Pemuda Machang lapor polis kalimah ‘Allah’ pada stokin
MACHANG, 30 Jan: Dewan Pemuda PAS kawasan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, hari ini berkaitan dengan tulisan yang menyerupai kalimah ‘Allah’ pada stokin.
Ahli jawatankuasanya, Ahmad Tajuddin Mukhtar berkata, beliau amat terkejut apabila mendapati sepasang stokin yang dibelinya Jumaat lalu di sebuah kedai di bandar ini tertera tulisan menyerupai kalimah suci ‘Allah’.
"Pada petang jumaat lalu, saya ke kedai tersebut untuk membeli stokin tetapi bila pulang ke rumah, saya dapati ada tulisan yang menyerupai kalimah Allah di tapak kaki dan juga kanan kiri sisi stokin tersebut,” katanya.
Setelah berbincang bersama Jawatankuasa Pemuda PAS kawasan, beliau bersama ketua pemuda, Hatman Abdullah telah mengambil usaha dengan membuat laporan polis terhadap perkara tersebut.
Hatman pula berkata, pihaknya memandang serius terhadap suasana begitu dan berharap mana-mana pengguna yang mempunyai stokin yang sama ataupun perkara lain yang mencurigakan terutama berkaitan dengan isu agama supaya membuat laporan polis untuk disiasat.
“Sekiranya perkara ini benar, maka sesungguhnya ia mencemarkan kesucian Islam. Oleh demikian, bagi menjaga sensitiviti kaum, pihak kami telah mengambil inisiatif untuk membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya yang turut disertai Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman.
Beliau berkata, stokin seperti itu mungkin juga dijual di merata tempat, bukan sahaja di bandar ini.
Kenapa e-undi meragukan?
Berikutan bantahan mahasiswa yang berlaku di Universiti Malaysa terhadap e-undi atau e-vote. Suka untuk saya gambarkan kenapa e-undi ini tidak diyakini. Saya tidak merujuk kepada sistem undi mana-mana universiti tetapi saya merujuk kepada sistem e-undi secara umum mengikut kefahaman saya dan budaya rasuah yang serius di negara kita.
E-undi adalah penggundian yang tidak menggunakan kertas. Ia melibatkan semakkan identiti pengundi dan pengiraan hasil undian seseorang pengundi. Keraguan terhadap manipulasi adalah seperti berikut :
1. Identiti pengundi ditentukan oleh sistem. Sistem ini merujuk kepada pengkalandata(database) yang telah dibina. Biasanya identiti ini merujuk kepada nombor kad pengenalan atau nombor metrik pelajar. Apabila nombor kad pengenalan atau nombor metrik dimasukkan dalam sistem maka sistem akan menyemak dengan data dalam pengkalandata. Persoalannya :
a. Apakah data itu betul ? Bagaimana mengesahkan data dalam pengkalandata? Siapa yang mengesahkannya? Apakah pengundi hantu tidak boleh dimasukkan dalam daftar tersebut?
b. Jika telah disahkan pun adakah ia tidak boleh ditindankan(replace) data tersebut dengan data-data yang telah dimanipulasi ?
2. Hasil pengundian seseorang pengundi akan dikira bagi menentukan siapakah yang menang dalam sesuatu pertandingan itu. Kiraan ini sepenuhnya dibuat oleh sistem. Persoalannya :
a. Apakah sistem kiraan ini tidak boleh diganggu oleh pihak lain ? Siapa yang boleh mengesahkan ia bebas daripada manipulasi sedangkan ia dikendalikan oleh sistem yang tidak boleh bercakap dengan kita.
b. Apakah tidak boleh kiraan data dimanipulasi ? Contohnya jika calon A menang kemudian hasil undian calon A dibuang. Akhirnya calon B yang menang. Siapa yang boleh mengesahkan ianya tidak boleh berlaku? Sistem tidak boleh bercakap dengan kita.
3. Realiti rasuah di Jabatan Kerajaan adalah ditahap yang membimbangkan. Bayangkan sebuah kementerian yang tugasnya menjaga pertahanan negara cuai menjaga dua buah enjin jet F-5E sehingga boleh hilang dan sampai ke negara Amerika Selatan. Jika enjin jet F-5E boleh hilang. Jika undi pos di MINDEF boleh dimanipulasi dalam pilihanraya Bagan Pinang. Apalah mustahilnya data-data pilihanraya di kampus dimanipulasi.
Kesimpulannya hanya satu sahaja iaitu Kerajaan Barisan Nasional perlu ditukar dalam pilihanraya akan datang.
Exco Pemuda PAS pertikai hukuman ‘berat sebelah’ Khalid, Hasan
G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Jan 30: Exco Pemuda PAS Abdullah Abdul Karim mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin parti itu menggantung Khalid Samad enam bulan sedangkan Datuk Dr Hasan Ali hanya diberi amaran.
“Keputusan jawatankuasa tatatertib PAS Pusat menggantung Khalid Samad selama enam bulan dan hanya memberi amaran bertulis kepada Datuk Hasan amat mengejutkan dan tidak boleh diterima sama sekali,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pahang.
Reaksi pertama Exco Pemuda PAS itu juga mempertikaikan kredibiliti jawatankuasa disiplin.
Semalam jawatankuasa mengumumkan bahawa Khalid digantung jawatan parti iaitu sebagai Yang Dipertua PAS Shah Alam dan anggota Lajnah Politik selama enam bulan.
Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor hanya diberi amaran lisan.
Dengan membuat keputusan tersebut, dakwa beliau. jawatankuasa disiplin sama ada disedari atau tidak, telah membenarkan diri mereka dipergunakan untuk melindungi anasir-anasir anti-Pakatan Rakyat (PR) dalam PAS.
Malah menurut Abdullah, keputusan yang diumumkan semalam juga sebenarnya menghantar isyarat salah kepada rakyat Malaysia yang menaruh harapan tinggi kepada PAS untuk membela nasib mereka melalui platform PR.
“Amat menghairankan bila individu yang bermatian mempertahankan dasar dan keputusan PAS untuk berkerjasama dalam Pakatan Rakyat dikenakan hukuman berat, sedangkan individu yang tindakannya boleh menjejaskan kerajaan PR Selangor hanya diberi amaran sahaja,” katanya lagi.
Oleh itu kata Abdullah, beliau rasa hukuman terhadap Hasan ini hanya sekadar wayang untuk “membersihkan” Exco kerajaan negeri Selangor dan pada yang sama Khalid terus dimangsakan.
Beliau menambah ahli PAS dan para penyokong PAS serta PR bukannya bodoh.
“Jawatankuasa disiplin ini yang pada awalnya diwujudkan untuk menyiasat kes-kes di Selangor adalah satu kompromi untuk meredakan kemarahan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat selepas beliau mendesak supaya satu EGM diadakan untuk menyingkirkan pemimpin PAS yang anti-PR.
“Kalau Mursyidul Am tidak bersuara, jangan harap akan ada tindakan dikenakan kepada Dato Hasan.
“Maka, EGM tidak perlu, tapi sebagai ganti pemimpin yang jelas melanggar semangat setiakawan PR perlu dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib.
“Inilah dia semangat dari keputusan mesyuarat khas PAS Pusat pada 28 Oktober 2009,” katanya lagi.
Abdullah juga memberitahu, entah macam mana atas permainan licik sesetengah pihak tanpa kita semua sedari, Khalid yang sepatutnya dianggap sebagai hero dalam mempertahankan keputusan parti, telah turut diheret sama dan menjadi mangsa dendam kesumat anasir anti PR dalam PAS.
“Saya gagal melihat bagaimana tindakan Hasan Ali sebagai seorang anggota Exco kerajaan negeri yang sentiasa bercanggah dengan Menteri Besar dan Exco yang lain hingga boleh melemahkan kerajaan yang PAS adalah anggotanya boleh dianggap lebih ringan kesalahannya berbanding dengan tindakan Khalid selaku ahli parti yang mengkritik pemimpin parti tanpa mengikut saluran yang dianggap begitu berat kesalahannya hingga mewajarkan dia digantung selama enam bulan,” katanya.
Abdullah menjelaskan, apa yang didedahkan Khalid dalam blognya bukanlah satu maklumat sulit atau rahsia berkaitan dengan strategi parti.
“Ia hanya melaporkan perbincangan dalam mesyuarat yang umum tahu apakah kandungannya.
“Di sini timbul persoalan terhadap kewibawaan jawatankuasa tatatertib.
“Saya sendiri lebih dua bulan yang lalu telah membuat satu laporan bertulis kepada jawatankuasa tatatertib PAS berkaitan dengan satu konspirasi di kalangan beberapa orang ahli-ahli PAS untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat,” katanya.
Malahnya kata beliau laporannya itu hanya dipendamkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan diambil.
“Apabila saya merujuk perkara ini kepada pihak yang bertanggungjawab, mereka memberi alasan teknikal kononnya laporan tersebut perlu dihantar melalui Setiausaha Agung PAS sebelum ia disalurkan kepada jawatankuasa tatatertib.
“Wow, nampaknya setiausaha agung pula yang menjadi penapis setiap aduan tatatertib.
“Bagi mengelakkan aduan saya ditolak atas alasan-alasan bodoh sebegini, maka saya telah menghantar semual aduan tersebut kepada Setiausaha Agung PAS lebih kurang tiga minggu yang lalu,” katanya.
Kata beliau, sehingga hari ini tiada tindakan diambil dan tidak dimaklumkan apa yang terjadi terhadap aduan itu.
“Apakah kerana saya mendedahkan tentang aktiviti subversif anti PR maka aduan saya tidak dilayan? Hanya pimpinan parti sahaja yang dapat menjawabnya,” katanya.
-malaysianinsider-
PKR Pulau Pinang akui 4 MP mahu ‘dipikat’ BN
G. Manimaran
PULAU PINANG, Jan 30: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Dr Mansor Othman mengakui tiga hingga empat ahli Parlimen parti itu ada membayangkan “hasrat” untuk menyertai Barisan Nasional (BN), sekali gus mengukuhkan kedudukannya di Parlimen.
Mereka termasuklah bekas ketua PKR Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.
Kini, PKR ada empat anggota Parlimen di Pulau Pinang. Selain Zahrain tiga yang lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohd Yusmandi Yusoff (Balik Pulau).
“Saya pun ada dengar, tiga atau empat orang (anggota Dewan Rakyat) yang hendak keluar... BN memang hendakkan dia (Zahrain),” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider sebentar tadi.
Bagaimanapun Zahrain gagal dihubungi sejak kelmarin.
Mansor enggan menyatakan sama ada mereka kesemua dari Pulau Pinang ataupun termasuk ahli Parlimen PKR dari negeri-negeri yang lain.
Difahamkan angka itu mungkin mencecah tujuh hingga lapan orang, membabitkan negeri Selangor dan Kedah.
Malah ada sumber yang mengatakan jumlah itu boleh sampai 10 orang bagi BN memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
BN memerlukan 11 lagi kerusi daripada 222 anggota di Dewan Rakyat untuk mencapai sasaran itu.
Usaha ke arah itu juga disebut-sebut akan menerima sokongan wakil rakyat Bebas dari Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali dan Ahli Parlimen PKR Zulkifli Noordin yang akan dirujuk kepada lembaga disiplin.
“Itu saya tidak tahu (sama ada membabitkan negeri lain)... macam mana anda tahu, saya pun dapat tahu ada wakil rakyat yang menunjukkan hasrat keluar parti,” kata Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 negeri.
Pada Mac 2008, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen, PAS 23 manakala DAP 28.
Kata Mansor walaupun beliau ada sudah lama mendengar hubung tidak mesra Zahrain dengan Lim, tetapi isu hendak keluar PKR “hanya baru didengar.”
Mansor juga berkata isu itu akan dibincangkan pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pagi esok.
The Malaysian Insider difahamkan isu itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden Pakatan Rakyat (PR), juga esok. Pemimpin PR bersidang selepas MPP PKR.
Semalam Mansor berkata beliau kesal dengan kenyataan Zahrain yang juga Parlimen Bayan Baru, yang mengkritik Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai diktator.
“Kami sedih dan kesal bahawa kenyataan seumpama itu datang dari Zahrain kerana ia bukan cara yang betul untuk menegur pemimpin sendiri dalam Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi Lim merupakan pemimpin senior,” kata Mansor yang menggantikan Zahrain sebagai ketua PKR tahun lalu.
Mansor juga dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti tahun lalu.
Zahrain menyifatkan Lim yang juga setiausaha agung DAP sebagai seorang diktator, cauvanis dan berfikiran komunis.
Zahrain dipetik sebagai berkata bahawa PR tidak akan berkrompomi dengan pemimpin dari Melaka itu kerana Lim telah gagal memenuhi janji pilihan rayanya.
Ini bukan pertama kali Zahrain mengkritik Lim.
Pada April tahun lalu, Zahrain turut menyalahkan Lim berhubung pelantikan Timbalan Ketua Menteri 1 dan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.
Sehubungan itu Mansor berkata, walaupun Zahrain pernah mengkritik kepimpinan Lim tetapi hanya kali ini ia kelihatan “terlalu keras.”
“Isu ini akan dibincangkan esok, akan dibincang Datuk Seri Anwar dan kenyataan akan dikeluarkan kemudian,” katanya.
-malaysianinsider-
Jangan termakan racun media pro BN
PULAU PINANG, 30 Jan: Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mustaffa Kamal Mohd Yusuf mengingatkan rakyat negeri ini agar jangan terlalu cepat termakan racun yang cuba ditaburkan oleh media pro Barisan Nasional (BN) sebaliknya bertanya kepada kepimpinan yang ada.
"Setakat hari ini saya sendiri tidak mengetahui hal itu kerana Datuk Zahrin berada di luar negara sejak seminggu lalu. Kenapa tiba-tiba ia menjadi panas. Apa pun kita kena tunggu kepulangan beliau baru semua boleh tahu perkembangan sebenar," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Apapun, katanya perbezaan pandangan merupakan asam garam dalam berpolitik walaupun dalam satu parti kerana manusia mempunyai fikiran sendiri dan kemahuan yang berbeza.
Sebagai seorang pejuang, tegasnya, seseorang itu wajar tidak mendahului keputusan parti bukan tindak tanduk yang boleh mencemarkan keputusan yang akhirnya masalah menjadi buruk.
"Memang tidak dinafikan sesiapa pun ada pandangan yang berbeza. Namun sebagai seorang pejuang parti, tidak harus mendahului keputusan yang diambil, bukan mengeluarkan keputusan kepada media yang senantiasa menanti bagaikan pepatah 'mengantuk disorong bantal',” terangnya.
Jesteru itu, kepada ahli, pendokong parti dan rakyat kena lebih berhati-hati supaya tidak terjebak dalam kancah memusnahkan Pakatan Rakyat yang terbina erat di Pulau Pinang.
Banyak program dan dasar kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah berjaya meresapi di akar umbi serta menjadi bualan semua masyarakat.
"Begitulah usaha yang diinginkan oleh Umno dan BN di sini. Mereka sedaya upaya mencari helah dan punca di mana kesilapan yang muncul mereka akan tekan sehingga nampak kerenggangan antara parti dalam gabungan Pakatan Rakyat," tambahnya.
Exco Pemuda Umno desak Khairy letak jawatan
KUALA LUMPUR, 30 Jan: Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno malam kelmarin kecoh ekoran terdapat desakan supaya ketuanya, Khairy Jamaluddin berundur untuk menyelamatkan pergerakan itu.
Harakahdaily difahamkan, punca utama desakan beberapa anggota Exco pergerakan itu kerana Khairy dilihat gagal menterjemahkan hala tuju Pemuda Umno Malaysia selari dengan kepimpinan Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Seorang Exconya, Mohd Hishamuddin Yahaya dilaporkan membentangkan beberapa bukti yang menunjukkan kepimpinan pergerakan yang diterajui Khairy itu tidak berminat untuk membantu parti dan kerajaan menarik sokongan sebaliknya mengugut agar diberi jawatan.
Difahamkan, Hishamuddin mencadangkan dua usul sama ada Khairy meletakkan jawatan dan membenarkan Ketua Pemuda dipangku oleh Datuk Razali Ibrahim atau keseluruhan Exco meletakkan jawatan bagi membolehkan satu pemilihan baru dibuat secepat mungkin.
Sungguhpun mendapat sokongan tetapi tiada undian atau keputusan dicapai tetapi difahamkan dua pertiga Exco Pemuda bersedia meletakkan jawatan untuk pemilihan semula pergerakan itu jika selari dengan kehendak perlembagaan parti.
Mengikut Perkara 5.7 Perlembagaan Pergerakan Pemuda Umno, jika dua pertiga atau lebih bilangan Ahli-ahli Jawatankuasa Pemuda berhenti, maka jawatankuasa itu dianggap telah bubar dan Majlis Tertinggi bolehlah mengadakan Perhimpunan Khas Pemuda Umno Malaysia bagi menubuhkan semula Jawatankuasa Pemuda dan Majlis Tertinggi berkuasa menentukan tempoh perkhidmatan jawatankuasa yang baru dipilih itu.
Selain isu kemelut yang melanda beberapa Pemuda Umno negeri yang gagal ditangani oleh Khairy, beliau juga dianggap gagal apabila kursus Perdana Pemuda di Janda Baik hujung tahun lalu hanya dihadiri tidak sampai separuh ketua-ketua pemuda bahagian.
Kursus yang sepatutnya menjadi medan menunjukkan kekuatan kepimpinan Khairy untuk mendesak Perdana Menteri memberi jawatan kabinet akhirnya menjadi masalah besar kepadanya apabila hanya separuh jemputan sahaja yang hadir.
Pada mesyuarat malam kelmarin juga, beberapa Exco Pemuda turut mempersoalkan kegagalan Khairy menjadi suara pemuda dan menggerakkan jentera pemuda dalam banyak isu nasional yang sepatutnya dipergunakan bagi mengenakan tekanan ke atas Pakatan Rakyat.
Ada di kalangan mereka yang membangkitkan jika dahulu Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berjanji mengorbankan harta benda untuk pergerakan Pemuda jika menang, tetapi setelah menang lain pula alasannya.
Tak puashati keputusan Hasan...kenapa?
http://rajaida.blogspot.com/
Aduka Taruna baru sebulan Nikah, didakwa semalam, bersanding hari ini
Aduka Taruna yang didakwa kerana menghina Mahkamah memohon untuk dikurangkan nilai wang jaminan memandangkan beliau akan bersanding hari ini. Beliau memaklumkan mahkamah bahawa beliau baru bernikah sebulan yang lalu. Mahkamah bersetuju dengan permohonan beliau dan beliau hanya diikat jamin dengan RM 5000 memandangkan beliau telah memberikan kerjasama kepada pihak Polis.
Sewajarnya apa yang Aduka lalui ini memberikan pengajaran kepada kita agar menulis dan berkata dengan betul dan berhemah serta tidak merugikan diri sendiri. Tahniah kepada Aduka yang baru bernikah…
Teringat kisah pernikahan saya. Sehari sebelum pernikahan, saya bertugas atas keta Storm membantu pimpinan lain termasuk Presiden yang berdemontrasi depan kedutaan Denmark kerana isu karikatur menghina Rasulullah dan Isteri-isteri baginda oleh kartunis Denmark. Alhamdulillah, Allah merahmati demontrasi itu dan Denmark memohon maaf dan saya dapat bernikah dengan Isteri pagi keesokan harinya dengan penuh kesyukuran.
Dalam isu menghina Rasulullah dan keluarga baginda, pendirian saya tetap sama seperti dahulu. Tiada kompromi. Dalam kes Almarhum Sultan Johor ini, saya secara peribadi masih tidak berpuashati dengan pendakwaan yang dibuat Polis. Adakah Polis malas untuk buat kerja.
Selepas Aduka dilaporkan, para blogger dan rakan-rakan Facebook juga menyiarkan bukti-bukti bawa Cybertrooper Umno, Papa Gomo juga memfitnah Almarhum Sultan. Pierre Lim dan Gutter Malaysia jelas menghina Sultan. Tetapi hingga kini tiada tangkapan dan siasatan dibuat. Apakah tangkapan Aduka ini bersifat Politik.
Ianya saling tidak tumpah dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin yang menafikan maklumat Azmin bahawa ahli Umno terlibat dalam kes bakar gereja. Bila sebut sahaja ahli Umno, maka secara automatik maklumat itu dinafikan atau tidak dipedulikan.
Dan sampai hari ini kita tidak tahu apa perkembangan kes menghina Sultan Terengganu dalam demo yang dianjurkan oleh Umno. Tapi kita hanya dengar rakyat biasa ditahan dan didakwa dimahkamah kerana hina Sultan Perak.
Begitulah layanan Umno terhadap kes-kes yang dilaporkan. Walaubagaimana pun saya dan pemuda PAS memegang kepada prinsip mencari kebenaran. Siapa jua yang dilaporkan perlu disiasat dan didakwa dengan adil. Saya harap Aduka akan menjadi lebih matang selepas berumahtangga dan melalui pengalaman ini. Kehidupan ini ada peluang kedua selagi kita belum mati, dan kesilapan semalam menjadi inspirasi untuk kita menjadi lebih baik hari ini.
Hina Raja: Penulis blog, Aduka Taruna didakwa
Oleh Darwish Zainal
Seorang penulis blog dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Johor.Khairul Nizam Abd Ghani, 29, yang dikenali dengan nama penanya Aduka Taruna, sebelum ini diperintahkan ditahan reman empat hari oleh mahkamah majistret Kota Baharu.
Perintah tahanan reman itu berakhir hari ini.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menghina dengan niat untuk menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat antara jam 7.25 sehingga 9.05 pada 22 Jan.
Khairul Nizam dituduh mengikut Seksyen 233(1)(A)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Masri Mohd Daud mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, hakim Zamri Bakar mengurangkannya sebanyak RM5,000 dengan mempertimbangkan rayuan Khairul Nizam yang akan mengadakan majlis persandingan esok.
Pengantin yang baru sebulan mendirikan rumah tangga itu diwakili peguam Mohd Razlan Jalaludin.
Khairul Nizam kelihatan tenang sepanjang prosiding tersebut. Isterinya turut hadir di mahkamah.
Pemuda itu sebelum ini menyerah diri ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu.
http://syukran.wordpress.com/
Zambry adalah MB mahkamah pada 9 Feb ini?
DRS. KHALIL IDHAM LIM
Kelmarin saya dihubungi oleh wartawan dari Konsep Era Pakatan bertanyakan apakah rumus terakhir mengenai kemungkinan yang akan berlaku di Perak dengan dikaitkan dengan pengumuman Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari akan datang.
Sesuatu yang baru saya katakan kepada wartawan itu. maklumlah apapun kita semua boleh jangkakan dan itulah suasana sekarang, macam macam ada.
Saya katakan bahawa antara yang saya jangka selain jangkaan DUN dibubarkan sebelum 9 Februari, namun kita juga kena fikir bahawa Mahkamah juga kemungkinan akan mengumumkan Zambry adalah Menteri Besar yang mewakilinya di Malaysia, maksud saya satu-satunya MB di malaysia yang naik cara mahkamah hanyalah Zambry.
Sesudah itu demi maruah Zambry akan ke Istana dan memohon perkenan DYMM Sultan Perak untuk pembubaran DUN Perak. Yang jelas kerajaan sementara Perak ditangannya dan dia seperti biasa akan pergunakan semua badan dan agensi untuk jadi komponen UMNO dan BN bagi menentang Pakatan Rakyat.
Apa pun hari 9 Februari semakin menghampiri kita, sehari yang berlalu makin dekat sehari dengan tarikh keramat itu.
Namun manakah rumus yang benar, kita tunggu dan lihat.
Umno-BN Diselubungi Ketakutan Melampau
Iklim ketakutan atau climate of fear makin menyelubungi negara. Umno-BN, yang sudah lama memerintah, memperkuatkan lagi cengkamannya agar nafas Demokrasi, Kebebasan dan Karamah Insan di negara ini mulai sesak. Minggu kebelakangan ini keresahan memuncak apabila adanya percubaan untuk merekayasa ketegangan antara kaum dan agama. Siri serangan ke atas rumah ibadat mengejutkan rakyat Malaysia kerana ada di antara kita demi kelansungan politik segelintir, sanggup menggadai keamanan dan keharmonian negara ini.
Kita dikejutkan lagi dengan berita bahawa adanya tangkapan secara beramai-ramai minggu lalu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA), kononnya untuk memerangi pengganas. Sekiranya tidak didedahkan oleh Gerakan Mansuh ISA, pastinya kerajaan akan mendiamkan perkara ini agar tidak diketahui umum. Persoalannya jika ada bukti kukuh, mengapa menggunakan ISA? Saya menggesa agar kerajaan segera membawa mereka ke muka pengadilan dan diadili secara bebas tanpa menurut telunjuk sesiapapun.
Manakala tohmahan diperhebat terhadap Pakatan Rakyat, dibantu pula oleh ”lidah rasminya,” yang mengabaikan segala prinsip serta integriti kewartawanan, keadaan ternyata semakin memburuk. Dipaparkan kononnya pimpinan umno-bn sedang berusaha memulihkan negara dari kemurungan ekonomi dan sedang cuba membawa perubahan, walhal pada masa yang sama, mereka yang bangkit menyatakan perbezaan, dibantai serta cuba dialahkan menggunakan taktik keji.
Lihat sahaja apabila kerajaan sanggup membiarkan anak-anak mahasiswa kita diberkas dan diugut. Apa erti slogan perubahan jika suara mahasiswa dibungkam dan mereka ditakut-takutkan. Lebih menyedihkan kemurnian kawasan universiti dicemar apabila pihak keselamatan menceroboh lalu angkuh mempamirkan kekuatan. Tidak sedarkah kamu wahai pemerintah! Yang cuba ditakut-takutkan ini adalah penzahiran dari damir perjuangan bangsa! Mahasiswa dan anak muda adalah generasi pemberani yang tidak gentar walau hanya berbekal genggaman tapak tangan apabila berhadapan kekuatan pemerintah.
Jelas kelihatan kepada kita, iklim ketakutan dimunculkan demi mengalih pendangan rakyat dari isu sebenar. Apatah lagi kerana kemurungan ekonomi yang belum berlalu, kebobrokan rasuah yang semakin memualkan, kehakiman yang tidak bebas serta peningkatan ketidakyakinan rakyat terhadap kepimpinan Umno.
ANWAR IBRAHIM
Bertimbun-timbun masalah dipikul Najib
Semua PM Malaysia sebelum Najib masuk Sri Perdana dalam keadaan selesa. Tapi tidak buat Najib.
Bermula masalah Perak, kekalahan demi kekalahan dalam PRK, perebutan kuasa dalam MCA, PPP dan Makkal Sakti. Itu belum lagi dengan kehilangan enjin jet semasa jadi Menteri Pertahanan.
Terkini dengan pembabitan Ku Li dalam isu royalti minyak Kelantan. PM Najib sekadar ulas untuk kaji dengan ucapan Ku Li itu.
Kita melihat PM Najib semakin hilang kawalan terhadap ahli UMNO dan BN. Suaranya tidak lagi dihormati.
Jika auranya berkarisma tentulah ahli UMNO dan BN tidak berani "angkat kepala" menentang kata-katanya.
Mengapa MCA masih bertelagah? Mengapa PPP masih dengan isu kesahihan Presidennya? Malah "berkat"nya Najib merasmikan Makkal Sakhti menyebabkan parti itu "berperang" rebut penerajuinya.
Kini Ku Li berani naik pentas untuk berceramah bersama pemimpin PAS. Mengulangi apa yang pernah dilakukannnya 15 tahun yang lalu ketika bersama S46 dan Angkatan Perpaduan Ummah.
Menyimpan Ku Li dalam UMNO bermakna memberi lesen kepada semua ahli UMNO untuk naik pentas berceramah bersama PAS dan PR.
Membuang Ku Li dari UMNO bermakna tiada lagi tentangan sengit untuk jawatan Presiden UMNO . Cumanya UMNO Pusat perlu ucapkan selamat tinggal buat Kelantan. Dan UMNO Kelantan perlu siapkan "batu nesan" buat diri mereka.
Juga jika Najib masih simpan Ku Li dalam UMNO bermakna "nilai" Ku Li begitu tinggi dalam UMNO. Mungkin naiknya Ku Li atas pentas PAS sekadar mahu "test market" harga dirinya dan juga untuk mencabar Najib bertindak keatasnya.
Inilah yang memeningkan PM Najib. Kesimpulannnya, elok Najib tanya Rosmah untuk dapatkan nasihatnya! Bukan begitu Najib?
Gagal selami mahasiswa, Menteri dianggap tak matang
Shafie sebaliknya mendakwa kenyataan Khaled itu membuktikan bahawa Menteri itu bukan seorang pemimpin rakyat dan mempunyai ego serta tidak ada prikemanusiaan terhadap penindasan.
Shafie berkata pro-M jelas dengan prinsip perjuangannya yang hanya mahu menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman terhadap apa sahaja yang berlaku.
Salah tetap salah
“Pro-M tidak bias (berat sebelah) pada mana-mana pihak, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar! Dalam konteks pilihan raya Kampus di UM kali ini, kita berhadapan dengan sistem E-votingyang masih baru dan diragui lagi ketelusan dan integriti yang tiada pada pengendalian dan pengurusan sistem berkenaan,” katanya.
Katanyai, “menang kalah bukan ukuran, tetapi mahasiswa tegas dan tetap pendirian di atas perjuangan untuk mepertahankan kebenaran dan keadilan sehingga menumbangkan segala kezaliman dan penindasan.”
Pro-M tidak matang
Katanya, kumpulan Pro-M perlu menerima kekalahan dan menghormati pilihan majoriti kerana PRK merupakan suatu proses demokrasi.
Mengenai desakan Pro-M supaya PRK diadakan semula melalui kaedah biasa dan menghapuskan sistem e-undi, Khaled berkata permintaan itu tidak dapat diterima sekiranya isu yang dibangkitkan itu tidak berasas.
Bagaimanapun, katanya, naib canselor universiti berkenaan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.
Ditanya kemungkinan kumpulan pelajar terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, beliau berkata perkara itu terserah kepada pihak pentadbiran universiti itu untuk menentukannya.
Keputusan PRK digantung
Kekecohan memuncak selepas pengumuman PRK malam Khamis yang lalu dengan beberapa kumpulan pelajar mendakwa berlakunya penyelewengan.
Turut hadir bersama rundingan semalam ialah bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad.
Menurut beliau, bagi mengendurkan ketegangan naib canselor bersetuju menggantung buat sementara semua keputusan pilihan raya kampus UM sementara meninggu siasatan lanjut dijalankan.
Gauth juga dikatakan bersetuju membenarkan kumpulan pro-M untuk melantik perunding bagi menguji sistem e-undi yang didakwa mereka dimanipulasikan.
Keadaan di Universiti Malaya tegang
Sekiranya semua tuduhan berkenaan berasas, Ghauth bersetuju pilihan raya kampus harus diadakan semula.
Ghauth juga berjanji akan menyiasat dakwaan yang timbalan naib canselor, Azarae Idris menyalah-gunakan kedudukannya dan terbabit memanipulasikan pilihan raya itu.
Mereka juga menghempas sebuah komputer sebagai melambangkan bantahan terhadap pengundian e-undi dan membawa komputer itu berarak di seluruh kampus.
Pada masa yang sama, mahasiswa berkenaan turut membakar akhbar Kosmo yang didakwa membuat laporan tidak tepat berhubung jumlah kerusi yang dimenangi mereka.
Sebelum ini, lebih 200 pelajar dari kumpulan pro-M yang tewas khamis lalu juga mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Antara tuntutan awal mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.
Pada PRK itu, kumpulan pro-A berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.
Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.
-malaysiakini-
Isu Kalimah Allah – Kesian Kat Anwar …
Memang nampak sangat agenda politiknya mengatasi segalanya bagi beliau. Itu yang IB kesian sangat.
Kenapa perlu dia terlalu apologetik dalam isu ini? Kenapa perlu memberi “peluru” kepada musuh Islam untuk menentang lagi Islam?Dia sebut (dalam WSJ): “Over the last two weeks, arsonists and vandals attacked 10 places of worship, including Christian churches and Sikh temples” – habis kenapa tidak dia sebut yang surau pun kena bakar? [polis masih melakukan siasatan - belum 100% pasti siapa yang melakukan mana-mana yang disebut/yang tidak disebutnya]
Masih ramai yang ingat cara Anwar mengendali kes-kes sensitif isu agama dan isu perkauman semasa beliau dalam kerajaan. Apakah tindak tanduknya dulu tidak serupa dengan apa yang dia katakan sekarang? Kerajaan BN dulu dengan kerajaan BN sekarang tidak ada bezanya. Najib dulu orang Anwar jugak. Muhyuddin dulu orang Anwar jugak. Zaid Hamidi dulu orang Anwar jugak. Dan begitulah sebahagian besar orang-orang dalam pimpinan UMNO/BN/Kerajaan adalah orang-orang yang bersama Anwar dulu. Dan Anwar bersama mereka dulu.
Sememangnya kedudukan Anwar sekarang getir. Hidup mati masa depan politik amat tergantung kepada kes yang bakal didepani dalam masa terdekat ini. Tidak kiralah benar atau tidak tuduhan itu. Tidak kiralah adil atau tidak penghakiman (tenguk anda di belah mana – adil bagi seorang mungkin tidak bagi orang lain?). Yang pokoknya – keputusan tersebut boleh mematikan karier politiknya buat selama-lamanya. Mungkin jadilah Anwar seperti Ku Li yang banyak bersuara tetapi tetap kekal dengan “mantan bakal PM”.
Beberapa bulan lagi akan genap 2 tahun Anwar “hampir” menumbangkan kerajaan BN. IB pernah kata ianya “Now or Never” Bagi Anwar Ibrahim (klik) – dan “now” tersebut semakin jauh berjalan. Walaupun sebelum ini seolah-olah nampak seperti BN asyik kecundang setiap kali pilihanraya kecil, namun yang terakhir bulan Oktober lalu, episod kemenangan PR terhenti. Krisis dalaman PKR sendiri semakin sukar dibendung. Dibimbangi ianya “never”. Agaknya itulah dalam kepala Anwar – “never”(?)
Percaturan terakhir dalam isu kalimah Allah jugak tidak banyak memihak kepada PKR (mahupun PAS). Mungkinlah ianya memberi rasa keterbukaan PKR (dan PAS) terhadap Melayu liberal dan bukan Islam/Melayu. Tetapi tunjang pengundi untuk PAS dan PKR adalah orang-orang Melayu.
Pembahagian kawasan di kalangan parti-parti PR berdasarkan komposisi kaum. Kawasan yang ramai Melayu untuk PAS dan kawasan yang Melayu ramai dan bukan Melayu pun ramai diberikankan kepada PKR. Maka isu-isu sensitif untuk orang-orang melayu/Islam harus ditangani dengan sebaiknya mengikut waqiat tempatan.
Sebahagian besar orang Islam tidak senang dengan keputusan mahkamah berhubung isu kalimah Allah. Dan begitu pulalah mereka tidak senang dengan pimpinan PKR dan PAS yang beriya sangat memenangi hati puak liberal dan bukan Islam. Apakah mereka tidak sanjungi kesetiaan pengundi asal mereka yang dari dulu lagi memperjuangkan kedaulatan Islam? Apakah mereka rasa terlalu pentingkan sokongan orang luar yang belum pasti kesetiaan mereka bila sampai saat mengundi?
“Sesungguhnya Yahudi dan Kristian tidak akan redha dengan kita sampai bila-bila selagi kita tidak mengikut cara hidup mereka. Katakanlah, cukup petunjuk ALLAH bagi kami. Tetapi, jika kamu menuruti Yahudi dan Krtistian setelah datang ‘ilmu (Al Quran) kepada kamu, maka tiadalah petunjuk dan bantuan Aku bagimu. ” Al Baqarah:120.
IB amat takuti …
Sekian, IB
http://ibrahimbaba.wordpress.com/2010/01/27/isu-kalimah-allah-kesian-kat-anwar/
Wanita dakwa ditembak polis tanpa sebab...
Seorang wanita ditembak polis ketika berada dalam kereta, malah ditendang sehingga patah tulang rusuknya semasa merangkak keluar dari kereta, dengan darah yang mengalir dari tubuhnya. Sejumlah lima tembakan ditujukan kepadanya, dengan dua tembakan terkena pada lengan dan pergelangan tangan, satu pada dada, di samping dua lagi terlepas tetapi meninggalkan luka.
Norizan bt Salleh, 30 mendedahkan insiden yang berlaku pada awal pagi 30 Oktober 2009 ini dalam satu sidang media, bersama peguamnya Surendran, ibunya Siti Alimah bt Abu, Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya dan AJK Wanita PKR Rozaini Mohd Rosli, semalam.
Dipaksa untuk membuat pengakuan
Menurut Norizan, rakannya dalam kereta turut diseksa, malah dipaksa polis untuk mengaku bahawa mereka telah melakukan jenayah merompak. Apa yang peliknya, mereka tidak melalui prosedur soal siasat dan tahanan. Oleh itu, Norizan yang tidak mempunyai rekod jenayah langsung tidak tahu mengenai "kesalahan yang dilakukannya" sehingga hari ini, lebih-lebih lagi beliau tidak didakwa di mahkamah.
Menurut Norizan, polis di dalam kereta itu menghalakan pistol ke arah mereka, dan mula menembak sebelum mereka sempat berhenti. Peluru menembusi kereta mereka, malah lima tembakan dilakukan ke arah dirinya, dengan salah satu terkena pada dada, sehingga darah mengalir tanpa berhenti.
Norizan menekankan beberapa kali, bahawa mereka tidak tahu apa-apa ketika kejadian itu berlaku, malah tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Kemudian, Norizan mula kabur, dan tidak sedar di mana keretanya berhenti. Tiba-tiba, pintu kereta dibuka, dan polis menghalakan pistol ke arahnya.
Kemalangan jalan raya, kata polis
Wanita yang tidak bersenjata ini meminta tolong, tetapi dibalas pula dengan tendangan polis. Beliau merangkak keluar dan ditendang oleh polis yang sama, sebelum dipijak belakangnya, yang berakhir dengan retaknya dua tulang rusuknya.
Norizan berkata, beliau nampak dirinya dikepung lebih daripada 10 kereta polis. Norizan seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat. Empat hari kemudian, beliau dihantar ke Institut Jantung Negara. Sejumlah 11 hari beliau tinggal di hospital di bawah pemantauan polis.
Ketika keluar dari hospital, Norizan dimaklumkan bahawa kos rawatan sejumlah RM20,000 perlu ditanggungnya sendiri, dan bukan polis yang mencederakannya kerana polis memberitahu hospital bahawa Norizan ditimpa kemalangan jalan raya. Bagaimanapun, ibu tunggal yang masih menganggur, dan mempunyai seorang anak berumur 10 tahun ini gagal menjelaskan hutang ini.
IO yang mencederakan Norizan
Norizan memberitahu bahawa dirinya pernah meminta bantuan daripada Micheal Chong, Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA. Micheal Chong pula membawanya untuk membuat laporan di Balai Polis Sentul. Kebetulannya, Investigation Officer yang bertanggungjawab dalam siasatan adalah orang yang mencederakannya pada hari kejadian berlaku.
Kemudian, Norizan dibawa ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan, dan polis memberitahu bahawa dirinya akan dihubungi dalam masa 48 jam. Tetapi, beliau tidak dihubungi sehingga kini setelah laporan itu dibuat pada 16 November 2009.
Selain itu, menurut Surendran, tiga orang kawan Norizan yang tidak berani untuk menampilkan diri semalam juga diseksa oleh polis. Salah seorang mengadu kepada Surendran bahawa mereka digantung secara terbalik, disapu cili pada badannya, dan dipukul tapak kakinya. Menurutnya, polis berbuat demikian agar mereka mengaku diri mereka terlibat dalam kes rompakan.
Sebagaimana yang diketahui, kaki pemandu kereta juga tercedera kerana tembakan pistol. Walau bagaimanapun, Surendran tidak pasti sama ada tiga orang yang lain mempunyai rekod jenayah.
Keadilan untuk mereka yang tidak bersalah
Beliau juga menggesa agar polis menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis ( IPCMC) untuk menghentikan keganasan sedemikian dan mengelakkan lebih orang dimangsakan sebegini. Malah, Latheefa Koya khuatir polis tidak akan membiarkan nyawa mangsa itu daripada hidup selepas ini.
"Kami mahu kerajaan, Kementerian Dalam Negeri respon kepada kes yang didedahkan hari ini. Bukan sahaja kami nak memperjuangkan keadilannya, tetapi mempertahankan keadilan untuk semua orang. Kami berharap polis memandang kes ini dengan serius, menyiasat. Ini bukan mengarut... Ini untuk mengelakkan mangsa seterusnya ditembak, dan saya amat bimbang, lain kali mereka (polis) akan memastikan mereka tidak dibiarkan hidup," ulasnya.
Norizan antara yang hidup dan tampil ke depan
Surendran (gambar kiri) pula mendakwa bahawa kes ini adalah bukti kes "shoot-to-kill" (tembak untuk bunuh), dan Norizan adalah mangsa yang masih hidup dan berani tampil untuk mendedahkan salahguna kuasa polis ini.
"Kami tidak lagi percaya kepada kenyataan polis. Mangsa sebelum ini ditembak mati kesemuanya. Mujur kami ada seorang mangsa yang masih hidup dan tampil untuk mendedahkan tingkahlaku polis," katanya.
Malah, Surendran menyenaraikan kes-kes penyalahgunaan kuasa polis sehingga mangsanya terbunuh sebelum ini, termasuk enam orang di Kulim yang ditembak mati oleh polis pada Februari 2009 dan lima orang yang ditembak mati di Klang pada awal November 2009.
Menurut Surendran, dalam kes di Kulim, beliau diberitahu jiran mangsa bahawa salah seorang lelaki yang ditembak mati adalah seorang yang berpenyakit mental; sementara kes di Klang pula berakhir dengan tregedi kakak seorang mangsa membunuh diri bersama anaknya kerana terlalu sedih.--merdekareview.com
-----------------------------------------------------------------------
*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.
Akhirnya Ariffahmi letak jawatan
Pengarah Pilihan raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun mengesahkan peletakan jawatan Abdul Ariffahmi itu.
Sumber kerajaan negeri memberitahu Bernama, upacara penyerahan tugas antara kedua-dua pegawai kanan berkenaan telahpun diadakan di Pejabat PMBK di Jalan Kuala Krai, Khamis lalu.
Mustafa, 44, yang tamat tugasnya sebagai Timbalan CEO PKINK 31 Jan ini dijangka memulakan tugas baru di PMBK pada 1 Febuari. Bagaimanapun, sumber itu tidak pula menyatakan jawatan baru Abdul Ariffahmi.
Isu peletakan jawatan Abdul Ariffahmi menimbulkan kontroversi setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam perbadanan di bawah pentadbiran beliau, menyebabkan PAS pusat mendesak beliau meletak jawatan bagi menjaga imej parti.
Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini mengesahkan Abdul Ariffahmi akan meletakkan jawatannya dalam masa terdekat sebagai mematuhi saranan PAS Pusat.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak sedar membuat kesilapan dalam melantik menantunya kerana pelantikan itu mengikut prosedur dan dalam pengetahuan anggota-anggota Exco.
Sementara itu, sumber PKINK berkata, jawatan Timbalan CEO perbadanan itu belum diisi dan belum ada calon yang disebut akan menggantikan Mustafa.
Bagaimanapun, katanya, penyandang jawatan itu akan ditentukan oleh Menteri Besar, yang juga Pengerusi PKINK dengan persetujuan anggota Lembaga Pengarah. Abdul Ariffahmi tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen.
-Bernama-