"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota polis ambil ‘duit kopi’ RM64 kena ‘beku’

KOSMO!
SEORANG warga Jepun memberi anggota polis rasuah di Bangkok beberapa tahun lalu. - Foto X/@RedSkullxxx
BANGKOK  – Seorang anggota polis trafik yang disyaki meminta wang daripada seorang warga Jepun telah dipindahkan ke jawatan tidak aktif, lapor portal berita Thai PBS kelmarin.

Komisioner Polis Metropolitan, Leftenan Jeneral Thiti Sangsawang mendedahkan tentang pertukaran jawatan anggota polis yang menerima rasuah tersebut.

Aduan telah difailkan terhadap anggota itu kerana meminta rasuah, kata Thiti.

Insiden itu  dipercayai berlaku beberapa tahun lalu tetapi hanya terbongkar baru-baru ini apabila klip video mengenainya disiarkan di media sosial Thailand.

Dirakam dari dalam kenderaan yang dipandu oleh seorang rakyat Jepun, klip video itu menunjukkan dia disaman oleh seorang anggota polis.

Pemandu berkenaan bertanya kepada anggota polis terbabit di mana dia boleh membayar saman itu atau jika dia boleh membayarnya di tempat kejadian.

Lelaki itu kemudian menyerahkan wang kertas 500 baht (RM64.24) kepada anggota polis itu  tetapi dia diminta meletakkan di bawah kertas saman. 

Pemandu itu meletakkan wang tersebut di bawah kertas saman dan menyerahkannya semula kepada anggota polis terbabit. – AGENSI

Pemegang kunci Kaabah meninggal dunia

BERNAMA
SHEIKH Saleh Al-Shaibi. FOTO Bernama/haramain.com
SHEIKH Saleh Al-Shaibi. FOTO Bernama/haramain.com
Kuala Lumpur: Ketua Pemegang Kunci Kaabah, Sheikh Saleh Al-Shaibi meninggal dunia, menurut portal haramain.com.

Menurut laporan yang dikongsi di platform media sosial X pada Sabtu, solat jenazah diadakan di Masjidil Haram dan pengebumian di Tanah Perkuburan Al Mu'alla di Makkah.

Untuk rekod, Saleh Al-Shaibi dilantik sebagai penjaga Kaabah pada 2013 selepas bapa saudaranya, Abdulqader Taha Al-Shaibi meninggal dunia.

Pada masa ini, fungsi penjaga terhad kepada pembukaan dan penutupan Kaabah.

Istana Diraja, Kementerian Dalam Negeri dan pasukan kecemasan akan menyelaras dengan penjaga jika terdapat tetamu negara.

Wanita Malaysia ke-6 tercantik di Asia

KOSMO!

PETALING JAYA – Golongan wanita negara ini berada pada kedudukan ke enam wanita tercantik di Asia dengan mendapat skor 0.75 di bawah Iran yang berada di tangga ke lima dengan skor 8.0.

Menurut kajian dilakukan satu firma antarabangsa, Insider Monkey mencatatkan, wanita di Korea Selatan menjadi wanita tercantik di Asia apabila berada di tangga teratas dengan skor diperolehi 1.0


Golongan wanita di Jepun dan Vietnam masing-masing berada di tangga ke dua dan ketiga dengan nilai skor 0.95 dan 0.9

“Golongan wanita dari Filipina pula berada di tangga ke empat dengan nilai skor 0.85, manakala bagi golongan wanita dari India berada di tangga ke tujuh di bawah Malaysia dengan nilai skor 0.7

“Berada dalam senarai top 20 wanita tercantik di Asia adalah Indonesia yang berada di tangga ke- 11 manakala wanita dari Laos pula berada pada tangga ke-20 dengan nilai skor 0.05,” jelas kajian tersebut.

Negara lain yang turut berada dalam senarai top 20 wanita tercantik di Asia adalah, China di tangga ke lapan, Singapura (9), Thailand (10), Hong Kong (12), Macau (13), Bhutan (14) dan Taiwan (15)

Sementara itu, Kazakhstan (16), Sri Lanka (17), Pakistan (18) serta wanita daripada Myanmar berada pada tangga ke-19. – KOSMO! ONLINE

19 mangsa kerugian RM1.84 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mesin minuman

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bersama mangsa yang ditipu serta laporan polis pada sidang media di Pejabat Aduan MHO, Kuala Lumpur, hari ini. NSTP/Hazreen Mohamad
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bersama mangsa yang ditipu serta laporan polis pada sidang media di Pejabat Aduan MHO, Kuala Lumpur, hari ini. NSTP/Hazreen Mohamad
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 19 mangsa kerugian RM1.84 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mesin minuman yang ditawarkan sebuah syarikat kononnya bekerjasama dengan sebuah yayasan terkenal.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata syarikat itu menyasarkan mereka yang kurang berkemampuan dan ingin menambah pendapatan sebagai mangsa.

Katanya, modus operandi pelaburan syarikat terbabit adalah dengan menawarkan mangsa satu pulangan dividen yang lumayan dan beberapa manfaat menarik lain.

"Kami syak janji yang diberikan syarikat terbabit adalah tidak benar dan tidak wujud kerana mangsa tidak pernah menerima sebarang dividen atau pulangan seperti dijanjikan.

"Mangsa juga tidak pernah dikemukakan sebarang bukti bahawa mesin minuman air layan diri terbabit memang benar-benar wujud atau tidak," katanya pada sidang media, hari ini.

Hishamuddin berkata, ini kerana segala maklumat yang diberikan kepada pengadu adalah dari ejen pemasaran syarikat itu sendiri.

Beliau berkata, terdapat kemungkinan bahawa dokumen yang dikemukakan ketika pemasaran skim pelaburan itu berlaku juga tidak wujud.

Berdasarkan keterangan mangsa, katanya, kebanyakan mereka berminat untuk menyertai skim pelaburan itu kerana ingin membuat pendapatan pasif di samping pekerjaan seharian utama mereka.

"Ejen pemasaran yang dilantik untuk memasarkan skim pelaburan ini akan menerima komisyen daripada syarikat terbabit apabila mereka berjaya menarik pelanggan.

"Bagaimanapun, daripada maklumat yang kami terima, ejen pemasaran terbabit dikatakan telah ditipu oleh pihak syarikat untuk memasarkan skim pelaburan mesin minuman air layan diri ini," katanya.

Beliau berkata, permasalahan timbul apabila pengadu tidak menerima sebarang pembayaran pulangan atau keuntungan seperti dijanjikan syarikat terbabit.

"Mangsa kemudian berhubung dengan ejen pemasaran wakil syarikat, namun tiada jawapan positif yang diberikan," katanya.

Ahli keluarga terkaya Britain dihukum penjara

AFP
NAMRATA Hinduja (kiri) dan Ajay Hinduja (dua dari kanan) tiba di mahkamah di Geneva, pada 21 Jun lalu. FOTO AFP
NAMRATA Hinduja (kiri) dan Ajay Hinduja (dua dari kanan) tiba di mahkamah di Geneva, pada 21 Jun lalu. FOTO AFP
Geneva: Mahkamah Switzerland menjatuhkan hukuman penjara kepada empat ahli keluarga terkaya Britain kerana mengeksploitasi kakitangan India di rumah agam mereka di Geneva.

Ahli keluarga Hinduja yang tidak hadir di mahkamah, dibebaskan daripada dakwaan pemerdagangan manusia, tetapi disabitkan dengan pertuduhan lain.

Kekayaan keluarga itu dianggarkan berjumlah AS$47 bilion (kira-kira RM221 bilion).

Prakash Hinduja dan isterinya, Kamal Hinduja masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun enam bulan penjara, manakala anak lelaki mereka, Ajay dan isterinya, Namrata menerima hukuman penjara empat tahun, kata hakim di Geneva.

Peguam bagi ahli keluarga Switzerland-India itu berkata, mereka akan merayu keputusan berkenaan.

Kes itu berpunca daripada amalan keluarga itu yang membawa individu dari India untuk bekerja dengan mereka, namun merampas pasport individu terbabit sebaik tiba di Switzerland.

Mahkamah diberitahu, keluarga Hinduja membayar pekerja mereka dengan gaji rendah dan memberi sedikit kebebasan untuk individu terbabit meninggalkan rumah.

Pembantu rumah dikatakan dibayar gaji antara AS$250 hingga AS$450 sebulan (kira-kira RM1,178 hingga RM2,120 sebulan), jauh daripada apa yang mereka jangkakan untuk peroleh di Switzerland.

Pendakwa Raya, Yves Bertossa juga menuduh keluarga Hinduja membelanjakan "lebih banyak untuk anjing mereka daripada pekerja domestik mereka".

Keluarga itu menafikan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, keluarga Hinduja mencapai penyelesaian sulit di luar mahkamah dengan tiga pekerja yang membuat tuduhan terhadap mereka.

Namun, pihak pendakwaan memutuskan untuk meneruskan kes itu kerana pertuduhan terbabit adalah serius.

Terdahulu, Bertossa meminta hukuman penjara lima tahun setengah terhadap Prakash dan Kamal Hinduja.

Berumur 78 dan 75 tahun, kedua-duanya tidak hadir sejak permulaan perbicaraan atas alasan kesihatan.

Dalam ucapan penutupnya, pendakwa raya menuduh keluarga itu menyalahgunakan situasi tidak simetri antara majikan dan pekerja, untuk menjimatkan wang.

Dengan kepentingan dalam minyak dan gas, perbankan dan penjagaan kesihatan, Kumpulan Hinduja memiliki kepentingan dalam perniagaan di 38 negara dan menggaji kira-kira 200,000 orang.
-hmetro 

Anwar: 'Syarikat yang ada kepentingan BlackRock beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, seluruh negara serta pasaran saham'

Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap pembangkang yang didakwanya mahu menjadi jaguh politik menghasut rakyat dengan terus memainkan isu penyertaan syarikat asing dikaitkan dengan Israel dalam penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Perdana Menteri menegaskan, pentadbirannya hingga kini tetap tegas dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat dari Israel supaya beroperasi di negara ini.

Beliau berkata, bagi syarikat asing yang mempunyai kaitan atau kerjasama dengan negara Zionis itu, Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk membatalkan kehadiran mereka kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan ekonomi negara.

"Saya membuat keputusan batalkan kerjasama dengan semua syarikat Israel yang operasi dari Israel. Baik, bagaimana syarikat (asing) yang ada operasi (ibu pejabat) di Amerika Syarikat (AS), Jerman, China, tapi ada kaitan dengan Israel, tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkannya.

"Kita runding dulu dengan GIP (Global Infrastructure Partners). Akhir tahun lalu, BlackRock Inc ambil alih. BlackRock ada operasi ataupun syarikat yang ada kepentingan BlackRock, yang beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, di seluruh negara dan di pasaran saham," katanya.

Beliau mengulas demikian ketika ditemui media sebaik selesai solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz di sini hari ini.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak mahu bertindak ke atas mana-mana syarikat asing yang didakwa mempunyai kaitan sokongannya dengan Israel, kerana langkah itu dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi negara.

"Sementara kita keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza, kita sedia berdepan dengan siapa saja.

"Tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara. Kalau syarikat itu syarikat dari Israel saya tetap tegas (tak benarkan operasi di Malaysia). Itu yang saya nak jelaskan," katanya.

Beliau juga terbuka dengan kritikan pembangkang berhubung isu syarikat asing ini, namun pada masa sama mereka harus bersama kerajaan dalam mencari penyelesaian terhadap konflik di Gaza.

"Ada yang kurang bersetuju, tak apa. Ada hak tak bersetuju. Tapi jangan jadikan ini wayang politik untuk menghasut. Bagi tahu saya apa lagi saya boleh buat untuk Gaza. Kalau ada cadangan nak buat apa lagi, boleh.

"Tapi janganlah gunakan ini, kerana orang yang beri lesen kebenaran untuk kapal Israel berlabuh (dulu), sekarang nak jadi jaguh. Saya Tak mahu ungkit benda lalu, sudah-sudahlah. Tapi saya harap kita bersatulah, boleh berbeda, itu soal lain.

"Di (Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)) Sungai Bakap bolehlah lawan, tetapi dalam soal Gaza ini, umat Islam di Malaysia bersatulah. Orang mati. Sakit dan kita cari jalan untuk menyelamatkan. Kalau nak apa yang disebut skor 'political point' ini bukan tempatnya," katanya.

Dua beranak dijel, denda RM240,000 seleweng LPG

MOHD YUNUS YAKKUB
Yih Pak (kanan) dan Yuan Yih selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
SHAH ALAM – Dua beranak dipenjara sehari dan denda keseluruhan RM240,000 oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas tuduhan menyeleweng gas petroleum cecair (LPG), tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainudin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pihak pendakwaan terhadap rayuan keputusan kes dikeluarkan Mahkamah Sesyen Selayang pada 28 Jun tahun lalu terhadap tertuduh Leong Yih Pak, 63 dan Leong Jun Yuan Yih, 36.

“Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan mahkamah rendah, namun hukuman dipinda kepada denda RM20,000 bagi setiap enam pertuduhan dihadapi kamu atau penjara setahun sekiranya gagal bayar.

“Bagi pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) pula hukuman dipinda kepada penjara sehari bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak,” tegasnya.

Terdahulu, pada prosiding tersebut Peguam Amer Hamzah Arshad dan Joshua Tay memaklumkan Jabatan Peguam Negara telah mempertimbangkan dan mempersetujui repsentasi dikemukakan pihaknya dengan kali terakhir pada 27 Mei lalu.

Berdasarkan representasi tersebut, hukuman penjara bagi setiap pertuduhan bermula tarikh sabitan 19 September 2021 sebelum ini diketepikan dan digantikan dengan denda RM20,000 bagi setup pertuduhan.

“Ini bermakna kedua-dua perayu akan didenda keseluruhan RM120,000 setiap seorang bagi enam pertuduhan yang dihadapi masing-masing.

“Bagi pelucuthakkan wang yang disita oleh pihak pendakwaan, kita tidak akan membantah permohonan lucut hak yang akan dibuat oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang pada 28 Jun ini.

“Namun, tiga pertuduhan bawah AMLA yang dikenakan hukuman penjara diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara sehari yang berjalan serentak seperti yang dipersetujui dalam representasi”.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi mengesahkan perkara tersebut dengan jumlah keseluruhan pelucutan hak adalah berjumlah RM457,502.79.

Berdasarkan tiga pertuduhan, anak beranak yang merupakan pekongsi Syarikat Perniagaan Soon Lee telah didakwa menjual barang kawalan iaitu LPG kepada syarikat Biomax Rubber Industries Sdn. Bhd dengan keseluruhan 11,528 tong LPG seberat 12 kilogram setiap satu dan telah melanggar Peraturan 9(2) (b) Peraturan-Peratuan Kawalan Bekalan 1974.

Kedua-duanya juga didakwa tiga lagi pertuduhan telah gagal menyelenggara buku stok barang berjadual iaitu LPG dengan tidak merekodkan butiran maklumat berkaitan harga, nama serta alamat pembeli seterusnya melakukan kesalahan dibawah 13 (1) peraturan sama.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di syarikat mereka di Taman Perindustrian Ehsan Jaya, Gombak antara 1 Mei hingga 31 Julai, 2017.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi badan korporat termasuk pengarah dan pegawai mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO ONLINE!

3 maut, 10 termasuk polis cedera serangan tembakan di pasar raya

Bharianonline
Tangkap layar daripada rakaman video dalam media sosial menunjukkan keadaan di kawasan kejadian serangan tembakan diFordyce, Arkansas, semalam. - South Arkansas Reckoning/Suzy Parker/via REUTERS
Tangkap layar daripada rakaman video dalam media sosial menunjukkan keadaan di kawasan kejadian serangan tembakan diFordyce, Arkansas, semalam. - South Arkansas Reckoning/Suzy Parker/via REUTERS
ARKANSAS: Sekurang-kurang tiga maut, manakala 10 lagi termasuk dua anggota polis mengalami kecederaan, dalam insiden tembakan di sebuah pasar raya di Arkansas, semalam.

Pengarah Polis Negeri Arkansas, Mike Hagar, berkata kejadian itu membabitkan seorang suspek yang turut cedera selepas berbalas tembakan dengan pihak berkuasa.

Serangan itu berlaku di pasar raya Mad Butcher di Fordyce, sebuah pekan dihuni kira-kira 3,200 penduduk yang terletak sekitar 112 kilometer selatan Little Rock.

"Malangnya, kami boleh mengesahkan 11 orang awam tidak bersalah telah ditembak, termasuk tiga terkorban.

"Dua anggota penguat kuasa undang-undang turut mengalami kecederaan ketika berbalas tembakan. Suspek juga terkena tembakan dan berjaya ditahan," katanya kepada pemberita tanpa memperincikan butiran kejadian itu.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, nyawa suspek dan dua anggota polis itu dijangka tidak terancam akibat kecederaan berkenaan.

Namun, katanya, mangsa orang awam pula mengalami kecederaan dari tahap tidak mengancam nyawa sehinggalah amat kritikal.

Sementara itu Gabenor Arkansas, Sarah Huckabee Sanders, berkata beliau sudah diberikan taklimat berhubung insiden berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada penguat kuasa undang-undang dan pasukan kecemasan atas tindakan pantas serta keperwiraan mereka dalam usaha menyelamatkan nyawa.

"Saya mendoakan semua mangsa dan mereka yang terkesan dengan kejadian ngeri itu," katanya dalam kenyataan melalui X. - REUTERS

Tentera tahan 10 PATI dalam kebun getah

NORLIDA AKMAR IDROS
Seramai 10 PATI warga Myanmar dicekup di kebun getah dekat sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, semalam.
BUKIT KAYU HITAM – Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba menyusup masuk ke negara ini menerusi kebun getah, di sini berjaya ditahan anggota tentera semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tangkapan pada pukul 3.40 petang itu dilakukan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

“Pasukan operasi yang sedang melaksanakan rondaan mengesan dan menahan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah di sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 10 individu itu terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan berumur antara 21 hingga 49 tahun yang merupakan warga Myanmar,” katanya.

Menurutnya, kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan cuba masuk ke negara ini melalui laluan haram di sempadan.

“Turut dirampas enam telefon bimbit, 12 beg, satu pasport palsu serta wang tunai dalam mata wang Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan RM 3,326.23,” ujarnya.

Tambahnya, semua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

“Pasukan beroperasi akan terus memastikan keselamatan sempadan negara daripada aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pelabur asing lari tinggalkan Israel

AGENSI

GAZA: Perang di Semenanjung Gaza yang berlarutan lebih lapan bulan mengakibatkan pelabur asing mula meninggalkan Israel.

Ekonomi Israel terpaksa membayar harga tinggi berikutan peperangan berlanjutan bukan sahaja di Semenanjung Gaza, malah di sempadan Lubnan.

Imej pertempuran juga menyebabkan kejatuhan mendadak 55.8 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) Israel pada suku pertama tahun ini.

Ia hampir tidak melepasi penanda AS$1 bilion (RM4.71 bilion) dan hanya mencapai purata suku tahunan AS$4.8 bilion (RM22.63 bilion) sepanjang empat tahun sebelumnya.

Portal berita Al-Qus yang memetik Jerusalem Time melaporkan situasi itu berlaku kerana dalam tempoh tiga bulan terakhir 2023, FDI Israel sudah mengalami penurunan sebanyak 50 peratus, menurut data rasmi dari pejabat perangkaan Israel, Selasa lalu.

"Data ini lebih membimbangkan kerana ia membabitkan operasi penubuhan jangka panjang pembentukan syarikat asing, contohnya, membangunkan anak syarikat dan pengambilalihan syarikat di Israel.

"Pelaburan itu bukan menggerakkan modal, tetapi juga menawarkan akses kepada teknologi baharu yang menggalakkan inovasi dan produktiviti, serta kaedah pengurusan," kata seorang pegawai Kementerian Kewangan.

Ia diburukkan lagi dengan keengganan 80 peratus pelabur dalam industri teknologi tinggi yang menjadi tumpuan utama ekonomi Israel. Sektor ini sahaja menyediakan separuh daripada eksport Israel.

Intel Amerika antara yang menggantung pengembangan kilang 'microprocessor' di Israel. Syarikat itu menjadi pelaburan asing terbesar di negara itu.

Selain itu, ekonomi Israel diburukkan lagi dengan tindakan syarikat tempatan yang mula mencari lokasi lebih tenang seperti di Amerika Syarikat (AS).

Jumlah pelaburan langsung mereka di luar negara melonjak pada suku pertama tahun ini kepada AS$3.6 bilion (RM16.97 bilion), tiga kali ganda bilangan operasi warga asing di Israel.

Akhbar ekonomi harian Calcalist menyatakan tindakan sedemikian adalah menentang dasar ekonomi kerajaan Benjamin Netanyahu dan Menteri Kewangannya, Bezalel Smotrich, yang menurut unjuran Bank of Israel, defisit bajet untuk membiayai perang boleh mencecah kira-kira AS$67 bilion (RM315.9 bilion) menjelang 2025.

Jutawan Israel juga kini berada dalam tekanan kerana dalam tempoh beberapa dekad ini, Israel tidak lagi muncul dalam senarai 10 negara paling menarik untuk pelabur asing.

Ia adalah berdasar analisa firma British Henley & Partners yang mengkhususkan diri dalam 'program migrasi dan pelaburan yang paling dicari di dunia'.

Analisa itu menyatakan, perang semasa bukan sahaja mencemarkan imej Israel sebagai tempat perlindungan yang selamat untuk pelabur asing tetapi juga menjadi ancaman kepada ekonomi Israel.

Sarang pelacuran KL: Tetap 'kemaruk' walau mati pucuk

Hmetro
PREMIS dipercayai beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga jam 10 malam.
PREMIS dipercayai beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga jam 10 malam.
Kuala Lumpur: Polis menggempur premis di lubuk pelacuran tertua di ibu negara yang masih beroperasi sehingga kini dan turut menjadi tumpuan warga emas bagi mendapatkan perkhidmatan itu.

Serbuan dekat medan selera dan bangunan di Jalan Gelang dan Jalan Kalong itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelum ini berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.
 
Kawasan terbabit antara lubuk pelacuran tertua di Lembah Klang yang masih beroperasi sehingga kini malah menjadi tumpuan warga emas yang masih kemaruk layanan manja wanita warga asing dari China dan Vietnam.

Malah ada pelayan khidmat pelanggan (GRO) yang ditahan itu juga sudah berusia antara 40 hingga 50 tahun namun masih aktif menawarkan perkhidmatan terbabit.

Salah seorang pelanggan lelaki berusia 58 tahun berkata, dia berkunjung ke situ sejak muda dan hampir 20 tahun datang ke sini untuk melanggan.

"Walaupun saya sudah mati pucuk namun saya saya tetap datang ke sini bagi mendapatkan urutan badan dan memuaskan nafsu.

"Saya tidak ke medan selera itu kerana perlu mengeluarkan belanja banyak seperti makan, minum dan kalungan bunga dahulu di mana sudah tentu perlu mengeluarkan belanja sehingga 300," katanya ketika ditemui selepas ditahan polis dalam serbuan itu.

Katanya, sebaliknya dia terus menghubungi wanita warga China yang menawarkan perkhidmatan itu dan naik ke bilik di bangunan sebelah yang disediakan.

"Sejak 20 tahun lalu saya berkunjung ke sini dan sehingga kini harganya tetap sama iaitu hanya RM100.

"Premis ini bukan baharu tetapi sudah lama. Saya pun sudah tua," katanya.

'Janganlah rakam gambar saya'

"Salah salahlah. Tak ada luck (tuah), kena tangkap mengaku sahajalah,".

Itu luahan seorang pemuda dipercayai pelanggan apabila diberkas dalam serbuan di sarang pelacuran di Jalan Gelang, Pudu di sini, yang digempur pasukan polis Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketika serbuan, lelaki warga kota itu merayu tidak dirakam jurukamera Harian Metro kerana bimbang keluarganya di rumah mengetahui kegiatan tidak bermoral dilakukannya di luar.

Pekerja kilang berusia 35 tahun berkenaan menjelaskan dia mengetahui lokasi sarang pelacuran berhampiran medan selera itu selepas diperkenalkan rakan.

"Habis waktu kerja, saya minum (di medan selera), mereka (wanita dipercayai pekerja seks) datang tawar perkhidmatan dengan bayaran RM100.

"Janganlah bang (meminta supaya jurukamera tidak merakamkannya), jangan susahkan saya. Susah nanti rosakkan keluarga saya, saya punya kerja pun nanti susah. Saya tak mahu datang lagi," katanya.

Manakala terdapat pelanggan yang berusia hampir enam dekad tidak serik walaupun dua kali sembuh daripada jangkitan seksual disebabkan bakteria chlamydia trachomatis kerana kekerapannya sebelum ini melanggani pelacur.

Malah, lelaki yang ditahan itu pesakit jantung dan turut membawa bersamanya ubat sakit jantung, tekanan darah tinggi serta kolestrol.

"Saya 'terseksa' batin lebih 14 tahun tidak bersama isteri. Jika isteri tanya (hal tangkapan), saya kata sebab awaklah (isterinya) saya seksa tak dapat keperluan batin. Malah kami sudah lama tidur berlainan bilik sebab dia menolak," katanya.

Dia yang mendakwa sebagai regular customer menjelaskan dia tidak melalui mana-mana orang tengah untuk mendapatkan 'wanita penghibur' sebaliknya menghubungi terus wanita dimahukan.

Sementara itu, seorang wanita warga China yang kudung tangan kanan sejak berusia 15 tahun antara wanita ditahan dalam serbuan.

Dulu PM7 jumpa Blackrock minta masuk melabur, sekarang dia pula tanya

Harapandaily

Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang bercakap tentang penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) mengundang kecaman warganet.

Bekas Perdana Menteri ketujuh (PM7) itu dikritik dan dihujani sindiran termasuk “mudah lupa” lantaran pada 2018, Mahathir sendiri memberikan taklimat kepada Pengurus Dana termasuk BlackRock untuk melabur di Malaysia.

Kelmarin, Mahathir yang dianggap tok wan kesayangan walaun itu membidas keputusan MAHB yang berhasrat menjual 30 peratus saham mereka kepada firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Menurutnya, pada tahun 2023, MAHB telah memperoleh keuntungan yang sangat tinggi iaitu RM543 juta.

“Apabila saya mendengar MAHB akan menjual sahamnya, sangkaan saya ialah MAHB rugi.

“Kenapa nak jual 30 peratus kepada syarikat Amerika yang menyokong Israel?

“Sekarang saya dapat tahu bahawa MAHB untung sebanyak RM543 juta bagi tahun 2023.Tak banyak syarikat yang dapat untung seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam MAHB.

Tengku Zafrul turut menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

‘Perempuan pakai legging masa joging, menyakitkan mata, menjjikkan’

KOSMO!

PETALING JAYA – “Kenapa orang perempuan suka pakai seluar legging semasa berjoging ya?”

Itu persoalan yang dibangkitkan seorang pengguna media sosial, Syafi’e Abdul Shukor tentang para wanita yang gemar mengenakan seluar legging ketika berjoging.

Syafi’e mempertikaikan perkara itu kerana ia menjadi cabaran buatnya selain menyifatkan ia sebagai menjijikkan.

“Maaf jika pertanyaan saya ini menggangu kaum hawa semua. Saya memang nak tau sebab orang lelaki sangat berbeza pakaiannya semasa bersukan.

“Cabaran yang terpaksa saya tempuh setiap pagi semasa hantar anak ke sekolah adalah melihat punggung-punggung para wanita.

“Banyaknya pemandangan yang saya lihat adalah pemandangan menyakitkan mata, tak indah serta menjijikkan. Really spoil my day (merosakkan hari saya) di pagi hari,” katanya.

Syafi’e menegaskan, dirinya bukan seorang ‘pervert’ tetapi hanya pemandu yang terpaksa berhati-hati di jalan yang agak sibuk dengan orang awam yang berjoging di tepi jalan.

“Hanya sekali-sekala ja ada pemandangan yang boleh menyebabkan serban pak ustaz pun boleh luruh. Saya bukan otak kuning.

“Lebih mencabar kebanyakkan dari mereka berjoging mengikut arus dan tak kisah akan kereta yang datang dari arah belakang mereka.

“Pemandu yang terpaksa berhati-hati, jadi memang tak boleh nak dielakkan kadangkala nampak punggung yang ditayang-tayang tanpa malu. Kalau lawan arus gagahlah sikit sebab tak nampak,” ujarnya.

Jelasnya, kebanyakan lelaki dilihat lebih sopan apabila mengenakan seluar panjang dan seluar pendek di luar jika berlegging.

“Kalau pakai seluar pendek pun lelaki tak pakai yang ketat. Tapi kenapa wanita tak begitu ye? Lebih menyedihkan, ramai wanita pakai tudung tapi bahagian pinggang ke bawah seperti berbogel.

“Saya manusia biasa dan sedar perlu jaga pandangan, penglihatan dan fikiran saya. Saya perlu ada self control (kawalan diri),” tambahnya.

Dalam pada itu, Syafi’e turut berpesan kepada para lelaki supaya memainkan peranan melindungi ahli keluarga wanita daripada menjadi tatapan umum.

“Saya sedar pemakaian hak individu. Tapi apalah salahnya kaum wanita beri kerjasama kepada kaum lelaki dengan pakai pakaian lebih sopan.

“Untuk para lelaki yang bergelar suami, bapa dan anak. Ingatan untuk diri saya sendiri juga. Kita jagalah dan peliharalah kaum wanita kita.

“Jangan sampai seperti apa yang Dr. Zakir Naik selalu katakan. Jangan jadikan kaum ibu, isteri, anak-anak perempuan, kakak serta adik perempuan anda sebagai public property (harta awam) untuk ditonton secara seksual di khalayak ramai,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.

Anwar bidas pihak guna isu Blackrock untuk kepentingan politik

'Siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi dulu?’, bidas PM Anwar
Harapandaily

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pihak tertentu yang ‘menunggang’ isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB).

Katanya, sebagai Perdana Menteri, beliau akan melakukan segala yang termampu bagi membawa suara rakyat Palestin namun dalam masa yang sama, tidak boleh mengambil tindakan yang akan melemahkan ekonomi negara.

“Saya percaya ada hujah yang diberikan secara ikhlas, ada sebahagian lagi nak tunggang (sebagai) isu politik.

“Boleh tegur saya, tak ada masalah. Tapi jangan nak tunjuk pahlawan.

“Siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu?

“Kapal mana yang dibenarkan masuk oleh mantan perdana menteri tahun 2002, diteruskan oleh semua kerajaan, semua pemimpin termasuk mantan-mantan menteri yang bising sekarang.

“Saya ambil keputusan batalkan kerjasama dengan semua syarikat Israel yang beroperasi dari Israel.

“Bagaimana dengan syarikat yang ada operasi di Amerika Syarikat, Jerman, China, yang ada kaitan dengan Israel?

“Tak ada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan kerana akan jejaskan ekonomi negara.

“Kita runding dulu dengan Global Infrastructure Partners (GIP). Akhir tahun lalu, BlackRock ambil alih.

“BlackRock ada operasi atau syarikat yang ada kepentingan BlackRock ada di Kelantan, Selangor, Sarawak, di seluruh negara dan di pasaran saham.

“Jadi saya, sementara keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin, saya akan berdepan dengan sesiapa saja, tetapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara,” ujarnya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan hasrat MAHB menjual 30 peratus saham mereka kepada BlackRock yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock memiliki pegangan dalam Malaysia Airports MAHB.

Beliau turut menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

Tangan speaker terikat? Bersabit 6 ahli Parlimen

6MP: Tangan speaker terikat?
Hishamuddin Aun

Keadaannya seolah-olah semua mereka yang berkepentingan membayangkan berada di tempat Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul ketika ini. Kalau boleh mereka juga mahu membuat keputusan bagi pihaknya berkaitan status enam Ahli Parlimen Bersatu yang dikatakan mengkhianati parti dengan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Selepas berbulan-bulan diperdebatkan, dua pemimpin Bersatu bersependapat bahawa Johari tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen — Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid), Labuan (Suhaili Abdul Rahman), Gua Musang (Mohd Azizi Abu Naim), Jeli (Zahari Kechik), Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal), dan Tanjong Karang (Zulkafperi Hanapi) — kosong untuk PRK diadakan.

Semalam, Bersatu menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang sudah terhenti keahlian mereka serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat dan sudah diterima pejabat Johari Abdul. Mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan tiga, speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam tempoh 21 hari selepas notis diterima.

“Beliau (Johari) tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan,” kata Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, yang menandatangani surat itu selaku ketua whip parti.

Berpandangan serupa, Ahli MPT Bersatu Wan Saiful Wan Jan pula menegaskan Johari perlu berbuat demikian selepas Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka di kerusi Nenggiri yang disandang Azizi kelmarin.

“Saya berharap Johari sebagai speaker Dewan Rakyat akan memastikan ada sedikit keseragaman dalam pelaksanaan peraturan-peraturan DUN dan Dewan Rakyat,” kata Wan Saiful sambil menambah kemungkinan tercetus satu krisis perlembagaan yang serius sekiranya duluan daripada keputusan speaker DUN Kelantan itu tidak dituruti.

Pandangan kedua-duanya seperti ‘direstui’ pakar perlembagaan dan undang-undang Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood yang beranggapan ia akan menimbulkan sesuatu yang ‘pelik’ sekiranya keputusan yang akan dibuat Johari berbeza dengan speaker DUN Kelantan.

“Kalau ada dua keputusan berbeza, macam pelik. Seolah-olah peruntukan undang-undang anti lompat parti itu memang tak jelas atau terbuka kepada pelbagai tafsiran sedangkan peruntukannya sama. Pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan sama dengan Pindaan Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan yang sama digunakan di negeri dan Persekutuan,” katanya dipetik Harian Metro.

Dalam memperkuatkan hujahnya, Wan Saiful tidak hanya berpeluk tubuh. Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengundang bekas Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun sebagai tetamu audio siar Program Bersama WSWJ yang dikendalikannya dan disiarkan di laman Youtube, Ahad lalu.

Menegaskan speaker tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan tindakan parti sekiranya notis pengosongan kerusi Parlimen diterima, Azhar berkata: “Bukan hak beliau untuk mempersoalkan perkara itu dan ia juga sealiran dengan peruntukan undang-undang Akta Pertubuhan. Terdapat satu seksyen bahawa tafsiran yang diambil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sesebuah parti mengenai peruntukan perlembagaannya adalah muktamad dan tidak boleh dipersoal di mahkamah pun.

“Dengan rasa hormat kepada speaker (Johari), cadangan saya ialah sememangnya beliau tidak boleh mempersoalkan tafsiran parti dan tindakan parti itu dan apa yang perlu dilakukan ialah mengikut 49A memastikan kekosongan luar jangka sahaja,” katanya.

Sebelum ini, keahlian tujuh wakil rakyat Bersatu — termasuk ADUN Selat Klang Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari — gugur serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis MPT Bersatu dalam tempoh 14 hari berakhir 31 Mei untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Kekal konsisten dengan pandangannya, peguam kanan Haniff Khatri Abdulla bagaimanapun menjangkakan Johari akan menolak notis Bersatu itu, antaranya kerana permohonan Bersatu itu bertentangan dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) atau lebih dikenali sebagai Akta Anti Lompat Parti.

“Pindaan perlembagaan dibuat Bersatu juga tidak memberi kesan besar sehingga menyebabkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada perdana menteri terpaksa mengosongkan kerusi masing-masing seperti termaktub dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi saya tindakan speaker menolak permohonan Bersatu nanti tepat kerana dipecat daripada parti tidak dikira sebagai perbuatan melompat parti yang mengakibatkan seseorang Ahli Parlimen tergugur status sebagai wakil rakyat,” katanya kepada Sinar Premium, Jumaat lalu.

Haniff mengandaikan Johari sebagai salah seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin membuat keputusan yang akan merugikan parti dan menjejaskan kedudukan Anwar sebagai perdana menteri. “Jadi, dari segi politik saya tidak percaya Johari akan membenarkan permohonan Bersatu,” katanya.

Senada dengannya Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar turut tidak menolak kemungkinan Bersatu membawa kes membabitkan enam bekas ahli Parlimennya ke mahkamah sebagai jalan terakhir untuk mengosongkan kerusi terbabit.

“Bagaimanapun, prosiding kes ini mungkin mengambil masa lama sehingga PRU16, sekali gus menyebabkan keenam-enam ahli Parlimen terbabit terselamat,” tambahnya.

Elok dirujuk temu bual terakhir Johari dengan The Star pada 7 Jun sebelum beliau berlepas ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji yang menyatakan beliau akan memerlukan masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat, terutama melibatkan undang-undang termasuk Akta Anti Lompat Parti sebelum memutuskan sebarang keputusan terhadap enam Ahli Parlimen Bersatu itu.

“Untuk saya mengambil tindakan, saya mesti berhati-hati, saya mesti mendalami segala-galanya, semua aspek sebab apa juga keputusan yang saya buat bukan sahaja akan memberi kesan kepada ahli parti itu atau Ahli Parlimen tetapi juga negara. Saya mengambil sikap amat berhati-hati serta cermat dan selagi saya tidak yakin dengan keputusan yang saya buat itu, saya tak akan buat dulu.

“Saya amat berhati-hati bukan sahaja undang-undang tetapi moral dan segalanya saya kena pastikan bahawa tindakan saya itu betul dan saya tidak mahu dipersalahkan atau rasa bersalah apabila saya tidak berada di jawatan itu nanti,” katanya.

Jika Wan Saiful bercakap mengenai duluan dengan merujuk kepada keputusan DUN Kelantan mengosongkan kerusi Nenggiri kelmarin, Johari jelas bukanlah speaker yang boleh ‘disekolahkan’ begitu.

Pada 17 Jan 2023, Johari yang baru mengangkat sumpah sebagai speaker ke-11 Dewan Rakyat pada 19 Dis 2022 memutuskan empat bekas ahli Bersatu Sabah — Matbali Musah (Sipitang), Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), dan Jonathan Yasin (Ranau) — yang bertanding dan menang semasa PRU15 lalu tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen walaupun mereka keluar parti bagi menyokong Anwar.

Keputusan itu dibuatnya selepas Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran dalam satu kenyataan pada 29 Dis 2022 berkata Bersatu sudah menghantar notis kepada Johari untuk memastikan berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah. Ia susulan dakwaan bahawa empat Ahli Parlimen itu melakukan kesalahan melompat parti apabila bertindak keluar Bersatu Sabah dan menjadi ahli langsung dalam GRS yang diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor. Bersatu kemudian memanjangkan kes itu ke mahkamah.

Duluan seperti yang mahu ditekankan oleh Wan Saiful sudah pun wujud lebih awal. Lebih daripada itu, Johari mempunyai minda dan pertimbangannya sendiri tanpa beliau boleh dipaksa-paksa untuk mengikut telunjuk sesiapa, tidak terkecuali Wan Saiful dan Kiandee yang mungkin kecewa buat kali kedua selepas sejarah dua tahun lalu itu.

“Speaker Dewan Rakyat ada mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan meneliti secara mendalam kerana ia mempunyai banyak kesan dan implikasi kepada rakyat dan negara. Beliau kena mengkaji secara mendalam sama ada keenam-enam ahli Parlimen terbabit sudah tergugur status sebagai wakil rakyat susulan pemecatan keahlian Bersatu baru-baru ini.

“Jadi kesimpulannya, sukar meramalkan apa keputusan bakal diambil speaker,” kata penganalisis politik Profesor Madya Dr Mazlan Ali.

Awas lupa kunci kereta, nanti ada orang masuk berak

Malaysiakini

Seorang lelaki mengalami insiden yang tidak dapat dilupakan.

Ketika mengunjungi sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur, dia teringat terlupa mengunci kereta.

Dia pun kembali ke kawasan parkir untuk memeriksanya tetapi mendapati tayarnya dikunci.

Dia pun kemudian menelefon pengawal keselamatan untuk membukanya.

"Kenapa tayar kereta saya dikunci padahal saya parkir di tempat yang betul?" soalnya.

Pihak keselamatan menjelaskan bahawa seorang pejalan kaki melaporkan terdapat aktiviti mencurigakan dalam keretanya, kemungkinan untuk mencuri.

Bagaimanapun individu itu lari apabila disedari pejalan kaki.

Pengawal keselamatan pula menjelaskan mereka mengunci tayarnya dengan tujuan baik bagi mengelakkan kereta itu dicuri.

Disangka habis begitu saja, pemilik kereta itu bagaimanapun akhirnya mendapat “kejutan sebenar” apabila menghidu bau yang amat busuk apabila membuka pintu kereta.

"Apabila saya berpaling, saya lihat dua ketul tahi di tempat duduk belakang" katanya.

Berkongsi kembali kisah itu di media sosial kelmarin, pemandu itu menggambarkan kejadian itu sebagai "peristiwa sekali seumur hidup."

Insiden itu menarik perhatian kawan-kawan dan pengikut media sosialnya, yang turut berkongsi gelak tawa dan memberi sokongan kepada lelaki itu dalam menghadapi kejadian yang jijik itu.

Dua warga Indonesia mengaku bersalah samun berkumpulan, larikan wang RM30,000

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
DUA lelaki warga Indonesia dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan. FOTO Nur Izzati Mohamad
DUA lelaki warga Indonesia dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan. FOTO Nur Izzati Mohamad
Butterworth: Dua lelaki warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dan melarikan wang milik seorang lelaki tempatan berjumlah RM30,000, pada Mei lalu.

Tertuduh dikenali Ari Kustiawan, 35 dan Ripki, 41 membuat pengakuan itu ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka berdua secara bersama-sama melakukan samun berkumpulan tanpa senjata dan melarikan wang berjumlah RM30,000 milik seorang lelaki berusia 65 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah syarikat di Bandar Perda, Bukit Mertajam dekat sini, jam 3.20 petang pada 30 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin memandangkan kedua-dua tertuduh bukan warga tempatan.

Hakim kemudian bersetuju dengan permohonan itu dan menetapkan 12 Julai depan untuk mengemukakan fakta dan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh.

Selepas 43 tahun siasat, rupanya suami bunuh isteri

Agensi
(Kiri) Margaret dan Allen, (kanan) Carol dibunuh ketika berusia 36 tahun. FOTO Agensi
(Kiri) Margaret dan Allen, (kanan) Carol dibunuh ketika berusia 36 tahun. FOTO Agensi
Bedfordshire: Seorang lelaki disabitkan bersalah oleh Mahkamah Luton Crown di Bedfordhire di sini, pada 19 Jun lalu, atas tuduhan merancang pembunuhan isterinya 43 tahun lalu.

Allen Morgan didapati bersalah bersubahat membunuh Carol Morgan yang dipukul hingga mati pada petang 13 Ogos 1981

Dalam kes yang dianggap seperti drama Hollywood, Allen didakwa menemui mayat isterinya yang ketika itu berusia 36 tahun di lantai bilik stor kedai Morgan's Food Fare di Finch Crescent, Linslade, selepas pulang daripada pawagam bersama dua anaknya Dean dan Jane yang ketika itu masing-masing berusia 14 dan 12 tahun.

Dua beradik itu yang kini berusia 50-an terpaksa akur dan menerima hakikat bahawa bapa mereka merancang plot pembunuhan ibu mereka, Carol.

Pihak pendakwaan berkata, pemergian ke panggung wayang itu memberi alibi buat Allen dan membolehkan pembunuhan upahan membunuh dan merompak Carol.

Isteri Allen yang ketika itu kekasihnya, Margaret Morgan, 75, bagaimanapun didapati tidak bersalah dan dibebaskan.

Allen kini berusia 73 tahun dari Stanstead Crescent, Woodingdean, Brighton kini ditahan reman dan akan dihukum pada 31 Julai depan.

Detektif yang menyiasat pada mulanya mendapati Carol menjadi mangsa kepada 'kesilapan' perompak dan kes itu disiasat semula pada 2018 mendapati Allen sebenarnya mencari pembunuh upahan untuk membunuh Carol.

Jane Bunting (saksi), kini berusia 60 tahun berjumpa pasangan itu (Allen dan kekasihnya) di sebuah pub beberapa bulan dia dibunuh.

Dia memberitahu juri bahawa ketika itu dia berusia 17 tahun dan takut apabila Allen bertanya kepada bekas teman lelakinya sama ada kenal mana-mana individu yang boleh membunuh.

Jane berkata, Allen memberitahu dia membenci Carol dan tidak mahu berkahwin dengan dia serta mahukan dia mati, selain membincangkan cara untuk wanita itu mati.

Carol dan Allen bertemu di dalam kumpulan ibu bapa tunggal di Swindon yang dipanggil Gingerbread.

Mereka berkahwin pada Mac 1977 dan berpindah ke kedai itu pada Disember 1979.

Kira-kira setahun sebelum pembunuhan Carol, Allen memulakan hubungan sulit.

Carol yang menutup kedai pada jam 6 petang, dipukul dengan kapak atau parang.

Tiada tanda-tanda pecah masuk di kedai dan Labrador-Collie milik keluarga Carol itu namun wang tunai dan rokok diambil.

Ketua Detektif Bersara Superintendan Brian Prickett, yang mengetuai siasatan asal untuk Polis Bedfordshire antara 1981 dan 1983, berkata: "Pembunuhan Carol Morgan adalah kejam dan imej tempat kejadian akan kekal terukir dalam ingatan saya selama-lamanya.

"Hakikat kes ini tidak dapat dikesan selama lebih empat dekad kekal menjadi duri kepada semua pegawai yang bekerja dalam kes itu.

"Siasatan asal menjangkau dua tahun dan walaupun selepas masa ini kerap disemak. Ia adalah operasi yang dijalankan dengan teliti, dengan pelbagai baris siasatan walaupun sebelum sains DNA dan kemajuan teknologi lain yang kita ketahui dalam kepolisan hari ini.

"Saya berterima kasih kepada Unit Siasatan Kes Dingin kerana menghidupkan semula siasatan dan membawa pembunuhan Carol ke hadapan juri, dan saya telah memberikan prosiding sokongan penuh saya. Saya berharap keputusan itu akan membawa penutupan kepada mereka yang mengenali dan menyayangi Carol." katanya.
-hmetro

Wanita ditemui mati di hentian bas

Zuliaty Zulkiffli

KULIM: Wanita warga Indonesia ditemukan meninggal dunia di Hentian Bas Jalan Batu, Pekan Kulim, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, mayat wanita berusia 40-an itu ditemui pada jam 10.05 pagi dan identiti wanita itu belum diketahui.

"Waris si mati atau orang awam yang mengenalinya diminta memaklumkan kepada pihak polis dengan segera.

"Ciri fizikal wanita itu adalah berbadan kurus, berambut pendek dan mempunyai wajah berbentuk bujur.

"Si mati mempunyai ketinggian empat kaki 11 inci dan berkulit sawo matang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azizul berkata, mayat wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan wanita itu dipercayai berkemungkinan mati disebabkan penyakit.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan si mati boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Inspektor Ahmad Faris Jusoh," katanya.

Wanita dituduh bunuh anak angkat 5 tahun

FMT Reporters
Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas didakwa atas pertuduhan membunuh anak angkatnya awal bulan ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh anak angkatnya di sebuah rumah di Taman Malcop, Ipoh, awal bulan ini.

Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 28, mengangguk tanda memahami pertuduhan membunuh kanak-kanak berusia lima tahun itu, yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret S Punitha.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa perbicaraan Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang didakwa melakukan kesalahan itu antara tempoh 5 Jun hingga 10 Jun dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,lapor Berita Harian.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Dalam pada itu, ibu kandung mangsa, Siti Nurhidayatul Akmar Mohd Zamry, 28, meluahkan rasa sangat kecewa, sambil menyuarakan, “Kenapa buat anak aku macam tu?”, ketika tertuduh dibawa keluar dari kamar mahkamah.

Bercakap kepada pemberita, Nurhidayatul berkata, dia dan tertuduh disifatkan rakan baik sejak zaman persekolahan.

Katanya, anaknya yang meninggal dunia merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan diberikan kepada tertuduh kerana tidak mempunyai anak walaupun sudah lama berkahwin.

4 PDM penentu kemenangan PH, PN di

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan empat pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Sungai Bakap akan menyaksikan pertembungan sengit antara parti bertanding, terutama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRK 6 Julai ini.

Berdasarkan keputusan PRN lalu, selain Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang menyuarakan hasrat bertanding, dua gabungan itu dijangka memfokuskan PDM Padang Lalang, Sungai Duri, Kampung Besar dan Puteri Gunong.

Pada PRN Ogos tahun lalu, PN menguasai PDM majoriti Melayu iaitu Sungai Duri dengan kelebihan 1,940 undi, Padang Lalang (823) dan Kampung Besar (733), manakala PH menang di PDM campuran Puteri Gunung (sekitar 2,000 undi) yang mempunyai pengundi teramai.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata kunci kemenangan bergantung kepada kemampuan PN memperluaskan sokongan pengundi Melayu di PDM terbabit, manakala PH pula “menyerap” sedikit undi di kawasan itu yang menyebabkan kekalahannya pada PRN lalu dengan majoriti 1,563 undi.

“PN tiada pilihan melainkan fokus pertahan kawasan ini kerana perlu sokongan orang Melayu, trend pengundi dari komuniti lain seperti dapat dilihat pada PRK Kuala Kubu Baharu lebih cenderung sokong PH.

“Jadi, PH boleh beri lebih fokus di kawasan Melayu dikuasai PN ini dan saya percaya kerjasama dengan Umno mungkin boleh membantunya meraih sekurang-kurangnya 15% hingga 20% undi Melayu di Sungai Bakap,” katanya kepada FMT.

Beliau menjangkakan PN akan terus memainkan isu Melayu dan Islam yang mungkin dekat di hati pengundi di tiga PDM terbabit, memandangkan mereka berdepan keterbatasan menawarkan janji pembangunan kerana bukan pemerintah di peringkat pusat atau negeri.

Dalam usaha mengurangkan “defisit” PN pada PRN lalu, katanya, PH dijangka menawarkan manifesto untuk menyalurkan bantuan bagi memajukan kawasan luar bandar seperti Sungai Bakap.

“Menguasai kerajaan Pulau Pinang dan pusat, PH mempunyai kemampuan melaksanakan agenda pembangunan berterusan di Sungai Bakap.”

Namun, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpendapat peratusan keluar mengundi antara faktor akan mempengaruhi keputusan PRK, selain isu semasa seperti penyasaran subsidi diesel yang didakwa menyebabkan kenaikan harga barang.

“Saya tak tolak kemungkinan PN akan terus main naratif Melayu, tetapi kini mereka ada modal lebih besar dari segi isu, contohnya dakwaan berkaitan harga diesel diumumkan kerajaan baru-baru ini.

“Jika naratif itu berjaya disensasikan, tidak mustahil PN menang di Sungai Bakap. Ini cabaran untuk PH dan Barisan Nasional (BN) tangkis serangan terbabit.”

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai penamaan calon dan hari mengundi pada 6 Julai ini. Pada PRN tahun lalu, calon PN menewaskan Pakatan Harapan dengan majoriti 1,563 undi.

DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Kali ini, PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminudin Baki di Kedah, Joohari Ariffin untuk merampas kerusi itu daripada PN yang meletakkan pembantu Zamri, Abidin Ismail.

Gaza: Pegawai Israel akui Hamas tidak boleh dihapuskan

AFP
SUASANA di Khan Yunis, selatan Gaza, pada 18 Jun lalu. FOTO AFP
SUASANA di Khan Yunis, selatan Gaza, pada 18 Jun lalu. FOTO AFP
Baitulmaqdis: Pegawai tertinggi tentera Israel mengakui kumpulan Hamas tidak boleh dihapuskan kerana kumpulan itu ideologi.

Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, menghapuskan Hamas umpama menabur pasir ke mata orang.

"Jika kita tidak mencari alternatif, akhirnya kita akan dapat Hamas.

"Hamas adalah ideologi, kita tidak boleh menghapuskan ideologi," katanya kepada penyiar Channel 13 Israel.

Dalam kenyataan berasingan di saluran Telegram, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menjelaskan, kenyataan Hagari mengenai Hamas sebagai ideologi adalah jelas.

Bagaimanapun, kenyataan Hagari tidak dipersetujui pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang Kabinetnya menyatakan serangannya di Gaza tidak akan berakhir sehingga Hamas dikalahkan.

"Kabinet politik dan keselamatan yang diketuai Perdana Menteri Netanyahu mentakrifkan sebagai salah satu matlamat perang untuk memusnahkan keupayaan tentera dan kerajaan Hamas.

"IDF sudah tentu komited untuk ini," pejabatnya dalam satu kenyataan.

Perang lebih lapan bulan sejak 7 Oktober lalu dilihat masih gagal untuk mengusir kumpulan pejuang Hamas dari Gaza, namun membawa kemusnahan teruk di wilayah terkepung itu.

Serangan itu mengakibatkan kematian 1,194 orang di Israel, serta membunuh sekurang-kurangnya 37,396 orang di Gaza.
-hmetro

Hospital terbakar 8 maut

Bernama-Dpa

Tehran: Lapan orang terkorban dalam kebakaran di sebuah hospital di Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik laporan media.

Kebakaran berlaku di sebuah hospital di bandar Rasht berhampiran Laut Caspian di utara negara itu, menurut agensi berita negara IRNA pada Selasa.

Menurut penemuan awal, mangsa yang terkorban adalah pesakit di unit rawatan rapi. Puluhan anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian, kata ketua perkhidmatan kecemasan di bandar itu dalam satu wawancara dengan televisyen negara.

Punca kebakaran sedang disiasat. Menurut laporan, sekitar 140 pesakit telah diselamatkan, namun terdapat kebimbangan bahawa mungkin terdapat lebih ramai mangsa.
-hmetro

Apabila bekas bendahari Hindu Sangam peluk Islam tentu saja pembenci Firdaus Wong semakin berasap

The Merdeka Times

Bekas bendahari Hindu Sangam yang menyifatkan dirinya sebagai penganut agama Hindu yang sangat tegas dan degil, memeluk agama Islam pada Selasa.

Hidayah Sani
Foto: Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung (tengah atas).
  • Pengislaman Aminah Pooranam itu sekali gus menyaksikan beliau mengikuti langkah anak sulungnya, Abd Rahman yang memeluk agama Islam pada 1988, manakala anak perempuannya pula Alysha memeluk Islam 11 tahun lalu dan menantu lelakinya, Razman Roy atau panggilan lebih mesra Roy memeluk Islam 15 tahun lalu.
  • Antara perkara mendorong pengislaman beliau adalah apabila beliau merasai sendiri bagaimana rakan-rakan Melayu-Muslim dan anak menantu beliau yang melayaninya dengan sangat baik, bahkan layanan itu kadang-kadang jauh lebih baik daripada keluarga beliau sendiri.
  • “Saya seorang Hindu yang sangat tegas. Sangat sangat tegas. Saya pernah membina kuil Hindu di Seremban, menyokongnya dengan wang saya sendiri & merupakan bekas bendahari Hindu Sangam tau. Saya seorang yang sangat degil awak tahu. Tiada siapa yang boleh meyakinkan saya tentang apa-apa jika saya tidak mahu.
  • “Jadi hari itu selepas saya dimasukkan ke hospital ah, saya rasa panggilan itu sudah ada. Hidayahlah, seperti apa yang mereka sebut. Saya suruh mereka hubungi ustaz, saya nak masuk Islam. Awak tahu, saya berasa sangat gembira dan damai walaupun hanya dengan mengatakannya,” katanya ketika ditanyakan bagaimana beliau menyakinkan dirinya untuk memeluk agama Islam, sedangkan beliau seorang yang degil.
  • Kisah pengislaman Aminah Pooranam itu dikongsikan pempengaruh dan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di media sosial beliau, semalam selepas membantu mengislamkan wanita berkenaan atas permintaannya sendiri.
KUALA LUMPUR — Bekas bendahari Hindu Sangam yang menyifatkan dirinya sebagai penganut agama Hindu yang sangat tegas dan degil, memeluk agama Islam pada Selasa.

Pengislaman Aminah Pooranam itu sekali gus menyaksikan beliau mengikuti langkah anak sulungnya, Abd Rahman yang memeluk agama Islam pada 1988, manakala anak perempuannya pula Alysha memeluk Islam 11 tahun lalu dan menantu lelakinya, Razman Roy atau panggilan lebih mesra Roy memeluk Islam 15 tahun lalu.

Aminah Pooranam berkata antara perkara mendorong pengislaman beliau adalah apabila merasai sendiri bagaimana rakan-rakan Melayu-Muslim dan anak menantu beliau yang melayaninya dengan sangat baik, bahkan layanan itu kadang-kadang jauh lebih baik daripada keluarga beliau sendiri.

Katanya, sekalipun beliau seorang yang sangat degil, namun beliau sentiasa ingin bersama dengan orang baik.

“Saya seorang Hindu yang sangat tegas. Sangat sangat tegas. Saya pernah membina kuil Hindu di Seremban, menyokongnya dengan wang saya sendiri & merupakan bekas bendahari Hindu Sangam tau. Saya seorang yang sangat degil awak tahu. Tiada siapa yang boleh meyakinkan saya tentang apa-apa jika saya tidak mahu.

“Awak tahu ah, saya dah cakap saya seorang yang sangat degil tapi saya sentiasa ingin bersama orang baik. Rakan-rakan Melayu Islam saya dan anak saya ini (Alysha), suaminya (Razman Roy) dan menantu saya (Norliza), awak tahu mereka semua melayan saya dengan sangat baik. Menantu saya ini, Roy melayan saya dengan sangat baik. Rakan saya yang beragama Islam melayan saya dengan begitu baik kadang-kadang lebih baik daripada keluarga saya sendiri!

“Jadi hari itu selepas saya dimasukkan ke hospital ah, saya rasa panggilan itu sudah ada. Hidayahlah, seperti apa yang mereka sebut. Saya suruh mereka hubungi ustaz, saya nak masuk Islam. Awak tahu, saya berasa sangat gembira dan damai walaupun hanya dengan mengatakannya,” katanya ketika ditanyakan bagaimana beliau menyakinkan dirinya untuk memeluk agama Islam, sedangkan beliau seorang yang degil.

Kisah pengislaman Aminah Pooranam itu dikongsikan pempengaruh dan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di media sosial beliau, semalam selepas membantu mengislamkan wanita berkenaan atas permintaannya sendiri.

Firdaus Wong yang juga pengasas NGO Multiracial Reverted Muslims (MRM) berkata beliau percaya ramai lagi masyarakat luar bakal mengikut jejak langkah Aminah Pooranam yang awalnya mengatakan beliau adalah seorang ‘staunch’ Hindu, namun akhirnya memeluk Islam kerana keikhlasan dan keterbukaan beliau sendiri. 

“Mereka setuju dengan kenyataan saya bahawa hanya yang ikhlas, rasional dan berani sahaja yang akan memeluk Islam dan kekal sebagai Muslim. 

“Sebelum beredar, Roy juga berkata kepada saya; “In Sha Allah Ustaz, I will try to invite more people to know and become Muslim. Doa for me Ustaz.”,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Anak hilang di KLIA2 rupa-rupanya ada dalam pesawat

QURRATUL AINA QUDDUS
Gambar yang dirakam kira-kira tiga jam sebelum kehilangan Fara (kanan) di KLIA2 pada tahun 2018.
Gambar yang dirakam kira-kira tiga jam sebelum kehilangan Fara (kanan) di KLIA2 pada tahun 2018.
SHAH ALAM - Setiap keluarga yang memiliki anak autisme sudah pasti menghadapi pelbagai ujian besar dan mereka sahaja yang mampu menggalas tanggungjawab berat itu.

Norliza Abd Ghani, 53, berkata, anak istimewanya, Fara Nabila Alias, 34, pernah hilang ketika mereka sekeluarga beratur di ruang pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) semasa mahu menunaikan umrah pada tahun 2018.

“Masa itu saya bergilir-gilir dengan suami mengambil wuduk kerana penerbangan kami pada waktu subuh. Semasa suami sedang menjaga Fara Nabila dan adiknya yang juga seorang anak istimewa, Firjani, petugas yang memeriksa tiket meminta mereka bergerak ke hadapan terlebih dahulu.

“Suami memberitahu petugas itu mereka menunggu saya yang masih di tandas. Selepas petugas itu beredar, suami saya terkejut apabila Fara tiada di sisinya,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, selepas lebih 10 minit, suaminya berusaha mencari anak sulung daripada tujuh beradik itu dan petugas yang sama meminta dia menelefon suami tetapi dia seolah-olah kelu dan kaku ketika itu.

“Akhirnya petugas itu meminta suami untuk segera ke ruangan pelepasan kerana kapal terbang akan berlepas dan khuatir penumpang lain tidak puas hati kerana menunggu lama,” jelas Norliza.

Namun, mereka berdua terkejut apabila mendapati Fara Nabila sudah ada di dalam kapal terbang itu. Malah kami diberitahu oleh pramugari yang Fara seorang diri dan meminta petugas untuk memanggil keluarganya segera.

“Tetapi saya sendiri pelik dan hairan bagaimana Fara boleh masuk ke dalam kabin kerana pasport serta tiketnya ada bersama suami,” katanya.

Lelaki lemas selepas terjun sungai selamatkan adik, anak saudara

Bernama

LAHAD DATU: Seorang lelaki lemas selepas terjun ke sungai untuk menyelamatkan adik dan anak saudaranya yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Dewata di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail berkata, mangsa 33 tahun bersama keluarganya ke sungai itu untuk berkelah, sebelum adik serta anak saudaranya berumur 16 dan 10 tahun yang sedang mandi sungai tiba-tiba terkapai-kapai meminta tolong.

“Lelaki tersebut serta dua iparnya lantas terjun ke sungai dan adik serta anak saudaranya berjaya diselamatkan, namun mangsa tidak dilihat naik ke tebing dalam kejadian 11 pagi itu.

“Ibu mangsa yang menyedari perkara itu meminta tolong dua menantunya mencari mangsa yang kemudian ditemui dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri. Ahli keluarga membawa mangsa ke Hospital Lahad Datu kira-kira 32km dari lokasi kejadian untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh petugas hospital pada 12.49 tengah hari dan laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.

Dzulbaharin menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti riadah atau berkelah di sungai, khasnya pada musim hujan yang boleh menyebabkan paras air naik mendadak dan arus deras membahayakan keselamatan diri.

3 remaja bongkar pasangan tidak dikenali tanam janin

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Pasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi janin terbabit di tanam di kawasan tanah lapang, Batu 5½, Jalan Tuaran, Inanam, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Pasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi janin terbabit di tanam di kawasan tanah lapang, Batu 5½, Jalan Tuaran, Inanam, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Kota Kinabalu: Kecurigaan tiga remaja perempuan dengan kelibat dua individu tidak dikenali di kawasan tanah lapang di Batu 5½, Jalan Tuaran, Inanam, di sini, terjawab apabila menemui bungkusan kain mengandungi janin yang ditanam di kawasan berkenaan, malam tadi.

Seorang daripada mereka mendakwa melihat kelibat lelaki dan wanita berhampiran kawasan tanah lapang dengan membawa beg dan penyodok tanah pada 8 malam.

Ketika itu, dia bersama dua rakannya berada di bilik sewa mereka di tingkat satu dan cuba untuk memeriksa namun ketika itu hujan.

Perasaan ingin tahu menyebabkan mereka memeriksa di kawasan tanah lapang berkenaan dan terlihat ada kesan tanah digali.

Curiga dengan keadaan itu, mereka mengorek semula tanah bagi melihat apa yang ada di dalamnya.

Lalu terkejut apabila terdapat janin di dalam bungkusan berkenaan dan terus membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan janin terbabit.

Menurutnya, sepasukan polis termasuk Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah digerakkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

"Janin itu kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran," katanya.

Percikan api keluar dari enjin: Pesawat MAS mendarat cemas

KOSMO
Video dirakam seorang penumpang menunjukkan percikan api keluar dari enjin pesawat MH199. – NDTV
NEW DELHI – Sebuah pesawat milik Malaysia Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Hyderabad, India selepas mengalami kegagalan enjin, lapor laman berita Times of India.

Penerbangan MH199 membawa 138 penumpang itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi menuju Kuala Lumpur ketika insiden berlaku.

Penerbangan MH199  berlepas pada pukul 12.45 tengah malam (waktu tempatan) semalam, namun berpatah balik ke lapangan terbang berkenaan dan mendarat cemas disebabkan masalah tersebut.

Difahamkan, pesawat itu mengalami kerosakan enjin dan percikan api keluar daripada  enjin yang terjejas.

Penumpang dilaporkan terkandas di lapangan terbang berkenaan ketika pesawat masih berada di situ. 

Sementara itu, laman berita NDTV melaporkan, pihak berkuasa sedang menyiasat punca kegagalan enjin itu, manakala tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – AGENSI

Bas ekspres terbabas masuk gaung

BERNAMA
BOMBA digerakkan ke lokasi bas ekspres terbabas ke dalam gaung di Jalan Silam, Lahad Datu.
BOMBA digerakkan ke lokasi bas ekspres terbabas ke dalam gaung di Jalan Silam, Lahad Datu.
Lahad Datu: Sebuah bas ekspres terbabas ke dalam gaung di Batu 9 Jalan Silam di sini, malam ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.24 malam tadi.

"Tujuh anggota dan pegawai bergerak ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu," katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya operasi menyelamat masih dijalankan dan jumlah mangsa terlibat masih belum dapat dipastikan sehingga kini.

"Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Speaker DUN Kelantan dah langgar prosedur – Pemuda AMANAH

SITI NUR ZAWANI

Tindakan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengumumkan pengosongan kerusi DUN Nenggiri secara tiba-tiba, melanggar prosedur undang-undang yang sepatutnya dipatuhi.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Ammar Atan berkata, pengisytiharan sepihak dibuat oleh Mohd Amar tanpa melalui mesyuarat DUN adalah tindakan yang melanggar prosedur sah.

Menurutnya, Speaker bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan perlembagaan negeri, tetapi turut mengetepikan peraturan dalam Akta Anti Lompat Parti.

“Pengosongan kerusi perlu mengikut prosedur yang ketat seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan negeri, dan akta anti lompat parti.

“Pengisytiharan sepihak yang dibuat oleh Speaker tanpa melalui mesyuarat DUN adalah tindakan yang melanggar prosedur yang sah,” katanya dalam satu video penjelasan dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Tambah Ammar, bekas menteri besar Kelantan itu juga tidak memberi peluang kepada wakil rakyat Bersatu membela diri mereka, sekaligus menafikan hak mereka untuk mempertahankan diri.

“Kedua, setiap wakil rakyat yang dituduh kononnya melanggar anti lompat parti ini berhak untuk membela diri mereka.

“Mereka perlu diberi peluang untuk memberikan penjelasan dan mengemukakan bukti sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Dalam konteks kes ini, hak wakil rakyat tersebut telah dinafikan dan tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membawa risiko ketidakstabilan di Kelantan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan keputusan DUN Kelantan adalah satu kesalahan yang sangat serius.

Beliau juga menyarankan agar rundingan adil dilakukan untuk memastikan keadilan ditegakkan sementara kepercayaan rakyat dipulihkan.

Lelaki serah diri di balai polis selepas bunuh isteri

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Batu Gajah: Seorang lelaki menyerah diri di balai polis selepas membunuh isterinya di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos, di sini hari ini.

Lelaki berusia 36 tahun itu datang ke kaunter aduan Balai Polis Batu Gajah kira-kira 2 petang tadi dan memaklumkan dia membunuh isterinya dalam bilik di hotel itu.

Difahamkan, lelaki itu membunuh isterinya menggunakan pisau dan punca pembunuhan dipercayai akibat keretakan rumah tangga yang menghampiri perceraian.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan suspek menyerah diri ke balai polis selepas melakukan jenayah itu.

"Ya, benar," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusri memaklumkan kenyataan media berhubung kes itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

ADUN Pas disindir sibuk bina telaga di Uganda, “Kelantan macam mana?”

SITI NUR ZAWANI

Seorang wakil rakyat Pas menjadi sasaran kritikan selepas memuat naik gambar sebuah telaga yang berjaya dibina di Uganda hasil sumbangan Pas Relief dan NGO Warga Cakna.

Menerusi hantaran di X ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim, beliau memuat naik video pembinaan telaga yang berjaya disiapkan untuk kegunaan kanak-kanak di Uganda.

Dalam kapsyen video itu, beliau menulis bahawa ‘air adalah kehidupan’, selain memaklumkan telaga tiub sumbangan Pas Relief telah memberikan sinar berharga buat penduduk di negara itu.

“Di sebuah kampung pendalaman Uganda, di sini mereka tiada bekalan air bersih. 

“Siapnya sebuah telaga tiub sumbangan Pas Relief dan NGO Warga Cakna memberikan sinar berharga buat penduduk muslim di sini.

“Mari anak-anak, Pok Cik Man basuh muka,” ciapnya.

Dalam video yang dimuat naik, Dr Azman sempat menggunakan air dari perigi yang disumbangkan untuk mencuci muka kanak-kanak Uganda yang berdiri di sekelilingnya.

Bagaimanapun sosial media miliknya dihujani komen pedas dari rakyat Malaysia yang meminta agar ahli politik itu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyatnya sendiri di Kelantan.

“Di Uganda mereka bina telaga tiub hasil sumbangan Pas, sedang di Kelantan rakyatnya bina telaga tiub menggunakan duit sendiri,” komen @riekadier

“Sibuk negara orang. Negeri parti sendiri kau seksa puluh tahun tak ambil kisah pula. Sampai kesudah gali telaga,” kata @zachkry

Pada masa sama segelintir pihak mengumpamakan situasi tersebut saling tidak tumpah dengan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Seorang penduduk di Kelantan juga berkongsi video di ruangan komen, mengeluh dengan air yang keruh.

“Jauh Pas Relief pergi. Kampung ambo dok hadap air kuning jah ni. Tak cakna ko negeri sendiri? Tapi tak apo lah. Mujur air ada deh. Mari pok cik man, ambo nak basuh muka pokcik dengam air ni,” komen @alfaizhilmi sambil menunjukkan air di rumahnya yang karat.

Pas Relief dan NGO Warga Cakna menganjurkan lawatan ke Uganda pada 16 hingga 19 Jun lalu untuk mengadakan beberapa program di negara itu, termasuk program Qurban dan program bina perigi.

Antara yang terlibat dalam lawatan itu ialah ADUN Jabi, Dr Azman.

Pasangan pelancong terperangkap akibat pintu gua tertutup

Bernama
Bomba berkata pelancong dari China dan Korea Selatan yang terperangkap dalam Gua Tokong Sam Poh Tong diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan. (Gambar JBPM)
IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyelamatkan sepasang pelancong warga asing yang terperangkap di dalam Gua Tokong Sam Poh Tong, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 2.26 petang daripada seorang mangsa yang terperangkap.

“Lelaki warga China dan wanita warga Korea Selatan itu dijumpai dalam keadaan selamat di gua dan mereka didapati terperangkap kerana pintu utama gua telah tertutup,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-duanya yang berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi menyelamat hanya mengambil masa kira-kira 30 minit dan pintu gua berkenaan telah dibuka semula oleh pengawal keselamatan,” katanya.

Terkejut mualaf serah babi untuk dijadikan korban Aidiladha

Malaysiakini 

Niat yang baik belum tentu menghalalkan cara. Begitulah yang terjadi di sebuah daerah di Indonesia apabila seorang ustaz menerima seekor babi untuk dijadikan korban sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Peristiwa itu dikatakan berlaku di sebuah daerah di Papua apabila seorang mualaf yang baru memeluk Islam membawa seekor babi dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke sebuah masjid.

Kisah unik itu dipaparkan menerusi satu video yang tular di media sosial.

"Cerita unik dari Papua. Baru (menjadi) mualaf dan belum faham, bawa babi untuk korban," menurut keterangan pada video tersebut.

Dipercayai mualaf yang mahu menyerahkan babi untuk dijadikan korban itu masih belum memahami ajaran Islam secara menyeluruh.

Menerusi video itu, individu yang merakam kejadian tersebut didengar berseloroh dengan mengatakan haiwan itu boleh dijadikan korban.

Tindakan mualaf itu menyebabkan ustaz berkenaan dilihat kebingungan dan turut sama tertawa. Ini kerana dalam ajaran Islam, daging babi diharamkan untuk dimakan.

Selain Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam bagi memperingati peristiwa Nabi Ibrahim yang bersedia mengorbankan anaknya, Nabi Ismail sebagai mematuhi perintah Allah SWT.

Namun sebelum Ibrahim mengorbankan Ismail, Allah menukarkan puteranya itu dengan seekor biri-biri untuk dikorbankan.

Umat Islam menyambut Aidiladha dengan menyembelih haiwan ternakan seperti unta, lembu, kambing atau biri-biri.

Dalam takwim Hijrah, Hari Raya Aidiladha jatuh pada hari ke-10 Zulhijah dan berlangsung selama empat hari iaitu hari ke-10, ke-11, ke-12 dan ke-13 bulan Zulhijah setiap tahun.