Ahmad Lutfi Othman
Tumpuan saya -- sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini -- masih terfokus kepada Himpunan Black 505, di Padang Merbok, agar ia dapat mencatat sejarah, terutajma dari segi jumlah kehadiran, dan dengan itu memberikan tekanan semaksimum mungkin kepada elit pemerintah untuk segera melakukan perubahan menyeluruh ke atas sistem dan proses pilihan raya di negara ini.
Sepatah kata Pengerusi Bersama Bersih 2.0, A Samad Said: "Kita merayu supaya ahli-ahli (penyokong Pakatan Rakyat) lebih banyak untuk menyertainya." Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat juga memutuskan menyokong perhimpunan tersebut. "Kita boleh reda dengan kekalahan kita tetapi kita tidak diizinkan untuk reda dengan penipuan dan maksiat," kata Naib Presiden PAS, Husam Musa, yang menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS turun ke lokasi.
Ya, ini bukan kali pertama perhimpunan seumpama itu dianjurkan. Agak saya kali kelima; membawa mesej dan tuntutan yang sama tapi seperti tidak dipedulikan walaupun penguasa cuba menunjukkan sikap proaktif dengan menampilkan, misalnya penggunaan dakwat kekal yang kemudiannnya terbukti mudah ditanggalkan, dan akhirnya diakui sendiri oleh Pengerusi SPR. (Dan Pak Samad mencadangkan, Abdul Aziz Mohd Yusuf secara terhormat meletakkan jawatan atas pengakuannya itu).
Apa pun perbedaan tanggapan terhadap reaksi keputusan PRU13, acara 22 Jun itu harus diusahakan sebaik mungkin supaya dapat mencapai sasaran, iaitu bukan hanya berkumpul santai atau berarak di sekitar Padang Merbok dan Tasik Perdana, tetapi perlu membayangkan impak positif terhadap amalan demokrasi yang selama ini berjalan penuh ketempangan. Target utama: Hitamkan seluruh ibu kota petang Sabtu ini.
II.
Sabtu lalu, saya ke Melaka, memulakan kunjungan ke negeri-negeri, melihat realiti politik selepas PRU13. Saya memilih arah selatan tanahair, disebabkan, antara lain, perubahan landskap politik Malaysia empat atau lima tahun akan datang banyak bergantung kepada keupayaan Pakatan mempengaruhi mood pengundi di wilayah yang selama ini dikuasai Umno-BN, selain Sabah dan Sarawak.
PAS mencipta sejarah apabila calonnya, Dr Khalid Kassim, bekas Timbalan Pengarah Hospital Besar Melaka, menang di kerusi Dun Bukit Baru, yang dahulunya disandang Mohd Ali Rustam, bekas Ketua Menteri Melaka.
Kelahiran sulung yang ditunggu begitu lama itu disifatkan Dr Khalid sebagai "legenda yang masih hidup" dan "pembuka mata kepada seluruh rakyat Melaka".
Di Pejabat Perhubungan PAS Negeri, kami berbicara hampir dua jam dan Dr Khalid kelihatan begitu ceria dan bertenaga semasa bercerita, bukan saja tentang pengalaman berkacanya semasa berkempen, tetapi juga sempat meluahkan pandangan (dan kritikan) bernas untuk PAS terus melakar sejarah lebih gemilang di Melaka.
Misi dan visinya untuk mengisi kemenangan diungkapkan dengan penuh yakin, lebih tertumpu kepada kerja-kerja sosial kemasyarakatan, terutama berkaitan penjagaan kesihatan, bidang yang diceburinya sejak sekian lama sehingga bersara awal tahun ini. Banyak ideanya melekat dalam kotak fikiran saya, mungkin difaktorkan oleh laluan hidup saya sendiri yang menempuh pelbagai penyakit kronik!
Saya turut tertarik dengan analisis ringkasnya mengenai "watak politik" masyarakat Tionghua, lelaki dan wanita. Baginya, komitmen orang Cina untuk berubah begitu tinggi, serius dan terfokus. Justeru, sukar diganggu-gugat oleh apa jua usaha kerajaan, walaupun atas nama transformasi.
Kami bergegas ke Batu Pahat selepas terpaksa menamatkan sesi wawancara itu lebih awal. Rakan-rakan saya, Wan Nordin Wan Yaacob, Zaili Muhammad dan Wan Zahari Wan Salleh mengakui teruja, terutama dengan idea-idea baru Dr Khalid, yang banyak memetik ungkapan motivasi yang memberangsangkan.
Pagi Ahad, di Pejabat Perhubungan PAS Johor, kami tidak sempat membuat kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya, Dr Mahfodz Mohamad kerana terleka berbual dengan dua Adun baru PAS, Ustaz Abdullah Husin (Puteri Wangsa), yang juga Ketua Dewan Ulamak Negeri dan Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Timbalan Pesuruhjaya. (Dr Mahfodz mempengerusikan mesyuarat perhubungan negeri pagi itu).
Ustaz Abdullah yang kaya dengan senyuman seronok bercerita tentang pengalaman awalnya berdepan reaksi dan sambutan pengundi dan masyarakat di Puteri Wangsa, termasuk detik-detik indah, juga melucukan, semasa beliau mengunjungi beberapa sekolah pada Hari Guru. Kesimpulannya, masyarakat pendidik mengalu-alukan keprihatinan tinggi yang ditunjukkan Ustaz Abdullah kepada guru-guru.
"Saya mula bertanding pada 1986 di Dun Tanjong Puteri, Johor Bahru dan hilang pertaruhan, disebabkan penolakan masyarakat Cina. Menariknya, pada PRU13 lalu, saya menang di Puteri Wangsa, dengan majoriti hampir 3,500 undi, disebabkan sokongan besar pengundi Tionghua," katanya sambil ketawa kecil.
Beliau kerap menyebut tentang kepatuhan terhadap keputusan jamaah sebagai prinsip dalam perjuangan khususnya apabila diminta bertanding dalam pilihan raya. "Di mana pun kerusi yang diarahkan jamaah, saya akur," katanya, menjelaskan bagaimana beliau dipilih bertanding di Puteri Wangsa.
Ustaz Abdullah berpuas hati dengan prestasi PAS Johor walaupun harapan awal lebih besar untuk digalas. "Tahun 2004 kita dapat satu kerusi, meningkat dua kali ganda pada 2008 menjadi dua, dan bertambah 100 peratus lagi pada 2013 dengan 4 kerusi, tambah menarik kerusi dahulu, Sungai Abong di Bakri dan Maharani di Muar, bertahan dengan majoriti bertambah," tambahnya.
Aminolhuda selesa menggambarkan keazamannya untuk memberi tumpuan meningkatkan kualiti pendidikan di Parit Yaani. "Keluarga yang terkepung dengan masalah kemiskinan hanya dapat bebas dengan pendidikan," ujarnya. Beliau yakin ramai tenaga pengajar bersedia membantu pelajar-pelajar UPSR, PMR dan SPM, dengan penekanan kepada subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.
Berbicara soal PRU13, Aminolhuda merumuskan: "Walaupun kita mensasarkan 17 kerusi Dun, dan hanya dapat 4 tetapi kita ada 8 kerusi dengan undi lebih 40% dan 5 lagi melebihi undi 37%. Maknanya, prestasi PAS Johor pada 17 kerusi yang menjadi target, tentulah termasuk empat yang sudah menang, begitu berpotensi sekali. Pada 2008 di Parit Yaani, kita juga perolehi 37% undi. Untuk PRU14, kita mesti sasarkan pengundi Melayu, jika pendekatan betul, insya-Allah saya yakin Pakatan berjaya ke Nusa Jaya."