"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Polis oh polis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Polis oh polis. Papar semua catatan

Kantoi: Sarjan polis wanita ditahan SPRM ketikat terima rasuah RM750

NIBONG TEBAL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini menahan seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan di Mahkamah Jawi di sini kerana dipercayai meminta rasuah.
Sumber berkata wanita berusia 36 tahun itu ditahan ketika sedang menerima wang sebanyak RM750 daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk membebaskan rakannya yang ditahan reman.

Beliau berkata anggota polis itu, yang dipercayai pegawai penyiasat kes rakan lelaki itu, berjanji akan membebaskannya jika dia membayar sejumlah wang.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, SPRM Pulau Pinang menjalankan siasatan dan risikan sebelum berjaya menahan anggota polis berkenaan di mahkamah itu.

"Ketika ditahan anggota polis berkenaan sedang menerima wang tunai daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk membebaskan rakannya daripada tahanan reman bersangkut kes dadah," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk M.Samarajoo ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

"Ya, memang ada seorang anggota polis wanita yang kita tahan dan siasatan lanjut masih dijalankan, jadi saya tidak boleh mengulas lanjut," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009.

Koperal dipenjara 100 bulan cabul kanak-kanak berusia 6 tahun

GEORGETOWN: Seorang anggota polis trafik berpangkat koperal dijatuhkan hukuman penjara 100 bulan oleh mahkamah sesyen di sini, hari ini kerana didapati bersalah mencabul seorang kanak-kanak perempuan dua tahun lalu.

Hukuman itu diarahkan berjalan bermula hari ini oleh hakim, Zainol Rashid Hussain.

Tertuduh yang berusia 55 tahun didapati bersalah melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berusia 6 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh tidak dikenakan hukuman sebatan kerana usianya sudah melebihi 50 tahun.

Cabul remaja, cif inspektor dihukum penjara 14 tahun dan 10 sebatan

Kota Bharu: Seorang pegawai polis berpangkat cif inspektor dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap tuduhan memaksa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun melakukan seks oral dan mencabul mangsa, empat tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu terhadap Ishak Mahmud, 49, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Ishak didapati bersalah memaksa remaja itu melakukan seks oral dalam sebuah kereta peronda polis Proton Perdana di Kampung Air Terjun Bentagor, Pasir Puteh, pada jam 2 pagi, 2 Oktober 2009.

Dia turut menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan remaja terbabit pada waktu, tarikh dan tempat sama.

Bagi tuduhan pertama mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Ishak dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan manakala bagi tuduhan kedua pula, dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan lima sebatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagaimanapun, Azman memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak berkuat kuasa, semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin mengendalikan kes pendakwaan manakala tertuduh diwakili Datuk Sukri Mohamed.

Sebaik hukuman dijatuhkan, Sukri memohon mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sebelum rayuan dikemukakan.

Beliau berkata, tertuduh sebelum ini pernah diikat jamin RM10,000 dan tidak pernah gagal hadir ke mahkamah.

Intan Nor Hilwani membantah dan menjelaskan tiada alasan untuk tertuduh dibenarkan berbuat demikian.

Selepas meneliti perkara itu, Azman membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu dengan menetapkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat penjamin mesti isterinya.
-hmetro-

Saksi dakwa lihat polis, samseng belasah lelaki bergari hingga mati

Saksi dakwa lihat polis, samseng belasah lelaki bergari hingga mati
SERDANG: Seorang pengawal keselamatan dalam keadaan bergari yang dikejar oleh empat anggota polis telah dibelasah hingga mati bersama-sama sekumpulan 20 orang samseng di Hulu Langat semalam, dakwa seorang saksi hari ini.

Walaubagaimanapun punca anggota polis cuba menahan mangsa berusia 40 tahun C Sugumaran masih belum diketahui.

Beliau didapati dalam keadaan berbogel dan bergari, menurut saksi.

Mayatnya pada ketika ini berada di Hospital Serdang dimana keluarga mangsa tidak dibenarkan untuk menjenguk.

Menurut saksi yang hadir di hospital hari ini, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.30 petang semalam.

Sugumaran dilihat melarikan diri daripada empat anggota polis di dalam dua buah kereta peronda di jalan utama yang berjarak lima minit dari rumahnya.

Keadaan trafik ketika itu sesak menyebabkan anggota terbabit memberhentikan kenderaan mereka dan mengejar Sugumaran dengan berlari.

Selepas menangkap dan mengari Sugumaran, hampir 20 orang daripada restoran berhampiran menyertai anggota polis tersebut dan meneruskan serangan keatas mangsa.

"Polis memijak leher Sugumaran," kata R Moohanarajan kepada The Malaysian Insider di Hospital Serdang hari ini.

"20 ke 30 orang ramai memakai baju biasa membelasah mangsa. Dia terbaring dengan tangannya bergari di belakang," tambah Moohanarajan yang merupakan jiran Sugumaran.

Saksi ditempat kejadian itu berkata insiden tersebut berlaku hampir 10 minit antara 6.30 petang semalam berhampiran tanah perkuburan Taman Perkasa di Batu 12, Hulu Langat.

Hampir 20 orang terdiri daripada keluarga Sugumaran, saudara dan jiran berkumpul di hospital sejak 9 pagi dan meminta untuk melihat mayat mangsa.

Emak mangsa, K. Manimagalay hanya dibenarkan untuk melihat mayat anaknya enam jam kemudiaan pada 3.10 petang.

Beliau teresak-esak menangis selepas keluar dari bilik mayat dan terpaksa ditenangkan oleh adik lelakinya.

Pertengkaran berlaku apabila Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam menjerit: "Gari masih dibadang. Celaka! Dah mati tapi masih gari."

Orang ramai mula menjerit marah dengan lima anggota polis cuba mengawal keadaan diluar.

Moohanarajan, seorang pengganggur berkata dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli permainan video telah melihat anggota polis mengejar Sugumaran kemudiaan membelasahnya, menggarinya dan kemudiaan membaling serbuk kunyit ke muka mangsa.

Beliau menambah polis foreksik hanya datang pada jam 11 malam untuk mengalihkan mayat mangsa ketika hujan turun.

Manimagalay berkata anak bongsunya Sugumaran tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

"Dia tidak pernah mencuri. Dia tidak membunuh sesiapa... Orang ramai berkata dia bergaduh dengan warga Nepal lagipun," kata beliau kepada wartawan.

Ibu kepada tiga anak tersebut juga berkata Sugumaran mengalami sakit mental tetapi tidak menyatakannya dengan jelas.

Rakan Sugumaran, T. Panirselvam berkata Sugumaran seorang yang panas dan sering bertindak secara melulu jika diusik.

"Mungkin dia tertekan," kata Panirselvam, sambil menambah ibunya sendiri pernah membuat laporan polis keatas Sugumaran beberapa tahun lalu tetapi tidak menyatakan puncanya.

Peguam keluarga Sugumaran, N. Surendran memberitahu hari ini selepas melihat mayat mangsa beliau mendapati kaki kiri mangsa tercedera dan terdapat banyak parut yang menunjukkan "dia telah ditolak jatuh".

Surendran juga menggesa siasatan segera oleh pihak polis dan menggantung tugas pegawai polis yang terlibat dalam insiden.

Keputusan bedah siasat masih belum lagi dikeluarkan pada ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kajang DSP Marzuki Mohd Mokhdar memberitahu akan memaklumkan kepada wartawan selepas bedah siasat selesai yang dijangkakan malam ini.

"Kami tidak akan sembunyikan apa-apa," kata beliau.
-malaysianinsider-

Dah tersebar gambar tarian separuh bogel, polis pun nak tunjuk warak

Ahmad Fadli KC
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata beliau terkejut dengan bentuk persembahan tarian oleh sekumpulan wanita dalam majlis makan malam ketika meraikan anggotanya pada 4 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob menjelaskan tarian itu tidak ditempah pihaknya dan ia dipersembahkan secara mengejut.
"Tarian yang dipamerkan itu bukanlah yang ditempah dan unsur ini tidak timbul semasa raptai.

"Perkara yang berlaku adalah secara mengejut tanpa izin penganjur," katanya.

Tambahnya lagi, penganjur telah membuat aduan dan meminta penjelasan secara peribadi berhubung isu berkenaan daripada pihak hotel tersebut.
NONE
Zahedi mengulas rakaman gambar tarian pada majlis 'Sekalung Budi Segunung Intan' anjuran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Shah Alam, yang dikesan berlegar di laman sosial.

Menurutnya juga, majlis itu dijalankan secara tertutup untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota pangkat rendah dan dihadiri anggota dan pegawai JSJ Shah Alam sahaja.

"Saya ingin tegaskan bahawa PDRM sejak kewujudannya tidak pernah menganjurkan majlis sebegini kerana ia bertentangan dengan teras budaya PDRM dan agama Islam," katanya.

Tarian separuh bogel di IPD Shah Alam. Ini jawapan Ketua Polis Selangor..

Anaksgderhaka 
Tersebarnya gambar penari separuh bogel sedang beraksi di atas dilaman FaceBook dan juga Blog menyebabkan pihak Polis Di Raja Malaysia, khususnya dari IPD Shah Alam dihujani kritikan.

Gambar tersebut telah dirakamkan di Majlis Malam Mesra, Sekalung Budi, Segunung Intan Jabatan Siasatan Jenayah IPPD Shah Alam.

Ada yang meminta penjelasan dari pihak Polis dan ada juga yang tanpa memberi peluang kepada pihak Polis menjelaskan keadaan terus mengkritik pihak Polis.

Malah oleh kerana gambar di atas disiarkan oleh kebanyakkan Blog-blog Pro Pakatan Rakyat maka secara automatik Blog-blog Pro UMNO mendakwa ianya adalah gambar super impose yang dilakukan oleh penyokong Pakatan Rakyat untuk memburuk-burukkan pihak Polis.

Bagaimanapun tuduhan Blog-blog Pro UMNO itu terjawab bilamana ada individu yang mengambil inisiatif untuk bertanya kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah melalui laman FaceBook beliau.

Beliau melahirkan rasa terkejut bila melihat gambar tersebut dan berjanji akan menyiasat perkara tersebut kerana menurutnya ini adalah satu pelanggaran tata susila PDRM dan mengucapkan terima kasih atas maklumat yang disampaikan kepadanya.

Dan setelah beberapa jam berlalu sekali lagi beliau mengeluarkan kenyataan hasil dari penyiasatannya mendapati "Pihak polis yg hadir (JSJ Shah Alam) juga terperanjat dgn pihak kebudayaan (mlm di Intekma) itu yg tlh membuat "show" sedemikian, namun tindakan disiplin terhadap mereka yg bertanggung jawab &cuai dlm menganjur. Polis Selangor tidak sekali kali menyokong kemungkaran sebegitu. Harap maklum."
Printscreen dari FaceBook Aszfia Haris

Itu penjelasan Ketua Polis Selangor...

Tahniah buat Tun Hisan.. dalam kesibukannya beliau masih punya masa untuk melayan persoalan yang ditimbulkan..

Kesimpulannya disini ialah.. mereka manusia dan kita juga manusia.. yang membezakan antara mereka dan kita hanyalah uniform yang mereka pakai..

Sebagai manusia, cuai adalah sebahagian dari sifat semula jadi yang ada dan kita juga tidak mungkin lari dari kesilapan kerana kita manusia bukanlah sempurna.. jadi janganlah belasah pihak Polis teruk sangat.. agak-agak sudahlah..

Lagipun... bukannya semua mereka tu menyokong UMNO/BN..

Remaja mahu sambut hari lahir mati ditendang polis

Aedi Asri
PETALING JAYA, 31 Dis: Seorang lagi mangsa kekejaman polis ketika menjalankan tugas. Kali ini, Mohd Azrul Zulkifli, 19, meninggal dunia akibat ditendang polis berpakaian preman.

Kejadian berlaku berhampiran Petaling Jaya Selatan sekitar 3 pagi 25 Disember lalu.
Rakan mangsa, Asmawi (gambar), 28, berkata, Mohd Azrul dan kira-kira sembilan lagi rakan lain yang membonceng lima motosikal ketika itu dalam perjalanan ke pusat karaoke sempena hari jadi mangsa.

“Ketika lalu di jalan gelap, tiba-tiba dua motor tahan mereka. Mereka lari sebab takut ada orang cuba ragut atau rompak mereka. (Lagi pun) mereka berpakaian biasa,” katanya menceritakan semula kejadian itu selepas dihubungi salah seorang rakan yang terselamat.

Menurut Asmawi, polis yang mengejar berjaya menahan sebahagian dari mereka, manakala mangsa dan rakannya, Khairul Azri Sham Abu Kasim, 22, yang menaiki motor Honda EX5 sempat melarikan diri.

“Awalnya jarak mereka dengan polis lebih kurang 500 meter. Tapi polis pakai (motor) Yamaha 135 LC, mesti dapat kejar. Kemudian polis tendang mereka. Arwah meninggal sebab kepala terhentak pada divider jalan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Beliau kesal laporan akhbar menyatakan Mohd Azrul meninggal akibat terlanggar pokok, dan polis kononnya gagal mengejar mereka.

Memetik laporan Malay Mail 28 Disember lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Tuah Masrom berkata, siasatan awal mendapati motorsikal Azrul hilang kawalan dan terlanggar pokok, dijumpai selepas polis meneruskan rondaan.

Pagi tadi, bapa Mohd Azrul, Zulkifli Hashim, 49, bersama Khairul Azri ke IPD Petaling Jaya untuk memberi keterangan.
Mereka diiringi Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan peguam keluarga mangsa, Yusmadi Yusoff.

Siasatan mesti telus, adil

Yusmadi dalam sidang media selepas itu mempersoal kenyataan polis berhubung kes berkenaan sebelum siasatan lengkap dibuat.

“Ini tidak wajar. Ia hanya boleh disimpulkan selepas siasatan selesai…Kita harap kehadiran saksi utama, Khairul Azri yang ada di tempat kejadian mampu bantu siasatan.

“Kita lihat apa kesimpulan polis, (antaranya) dari segi punca kematian. (Selepas itu) Kita akan ambil tindakan sesuai, seperti tindakan sivil jika ada asas,” jelas Ahli Parlimen Balik Pulau itu.
Bapa mangsa mahu polis bertanggungjawab menyebabkan kematian anaknya.

Akhirnya pembunuh Aminulrasyid dibebaskan. Adakah perbicaraan kes ini cuma satu sandiwara?


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan Koperal Jenain Subi daripada tuduhan menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan sedemikian selepas menerima rayuan Jenain, 49, terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada September tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Abdul Rahman juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Pada 13 Sept tahun lepas, Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah melakukan kesalahan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
-Bernama-

Lagi anggota polis merogol

Wanita Indonesia dakwa dirogol tiga anggota di balai polisBUKIT MERTAJAM: Seorang pekerja kedai makan warga Indonesia mendakwa dia dirogol tiga anggota polis di sebuah balai polis dekat sini semalam.
Mangsa berusia 25 tahun mendakwa ditahan oleh tiga orang anggota polis berusia lingkungan 20-an sehingga 30-an pada jam 6.20 pagi di Perai dan kemudian dibawa ke balai polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Hanafi yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut lunas perundangan jika benar dakwaan itu.

Menurut mangsa, ketika ditahan dia berada dalam kereta sewa bersama seorang pemandu teksi tempatan selepas menghantar seorang rakan perempuannya yang tinggal di kawasan itu .

“Tidak lama selepas itu, sebuah kereta peronda polis jenis proton Wira menahan kereta yang kami naiki dan dua anggota polis yang memakai uniform polis meminta kami menunjukkan kad pengenalan.

“Ketika itu, saya hanya membawa salinan pasport. Jadi, anggota polis itu tidak mahu menerima salinan pasport dan mengatakan akan membawa kami ke balai polis.

“Bagaimanapun, saya merayu kepada dua anggota polis ini dan meminta mereka melepaskan pemandu teksi yang ketika itu digari,” katanya yang ditemui di Pejabat MCA Bukit Mertajam, pagi tadi.

Turut hadir, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Bukit Mertajam, Lau Chiek Tuan dan Pengerusi Wanita MCA Bukit Mertajam, Goh Swee Gim.

Ibu tunggal saman polis didakwa tembak secara salah

Seorang ibu tunggal memfailkan saman terhadap seorang anggota polis, Ketua Polis Daerah Sentul, dan dua lagi berhubung dakwaan kejadian menembak secara salah terhadapnya di Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2) di ibunegara dua tahun lepas.

Norizan Salleh, 23, memfailkan saman tersebut melalui Tetuan Daim Gamany & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi semalam.

Beliau menamakan anggota polis itu hanya sebagai Mohd Firdaus yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul sebagai defendan pertama, Ketua Polis Daerah Sentul defendan kedua, dan Ketua Polis Negara defendan ketiga.

Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan keempat.

Menerusi pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa ketika kejadian, dia bersama tiga lagi rakannya berada di Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2), tiba-tiba muncul sebuah kereta peronda polis sambil seorang anggota mengeluarkan sepucuk senjata api dan mengacukannya ke arah kenderaan mereka.

Beliau mendakwa, kereta itu yang dipandu oleh rakan Norizan telah dikejar dan tembakan bertubi-tubi dilepaskan dari kereta peronda tersebut dan salah seorang polis tersebut adalah defendan pertama.

Ibu kepada seorang anak itu, mendakwa anggota polis berkenaan bukan sahaja menendangnya yang cuba keluar dari kereta tersebut untuk meminta pertolongan, malah ketika berjaya keluar dari kereta tersebut, defendan pertama didakwa turut memijak belakangnya dan menyebabkan jatuh tersungkur.

Katanya, dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan selama empat hari sebelum dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN), selama sembilan hari.

Dia mendakwa, kejadian tersebut yang berpunca daripada sifat cuai,
terburu-buru, tidak kisah, tidak mengikut prosedur yang betul dan sah dan/atau tanpa justifikasi yang sah dan munasabah dari pihak defendan.

Norizan yang diwakili peguam Latheefa Koya, memberitahu berdasarkan laporan perubatan terdapat dua kesan luka di pergelangan tangan kanan selain luka tembakan di bahagian dada manakala laporan x-ray menunjukkan ada kesan peluru menembusi paru-parunya.

Akibat daripada kejadian itu, Norizan berkata, beliau mengalami kesukaran untuk membuat kerja-kerja yang berat ataupun untuk tempoh masa yang lama, dan telah kehilangan peluang pekerjaan untuk menyara hidupnya.

Selain menuntut gantirugi khas iaitu perubatan yang belum dijelaskan
sebanyak RM18,161, wanita itu turut menuntut gantirugi am, gantirugi teruk dan/atau ganti rugi teladan, faedah lapan peratus, kos dan sebarang relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
- Bernama-

Konstabel mabuk tembak pelayan

FIRDAUS HASSAN
DI pub inilah seorang anggota polis melepaskan tiga das tembakan sehingga mencederakan seorang pelayan di Padungan, Kuching kelmarin.
KUCHING: Seorang anggota polis berpangkat konstabel berusia 21 tahun berlagak samseng apabila dengan selamba melepaskan tiga das tembakan selepas gagal mengawal emosi ketika bertengkar dalam keadaan mabuk di sebuah pub di kawasan hiburan Travilion Mall, Padungan di sini semalam.

Kejadian pukul 3 pagi itu mengakibatkan seorang pelayan premis cedera apabila terkena serpihan peluru di lehernya.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila anggota yang bertugas di Bahagian Tugas Am Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman itu pergi berhibur di premis berkenaan bersama seorang rakannya selepas menyertai satu operasi di Serian. Anggota itu menyertai pasukan polis sejak lebih setahun lalu.

Pegawai polis dicekup khalwat dengan isteri seorang pegawai polis

PADANG BESAR: Hasrat seorang pegawai kanan polis yang ingin bermadu kasih bersama kekasih gelapnya yang juga isteri seorang pegawai polis musnah selepas dia diserbu Bahagian Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Suspek juga disahkan positif mengambil dadah.

Suspek yang berpangkat Inspektor berusia 30 tahun itu dicekup ketika sedang berdua- duaan kira-kira jam 3 pagi dalam keadaan mencurigakan di rumah isteri rakan yang berusia 38 tahun di sebuah taman perumahan di sini.

Difahamkan, serbuan yang dilakukan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis itu juga mendapati suspek positif dadah selepas membuat saringan air kencing ke atasnya.

Ujian sama juga dilakukan kepada teman wanitanya itu, namun disahkan negatif dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek berpangkat Inspektor di Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar itu kini direman polis bagi tindakan selanjutnya.

Kita patut bangga dan mengucapkan syabas kerana kecekapan tiga anggota polis dalam kes ini

AZIZAN INCHE HARUN
duit syiling
Duduk, dari kiri: Chon Sin, Kok Yong bersama Song Tuck (berdiri, kanan) berbincang dengan tiga saksi yang berada di tempat kejadian pada malam kejadian terbabit.
JOHOR BAHRU: Mangsa pecah rumah di Taman Munsyi Ibrahim, di sini kesal apabila tiga beg berisi wang tunai dan barang kemas hanya diisi dua botol berisi duit syiling dan tiga botol air burung walit ketika membuat tuntutan di balai polis Tampoi.

Mangsa, Lim Kok Yong, 58, berkata, kejadian rumahnya dipecah masuk kira-kira jam 8.45 malam pada 19 Mei lepas ketika dia bersama empat ahli keluarga lain menghadiri jamuan di Singapura.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dia mendapati wang tunai berjumlah RM23,000 dan AS$1,500 telah hilang termasuk barang kemas yang berharga lebih kurang RM80,000, empat telefon bimbit, dua botol besar berisi duit syiling dan buku akaun bank.

“Bagaimanapun saya terkejut apabila membuat tuntutan di balai polis Tampoi keesokannya, saya hanya diberikan tiga beg berisi dua botol berisi duit syiling dan tiga botol air burung walit.

Sedangkan jiran telah memberitahu saya bahawa dua pencuri yang memecah masuk rumah saya meninggalkan tiga beg barang curi berisi wang tunai dan barang kemas yang kemudiannya telah dibawa tiga anggota polis ke balai,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Wakil tiga saksi yang berada di tempat kejadian yang ingin dikenali sebagai Amirul berkata, dua perompak meninggalkan tiga beg barang curi berhampiran sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu milik mereka selepas dikejar beberapa orang penduduk.

Menurutnya, tiga anggota polis yang lengkap berseragam telah memasukkan tiga beg yang jelas dapat dilihat berisi wang tunai dan barang kemas ke dalam bonet kereta peronda sebelum membuat pemeriksaan ke dalam rumah yang telah dipecah masuk.

“Kami pada mulanya terkejut apabila salah seorang anggota polis itu membuka salah satu beg hasil curi berkenaan dan menyerahkan kepada kami sampul berisi wang berjumlah RM70 seorang.

“Katanya sebagai upah menjaga beg berkenaan, tapi tak sangka wang tunai dan barang kemas itu tidak sampai ke balai apabila pemiliknya hanya diberikan botol duit syiling dan air burung walit,” katanya.

Sementara itu, peguam, Lim Chon Sin berkata, pihaknya telah menghantar surat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk mengetahui perkembangan siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, pihak polis telah membalas surat berkenaan pada 4 Julai lepas meminta sedikit masa lagi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Dari Mei hingga sekarang sudah lebih tiga bulan kita masih belum menerima apa-apa maklum balas, sedangkan mengikut prosedur sebenar kertas siasatan boleh disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

“Pihak polis tidak mengikut prosedur yang betul kerana tidak membuat senarai bongkar terhadap barang-barang yang dijumpai di tempat kejadian sebelum dihantar ke balai polis,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck berkata, pihaknya berharap Ketua Polis Negeri dapat mengambil tindakan secepat mungkin terhadap kes yang tidak sepatutnya berlaku itu.

“Kita minta kes ini disiasat secara adil kerana mangsa mempunyai saksi yang cukup untuk membuktikan semua barangan curi tidak sempat dilarikan, sebaliknya dimasukkan bonet kereta peronda.

“Kita tidak mahu orang awam tidak lagi percaya kepada pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan dan keamanan negara,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Ruslan Hassan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya pada minggu hadapan.

Ke mana hilang wang saya

ROSDALILAH ZAHARI
yoke Wai (kiri) menunjukkan dokumen berkaitan perkara tersebut.
BUKTI...Yoke Wai (kiri) menunjukkan dokumen berkaitan perkara tersebut.
IPOH: Seorang kerani masih mahu mencari jawapan misteri kehilangan wang kiriman berjumlah RM5,000 yang dihantar bapanya dari New Zealand sejak sembilan bulan lalu.

Mangsa, Tang Yoke Wai, 18, berkata, walaupun perkara itu sudah berlalu sejak sembilan bulan lalu, dia masih tidak berpuas hati kerana tiada maklum balas yang diterima daripada pihak berkuasa walaupun dia sudah membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Dia yang kini bertugas sebagai pembantu kerani di sebuah sekolah muzik di sini mendakwa wang kiriman itu tidak sampai ke tangannya sebaliknya dikeluarkan oleh individu lain di sebuah Pejabat Pos, Puchong, Selangor pada 27 Disember lalu.

Terdahulu, Yoke Wai berkata, bapanya sudah memaklumkan kepadanya mengenai kiriman wang tersebut yang menggunakan khidmat sebuah agensi pemindahan wang.

Katanya, selepas sehari wang itu dimasukkan, dia ke agensi tersebut untuk mengeluarkannya selepas menerima nombor kawalan pemindahan wang (MCTN) daripada bapanya.

“Malangnya, ketika saya sedang melakukan urusan di agensi tersebut, mereka memberitahu saya tidak dibenarkan mengeluarkan wang kerana masih di bawah umur.

“Namun, saya mempertikaikan perkara itu memandangkan saya sudah mengisi dan menandatangani dokumen berkaitan serta mempunyai MCTN tetapi masih tidak menerima wang kiriman tersebut,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Akibat tidak berpuas hati, Yoke Wai kemudiannya ke pejabat pos di sini untuk mengeluarkan wang berkenaan tetapi dimaklumkan wang itu sudah dikeluarkan oleh orang lain.

“Lebih mengejutkan wang itu dikeluarkan di Puchong sedangkan saya tak pernah ke sana.

“Saya segera membuat laporan polis di Balai Polis Bercham supaya mengesan individu yang mengeluarkan wang tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, dia mendakwa, sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan dibuat termasuk daripada agensi pemindahan wang itu malah, dia juga tidak dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan oleh polis.

“Saya terkilan, selepas sembilan bulan berlaku tiada perkembangan terbaru mengenainya.

“Bagi saya wang itu cukup berharga. Saya bercadang menggunakannya bagi mendaftar kursus masakan.

“Tetapi, hasrat itu terpaksa dilupakan apabila wang yang dikirim bapa tidak kunjung tiba,” katanya yang berharap kes itu diselesaikan segera.
-sinarharian-

*sorry dik polis sibuk mengendap ahli dan pemimpin PR, takde masa nak siasat kes nj

Mangsa tak bersenjata, tapi polis tembak berkali-kali – Saksi

Mohd Martin Kahar
PETALING JAYA, 27 Ogos: Saksi tembakan rambang polis ke atas ahli perniagaan, D Dinesh, 26, memberitahu, mangsa tidak memiliki senjata ketika dikepung, juga tidak menyerang polis sebelum dia ditembak mati.

Mosas Kanesan, 23, yang berada beberapa meter di belakang Dinesh mendedahkan, ketika mangsa dikepung, polis preman melepaskan beberapa tembakan hingga terkena leher mengsa.

Menurutnya, pada kejadian 21 Ogos lalu itu, Dinesh yang merupakan anak bongsu ditembak sekumpulan anggota polis terbabit ketika dalam perjalanan untuk makan malam bersama enam lagi rakannya.

Beliau berkata, dua buah kereta Proton Wira dan Waja mengekori mangsa sebelum menyekatnya di hadapan lampu isyarat berhampiran Ampang Waterfront.

“Saya berada selang satu kereta di belakang mangsa. Ketika itu lampu merah. Tiba-tiba kereta Dinesh disekat. Ada seorang keluar dari salah satu kenderaan.

“Dinesh kemudian keluar dari keretanya dan ketika tembakan dilepaskan, mangsa berlari semula ke kereta. Lelaki itu terus melepaskan tembakan rambang.

“Saya terus memecut tetapi satu peluru terkena kereta saya. Cara dia menembak, kelihatan seperti mahu membunuh seseorang.

Jika saya tahu mereka adalah polis, saya tidak akan lari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran; Ahli Parlimen Subang R Sivasara; Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya dan beberapa anggota keluarga Dinesh.

Versi polis

Polis bagaimanapun mendakwa dalam kejadian jam 2.00 pagi itu, mangsa dan beberapa rakan lain cuba meyerang polis menggunakan parang dan besi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazri Nawawi mendakwa, mangsa adalah anggota kumpulan Geng Viva Nanda 36 diburu polis berikutan terbabit dalam kejadian pergaduhan dengan kumpulan lain di kawasan Flat 700, Pandan Indah.

Nazri mendakwa, pihaknya melancarkan gerakan mengesan suspek terbabit susulan laporan mengenai pergaduhan bersenjatakan parang di flat berkenaan hingga mencederakan tiga individu.

Dakwa Nazri lagi, dua kereta terbabit berjaya dihalang dan dikepung namun sekumpulan lelaki keluar dari kenderaan itu dan cuba menyerang anggota polis dengan bersenjatakan parang, besi dan buluh.

Akibat tembakan itu, Dinesh dikejarkan ke Hospital Ampang sebelum meninggal dunia dua hari kemudian selepas mengalami pendarahan otak. Dalam kejadian itu polis menahan empat lelaki.

Dinesh tak pernah terlibat jenayah

Seorang lagi saksi, Y Ilavarasen, 24, yang berada dalam kereta berlainan, menolak dakwaan kononnya Dinesh adalah kumpulan Geng Viva Nanda 36, sebaliknya menegaskan mangsa merupakan remaja yang baik dan tidak pernah terlibat jenayah.

Ilavarasen berkata, pada malam kejadian, mereka merancang untuk makan malam di sekitar Ampang selepas mendapat panggilan daripada Dinesh.

“Kami belum memutuskan untuk makan di mana. Mungkin di Restoran Steven Corner. Kami hanya mengekori kereta Dinesh untuk ke sana,” katanya.

Bapa mahu pembunuh dihukum setimpal

Sementara itu, bapa Dinesh, W Darmasena menggesa polis melakukan siasatan kematian anaknya dan mahu pembunuh tersebut diheret ke muka pengadilan.

“Saya mahukan keadilan untuk anak saya! Saya mahu mereka yang menembak anak saya dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
-keadilandaily-

NAZLI IBRAHIM 
PETALING JAYA: Saksi kejadian anggota polis menembak mati lelaki yang tidak bersenjata di persimpangan lampu isyarat Lebuh Raya Pandan Permai di Ampang, tampil di Ibu Pejabat PKR sebelum membuat satu laporan polis hari ini.

Laporan polis tersebut dibuat bagi menjelaskan situsi sebenar kejadian pada 21 Ogos lalu seperti yang dilihat sendiri oleh kedua-dua saksi tersebut.

Saksi kejadian, Moses Kanesan, 23 memberitahu, kejadian yang berlaku di antara jam 1.00 hingga 2.00 pagi itu terjadi ketika beliau bersama mangsa, Dinesh Darmasena Wijemanna, 26, Nelawarasan A/L Yoakanathan, 24, dan seorang lagi rakan mangsa dalam perjalanan menuju ke kedai makan.
Menurutnya lagi, ketika dua kereta yang dinaiki mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat di Lebuhraya Pandan Permai, dua kereta lain berhenti secara mengejut dan membuat halangan terhadap kereta yang dinaiki oleh Dinesh.

Menurut seorang lagi saksi, Nelawarasan, Dinesh dilihat turun dari kereta yang dinaikinya dan menuju ke arah anggota polis tersebut tanpa membawa sebarang senjata seperti yang didakwa polis minggu lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa minggu lalu, Dinesh bersama empat lelaki lain dikatakan bertindak keluar dari kenderaan yang dinaikinya dengan bersenjatakan parang dan batang besi untuk menyerang anggota polis tersebut.

Nelawarasan menambah, ketika itulah kira-kira 10 hingga 15 das tembakan mula dilepaskan oleh anggota polis.

Dalam suasana panik tersebut, Dinesh dilihat berpatah menuju ke kereta yang dipandu oleh rakannya itu bagi mengelak dari terkena tembakan polis.
Selain itu, menurut Nelawarasan yang merupakan rakan mangsa, polis yang terlibat dalam kejadian tersebut langsung juga tidak menggambarkan bahawa mereka adalah anggota polis.

“Mereka menaiki kereta biasa, tiada logo polis, tidak berpakaian seragam dan tidak memberi amaran atau membuat tembakan amaran ke udara terlebih dahulu.

“Saya dapat lihat secara tiba-tiba anggota polis tersebut melepaskan tembakan secara berterusan dan melulu.

“Cara mereka memang tak menggambarkan mereka anggota polis sama sekali,” kata Moses dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR.

Dinesh yang cedera parah dalam kejadian tersebut meninggal dunia selang sehari kemudian, 23 Ogos baru-baru ini.

Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Tropicana yang berhampiran Ibu Pejabat PKR sebentar tadi, Nelawarasan juga menuntut agar satu siasatan bebas dapat dijalankan oleh polis.

Dalam isu sama, Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, kejadian yang menimpa Dinesh itu adalah kejadian tembakan melibatkan polis yang pertama kali mempunyai saksi.

“Ini bukan kejadian pertama melibatkan orang awam tertembak, tapi ini yang pertama mempunyai saksi orang awam yang melihatnya,” kata beliau.

Beliau turut memberitahu, sama seperti sebelum ini, polis telah menggunakan alasan sama iaitu diserang dengan menggunakan parang bagi menghalalkan tindakan polis menembak mana-mana suspek.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pula memberitahu dalam satu jawapan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat sebelum ini, seramai 279 orang telah ditembak mati oleh pasukan PDRM dari tahun 2000 hingga 2009.

Dari jumlah tersebut, 42 orang adalah berketurunan Melayu, 59 India, 54 Cina 113 warga Indonesia, Vietnam 5, 1 Filipina, 1 Negro dan 3 Pribumi.
-selangorku-

Dibelasah kerana rakam keganasan polis

Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR, 24 Julai: Seorang peserta yang sempat merakam pelbagai bentuk kezaliman polis dalam himpunan 28 April lalu turut dibelasah hingga terpaksa menerima jahitan di telinganya.
Lee Teck Yew, 39, hadir sebagai saksi kedua dalam sidang kelima siasatan awam Bersih 3.0 oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

“Saya sedang merakam aksi beberapa polis membelasah orang awam, tiba-tiba polis itu perasan, lalu mereka terus datang menyerang saya,” kata Lee.

Isteri Lee yang turut hadir dalam himpunan itu ditolak ketepi oleh polis lantas membelasah dan membawa Lee ke Dataran Merdeka sebelum ditahan di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

“Saya dibebaskan dari Pulapol lebih kurang jam 1.00 pagi dan saya terus ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan,” jelasnya.

Lee menerima empat jahitan di belakang telinga dan menderita sakit siku hingga sekarang akibat ditolak polis ketika dalam perjalanan ke Dataran Merdeka.

Video: Polis pukul pekerja hotel guna buntut pistol

Lee Way Loon
NONESeorang inspektor polis didakwa telah memukul dua pekerja hotel dengan buntut pistol selepas bertengkar dengan salah satu pekerja di Seremban semalam.

Kejadian itu dirakam oleh CCTV hotel tersebut dan pihak pengurusannya telah menyerahkan video itu kepada Ahli Parlimen DAP Rasah, Anthony Loke, yang kemudian memuat-naik video itu dan berkongsinya di laman Facebook beliau. (Bahagian 1,Bahagian 2)

Menurut Loke, inspektor tersebut telah pergi ke hotel berkenaan pada awal pagi semalam dan menginap di sebuah bilik sebelum membeli ais krim dari hotel tersebut.
Dipercayai inspektor tersebut terbabit dalam pertengkaran dengan salah seorang pekerja hotel (yang memakai topi dalam video) mengenai harga ais krim, yang seterusnya membawa kepada kejadian tersebut.

Loke memberitahu Malaysiakini bahawa inspektor tersebut telah memukul pekerja berkenaan dengan buntut pistol dan menariknya ke sebelah lain hotel dan dipukul lagi.

Polis pijak wanita yang cedera - saksi

S Pathmawathy
Seorang saksi mendakwa polis "memijak" seorang wanita yang berada di atas lantai dan menjerit kesakitan" di sebuah premis bank dalam satu insiden ketika perhimpunan BERSIH 3.0.

Bercakap dalam pendengaran awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia hari ini, saksi berkenaan mendakwa, tindakan itu menyebabkan wanita berkenaan mengalami kecederaan di tangannya.

Kejadian itu didakwa di premis bank dalam bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

S Kumar, 45, yang memberikan pertolongan kepada wanita berkenaan mendakwa, wanita tersebut tidak boleh bernafas ketika berada di atas lantai dan beliau memegang wanita itu dalam keadaan duduk.

Dakwanya, wanita yang tidak dikenali itu terjatuh ketika berada di luar bangunan dan dibawa masuk ke ruang yang menempatkan mesin teller automatik bank tersebut.

Dakwanya lagi, sekumpulan individu telahpun berlindung di dalam ruang berkenaan untuk mengelak daripada gas pemedih mata yang dilepaskan untuk menyuraikan kumpulan peserta perhimpunan di kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Saya dipukul lebih teruk lagi oleh polis kalau menjerit sakit

Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 8 Mei: "Sepanjang 300 meter perjalanan saya ke Kelab Diraja Selangor, saya dipukul oleh pihak polis tanpa ada perasaan belas kasihan, jelas mangsa kekejaman polis pada Himpunan Bersih 3.0, Nour Islam Niamat, 30.


Nour Islam yang juga merupakan aktivis NGO, Jingga 13 memberitahu beliau ditahan oleh pihak polis ketika berada hampir dengan pengadang jalan di Dataran Merdeka dan ketika itu beliau hanya meninjau keadaan di sana tanpa melakukan apa-apa provokasi.

"Ketika saya hampir di Dataran Merdeka lebih kurang pukul 5 petang, saya tidak mendengar pun arahan pihak polis meminta peserta Bersih bersurai malah mereka terus bertindak dengan menyembur air serta menembak gas pemedih mata.

"Dalam keadaan saya berada di barisan paling hadapan maka menyenangkan pihak polis menahan saya dan dalam keadaan saya baru ditahan tiba-tiba datang sembilan hingga sepuluh orang anggota polis ke arah saya dan telah bertindak memukul, menendang serta menumbuk saya," jelasnya.

Nour Islam yang menceritakan peristiwa tersebut memberitahu beliau telah berjalan hampir 300 meter dan melalui trak-trak polis yang dipenuhi anggota polis untuk ke Kelab Diraja Selangor

"Saya telah dibawa melalui trak-trak polis dan ketika melalui trak tersebut terdapat lebih kurang 200 orang anggota polis yang berbaris di situ, saya telah dipukul dan ditendang oleh polis-polis yang berada berhampiran trak itu.

"Setiap seorang dari mereka tidak melepaskan peluang memukul saya, saya terpaksa tempuhi mereka sikap kejam mereka tanpa boleh dielak langsung malah mereka terus tumbuk serta terajang saya tidak kira di muka mahupun di perut," sambung beliau lagi.

Menurutnya lagi setiap kali beliau dipukul polis mengarahkan beliau senyum dan jangan menjerit kesakitan, jika beliau menjerit sakit polis mengatakan beliau melawan dan akan dipukul dengan lebih teruk lagi.


"Apabila saya sampai di tempat tahanan tidak ada Ambulan mahupun pegawai kesihatan yang menunggu, apabila saya bertanya di mana pihak kesihatan mahupun Ambulan.


"Pihak polis cuba mengelak untuk menjawab dan mereka melengah-lengahkan untuk memanggil ambulans walaupun terdapat peserta yang cedera teruk sehinggakan ada mereka yang hampir pengsan," cerita beliau lagi.

Beliau yang mendapat tiga jahitan di dahi akibat ditendang oleh polis itu menjelaskan ketika dipukul pihak polis mengarahkan beliau tunduk serta tidak boleh melihat polis-polis yang memukulnya.

"Saya langsung tidak boleh melihat muka-muka polis yang memukul saya kerana anggota polis memegang kepala saya kebawah tanpa memberi peluang saya mengangkat kepala saya.

"Ketika saya jatuh pun polis meminta saya tundukan kepala dan jangan sesekali cuba melihat siapa yang memukul saya, namum saya perasaan setiap anggota polis yang bersikap kejam itu tidak mempunyai nombor polis dan yang ada hanyalah nama. Saya tak pasti siapa sebenarnya mereka," tegasnya.

Beliau yang mengalami cedera yang teruk itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas sejam beliau dipukul untuk mendapat rawatan.

"Pihak hospital telah membuat pemeriksaan keatas saya termasuk menjahit luka di kepala saya, mereka juga turut melakukan pemeriksaan x-ray bagi mengetahui kecederaan dalaman akibat tendangan yang kuat dari pihak polis.

"Setelah selesai melakukan pemeriksaan saya telah membuat laporan polis di Balai Polis yang berada di HKL termasuk menyerahkan laporan perubatan dari pihak hospital," tambahnya lagi.

Namum beliau bersyukur apa yang dialami olehnya direstui oleh Ibunya dengan menyifat ia adalah maruah diri dalam memperjuangkan kebaikan.