"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesawat patah balik gara-gara penumpang bogel


Sebuah pesawat terpaksa berpatah balik selepas seorang lelaki membuka pakaiannya dan berkurung di dalam tandas.

Kru pesawat penerbangan Alaska Airlines mendapati penumpang yang berbogel itu mengunci dirinya dalam tandas pesawat selepas dia dilaporkan tidak mahu mengikut arahan dari kru.

Penerbangan itu membawa 178 orang ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ted Stevens Anchorage di Alaska ke Seattle pada Rabu, tetapi terpaksa berpatah balik.

Polis Lapangan Terbang Sarjan Darcey Perry memberitahu KTVA: “Ada subjek dalam pesawat yang mengurung dirinya di dalam tandas.

“Pembantu penerbangan mendapati bahawa subjek itu berbogel.”
Jurucakap Alaska Airlines memberitahu media AS bahawa penerbangan itu berpatah balik disebabkan penumpang yang tidak mengikut arahan kru penerbangan.”

Tim Thompson dalam satu e-mel berkata: “Walaupun tidak ada isyarat kecemasan diisytiharkan, juruterbang membuat keputusan untuk kembali ke Anchorage.

“Penerbangan 146 tiba di Anchorage kira-kira jam 2.45 pagi dan ditemui oleh pegawai penguatkuasa undang-undang di pintu masuk. Penumpang berkenaan dikawal oleh pegawai penerbangan.”

KTVA melaporkan lelaki itu disoal siasat oleh FBI tetapi tiada tuduhan difailkan terhadapnya.

Jurucakap Peguam Negara berkata lelaki itu dibawa ke hospital untuk penilaian kesihatan mental menurut laporan.

Penumpang Kate Danyluk memberitahu CBS News dia mendengar bahawa lelaki itu telah membuka pakaiannya dan fikirannya tak waras.”

“Polis datang dan membawanya keluar ikut pintu belakang.

“Saya lebih suka kembali ke Anchorage daripada ada sesuatu yang berlaku.”
-kualalumpurpost

Dua lelaki Pakistan ditahan cuba cabul murid

Putrajaya – Dua lelaki warga Pakistan ditahan setelah didakwa cuba mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dalam kejadian di perhentian bas di Presint 9(2) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, pada kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, ibu mangsa yang hendak mengambil anaknya dari sekolah telah dimaklumkan oleh seorang saksi di tempat kejadian bahawa anaknya telah diapit oleh dua lelaki tidak dikenali.

“Berdasarkan hasil rakaman percakapan saksi, terdapat dua lelaki duduk bersebelahan mangsa iaitu di tengah-tengah dengan jarak antara mereka hanyalah satu jengkal.

“Mangsa mengatakan kedua-dua lelaki yang memakai baju berwarna merah jambu itu cuba menyentuh tangannya tetapi mangsa sempat mengalihkan tangan dan terus berlari ke kawasan sekolah yang terletak berhampiran perhentian bas tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Rosly, susulan kejadian ibu mangsa telah menghubungi talian kecemasan 999 dan pihak polis terus bergegas ke lokasi kejadian dan menahan dua lelaki warga Pakistan tersebutmasing-masing berusia 25 dan 30 tahun.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan cuba melarikan namun berjaya dikejar dan ditahan di perkarangan Surau Al-Najah Presint 9 di sini,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosly berkata, kes tersebut turut menjadi tular di media sosial apabila komuniti sekitar Putrajaya mendakwa kes berkenaan merupakan kes culik sebaliknya ia merupakan kes cubaan mencabul.
–Kosmo

KWSP mungkin umum dividen tertinggi 7% dalam 22 tahun

FMT Reporters
PETALING JAYA: Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mungkin yang tertinggi dalam tempoh 22 tahun.
Ini susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada bulan lalu yang berkata, dana itu akan meneruskan rekod prestasi 5 tahunnya untuk mengatasi inflasi sekurang-kurangnya 3.5% mata.

Susulan pendedahan kerajaan yang kadar inflasi tahun lalu sebanyak 3.7%, spekulasi kini timbul yang dividen KWSP mungkin sekurang-kurangnya 7.2%, lapor The Straits Times.

Ini berbanding dividen 5.7% yang diumumkan tahun lalu dan 6.4% pada 2016. Pembayaran kepada pencarum bagi 2 tahun itu masing-masing berjumlah RM37 bilion dan RM38 bilion.

Akhbar Singapura itu berkata, berdasarkan dividen yang dijangka lebih tinggi tahun ini, jumlah pembayaran juga dijangka mencapai rekod baharu RM40 bilion buat julung kali.

Langkah itu tidak mengejutkan kebanyakan pemerhati kerana tahun ini Malaysia akan mengadakan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijangka paling sukar pernah dihadapi Barisan Nasional tidak lama lagi.

Jika KWSP mengikut trend 5 tahunnya, ia adalah pertama kali sejak 1 yang dividen itu mencecah 7%, hanya setahun sebelum krisis mata wang menjejaskan ekonomi.

Sejak itu, dividen tertinggi diagihkan KWSP ialah 6.84% pada 1999, ketika BN berdepan satu lagi tahun PRU mencabar, berdepan pakatan pembangkang diketuai Parti Keadilan Nasional, PAS dan DAP, susulan
penahanan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain faktor PRU14, ada penganalisis berpendapat tahun lalu baik untuk pasaran ekuiti.

Permodalan Nasional Berhad pada Disember lalu mengumumkan pembayaran dividen 7% bagi 2017 berbanding 6.75% pada 2016.

“Berdasarkan prestasi pelaburan dan aset portfolio KWSP, tidak hairan kadar dividen mungkin lebih tinggi daripada 6%,” kata pensyarah ekonomi di Sunway University Business School, Dr Yeah Kim Leng dipetik The Sun.

DR Mahathir Mohamad dimasukkan ke IJN

DR Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jnatung Negara malam tadi kerana jangkitan di dadanya dan demam.

Menurut IJN, pengerusi Pakatan Harapan itu dimasukkan ke wad biasa untuk rawatan dan pemantauan.

"Dr Mahathir akan dimasukkan ke wad beberapa hari bagi membolehkan rawatan dan pemantauan dibuat. Hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga pengerusi Bersatu turut membatalkan tiga program kempen itu di Bentong dan diikuti ceramah di penempatan Felda hari ini.

Dr Mahathir yang kini berusia 92 tahun sebelum ini pernah dimasukkan dua kali ke IJN iaitu kali terakhir pada 9 Ogos, 2016 dan pada 16 November 2013

Pada Disember tahun lalu, Dr Mahathir tidak hadir pada sesi ceramah di Ipoh berikutan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan dan pada Julai, beliau turut membatalkan kehadirannya pada majlis makan malam kutipan dana di Kluang juga disebabkan masalah kesihatan.

Pada 1989, beliau pernah mengalami masalah jantung dan menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN.

Beliau turut menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua pada 2007.

Sementara itu, anaknya Marina menerusi akaun Twitternya berkata dia sudah melawat bapanya itu pagi ini.

"Saya melawat ayah pagi ini. Beliau dalam keadaan baik, hanya perlu berehat. Beliau akan kembali berjuang tidak lama lagi!" tulisnya.

Pemenjaraan Rafizi, Johari bakal jadi obor ledakan rakyat tolak BN

AKMAL HAZIQ
Parti AMANAH Wilayah Persekutuan yakin pemenjaraan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad akan menjadi obor motivasi kebangkitan dan ledakan rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

AMANAH menyifatkan Rafizi dan Johari sebagai lilin pembakar diri sendiri demi menyedarkan kerajaan dan rakyat tentang kebobrokan beberapa kerat pemimpin BN memanipulasikan dana negara untuk kepentingan peribadi yang menyimpang daripada objektif sebenar, Timbalan Pengerusinya, Tarmizi Mohd Jam dalam satu kenyataan.

“AMANAH Wilayah Persekutuan merakamkan rasa simpati yang amat sangat kepada Rafizi Ramli dan Johari Mohamad kerana dijatuhkan hukum penjara dua tahun setengah setelah didapati bersalah melanggar Akta Bank dan Intitusi Kewangan kerana membocorkan akaun National Feedlot Corporation (NFC), syarikat milik keluarga Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

“Hukuman penjara 30 bulan itu sebenarnya mengukuhkan lagi persepsi awam bahawa pemberi maklumat (whistleblower) di negara ini tidak dilindungi meskipun peranan mereka mustahak dalam mendedahkan skandal jenayah termasuk rasuah dan sekali gus, ia sebagai ‘mesej salah’ kepada rakyat dan dunia khususnya berhubung pemberi maklumat,” kata beliau.

Kata Tarmizi, rakyat negara ini sangat kesal apabila siasatan dan hukuman lebih tertumpu kepada mereka yang mendedahkan maklumat, berbanding usaha untuk menggerakkan penyiasatan menyeluruh terhadap maklumat salah laku dan penyelewengan wang rakyat melalui projek NFC yang didedahkan oleh Rafizi beberapa tahun yang lalu.

AMANAH kecewa kerana tiada perkembangan dan pendakwaan dibuat terhadap pemain skandal NFC yang sarat dengan kontroversi itu, malah tiada pengumuman hasil siasatan sebaliknya pendedah salahlaku dan pembocor maklumat bank pula yang meringkuk ke dalam penjara, jelasnya.

“Ini adalah satu hipokrasi, di mana mereka yang berjuang demi rakyat dan keadilan terus dizalimi, manakala mereka yang menghabiskan wang rakyat dari objektif sebenar bebas dan langsung tidak dikenakan apa-apa tindakan kerana semata-mata mereka menggenggam kuasa dan berselingkuh dengan BN yang sangat berkuasa.

“Apa yang menimpa Rafizi dan Johari itu, menggambarkan realiti sebenar situasi perundangan negara, seorang ahli dewan rakyat yang membongkar skandal berkait dana awam di penjara, manakala seorang pemimpin negara yang terpalit dengan skandal rasuah global bebas berleluasa dan berkuasa,” katanya lagi.

Tawaran Manifesto Pakatan Harapan untuk mereformasi undang-undang sedia ada sangat wajar menyemak semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) ini, kerana pelaksanaan akta Bafia harus lebih fleksibel dan rasional merangkumi pelbagai aspek termasuk menekuni motif pendedahan dibuat, sambungnya.

“Sewajarnya mahkamah tidak statik menjadi pelaksana undang-undang yang “bendul” menjatuhkan hukuman hanya kerana akta dilanggar malah ia juga bukan kalkulator dalam melaksanakan hukuman, sebaliknya mahkamah adalah tempat untuk mencari keadilan dengan maksud adil yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya.

“Pinjaman RM250 juta kepada NFC adalah dana khas untuk memastikan bekalan daging tempatan mencukupi dan pada masa yang sama akaun NFC bukan sekadar akaun persendirian atau korporat yang biasa, sebaliknya ia akaun duit rakyat maka wajar didedahkan segala perbelanjaannya jika timbul keraguan seperti dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

“Laporan itu menyatakan dengan jelas keluarga Shahrizat mendapat pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5,000 hektar di Gemas, Negeri Sembilan, namun sehingga kini rakyat tidak tahu status projek kontroversi NFC berkenaan,” kata beliau.

Lebai PAS ini dapat gelaran Dato beli dari seberang?

Wan Azlan
PENJELASAN:

YB. HJ. HUSAM MUSA telah dipecat dari keahlian Pas tanpa dipanggil membela diri secara adil. Bukannya Yb.Hj Husam yg keluar dari Pas.

Disini tdk timbul soal KIFARAT ALLAH terhadapnya krn beliau telah melanggar 'BAI'AH'. Adakah Dr. Mahathir yg ditarik semula darjah kebesarannya oleh KDYMM Tuanku al-Sultan Kelantan itu kerana beliau melanggar 'Bai'ah' ??

Hal tersebut sudah diperakui oleh Presiden Pas (Hj Hadi) dlm kenyataannya suatu masa dulu.

Kenyataan yg dibuat oleh Nik Zawawi ini sudah keterlaluan dan melampaui batas sehingga sampai keperingkat MEMFITNAH TERHADAP ALLAH dan meletakkan (BERISTINBATH) bahawa kekuasaan ALLAH itu terlalu sempit dan zalim.

Soalan yg perlu Nik Zawawi jawab ;
Mana lebih tinggi kedudukan/darjat kamu yg terang-terang membeli gelaran Dato' dari Sulu/Mindanoa atau Palembang jika dibandingkan dgn kedudukan/darjat rakyat biasa ??

BENAR dan YAKINLAH !!
Sesungguhnya kamu tidak akan dihina dan diaibkan oleh ALLAH jika benar-benar kamu seorang pejuang kebenaran yg ikhlas, merendahkan diri serta berhina diri di hadapan ALLAH AZZAWAJALL.

BN berdepan tentangan sengit di 3 negeri dalam PRU14

Amin Iskandar, Noel Achariam
BARISAN Nasional (BN) akan berdepan tentangan sengit pembangkang di Johor, Kedah dan Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata badan tinjauan bebas Merdeka Center.

Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata ini kerana di ketiga-tiga negeri ini pertembungan tiga penjuru tidak begitu memberikan kelebihan kepada BN.

“Sabah akan menjadi kompetitif disebabkan pertembungan tiga penjuru memberikan kesan berbeza di sana.

“Di Sabah terdapat parti tempatan, parti nasional, gabungan pemerintah, jika terdapat persefahaman antara satu sama lain, PRU14 akan menjadi kompetitif di sana,” kata Ibrahim pada forum bertajuk “GE14: The polls, the meaning, the stakes” di Petaling Jaya malam tadi.

Di Sabah, parti pembangkang seperti Pakatan Harapan (PH), Warisan dan Parti Cinta Sabah (PCS) sedang dalam rundingan untuk bekerjasama bagi melawan BN pada PRU14.

Bulan lalu kajian Merdeka Center mendapati pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan Gagasan Sejahtera pimpinan PAS akan memberikan kelebihan kepada gabungan pemerintah itu.

Ibrahim berkata bagi Johor, secara tradisinya PAS sememangnya lemah di negeri itu dan pertembungan tiga penjuru tidak memberikan banyak kesan kepada PH.

“Johor adalah menarik kerana PAS secara relatifnya lemah di sana.

“Jika kempen dan pembinaan naratif berjaya dilakukan di Johor, ia mungkin akan mengubah keputusan memihak kepada pembangkang, tetapi masa sudah semakin singkat,” katanya.

Johor merupakan negeri kelahiran Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang dipecat dari Umno kerana kelantangannya mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ibrahim berkata di Kedah, pengerusi dan calon perdana menteri PH, Dr Mahathir Mohamad mempunyai pengaruh yang sangat besar.

“Cuma persoalannya apakah pengaruh besar itu akan diterjemahkan kepada undi,” katanya.

Kedah merupakan negeri asal Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Pada PRU13, BN berjaya merampas semula negeri itu daripada PAS di bawah pimpinan anak Dr Mahathir, Mukhriz yang menjadi menteri besar Kedah selepas itu.

Pada 2016, walaupun Mukhriz merupakan menteri besar Kedah yang popular, beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas Umno negeri tidak lagi menyokongnya kerana mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dalam isu 1MDB.

Ibrahim berkata pada ketika ini, majoriti rakyat sudah membuat keputusan tentang siapakah yang bakal mereka undi pada PRU14.

“Pada pandangan saya berdasarkan data yang kita ada, majoriti pengundi sudah membuat keputusan dan cuma menunggu Parlimen dibubarkan.

“Cuma tinggal sebahagian kecil pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan.

“Tetapi jumlah pengundi yang belum membuat keputusan ini masih kecil berbanding jumlah yang diperlukan sesetengah gabungan untuk memberikan impak yang besar,” katanya.

Coretan penjara: Anwar mual Rafizi jadi sasaran

Tiga tahun berlalu sang penguasa merampas hak saya. Pernah saya gesa di awal 2015: andainya pemenjaraan saya mampu meredakan tekanan ekonomi rakyat; bahawa rasuah akan lebih terkawal dan kezaliman dibendung maka ada jua hasil positif dari penindasan keatas saya.

Malangnya harga barang meningkat, GST memeras, rasuah merebak meluas, rompakan 1MDB mencecah puluhan billion ringgit. Dan untuk mengalih perhatian rakyat isu perkauman sempit dan kefanatikan agama menular semula.

Tokoh-tokoh pembangkang termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor menjadi sasaran.

Paling memualkan adalah tokoh muda YB Rafizi Ramli menjadi sasaran kerana mendedahkan penyalahgunaankuasa dana penternak berpindah kapada keluarga menteri. Riuh rendah SPRM menyiasat ke hulu hilir tetapi kisah lembu-lembu terpadam.

Sebelum itu YB Tian Chua turut menerima tempelakan sama dari penguasa.

Maka pilihan kita tetap dengan mendamba perubahan, dan memastikan PKR dan Pakatan Harapan diberikan sokongan dan kepercayaan.

Kapada Azizah sekeluarga, rakan dan penggerak masyarakat seluruhnya saya ucapkan penghargaan.

Semoga Allah SWT merestui ikhtiar kita bersama.
-malaysiakini 

Dr M sudah berubah, kata Anwar

V Anbalagan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengisytiharkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan berkata bekas ketuanya itu dicerca oleh kerajaan sekarang.

“Beliau sudah berubah dan komited terhadap agenda reformasi,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri prosiding mahkamah berkenaan tuntutannya terhadap kerajaan yang didawa mendapatkan pensabitan kes liwatnya menerusi penipuan.

Anwar yang berkhidmat sebagai menteri kewangan dan timbalan perdana menteri sebelum dipecat Dr Mahathir pada 1998, berkataqq, tidak adil membandingkan Dr Mahathir dengan presiden Zimbabwe yang digulingkan tahun lepas, Robert Mugabe.

Katanya, Dr Mahathir bersedia membuat penyesuaian selepas menyertai pembangkang.
Q
“Kerajaan juga sudah cukup memfitnahnya,” katanya.

Bulan lepas, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan, dinamakan sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang.

Pengumuman itu tidak diterima baik sesetengah pemimpin PKR yang bimbang agenda reformasi dikorbankan.

Sebelum itu di mahkamah, Anwar merayu kepada Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad untuk mendengar merit tuntutannya terhadap kerajaan yang didakwa mendapatkan pensabitan kes beliau meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan menerusi cara penipuan.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun atas tuduhan meliwat Saiful, bekas pembantunya. Beliau bakal akan dibebaskan 8 Jun ini.

Anwar berkata peguamnya sudah memeriksa tuntutan itu secara terperinci dan percaya ada isu yang perlu dibicarakan.

“Saluran apakah yang saya ada untuk mencari keadilan jika mahkamah tidak mahu mendengar tuntutan itu?” soalnya selepas Nik Hasmat mengundangnya untuk memberi sepatah dua kata kepada mahkamah selepas peguam yang mewakilinya dan kerajaan menghabiskan penghujahan mereka.

Anwar berkata tuntutannya harus didengar kerana terdapat bukti baharu untuk dikemukakan kepada mahkamah.

“Sejumlah wang yang besar ada bertukar tangan,” katanya, merujuk kepada satu lagi tuntutan difailkan olehnya yang mendakwa RM9.5 juta dibayar kepada peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pihak pendakwaan dalam kes liwatnya.

Kerajaan sedang cuba membatalkan tuntutan itu kerana ia tidak mendedahkan kausa tindakan yang wajar, bahawa beliau menamakan pihak yang salah dan tindakannya menghampiri hasutan.

Pastor gereja bawa anak nak masuk Islam jumpa mufti Perlis

Seorang pastor sebuah gereja membawa anaknya yang mahu menganut Islam bertemu Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Hari ini seorang paderi (pastor) dari sebuah negeri datang ke pejabat saya. Dia membawa anaknya untuk menganut Islam di Perlis.

“Saya melahirkan rasa kagum dengan sikapnya.

“Dia memberitahu saya 'I always follow your articles and I tell my friends I love mufti of Perlis'.

“Saya mengucapkan terima kasih kepadanya. Saya hargai kehadiran beliau ke pejabat saya,” kata Asri.

Berkongsi pertemuannya dengan pastor bermazhab Protestan itu, Asri berkata beliau bertanya sama ada pastor itu bimbang terhadap tanggapan jemaah gerejanya berkaitan akidah anaknya itu.


“Dia berkata itu satu cabaran yang dia kena hadapi namun dia menghormati pilihan anaknya,” kata Asri.

Menulis di Facebook kelmarin, Asri berkata, peristiwa itu mengingatkan bahawa hidayah dan rahmat Allah itu Maha Luas.

Asri tidak menamakan pastor atau anaknya.

“Gambar saya tidak siarkan untuk menjaga kepentingan semua pihak,” katanya.

Tidak seperti Katolik yang menggunakan gelaran paderi, Protestan menggunakan perkataan pastor untuk pemimpin gereja-gereja mereka.
-malaysiakini

Kelantan tarik balik darjah kebesaran Dr Mahathir

ISTANA Kelantan menarik balik darjah kebesaran yang dikurnia kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini mempengerusikan blok pembangkang Pakatan Harapan.

Sumber mengesahkan bahawa Dr Mahathir akan memulangkan Darjah Kerabat Al-Yunusi (DK) yang dikurnia pada 2002 oleh Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra.

Darjah itu hanya dikurnia pada 25 individu pada satu-satu masa, lazimnya pada kerabat diraja.

Mungkin doa ini Mufti Perlis tujukan kepada Rafizi

DrMAZA.com

Semoga mereka yang berkorban untuk rakyat sehingga kepentingan diri mereka sendiri dikorbankan dalam membela kepentingan awam, Allah berikan mereka keikhlasan dan pahala yang besar. Kita wajar berdoa agar Allah merahmati mereka dan keluarga mereka yang terpaksa menanggung kesukaran dalam memperjuangkan kemaslahatan orang ramai.

Video papar Pakatan sebagai ‘penghasut’ mula berlegar di laman sosial

Chan Kok Leong


SATU video memaparkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai “penghasut” yang menarik rakyat untuk menolak kerajaan mula dikesan berlegar di media sosial.

Video itu antara lain menunjukkan pelbagai lapisan masyarakat menikmati kemudahan disediakan kerajaan dan kemudiannya didatangi satu watak yang membisikkan kata-kata hasutan.

Video sepanjang 3.42 minit itu dimuatkan di Youtube dengan tanda pagar #TolakPakatanHasutan.

Dalam babak pembukaannya, ia memaparkan seorang pekerja pejabat menyatakan penghargaan kepada penyelianya atas bayaran bonus dengan diperhatikan oleh seorang tukang cuci.

Babak seterusnya menunjukkan seorang lelaki membantu seorang wanita warga emas melintas jalan dengan diperhatikan seorang kanak-kanak.

Video tersebut memaparkan tajuk “Terdapat pelbagai kebaikan di Malaysia” dan seterusnya memaparkan tukang cuci itu didatangi watak penghasut yang memberitahunya supaya tidak mempercayai penyelia tersebut.

"Jangan percaya, dia makan lagi banyak," bisik watak penghasut tersebut.

Ia kemudiannya menunjukkan babak kanak-kanak berkenaan didatangi watak penghasut sama yang membisikkan: “Ini semua lakonan je. Dia saja je nak tunjuk baik”.

Video berkenaan seterusnya memaparkan tajuk: “Kini kebaikan dikaburi dengan hasutan”.

Beberapa babak selepas itu menunjukkan beberapa lagi situasi serupa dan kemudiannya memaparkan potongan video menunjukkan ucapan pemimpin PH.

Antara yang dipaparkan adalah pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, Presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, serta Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Satu video serupa dengan tanda pagar #TolakPakatanHasutan mula dikesan tersiar di laman Facebook pengarah unit propaganda kerajaan, Jabatan Hak Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz sejak 13 November lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said semalam berkata kerajaan akan bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk berbincang mengenai penggubalan undang-undang baru bagi menangani “berita palsu”.

Orang yang songlap RM250 juta duit takyat bebas, yang dedahkan kena penjara 30 bulan

Kerugian NFC siapa yang hendak jawab?
The Malaysian Insight
Kerugian NFC siapa yang hendak jawab?
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dihukum penjara 30 bulan semalam kerana melanggar peruntukan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) selepas bersalah membocorkan maklumat akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC). – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2018.

AHLI Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan seorang bekas kerani bank mungkin bersalah melanggar undang-undang perbankan Malaysia kerana membocorkan maklumat akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), tetapi mereka yang salah mengurus projek itu masih lagi bebas.

Naib presiden PKR itu dan kerani Public Bank Berhad, Johari Mohamad dihukum penjara 30 bulan semalam kerana melanggar peruntukan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia). Mereka kini merayu hukuman berkenaan.

Seluruh episod itu kini jadi bahan ketawa tetapi yang ternampak bodohnya ialah kita – rakyat Malaysia.

Sejumlah RM250 juta hangus kerana projek berwawasan besar yang dimulakan ketika pentadbiran Abdullah, kononnya untuk keselamatan makanan dengan menternak lembu bagi bekalan daging, tetapi tiada siapa pun yang dipertanggungjawabkan.

Seorang pun tidak.

Pada 2011, Rafizi mendedahkan syarikat penternakan lembu negara itu membeli unit kondominium mewah. NFC dimiliki oleh Mohamad Salleh Ismail, suami kepada Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2010 juga sudah menegur kegagalan NFC mencapai sasaran menternak 8,000 ekor lembu di Gemas, Negeri Sembilan, serta membangkitkan salah pengurusannya.

Skandal itu memaksa kerajaan Najib Razak untuk tidak menyambung khidmat Shahrizat sebagai senator pada 2012 menyebabkan beliau gugur jawatan menteri. Beliau sebelum itu kalah di Lembah Pantai pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

Salleh didakwa dengan empat tuduhan menyeleweng sejumlah RM49.7 juta daripada NFC pada tahun yang sama tetapi kemudian dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan.

Pada November 2016, Rafizi kalah saman fitnah dan diarahkan membayar Salleh dan NFC ganti rugi RM200,000 kerana mendakwa pinjaman bank yang dibuat oleh syarikat itu digunakan untuk membeli kondominium.

Yang bersalah hanyalah Rafizi dan Johari.

Karier politik Shahrizat masih lagi bernyawa. Beliau malah menyatakan hasrat mahu bertanding semula pada PRU yang akan diadakan tidak lama lagi tahun ini. Selebihnya, keluarga pemimpin Wanita Umno itu masih hidup senang.

Bagi NFC pula, ladang ternakannya di Gemas kali terakhir dilihat ada beberapa ekor lembu yang kurus kering – mercu tanda bagaimana dana awam diselewengkan tanpa ada sesiapa pun dipertanggungjawabkan atas skandal tersebut.

Dan kini, sampai bila lagi kita hendak tunggu sehingga ada tindakan diambil terhadap mereka yang membazirkan wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk kesejahteraan negara?

Kontroversi keputusan kes M Indra Ghandi: Antara auta dan fakta

CHE IBRAHIM HAJI MOHAMED


AUTA 1


Auta utama dan terbesar dalam kontroversi di atas ialah apabila ramai pemimpin dan penyokong Pas mengaitkan keputusan tersebut dengan RUU 355 dan Akta 164(pindaan) 2017 dengan menjadikan Pakatan Harapan (PH) dan Umno sebagai sasaran maki hamun dan terjahan jahat.

RUU 355 ialah suatu cadangan dari Pas untuk menaikkan jumlah hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah daripada denda RM5000, penjara 3 tahun dan sebat 6 kali kepada denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali.

Manakala Akta 164 (pindaan 2017) ialah satu pindaan oleh BN bagi membolehkan suami atau isteri yang memeluk Islam memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan dan perkara perkara yang berkaitan dengan pasangannya yang tidak memeluk Islam di mahkamah sivil. Sebelum ini mereka tidak ada hak untuk berbuat sedemikian.

RUU 355 dan Akta 164 Pindaan 2017 ini tidak ada kaitan sama sekali dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan pendaftaran memeluk Islam yang telah dibuat oleh bapanya pada tahun 2009 atas alasan persetujuan ibu dan bapa adalah diperlukan bagi mendaftar kanak-kanak bawah umur memeluk Islam.

AUTA 2

Keputusan kes tersebut telah diautakan kononnya telah menyebabkan kanak-kanak tersebut menjadi murtad (waliyazubillah).

Hakikatnya 3 orang kanak kanak tersebut telah didaftarkan sebagai memeluk Islam bersama bapanya ketika mereka masih belum mukallaf. Selepas didaftarkan sebagai Islam, 2 orang kanak kanak tersebut yang berumur 10 dan 11 tahun telah ditinggalkan dan membesar bersama ibunya yang beragama Hindu, manakala yang paling kecil (umur 2 tahun) sehingga kini masih tinggal bersama bapanya, Muhammad Ridhuan Abdullah.

Kanak-kanak ketika masih bawah umur dianggap fitrah (suci bersih) dan tidak tetakluk kepada taklif syarie, ibu bapa merekalah yang akan menentukan mereka membesar sebagai penganut apa apa agama.

Dalam kontroversi di atas, selepas memeluk Islam, Ridhuan telah keluar dari rumahnya kerana isterinya enggan memeluk Islam bersamanya. Beliau membawa bersamanya anaknya yang paling kecil, Ummi Habibah, manakala dua orang lagi ditinggalkan bersama ibunya.

Adakah apabila seorang bapa mendaftar anaknya yang masih belum mukallaf sebagai seorang Islam, kemudian anak tersebut tinggal dan membesar bersama ibunya mengikut agama Hindu sehingga apabila dia baligh masih lagi meneruskan amalan agama Hindunya, maka dia dianggap sebagai Muslim, lalu bila mahkamah membatalkan pendaftarannya sebagai seorang Islam, lalu dia dianggap murtad?

Mahkamah termasuk mahkamah syariah sekalipun tidak boleh membatalkan aqidah seorang Muslim, hanya individu tersebut sahaja mempunyai hak untuk menentukan sama ada beliau ingin menjadi seorang muslim atau sebaliknya. Mahkamah hanya mengesahkan berdasarkan situasi yang ada.

Bagi saya, sekiranya anak-anak Ridhuan yang telah diIslamkan olehnya, terus kekal dengan aqidah Islamnya semasa membesar bersama ibunya yang beragama Hindu, maka mereka tetap masih seorang Islam walaupun mahkamah berpendapat pendaftaran mereka memeluk Islam dianggap tidak sah dan terbatal kerana tidak ada izinnya dari ibunya.

Hentikanlah auta dan kembalilah kepada fakta untuk kita melihat secara matang dan sejahtera apa implikasi keputusan kes ini kepada Ridhuan dan seorang lagi anaknya.


# Penulis adalah Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kelantan.

Budak 11 tahun lahirkan anak abang

Harian Metro 
BUDAK perempuan 11 tahun di Murcia, selatan Sepanyol, melahirkan bayi lelaki dengan abangnya berusia 14 tahun sebagai bapa, hari ini.

Menurut polis, bayi itu dilahirkan di sebuah hospital selepas budak perempuan itu dimasukkan ke hospital berkenaan kerana sakit perut.

Menurut Daily Mail, siasatan mendapati bapa bayi terbabit ialah abang budak perempuan berkenaan yang ibu mereka adalah wanita pendatang dari Bolivia.

Abang terbabit berusia 13 tahun ketika budak perempuan berkenaan hamil namun, dia tidak akan dikenakan sebarang tuduhan mengikut undang-undang Sepanyol kerana bawah umur.

Budak perempuan dan ibu bapanya mendakwa mereka tidak sedar kehamilan itu dan ujian DNA akan dilakukan bagi mengesahkan siapa bapanya.

Sementara itu, polis masih menyiasat bagaimana hubungan seks antara dua beradik itu boleh berlaku.

Surat terbuka Mahfuz kepada Tok Guru Awang Lanai

Saya ucapkan terima kasih kepada Tok Guru Abdul Wahab Hassan (Tok Guru Ust Awang Lanai) dari Madrasah Tahzib An Nufus atas kenyataan beliau seperti disiarkan akhbar Sinar Harian mengenai nasihat beliau terhadap saya agar jangan tinggalkan perjuangan Islam.

Satu ingatan dan nasihat yang sangat bermanfaat dalam kehidupan saya dan bisikan ingatan serta nasihat itu tidak akan saya lupakan.

Saya selamanya tetap terus mendukung perjuangan Islam dan tidak pernah terlintas di minda biarpun sebesar zarah untuk saya meninggalkan kewajipan membawa Islam bersama kehidupan perjuangan saya.

PAS hanya satu wadah dari banyak wadah yang boleh menjadi pilihan pada setiap umat Islam. Usah gusar atau bimbang kerana saya hanya tinggalkan PAS tetapi tidak tinggalkan Islam dan perjuangan Islam.

Perjuangan Islam bukan hanya terikat pada pemahaman satu juzu' sahaja sebaliknya tuntutan perjuangan Islam sangat luas.

Menentang kezaliman, salah guna kuasa,lawan dan basmi rasuah, menentang penindasan ke atas rakyat, membela kehidupan rakyat yang terhimpit dengan cukai GST, memastikan pendidikan rakyat terbela dan sebagainya juga adalah tuntutan perjuangan Islam.

Islam menuntut agar berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim. Oleh demikian,saya sedang bersama rakyat bangkit memperjuangkan perubahan dan peralihan kuasa politik negara dari kleptokrat Umno/BN kepada Pakatan Harapan dan bukannya berkempen untuk menang 40 kerusi parlimen untuk menjadi 'king maker' ( kuasa penentu) bagi membentuk kerajaan campuran dengan Umno / BN.

Justeru, saya berharap Tok Guru dapat memahami situasi kedudukan saya bersama arus perdana harapan rakyat.

Saya sangat berbangga dan menyanjung tinggi prinsip Tok Guru yang menterjemahkan politik matang apabila dapat menerima menantu Tok Guru, Mohd Fauzi Abd Rahim dan isterinya Siti Sofor Abd Wahab yang juga anak Tok Guru setelah mereka keluar dari Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) serta memegang jawatan dalam parti AMANAH.

Ini mencerminkan keterbukaan dan kematangan berpolitik Tok Guru yang cukup mulia.

Moga tiada lagi politik yang memisahkan keluarga,bercerai berai dan pulau memulau kerana perbedaan fahaman parti politik.

Terima kasih Tok Guru, teruslah ingat dan nasihatkan saya yang kerdil ini kerana amatlah rugi jika saya tidak boleh menerima sesuatu teguran.

Saya doakan moga Tok Guru dilindungi,diberi kesihatan yang baik untuk terus mendidik ummah, dirahmati dan di berkati Allah dunia akhirat.


"Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun,
Budi Tok Guru saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun."
-malaysiakini 

Penarikan darjah kebesaran jejas peluang Husam jadi MB

PELUANG Husam Musa untuk jadi menteri besar Kelantan terjejas selepas beliau diarah memulangkan darjah kebesaran negeri kepada Istana Kelantan, kata penganalisis politik.

Arahan mengembalikan semula darjah kebesaran membayangkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak begitu berkenan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu sedangkan pelantikan ke jawatan menteri besar perlu mendapat perkenan baginda, tambah penganalisis.

“Ia memberikan kesan langsung kepada Husam sebab dia disebut-sebut bakal MB Kelantan jika PH menang," kata Hisomuddin Bakar, seorang penganalisis politik yang banyak mengkaji politik Kelantan.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre itu mengulas tindakan Istana Kelantan menarik balik darjah kebesaran kepada Husam dan juga Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Bagaimanapun ada juga penganalisis yang berpendapat ia tidak akan memberi kesan besar pada Husam kerana penyokong Amanah mahu bekas timbalan menteri besar itu dilantik menjadi menteri kerajaan persekutuan.

Penganalisis politik Kelantan, Dr Khairudin Damanhoeri berkata, Amanah juga menaruh harapan pada Nik Omar Nik Abdul Aziz iaitu anak kepada bekas Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar untuk mengetuai pentadiran negeri.

"Bagi orang Amanah, mereka diberitahu calon MB mereka adalah Nik Omar untuk membolehkan beliau membawa legasi Tok Guru Nik Aziz," kata Dr Khairudin kepada The Malaysian Insight.

"Bagi kami, Husam ini bakal menteri pusat," kata Khairudin lagi yang banyak membuat kajian pilihan raya untuk Husam dan pasukannya di Kelantan.

Penarikan balik gelaran ke atas dua pemimpin Amanah negeri itu disambut dengan gembira oleh penyokong PAS yang antara lainnya menempelak Husam kerana didakwa tidak mengetahui pandangan sebenar Sultan Muhammad V ke atasnya.

"Dulu mungkin dia tak tahu Sultan tidak suka dia jadi menteri besar. Sekarang sudah terang lagi bersuluh. Faham-fahamlah," tulis penyokong PAS, Mazlan Ahmad dalam komennya di Facebook.

Makluman tentang penarikan gelaran untuk Husam dan Wan Rahim itu turut dimuatkan ke Facebook oleh Siti Zailah Yusof, ahli Parlimen Rantau Panjang dari PAS.

Husam dan Wan Abdul Rahim memulangkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Paduka itu hari ini selepas menerima arahan dari Istana Kelantan pada petang semalam.

Husam, pengerusi PH Kelantan dan Wan Rahim, pengerusi Amanah Kelantan menerima anugerah itu ketika mereka bersama-sama PAS dalam kerajaan Kelantan.

Kini kedua-duanya adalah pembangkang kepada kerajaan Kelantan apabila menyertai Amanah selepas PAS berpecah pada 2015.

Wan Rahim keluar PAS dan menyertai Amanah manakala Husam pula dipecat parti Islam itu pada 2016 sebelum menyertai parti serpihan PAS itu.
-malaysianinsight

Lumpuhkah jentera pembangkang tanpa PAS?

Zulkifli Sulong, Vasudevan Vamadevan
UMNO yakin ia akan mencapai keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti kerana pembangkang sekarang sudah lemah setelah tidak lagi didukung oleh jentera PAS, satu daripada faktor kejayaan pembangkang dalam dua pilihan raya umum yang lalu.

Sukarelawan parti Islam itu jadi tulang belakang jentera pilihan raya pembangkang – daripada memasang bendera sampailah kepada soal menganjurkan rapat umum dan mengangkut pengundi ke pusat pengundian.

Tetapi itu dulu; sekarang tidak lagi setelah Abdul Hadi Awang menarik PAS keluar daripada gabungan pembangkang dan membawa parti Islam itu lebih dekat dengan Umno.

Perkembangan inilah yang menyebabkan Umno yakin ia sudah menang separuh daripada perlawanannya dengan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed berkata menang atau kalah dalam pilihan raya bergantung pada kekuatan jentera parti.

"Macam mana PH hendak (hadapi pilihan raya) di kawasan pedalaman. Pengundi bukannya keluar mengundi begitu saja. Mereka perlu digerakkan untuk mengundi dan itulah pentingnya ada jentera," katanya, yang juga timbalan menteri dalam negeri.

Nur Jazlan berkata penyokong parti yang setia akan ke pusat pengundian dan mengundi dalam apa juga keadaan tetapi belum tentu keadaannya bagi pengundi yang tiada hubung kait atau perasaan terhadap sesebuah parti, merujuk kepada pengundi atas pagar.

Beliau berkata pengundi seperti ini perlu diangkut oleh jentera parti, yang sekarang ini tampaknya tidak dimiliki oleh PH di kawasan teras pengundi Melayu.

Nur Jazlan berkata pada PRU 2013, Pakatan Rakyat berdiri atas kekuatan DAP dan PAS.

"DAP bawa undi Cina sementara PAS bawa undi Melayu di kawasan luar bandar. PKR tidak terbukti membawa undi Melayu.

"Bersatu pula sekarang nampak kuat tetapi mereka sebenarnya tidak ada jentera," katanya.

Sekarang dengan PAS tidak lagi bersamanya, PH patah kaki untuk menggerakkan pengundi di luar bandar, kata Nur Jazlan.

Pandangannya itu bagaimanapun disanggah oleh pemimpin Amanah, Dr Mohamad Hatta Ramli yang pernah menjadi pengarah pilihan raya PAS pada PRU 2008 dan 2013.

Katanya, 90% jentera pilihan raya PAS di peringkat nasional sudah bersama Amanah, rakan kongsi PH.

"Jentera PH sekarang sama bahkan lebih kuat dari jentera PAS sebelum ini apabila jentera PAS yang menyertai Amanah kini bergabung dengan jentera rakan-rakan dalam PH untuk mendapat impak besar," kata Dr Hatta kepada The Malaysian Insight.

"Kerja kami sekarang adalah untuk tawan Putrajaya dan negeri-negeri sasaran dan latihan teknikal telah kami jalankan khasnya untuk tempoh kempen dan hari mengundi," katanya yang juga aahli Parlimen Kuala Krai itu.

Selain Dr Hatta yang kini mengetuai jentera pilihan raya Amanah, ketiga-tiga timbalannya, Khalid Samad, Wan Abdul Rahim Abdullah dan Dr Mariah Mahmud, juga menyertai Amanah.

Ahli jawatankuasa kanannya, Aiman Athirah dan Phahrolrazi Zawawi turut menyertai Amanah dengan Phalrolrazi sebagai pengarah pilihan raya PH Kedah, negeri yang disasarkan menang oleh PH dalam PRU14 nanti.

Wan Abdul Rahim yang juga pengerusi Amanah Kelantan mengesahkan 90% jentera PAS peringkat pusat kini bersama Amanah manakala di Kelantan, negeri yang diperintah oleh PAS, satu pertiga jenteranya menyertai Amanah.

Pengarah Pilihan Raya PKR Nurul Izzah Anwar berkata kejayaan Amanah untuk menarik jentera PAS bersama PH adalah satu kejayaan.

"Ini sesuatu yang sangat penting dan bakal membuka jalan kepada kejayaan selepas kita berusaha dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Selepas ketiadaan jentera PAS bersama pembangkang juga menyebabkan PKR berusaha membentuk sendiri jentera pilihan rayanya di semua peringkat.

"PKR melaburkan banyak tenaga dan wang untuk membina perisian daftar pemilih sendiri untuk memastikan sasaran pengundi kita dikenali dengan baik terutama di kerusi-kerusi marginal.

"Kita bekerjasama rapat dengan parti komponen dalam PH," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Hisommudin Bakar berkata jentera pilihan raya diperlukan untuk membawa pengundi ke pusat pengundian pada hari mengundi di samping menjadi ejen parti untuk pengundian dan pengiraan undi (PACA).

"Saya akui 90% jentera pilihan raya PAS pusat sudah bersama Amanah dan digantikan oleh orang yang sangat junior sebagai pengarah pilihan raya yang tidak pernah sekalipun menjadi calon pilihan raya," katanya.

Ketua pengarah pilihan raya PAS sekarang ialah Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggantikan Mustafa Ali yang kini tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam parti selepas bertembung pendekatan dengan presiden PAS.

'Tawaran kerusi pada Khalid dekatkan hubungan cinta PAS, Umno'

Tawaran PAS Selangor memberikan mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Tan Sri Khalid Ibrahim mempunyai kaitan dengan kesediaan parti itu membentuk kerajaan campuran dengan Umno BN, kata anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, berdasarkan kenyataan dibuat Pesuruhjayanya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi itu menunjukkan PAS tiada masalah menerima Khalid walaupun bekas menteri besar Selangor itu tidak akan bertanding atas tiket PAS.

Tambahnya keputusan itu juga menunjukkan PAS Selangor secara tidak langsung sudah mendapat 'lampu hijau' daripada PAS pusat.

"Nampaknya PAS tidak perlu menunggu sehingga selesai PRU14 untuk jadi kuasa penentu apabila pilihan hati sudah dizahirkan dalam menentukan siapa bakal MB Selangor selepas PRU14," kata Mahfuz dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, Khalid sendiri menyatakan kesediaan membantu BN merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU14 dan pada masa sama membantu kemenangan PAS.

"Perkembangan sebegini makin dilihat mendekatkan hubungan cinta panas asmara PAS dan Umno, walaupun pada PRU14 akan datang PAS dan Umno BN dilihat berkelahi, kata mengata antara satu sama lain.

"Tetapi itu adalah ibarat perselisihan kisah percintaan rajuk merajuk dan memujuk, dalam masa sama PAS tetap berharap akan dapat naik pelamin bersama Umno BN untuk direnjis air mawar selepas PRU14 selesai," kata Mahfuz.

Sebelum ini Sallehen dilapor menyatakan keterbukaan untuk menawarkan kerusi kepada Khalid tanpa perlu menjadi anggota PAS.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS dan exco kanan Selangor, Datuk Iskandar A Samad mendakwa media tersalah tafsir semasa memetik kenyataan Sallehen.

Dalam wawancara khas bersama Malaysiakini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mengakui Khalid tokoh yang sangat dihormati, berpengalaman dan mendapat sokongan penuh daripada parti Islam itu.

Khalid pula menyatakan terpulang kepada dirinya untuk menyokong mana-mana pihak, namun secara jelas menyatakan tidak akan memberi sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi laman sosial, Khalid mendakwa rakyat Selangor akan rugi lebih RM2 bilion dalam isu penyusunan semula industri air sekiranya sokongan diberi kepada Ahli Parlimen Gombak yang juga Adun Bukit Antarabangsa itu.
-malaysiakini