap. Malam pertama banyak angan dan bayangan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran. Terasa seperti menjadi pejuang hebat. Terasa bangga membuktikan jalan perjuangan yang dipilih. Banyak perasaan yang bermain dalam pemikiran ketika itu.

Sejuk lantai simen lokap ada waktu mengurangkan kehangatan udara malam. Tiada ruang udara kecuali lubang kecil bergeriji dan atas bumbung yang terbuka. Jika hujan, pasti tempias air masuk ke dalam sel. Apabila panas, melekit-lekit badan berpeluh. Saya memilih tidak memakai baju seragam lokap kerana baunya tidak menyenangkan. Rela tidak berbaju.

Sepanjang tujuh malam itu, saya pilih tidur di koridor menghadap pintu lokap yang sedikit berudara dari luar. Lokap yang mempunyai empat sel dan tiga tandas tanpa pintu terpaksa dikongsi lebih 30 orang pada masa itu. Ikut peraturannya, lokap itu untuk 25 orang sahaja. Memang sendat macam ikan sardin dalam tin. Tiada selimut dan bantal. Kami tidur di atas lantai bersimen. Jika ada yang menyebut lokap atau penjara VIPP berbeza, saya tak tahu.

Saya bersama lebih berbelas OKT (orang kena tahan) ditangkap kerana himpunan Black 14 pada tahun 2000. Kami ditangkap di hadapan Masjid Negara kemudian kami dibawa masuk ke lokap balai polis Cheras. Mak bapa saya terpaksa rahsiakan penahanan saya. Tidak pernah terlintas dalam kepala arwah bapa dan keluarga, ada cucu Kiyai Yasin masuk dalam lokap. Masa itu, yang masuk lokap ialah pencuri, penagih dan penjenayah. Arwah bapa cakap yang masuk lokal adalah ‘orang jahat’.

Arwah bapa, mak dan isteri mahu jumpa dengan saya tetapi pihak balai tidak benarkan kecuali pada hari ketiga atau keempat. Itupun setelah puas arwah bapa minta. Mereka datang dari kampong. Jauh dari ibukota, Kuala Lumpur. Masa itu, dramatik pertemuan kami tiada hendak dibayangkan. Semalam dua terasa setahun lamanya. Apatah lagi jika 6 tahun atau 12 tahun.

Saya dan rakan-rakan dibebaskan atas perintah mahkamah sesyen di bangunan Sultan Abdul Samad pada hari ke lapan. Semangat perjuangan saya semakin kuat. Arwah bapa tidak lagi berasa malu atau kecewa anaknya dilokap. Ini kerana saya dilokap bukannya kerana merompak, mencuri, rasuah dsb. Saya ditangkap kerana menyertai perhimpunan haram sempena setahun Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun.

Saya ketika itu adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Perak. Kebanyakan yang menyertai himpunan reformasi adalah penyokong Anwar Ibrahim, ahli KeADILan dan ahli bawahan Pas.

Oleh sebab itu, penahanan saya ketika itu mengejutkan pimpinan Pemuda Pas dan penyokong Pas ketika itu. Memang tiada arahan daripada pimpinan Pas untuk menyertai perhimpunan haram itu. Saya pun tidak mahu kena tangkap semasa perhimpunan itu. Sesekali cabut lari daripada dikejar oleh polis dan FRU.

Namun sudah ditakdirkan saya kena tangkap pada petang itu bersama seorang lagi anak muda yang pergi ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan. Kini anak muda itu menjadi hakim di salah sebuah mahkamah di tanah air kita. Tentu dia akan teringat momen ini apabila mahu membuat sesuatu hukuman.

Sumbat cawan dalam dubur, gurauan melampau

Agensi

IMBASAN X-ray menunjukkan cawan itu pada rektum lelaki itu. FOTO  Newslions / SWNS

IMBASAN X-ray menunjukkan cawan itu pada rektum lelaki itu. FOTO Newslions / SWNS

New Delhi: Seorang lelaki di India terpaksa menderita sakit selama 10 hari apabila rektumnya dimasukkan cawan keluli oleh rakannya.

Cawan itu dimasukkan rakan-rakan lelaki itu kerana bergurau ketika mereka menghabiskan masa minum alkohol di Gujerat, 19 Ogos lalu.

Penderitaan lelaki dari dari Balipadar itu hanya berakhir selepas doktor di sebuah hospital tempatan berjaya mengeluarkan cawan berdiameter 8 sentimeter (sm) dan sepanjang 15 sm itu menerusi satu pembedahan.

Menurut laporan akhbar tempatan, rakan mangsa mengakui mereka memasukkan cawan keluli yang besar itu ke rektum lelaki itu ketika dia mabuk.

Lelaki itu meminta ahli keluarganya membawanya ke hospital selepas mereka mengetahui kejadian mengejutkan itu.

Laporan itu berkata, lelaki itu tidak segera melaporkan kejadian berkenaan kerana dia malu.

Laporan imbasan X-ray di Kolej Perubatan dan Hospital MKCG, Berhampur menunjukkan cawan itu ditemukan tersangkut di dalam ususnya.

NDTV India mengesahkan, pasukan doktor hospital terbabit mengeluarkan cawan itu selepas 10 hari perut lelaki itu mula membengkak kerana dia tidak membuang air besar sejak kejadian itu.

Doktor pada mulanya cuba mengambil cawan melalui rektum, tetapi mereka kemudian terpaksa menjalani pembedahan kerana saiz objek berkenaan besar.

Prosedur itu mengambil masa dua jam setengah

Lelaki itu kini pulih dan stabil serta masih dirawat untuk pemerhatian pihak hospital.

-hmetro 

Lebai pun boleh terkeliru dengan mubahalah

Malaysiakini 

Mubahalah buat Zuhdi tak yakin Najib benar-benar bersalah

Keberanian Najib Razak melafazkan sumpah mubahalah pada hujung minggu lalu menyebabkan seorang pemimpin PAS belum yakin belas perdana menteri itu benar-benar bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki berkata dia menghormati keputusan hakim di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan ke atas Najib semalam.

Pun begitu, kata Mohd Zuhdi, secara peribadi suara hatinya memberitahu Najib benar-benar melakukan kesalahan seperti yang dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

"Keberanian Najib untuk melakukan sumpah mubahalah - walaupun ia bukan sebahagian daripada proses perundangan - menyebabkan saya berpendirian sedemikian," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Zuhdi yang merupakan setiausaha politik kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menambah Najib banyak berjasa kepada negara, termasuk melaksanakan transformasi dasar dan amalan yang ditinggalkan Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Katanya dia yakin tanpa transformasi Najib itu negara akan kurang bersedia menghadapi pandemik Covid-19 baru-baru ini.

"Tidak dapat dinafikan, peranan Najib adalah besar untuk membuka perdamaian di antara PAS dan Umno yang telah bermusuhan begitu lama sebelum ini," kata anggota AJK PAS Pusat secara lantikan itu.

Bekas AJK PAS Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali pula menasihatkan semua pihak agar tidak mentertawakan Najib.

Tidak jadi tuntutan

Sebagai perdana menteri, katanya, Najib mempunyai jasa tersendiri kepada negara dan rakyat dalam tempoh puluhan tahun.

"Jangan menghina orang yang dijatuhkan hukuman kerana hukuman tidak menggugurkan penghormatan," katanya.

Ulama PAS yang terkenal, Ahmad Dusuki Abd Rani, pula tidak menyebut nama Najib secara khusus dalam salah satu hantarannya di media sosial.

Sebaliknyadia berkata pengadilan yang dilakukan di dunia ini "penuh kekeliruan."

"Antara mahkamah manusia dan mahkamah Allah, pengadilan Allah jualah penuh keadilan. Dunia ini penuh kekeliruan," katanya.

Untuk rekod Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pada 2019 memberitahu amalan mubahalah (sumpah laknat) tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan li'an.

Kata Zulkifli Mohamad yang menjadi mufti ketika itu istilah mubahalah (saling laknat melaknati) dikategorikan dalam sumpah membabitkan perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah palsu.

"Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes masih berjalan di mahkamah.

"Bahkan proses keadilan di mahkamah, tidak eksklusif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim," katanya.

Usah sedih! Banduan VIP diberi layanan berbeza, boleh akses internet atau tidur atas tilam berkualiti tinggi

AYHAN FERHAT

Umum mengetahui setiap banduan yang dihumban ke dalam penjara disediakan tempat yang sangat tidak selesa tetapi untuk banduan kelas VIP bukan seperti banduan biasa, layanan berbeza.

Apatah lagi banduan VIP yang pernah berjasa kepada negara dan rakyat sudah tentu dia ada hak keistimewaannya apatah lagi status banduan itu bekas perdana menteri.

Seorang wargnet D’eyo Adie (The Hustler) menjelaskan penjara atau bilik tahanan untuk VIP tidak sama seperti bilik banduan biasa.

Bilik penjara untuk VIP mungkin lebih baik daripada rumah orang awam di mana mempunyai akses yang lebih hebat diberi Tv, internet, buku , aircond atau tilam berkualiti tinggi.

“Jangan terkejut , Bilik penjara VIP mungkin aksesnya lebih hebat berbanding rumah orang awam.

“Diberi tv , internet , buku , aircond dan katil tilam berkualiti tinggi,” kata beliau.

Dari segi kos makan dan minum harian bagi banduan VIP, katanya tidak sama seperti banduan biasa atau orang awam.

Katanya, makanan dan minuman untuk banduan biasa berharga RM30 sehari untuk seorang, namun mungkin untuk banduan VIP boleh cecah RM100 ke RM150 sehari.

“Bergantung pada permintaan banduan VIP tersebut, yang akan mohon melalui peguam beliau. Dari segi kualiti bilik, akses dan keperluan harian.

“So kepada yang semua tengah sedih dan kecewa, jangan risau banduan VIP ni diberi layanan berbeza.

“Dan layanan berbeza tersebut , mungkin mewah berbanding kehidupan orang awam di luar sana.

“Dan 1 lagi, kalau anda yang tengah menyokong dan membela banduan VIP, kalau anda sendiri bersalah dan dimasuk ke penjara. Anda takkan dapat layanan PENJARA VIP sebab anda bukan VIP,” tulis beliau.

Najib berusia 23 tahun menjadi MP Pekan, 29 Tahun jadi MB Pahang, 56 Tahun jadi PM, 69 jadi banduan

Jatuh bangun Najib: Dari puncak kuasa ke penjara

Malaysiakini

Najib Razak, anak sulung kepada Tun Abdul Razak Hussein menggantikan Almarhum bapanya sebagai ahli parlimen Pekan pada 1976. Ketika itu dia baru berusia 23 tahun.

Bermula dari situ, dia dipersiapkan dan ditakdirkan untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara.

Dia menjadi menteri besar Pahang ketika berusia 29 tahun. Dia memegang jawatan itu sehingga 1986 apabila perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad melantiknya menjadi menteri kebudayaan, belia dan sukan.

Dia terus mendaki hirarki Umno dan kerajaan, memegang pelbagai kementerian kanan sebelum menjadi timbalan perdana menteri pada 2004.

Ketika itu, dia dikaitkan dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu namun siasatan polis membersihkannya daripada sebarang penglibatan.

Pada 2009, Selepas Abdullah Ahmad Badawi dipaksa berundur susulan prestasi buruk BN dalam PRU 2008, Najib menjadi perdana menteri - dengan restu Mahathir - di usia 56 tahun.

Najib melakukan pelbagai usaha untuk meraih keyakinan rakyat dengan meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin inklusif dan liberal. Ia termasuklah dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - satu tindakan yang mengundang kemarahan Mahathir.

Namun, walau dengan segala usaha itu, BN masih mengalami kekalahan teruk pada PRU2013 walau masih kekal sebagai kerajaan.

Pada 2015, skandal 1MDB pun meletup. Skandal itu mengubah seluruhnya nasib politik Najib dengan PRU 2018 menjadi kemuncaknya. BN buat pertama kali tewas dalam pilihan raya umum dan Mahathir kembali menjadi perdana menteri untuk kali kedua.

Jalan ke penjara

Pada 3 Julai 2018, dua bulan selepas PRU bersejarah itu, Najib ditahan polis.

Sehari kemudian, dia dibawa ke mahkamah dan dihadapkan dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana RM42 juta SRC International.

Pada 8 Ogos, tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram dihadapkan kepadanya.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, mendengar kes tersebut yang bermula pada 3 April 2019 sehingga 11 Mac 2020, dengan 86 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Seperti pendengaran kesnya yang lain, pendengaran kes ini ditangguh beberapa kali atas sejumlah sebab, termasuk jangkitan Covid-19 dan pernah sekali peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir ke mahkamah kerana cedera akibat digigit anjingnya.

Pada 28 Julai 2020, bekas perdana menteri itu didapati bersalah terhadap semua pertuduhan, dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Jika dia gagal melunaskan denda itu, hukuman penjara terhadapnya akan ditambah lima tahun lagi.

Namun, mahkamah membenarkan permohonannya agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada masa sama, dia kekal aktif dalam politik dan menjadikan media sosial sebagai medan utamanya untuk menyerang dan menyindir pembangkang dan malah berkempen untuk pilihan raya.

Pada 8 Disember 2021, dia menerima satu lagi "tamparan" apabila panel tiga hakim Mahkamah Rayuan selepas prosiding selama 15 hari menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Ketika itu, timbalan pendakwa raya V Sithambaram berkata keputusan itu telah membersihkan Nazlan, yang dipalitkan dengan dakwaan dan kritikan daripada pihak Najib.

Belum selesai buat Najib

Najib kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi pada hari sama. Dia juga sekali lagi mendapat penangguhan hukuman yang membolehkannya terus melibatkan diri dalam politik negara.

Pada 10 Jun lalu, Najib memfailkan usul untuk mendapatkan perbicaraan semula dengan mengemukakan bukti baru bagi menunjukkan Nazlan, kini bertugas sebagai hakim di Mahkamah Rayuan, perlu menarik diri daripada mendengar kesnya atas dakwaan konflik kepentingan.

Pada minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti baru. Peguam baru Najib juga gagal mendapat penangguhan pendengaran selama beberapa bulan, atas dasar mereka perlukan masa untuk membuat persediaan.

Susulan itu, Najib mengeluarkan kenyataan berkenaan bagaimana haknya untuk kebebasan dan mendapat perbicaraan yang adil telah dinafikan.

Pada 21 Julai lalu, permohonannya untuk menggunakan khidmat peguam diraja United Kingdom (UK) juga gagal apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan peguam tersebut, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib.

"Saya dapati tiada bukti menunjukkan Laidlaw ada lebih banyak pengalaman berbanding peguam di Malaysia. Saya berpadangan peguam tempatan mampu untuk mengendalikan kes seperti ini di semua peringkat mahkamah di Malaysia.

"Ini tidak mengabsahkan keperluan agar Laidlaw diterima atas dasar ad hoc selaku ketua pasukan pembelaan untuk rayuan di Mahkamah Persekutuan," kata hakim.

Namun, mimpi ngeri Najib di mahkamah belum berakhir.

Dia kini masih dibicarakan atas empat pendakwaan berkaitan menggunakan kedudukannya untuk mendapat rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram untuk jumlah yang sama.

‘Setakat ini sahaja daddy dapat bersama,’ Najib titip pesanan akhir buat keluarga

FMT Reporters

Bekas perdana menteri Najib Razak mengakui beliau kesal kerana tidak dapat bersama keluarga kerana terikat dengan tanggungjawab. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: “Setakat ini sahaja yang ‘daddy’ dapat bersama,” demikian antara pesanan terakhir dititipkan bekas perdana menteri, Najib Razak buat keluarganya.

Menerusi pesanan yang dikongsi di Facebooknya, Najib turut meluahkan kekesalan apabila beliau sentiasa tidak dapat bersama keluarganya kerana terikat tanggungjawab sebagai pemimpin selama 46 tahun berkhidmat.

“Perjalanan yang menggembirakan dengan kehadiran anda tetapi malangnya saya terlepas pandang dan tidak dapat sentiasa ada untuk anda.

“Satu perjalanan yang sedih sekali diserikan dengan kehadiranmu tetapi tidak terbalas oleh “daddy”,” menurut pesanan akhir yang ditinggalkan untuk keluarga.

Ungkapnya lagi, sebagai seseorang yang berpegang kepada ajaran Islam, beliau menerima dan tiada daya untuknya melawan takdir yang tertulis buatnya.

“Jika ditakdirkan ini perjalanannya dan dugaan Allah SWT, apalah daya daddy manusia dan hamba-Nya. Menanti keadilan dan penghakiman di mahkamah akhirat.

“Di dunia kita hidup sementara, dibangkitkan di akhirat, bersama-sama nanti kita bahagia semula di sana,” tulisnya.

Najib menjadi bekas perdana menteri pertama yang akan mula menjalani hukuman penjara, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya dalam kes SRC International.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Skandal LCS: Rafizi tunjuk lagi bukti kaitkan Latiff

Malaysiakini

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengemukakan lebih banyak bukti yang mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Ahmad dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut mempertahankan kenyataannya bahawa wanita yang menguasai dua syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengan projek LCS itu, merupakan isteri kepada Latiff.

Latiff semalam menafikan dakwaan bahawa Zainab Mohd Salleh, yang dikaitkan dengan syarikat Alizes Marine dan Alizes Marine Labuan ialah isteri keduanya.

Menurut Rafizi, sebuah syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd yang ditubuhkan bersama oleh Latiff dan Zainab pada Ogos 2015 memperoleh kontrak pertahanan bernilai jutaan ringgit.

Katanya, Mega P Asia disebut dalam laporan audit forensik sebagai syarikat yang membekalkan tenaga kerja dari Chile untuk projek kapal selam (Scorpene) membabitkan jutaan ringgit.

"Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr Latiff Ahmad bersama-sama Thierry Barrier yang masing-masing memegang satu saham semasa penubuhan.

“Ini mengukuhkan dakwaan bahawa Dr Latiff Ahmad terlibat di dalam skim penipuan menggunakan invois-invois palsu melibatkan Alizes Marine Limited, memandangkan invois-invois itu berkait dengan Thierry Barrier (seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Forensik Projek LCS).

"Thierry Barrier dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai salah seorang individu yang terlibat di dalam pemalsuan invois-invois Alizes Marine Limited menggunakan pelbagai alamat palsu di Perancis.

"Hubung kait di antara Dr Latiff Ahmad dengan Zainab Mohd Salleh diperkuatkan lagi apabila semakan pemilikan saham Mega P Asia Sdn Bhd menunjukkan Dr Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh merupakan pemegang majoriti saham-saham syarikat itu," jelas Rafizi.

Kuasai syarikat

Menurutnya, semakan dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati Latiff memegang 105,002 saham manakala Zainab memiliki 245,000 saham dalam Mega P Asia setakat 2017.

Rafizi berkata hal ini turut disokong oleh laporan kewangan Mega P Asia Sdn Bhd bagi tahun 2016 yang mendedahkan bahawa syarikat itu dikawal oleh Zainab.

"Bukti-bukti ini sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri (kedua) Dr Latiff Ahmad dan kedua-dua mereka terlibat di dalam Marine Alizes Limited yang dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai syarikat yang menyelewengkan sehingga RM210 juta dana dari projek LCS.

"Jika benar Zainab Mohd Salleh bukan isteri (kedua) Dr Latiff Ahmad seperti yang disebut di dalam Laporan Forensik Projek LCS, kenapa Dr Latiff memberikan saham majoriti dan membenarkan Zainab Mohd Salleh mengawal Mega P Asia Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkannya dan mendapat kontrak bernilai jutaan ringgit dari projek-projek Kementerian Pertahanan?” soal Rafizi.

Menurut Rafizi, Latiff cuba memutar belit kenyataannya untuk mengelirukan orang ramai dengan menafikan Zainab Mohd Salleh adalah isterinya.

Katanya, Latiff merujuk kepada kesilapan satu portal berita yang melaporkan bahawa Zainab Mohd Salleh yang terlibat di dalam projek LCS ini adalah Ketua Pegawai Kewangan Dialog Berhad, yang juga bernama Zainab Mohd Salleh).

"Saya tergelak kerana besar kemungkinan Dr Latiff Ahmad benar-benar ingat saya pun tersilap begitu juga.

"Zainab Mohd Salleh yang memiliki Alizes Marine Limited adalah seorang individu lain,” katanya.

Menurut Rafizi, dia juga mengesahkan kewujudan Zainab Mohd Salleh dengan menjejaki “digital footprint” di Facebook.

"Pada hari Dr Latiff Ahmad mengangkat sumpah sebagai menteri di dalam kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, salah seorang dari yang mengucapkan tahniah di posting Facebook Dr Latiff bertarikh 30 Ogos 2021 adalah Zainab Mohd Salleh.

"Isu yang wajib dijawab oleh Dr Latiff Ahmad (tetapi langsung tiada apa-apa maklum balas setakat ini) ialah pendedahan-pendedahan saya bahawa Zainab Mohd Salleh adalah pemilik syarikat-syarikat palsu Alizes Marine Limited yang menyelewengkan dana dari projek LCS.

"Apatah lagi apabila Laporan Forensik Projek LCS yang dinyahwarta semalam (dan kini boleh dibaca di laman Parlimen) secara terang telah menyatakan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr Latiff Ahmad," kata Rafizi.

Semalam Rafizi mendakwa Latiff dan Zainab sebagai "jerung besar" yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tidak memiliki kelayakan.

Rafizi berkata Latiff, yang kini merupakan pemimpin Bersatu, pada masa itu merupakan timbalan menteri pertahanan dari Umno, manakala Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengetuai kementerian itu.