"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peserta demo “pertahan Islam” berarak usung gambar TMJ

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 penunjuk perasaan berarak di Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini bagi menunjuk perasaaan “mempertahankan kedaulatan Islam” sambil mengusung gambar Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim Ismail.

“Kamu sentuh TMJ, kami lawan” antara sepanduk yang dilihat oleh para penunjuk perasaan yang berarak dari Masjid Jamek pada kira-kira 2 petang tadi, menuju ke Sogo.

Perhimpunan ini antara lain diadakan sebagai tanda sokongan kepada pendirian TMJ terhadap perakuan Statut Rom, yang dikhuatiri menggugat kedudukan Agong.

Anjuran gabungan NGO, Gerakan Pembela Ummah, ia turut dihadiri PAS dan Umno. Mereka berarak sambil melaungkan “hidup Islam, hidup ummah”. Penunjuk perasaan turut dilihat membawa plakad “TMJ Kesayangan Rakyat, Mahathir Kesayangan Saddiq”.

Antara pemimpin politik yang kelihatan adalah Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Kamaruzaman Mohamad berkata Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam itu akan menyentuh isu ancaman kepada kedaulatan negara.

Selain Statut Rom, ia juga membawa isu keadilan untuk Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia selepas rusuhan di kuil Seafield tahun lepas, dan membantah tangkapan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, seorang penceramah yang didakwa menghina agama Hindu.

Sebelum ini, selepas mengumumkan Malaysia menarik balik perakuannya, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata kerajaan tahu penentangan terhadap Malaysia menandatangani perjanjian itu bermotif politik, ideanya untuk mendapatnya raja-raja melawan kerajaan.

Isu Mat Sabu solat di Iran: Pensyarah tegur Hanipa

Tindakan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menunaikan solat berjemaah di Iran memperlihatkan sikap tidak peka terhadap umat Islam negara ini yang mengamalkan mazhab Ahli Sunnah Waljamaah, kata pensyarah ilmu hadis dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaime Ramlee.

Beliau berkata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin tidak sepatutnya mempertahankan rakannya daripada parti Amanah itu.

"Kita berbicara tentang sikap menteri yang tidak peka terhadap sensitiviti sebahagian rakyat Ahlussunnah wal Jamaah dalam negara ini.

“YB selalu mengulas tentang ‘respect’ YB kepada orang lain. Saya ingin ingatkan kepada YB, jangan lupa tanya diri sendiri;

“Aku ini siapa yang respect? Kerana saya takut YB jadi bahan ketawa rakyat jelata,” tulisnya pada hantaran di Facebooknya hari ini.

'Ahli Sunnah totok'

Apatah lagi, kata Rozaime, timbalan menteri itu sanggup menggelarkan dirinya sebagai “totok Ahli Sunnah Wal Jamaah" dalam membela Mohamad Sabu.

Menurut Rozaime lagi, gelaran yang diberikan pemimpin Amanah itu kepada dirinya sendiri sebagai syok sendiri dan seolah-olah berusaha keras untuk mempertahankan tindakan Mohamad yang menunaikan solat di belakang imam fahaman Syiah ketika di Iran.

“Maaf cakap YB, bagi saya gelaran totok Ahlisunnah Wal Jamaah itu sepertinya gelaran syok sendiri. Sendiri rasa, sendiri bagi, sendiri pakai, sendiri perasan.

“Perbuatan ini sememangnya membahagiakan diri sendiri. Moga kita dijauhkan dari perasaan syok sendiri," katanya lagi.

Ini bukan kali pertama Rozaime membuat kenyataan sedemikian kerana pada Ogos 2018, beliau turut mendakwa terdapat seorang menteri dikaitkan dengan fahaman Syiah di negara ini tanpa menyatakan nama menteri tersebut.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu baru-baru ini mengadakan lawatan di Tehran, Iran.

Ketika lawatan kerja rasmi selama enam hari bermula 26 April hingga 1 Mei itu, beberapa gambar ketika beliau sedang menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Tehran tular di media sosial, sehingga menyebabkan netizen menuduhnya sebagai pengikut Syiah.

Gambar itu memaparkan presiden Amanah itu menunaikan solat berjemaah berimamkan ulama Syiah.

Selepas mendapat kecaman daripada netizen, beliau turut dihentam portal Ismaweb yang mendakwanya mempunyai ciri-ciri pengikut Syiah walaupun sebelum ini enggan mengakuinya.

Portal itu melaporkan Ketua Unit Kajian Syiah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Mohammad Ismail yang dipetik berkata, menggesa Mat Sabu ‘mengaku’ bahawa beliau adalah pengikut Syiah kerana telah banyak bukti menunjukkannya.

“Beliau takkan mengaku walaupun kita suruh. Itu adalah tanda-tanda pengikut Syiah.

“Apa tujuan beliau solat di belakang berimamkan orang Syiah?,” katanya.

Namun, Hanipa mempertahankan tindakan Mat Sabu itu sambil mengkritik mereka yang memperbesarkan isu tersebut.

“Lekehnya kita kat sini. Katanya foto YB Menhan (Menteri Pertahanan) solat Jumaat di Universiti Tehran jadi isu besar.

“Alahai.. Saya pun pernah solat Jumaat di situ sebelum ni. Saya ni totok mazhab Sunni (Sunnah Wal Jamaah). Masa saya solat itu ramai lagi orang Sunni kat situ solat ikut mazhab depa.

“Tak ada seorang pun orang Syiah yang minta kami solat ikut mazhab depa,” katanya melalui hantaran di Facebook beliau semalam.

Hanipa turut mencabar mereka yang mengecam gambar tersebut supaya bertemu dengan ulama di negara itu dan mengatakan mereka sebagai sesat.

“Yang rasa hebat sangat pergilah jumpa ulama Iran kat Iran kata mu ni sesat. Baru lejen,” katanya.

Untuk rekod, pada Disember 2013, Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu merupakan menteri dalam negeri berkata kementeriannya memberi kuasa kepada menteri di JPM Jamil Khir Baharom untuk mengambil tindakan kepada Mat Sabu yang didakwanya berfahaman Syiah.

Ugut cederakan mufti Perlis, lelaki ditangkap

Predeep Nambiar
Tangkap layar video lelaki yang didakwa mengugut untuk mencederakan mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin.
GEORGE TOWN: Seorang kerani berusia 36 tahun ditangkap polis kerana disyaki mengugut mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, dalam satu rakaman video di WhatsApp baru-baru ini.

Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd berkata, lelaki itu ditangkap di pangsapuri Batu Uban, di sini, jam 12.30 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Padang Besar, Perlis.

Beliau memberitahu FMT, polis mendapat perintah reman 4 hari ke atas lelaki itu hingga 6 Mei untuk disiasat kerana ugutan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan juga salah guna khidmat internet di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, 1998.

Lelaki itu disyaki membuat rakaman video berdurasi 5.31 minit yang tular di WhatsApp.

Beliau menggunakan perkataan yang menghina dan mengancam untuk berlawan dengan Asri.

Lelaki tersebut memberi nombor telefon bimbitnya dan mencabar Asri supaya menghubunginya.

Semalam, Asri membuat laporan polis selepas menerima mesej berbaur ancaman dan ugutan itu Rabu lalu.

Beliau membuat laporan itu di Balai Polis Padang Besar kerana bimbang keselamatan diri serta keluarganya.

Noor Mushar berkata, Asri menerima satu mesej daripada pemilik akaun Facebook bernama “Sandev Sandev” yang mengancam untuk memukulnya sehingga parah.

Zizie dituduh bersubahat dengan Bung Moktar terima rasuah

Isteri kepada Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin, Zizie Izette A Samad didakwa dengan tiga pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Dia didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Zizie mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasportnya harus diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Azura menetapkan 10 Jun sebagai sebutan semula dan kes akan dibicarakan secara bersama dengan kes suaminya.

Tengku Maimun (Gambar) wanita pertama dilantik ketua hakim


Hakim Mahkamah Persekutuan, Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai ketua hakim negara yang baru, sekali gus menjadi wanita pertama di Malaysia memegang jawatan itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Tengku Maimun atas nasihat perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Pelantikan Tengku Maimun sebagai ketua hakim negara berkuat kuasa hari ini.

Inilah tahap pemikiran pemimpin PAS, malas nak ulas panjang-panjang

Razman minta istana tarik gelaran Mahfuz

Bendahari PAS Pusat Razman Zakaria berharap pihak istana menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mahfuz Omar.

Dalam satu hantaran di Facebook, Razman dilihat memberi respon berhubung laporan mengenai Mahfuz berkait isu politik antara kerabat diraja dan kepimpinan kerajaan persekutuan.

"Mana yang celupar sangat tu, mohon istana tarik anugerah darjah kebesaran Tun, Dato', Dato' Seri dan lain-lain.

"Kita tengok sikit...," katanya yang juga pesuruhjaya PAS Perak.

Razman turut berkongsi satu gambar memaparkan berita yang mengandungi kenyataan Mahfuz semalam.

Terdahulu, Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena dilaporkan menggesa Majlis Raja-raja menasihati golongan istana agar tidak mencampuri urusan politik.

Kata bekas naib presiden PAS itu tindakan pihak istana - jika tidak dikawal - boleh menimbulkan kecaman rakyat seterusnya menjejaskan imej institusi diraja.

Mahfuz menjelaskan Majlis Raja-raja perlu menasihatkan mana-mana pihak dalam golongan istana supaya tidak menyentuh sebarang perkara yang boleh menyebabkan orang ramai - terutama generasi muda - ‘menyerang’ mereka.

Kenyataan itu sebagai mengulas perdebatan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan istana Johor antaranya tidak sependapat mengenai beberapa isu.

Antaranya ratifikasi perjanjian Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), pelantikan menteri besar dan rombakan exco kerajaan negeri yang baru.

Mahathir menegaskan cuma rakyat yang boleh menentukan pilihan perdana menteri selepas Tunku Ismail bertitah: "Daripada tukar (jurulatih JDT) Mora baik tukar perdana menteri."

Mufti Perlis lapor polis terima ugutan, ancaman

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin membuat laporan polis selepas menerima mesej berbaur ancaman dan ugutan yang membahayakan dirinya di laman Facebook, semalam.

Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd berkata Mohd Asri membuat laporan itu di Balai Polis Padang Besar kira-kira 6.30 petang semalam kerana bimbang keselamatan diri serta keluarganya.

“Mohd Asri menerima satu mesej daripada pemilik akuan Facebook bernama ‘Sandev Sandev’ kira-kira 6 petang semalam yang turut mengancam untuk memukulnya sehingga cedera parah. Pemilik Facebook tersebut turut memberikan nombor telefon dan meminta Mohd Asri menghubunginya,” katanya.

Beliau berkata suspek turut meminta alamat Mohd Asri bagi membolehkannya memukul mufti itu.

Noor Mushar berkata polis telah mengambil keterangan Mohd Asri berhubung perkara itu dan sedang mengesan suspek berumur 36 tahun yang dipercayai menetap di Pulau Pinang.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
-Bernama

Bung Mokhtar, isteri didakwa di mahkamah Jumaat ini - SPRM

Anggota Parlimen Kinabatangan dan bekas pengerusi Felcra Berhad, Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette A Samad akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di ibu negara pada Jumaat ini atas tuduhan berkaitan rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam kenyataan hari ini, berkata pasangan suami isteri itu bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

“SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara untuk menuduh Datuk Seri Bung Moktar dan isterinya,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, SPRM hari ini telah menahan Bung Moktar pada jam 10.50 pagi di SPRM Sabah manakala Zizie, yang juga seorang pelakon ditahan, di SPRM Putrajaya pada jam 11.15 pagi selepas mereka hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah melibatkan Felcra.

Katanya kedua-dua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Bung Moktar dilantik sebagai pengerusi agensi itu pada Julai 2013 dan meletak jawatan itu pada 1 Jun 2018 susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei tahun lalu.
-Bernama

SPRM tahan ahli parlimen BN, isteri - Sumber

Hariz Mohd

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini menahan seorang anggota parlimen BN, kata sumber.

Menurut sumber, anggota parlimen itu ditahan bersama isterinya di Sabah.

"Mereka ditahan untuk membantu siasatan kes rasuah yang berjumlah berjuta-juta ringgit," kata sumber.

Malaysiakini dimaklumkan kes itu mempunyai kaitan dengan peranan anggota parlimen itu sebagai pengerusi sebuah agensi kerajaan.

Difahamkan pasangan itu dibebaskan selepas kenyataan mereka direkodkan.

Sumber lain berkata pasangan itu dijangka didakwa mengikut Akta SPRM di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

"Ahli parlimen itu akan menghadapi tiga kes rasuah, sementara isterinya akan menghadapi tuduhan bersubahat," kata sumber.

PM sahkan Hamid Bador sebagai ketua polis negara baru

Faiz Zainudin
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan Abdul Hamid Bador akan dilantik sebagai ketua polis negara yang baru.

“Mungkin dia (Hamid Bador) akan jadi IGP,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Buruh Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Ketika ditanya sama ada surat pelantikan itu telah dihantar kepada Hamid yang kini mengalas tugas sebagai timbalan ketua polis negara, katanya, Agong juga bersetuju dengan pemilihan tersebut.

“Saya fikir Yang di Pertuan Agong sudah tandatangan (surat pelantikan).

Hamid, yang pernah mengetui Cawangan Khas, bersara pada awal 2015 selepas mempersoalkan penglibatan kerajaan terdahulu melibatkan pelbagai skandal.

Pada Mei tahun lepas, beliau dilantik semula oleh kerajaan Pakatan Harapan ke dalam jawatan yang ditinggalkannya pada 2015.

Bulan lalu, beliau mengambil alih tugas sebagai timbalan ketua polis negara selepas persaraan Noor Rashid Ibrahim.

Perlantikan Hamid sebagai ketua polis negara selepas Mohamad Fuzi Harun akan bersara wajib pada Jumaat ini (3 Mei).

Desas-desus mengenai pelantikan Hamid sebagai bakal ketua polis negara mulai tersebar sejak Februari lalu menerusi WhatsApp.

Kiriman mesej yang tular itu menyatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memilih Hamid sebagai ketua polis negara dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Acryl Sani Abdullah Sani sebagai timbalan ketua polis negara yang baru.

Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1MDB, selain mendesak siasatan terus ketika menjawat jawatan timbalan pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM, pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas IS.

Cari pengganti pengerusi Suhakam

Mengulas mengenai pengganti Razali Ismail sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Mahathir berkata pihaknya akan meneliti perkara itu.

“Itu kita akan lihat dan mereka akan dapat pemimpin yang baru kerana Razali minta berhenti,” katanya sambil memaklumkan sehingga kini belum ada calon baru akan dilantik.

Sebelum ini, Razali mengesahkan beliau menghantar surat letak jawatan kepada Agong dan perdana menteri, serta memaklumkannya kepada suruhanjaya itu.

Peletakan jawatan itu dibuat 2 minggu sebelum tempoh tugasnya berakhir pada 27 April lalu.

Amaran Keras: Jangan 'rampas' harta GLC dengan harga murah

A Kadir Jasin
Amaran keras. Sebarang percubaan merampas atau mengambil alih dengan harga murah harta syarikat dan tabung berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) adalah dilarang sama sekali.

Ia adalah perbuatan jahat dan khianat yang akan merosakkan matlamat pembinaan ekonomi dan pembahagian kekayaan secara sihat dan lestari.

Saya tergerak memberi amaran ini setelah dimaklumkan oleh Sime Darby Plantations Berhad (SDP) tidak berapa lama dulu dan setelah membaca laporan sebuah akhbar perdagangan berbahasa Inggeris hari ini.

Isunya adalah percubaan sebuah syarikat milik Taiwan mengambil alih dengan harga murah tanah milik SDP di Merlimau, Melaka.

SDP adalah antara anak syarikat utama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan dengan itu adalah milik kongsi 13.8 juta Bumiputera dan bukan Bumiputera yang melabur di dalam pelbagai skim saham amanah tajaan PNB.

Sedikit sebanyak saya terlibat menyekat perbuatan ini apabila SDP memaklumkan hal ini kepada saya dan saya memohon bantuan salah seorang Ahli Majlis Kerja (Exco) kerajaan negeri Melaka.

Sejak itu, proses pengambilan tanah tersebut telah ditangguhkan.

Secara ringkasnya, pemodal asing ini cuba membeli dengan harga murah tanah seluas 75 hektar (185.3 ekar) milik SDP dengan “memperalatkan” kerajaan negeri supaya mengambil alih tanah tersebut menggunakan undang-undang pengambilan tanah.

Harga yang ditetapkan secara lisan ialah RM35.282 juta, yang menurut SDP adalah di bawah harga pasaran.

Peranan media Melayu

Di peringkat ini, saya menggesa akhbar-akhbar dan saluran-saluran media berbahasa Melayu agar lebih berani membuat laporan penyiasatan dan mendedahkan tipu helah korporat seperti ini.

Apa yang membimbangkan dalam kes ini adalah dakwaan bahawa syarikat kawalan Taiwan tersebut bertindak bagi pihak bekas Yang di-Pertuan Agong merangkap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, atau menggunakan nama baginda.

Syabas kepada SDP kerana mengambil tindakan tegas dan berani memfailkan permohonan Semakan Kehakiman (Judicial Review) terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam percubaan itu.

SDP menamakan syarikat Taiwan, GIA Resources Sdn Bhd, kerajaan negeri Melaka, Jabatan Tanah dan Galian Melaka dan Pejabat Tanah Daerah Jasin sebagai responden.

Saya cadangkan semua GLC/GLIC mengambil tindakan tegas mempertahankan aset mereka – sama ada tanah, bangunan atau saham – daripada diambil alih secara paksa atau tipu helah oleh sesiapa jua.

Saya dimaklumkan oleh sumber-sumber SDP bahawa “orang hadapan” projek yang melibatkan pengambilan paksa tanah SDP itu adalah seorang mualaf Cina dari Singapura.

Dia dikatakan berkahwin dengan seorang perempuan Melayu dari Melaka dan rapat dengan Sultan Kelantan.

Perbuatan menyasarkan aset PNB untuk tujuan pengambilan alih murah telah berlaku pada tahun 1990-an, tetapi berjaya disekat hasil arahan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, berikutan rayuan Pengerusi PNB waktu itu, Almarhum Tun Dr Ismail Mohd Ali.

Tegas pertahankan aset

Selain PNB, saya nasihatkan GLC dan GLIC lain seperti Khazanah, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Amanah Pesara (KWAP), bertindak tegas mempertahankan aset mereka.

Kalau ada pihak yang berminat membeli aset mereka, ia wajiblah dilakukan mengikut amalan pasaran korporat yang telus dan mengikut nilai pasaran.

Sekiranya dakwaan mengenai pembabitan Sultan Kelantan itu benar (saya harap tidak) ia sekali lagi membuktikan bahawa raja-raja tidak patut dan tidak boleh terlibat dengan perniagaan.

Apabila raja-raja atau suku-sakat mereka terlibat dengan perniagaan maka sukar atau mustahil bagi orang biasa bersaing atau mendapatkan keadilan jika berlaku pertikaian.

Kerajaan negeri pula, khususnya yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) janganlah menjadi tali barut dan agen “merampas” aset GLC dan GLIC atau mana-mana pihak pun. Mereka wajib berpegang kepada prinsip ketelusan dan keadilan.

‘Walaupun kuat sembahyang, tapi bila duit datang terima juga’

Faisal Asyraf

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agak pelik dengan sikap sesetengah penjawat awam beragama Islam yang berfikiran bahawa menerima rasuah baik-baik saja kerana ia kurang berdosa berbanding minum alkohol.

Berucap pada majlis perjumpaan dengan lebih 1,000 pegawai kanan kerajaan di Putrajaya, katanya, kakitangan awam hari ini kelihatan lebih warak daripada mereka yang berkhidmat pada zaman British.

“Saya teringat tentang pegawai-pegawai di zaman British. Mereka tidak banyak terlibat dengan rasuah. Tapi lagak mereka seperti pegawai British. Mereka minum arak dan sebagainya.

“Tapi sekarang ini kita tak minum lagi. Sekarang ini lebih warak dari dulu. Ramai dari kita ada tanda di dahi, sebab mereka sembahyang. Jelas lagi karakter pegawai-pegawai sekarang ini ini sudah bertukar.

“Pegangan mereka pada ajaran agama lebih kuat dari dulu. Tapi kita dapati walaupun kuat pegangan agama, sembahyang, puasa, umrah tiga hingga empat kali, tapi bila duit datang, (mereka) terima juga.

“Ini yang pelik. Kalau arak tu haram, rasuah itu dua, tiga kali kali lebih teruk. Sebab itu kita hapuskan amalan rasuah ini,” katanya.

Mahathir kata, ramai di kalangan pegawai berkenaan sekarang tidak berpuas hati kerana kerajaan Pakatan Harapan sangat aktif menentang rasuah sehingga mereka ini tidak dapat menjana "pendapatan lebihan" lagi.

“Hari ini, kerana kerajaan (PH) ini menolak rasuah, maka mereka tidak dapat lagi dari punca-punca (rasuah) itu. Tak dapat lagi upah-upah tertentu (hingga) berasa kecewa dengan kerajaan baru...

“Kita tahu dahulu orang-orang tertentu yang dapat perlindungan dari jentera kerajaan. Kerana mereka guna rasuah dengan pegawai-pegawai kerajaan.

“Bila kita usahakan perkara ini dihentikan, maka banyak pegawai-pegawai tertentu tidak dapat lagi punca pendapatan lebiha. Mereka kecewa. Seolah-olah kerajaan kleptrokasi lebih baik dari kerajaan demokrasi,” katanya.

Mengambil contoh beberapa negara termasuk Mexico, Pakistan dan Indonesia yang menukar parti memerintah akibat salah guna kuasa, Dr Mahathir berkata usaha membersihkan negara daripada gejala itu perlu diteruskan kerana ia akan menghancurkan negara.

"Segala tugas tak dapat dijalankan dengan baik, kos akan meningkat kerana setiap kos kita belanja perlu tambah kos rasuah, dan sesetengah pihak tidak mendapat perkhidmatan sama sekali kerana rasuah," katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sebelum ini yang memerintah selama 61 tahun tidak mungkin kalah jika mereka berpegang kepada tugas dan tidak menyalah guna kuasa yang diberikan rakyat.

Pertukaran kerajaan adalah penting kerana rakyat tahu negara dipimpin dengan cara yang tidak baik sehingga dikenali sebagai negara kleptokrasi atau kerajaan penyangak.

"Apakah kita nak kerajaan penyangak atau diganti kerajaan baharu? Apakah kerajaan baharu akan jadi penyangak, mungkin kalau tidak berjaga-jaga," katanya.

Bagaimanapun, katanya setakat ini, beliau belum nampak kecenderungan untuk salah guna kuasa dalam kalangan pentadbir.

Sepanjang hampir setahun PH memerintah, Dr Mahathir berkata beliau mendapati secara umumnya kerajaan tidak menghadapi banyak masalah dalam pentadbiran walaupun terpaksa menggugurkan mereka yang jelas menyeleweng dan melakukan kesalahan.

"Yang lain saya fikir (mereka) sedar pertukaran kerajaan dan kerajaan sekarang berhak menentukan dasar negara," katanya.

Dr Mahathir berkata, jika rasuah dilihat sebagai haram sama seperti arak, maka pegawai kerajaan pasti tidak akan melakukan perbuatan jijik itu.

Usah pelik jika nampak Michael Ang solat Jumaat

Pengarah terkenal Michael Ang hari ini mendedahkan dia sudah memeluk Islam namun peralihan itu rupa-rupanya bukanlah baru.

Mengumumkan sendiri khabar itu di media sosial Michael juga sempat meminta maaf kerana merahsiakan syahadahnya untuk tempoh yang agak lama.

"Assalammualaikum. Maafkan saya kalau merahsiakan ni lebih dari setahun.

“Cuma saya rasa perkara ni antara saya dengan Allah dan keluarga saya,” katanya di Instagram.

Menyatakan hal itu menerusi klip video di saluran Official Ria X di YouTube Michael berkata jika tidak diuar-uarkan dia bimbang ada orang akan terserempak dan terkejut melihat dia menunaikan solat Jumaat.

“Untuk saya mula tunaikan solat Jumaat, lebih baik saya berterus-terang daripada orang melihat saya di masjid dan memperkatakan hal ni,” katanya.

Bagaimanapun, Michael berkata banyak perkara perlu didalaminya selepas bergelar seorang Muslim.

“Kalau ada salah tolong tegur. Doakanlah yang baik-baik,” katanya.

Sebelum ini, Michael dispekulasi bergelar mualaf apabila dia mula belajar berpuasa pada Ramadan tahun lalu.

Menerusi klip video sama, Michael yang masih mengekalkan nama asal Michael Ang Hai Swee dilihat bergambar bersama dua tokoh pendakwah terkenal di negara ini Hussein Yee dan dan Firdaus Wong.

Michael diyakini mengucapkan syahadah di hadapan dua orang ustaz tersebut.

Saya tak pasti siapa yang pekak - Mufti jawab Tun M

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan kenyataannya bahawa ramai orang kini beranggapan Islam berada dalam keadaan tidak selamat di bawah pentadbiran kerajaan PH.

Beliau juga memulang paku buah keras terhadap kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad malam tadi bahawa tidak pasti siapa yang ‘pekak’ terhadap rungutan umat Islam itu.

“Banyak berita pagi ini pasal kenyataan YAB Tun M: Mufti Perlis pekak sebab kritikan yang saya suarakan mempertahankan Islam kurang kedengaran dalam kalangan pimpinan kerajaan hari ini. Umat Islam rasa kurang selamat.

“Namun, sesiapa yang mampu mendengar keresahan rakyat, itulah realiti yang disuarakan oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini.

“Saya tidak pasti siapa yang pekak,” kata Asri di Facebooknya hari ini.

Malam tadi, Mahathir menafikan dakwaan Mohd Asri bahawa kedudukan Islam semakin tidak selamat di bawah PH.

"Pasal dia 'pekak'.

"Kalau dia boleh dengar, dia boleh dengar kita buat macam-macam untuk orang Islam, untuk Islam. Tapi dia tak dengar," sindir Dr Mahathir.

Pegang pada falsafah

Kenyataan awal Mohd Asri dikeluarkan selepas pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, ditangkap awal pagi semalam atas dakwaan menghina Hindu dalam satu ceramah.

Untuk rekod Muhammad Zamri ialah orang yang dekat dengan pendakwah dikehendaki kerajaan India, Dr Zakir Naik.

Mohd Asri adalah antara orang yang dilihat rapat dengan Zakir.

Kata Mohd Asri penangkapan Muhammad Zamri menunjukkan masyarakat Islam semakin "dibuli" oleh kerajaan PH.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata tindakan Mahathir membalas tegurannya itu mungkin kerana terguris disebabkan hubungan baik terjadin di antara mereka berdua selama ini.

Dalam catatan itu juga, Mohd Asri turut memuat naik gambar tulisan tangan Mahathir untuknya dalam buku tulisan perdana menteri, A Doctor In The House.

Antara yang ditulis: Jangan ketepikan kebenaran kerana takut. Perjuangan yang bebas dari cabaran dan tentangan bukanlah perjuangan yang sebenarnya.

“Insya-Allah saya akan berpegang kepada falsafah itu sekali pun terhadap kerajaan pimpinan Tun M sendiri,” kata Asri.

Rakyat makin akur Islam ‘tidak begitu selamat’ bawah PH, kata Asri

FMT Reporters
PETALING JAYA: Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa suara “mempertahankan Islam” sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini, menjadikan rakyat makin akur Islam “berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat” bawahnya.

Asri yang juga mufti Perlis berkata demikian ketika mengulas seorang “Firdaus” di Facebook hari ini.

Beliau berkata pelbagai kenyataan dibuat oleh individu-individu dalam kerajaan yang dianggap menghina orang Islam dan menimbulkan ketegangan kaum “hanya dipanggil untuk beri keterangan”, tetapi seorang individu yang berkongsi pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam ditangkap.

“Apakah fakta beliau palsu? Apakah beliau menghina atau sekadar kisah dirinya sendiri?” katanya.

Beliau merujuk kepada penahanan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu semalam yang didakwa menghina agama Hindu, dalam satu ucapan di Masjid As Siddiqin di Kampung Panchor, Kelantan pada 30 Disember tahun lalu.

Zamri disiasat bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana mengganggu keharmonian dan mengeluarkan kata-kata menghina.

“Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan peristiwa tragedi antara kuil dan pihak bomba?” kata Asri.

Beliau merujuk kepada rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada November tahun lepas, yang menyaksikan beberapa kenderaan terbakar, kompleks One City dirosakkan dan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dan meninggal dunia.

Asri menegaskan Zamri dalam ucapannya hanya berkongsi sedikit pengalaman peribadi sebelum menganut Islam, dan penceramah itu juga membuat banyak program membina hubungan antara agama bawah One Centre Malaysia.

“Saya tidak menyalahkan polis, tetapi ini berlaku kerana realiti politik yang membiarkan umat Islam dibuli,” katanya.

“Suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran hari ini melainkan sejumlah kecil. Apakah ini suatu keadilan?

“Realiti ini menjadikan rakyat makin akur bahawa Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran hari ini.”

'Ada pihak tak senang Dr M mahu Hamid jadi IGP'

Faisal Asyraf

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilihat sebagai pilihan utama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi ketua polis negara (IGP) yang baru.

Bagaimanapun, menurut sumber, ada ura-ura mengatakan beberapa pihak dalam polis tidak berapa senang dengan pilihan perdana menteri itu.

Sekiranya Abdul Hamid dilantik menjadi ketua polis negara yang baru menggantikan Mohamad Fuzi Harun yang dijangka bersara minggu ini (4 Mei), dia akan menjawat jawatan itu dengan status kontrak.

"Pilihan Tun (Dr Mahathir) tidak begitu disenangi pihak tertentu.

"Persoalan yang ditimbulkan ialah: kenapa lantik seseorang yang berstatus kontrak? Sedangkan sepatutnya ada calon lain dengan gred penjawat awam yang sesuai yang sedang menunggu untuk menjawat jawatan itu," kata sumber.

Tambahnya, perkara itu dibincang dan didebatkan dalam sebuah mesyuarat Kementerian Dalam Negeri.

"Ada contoh kes sebelum ini merujuk kepada pelantikan Mohamed Khalid Yusuf sebagai Ketua Pengarah Kastam atas kontrak.

"Jadi dari segi itu, dipersetujui bahawa tiada masalah untuk melantik ABdul Hamid sebagai IGP atas kontrak," katanya.

Untuk rekod, Mohamed Khalid menjadi ketua pengarah Kastam atas status kontrak setahun, dari Jun 2011 hingga Jun 2012.

Abdul Hamid berat hati

Sumber juga berkata Dr Mahathir berkeras untuk melantik Abdul Hamid sebagai IGP.

"Dr Mahathir melihat Abdul Hamid yang merupakan bekas pengarah Cawangan Khas sebagai calon yang tepat untuk jawatan itu dengan mengambil kira pengetahuan dan pengalamannya.

"Dr Mahathir merasakan Abdul Hamid merupakan orang terbaik untuk menerajui polis menjaga keamanan dalam situasi cabaran politik di negara ini ketika ini," katanya.

Bagaimanapun, tambah sumber, Abdul Hamid dikatakan keberatan untuk dilantik susulan ura-ura yang mengatakan ada pihak tidak begitu senang jika dia dilantik menjadi IGP.

Ketika diminta untuk mengulas, Abdul Hamid memberitahu Malaysiakini: "Susah untuk saya ulas... Tapi saya sudah difahamkan bahawa Tun (Dr Mahathir) akan mengumumkan pengganti (IGP) minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di_pertuan Agong.

"Apapun, kerajaan tahu apa yang terbaik untuk negara," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata nama calon pengganti IGP sudah diserahkan kepada Dr Mahathir beberapa minggu lalu.

Jelas Muhyiddin, Dr Mahathir akan meneliti senarai calon sebelum mengemukakannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

Muhyiddin juga berkata perdana menteri mempunyai hak untuk membuat pertukaran.

"Jika beliau (Dr Mahathir) mahu buat penukaran sebelum mengemukakan nama calon IGP kepada Yang di-Pertuan Agong, itu haknya sebagai perdana menteri," kata Muhyiddin.

Hampir empat dekad berkhidmat bersama PDRM, Abdul Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat dakwaan ada pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1MDB, selain mendesak siasatan dibuat secara telus.

Ketika itu beliau menjadi timbalan pengarah Cawangan Khas (SB).

Abdul Hamid kemudian dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri - bersama-sama pengarah bahagian operasi khas SPRM ketika itu Bahri Mohd Zin - sebulan selepas khidmat Abdul Gani Patail sebagai peguam negara ditamatkan.

Beliau kembali ke PDRM apabila dilantik sebagai pengarah SB beberapa minggu selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.

Penyatuan PAS-Umno hasil usaha senyap saya dan Hadi - Najib

Bekas presiden Umno Najib Razak semalam memberitahu ahli PAS bahawa 'penyatuan' dua parti yang sebelum ini merupakan seteru adalah hasil dari "usaha senyap-senyap" olehnya dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Jelas Najib usaha itu bermula ketika perbincangan isu Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) dan perkara-perkara lain ketika beliau masih menjadi presiden Umno dan juga perdana menteri.

"Ada dua hikmah kekalahan kita (dalam pilihan raya umum ke-14).

"Satu, mereka (rakyat) boleh banding zaman BN dengan zaman PH hari ini?

"Yang kedua, lahirnya penyatuan ummah gabungan antara PAS dan Umno," katanya yang disambut tepukan dan sorakan gemuruh hadirin.

"Sebab saya telah usahakan senyap-senyap perkara ini selama ini dengan Tok Guru Hadi (Abdul Hadi) waktu malam dia datang bincang RUU355 dan perkara-perakra bersangkut paut kepentingan umat Islam.

"Hari ini saya rasa begitu bersyukur apa saya telah mulakan, berputik zaman saya, hari ini telah menjadi realiti," tambah ahli parlimen Pekan itu.

Najib berkata demikian di Ceramah Perdana Perpaduan Ummah yang merupakan acara pertama pemimpin Umno berkongsi pentas dengan PAS dengan tema 'perpaduan ummah'.
Acara itu turut menyaksikan beberapa pemimpin PAS dan Umno lain berkongsi pentas, termasuk Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Mahdzir Khalid, selain pemimpin tempatan kedua-dua parti.

Mengulas lanjut, Najib berkata PAS dan Umno boleh menang dalam pilihan raya umum seterusnya sekiranya kerjasama PAS dan Umno diteruskan.

"Kalau ini kita pertahankan sebagai formula terbaik, insya-Allah PRU ke-15 milik Umno dan PAS.

"Tak boleh lari tuan-tuan, kita dah buat perkiraan, tak boleh lari. Sebab itu dia (PH) kata kita macam-macam. Pedulikan depa," katanya.

Anwar ada lagi 'rahsia' PAS

N Faizal Ghazali

Presiden PKR memberi gambaran bahawa beliau akan terus membongkar "penipuan" yang dilakukan pemimpin PAS selepas isu pembayaran wang RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibuat secara perlahan-lahan.

"Tunggu masa, saya bongkar cerita sikit-sikit, koho-koho (perlahan-lahan). Tak boleh deras (cepat) semua sekali.

"Jadi saya terangkan masalah kes ini dulu," katanya ketika berceramah pada program Bicara Perdana di Tanah Merah, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulangi isu pendedahan penyelesaian saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London, baru-baru ini.

Pada Februari lalu, Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson mendedahkan Abdul Hadi membayar RM1.4 juta itu kepada Clare, malah perkara itu disusuli dengan pendedahkan Clare yang mengesahkan penerimaan bayaran tersebut.

Bagaimanapun PAS, menafikan perkara itu.

Sementara itu Anwar menegaskan betapa beliau hairan melihat pemimpin PAS yang mengetahui perkara berkenaan tetapi tetap memberi penjelasan yang sebaliknya.

Katanya, beliau membuat pendedahan itu kerana mempunyai fakta dan bukannya memfitnah.

Katanya beliau melihat sendiri salinan dokumen serta cek bayaran tersebut.

"Apa makna semua ini? Antara kenyataan dan ucapan tok-tok guru PAS ini - saya tak salahkan orang yang tak tahu - tapi yang saya pelik pemimpin yang tahu masih sanggup menjelaskan begini.

"Padahal mereka tahu. Bagaimana kita nak orang hormat pada kita? Bila orang tengok kita ada akhlak, bila bercakap, benar," tegasnya.

Tambah Anwar penjelas beliau itu sebagai contoh bahawa bukan bermakna sebuah parti yang menggunakan nama Islam semuanya akan bercakap benar.

"Ini pertarungan politik. Parti ini dulu mula-mula musuh DAP, bila dalam Pakatan Rakat dia juga turun kempen untuk DAP.

"Sekarang dia cakap pula salah DAP. Dulu kita tahu sikap PAS pada Umno, sekarang nak baik. Dia nak baik dengan Umno tak apa, berbaiklah.

"Tapi nak baik dengan Umno ini, terus kita jadi separuh kafir. Jadi agama ini boleh main ikut selera urusan politik. Ini yang saya tak setuju," jelasnya.

Ceramah berunsur hasutan, PDRM digesa siasat Naib Ketua Umno Pokok Sena

AKMAL MANAF
Ramli menunjukkan laporan polis yang telah dibuat di IPD Dang Wangi, hari ini.
Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Kedah, Noran Zamini Jamaludin.

Gesaan itu disuarakan GMPN kerana mendakwa, ceramah oleh Naib Ketua Umno Pokok Sena itu mengandungi unsur hasutan yang berpotensi menjejaskan keharmonian kaum.

Presiden GMPN, Mejar Razali Zakaria berkata, 80 peratus intipati dalam ceramah yang diadakan di Melaka pada 14 April lalu, adalah tipu.

“Dalam audio itu, Noran menuduh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalannya, Liew Chin Tong sebagai parti komunis.

“Noran juga ada menghasut dan menakutkan orang Melayu yang tidak bersama Pakatan Harapan (PH), dengan menyatakan insiden pembunuhan beramai-ramai seperti di Rohingya akan berlaku.

“Dalam ceramah itu, mereka turut mengatakan ada pembunuhan dan ancaman kepada orang Melayu Islam jika parti DAP memerintah negara ini.

“Itu semua adalah satu bentuk hasutan dan fitnah politik.. ianya tidak benar sama sekali,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas membuat laporan polis berhubung ceramah hasutan itu.

Turut hadir, Penasihat Utama GMPN, Ramli Kamarudin dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Orang-Orang Miskin Se Malaysia, Mohd Solleh Ibrahim.

Dalam ceramah itu, Razali mendakwa, niat sebenarnya Noran adalah untuk menghasut orang ramai supaya tidak menyokong kerajaan sedia ada.

“Jadi kami menggesa pihak PDRM menyiasat Noran Zamini supaya tindakan boleh diambil dan menjadi pengajaran kepada penceramah yang lain,” katanya lagi.