"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz dijangka umum keluar PAS jam 2 petang ini

Zulkifli Sulong
PEMIMPIN PAS Mahfuz Omar dijangka akan mengumumkan peletakan jawatannya dalam parti Islam itu hari ini, menjadikan beliau sebagai ahli Parlimen terbaru keluar PAS berikutan keputusannya untuk menubuhkan pakatan pembangkang kedua.

Mahfuz, yang secara terbuka melobi PAS untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), juga dijangka akan mengumumkan beliau akan menjadi ahli Parlimen bebas buat masa ini.

Dalam menyokong pakatan PAS-PH, ahli Parlimen Pokok Sena itu sering menentang pimpinan partinya. Beliau juga menimbulkan kemarahan pimpinan PAS yang mahukannya keluar.

Sumber yang rapat dengan Mahfuz memberitahu bekas pesuruhjaya PAS Kedah itu juga akan mengumumkan peletakan jawatan itu pada sidang media yang dijadualkan berlangsung di Alor Star, Kedah pada jam 2 petang.

Mahfuz akhirnya membuat keputusan untuk keluar parti berikutan tekanan daripada penyokong akar umbinya, kata sumber berkenaan.

Mahfuz ketika dihubungi semalam bagaimanapun enggan mengesahkan namun tidak menafikan dakwaan ini.

"Saya hanya akan katakan sesuatu esok (hari ini). Sila hadir pada sidang media saya," katanya.

Mahfuz dianggap sebagai antara yang terakhir dalam kalangan pemimpin PAS progresif dan ahli yang meninggalkan parti pada 2015 selepas pertikaian dalaman.

Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu bersama ahli Parlimen lain meninggalkan parti itu pada 2015 dan menubuhkan Amanah.

Amanah juga merupakan salah satu daripada parti dalam pakatan pembangkang termasuk PKR, DAP dan Bersatu.

Selepas muktamarnya tahun ini, PAS mengumumkan untuk menubuhkan pakatan pembangkang kedua yang dipanggil Gagasan Sejahtera Rakyat.

Pakatan itu akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 menentang PH dan pakatan pemerintah Barisan Nasional.

Sejak penubuhan Bersatu pada 2016, tersebar khabar angin yang mengatakan Mahfuz akan menyertai parti Melayu yang juga sebahagian daripada PH itu.

Ini berikutan beliau dilihat kerap hadir pada majlis Bersatu dan secara terbuka menyokong timbalan presiden Bersatu dan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Mahfuz turut menyokong Mukhriz ketika beliau digugurkan sebagai menteri besar Kedah di bawah kerajaan negeri sekarang pada 2014.

Pada November, seorang lagi pemimpin pro PH Kedah, Amiruddin Hamzah meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu.

Amiruddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit berkata, beliau memutuskan untuk meninggalkan PAS selepas parti itu berkata mustahil untuk bekerjasama dengan PH.

Bilal didakwa tuduhan meliwat

RUBIAH OMAR

Tertuduh Muslin Mamat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini kerana meliwat remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2014.
 KUALA TERENGGANU - Seorang bilal didakwa meliwat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Tertuduh, Muslin Mamat, 49, dari Batu Rakit, Kuala Nerus bagaimanapun mengaku tidak salah dan mohon dibicarakan mengikut Seksyen 377 B Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meliwat mangsa yang ketika kejadian berusia 17 tahun di sebuah rumah di Batu Rakit, Kuala Nerus, jam 11.30 malam pada 9 Ogos 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali di hadapan Hakim Azman Mustapha manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 28Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
-sinaarharian

1 nama 1 tarikh lahir di macam-macam negeri - Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan kewujudan banyak nama pengundi yang mencurigakan dalam senarai pemilih dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berucap di depan hampir 200 orang perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Shah Alam hari ini, Dr Mahathir berkata persamaan itu dirasakan aneh kerana mempunyai banyak persamaan.

Membacakan nama-nama itu dari senarai yang ada padanya bekas perdana menteri berkenaan berkata, antara nama paling popular dan mempunyai persamaan ialah Fatimah Ismal yang ada 206 orang di Kedah, 210 di Kelantan, 104 di Pahang dan 360 di Terengganu.

“Selain itu nama Ismail Abdullah, Ismail Ahmad, disemua ada negeri ada nama yang sama.

"Ada 804 Ismail Ibrahim, 763 Fatimah Abdullah, 670 Abdullah Ismail, 654 Ismail Ahmad, 608 Ismail Abdulah, 521 Ismail Awang," katanya disambut dengan ketawa perwakilan serta pemerhati persidangan kali pertama BERSATU itu.

Ditubuhkan Ogos tahun lalu BERSATU mengadakan perhimpunan tahunannya hari ini ketika parti berkenaan berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya jika gagal membuat mesyuarat agung.

BERSATU ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin Umno yang tidak sehaluan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Sekarang sudah padam

Kata Dr Mahathir senarai itu juga mencurigakan kerana senarai yang disebutkannya itu bukan saja mempunyai persamaan pada nama, malah pada hari lahir.

“Nama sama, lahir pada hari yang sama, tetapi (ada) di macam-macam negeri,” katanya yang mengundang sorakan “Tolak SPR!” daripada perwakilan yang hadir.

Turut kedengaran, suara perwakilan riuh-rendah berteriak “SPR tipu", “Tolak Najib, Rosmah” dan “Hidup Tun”.

Untuk rekod isu senarai pengundi yang meragukan bukanlah sesuatu yang baru. Malah ia pernah dibangkitkan parti pembangkang ketika Dr Mahathir masih menjadi perdana menteri.

Untuk rekod salah seorang pegawai kanan SPR pada zaman Dr Mahathir, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, kini menjadi naib presiden BERSATU.

Abdul Rashid pernah menjadi setiausaha SPR sebelum jawatannya dinaikkan menjadi pengerusi badan pengendali pilihan raya Malaysia itu.

Selepas membuat dakwaan itu Dr Mahathir bagaimanapun berkata senarai tersebut telah dipadam kerana SPR mengetahui mereka "menipu rakyat".

“Sekarang dah dipadam, nama dipadam, alamat dipadam. Kenapa dipadam? Kerana saya tahu dia (SPR) dah tipu.

“Saya perlu dedahkan ini kerana saya ingin tanya kepada SPR mengenai perkara ini,” katanya.

Satu rumah kongsi 15 orang

Dr Mahathir turut mendedahkan beberapa hal pelik turut ditemui antaranya pada satu rumah terdapat terlalu ramai pengundi dan berbilang bangsa pula.

“Dalam satu rumah terdapat tiga bangsa, rumah tak ada langsung pun ada, ada nama yang sama cuma kad pengenalan lain sikit.

“Di Negeri Sembilan - di Nilai - satu rumah ada 15 orang. Di Nilai juga ada dua Melayu, 13 India, satu Cina duduk satu rumah," katanya sambil membacakan alamat kediaman di Taman Kenangan.

Katanya di 'rumah' itu ia didiami 12 orang pengundi Melayu bersama 12 India.

"Dalam sebuah rumah di No 8 Jalan Wangsa semuanya 14 orang di sebuah rumah, iaitu 12 Melayu dan dua India,” katanya yang menyebabkan perwakilan riuh rendah bersorak.

Persidangan hari ini turut dihadiri pemimpin kanan Pakatan Harapan, termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Tan Kok Wai.
-malaysiakini

Bapa durjana rogol anak sebab dendamkan isteri

Seorang kerani durjana berusia 32 tahun merogol anak kandungnya yang berusia sembilan tahun kerana ingin membalas dendam terhadap isterinya yang didakwa berlaku curang, lapor China Press.

Lelaki itu berkata, dia mula merogol anaknya sejak kanak-kanak perempuan itu berusia lima tahun dan melakukan serangan seksual lebih 10 kali dalam tempoh empat tahun.

Ibu mangsa yang merupakan warga Indonesia pada Rabu menemukan cecair berwarna putih pada bahagian sulit kanak-kanak tersebut dan bertindak menghantar mangsa ke klinik sebelum membuat laporan polis.

Bapa mangsa ditahan kira-kira enam jam selepas laporan tersebut dibuat.

Suspek mengangku dia mengadakan hubungan seks dengan anaknya dan kali terakhir dia melakukan perkara terkutuk itu adalah di rumah mereka di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang sekitar dua minggu lalu.

Difahamkan, suspek memberitahu polis bahawa dia telah mengahwini isterinya 10 tahun lalu dan mereka mempunyai dua orang cahaya mata.

Suspek mendakwa, dia mengetahui tentang isterinya yang mempunyai hubungan dengan lelaki lain beberapa tahun lalu dan dan mahu membalas dendam dengan mencabul dan merogol anak perempuan mereka.

Dilaporkan, jenayah tersebut dilakukan sama ada di bilik tidur atau ruang tamu rumah mereka.
-mstar

Akhirnya Dr Mahathir minta maaf atas semua kesalahan beliau sepanjang menjadi ahli politik

Radzi Razak
PENGERUSI Bersatu, Dr Mahathir Mohammad akhirnya memohon maaf atas semua kesalahan beliau sepanjang menjadi ahli politik.

Dalam ucapan sulung di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu, Dr Mahathir, bekas perdana menteri selama 22 tahun mengaku di hadapan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan lebih seribu perwakilan parti bahawa beliau hanyalah “insan biasa.”

“Saya, seperti manusia lain tidak mungkin sunyi dari berkata dan melakukan kesalahan bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara.

“Saya pohon maaf terhadap apa jua kesalahan saya selama ini,” kata beliau di hadapan 1,300 perwakilan dan pemerhati Bersatu, pemimpin parti dalam PH serta NGO dalam dan luar negara di Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun Dr Mahathir tidak menyatakan secara khusus kesalahan yang pernah dilakukannya itu.

Pelbagai pihak termasuk sekutunya dalam Pakatan Harapan sekarang, pernah mengkritik Dr Mahathir yang langsung tidak mahu mengulas tanggungjawabnya dalam pelbagai perkara yang berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri termasuklah tragedi Operasi Lalang 1988 dan penyingkiran Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Dalam ucapannya hari ini, Mahathir turut menyeru agar ahli Bersatu mengetepikan perasaan masing-masing dan membantu semua parti komponen PH untuk menang.
“Jika kita PPBM (Bersatu) tidak sokong calon Pakatan Harapan, jangan harap calon PPBM (Bersatu) akan dapat sokongan dari tiga buah parti lain,” katanya.

Permohonan maaf itu timbul selepas Dr Mahathir dicalonkan untuk menjadi perdana menteri sementara PH sekiranya pembangkang berjaya menakluk Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pencalonan berkenaan belum diputuskan secara rasmi setakat ini dan masih dianggap sebagai isu sensitif di kalangan parti PH.

Pencalonan itu sudahpun dipersetujui DAP, Bersatu dan Amanah, manakala PKR pula menyatakan persetujuan bersyarat.

Bersatu semalam mahu perbincangan berkenaan dibuat secara tertutup dan diterima semua dalam PH sebelum diumumkan kepada awam.

Perwakilan memberi sokongan penuh dan turut menjerit “Hidup Tun!” dan memberi tepukan gemuruh beberapa kali dalam ucapan beliau

Turut hadir hari ini ialah Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohammad Sabu dan Pengerusi DAP Tan Kok Wai serta pemimpin lain PH.

Calon PM: Anwar mahu pemimpin PKR berlapang dada, teruskan rundingan

HUSIN MAHAT 
Penasihat Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta para pemimpin parti itu berlapang dada dalam membincangkan isu calon perdana menteri dan mahu rundingan diadakan dengan semua pihak agar PH tidak dilihat terburu-buru dalam memilih bakal peneraju negara jika dipilih mentadbir Putrajaya.

Pengarah Komunikasi PKR dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media yang memetik sumber berkaitan pandangan pemimpin PKR terhadap cadangan Perdana Menteri PH.

“Bagi pihak pimpinan parti, saya ingin menegaskan bahawa PKR hanya meminta ruang untuk membincang dan membina konsensus di dalam isu ini,” katanya.

Menurut Fahmi, sebelum ini soal calon Perdana Menteri interim ada dibincang dan kini timbul cadangan nama Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dipertimbangkan.

“Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri meminta agar pimpinan berlapang dada serta berunding dengan semua pihak termasuk NGO agar Pakatan Harapan tidak kelihatan terburu-buru.

Fahmi Fadzil berkata tindakan itu dapat membuktikan komitmen mereka kepada prinsip ketelusan
Fahmi Fadzil

“Isu utama di sini adalah mempertahan agenda perubahan yang wajib berlaku dalam negara, bukan dengan hanya merubah Perdana Menteri sedia ada tetapi dengan reformasi menyeluruh,” katanya.

Isu berhubung calon perdana menteri PH menjadi hangat apabila beberapa nama diketengahkan bagi jawatan itu oleh para pemimpin gabungan PH.

Walaupun Anwar dianggap sebagai calon popular, namun hukuman penjara dan halangan perundangan membatasi pencalonan beliau menyebabkan idea ‘perdana menteri interim’ ditimbulkan.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghangatkan suasana apabila mendakwa menamakan calon perdana menteri bertentangan dengan ajaran Islam.

Pandangan beliau bagaimanapun disanggah beberapa tokoh agama dan politik apatah lagi Pas sendiri pernah menamakan pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13.

2 remaja didakwa bunuh budak perempuan 14 tahun

DUA remaja dihadapkan di Mahkamah Majistret di Temerloh hari ini atas tuduhan membunuh seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, dua bulan lepas.

Zamirul Aliff Mohd Zaki, 19, dan seorang lagi remaja berusia 15 tahun mengaku faham akan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Tiada pengakuan direkodkan kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa membunuh Nur Amira Abdullah di ladang kelapa sawit di tepi sungai Triang Estate, Bera antara pukul 1.10 pagi hingga 3.30 petang, 25 Oktober lalu.

Mereka yang berasal dari Bera, dekat Temerloh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Najwa menetapkan sebutan semula kes pada 24 Jan selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustaffa memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Tertuduh yang merupakan pelajar sekolah dan penuntut sebuah kolej tidak diwakili peguam pada prosiding itu. Kedua-dua mereka ditangkap pada 18 Disember.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan sebelum ini mengesahkan mayat Nur Amira ditemui orang awam dalam keadaan terapung di Sungai Triang pada pukul 3.30 petang, 26 Oktober. Nur Amira dilaporkan tidak bersekolah.

Mayat mangsa ditemui dengan banyak kesan luka tikaman di dada, abdomen, belakang badan, tangan dan kaki.
-Bernama

Dulu lain, sekarang lain: Hadi dan bayangan kabinetnya

Arham Merican
Kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa anggota Kabinet hendaklah dipacu orang Islam dan bangsa paling berpengaruh, adalah pandangan politik peribadi beliau, bukannya berasaskan dalil syariah yang jelas.

Pandangan beliau yang menukilkan pandangan Imam Mawardi tentang hak zimmi dalam pentadbiran dengan tafsiran di luar konteks, seolah-olah menyatakan bahawa bukan Islam di Malaysia adalah golongan kelas kedua.

Malah ramai dalam kalangan orang Islam di Malaysia mempunyai salah faham dengan konsep Zimmi.

Tanggapan Zimmi sebagai masyarakat kelas kedua dalam sesebuah pentadbiran Islam dahulu adalah pandangan syaaz (pelik) dan dipopularkan oleh majoriti orientalis. Ia bercanggah dengan prinsip umum Islam yang menjamin karamah insaniah (kemuliaan manusia) dan hak sama rata manusia.

Dalam sejarah Islam, golongan ini diberi peluang memegang jawatan kerajaan kecuali jawatan yang memang lansung berkaitan dengan keagamaan seperti imam dan khatib. Mereka terlibat dalam penentuan dasar negara keseluruhannya tetapi tidak terlibat dalam hal ehwal keagamaan rakyat umat Islam.

Malah terdapat dalam sejarah terutamanya zaman Abbasiyah, rakyat Kristian dan Yahudi dilantik menjadi menteri dan gabenor di wilayah Islam seperti Nasar Harun, Isa Qasturas, Abu Saad Tastari, Bahram Armani dan lain-lain.

Walaubagaimanapun, majoriti ulama pada zaman ini seperti Yusuf Al-Qaradawi, Ali al-Qaradhagi, Ben Bayyah, Rached Ghannouchi, Ahmad al-Raysuni, Muhammad Imarah, Tariq Ramadan dan lain-lain sepakat bahawa konsep Zimmi telah tidak wujud kerana wujudnya perbezaan konsep dan konteks kenegaraan.

Konsep ini diganti dengan konsep Muwathonah (kewarganegaraan) yang memberi hak sama rata kepada semua warganegara selagimana mereka mengiktiraf Perlembagaan termasuk hak untuk mengundi dan diundi di dalam pilihan raya.

Malah, menurut Qaradawi dan Qaradhagi, pembayaran jizyah (cukai dikenakan ke atas bukan Islam) tidak perlu diperjuangkan lagi dan perlu dihapuskan sekiranya bukan Islam terlibat dalam tugas mempertahankan negara, contohnya mereka menganggotai pasukan polis atau tentera.

Al-Qaradaghi yang juga setiausaha agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia juga menulis dalam kitabnya, Nahnu wa Akhar, bahawa konsep “Wizarah Tafwidh” dan “Wizarah Tanfiz” yang dipopularkan Imam Mawardi perlu difahami secara teliti kerana konsep negara pada hari ini adalah negara yang mempunyai perlembagaan di mana perdana menteri juga boleh dikategorikan sebagai Wizarah Tanfiz.

Semua pihak khususnya agamawan jangan terlalu mudah menggunakan teks zaman dahulu dalam konteks keadaan zaman sekarang yang bakal menyebabkan salahfaham berterusan terhadap Shariah dan Islam.

Selain itu semua pihak harus memainkan peranan bagi mengelakkan perpecahan, menyebarkan rahmah, dan mengekalkan keharmonian hidup bersama selaku rakyat Malaysia.

Arham Merican mewakili kumpulan advokasi syariah, Siasah Rahmah.

Dilema 13 Adun Pas Selangor itu benar - Khalid Samad

HUSIN MAHAT
Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad tidak menolak desas-desus yang menyatakan ahli dewan negeri (Adun) Pas di Selangor kini berada dalam dilema ekoran hala tuju parti itu yang tidak jelas.

“Kebelakangan ini kita membaca idea yang agak kontroversi dikemukakan berhubung kedudukan Adun-Adun Pas di negeri Selangor. Ide kontroversi ini mencadangkan supaya mereka melompat keluar Pas dan menyertai Keadilan (PKR) dan seterusnya bertanding kembali kerusi mereka sebagai ‘incumbent’ atau penyandang tetapi atas tiket Keadilan.

“Saya yakin Adun-Adun Pas sedang dalam sedikit dilema mengenai cadangan ini,” ujar beliau dalam kolumnya di mingguan Amanah, akhbar rasmi Parti Amanah Nasional, edisi terbaru.

Menurut Khalid, bukan menjadi suatu rahsia apabila 13 Adun Pas Selangor dilihat tidak senang dengan keputusan Pas Pusat keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) apabila memutuskan hubungan dengan DAP dan Keadilan.

“Ini jelas berdasarkan surat yang telah ditandatangani kesemua 13 Adun Pas meminta supaya Pas Selangor dikecualikan dari dasar Pas Pusat untuk memutuskan hubungan dengan PR.

“Malangnya bagi mereka, rayuan mereka telah tidak diendahkan pimpinan Pas Pusat, khususnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” ujar beliau.

Khalid yakin pada ketika itu sudah ada di kalangan Adun Pas Selangor yang berhasrat keluar Pas dan bersama AMANAH namun kerana diyakinkan pihak tertentu bahawa hubungan Pas dengan Pakatan Harapan (yang menggantikan PR) boleh dipulihkan, mereka kekal bersama Pas.

“Kemungkinan mereka dimaklumkan bahawa perbincangan antara pihak Keadilan bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mustafa Ali sedang berjalan dengan begitu positif.

“Kemungkinan akan ada kerjasama antara Pas dan PH digunakan untuk mereka kekal dalam Pas dan pada masa yang sama mengekalkan juga ‘kerajaan PR’ di Selangor,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambah beliau kerjasama Pas-PH itu tidak tercapai dan pada masa yang sama, perubahan sikap Pas telah menjadikan sebahagian dari mereka tidak lagi diperlukan oleh pemimpin Pas.

“Mereka merupakan golongan pro-kerjasama dengan Pakatan, sama ada Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan, sedangkan Pas sudah anti-Pakatan. Dalam keadaan sebegitu, mereka terpaksa memilih untuk sama ada terus bersama Pas, yang tidak lagi dipersetujui pendekatannya, atau keluar dan bersama PH khususnya bersama AMANAH,” ujar Khalid.

Bagaimanapun Khalid tidak menyokong usaha menawarkan Adun-Adun Pas itu menyertai PKR bagi membolehkan mereka bertanding atas tiket parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Langkah ini, katanya akan menjejaskan hubungan sesama parti dalam PH di Selangor khususnya antara PKR, AMANAH dan PPBM.

Adun-Adun Pas itu juga, katanya terpaksa berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut kerana khuatir dianggap oportunis dan tidak berprinsip.

Sehubungan itu beliau menasihati Adun-Adun Pas yang sedang dalam dilema itu supaya mengikhlaskan hati dalam mendukung perjuangan Islam.

“Jangan jadi seperti Baihara bin Firas, ketua Bani Amir yang sanggup menyokong Rasulullah s.a.w. hanya sekiranya beliau dijanjikan akan dilantik sebagai ketua selepas wafatnya Nabi s.a.w..

“Syarat Baihara telah ditolak Rasulullah s.a.w. kerana sikap meminta dan mementingkan jawatan adalah bukan dari akhlak seorang pejuang Islam yang tulen,” ujarnya.

Beliau seterusnya mempelawa Adun-Adun Pas itu untuk bersama AMANAH walaupun tidak dijanjikan apa-apa jawatan mahupun kedudukan.

“Saya yakin, bukan itu yang diperjuangkan mereka pada ketika menyertai Pas pada asalnya. Sebaliknya yang diperjuangkan mereka, seperti juga kami, adalah untuk membawa risalah politik Islam yang kontemporari, tepat dengan keadaan semasa, demi menyelamatkan negara dari kezaliman dan salah guna kuasa,” tegas Khalid.

Tulisan penuh Khalid boleh diikuti di mingguan Amanah bil. 83.

Lelaki ‘serang’ balai polis dengan parang

Permatang Pauh – Balai polis Seberang Jaya di sini kecoh semalam apabila seorang lelaki membuat kecoh termasuk mengacukan parang kepada petugas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, suspek yang berusia 40 tahun membawa sebilah parang panjang dan menjerit ke arah seorang anggota polis wanita yang bertugas di kaunter.

Ujarnya, lelaki berkenaan kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal selepas seorang anggota polis lelaki cuba menahannnya.

“Lelaki yang disyaki mempunyai masalah mental ini telah ditahan di rumahnya di Seberang Jaya kira -kira pukul 9.30 malam tadi dan kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 
-utusan

PKR letak 3 syarat untuk Dr Mahathir jadi calon PM

Amin Iskandar
PKR meletakkan tiga syarat sebelum bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

PKR membuat keputusan itu semasa mesyuarat biro politik pada 19 Disember lalu yang dihadiri pemimpin-pemimpin kanan parti itu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, syarat pertama ialah sebaik sahaja PH mengambil alih Putrajaya selepas PRU14, Anwar perlu dibebaskan dengan segera dan dilantik sebagai perdana menteri dalam tempoh enam hingga dua belas bulan.

“Syarat kedua pula ialah, PKR perlu diberikan kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain dalam PH iaitu sebanyak 60 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia,” kata sumber yang menghadiri mesyuarat itu dengan syarat tidak dinamakan.

“Syarat ketiga ialah, Dr Mahathir perlu bersetuju untuk melakukan reformasi kepada institusi-institusi penting di negara ini.”

Dalam satu pemukiman yang diadakan PH pada 1 dan 2 Disember lalu, tiga parti komponen Amanah, DAP dan Bersatu sudah bersetuju menamakan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya berjaya merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, keputusan itu tidak dapat diumumkan kerana PKR mahu membincangkan perkara itu terlebih dahulu pada peringkat parti.

Seorang lagi sumber yang tahu tentang mesyuarat biro politik PKR minggu lepas berkata syarat-syarat itu akan dibawa kepada Dr Mahathir dan beliau perlu menurunkan tandatangan tanda persetujuan.

“Kita mahu Dr Mahathir berjanji, beliau hanya akan menjadi perdana menteri sementara sahaja dan serahkan kerusi itu kepada Anwar bila sampai waktunya.

“PKR juga mahu kerusi paling banyak kerana bimbang ramai pemimpin Umno akan melompat menyertai Bersatu selepas PRU14 menjadikan parti itu paling kuat dalam Pakatan Harapan,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu menambah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail ditugaskan untuk membawa “surat” perjanjian itu kepada Dr Mahathir.

“Selain itu, Saifuddin juga perlu berjumpa dengan pemimpin-pemimpin kanan PH lain seperti Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu untuk meyakinkan mereka supaya bersetuju dengan syarat ini,” katanya.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini berkata tiada keutamaan bagi PH untuk menamakan calon perdana menteri pada masa ini.

Katanya, semua parti dalam PH kini sedang memberi tumpuan untuk menang PRU14 dan melaksanakan agenda perubahan.

Dua minggu lalu, Dr Mahathir berkata, beliau bersedia untuk menjadi calon perdana menteri sekiranya PH “terdesak” dan tidak mempunyai calon lain.

Penganalisis berpandangan, cadangan menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri merupakan strategi PH untuk memenangi undi Melayu luar bandar yang selama ini dikuasai Umno.

Ini kerana keputusan PRU13 lalu membuktikan, walaupun gabungan pembangkang pada ketika itu berjaya memenangi 52% undi popular dan sebahagian besar sokongan bukan Melayu, mereka tidak dapat menawan Putrajaya tanpa sokongan Melayu luar bandar.

Sementara Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Dr Mahathir mempunyai sokongan Melayu lebih kuat berbanding Anwar dalam kalangan Melayu luar bandar.

Menurut Presiden Amanah itu, semenjak Dr Mahathir memimpin PH, gabungan itu lebih tersusun dan berstruktur.

Sebelum ini, keputusan untuk menamakan senarai pimpinan Majlis Presiden PH tertangguh lebih dua bulan kerana PKR.

Pada ketika itu, perdebatan berlaku dalam PKR sama ada menerima atau tidak Dr Mahathir sebagai pengerusi PH.

PKR ditubuhkan pada 2005 selepas Parti Keadilan Nasional (Keadilan) bergabung dengan PRM.

Keadilan ditubuhkan pada tahun 1999 sebagai protes kepada pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan daripada Kabinet Dr Mahathir.

Semenjak 1998 Dr Mahathir dan Anwar merupakan seteru politik sehinggalah apabila bekas perdana menteri itu melawat bekas timbalannya di mahkamah pada 2016.

Lagi kes anggota polis jadi penyamun, seorang darinya berpangkat Inspector

Pegawai, anggota polis ditahan bantu kes samun

Ipoh – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan dua anggotanya yang bertugas di Perak serta seorang orang awam bagi membantu siasatan kes kejadian samun berkumpulan dan memeras ugut di sebuah rumah di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini.

Katanya pegawai dan anggota berkenaan mendakwa mereka membuat serbuan ke rumah terbabit di Persiaran Rapat Baru 1, Taman Lapangan Permai kira-kira pukul 2 pagi semalam.

“Bagaimanapun, mereka tidak membuat laporan (serbuan) yang merupakan prosedur setiap kali selepas selesai serbuan. Sebaliknya, kita syaki mereka mengambil kesempatan meminta wang, memeras ugut dan menyamun mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Noor Rashid berkata semua yang terlibat kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata api.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Omar Mammah ketika dihubungi berkata kejadian itu melibatkan seorang pegawai, tiga anggota dan dua orang awam.

“Seorang lagi anggota serta seorang orang awam masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya.

Semalam, seorang lelaki berusia 54 tahun membuat laporan polis mendakwa didatangi enam lelaki mengaku sebagai anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan di dalam rumahnya selain diperas ugut untuk menyerahkan RM12,300.

Dipercayai wang tersebut diminta sebagai melepaskan mangsa daripada dibawa ke balai polis kerana penemuan dadah di rumahnya.
-Bernama

Lelaki menyamar polis untuk culik gadis (Gambar)

Bernama
KUANTAN: Polis giat mengesan seorang lelaki berusia awal 30-an yang disyaki menyamar sebagai anggota polis semasa melarikan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek yang berkulit sawo matang dan bertubuh kurus itu dipercayai memperdayakan ibu mangsa dengan memaklumkan dia memerlukan pertolongan daripada mangsa.

Katanya, suspek ke rumah mangsa di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub sekitar pukul 11 pagi dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis berpangkat sarjan yang baharu bertukar ke Balai Polis Sungai Ruan.

“Suspek kemudiannya meminta izin mahu membawa mangsa untuk membantu mengambil motosikal yang baharu dibelinya. Ibu mangsa membenarkan dan melihat anaknya menaiki kereta suspek.

Mangsa juga menghubungi ibunya pada pukul 1 tengah hari memaklumkan dia berada di sebuah pasar raya di Raub dan akan pulang tidak lama lagi,” katanya semasa dihubungi hari ini.


Wan Mohd Zahari menambah pada pukul 3 petang, ibu mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon yang mana mangsa memberitahu dirinya di Gua Musang, Kelantan dan berada dalam keadaan selamat dan akan pulang tidak lama lagi.

“Panggilan itu bagaimanapun terputus menyebabkan ibu mangsa cuba menghubungi anaknya beberapa kali namun gagal sebelum dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) memintanya untuk tidak berasa risau,” katanya.

Sehubungan itu, ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 4 petang semalam.

Wan Mohd Zahari menambah laporan media sosial yang menyatakan suspek berpakaian seragam polis adalah tidak benar kerana suspek hanya memperkenalkan diri kepada ibu mangsa sebagai anggota polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan individu yang membawa hukuman penjara 7 tahun dan juga boleh didenda serta Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar penjawat awam yang boleh dihukum penjara maksimum 2 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Berang gagal curi wang surau, penjenayah bakar buku agama (Gambar)

SEBUAH buku agama dibakar dipercayai oleh penjenayah yang berang kerana gagal mencuri wang tabung di Surau Al-Hidayah, Jalan Pertanian, Taman Universiti, Skudai, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Beh Eng Lai berkata kejadian disedari seorang penduduk yang melalui kawasan surau itu pada 2.10 pagi tadi apabila melihat pintu pagar dan pintu jeriji surau terbuka.

"Lelaki berkenaan (pengadu) kemudian mengambil rakannya dan kembali ke surau itu bagi membuat pemeriksaan lalu mendapati seunit kipas mudah alih hilang, naskhah al-Quran dan Yassin berselerak manakala beberapa rak dan jam besar juga dialihkan dari kedudukan asal.

"Pemeriksaan turut mendapati barangan di dalam stor seperti lampu, vakum, al-Quran, naskhah Yassin, sejadah dan wayar elektrik turut diselongkar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata lelaki terbabit dan rakannya turut mendapati beberapa helaian al-Quran dibakar berhampiran laluan ke bilik air lalu melaporkannya kepada polis.

Beliau berkata siasatan polis di surau itu mendapati tiada kesan umpil pada mana-mana bahagian masuk surau, namun terdapat kesan umpil pada tabung surau selain kerosakan pada rak dan alatan dalam stor akibat diselongkar.

Pemeriksaan di laluan bilik air di luar surau mendapati ada buku agama terbakar, namun, ia bukan al-Quran kerana terdapat cebisan kertas yang masih tidak terbakar yang mengandungi perkataan rumi disyaki buku agama.

"Pemantauan dijalankan mendapati tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat kejadian ataupun kawasan sekitar.

"Tiada saksi yang melihat kejadian itu dan usaha mengesan cap jari juga tidak menemukan sebarang kesan cap jari," katanya.

Menurutnya usaha mengesan suspek sedang digiatkan.

Beh berkata siasatan awal percaya suspek membakar buku agama itu kerana berang tidak dapat mencuri wang tabung masjid yang disimpan di dalam peti besi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Hidayah Hassan Sabudin yang dihubungi berkata pintu surau berkenaan memang tidak dikunci bagi memudahkan penduduk menunaikan solat kerana ada yang mengunjungi surau berkenaan pada waktu malam.

"Sebelum ini, memang selalu berlaku pecah masuk, biasanya penjenayah hanya masuk untuk 'pancing' duit dari tabung," katanya yang mengesahkan laporan berhubung kejadian dibuat di Balai Polis Taman Universiti, Skudai. 
-Bernama

Pesan Cikgu Shahnon

Pesan Cikgu Shahnon: Yang benar itu, luahkan
BELASUNGKAWA l Jika 26 Disember setiap tahun sering diingati kerana peristiwa Tsunami, maka pada tarikh serupa ia menambah lagi cerita dan berita luka.

Pemergian abadi guruku, Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, menambah jumlah lorek duka dalam diri selepas seorang demi seorang manusia yang akrab denganku sudah menghuni alam abadi.

Setahun menjadi antara pelajarnya ketika menekuni ilmu di Universiti Sains Malaysia (USM), Minden di Pulau Pinang, pertengahan 1990an lalu, mendekatkan mata hati dengan gemulah.

Biar pun ketika itu gelaran profesor sudah disandangnya namun beliau lebih senang dan amat mengalu-alukan dipanggil 'cikgu'.

Signifikan panggilan itu kerana katanya secara berseloroh dibawa hingga ke liang lahad dan disebut orang hidup selagi mereka tidak mati. Ia juga bersambung-sambung hingga kiamatnya dunia!

Mulianya seorang cikgu di mata hati seorang profesor yang tidak pernah sekali pun sepanjang hayat meninggi diri.

Tiada denda

Menghadiri kuliah gemulah antara keseronokan sebagai seorang remaja bergelar penuntut. Mana tidaknya, selingan realiti kehidupan sering diselitkan dalam pengajaran beliau.

Kalau tidak perbandingan, beliau pasti membuat perlambangan. Itu yang sering dikupasnya dalam beberapa novel seperti Srengenge.

Beliau sering membuka minda penuntutnya berfikir terus ke hadapan sambil menjinjing pengalaman hidup lalu sebagai iktibar.

Aku antara penuntutnya yang sering tidak menepati waktu kelasnya yang bermula jam 8 pagi. Tiada denda mahupun ditahan di luar kelas. Malah beliau mengalu-alukan kedatangan penuntut yang terlewat. Biar dapat separuh daripada tidak mendapat seluruhnya.
Tapi Shahnon Ahmad tetap Shahnon Ahmad. Beliau sabar mengulangi pengajaran yang tertinggal kepada penuntutnya pada masa itu juga.

Memanaskan punggung di dalam kelasnya seolah tiada apa-apa. Tidak jemu, jauh sekali meletihkan. Semua itu kerana penuntut seringkali terpesona dengan kupasan pengajaran yang memaksa aku dan rakan yang lain menerawang gambaran berkenaan di depan mata.

Lihat saja perinciannya dalam setiap penceritaan situasi, watak, persekitaran dan segala hal berkaitan naratif. Ia hidup di depan kami. Itu keistimewaan Cikgu Shahnon.

Bakat, bukan kudrat

Manusia bernama Shahnon ini tidak pernah sekali pun aku lihat kerut di dahi apatah lagi merengus berdepan dengan pelbagai ragam pelajar.

Beliau sentiasa kelihatan muda kerana dalam apa juga keadaan dan situasi, senyum ikhlas itulah awetnya. Sungguh aku gagal meniru peribadinya yang satu itu.

Gemulah juga, bagi aku, satu-satunya pensyarah yang tidak kedekut A-nya. Cuma yang membezakan kami pelajarnya adalah sama ada A (tolak) atau A (campur).

Lebih daripada itu tiada. Kertas peperiksaannya sering mendahului kertas-kertas lain disebabkan pemarkahan cenderung kepada mengenal bakat bukan kudrat.

Pada masa senggang pergi saja ke Pusat Islam USM yang beroperasi di Masjid Besar universiti. Temuinya di situ dan cuba ajak berlabun perihal sastera. Aku pasti, sesiapapun tidak tercatat ilmunya yang sangat luas.

Lebih-lebih lagi jika gemulah mengadaptasi ciri-ciri keagamaan dalam sastera. Yakinlah, jika rajin menelanjangi novel beliau akan ditemui unsur-unsur keagamaan dalam naratifnya. Tidak percaya? Kajilah!

Ranjau Sepanjang Jalan, Tunggul-Tunggul Gerigis, Patriach malah Srengenge adalah adaptasi kehidupan sebenar melalui pengalaman dicernakan di dalam novel-novelnya itu.

Malah, kebanyakan cerpen-cerpennya juga daripada pengalaman, pemerhatian dan penelitian terperinci yang sangat jarang dilakukan penulis lain.

Sangat jujur dan cukup ikhlas Cikgu Shahnon menularkan keperitan manusia yang berada di kalangan kurang bernasib baik. Itu yang dikhabarkan kepada penuntutnya sebaik soalan ditanya berkaitan isi penceritaan dalam novel atau cerpennya.

Sastera Islam

‘Apa yang benar mesti kita luah. Jangan pendam nanti menjadi barah. Tampung kegelisahan, ketidakpuasan malah kebencian kita melalui makalah. Guna bahasa indah kerana sebagai penulis kita sebolehnya mahu mengelak gundah’ - itu antara kalimat Cikgu Shahnon dalam memberi semangat kepada penuntutnya yang kuingat-ingat lupa.

Mungkin kerana itu jugalah tercipta novel Shit pada 1999. Benar. Cikgu Shahnon mempraktikkan apa yang diajar. Sungguhpun Shit dihentam kiri dan kanan, depan juga belakang namun ada rasional mengapa novel satira politik sedemikian dilahirkan.

Sebagai bekas penuntut dan sebagai penulis Cikgu Shahnon bukan saja kreatif tetapi juga dalam masa sama sangat kritis.

Aku mengagumi Shahnon bukan hanya kerana kami lahir di daerah sama iaitu Baling dan Sik tetapi kekaguman itu lebih bertumpu bagaimana dia mengeluarkan penderitaan penduduk pedalaman ke mata seluruh negara hanya dengan mencoretkan di dalam novel realiti kreatif.

Mungkin sebab itu juga beliau diangkat menjadi wakil bagi Parlimen Sik - tahun sama beliau dipandang negatif dan hampir-hampir kehilangan gelaran Sasterawan Negara.
Beberapa tahun kebelakangan ini, berita merosotnya tahap kesihatan beliau sesekali kudengar. Cikguku tidak segagah dulu. Cikguku beransur lemah. Cikguku kehilangan kudrat.

Namun di sebalik semua kekurangan itu aku yakin cikguku masih teguh mencintai sastera berunsur Islamik. Aku yakin kerana sejak hari pertama menjejaki kelas kuliahnya itulah yang diidamkannya - mengislamikkan sastera.

Pada pagi 26 Disember 2017, Shahnon Ahmad yang kukenal secara peribadi akhirnya mengikut hukum alam fana - setiap yang bernyawa pasti dijemput Ilahi.

Shahnon sudah pergi ke negeri abadi namun Lahuma dan Jeha tetap hidup di hati kita.

Shahnon dalam perjalanan tenang menemui Ilahi namun Shit yang dikeluarkan dahulu tetap berpaksikan demokrasi membela insan teraniaya.

Shahnon harapnya suci di depan Tuhan dengan meninggalkan khazanah sastera yang tidak mungkin sesiapa pun dapat lupakan.

Belasungkawa guruku. Kukenali hanya sekejap namun dalam sekejap itu aku mengenalimu!

FAUZI RAHIM MUSTAFA anak kelahiran Baling, Kedah dan bekas graduan Universiti Sains Malaysia, juga menjadi penulis bebas.
-malaysiakini 

Musuhi hanya kerana bukan Islam bercanggah ajaran Islam sebenar

ZIKRI ABDULLAH

Umat Islam yang menganggap seseorang itu musuh hanya semata-mata kerana dia bukan Islam adalah bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Pengerusi panel syariah AMANAH Kelantan Ustaz Hj Hashim Mohd berkata, fahaman seperti itu berlawanan dengan apa yang dilakukan Rasulullah S.A.W sendiri.

“Kita perlu ingat bahawa ketika Nabi diutus menjadi Rasul hanya beliau seorang diri sahaja yang Islam.

“Kalau baginda bertindak memusuhi semua yang belum Islam di kelilingnya, tentu Islam tidak berkembang,” katanya ketika memimpin tanweer bulanan pimpinan AMANAH Kelantan di Jeli malam tadi.

Dalam ajaran Islam katanya, permusuhan dengan orang kafir hanya ketika berlaku peperangan.

“Memanglah semasa perang mereka memusuhi kita dan kita memusuhi mereka. Semua orang Islam tahu bahawa perang ialah jalan terakhir dalam interaksi dengan bukan Islam. Itupun apabila umat Islam diperangi,” katanya.

Dalam konteks orang bukan Islam di Malaysia katanya tidak pernah terjadi orang bukan Islam memerangi kaum Muslimin atas nama agama.

“Oleh itu kita tidak harus mengkategorikan DAP, MCA, MIC dan apa sahaja sebagai golongan yang perlu dimusuhi.

“Malah seharusnya kita sentiasa mencari jalan untuk mengadakan hubungan dan berbuat baik kepada mereka supaya mudah-mudahan mereka menerima Islam,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya lagi kumpulan seperti MCA dan MIC harus ditolak kerana mereka berpakat dengan pemerintah yang menzalimi rakyat.

“Kita tolak mereka kerana hal ini dan bukan kerana mereka tidak beragama Islam,” katanya.