"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kempen #TamatDarurat bergerak ke seluruh negara

BORHAN AHMAD

Kempen #TamatDarurat bergerak ke seluruh negara

Kempen #TamatDarurat secara aman dan tanpa suara (mannequin) bergerak ke seluruh negara dengan digerakkan oleh Jawatankuasa Penamatan Darurat yang diketuai oleh Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Beliau sendiri telah menggerakkan semua organisasi AMANAH untuk mengadakan kempen itu di negeri masing-masing bermula malam tadi apabila beliau sendiri turun ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bertempat di Pasar Seni.

Hari ini kempen menaikkan kertas pemidang ‘TolakDarurat’ berjalan di Kuala Terengganu, Kucing (Sarawak), Melaka, Pulau Pinang dan juga di Kuala Lumpur.

Raja Bahrin mengetuai kempen di Kuala Terengganu.

Di Kuala Terengganu, program secara mannequin berjalan di perkarangan Pejabat Pakatan Harapan Terengganu yang terletak berhampiran Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Ia diketuai sendiri oleh Datuk Raja Kamarul Bahrin, Pengerusi PH dan AMANAH Terengganu.

Adly mengetuai kempen di Melaka.

Di Melaka, kempen #TamatDarurat diketuai sendiri oleh Pengerusi PH dan AMANAH Melaka, Adly Zahary.

Kempen itu dijalankan di tengah-tengah bandar Melaka.

Di Kucing Sarawak, kempen ini berjalan di tengah-tengah bandar Kucing malam tadi. Ia diketuai sendiri oleh Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Halil Abang Naili.

“Kita melihat rakyat terutamanya di Sarawak ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang…manakala yang berada dan kaya tidaklah terasa sangat dengan keadaan sekarang.

“Dan apabila darurat dilaksanakan rakyat amat terkesan apatah lagi dalam tempoh yang sangat lama,” kata beliau kepada wartawan yang membuat liputan.

Kempen Tamat Darurat di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Di Pulau Pinang, kempen ini berjalan di perkarangan Pasar Awam Taman Berjaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Di Kuala Lumpur, kempen ini di jalankan di perkarangan pasaraya Sogo yang terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Khalid melancarkan kempen #TamatDarurat dalam satu sidang media bersama 23 lagi ahli Jawatankuasa Penamatan Darurat di sebuah hotel Jumaat lepas.

Beliau berkata, kempen ini akan mengumpul tanda tangan secara maya melalui lamat web tamatdarurat.com dan rayuan ini akan dihantar kepada Yang Dipertuan Agong menjelang Ramadhan ini.

Sehingga hari ini, lebih 15,000 telah menandatangani surat rayuan ini.

Mungkin saya tanding di Pagoh - Anwar

Malaysiakini 

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini dalam nada jenaka berkata dia mungkin mempertimbangkan untuk bertanding di parlimen Pagoh yang disandang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika ini.

Anwar berkata, Pagoh salah satu daripada 15 kawasan parlimen di mana dia diminta untuk bertanding..

"Sekarang ini ada 15 kawasan (parlimen) minta saya bertanding.

"Saya kena pertimbang di antara 15 (kerusi) itu, termasuk Pagoh," katanya kepada pemberita di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya apakah dia akan kembali mempertahankan parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya akan datang.

Anwar pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh selama enam penggal.

Namun, pada tahun 2018, ketika dia berada di penjara, anak perempuannya Nurul Izzah bertanding di kerusi tersebut.

Setelah dibebaskan dari tahanan, Anwar kemudian mengambil alih parlimen Port Dickson melalui pilihan raya kecil (PRK).

Muhyiddin telah memegang kerusi Pagoh di Johor selama lapan penggal.

Pada 2018, dalam pertandingan tiga penjuru menentang Umno dan PAS, presiden Bersatu itu memenangi Pagoh dengan 55.21 peratus undi.

Dalam pilihan raya itu, pengundi bukan Melayu menyumbang 34 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi yang layak mengundi.

Disyaki minta rasuah seks bagi pinjaman pertanian, ketua jabatan ditahan

Willie Jude

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks daripada seorang wanita.

Lelaki berusia 51 tahun yang bertugas sebagai ketua di sebuah jabatan kerajaan negeri itu ditahan 3.30 petang semalam, di sebuah hotel di Keningau.

“Perkhidmatan seks itu adalah sebagai suapan untuk suspek memberikan sokongan kepada wanita berkenaan bagi mendapatkan pinjaman pertanian,” kata sumber SPRM.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, suspek ditahan selama 24 jam untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Tafsiran suapan mengikut Seksyen 3 Akta SPRM 2009 meliputi pelbagai perkara termasuk pinjaman, jawatan serta perkhidmatan seperti perkhidmatan seks,” katanya.

Ahli Parlimen Miri mengaku ditawar keluar parti, sokong PN

RAYMOMD LUI

Ahli Parlimen Miri mengaku ditawar keluar parti, sokong PN

Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng mengakui telah ditawarkan untuk keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Bagaiamanapun, beliau telah menolak tawaran itu dan tetap memegang prinsip untuk terus menyokong penuh kepimpinan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sejak beberapa bulan yang lalu saya sudah diajak beberapa kali untuk lompat parti dan mengkhianati Anwar.

“Saya telah ditawarkan pelbagai tawaran oleh pihak tertentu yang berusaha meruntuhkan proses demokrasi di negara kita melalui kerajaan pintu belakang.

“Namun, pendirian saya tetap kuat dan berprinsip dan saya tidak bersedia untuk dijual beli oleh mana-mana pihak.

“Sudah 21 tahun saya pilih untuk mengikut Anwar dan berjuang secara sukarela. Saya tetap percaya Anwar seorang pemimpin yang cukup berwibawa dalam memperjuangkan prinsip reformasi dan keadialan untuk semua,” katanya menerusi hantaran facebooknya.

Beliau turut percaya Anwar mempunyai formula untuk membawa Malaysia keluar daripada kemelut yang kini melanda negara termasuk kemerosotan ekonomi akibat pelbagai penyelewengan dan urus tadbir yang lemah yang menyebabkan kadar kemiskinan makin ketara.

“Saya percaya Anwar dapat menyatukan rakyat majmuk di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama supaya kita semua dapat hidup secara aman dan harmoni, serta mampu membawa transformasi kepada seluruh Sarawak dan Malaysia, dari segi sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pembanguan terutamanya pembangungan luar bandar,” tambahnya.

Kata Dr Teo lagi, rakyat golongan B40 dan desa yang tertindas sentiasa menjadi tumpuan dan merupakan golongan sasaran selama 50 tahun berkhidmat sebagai seorang doktor dan lebih 20 tahun menceburi bidang politik.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PKR tetap menyokong kepimpinan Anwar kerana beliau telah banyak untuk memperjuangkan nasib rakyat sejak zaman 1970-an lagi.

“Anwar adalah seorang aktivis mahasiswa di Universiti Malaya dan ditahan di bawah akta ISA kerana memperjuangkan isu rakyat yang mengalami kebuluran dalam peristiwa Baling di Kedah.

“Lebih dua dekad kemudian, apabila Anwar memperjuangkan prinsip reformasi dan anti-rasuah di dalam kerajaan pada 1998, beliau telah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu serta ditangkap di bawah ISA dan dibelasah dengan teruk di dalam penjara.

“Kebebasan beliau telah dirampas selama 10 tahun apabila dipenjarakan sebagai tahanan politik dan mengalami pelbagai keperitan dan kesakitan dari segi kesihatan ketika itu.

“Isteri beliau mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah serta seluruh keluarga turut banyak berkorban untuk rakyat dan bertungkus lumus untuk membina parti ini selama beliau dipenjarakan sebagai tahanan politik,” jelas beliau.

Dr Michael juga menganggap terlalu ramai yang telah mengkhianati Anwar dalam tempoh 21 tahun yang lalu, namun beliau enggan menjadi salah seorang daripada mereka.

“Saya tidak rela tergolong dalam kumpulan pengkhianat dan akan memilih untuk kekal bersama Anwar dan PKR tidak kira apa jua cabaran yang melanda.

Justeru, beliau menyeru kepada semua penyokong dan ahli PKR untuk tetap sabar dan berdiri teguh berprinsip bersama Anwar.

“PKR adalah parti masa kini yang sangat relevan dan parti masa depan yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat.

“Semoga kita bersama-sama dapat memenuhi aspirasi rakyat, ‘Keadilan untuk Sarawak, Keadilan untuk Semua,” tegasnya.

Dr Mujahid Yusof Rawa sekolahkan beberapa orang pemimpin PH

Lawan atas prinsip nilai bukan membabi buta

DR MUJAHID YUSOF RAWA

Semua sedia maklum prinsip ‘kesatuan melahirkan kekuatan’. Tidak salah untuk mengingatkan supaya kukuhkan kita kerana sekian lama dalam politik itulah slogan yang didengungkan. Demikian yang dilakukan oleh beberapa dalam kalangan MP pembangkang dari AMANAH, DAP, MUDA dan WARISAN mengingatkan Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Majlis Presiden PH.

Namun demikian, kita perlu menjangkau lewat slogan dan retorik kepada soalan lebih mendasar, iaitu apakah tujuan utama seruan pengukuhan pembangkang? Kita harus menghayati apakah dia ‘big picture’ yang kita perlu nampak sebalik seruan kukuhkan kita. Jelaskah kita?

Kita sebagai rakan setia dalam AMANAH, Keadilan dan DAP telah membuktikan kesatuan kita. Kita menjayakan usaha mengambil mandat kembali dalam kalangan 220 MP yang diputuskan oleh Majlis Presiden PH dan saya yakin semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan bersungguh-sungguh.

Kenapa semasa usaha kembalikan mandat itu, kita juga mensasarkan ahli-ahli parlimen Umno demi meyakinkan mereka keperluan ambil mandat semula? Apakah kita mengajak mereka sebagai ahli parti kleptokrat ataukah kita mengajak mereka untuk selamatkan prinsip demokrasi? Kita juga meyakinkan Warisan dan Pejuang atas nada dan nafas yang sama walaupun parti tersebut ada isu dengan DSAI.

Kenapa semasa kita bercakap tentang ‘Grand Coalition’ (Kerjasama Besar Politik) kita cuba kesampingkan potensi pihak lain termasuk Umno? Ataukah kita sempitkan yang ‘Grand’ itu kepada pilihan tertentu sahaja? Mana kejelasan kita dalam membawa agenda yang kerananya kita memerlukan Kerjasama Besar-besaran Politik?

Kita bukan hendak menjatuhkan PN tetapi kita hendak menamatkan politik jelik, kotor dan rasuah jijik yang diamalkan oleh PN untuk kekalkan pengkhiantan mereka. Kita melawan atas prinsip nilai bukan membabi-buta! Kejelasan inilah yang merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromi dalam membina kerjasama kita dengan semua pihak termasuk Umno.

Kita bertemu dengan agenda besar bukan agenda peribadi. Begitulah juga kita mendekati Bersatu diambang PRU ke-14. Kini jelas siapa yang membelakangkan agenda besar kita.

Dengan mengisyaratkan fokus kukuhkan pembangkang kita telah membuat percanggahan kepada kenyataan Grand Coalition kita yang awal. Bukankah dengan berjumpa semua pihak itu mampu mengkukuhkan kita dan akan menjayakan Grand Coalition kita? Kenapa kita disekat dengan istilah parti kleptokrasi dan kluster mahkamah? Bukankah perkara ini telah ditegaskan beberapa kali dalam kenyataan bersama Majlis Presiden PH bahawa tiada kompromi kepada kes mahkamah yang sedang berjalan dan perlu menerima asas reformasi yang kita aspirasikan bersama.

Sebab itu saya bertanya apa tujuan semua ini? Jika kita meletakkan pembangkang lawan PN kita tidak akan meramaikan penyokong, tetapi jika kita letakkan landasan ‘ayuh bersama tamatkan kejelikan politik dan pulihkan demokrasi’ maka pasti ada dalam kalangan parti politik lain yang akan bersama kita termasuk Umno. Itulah semangat Grand Coalition.

Untuk rekod, sepanjang sejarah BA, PR dan PH tidak ada kerjasama politik yang termetrai melainkan dengan syarat dan komitmen agenda reform yang menjadi teras perjanjian. Pas, Bersatu tinggalkan kita kerana tidak ada iltizam dengan semangat reform dan tidak istiqamah. AMANAH, DAP dan Keadilan solid kerana meyakini agenda reform. Kenapa kita isyaratkan tidak mahu kerjasama dengan parti kleptokrasi? Apakah kita lebih lemah dari kleptokrasi hari ini? Bukankah kita telah membuktikan agenda kita lebih besar dari agenda kleptokrasi?

Kita harus jujur pada cita-cita kita, sebesar kejayaan kita adalah membangkitkan dhomir hati manusia kepada menolak pengkhianatan, kefasadan politik dan membangkitkan dhomir menyokong sikap Adil, Ihsan dan Islah.

Semoga kebangkitan dhomir dalam hati-hati orang Umno dan rakan-rakan lain akan mengukuhkan semua kita demi kita pulihkan demokrasi dan sembuhkan negara dari para perosak negara dan pencabul prinsip demokrasi.

Kukuhkan kejelasan kita dahulu!

'Buaya' telah menyelam kembali, kata Hadi

Malaysiakini

Jika sebelum ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkias dengan mendakwa ada 'buaya' yang sudah memakan umpan dihulurnya, kini dia berkata buaya tersebut sudah menyelam kembali.

Menjawab soalan wartawan di Marang hari ini Abdul Hadi bagaimanapun enggan mendedahkan secara jelas siapa sebenarnya yang dimaksudkan sebagai "dua ekor buaya" itu.

Sebaliknya Abdul Hadi berkata orang ramai boleh menilai sendiri buaya yang dimaksudkannya.

"Sekarang 'buaya' menyelam balik...siapa buaya itu, orang dapat menilailah.

"Yang timbul itu siapa, yang menyelam balik itu siapa. Yang timbul dua ekor," katanya ringkas ketika ditemui media di Rusila, Terengganu.

Pada 9 Mac lalu, Presiden PAS itu membayangkan kenyataannya mengenai "buaya" semasa mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung status salah satu seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor hanyalah berbentuk 'umpan'.

Menurut Abdul Hadi, ketika itu dia berpendapat umpan yang dihulurkan itu sudah dimakan 'buaya' dan dia sedang menunggu masa yang sesuai untuk menyentap kail tersebut bagi melengkapkan gerakan tersebut.

"Saya sedang menunggu kail dimakan lebih dalam dan ditelan lebih ke dalam untuk menyentapnya," katanya dalam catatan terbaru siri Minda Presiden di Facebook.

Duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu menambah kenyataan dibuatnya itu bukanlah mencabar mana-mana pihak sebaliknya sekadar peringatan kepada pihak yang "masih berakal budi."

Bagaimanapun terdahulu - pada 4 Mac - melalui siri tulisan Minda Presidennya, Abdul Hadi menzahirkan rasa kecewanya kerana menurutnya ada hakim Melayu Islam yang "tiada dalam hatinya kepekaan terhadap Islam" walaupun negara sudah merdeka lebih 50 tahun.

Abdul Hadi juga berkata terdapat "hakim yang baru" hilang sensitiviti agama dengan membuat keputusan berasaskan buku yang dibaca, bukan mengikut pertimbangan akal yang mempunyai budi bicara.

"Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya," tulis Abdul Hadi.

Ia mendorong beberapa pihak termasuk bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dilapor membuat gesaan agar prosiding menghina mahkamah digerakkan ke atas Abdul Hadi.

Untuk rekod pada 25 Feb lalu sembilan hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan peruntukan mengenai kesalahan seks luar tabii dalam undang-undang syariah Selangor sebagai tidak sah.

Bagaimanapun keputusan tersebut tidak bermakna mahkamah terbabit membenarkan amalan seks luar tabii sebaliknya berpendapat peruntukan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim berkenaan menjelaskan undang-undang mengenai perkara yang dibahas dalam seksyen 28 enakmen terbabit - yang menyentuh mengenai seks di luar tabii - hanya boleh digubal melalui parlimen.

Shahidan cabar Umno, nak buang Perlis, buanglah

Malaysiakini 

Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Shahidan Kassim hari ini mencabar keputusan Majlis Tertinggi yang memutuskan bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya, Shahidan yang dilantik sebagai pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sejak Oktober tahun lalu oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, Umno Perlis berpendirian akan tetap akan berunding dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Kalau Perlis buat keputusan, mereka nak buang Perlis, maka buanglah.

"Bagi kami, biarlah berlaku perundingan supaya di mana BN, PN tak bertanding. Di mana PN bertanding, BN tak bertanding. Kita nak rundingan itu saja," katanya yang dipetik portal MalaysiaNow.

Shahidan yang juga dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Perumahan Malaysia baru-baru ini mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menyatakan bahawa majlis tertinggi parti itu telah mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Keputusan itu dijangka dimuktamadkan pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan pada 27 Mac nanti.

Sementara itu, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata bahawa Umno perlu berubah mengikut keadaan semasa.

"Suatu ketika dulu, memang Umno sebuah parti yang tidak boleh diganti.

"Jadi dalam kalangan orang Umno itu yang orang kata yang hebatlah. Tidak boleh berubah, disentuh pun tak berubah. Parti itu adalah keutamaan. Sebab itu zaman itu sampai lah satu ketika 90-an begitu Umno adalah sebuah parti yang siapa bertanding atas nama Umno, kita akan menang.

"Itu contoh. Zaman itu lain. Sekarang zaman berubah. Lebih lebih lagi kita ada handphone, kita ada pandangan-pandangan yang dinamik, so berubah dari semasa ke semasa," katanya.

Umno Perlis pernah mempunyai sejarah bertembung dengan keputusan kepimpinan pusat setelah sembilan Adun BN tidak menghadiri majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis pada tahun 2018.

Ini selepas, dilaporkan bahawa Umno Perlis tidak setuju dengan keputusan Umno pusat mencalonkan Azlan Man sebagai MB negeri.

Shahidan juga merupakan pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional di Dewan Rakyat walaupun BN dan Umno bukan anggota dalam gabungan PN.

Belah perut ibu hamil 8 bulan, larikan bayi

Metro

Agensi

Macae: Seorang ibu yang sarat mengandung lapan bulan ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati apabila perutnya dibelah dan bayinya dilarikan suspek.

Pamella Ferreira Andrade Martins, 21, ditemukan mati di rumahnya di Nova Holanda, Brazil kelmarin selepas polis memecahkan pintu kediamannya itu.

Media tempatan melaporkan, Pamella ditemukan dalam keadaan tragis di lantai bilik air rumahnya itu selepas pihak berkuasa berjaya memasuki kediaman berkenaan.

Pihak berkuasa percaya Pamella dipukul dan diserang suspek sebelum dikunci di bilik air rumahnya itu.

"Ketika ditemukan, Pamella sudah meninggal dunia, perutnya terbuka dan kandungannya (bayi) hilang," kata saksi kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 22 tahun yang dipercayai suspek utama kes berkenaan.

Bagaimanapun, sehingga kini pihak berkuasa belum mendedahkan identiti wanita terbabit.

Menurut media tempatan, suspek ditahan di sebuah hospital selepas dilaporkan membawa mayat bayi lelaki bersamanya.

Suspek memberitahu doktor bahawa dia melahirkan bayi lelaki itu selepas terjatuh ketika turun tangga.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dilakukan pihak hospital mendapati wanita itu tidak pernah hamil sebelum pihak berkuasa menahannya.

Susulan penahanan itu, pihak berkuasa turut menemukan pisau yang dipercayai digunakannya sebagai senjata untuk membelah perut Pamella.

Untuk rekod, suspek dilaporkan dilihat bersama Pamella sehari sebelum kejadian itu.

Lebih baik Umno bertanding solo, atas tiket BN

ZAKARIA MUSA

Kerjasama politik Bersatu-Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional nampak gaya sukar dipertahankan lagi. Besar kemungkinan hayatnya bakal berakhir sebelum Parlimen dibubarkan lagi.

Manakala satu lagi sekutunya, Pas, dilihat lebih cenderung kepada Bersatu, yang kini memegang tampuk kuasa. Namun Pas difahamkan cuba menjadi pendamai sengketa Bersatu-Umno ini, meskipun lebih awal memetrai persefahaman dalam Muafakat Nasional.

Pas juga terdedah kepada dua fraksi sehingga dilaporkan ada rancangan untuk mengetepikan presidennya, Abdul Hadi Awang yang dikatakan sering membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada parti. Ini tabiat lama Hadi yang telah menyebabkan Pas terbahagi dua, sehingga melahirkan Parti Amanah Negara.

Keretakan dalam Umno tidak lagi boleh disembunyikan. Mulanya terbentuk “kluster mahkamah” dan “kluster menteri” yang mempunyai sikap berbeda terhadap pentadbiran Muhyiddin Yassin. Gerakan itu sudah berkembang ke akar umbi, ditambah parah dengan kelemahan ketara presidennya, Zahid Hamidi untuk mengawal parti.

Tidak mustahil sengketa dalam Umno itu dimarakkan lagi oleh tangan-tangan ghaib dalam Bersatu khususnya mempengaruhi proses pemilihan parti. Sudah timbul khabar angin kemungkinan Najib Razak dan Zahid berdepan hukuman penjara yang seterusnya memudahkan pengaruh mereka berdua dalam Umno diminimumkan.

Hanya kepemimpinan Bersatu nampak tidak goyah. Di samping Muhyiddin, pengaruh Azmin Ali sedang dibina dalam parti; tidak mustahil menyediakannya ke posisi lebih strategik, misalnya timbalan presiden. Umum mengetahui Azmin adalah perancang sebenar “drama yang dipentaskan” sejak Langkah Sheraton lagi. Begitu juga dengan episod “lompat katak” beberapa ahli Parlimen PKR mutakhir ini.

Lanskap politik tanahair nampak seimbang. Jika Perikaran Nasional kelihatan goyah, saingan terdekatnya, Pakatan Harapan juga terdedah kepada risiko keretakan. Seawal runtuhnya kerajaan PH pada hujung Februari 2020, faktor Dr Mahathir Mohamad menjadi bualan hangat yang merobek kesatuan. PH bukan sahaja kehilangan Bersatu dan geng Azmin, tetapi juga Warisan serta penyokong Mahathir. Maknanya ia semakin mengecil.

Apabila Anwar melakukan rundingan dengan pelbagai pihak untuk memartabatkan kembali mandat rakyat dalam PRU14, masalah timbul berkaitan sokongan daripada Umno, khususnya daripada “kluster mahkamah”. Difahamkan Najib dan Zahid turut menyokong Anwar membentuk kerajaan baharu. Khabarnya di peringkat awal sokongan ahli-ahli Parlimen Umno itu mencukupi untuk memperolehi “cukup bilang” bersama dukungan PH, walaupun tanpa penyokong-penyokong Mahathir. Seolah-olah Umno secara en bloc menyokong Anwar; dan ini sukar dipastikan kesahihannya disebabkan impak Covid-19.

Di kala sokongan ahli-ahli Parlimen Umno sendiri sukar disahkan, sikap sekutu PKR dalam PH, iaitu AMANAH dan DAP sendiri menjadi tanda tanya. Seteru bersama — Bersatu — tidak memungkinkan PH-Umno melupakan semua perbedaan mereka terutama berkaitan prinsip dan moral perjuangan. AMANAH dan DAP dilihat sukar untuk merangkulkan Umno dalam satu persefahaman politik yang baharu menjelang PRU15.

Berdasarkan kenyataan beberapa pimpinan utama AMANAH, parti itu dilihat keberatan untuk bersama Umno secara en bloc, khususnya “kluster mahkamah”. Di pihak Umno pula, tiada penegasan yang jelas; ia lebih cenderung untuk bertanding dalam blok tersendiri, iaitu Barisan Nasional, selain terus berusaha merapati Pas, sekutunya dalam Muafakat Nasional.

Sementara DAP mungkin dianggap tidak akan bersaing dalam konstituensi yang sama dengan Umno, dan menyebabkan persefahaman politik lebih mudah terjalin, tetapi daripada segi prinsip dan asas perjuangan, ruang untuk bekerjasama itu lebih sempit. Para penyokong DAP pula dijangka lebih kritikal dan akan menolak cadangan itu jika ada. Maknanya, Anwar berdepan laluan sukar jika membabitkan Umno, kecuali sekadar individu tertentu.

Sebenarnya sebelum Langkah Sheraton, Umno yakin untuk merampas balik Puterajaya, hanya dengan kerjasama Pas. Banyak kalangan pimpinan parti melihat penggabungan Umno untuk membentuk kerajaan pintu belakang Muhyiddin-Azmin itu satu kesilapan strategi. Sudahlah Umno dibuli oleh Bersatu dalam agihan jawatan, kesatuan dalam parti turut dirobek dengan dahsyat. Melalui “scheme of things”, Muhyiddin kini mencaturkan barisan kepemimpinan baharu Umno. Kes- kes mahkamah pemimpin kanan Umno menjadi senjata terbaik untuk melemahkan parti seteru terdekat Bersatu itu.

Ada penganalisis berpendapat, lebih baik Umno bertanding atas tiket BN. Lupakan juga Pas sekiranya persefahaman dalam Muafakat Nasional tidak dihormati lagi. Biarlah dicari titik- temu selepas keputusan PRU15. Banyak negara menyaksikan koalisi parti-parti lebih mudah terbentuk selepas rakyat mengundi. Mungkin itu pilihan terbaik buat Umno.

Patriot: Menteri Dalam Negeri tidak tahu apa berlaku dalam pasukan polis

SITI NUR ZAWANI MISCON

Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin secara jelas menunjukkan bahawa beliau tidak tahu apa yang berlaku di dalam pasukan polis ekoran kenyataannya yang meragui dakwaan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, tidak sewajarnya Hamzah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dakwaan Abdul Hamid.

“Dalam tegurannya terhadap IGP, menteri dalam negeri menyebut bahawa tidak ada kartel polis.

“Sedangkan semasa wawancara, IGP mengatakan ada pegawai muda yang ada kaitan dengan kartel (di luar) berhasrat memusnahkan imejnya supaya mereka dapat meneruskan pekerjaan kotor mereka.

“Jelas, menteri itu tidak memahami apa yang IGP katakan, atau dia tidak tahu apa yang berlaku dalam pasukan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid mendedahkan wujudnya gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berhasrat untuk menjatuhkan beliau.

Menurutnya, gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka dan memudahkan mereka melakukan “kerja-kerja kotor.”

Tony Pua kemuka saman fitnah pada Chegubard

Hidir Reduan Abdul Rashid

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, mengemukakan saman fitnah terhadap bekas anggota PKR Chegubard berhubung isu pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) Sime Darby Property.

Tindakan sivil itu membabitkan dua siaran tulisan Chegubard yang dimuat naik ke laman Facebook rasminya antara 23 Oktober 2019, dan 19 September 2019 ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Anggota parlimen DAP itu mengemukakan notis saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Januari lalu dengan menyebut Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin sebagai defendan.

Menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini, Pua mengemukakan saman berhubung tuduhan yang mendakwa dia berusaha untuk memastikan ahli perniagaan Voon Tin Yow dilantik sebagai CEO Sime Darby Property. 

Plaintif merupakan setiausaha politik menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Pada 2019, media melaporkan khabar angin mengenai Voon bakal dilantik untuk jawatan CEO Sime Darby Property.

Namun, pemangku CEO Kumpulan Sime Darby Property, Wan Hashimi AlBakri Wan Ahmad Amin Jaffri menafikan khabar angin tersebut dan menyifatkannya sebagai spekulasi semata-mata.

Voon ketika itu adalah pengarah Eco World Development Group Bhd. Kemudian pada April 2020 dia meninggalkan syarikat itu untuk menjawat jawatan sebagai CEO IOI Properties Group.

Melalui tindakan undang-undang yang dikemukakan, Pua mendakwa meskipun telah mengeluarkan dua surat tuntutan pada 29 Oktober 2019 dan 15 Nov 2019, namun Chegubard masih enggan untuk menarik balik posting Facebooknya itu serta menerbitkan permohonan maaf.

Tuntutan itu meminta perintah untuk menyekat Chegubard daripada terus menerbitkan tuduhan tersebut.

Pua juga menuntut ganti rugi umum, ganti rugi teladan serta faedah tahunan 5 peratus ke atas jumlah ganti rugi yang diberikan dikira dari tarikh penghakiman hingga pembayaran penuh, kos, dan apa-apa pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini, peguam Pua, Tan Cheng Leong mengesahkan writ saman telah diserahkan kepada Chegubard minggu lalu.

Peguam itu menambah perkara itu telah didaftar untuk pengurusan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April ini.

LAPORAN KHAS: Kemelut penjajaran politik baharu menjelang PRU-15

LAPORAN KHAS MALAYSIA DATELINE

SEJAK kebelakangan ini Malaysia berbicara tentang kemungkinan berlakunya pilihanraya umum dalam tempoh terdekat. Dengan pilihanraya yang makin hampir, persaingan antara parti-parti politik dalam negara menjadi semakin dinamik dan menarik, dan kadangkala mengelirukan.

Saingan utama tentunya antara Umno/BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). PN yang terdiri dari Bersatu, Pas dan beberapa lagi parti lain, walaupun masih baharu dan belum teruji, mempunyai kelebihan sebagai penguasa kerajaan dan penentu tarikh pilihanraya.

Dalam PRU 14, PH menguasai sekitar 90% undi Cina dan India, manakala Umno dan Pas menguasai lebih 70% undi Melayu.

UMNO MENCATU

Paling menarik mutakhir ini adalah bagaimana Umno memposisikan partinya menjelang PRU15. Pada 19 Februari 2021 mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno membuat keputusan bahawa parti mereka tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15, tapi pada masa yang sama kekal menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Keputusan Umno ini umpama satu gerakan bidak catur yang menyentak pemain lawan. Dari gerakan ini, ia mencetus kepada posisi pertembungan 3 kolisi utama iaitu BN, PN dan PH.

Umno yang sejak setahun lalu memberi laluan kepada ahli-ahli Parlimennya menyokong kerajaan PN, sebelum ini dilihat ‘subservient’ atau seakan berada di bawah telunjuk Bersatu. Tapi, setelah mengambil ketetapan ini Umno kini kembali berada dalam posisi yang lebih berpengaruh.

Walaupun Umno sedar jalan mudah untuk menang PRU15 adalah dengan gabungan 3 parti Melayu iaitu Umno kekal bersama Pas dan Bersatu di dalam PN, namun ianya bukan pilihan yang baik untuk masa depan Umno.

Sebagai sebuah parti yang telah menerajui pentadbiran negara selama 60 tahun, Umno tidak mungkin rela menjadi “pak turut” kepada Bersatu iaitu parti yang merupakan serpihan Umno sendiri, dan kalangan pemimpin-pemimpinnya adalah mereka yang melarikan kerusi yang dimenangi oleh Umno pada PRU14.

Umno ingin menang dan memimpin kerajaan. Oleh itu, lojiknya pilihan terbaik pasangan untuk Umno adalah Pas. Di atas kertas, dengan laungan “Penyatuan Ummah” dan “Melayu Islam”, gabungan Umno & Pas sudah cukup untuk merebut sokongan sebahagian besar undi Melayu dan menang PRU15. Dalam kerjasama ini, Umno yang akan memimpin.

Umno melihat Pas tiada cita-cita besar, cukup dengan mendapat tiga negeri, jawatan menteri dan habuan kedudukan dalam GLC, Pas sedia menurut. Oleh kerana itu, keputusan MKT Umno pada 19 Februari 2021 menyatakan tidak akan bekerjasama dengan “Bersatu”, maksudnya masih terbuka bekerjasama dengan Pas.

PAS MAIN DUA KOLAM

Tatkala Umno membuat keputusan meninggalkan PN, Datuk Mustafa Ali, veteran Pas yang lama sebagai strategis parti membuat satu sidang akhbar menggesa agar Umno kekal bersama Pas dan Bersatu dalam PRU15.

Menurut Mustafa Ali tindakan Umno akan menyebabkan pertembungan 3 penjuru dan akan memberi sedikit kelebihan kepada PH.

Pas sedar kekuatan sebenar undi Melayu masih berpihak kepada Umno. Analisa keputusan PRU14 menunjukkan Umno masih menguasai 45% dari keseluruhan undi Melayu dan Pas mendapat hampir 30%. Tetapi undi Pas tertumpu di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hanya sedikit di negeri lain.

Teras pengundi yang ada pada Pas dan Bersatu tidak mampu membawa PN memenangi PRU15 dan jauh sekali membentuk kerajaan. Untuk menang PRU15, Pas sepatutnya memilih Umno.

Tetapi, memutuskan hubungan dengan PN bermakna pemimpin-pemimpin Pas akan kehilangan jawatan dalam kerajaan dan GLC.

Berlaku perselisihan dalaman di kalangan pemimpin Pas di mana satu pihak cenderung memilih PN dan pihak kedua memilih MN. Akhirnya Pas mengambil ketetapan untuk kekal dengan kedua-duanya, PN dan MN.

Atas gelagat itu, Pas digelar sebagai ‘bermain di dua kolam’ bahkan terbaharu Tengku Razaleigh atau Ku Li menggelarkan Pas sebagai ‘pelacur’.

Tidak mustahil apabila Parlimen dibubarkan, Pas kembali bersama Umno untuk pakatan pilihanraya. Itupun jika Umno masih sudi menerima.

BERSATU DENGAN POLITIK KUASA DAN WANG

Bersatu telah mengangkat politik lompat parti ke satu tahap baharu dalam negara. Semasa di dalam Kerajaan PH, Bersatu menarik 13 Ahli Parlimen (MP) Umno melompat ke Bersatu.

Semasa Langkah Sheraton, 10 MP dari PKR melompat. Peristiwa MP lompat-melompat masih berterusan hingga sekarang. Pada masa ini 16 MP Umnodan 14 MP PKR telah melompat menyokong kerajaan PN.

Walaupun mungkin Bersatu mempunyai kuasa dan wang yang boleh menarik ramai MP untuk melompat menyokong mereka dan PN, mereka sedar mereka tidak mampu membuat perkara yang sama untuk mendapat sokongan rakyat bagi memenangkan PN dalam pilihanraya.

Untuk pilihanraya, Bersatu dan PN memerlukan Umno. Pada Umno terletak teras sokongan pengundi Melayu.

Kenyataan Pengarah Pilihanraya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali beberapa hari lepas mengajak Umno kembali ke meja rundingan menunjukkan PN sedar nilai yang ada pada Umno. Tindakan terdesak itu sudah terlewat kerana Umno tidak akan kembali untuk dibuli oleh Bersatu.

Mungkin itu proses pujukan terakhir sebelum PN mengambil jalan untuk terus menekan dan menyerang Umno. Apakah mungkin selepas ini ada tindakan mengharamkan Umno? 

Walaupun PN tidak menguasai pemimpin utama Umno, mereka telah berjaya mendapat sokongan yang agak kukuh dari sebilangan besar pemimpin Umno terutama mereka yang berada di dalam kerajaan PN. Usaha keras juga sedang digerakkan untuk menguasai kepimpinan Umno di peringkat akar umbi.

Apapun, kuasa masih di tangan PN, sehingga mereka yakin bahawa mereka berjaya mengawal sokongan Umno, tidak mungkin mereka bersedia untuk memanggil pilihanraya.

PAKATAN HARAPAN YANG MASIH BELUM BERPAKAT

Dengan kemungkinan berlakunya pertembungan 3 penjuru, PH berada dalam posisi yang lebih selesa. Ia seperti mengulangi kedudukan perlawanan dalam PRU14 di mana Umno dan Pas berada di dua pihak yang bertembung. Bezanya, dahulu PH ada PPBM, sekarang parti itu (Bersatu) berada pada pihak yang sama dengan Pas.

Pun begitu, PH masih belum jelas menetapkan haluan kerjasama mereka. Apakah kekal hanya 3 parti atau ada kerjasama tambahan (plus-plus) dengan parti lain?

Kelemahan PH adalah pada sokongan undi Melayu. Tidak dapat dipastikan apakah trend sokongan pengundi Melayu terhadap PH pada waktu ini, apa yang pasti pada PRU14 yang lepas PH mendapat kurang 30% sokongan pengundi Melayu.

Semasa PH menjadi kerajaan dari 2018 hingga 2020, PH seolah-olah tidak mendapat restu sepenuhnya dari institusi Melayu di pelbagai peringkat samada kuasa politik, birokrat, masyarakat sivil dan mungkin sesetengah istana. Malah, setiap hari mereka diserang dengan isu-isu yang berkait sentimen kaum dan agama.

Untuk PH menjadi kerajaan yang lebih stabil, PH perlu mendapat lebih banyak sokongan dari pengundi Melayu. Ianya samada dengan PH meningkatkan kempen di kalangan pengundi Melayu atau bekerjasama dengan mana-mana parti Melayu yang mempunyai teras sokongan yang kukuh.

AMANAH dan DAP cenderung untuk menetapkan PH bekerjasama dengan Pejuang dan Muda, dua parti serpihan Bersatu yang belum berjaya didaftarkan. Persoalannya, setakat mana lonjakan sokongan pengundi Melayu boleh diraih PH dengan kerjasama ini? Kalau dengan PPBM pun PH hanya mampu mendapat kurang dari 30% undi Melayu, apakah serpihan parti itu mampu memberi nilai tambah yang lebih dari itu? 

Yang menjadi lebih sukar adalah bayangan imej Tun Mahathir di belakang Pejuang dan Muda yang secara umumnya telah ditolak oleh penyokong PKR. Populariti Tun Mahathir merosot teruk sejak kejatuhan kerajaan PH. Mengikut satu kajian yang dijalankan secara dalam talian oleh Kuala Lumpur School of Artificial Intelligence pada bulan Oktober 2020, Tun M menduduki tempat ketiga (65.6% undian) sebagai pemimpin politik paling dibenci di Malaysia, selepas Datuk Seri Azmin Ali (90.6%) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (75.6%).

PKR pula kelihatan cenderung merintis kerjasama bersama Umno. Perkara ini mencetus polemik bukan sahaja di kalangan parti-parti dalam PH malah di kalangan pemimpin dan akar umbi Umno.

Kerjasama PH dengan Umno kedengarannya janggal kerana identiti mereka jelas bertentangan dalam soal integriti. PH adalah juara politik menentang rasuah dan penyelewengan kuasa manakala Umno pula sedang bergelut dengan imej buruk kleptokrasi, rasuah dan penyelewengan kuasa. Malah, sebahagian pemimpin Umno pada masa ini sedang berdepan dengan pendakwaan di mahkamah dan mereka digelar “Kluster Mahkamah”.

Maka tidak hairan apabila beberapa pemimpin DAP dan AMANAH telah memberi amaran tegas tiada kerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah.

Yang lebih mencabar dalam cadangan kerjasama ini adalah soal dominasi dan kepimpinan. Siapa calon Perdana Menteri? Dan, apakah PH mampu pertahankan agenda reformasi yang menjadi teras utama perjuangan mereka? Amat sukar untuk percaya bahawa Umno akan sanggup memberi laluan kepada PH untuk memimpin dan Anwar Ibrahim meneraju negara sebagai Perdana Menteri.

Oleh kerana tiada pilihan yang mudah untuk PH, kelihatannya parti-parti di dalam PH masih belum mampu berpakat dalam soal penjajaran baharu politik.

Mungkin lebih baik PH kekal dengan 3 parti dan bekerja lebih keras untuk menarik pengundi Melayu. Rakyat sudah boleh menilai keupayaan PH sebagai kerajaan dan mungkin lebih ramai pengundi Melayu yang akan menerima PH dalam PRU15.

RAKYAT MEMILIH

Setelah setahun merampas kuasa, kerajaan PN gagal membentuk sebuah pentadbiran yang stabil dan meyakinkan. Dengan majoriti tipis dan legitimasi yang sentiasa dicabar, tumpuan pemimpin kerajaan dilihat lebih banyak dihabiskan untuk bertahan kekal sebagai kerajaan.

Dengan kedudukan kerajaan yang tidak stabil, reputasi negara sebagai tempat perniagaan dan pelaburan teruk terjejas. Pengisytiharan Darurat dan ketiadaan sidang Parlimen juga turut menjejaskan keyakinan pelabur. Ditambah pula dengan kesan bencana pandemik, maka sudah banyak perniagaan yang tutup dan ada yang berpindah operasi ke negara lain. Kesannya, ramai yang telah hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Kewangan dan emosi rakyat tertekan.

Mengikut Kaji Selidik Prestasi Setahun Kerajaan PN yang dijalankan oleh Sinar Harian baru-baru ini, didapati 59.71% responden menyatakan tidak berpuashati dengan usaha memulihkan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan PN berbanding hanya 22.26% yang berpuashati.

Secara umum, 61.6% responden menyatakan tidak puas hati dengan pencapaian kerajaan.

Kerajaan juga dilihat gagal menangani krisis pandemik. Mengikut kajian tersebut, 43.73% responden berpandangan kerajaan telah gagal dalam menangani Covid19. Paling mengecewakan apabila rakyat melihat wujud layanan penguatkuasaan yang berbeza kepada kumpulan elit politik berbanding apa yang dikenakan kepada rakyat dalam soal pelanggaran SOP.

Jelas, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai kemampuan untuk meneraju negara mengharungi cabaran pandemik dan pasca pandemik terutamanya dalam soal pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Parti-parti politik yang sedang merangka persiapan pilihanraya perlu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu menjanjikan sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan boleh menampilkan pemimpin-pemimpin yang kompeten untuk menanggung tugas besar ini.

Rakyat akan memilih!

Ketiadaan Hadi dalam rombongan PM ke UAE, Arab Saudi timbulkan tanda tanya

K. Parkaran

Pemimpin Amanah Khalid Samad berkata, sebagai duta khas ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang sepatutnya berada di barisan hadapan dalam rombongan perdana menteri ke UAE dan Arab Saudi.

PETALING JAYA: Ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, ketiadaan seorang individu disedari.

Tidak nampak sama sekali batang hidung Abdul Hadi Awang, duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, dan ini menimbulkan tanda tanya.

Mengapakah seorang pegawai penting bertaraf menteri dipinggirkan daripada rombongan itu apabila beliau sepatutnya berada di barisan hadapan dalam lawatan rasmi Muhyiddin selama seminggu itu?

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, kecoh di media sosial berkenaan hal ini dengan pelbagai teori diutarakan, dan ini trend tidak sihat buat hubungan Malaysia dengan negara di rantau itu.

Salah satu spekulasi menyatakan bahawa UAE tidak mahu memberikan Hadi visa dengan alasan beliau menganggotai organisasi Islam yang masih disenaraikan sebagai pengganas oleh beberapa negara di rantau itu.

“Tidak adil kita membuat tuduhan liar, tetapi kerajaan tidak sepatutnya mengabaikan persoalan yang dibangkitkan (mengenainya).

“Penting bagi pejabat perdana menteri menjelaskan perkara tersebut dan menghentikan perdebatan yang tidak sihat di media sosial.

“Jika benar visa (buat Hadi) tidak diberikan atas alasan ini, kerajaan mesti berterus terang dan memaklumkan rakyat tentang hal sebenar,” kata Khalid kepada FMT.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, sekiranya Hadi sememangnya tidak dibenarkan berkunjung ke beberapa negara di rantau itu, maka lantikannya sebagai duta khas ke Timur Tengah sia-sia.

Terdahulu dilaporkan Hadi pernah dilantik sebagai naib presiden sebuah organisasi Islam berpangkalan di Qatar, iaitu Kesatuan Sarjana Islam Antarabangsa (IUMS)

Organisasi itu diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh empat negara Teluk yang antikeganasan, iaitu Arab Saudi, Mesir, UAE dan Bahrain.

Laporan itu turut menyifatkan entiti tersebut sebagai organisasi yang mempromosikan keganasan menggunakan retorik Islam sebagai samaran kepada kegiatan mereka mendukung pelbagai aktiviti pengganas.

PAS dan Hadi sebelum ini menafikan dakwaan itu, dengan menyatakan Malaysia tidak menyenaraikan organisasi itu sebegitu.

Hilang maruah dituduh pelacur, Pas rendahkan pemikiran penyokong

ARIF ATAN

Pas pada masa ini jauh daripada apa yang diperjuangkan bekas Mursyidul Am parti itu, Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat, tegas Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu berpendapat Pas bahkan tidak berani membantah istilah ‘pelacur’ yang dilemparkan terhadap parti itu oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Pas pada masa ini juga hilang maruah apabila dituduh sebagai pelacur. Apabila Pas dilabel pelacur, kamu (Pas) tidak berani lawan. Mengapa tidak saman?

“Malah, pemimpin Pas jawab tidak faham maksud istilah ‘pelacur’ yang dilemparkan. Pemimpin Pas merendahkan mentaliti orang Pas sendiri.

“Ahli Pas hari ini hilang arah,” katanya dalam Bicara Semasa menerusi JOM Channel sebentar tadi.

Baru-baru ini, Tengku Razaleigh atau Ku Li melabel Pas sebagai ‘pelacur’ dan menggesa Umno menewaskan parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kata Ku Li, gelaran Pas sebagai ‘pelacur’ itu kerana sering kali beralih sokongan antara DAP dan Semangat 46, iaitu parti serpihan Umno yang diterajuinya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, Pas yang kini sebahagian komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga telah bersekongkol dengan kleptokrat dan sekumpulan pengkhianat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Apa yang ketara Pas sanggup berkongsi kuasa dengan penyamun dan pengkhianat. Apa yang berlaku pada hari ini tidak sama ketika zaman Almarhum Nik Aziz dulu.

“Almarhum tegas dengan soal integriti,” tegasnya yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu.

Faiz turut membidas sikap Pas berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan bulan lalu bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan hukum tabii, adalah tidak sah.

Menjelang PRU-15: Majoriti sokong kerjasama politik Umno, PH

ARIF ATAN

Menjelang PRU-15: Majoriti sokong kerjasama politik Umno, PH

Majoriti pengguna Facebook dan Twitter bersetuju dengan kerjasama politik antara Umno dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Keputusan undian atas talian menerusi saluran Facebook Studio Dahsyat malam ini mendapati 54 peratus pengguna laman sosial itu menerima kerjasama membabitkan kedua-dua blok politik itu.

Pola sokongan sama juga ditunjukkan daripada hasil undian di Twitter dengan 61 peratus menjawab ‘ya’ untuk soalan, “Adakah Umno dan PH perlu membentuk kerjasama politik?”

Keputusan undian itu diumumkan dalam bual bicara bertajuk “PH, Umno: Bersediakah ke Medan Juang?” dengan kira-kira 3,400 tontonan pada akhir slot Borak Dahsyat itu sebentar tadi.

Terdahulu, salah seorang ahli panel ialah Pengerusi Veteran Umno, Datuk Seri Kamal Amir yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf.

Dua lagi panelis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil merangkap Pengarah Komunikasi PKR serta Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat.

Anwar beri PH taklimat pertemuan dengan tokoh Umno

Fion Yap

Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim hari ini memberi taklimat kepada parti komponen mengenai pertemuannya dengan beberapa tokoh Umno baru-baru ini.

Perkara itu kemudian dibincangkan PH tetapi tidak ada komitmen dibuat jika gabungan pembangkang akan bekerjasama dengan Umno pada PRU15.

Ditemui selepas mesyuarat PH, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub kelihatan berpuas hati dengan taklimat tersebut.

"Kita dah jelaskan pertemuan (dengan Umno) diadakan macam biasa tapi tidak ada komitmen untuk bersama PRU, tidak ada," katanya menjawab soalan mengenai hal itu.

Ditanya mengenai sambutan rakan-rakan PH terhadap kemungkinan bekerjasama dengan parti teras BN itu, Salahuddin mengulangi pendirian tidak ada kesepakatan untuk bekerjasama dengan Umno.

"Kita dah bincang dengan Umno ni, jumpa boleh, kita boleh bincang tapi untuk keputusan PRU tu tak pernah kita muktamadkan apa-apa," katanya lagi.

Salahuddin (gambar, atas) kemudian menjelaskan kepada Malaysiakini, Anwar telah memberi taklimat kepada pemimpin Amanah, DAP dan PKR berhubung apa yang terjadi ketika pertemuan dengan pemimpin Umno.

"Maknanya ada jumpa minum kopi. Ada bincang tetapi tidak ada apa-apa perjanjian.

"Tidak ada apa-apa komitmen dan tidak ada apa-apa polisi yangdibuat tentang itu, tidak ada langsung," katanya.

Bagaimanapun, tokoh-tokoh Umno yang ditemui Anwar tidak dinamakan.

Presiden PKR sebelum ini tidak menafikan kemungkinan kerjasama dengan Umno tetapi menyifatkan ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

“Ada perbincangan awal antara PKR dan Umno," katanya pada 16 Mac lalu.

Pun begitu, Salahuddin dan beberapa ahli politik pembangkang yang lain telah menyuarakan penentangan mereka terhadap kemungkinan kerjasama antara PH dengan Umno pada PRU15.

Semalam, Salahuddin menjelaskan parti-parti pembangkang masih berbincang dengan pemimpin Umno yang lain.

"Maksud tolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' hanya merujuk kepada 'kluster mahkamah' sahaja.

"Kami masih mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin Umno yang lain," katanya.

Terma 'kluster mahkamah ini digunakan di kalangan ahli politik merujuk kepada ahli parlimen Umno yang sedang berdepan kes di mahkamah.

Antara mereka, adalah bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Mereka ini didakwa lantang mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin

Bawa isu kartel polis kepada menteri terlibat kartel rampas mandat rakyat

FAZLI RADZI

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar secara sinis mempersoal bagaimana untuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) berhubung isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, hal tersebut memandangkan Pengerusi SPP sendiri ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Macam mana nak bawa kepada SPP yang menteri jadi Pengerusi sedangkan menteri pun terlibat dalam kartel politik merampas mandat rakyat,” katanya di Twitter.

Mahfuz berkata demikian mengulas kenyataan Hamzah yang berkata, Abdul Hamid perlu melaporkan kepada SPP berhubung dakwaan mengenai kartel dalam PDRM dan gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang mahu menjatuhkan Ketua Polis Negara itu.

Hamzah dilapor hari ini berkata, Abdul Hamid tidak pernah membawa isu kartel itu kepada SPP dan ini merupakan kali pertama Ahli Parlimen Larut dari Bersatu itu mendengar ‘ada kartel dalam PDRM.’

Semalam, Abdul Hamid menerusi program ‘Sinar Live bersama IGP’ mendedahkan bahawa wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.

Beliau turut mendedahkan gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Mengulas lanjut, Mahfuz menegaskan dakwaan Abdul Hamid itu menggerunkan rakyat memandangkan institusi keselamatan negara berada dalam keadaan politiking yang dahsyat.

“Apakah kartel dalam PDRM sama seperti Langkah Sheraton? Siapakah yg mendalangi kartel PDRM?

“Adakah kuasa politik seperti Langkah Sheraton sehingga jual beli pelacur MP di pasaran bebas tanpa tindakn PDRM?” bidasnya lagi.

MP Pakatan Harapan, pembangkang bertemu Anwar Isnin ini

FAZLI RADZI 

Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 22 Mac ini.

“Pertemuan ini akan menyaksikan pembentangan serta perbincangan berkenaan isu vaksin, ekonomi, isu-isu semasa serta menegaskan bahawasanya Parlimen boleh dan perlu bersidang tatkala darurat berkuatkuasa,” kata kenyataan Majlis Presiden PH hari ini. 

Mesyuarat berkala Majlis Presiden PH berlangsung hari ini.

Terdahulu, mesyuarat berkala melibatkan pemimpin PKR, AMANAH dan DAP itu turut membincangkan taklimat berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada hari sama yang akan dihadiri Ahli-Ahli Parlimen PH.

Selain itu, turut dimaklumkan Majlis Presiden PH akan mengadakan satu pertemuan tertutup bersama wakil-wakil kedutaan asing pada 24 Mac ini.

Kenyataan bersama itu melibatkan Presiden PKR, Anwar; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Padang Lalang diumumkan sebagai Ketua Wanita PH.

Kerjasama dengan Umno: ‘Bina mahligai pasir yang mudah hancur dihempas ombak’

ARIF ATAN

Sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang menolak kerjasama dengan Umno susulan perbincangan awal Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beberapa pimpinan parti komponen utama Barisan Nasional (BN) itu.

Empat wakil rakyat terbabit mengingatkan sebarang kerjasama yang mahu diusahakan mesti bermula dengan perkara yang paling asas iaitu mempunyai agenda perjuangan yang sama dan kesungguhan untuk melakukan reformasi.

“Kerjasama yang mahu dibina mesti mempunyai satu cita-cita luhur dan sistem nilai yang sama agar ianya dapat bertahan lebih lama.

“Kami percaya bukan sahaja kluster mahkamah, malah kepimpinan Umno hari ini dilihat tidak memiliki cita-cita luhur dan sistem nilai yang sama yang kita perlukan untuk membina semula negara ini,” tegas mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ahli Parlimen terbabit ialah Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor), Darell Leiking (Penampang), Syed Saddiq (Muar), Hannah Yeoh (Segambut) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Mereka mahu blok pembangkang terus mara ke hadapan selepas setahun pengkhianatan Langkah Sheraton memandangkan banyak masa dibazirkan dengan isu berhubung bilangan Ahli Parlimen dan calon Perdana Menteri.

“Kita tidak pernah kekurangan bakat dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Sehubungan itu, kumpulan Ahli Parlimen mahu pimpinan pembangkang untuk terus fokus menawarkan polisi yang boleh memenangi hati dan keyakinan rakyat Malaysia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Mendapatkan semula Putrajaya melalui jalan pembinaan mahligai pasir yang besar dan cantik dipandang tetapi mudah hancur dihempas ombak adalah satu lagi tindakan sia-sia.

“Sebagai Ahli Parlimen, kami mahu membina semula negara ini dengan asas yang betul kerana tanpa asas yang betul ia pasti akan runtuh,” tegas mereka lagi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menerusi temu bual bersama Mingguan Malaysia, 14 Mac lalu, mendedahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara PKR dan Umno.

Bekas Timbalan Perdana Menteri era kerajaan BN itu memberitahu perbincangan awal tersebut melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.

Susulan itu, lima pemimpin parti pembangkang menyeru agar Anwar untuk sama sekali tidak bermuafakat dengan kleptokrat ketika menghampiri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kartel dalam PDRM cuba jatuhkan Ketua Polis Negara

'Kartel dalam PDRM cuba jatuhkan saya'

NURHIDAYAH HAIROM

SHAH ALAM - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan wujudnya gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bercita-cita untuk menjatuhkan beliau.

Menurutnya, gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

“Ada usaha untuk mengaibkan, menjatuhkan saya daripada kumpulan ini (kartel).

“Jadi saya ingin menasihatkan mereka, hentikan perbuatan jijik ini, sedar diri bahawa pasukan ini bukan kita punya, bukan padang permainan kita,” katanya dalam program Sinar Live bersama KPN, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan mengejutkan yang pernah dibuat berhubung gerakan geng kartel dalam PDRM sendiri yang mahu menguasai pasukan keselamatan itu bagi memudahkan mereka melakukan ‘kerja-kerja kotor’.

Abdul Hamid menjelaskan, beliau begitu terkesan dengan perkara itu dan berharap kumpulan tersebut segera insaf.

“Ada kumpulan pegawai-pegawai muda yang berkumpul dan mereka bercakap sesuatu...dan tindak-tanduknya begitu.

“Ke arah untuk mencari jalan bagaimana rakan-rakan yang sebayanya dapat naik bersama, cakap tentang perkara tidak baik.

“Jadi saya minta mereka insaf. Sampai umur 60 nanti saya takut tak sempat bertaubat, kita keluar, hilanglah kekebalan baju biru..pakailah baju orang awam.

“Tiada lagi orang nak takut dengan kita sebab baju kita dah tak ada. Masa itu nanti jangan menyesal,” katanya.

Abdul Hamid, 62, dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Pas sudah mula boikot Umno di Johor

HARUN ZAKARIA

Selesai sahaja mesyuarat pembentukan jawatan kuasa Perikatan Nasional Negeri, heboh dan jelaslah bahawa Pas Johor sudah pun memutuskan hubungan dengan Umno di Johor.

Memang Pas pun perlu buat tindakan sebegitu selepas Umno memperlakukan mereka seperti pelacur – seperti kata Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Presiden parti Melayu Semangat 46, rakan Pas sebelum ini.

Bersatu pula mahu memperkukuhkan kedudukan dengan menggadaikan segalanya demi meminang ‘pelacur tua’ bagi kesinambungan politik mereka di Johor. Kini jelas sudah ada tiga kumpulan wujud di Johor.

Apa puncanya? Semua tahu ia disebabkan PN yang dianggotai Bersatu dan Pas di Johor tidak mendapat layanan jawatan lantikan politik seperti yang diharap-harapkan mereka ketika melakukan operasi menggulingkan kerajaan setahun lalu.

Nah rasakan, akhirnya Bersatu menjadi kera sumbang ketika Umno yang semakin rajin menyusun kepentingan parti mereka sahaja. Sembilan puluh peratus jawatan Ketua Kampung dimiliki oleh orang-orang Umno.

Bersatu dan Pas terpaksalah berkongsi sepuluh peratus sisa dari Umno yang telah ‘game’kan mereka dengan pelantikan tersebut. Barulah Bersatu kenal siapa Umno dan pastinya Umno sudah lebih kenal Bersatu yang tidak boleh dipercayai.

Untuk Pas pula, Umno hanya jadikan ‘sleeping partner’ mereka ketika perlu sahaja dan bila dah ‘menopause’, Pas terus dipersiakan seperti sampah. Inilah cara Umno melayani rakan mereka di dalam mana-mana gabungan.

Apa yang berlaku hari ini mula disedari oleh Pas dan kini mereka mula mengorak langkah untuk terus bersama PN kerana di situ dilihat lebih ‘laku’ berbanding MN. Tindakan boikot kali ini pula akan disertai oleh Pas.

Jolokan pelacur yang diberikan Ku Li memang jelas boleh ditabalkan kepada Pas ketika ini. Apa isu yang berbangkit hari ini adalah ‘survival’ Pas yang perlu untuk mereka bernafas selepas ada pihak mula menyuarakan untuk mereka tidak perlu bertanding di Johor.

SOP bercelaru, rakyat kini dalam keresahan

DR ZULQARNAIN LUKMAN

SOP bercelaru, rakyat kini dalam keresahan

1. Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (KANUN) telah melancarkan program Tawaran Nasihat Guaman Percuma Rayuan Kompaun RM10,000 Langgar SOP pada 15/3/2021 setelah menerima rungutan pelbagai lapisan rakyat.

Sepanjang tempoh 2 hari pelancaran program ini KANUN telah menerima puluhan aduan rakyat melibatkan pelbagai kesalahan seperti tidak pakai pelitup muka, tiada penjarakan, berkumpul, kesalahan rentas negeri dan lain-lain. Selain itu, ada juga di kalangan peniaga dan pengusaha perniagaan yang dikenakan kompaun RM50,000 atas alasan yang sama.

2. KANUN mendapati perlaksanaan kompaun RM10,000 ini telah menyebabkan keresahan rakyat yang sudah pun mengalami kemerosotan pendapatan semenjak PKP ini dilaksanakan seperti sudah jatuh ditimpa tangga dan terpalit pula dengan najis ayam.

Tambahan lagi, perlaksanaan ini telah dibuat dengan tergesa-gesa kerana kerajaan hanya meminda Akta 342 melalui ordinan tanpa mengikuti proses demokrasi melalui perbahasan di Parlimen menyebabkan wujud perlaksanaan yang tempang dan tanpa keselarasan antara pihak-pihak berkaitan.

3. KANUN menerima aduan bahawa ada pihak yang telah membuat proses rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) tetapi pihak PKD sendiri tidak tahu apa yang patut dibuat dengan rayuan tersebut. Ada yang diarahkan balik ke rumah, ada yang diarahkan untuk tunggu saman mahkamah dan ada PKD yang hanya sekadar mendengar sahaja rayuan dan disuruh datang semula dalam tempoh 14 hari.

KANUN juga menerima aduan ada Orang Kena Kompaun (OKK) yang dikompaun tanpa ada pertimbangan oleh pihak berkuasa. Ada aduan yang melibatkan orang tua yang pergi membaiki motor di bengkel dan keluar dari bengkel untuk menghirup udara segar juga telah dikompaun kerana membuka pelitup muka untuk tempoh yang sekejap.

Ada juga OKK yang dikompaun kerana dikatakan duduk di meja restoran tanpa penjarakan sedangkan OKK itu telah duduk di kerusi yang betul seperti ditandakan oleh pengusaha restoran dan pengusaha restoran itu pula telah dikenakan kompaun RM50,000.

Apabila ada OKK yang membantah tindakan pihak berkuasa yang bertindak sembrono itu OKK itu pula telah digari. Tindakan sebegini pastinya akan menimbulkan keresahan awam dan ini adalah akibat negara ini sudah tidak berjalan proses demokrasi seperti yang sepatutnya. 

4. KANUN juga hairan dengan pengumuman Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkaitan diskaun kompaun yang disifatkan sebagai bercelaru dan keliru. Jika benar seperti yang dikatakan bahawa kompaun diberikan diskaun maka apakah akan jadi dengan peruntukan undang-undang berkaitan rayuan kepada PKD?

Sepatutnya Menteri Undang-Undang perlu terlebih dahulu memberikan garis panduan yang jelas kepada PKD dan tidak terburu-buru mengumumkan program diskaun kompaun seolah-olah seperti kerajaan sudah tidak sabar-sabar untuk mengutip wang rakyat yang teraniaya.

5. KANUN juga menyatakan Menteri Undang-Undang sepatutnya mewartakan SOP yang sebenar untuk tatacara penjarakan, pemakaian pelitup muka dan penggunaan meja di restoran kerana SOP ini berubah setiap minggu sehingga menyusahkan rakyat dan golongan peniaga untuk memahaminya.

Pewartaan SOP ini akan menjelaskan kedudukan sebenar undang-undang tanpa perlu rakyat ternanti-nanti pengumuman Majlis Keselamatan Negara dan Menteri Pertahanan. Ini juga mendedahkan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini telah dibarisi oleh menteri kabinet yang tidak kompeten untuk mengawal masalah Covid-19.

Justeru, KANUN merafak sembah kepada YDPA untuk menimbangkan penamatan darurat dengan segera kerana sudah jelas bahawa kewujudan darurat ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat dan kedaulatan undang-undang melalui proses demokrasi berparlimen perlu dikembalikan.

6. Akhir sekali, KANUN mengucapkan jutaan terima kasih kepada peguam sukarelawan yang banyak membantu perlaksanaan program ini. KANUN juga mengalu-alukan mana-mana peguam lain tanpa mengira latar belakang politik yang ingin turut sama membantu rakyat yang teraniaya untuk menghubungi Sdra Hazwan – 013 668 0072 atau Sdra Marwan – 011 312 403 78 untuk penyelarasan gerak kerja.

Malaysia negara pertama guna bas tanpa pemandu di Asia Tenggara

FMT Reporters

Bas tanpa pemandu pertama akan beroperasi di Iskandar Malaysia. (Gambar IMBRT)

PETALING JAYA: Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai sistem pengangkutan bas tanpa pemandu atau bas pandu sendiri yang akan direalisasikan di Iskandar Malaysia dalam tempoh terdekat.

Sistem yang dikendalikan secara automatik sepenuhnya ini dikenali sebagai Transit Rapid Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) dan akan memulakan program ujian perintis selama tiga bulan bermula April ini.

Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim, Iskandar Malaysia juga akan menjadi bandar pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menguji sistem Rapid Transit Automatik (ART) menerusi program ujian perintis itu.

MB Kedah suruh orang Pulau Pinang guna air selut

Pulau Pinang boleh guna air selut, kata Sanusi

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor membayangkan kemungkinan Pulau Pinang terpaksa menggunakan “air selut” jika kerajaan negeri itu berkeras enggan membayar caj air mentah kepada Kedah.

Ini kerana kata beliau, kerajaan Kedah sedang merancang beberapa projek yang dijangka memberi impak terhadap aliran air Sungai Muda yang pada masa ini menjadi sumber air mentah Pulau Pinang. 

“Projek-projek ini apabila dilaksanakan akan beri masalah kepada mereka (Pulau Pinang) jika tidak bayar (caj air mentah), tak apa dia gunalah (secara percuma), sampai hari keluar air selut, dia gunalah air (selut) tu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Yan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini yang dilaporkan enggan memanjangkan isu penggunaan sumber air dari Sungai Muda, sebaliknya memilih untuk mempertahankan hak riparian negeri itu di mahkamah.

Muhammad Sanusi yang pernah menyatakan kesediaan untuk bersemuka di mahkamah berhubung isu itu bagaimanapun berkata pihaknya masih membuka ruang kepada Pulau Pinang untuk menyelesaikan perkara tersebut secara timbang tara.

“Proses (perbincangan isu air) mungkin sampai ke peringkat mahkamah, tapi saya akan mohon kerjasama kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk adakan proses timbang tara bagi mengatasi hal ini.

“Kalau timbang tara itu tidak dapat dijayakan mungkin proses ini akan ke mahkamah... Saya akan pergilah ke hujung dunia pun untuk lawan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata sebuah badan bertindak khas akan ditubuhkan untuk mengutip tunggakan hasil atau cukai yang kini mencecah lebih RM257 juta.

Katanya antara tunggakan cukai tertinggi melibatkan hasil tanah, kediaman dan pendidikan.

“Tunggakan ini ada yang sejak belasan tahun, jadi untuk pastikan hasil kerajaan ini dapat dikutip, badan bertindak ini akan mulakan operasi kutip cukai tertunggak ini dengan segera,” katanya.

- Bernama

Pemuda AMANAH serah bukti salah guna kuasa anak syarikat kerajaan Terengganu

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pemuda AMANAH serah bukti salah guna kuasa anak syarikat kerajaan Terengganu
Bilik Hotel Paya Bunga diubahsuai sebagai bilik aktiviti E-Games peribadi.

Pemuda AMANAH Terengganu selesai menyerahkan bukti salah guna kuasa membabitkan seorang pengurus besar di hotel Paya Bunga yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Memetik Terengganu Fokus, Pemuda AMANAH negeri dilaporkan hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Terengganu pada semalam, untuk proses penyerahan bukti.

Sebelum ini, mereka mendakwa pengurus besar hotel berkenaan, Abdul Hadi Alias mengarahkan pembelian sebuah kereta Honda CRV untuk kegunaan peribadi walaupun kereta syarikat untuk kegunaan hotel telah pun ada.

Abdul Hadi juga didakwa telah mengubahsuai bilik rasmi hotel untuk kegunaan anaknya sebagai bilik aktiviti E-Games peribadi.

Bagaimanapun, Abdul Hadi dalam respon segeranya menafikan dakwaan itu dan akan meneliti butiran tertentu termasuk berbincang dengan peguam serta melaporkan kepada pihak polis sebelum mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Dia juga mengakui tidak pernah mengarahkan sebarang pembelian kereta.

Sebaliknya katanya, kereta tersebut serta van operasi (Starex) yang telah pun dibeli sebelum ini adalah dengan kelulusan oleh Lembaga Pengarah Paya Bunga Hotel sejak 2019 sebagai kemudahan untuknya serta kakitangan hotel.

Pembangkang hanya tolak 'kluster mahkamah', kata Salahuddin

B Nantha Kumar

Kenyataan bersama lima pemimpin kanan parti pembangkang hari ini bahawa mereka menolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' hanya merujuk kepada pemimpin-pemimpin Umno yang mempunyai kes di mahkamah.

Justeru, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, parti-parti pembangkang masih berbincang dengan pemimpin Umno yang lain.

"Maksud tolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' hanya merujuk kepada 'kluster mahkamah' sahaja.

"Kami masih mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin Umno yang lain," katanya kepada Malaysiakini. 

Salahuddin yang juga adalah ahli parlimen Pulai berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataan bahawa Pakatan harapan menolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' tengah hari tadi.

Terdahulu, lima pemimpin kanan parti pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama menolak kerjasama dengan pihak yang dirujuk mereka sebagai “kleptokrat”.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengadakan sidang media, yang antaranya mengumumkan dia tidak menafikan kemungkinan wujud kerjasama dengan Umno.

“Mendepani cabaran berangkai ini, kami menyeru agar Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat,” kata lima pemimpin pembangkang.

Selain Salahuddin, kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Wira Parti Warisan Sabah Mohd Azis Jamman, Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anggota Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.

Semalam, Anwar menyifatkan masih terlalu awal untuk mengatakan wujud persefahaman antara PKR dengan Umno tetapi pada masa sama mengakui ada perbincangan dibuat.

"Kami nak pembangkang menolak 'kluster mahkamah'.

"Tapi, tidak ada masalah dengan pemimpin Umno yang lain.

"Malah, boleh mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin yang tidak ada kes selepas PRU 15 untuk wujudkan satu kerajaan yang kuat demi kepentingan rakyat.," katanya lagi.

Terma 'kluster mahkamah ini digunakan di kalangan ahli politik merujuk kepada ahli parlimen Umno yang sedang berdepan kes di mahkamah.

Antara mereka, adalah bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Mereka ini didakwa lantang mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pilihan raya mungkin selepas Hari Raya

ARIF ATAN

Sekiranya Muhyiddin Yassin tiada sokongan majoriti yang selesa akibat urusan ‘jual beli’ Ahli Parlimen pembangkang sudah tidak laku, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka berlangsung pertengahan Jun depan, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berpendapat Muhyiddin tiada pilihan untuk membubarkan Parlimen kira-kira tiga bulan lagi iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri jika beberapa wakil rakyat lagi tidak ‘lompat’ menyatakan sokongan terhadapnya.

“Andaikan Muhyiddin gagal memperoleh majoriti yang selesa, mungkin mahu beli dua, tiga Ahli Parlimen pembangkang, sudah tidak boleh, jual belinya sudah tidak laku, ketika dia tiada majoriti, waktu itulah dia akan isytiharkan pilihan raya,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu menegaskan jumlah sokongan majoriti menjadi indikator untuk Muhyiddin membubarkan Parlimen sekali gus mengadakan pilihan raya.

“Kalau itu realiti yang Muhyiddin hadapi (tidak mempunyai majoriti), maka pada pandangan saya pilihan raya semakin hampir.
 
“Saya mengandaikan pembubaran itu mungkin akan berlaku dalam masa terdekat mungkin selepas Hari Raya atau pertengahan tahun ini,” katanya menerusi siaran langsung Bicara YB di Facebook JOM Channel malam tadi.

PRU15: Umno bertanding di kerusi yang penyandangnya lompat ke Bersatu

FAZLI RADZI

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menegaskan parti itu perlu diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi Parlimen yang sebelum ini dimenangi atas tiket Umno tetapi penyandangnya kini sudah menyertai Bersatu.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata, beberapa pertimbangan boleh dibuat melalui rundingan, terutama membabitkan sesetengah kerusi dimenangi Bersatu pada PRU-14 yang mungkin boleh diberi kepada Umno pada PRU-15.

“Sebagai contoh Parlimen Langkawi, Kubang Pasu, Jerlun, Muar, Seri Gading atau Simpang Renggam. Ini kerusi yang dimenangi Bersatu tetapi ahlinya (ketika itu) kini sudah pergi ke ‘tempat lain’.

“Secara dasarnya, 55 kerusi dimenangi Umno perlu dipertahankan oleh Umno, namun bukanlah tegar. Itu biarlah Presiden berunding dengan Presiden,” tegasnya.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian dalam wawancara bertajuk ‘Umno: Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN)’ di TV Pertiwi, kelmarin.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengajak Umno untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi Parlimen yang menjadi pertikaian kedua-dua parti itu.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tidak wajar untuk mengorbankan sebuah kerajaan dan kerjasama politik hanya disebabkan perbalahan melibatkan 13 kerusi Parlimen terbabit.

Walau bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kelmarin dilapor menegaskan Umno sudah membuat keputusan untuk mengambil semula semua kawasan milik mereka.

Berhubung perebutan jawatan Perdana Menteri pula, Annuar yakin ia juga boleh diselesaikan menerusi rundingan.

“Kuota (menteri) pun boleh diwujudkan, tiada masalah. Itu tugas Presiden ketiga-tiga parti.

“Lebih baik bertanding sikit dalam gabungan dan menang banyak, daripada berebut dan bertanding banyak tetapi akhirnya menang sikit,” katanya.

Berikut senarai kerusi Parlimen dimenangi Umno pada PRU14 tetapi kini milik Bersatu:

Jeli, Kelantan – Datuk Seri Mustapa Mohamed

Bagan Serai, Perak – Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

Masjid Tanah, Melaka – Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin

Larut, Perak – Datuk Seri Hamzah Zainudin

Hulu Terengganu, Terengganu – Datuk Rosol Wahid

Bukit Gantang, Perak – Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

Mersing, Johor – Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

Tasek Gelugor, Pulau Pinang – Datuk Shabudin Yahaya

Sabak Bernam, Selangor – Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh

Tanah Merah, Kelantan – Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz

Beaufort, Sabah – Datuk Azizah Mohd Dun

Beluran, Sabah – Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

Kudat, Sabah – Datuk Abd Rahim Bakri

Libaran, Sabah – Datuk Zakaria Mohd Edris

Sipitang, Sabah – Yamani Hafez Musa

Ada pemimpin Umno cuba batal keputusan putus hubungan dengan PPBM?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno cuba mengubah keputusan parti itu untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya akan datang, FMT difahamkan.

Menurut sumber, beberapa pemimpin bahagian sudah didekati sementara yang lain tahu akan langkah itu.

Ada yang diminta menandatangani dokumen yang meminta kepemimpinan parti mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

Ahli Parlimen itu, yang identitinya masih dirahsiakan FMT sementara menanti komen beliau, dikatakan meminta banyak pemimpin bahagian untuk mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding semula hubungan dengan PPBM.

“Hujah beliau ialah Umno akan kalah jika tidak berganding bahu dengan PPBM,” kata sumber itu.

Pemimpin parti itu dipercayai akan membangkitkan perkara itu pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan akhir bulan ini.

“Tetapi, usaha beliau ini tidak mendapat sambutan daripada ketua bahagian. Mereka melihat usaha pemimpin itu hanya memenuhi agenda musuh memecah belahkan Umno dari dalam.”

Awal bulan ini, Zahid dilaporkan mengirim sepucuk surat kepada Perdana Menteri dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin yang memaklumkan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15.

Umno juga berkata parti itu hanya akan bekerjasama dengan kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

Semasa pemilihan bahagian parti tahun lalu, 147 daripada 191 bahagian Umno meminta parti itu menarik balik kerjasama dengan PPBM.

Tiada PRU15 dalam tempoh terdekat jika ‘jual beli’ MP berjaya

ARIF ATAN 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan jika sudah memiliki sokongan majoriti yang selesa.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berpendapat proses ‘jual beli’ wakil rakyat pembangkang sedang berlaku agar mereka menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

“Tidak perlu mengisytiharkan sokongan kepada Bersatu. Cukup mereka menyatakan diri sebagai Ahli Parlimen Bebas dan menyokong Muhyiddin.

“Apabila dia (Muhyiddin) sudah ada majoriti yang selesa, dia tidak akan bubarkan Parlimen,” katanya menerusi siaran langsung Bicara YB di JOM Channel malam tadi.

Dalam slot bertajuk ‘Menghadapi PRU-15: Wajah Baharu PH?’ itu, Mujahid menyifatkan ‘nyawa’ Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan pintu belakang bergantung pada sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Naib Presiden AMANAH berkenaan berkata, kerajaan PN sudah tiada sokongan majoriti Ahli Parlimen seperti terbukti pada surat yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong berkenaan rayuan supaya Parlimen tidak digantung.

“Ada 115. Itu tandanya dia (Muhyiddin) sudah hilang majoriti. Bahkan, ketika Muhyiddin mengisytiharkan darurat, memang pada masa itu dia sudah hilang sokongan kerana beberapa orang ahli Parlimen Umno menarik sokongan,” tambah Mujahid lagi.

Anwar dakwa 5 Ahli Parlimen PKR ditawar lompat parti, sokong PN

Adam Abu Bakar

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim, hari ini menuduh Perikatan Nasional (PN) memancing lima Ahli Parlimen parti itu untuk keluar dan menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin.

Lima wakil rakyat itu adalah M Karuppaiya (Padang Serai), S Kesavan (Sungai Siput), Awang Husain (Putatan), Michael Teo Yu Keng (Miri), dan Natrah Ismail (Sekijang).

Anwar kini menuntut pertemuan empat mata dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, untuk menjelaskan dakwaan itu.

Beliau berkata, tindak-tanduk SPRM seolah-olah membayangkan badan itu dipergunakan sebagai senjata politik oleh PN. 

“Dalam kes SPRM yang terbaru, memang nyata ia jadi senjata politik. Kalau lompat maka siasatan ditangguh atau akan didera. Saya pagi esok akan tulis surat pada Azam minta pertemuan untuk jelaskan hal demikian,” katanya.

Anwar merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar, yang keluar PKR dan menyokong PN ketika naib presiden PKR itu berdepan siasatan rasuah SPRM.

“Dia (Xavier) ada jumpa saya seminggu sebelum itu. Dia jumpa saya dan sebutkan masalah yang dia hadapi. Saya beritahu dia jangan risau, jika dia tidak bersalah kita akan pertahankan dia.”

“Dia juga beritahu ada jumpa menteri kanan (PN) yang turut bertindak ugut dia,” katanya.

Terdahulu, Natrah dikaitkan dengan dakwaan yang dibuat suatu laman Facebook, Ops Johor, yang mendakwa Ahli Parlimen ditawarkan RM10 juta untuk berhijrah menyokong parti lain.

SPRM dalam kenyataan berkata Natrah dalam pertemuan dengan badan itu nafi dakwaan tersebut, dan mengesahkan tiada tawaran untuk menyogoknya supaya menyokong Muhyiddin.

Anwar: Lima, enam orang MP beralih pun PN belum ada majoriti

Ramieza Wahid

Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa, walaupun ada beberapa ahli parlimen PKR kini memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin itu masih belum memiliki majoriti di parlimen.

Katanya dia yakin kerajaan PN belum mendapat sokongan 110 ahli parlimen seperti disangka sesetengah pihak.

Malah kata ahli parlimen Port Dickson itu jika PN berjaya menarik lima atau enam orang ahli parlimen pembangkang pun mereka masih belum mendapat dukungan majoriti.

“Saya nak jelaskan di sini, dengan tarik lima ke enam orang ke PN, dia (kerajaan) belum lagi dapat majoriti 110 ahli parlimen.

“Ini saya pasti dengan kenyataan yang jelas," katanya pada sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

Pada 13 Mac lalu, Anggota Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar mengumumkan keluar PKR untuk menjadi penyokong PN.

Ia berlaku selepas dua ahli parlimen lain dari PKR - Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) - mengambil langkah sama sebelum itu.

Anwar nafi ada perjanjian kerjasama dengan Umno, hanya perbincangan awal

SITI NUR ZAWANI MISCON 

Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan sudah ada perjanjian kerjasama antara PKR dengan Umno sebagaimana tanggapan sesetengah pihak.

“Apa yang saya katakan adalah ada perbincangan awal antara pimpinan PKR dengan pimpinan Umno.

“Jangan kata seolah-olah sudah ada perjanjian,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam sidang media hari ini.

Pada masa sama, Anwar mengakui ada menyatakan ‘kemungkinan akan berlaku kerjasama dengan Umno’, namun tetap menegaskan bahawa ianya terlalu awal untuk dibicarakan.

Beliau menjelaskan bahawa perjumpaan dengan pemimpin BN berlangsung secara tidak formal dan ianya hanyalah pertemuan biasa seperti yang dilakukannya sebelum ini bersama pemimpin lain.

Beliau turut mengingatkan untuk tidak membuat andaian seolah-olah telah wujud satu persefahaman dan kerjasama bersama Umno.

“Saya sebut perbincangan, bukan kerjasama. Ini (pertemuan) bukan formal. (Saya) jumpa pemimpin BN, saya jumpa dengan semua orang. Dengan Tun Mahathir pun dulu saya jumpa berbincang. Kenapa tak boleh saya jumpa (pemimpin BN)?

“Ini yang saya jelaskan kepada Ahli Parlimen dan pimpinan PKR. Jangan mengandaikan hal ini seolah-olah ada satu persefahaman,” katanya lagi.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkemungkinan menjalin kerjasama dengan seterunya Umno selepas Ketua Pembangkang itu mengatakan adanya perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua parti.

Menerusi temu bual bersama Mingguan Malaysia terbitan Ahad, Anwar berkata perbincangan awal itu melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.

Kenyataannya itu kemudiannya menimbulkan tanggapan bahawa PKR sudah pun menyatakan kerjasamanya dengan Umno.

Pesakit cabut ‘drip’ sebelum terjun bangunan hospital

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dirawat di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang, meninggal dunia selepas terjun dari bangunan hospital itu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 11.30 malam anak saudara kepada lelaki berkenaan yang juga pengadu kes menerima panggilan daripada hospital yang memaklumkan pesakit itu sudah meninggal dunia.

Katanya, siasatan mendapati lelaki berusia 62 tahun itu dimasukkan ke wad pada 14 Mac lalu kerana masalah darah rendah, radang paru-paru dan hepatitis C.

“Lelaki itu turut mempunyai sejarah rawatan psikiatri dan pernah menerima rawatan methadone akibat ketagihan dadah jenis heroin.

“Menurut saksi yang juga merupakan seorang pesakit di wad tersebut, pada kira-kira 11 malam, dia melihat lelaki berkenaan mencabut ‘drip’ di tangan dan berjalan secara perlahan menuju ke koridor wad hospital. Kali terakhir jururawat melihat lelaki itu adalah ketika mengambil tekanan darahnya pada 10.15 malam,” katanya.

Noorzainy berkata, pada 11.20 malam, petugas kesihatan yang menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan mendapati terdapat pendarahan di bahagian belakang kepalanya.

“Siasatan awal dijalankan mendapati pengadu mengesahkan lelaki berkenaan pernah mengalami kemurungan. Hasil siasatan mendapati tidak ada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian. Tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di kawasan wad.

“Mayat lelaki berkenaan kini berada di Bahagian Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat,” katanya.

Jika ada individu yang mempunyai masalah gangguan emosi atau kemurungan anda digalakkan menghubungi kumpulan sokongan anti bunuh diri, Befrienders.

Befrienders adalah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Ia boleh dihubungi melalui talian 016 8036945 (WhatsApp) atau melalui Facbebook Messenger dan emel di befrienderskk@gmail.com atau https://www.help.befrienders.org.

Befrienders juga boleh dihubungi di talian 03 76272929 (Kuala Lumpur), 04 2815161 (Pulau Pinang) dan 07 3312300 (Johor Baru). Panggilan adalah percuma. 

50 wakil rakyat Sabah, Sarawak gesa kerajaan tarik balik rayuan kes Allah

MALAYSIA DATELINE

Seramai 50 wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak dan empat ahli Dewan Negara

menyeru Perdana Menteri untuk menarik balik rayuan oleh kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, dengan berbuat demikian, ia akan dapat menamatkan polemik yang dihadapi oleh masyarakat di Sabah, Sarawak serta Orang Asli yang sudah berlanjutan lebih 35 tahun.

Kumpulan wakil rakyat dari Malaysia timur itu turut meminta semua parti politik untuk tidak menangguk di air keruh dan mencari keuntungan politik dalam isu berkenaan.

“Kami menyeru kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik rayuan oleh kerajaan Persekutuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu supaya polemik yang berusia 35 tahun ini dan penderitaan yang ditanggungi oleh begitu ramai orang Sabah, orang Sarawak dan Orang Asli, Insya-Allah, dapat tamat.

“Ini akan menjadi satu legasi positif bagi Perdana Menteri.

“Kami menyeru semua parti politik untuk tidak menangguk di air keruh dan mencari keuntungan politik dalam kes ini,” kata mereka.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu memutuskan bahawa kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang bukan Islam pada 1986.

Sehubungan itu, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Susulan itu, adalah diputuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan iaitu Baitullah, Kaabah dan solat.

Semalam, kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Dalam kenyataan sama, mereka menjelaskan bahawa kalimah Allah dan istilah keagamaan Islam dikongsi oleh kebanyakan orang Kristian Borneo dan Orang Asli, sama seperti yang berlaku di beberapa kawasan dan kaum di Indonesia.

“Di Sarawak, Bahasa Iban menggunakan ‘Allah Taala’, Bahasa Bidayuh menggunakan ‘Tuhan Alla’ sebagai kalimah untuk Yang Maha Esa manakala Lun Bawang, Lun Dayeh dan Kelabit menggunakan ‘Tuhan Allah’,” ujarnya.

Kata mereka, umat Islam di Sabah dan Sarawak menyokong dan tidak berasa terancam dengan saudara-mara atau teman Kristian mereka yang menyembah Allah, untuk semua agama wahyu yang berakarkan daripada ajaran Nabi Ibrahim.

Mereka juga menyifatkan keputusan kabinet persekutuan pada tahun 1986 – yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah – sebagai satu kekhilafan.

Kekhilafan pada masa itu, kata mereka, disebabkan tekanan sesetengah orang Malaya yang rasa tidak selamat dan “jahil” akan keadaan di Sabah dan Sarawak, serta sifat angkuh mereka dengan tanggapan bahawa orang Malaya boleh menentukan cara hidup di Sabah dan Sarawak.

Keputusan mahkamah tinggi itu, kata mereka, tidak akan menyebabkan pendakwahan ke atas orang Islam dan kemurtadan mereka, sebaliknya dakwa mereka, ia hanyalah ketakutan tidak berasas yang cuba diapi-apikan oleh sesetengah orang Malaya.

“Keputusan Mahkamah Tinggi ini sekadar memperbetulkan satu ketidakadilan yang menyakiti hati orang Sabah, orang Sarawak dan Orang Asli akibat kegelisahan, kejahilan dan keangkuhan sesetengah (pihak),” kata mereka lagi.

Kenyataan itu disokong oleh seramai 18 ahli Dewan Rakyat, iaitu Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Darell Leiking (Penampang), Noorita Sual (Tenom), Vivian Wong Shir Yee (Sandakan), Christina Liew (Tawau merangkap Adun Api-api), Mordi Bimol (Mas Gading), Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching), Chong Chieng Jen (Stampin), Willie Mongin (Puncak Borneo), Richard Riot Anak Jaem (Serian), Masir Kujat (Sri Aman), Wong Ling Biu (Sarikei), Larry Sng (Julau), Alice Lau Kiong Yieng (Lanang), Oscar Ling Chai Yew (Sibu), Baru Bian (Selangau), serta Anyi Ngau (Baram).

Ia turut disokong empat ahli Dewan Negara, selain sembilan Adun dari Sabah dan 23 Adun dari Sarawak.

Mereka merupakan wakil rakyat daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Warisan Sabah (Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), dan wakil bebas.