"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota tentera cedera terkena tembakan rakan di lapang sasar

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Seorang anggota tentera cedera selepas dikatakan terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, Port Dickson, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka dan kini dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

"Pihak kami mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang anggota tentera yang terkena tembakan di lapang sasar, Sungai Menyala.

"Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke HTJ bagi pemeriksaan serta rawatan lanjut.

"Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini," katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat sehingga boleh menjejaskan proses siasatan.

Bapa saudara, budak lapan tahun maut rumah kedai terbakar

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Anggota bomba memeriksa lokasi kebakaran rumah kedai itu di Taman Bayu Perdana, Klang
KLANG – Seorang lelaki warga emas dan anak saudaranya maut selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Taman Bayu Perdana di sini, hari ini.

Mangsa berusia 66 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu ditemukan tidak bernyawa di dalam tandas berasingan selepas kediaman di tingkat dua berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.51 petang.

Jelasnya, operasi itu disertai sepasukan 18 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan Andalas.

“Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan rumah kedai di tingkat dua yang dianggarkan 90 peratus terbakar

“Kedua-dua mayat mangsa yang juga bapa saudara dan anak saudara itu ditemukan di dalam tandas berasingan kira-kira pukul 6.33 petang,” katanya malam ini.

Menurutnya, dua lagi mangsa yang berada di dalam rumah itu berjaya diselamatkan orang awam dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selepas mengalami sesak nafas.- KOSMO! ONLINE

RCI Tabung Haji: Dakwaan 99% ketua cawangan ke Makkah oleh Ahli Parlimen Langkawi patut disiasat

Harapandaily
Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mengungkit kembali pengalaman ketika bertanding jawatan Ketua Bahagian Umno yang didakwa menyaksikan sebahagian besar ketua cawangan dibawa menunaikan haji, ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat.

Suhaimi berkata, ketika pertandingan itu berlaku, beliau berdepan tentangan daripada seorang menteri dan mendakwa kira-kira 99 peratus ketua cawangan ketika itu berada di Makkah.

Menurutnya, perkara berkenaan kembali mengingatkannya kepada apa yang didedahkan dalam laporan RCI yang sedang dibahaskan.

“Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau tunjukkanlah satu hari perkara-perkara ini akan timbul. Alhamdulillah, ia timbul pada 11 haribulan ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam laporan berkenaan terdapat tiga nama yang disebut berkaitan pertandingan jawatan Ketua Bahagian Umno ketika itu.

“Apabila pertandingan berlaku, tiga nama disebut di dalam laporan ini. Saya tidak akan sembunyi, ketua bahagian Umno yang pertama, ketua Umno bahagian yang kedua dan timbalan ketua bahagian, ada namanya di sini(laporan RCITH),” katanya.

Suhaimi kemudian menyeru ketiga-tiga individu berkenaan supaya membaca laporan RCI tersebut bagi memahami semula apa yang berlaku ketika beliau bertanding jawatan berkenaan.

“Saya betul, serasa saya bertanding waktu itu saya dalam Umno sebagai ketua bahagian. Ada orang datang melawan saya, seorang menteri lawan saya,” katanya.

Menurut Suhaimi, beliau berasa sedih kerana masyarakat ketika itu tidak mengetahui dakwaan mengenai adanya tawaran untuk membawa ketua-ketua cawangan menunaikan haji secara percuma.

Katanya, perkara tersebut menimbulkan persepsi dalam kalangan penyokong yang menerima tawaran berkenaan sehingga ada yang menganggap mereka terhutang budi kepada pihak yang membantu.

“Saya sedih kerana orang kampung tak tahu ada menteri offer pergi ke Mekah secara percuma, siapa tak nak?” katanya.

Suhaimi turut menceritakan bagaimana beliau menerima kunjungan penyokong yang memberitahu bahawa mereka tidak dapat dihantar menunaikan haji dan menganggap diri mereka terhutang budi kepada menteri terbabit.

“Minta maaf, kami terhutang budi dengan menteri ini. Kami terhutang budi,” katanya ketika mengimbas kembali keadaan ketika itu.

Beliau berkata, akhirnya beliau tewas dalam pertandingan tersebut dan tidak lagi memegang jawatan Ketua Bahagian Umno berkenaan.

Namun, menurut Suhaimi, beliau terus berdoa agar suatu hari nanti perkara yang berlaku ketika pertandingan itu dapat diketahui.

“Maka saya meninggallah sebagai ketua bahagian, walaupun kalah dalam gelanggang. Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau tunjuk,” katanya.

Ucapan Suhaimi itu dibuat ketika perbahasan khas Dewan Rakyat mengenai Laporan RCI Tabung Haji, yang kini menjadi tumpuan susulan pendedahan berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai penajaan perjalanan haji dan kaitannya dengan pertandingan Umno itu adalah berdasarkan dakwaan serta pengalaman yang diceritakan Suhaimi dalam Dewan Rakyat dan tidak wajar dianggap sebagai fakta yang telah diputuskan tanpa merujuk dapatan rasmi laporan RCI.