"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nenek 75 tahun ditipu suami muda yang baru dikahwininya

KULIM: Kisah seorang nenek berusia 75 tahun yang sebelum ini dilaporkan melarikan diri dari rumah kerana terlalu sedih apabila hasratnya untuk menikahi kekasihnya seorang peladang berusia 42 tahun dihalang oleh waris dan anak-anak kerana faktor usia dilaporkan telah kembali ke pangkuan keluarga kelmarin. 

Warga emas berkenaan yang uzur dilaporkan telah menghubungi warisnya dari Alor Setar kira-kira jam 3 petang dan meminta mereka mengambilnya kerana dia tidak tahu cara untuk balik ke rumah. 

Ketika membuat laporan dan kenyataan di Balai Polis Kulim dia dalam keadaan lupa dan ini berlaku mungkin disebabkan faktor usia. 

Menurut nenek berkenaan, dia pergi berjumpa dengan teman lelakinya dan bernikah di negara jiran tetapi tidak mengingati di mana majlis pernikahan itu dijalankan. 

Apabila diajukan soalan oleh anggota polis di manakah surat pengesahan pernikahannya, dia mula bertanya kepada waris terdekat dan kemudiannya memaklumkan kepada polis segala surat menyurat ada dalam beg yang dilarikan oleh suaminya. 

Menurut warisnya, nenek itu masih dalam keadaan keliru. 

Katanya, ketika hendak mengambil nenek berkenaan pulang, lelaki yang dikatakan suaminya itu telah melarikan begnya di mana terdapat sejumlah RM1,700 termasuk dokumen perkahwinan mereka. 

Waris mangsa tidak kisah sekiranya mereka benar-benar sudah bernikah. 

Sinar Harian difahamkan, nenek terbabit sebelum ini tidak pernah berjumpa dengan lelaki yang dinikahinya. 

Perkenalan mereka hanya melalui telefon sahaja dan dari itu timbul perasaan sayang antara mereka sehingga mengambil tindakan melarikan diri untuk bernikah di negara jiran. 

Ketika ditanya oleh polis apakah dia akan terus bersama suami yang baru dinikahinya, dia kelihatan keliru dan memaklumkan tidak akan bersama suaminya lagi kerana dia berasa seperti ditipu dan diperdaya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, terdapat beberapa kejadian lari dari rumah dan ada dalam kalangan mangsa terlibat yang balik semula ke pangkuan keluarga dengan bantuan polis. 

Katanya, masyarakat harus peka dengan permasalahan dialami oleh ahli keluarga masing-masing dan harus membuat laporan polis sekiranya ada antara mereka yang hilang atau tidak balik ke rumah. 

“Saya meminta kerjasama orang ramai untuk membuat laporan polis sekiranya ada ahli keluarga mereka lari atau hilang dari rumah. Dengan adanya laporan polis, kami boleh membantu mencari ahli keluarga mereka. 

"Kita harus peka dan cuba mendalami masalah dialami oleh ahli keluarga kita. Keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan mereka yang terlibat ini tidak mengambil jalan mudah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Vell Pari Naib Presiden, Lapor Utusan: Samy Vellu Terus Cengkam MIC


SHAH ALAM, 27 NOV: Samy Vellu akan meneruskan cengkaman terhadap MIC walaupun mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden parti itu berkuatkuasa Januari 2011.

Ini adalah susulan laporan media milik Umno yang melaporkan anaknya, Vell Pari akan mengisi jawatan Naib Presiden parti itu tidak lama lagi.

Bekas Naib Presiden MIC, Datuk S.S Subramaniam yang ditemubual TV Selangor tidak menolak dakwaan tersebut justeru menyifatkan monopoli kuasa Datuk Seri Samy Vellu dalam MIC tidak akan lumpuh selagi kroni beliau masih berada dalam kepimpinan parti komponen Barisan Nasional(BN) itu.  

"Dari pengalaman saya dalam MIC selama 30 tahun, saya boleh mengatakan ini mungkin boleh jadi. Bukan sahaja dia (Samy Vellu) punya keluarga dan kawan-kawan mahu teruskan kuasa dalam MIC. Itu memang hasrat beliau dari awal," kata beliau.

Samy Vellu yang juga bekas Menteri Kerjaraya sebelum ini didesak Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) termasuk Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC yang disandang beliau selama 32 tahun.

Subramaniam yang keluar parti MIC dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Julai 2009 berkata, amalan kepimpinan kronisme Samy Vellu lama bertapak dalam MIC dan menurut beliau lagi ia adalah hasrat pemimpin itu untuk terus mengekalkan kuasa walaupun bukan dalam bentuk fizikal.

Justeru jelas Subramaniam lagi, taraf kehidupan kaum India di negara ini akan terus kekal pada tahap rendah memandangkan tiadanya kredibiliti pucuk kepimpinan yang bakal menerajui MIC nanti.

Selain itu dakwa beliau, MIC tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang ingin membawa perubahan dalam parti itu justeru akan terus mengabaikan tanggungjawab terhadap kaum India di negara ini.

"Semua yang berkuasa dalam MIC dia punya orang. Dia tidak akan buka pintu untuk apa-apa hal dalam MIC. Dia punya cara untuk menjalankan kuasa dalam MIC untuk selama-lamanya.

"Semua ahli-ahli, ketua-ketua cawangan dia punya orang. Mana ada orang tentang keputusan oleh Samy. MIC tidak akan berubah selama-lamanya. Cakap sahaja," jelas beliau lagi.

Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel akan mengambil alih jawatan tertinggi parti itu bulan depan dan tempat beliau akan digantikan oleh S. Subramaniam.

Laporan akhbar itu juga menyebut SSothinathan ditawarkan menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PUsat (CVC) tanpa bertanding.

Pada Jun 2007, S. Vell Pari pernah dikaitkan dengan kematian aktres berusia 28 tahun yang juga merupakan bekas setiausaha peribadinya, K.Sujatha yang didapati mati kerana membunuh diri dengan meminum racun rumpai.

Subramaniam juga dalam temubual tersebut sinikal terhadap kualiti kepimpinan G. Palanivel yang akan menerajui parti itu justeru menjangkakan MIC akan mengalami zaman pengakhiran tidak lama lagi.

"Dia (Palanivel) orang angkat beg. Dari dulu sampai sekarang dia angkat beg Samy Vellu sahaja. Apa dia tahu pucuk pimpinan. Tentu hancur lagi, kita pun nampak.

"Selama Vell Pari dan Samy Vellu punya geng ada memang saya rasa PKR lagi baik," kata beliau.
-tvsnews-

Mustaffa janji tak menyeberang walau digamit

Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub berjanji akan terus komited dalam PKR walaupun ada percubaan menariknya menyertai parti baru yang akan ditubuhkan Datuk Zaid Ibrahim.

"Ada percubaan meminta saya ke sana. Dan (juga sebelum ini) diminta untuk tidak bertanding (timbalan presiden), tetapi saya akan terus bertanding dan memberikan ruang kepada JPP (menangani aduan).

"Ada yang menggamit, tetapi saya tegas dan komited dengan PKR," katanya yang tewas teruk dalam pemilihan merebut jawatan timbalan presiden di tangan pesaingnya Azmin Ali.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Mustaffa Kamil ketinggalan lebih 11,000 di belakang Azmin. Keputusan rasmi akan diumumkan esok oleh pengerusi persidangan.

Zaid - bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan - semalam dilapor mengumumkan akan menubuhkan parti baru pada Januari depan.

Bercakap dalam sidang akhbar di kediamannya di ibu negara, Zaid berkata butiran lanjut mengenai nama parti, bentuk perjuangan dan organisasi parti baru itu akan diumumkan pada bulan yang sama.

Beliau, bagaimanapun, memberi jaminan bahawa beliau tidak akan menggunakan nama 'Keadilan' atau Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) dalam penubuhan parti baru itu kelak.
-malaysiakini-

Sepasang kekasih ditangkap khalwat dalam keadaan 'lalok'

MELAKA: Sepasang kekasih bukan saja menjadikan bilik hotel bajet yang disewa sebagai tempat melampiaskan nafsu, malah dipercayai turut menjadikannya sebagai tempat melepaskan gian untuk menghisap syabu.

Ini berikutan pasangan kekasih ditahan ketika ‘lalok’ menerusi operasi sepasukan polis ke atas sebuah hotel di Bandar Hilir, dekat sini, kira-kira jam 11.30 malam pada Rabu lalu.

Difahamkan, ujian air kencing terhadap kedua-dua pasangan itu yang membabitkan remaja perempuan berusia 18 tahun dan lelaki berusia 21 tahun didapati positif syabu, malah pemeriksaan lanjut polis menemui syabu pada lelaki terbabit.

Remaja perempuan terbabit kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) selepas reman ke atasnya selesai dan disabitkan dengan kesalahan berkhalwat dengan kekasihnya.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agamanya, Rahimin Bani, berkata berdasarkan siasatan, pasangan terbabit mendakwa memasuki bilik itu beberapa jam sebelum diserbu polis.

Katanya, ketika ditahan hanya pasangan terbabit berada di dalam bilik berkenaan dan polis menjalankan pemeriksaan terhadap mereka.

“Pasangan terbabit berdua-duaan di dalam bilik berkenaan dan dipercayai melakukan maksiat. Mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan gadis itu diserahkan kepada Jaim hari ini (semalam), manakala lelaki terbabit masih direman,” katanya di sini, semalam.

Rahimin berkata, pasangan terbabit berkenalan sejak beberapa tahun lalu dan sebelum ini gadis terbabit mengakui pernah beberapa kali ke rumah teman lelakinya itu.

Katanya, dia menjadikan bilik di rumah lelaki terbabit sebagai tempat melakukan maksiat, tetapi mereka tidak melakukan lagi di situ kerana beberapa kali diserbu penduduk kampung.

“Ketika ini, pihak Jaim mengambil keterangan gadis itu serta lelaki terbabit selepas dia akan diserahkan nanti.

“Pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan muhrim dengan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kajian Ilmiah: Kenapa Najib Asyik Kena Kelentong dek Rosmah

Women better at cheating
WOMEN who cheat are less likely to get caught by their partners than men. According to a new survey, nearly one in five unfaithful men get busted, while only 15 per cent of women are found out, British newspaper Daily Star reported on Thursday.

The paper further reported that women are most likely to cheat if they are unhappy in their relationship. But men start flings simply because they like another woman.

According to the survey, nearly one in 10 men who had previously cheated had been involved in several affairs, while less than half that number of women are repeatedly unfaithful. -- KOREA HERALD/ANN


1~ Pompuan yang menipu jarang tertangkap jika dibandingkan dengan lelaki.
2~ 1 per 5 dari lelaki yang tak jujur ... kantoi, tapi bagi pompuan hanya 15%.
3~ Pompuan berkemungkinan menipu bila dia tak puashati dalam perhubungannya.
4~ Lelaki mula menggatal bila dia suka kat pompuan tu.

Patutlah Bik mama meliar....... tak puas ropanya!
-tko-

Perwakilan kesal 'rakan' turut serang Anwar

Terdapat di kalangan "rakan" sendiri yang terlibat dalam "serangan istimewa" bertali arus terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa seorang perwakilan dalam kongres parti itu.

Perwakilan Terengganu Fariz Musa berkata, perkara itu berlaku apabila serangan daripada Umno didakwa gagal memberikan sebarang kesan.

"Di blog, Facebook juga sebut Anwar Ibrahim hilang arah, sebab itu perlu ditegur. Kita tak pertikai kebebasan bersuara dan hak mengkritik, tetapi sudah pasti biarlah dalam keadaan beradap.

"Jangan cemarkan parti yang kita sayang," katanya yang juga bekas timbalan ketua Pemuda PKR sesi lalu.

Berucap membahaskan ucapan dasar presiden dalam kongres PKR di Petaling Jaya hari ini, Fariz juga menolak bahawa Anwar berselindung di belakang jawatan ketua umum secara tidak demokratik.

"Anwar Ibrahim bukan angkat diri sendiri, tapi ia dilantik dalam kongres 2007. Yang angkat adalah kita sendiri.

"Ini tindakan yang demokratik kerana diputuskan oleh badan paling atas dalam parti," katanya.
-malaysiakini-

Expo Cheng Ho berjaya- MB Kelantan

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 27 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan penganjuran Ekspo Cheng Ho 2010, Kelantan-China International Trade Fair, berjaya mencapai matlamatnya.

Ianya berdasarkan sambutan di luar jangkaan sepanjang tempoh tujuh hari penganjuran yang berakhir semalam.

Kejayaan itu juga diukur bukan sahaja dari kunjungan rakyat negeri ini, namun juga pelancong dari luar negara.
 Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jamuan Perdana Ekspo Cheng Ho 2010, di Kota Darulnaim di sini malam tadi.

Gambar: Tuan Guru menyampaikan cenderamata kpd Imam Besar Daerah Guongzao sewaktu Jamuan Perdana kerajaan negeri kepada delegasi expo Cheng Ho.
Majlis berkenaan dianjurkan bagi meraikan delegasi dari China serta tetamu luar negara tanda berakhirnya program berkenaan.

Sambutan luar biasa itu juga katanya menyebabkan banyak kedai ditutup ditutup awal kerana kehabisan barang jualan.

Beliau juga melahirkan kesyukuran kerana sepanjang tempoh penganjuran, tiada sebarang unsur hiburan melampau diketengahkan penganjur.

“Saya juga bersyukur kerana program yang dianjur tidak membabitkan hiburan,” ujarnya.

Sempena majlis ini juga persembahan seni silang budaya dipersembahkan yang membabitkan kebudayaan Kelantan dan China.

Kelantan mempersembahkan permainan gasing dan dikir barat, manakala China persembahan shaolin dan Khairat Aziz yang telah mencipta nama diperingkat dunia dengan kehabatan akrobatiknya.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, Datuk Takiyuddin Hassan dan lain-lain lagi.

Lebih UMNO daripada KeADILan: Penampilan Adi Putra cungkil pertikaian

Lim Hong Siang
Apa kena-mengena dengan perjuangan parti?  Tiada kaitan langsung!  Persembahannya tidak mengandungi unsur perjuangan, malah tidak menyuntik semangat untuk perjuangan parti!"

Segelintir anggota terpinga-pinga dengan penampilan Adi Putra (gambar kiri, tengah), genius matematik berusia 11 tahun di Kongres Angkatan Muda Keadilan, pagi tadi.  Adi Putra tampil selepas Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd. Akin menyampaikan ucapan dasar beliau, diberi sambutan yang meriah sebermulanya

Setelah memperkenalkan diri, Adi Putra mempersembahkan bakatnya kepada perwakilan AMK, iaitu keupayaannya untuk menghafal sekumpulan angka digit, dan kemudian diulangi mengikut tertib songsang.

Bagaimanapun, penampilan ini menimbulkan keraguan di kalangan anggotanya, yang tidak faham mengapa ia dimasukkan ke dalam aturcara kongres.  "Ia tidak memberi apa-apa makna..." ulas seorang pemimpin AMK ketika berkata kepada MerdekaReview.

Lebih UMNO daripada KeADILan
Mungkin pertimbangan politik di sebaliknya adalah untuk menunjukkan bahawa genius anak Melayu ini turut bersama PKR.  Namun, kemungkinan ini disangkal oleh pemimpin AMK yang ditemuramah MerdekaReview, "Beliau (Adi Putra) bukan datang untuk menyatakan sokongan kepada PKR, beliau datang sekadar untuk membuat pertunjukan (show)."

"Malah, jikalau anda mengikuti sajaknya tadi, masih ada ayat-ayat seperti 'Takkan Melayu hilang di dunia ini', 'Wawasan 2020'... Ini lebih UMNO daripada KeADILan-lah!" katanya secara terus-terang.

Seorang lagi pemimpin peringkat cabang menambah, "Apa yang membingungkan, persembahan power point menunjukkan gambar Adi Putra bersama pemimpin seperti Mahathir Mohamad, malah isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor!  Lebih-lebih lagi, ada orang yang melaungkan 'Reformasi' selepas persembahan Adi Putra!"

"Apa kaitan Adi Putra dengan Reformasi?  Dengan sajaknya yang berbau perkauman...apa kaitan Adi Putra dengan Reformasi?" beliau tertanya-tanya.

Penghargaan terhadap remaja
MerdekaReview cuba mendapatkan maklum balas daripada Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon.  Beliau bagaimanapun gagal memberi apa-apa respon kerana tidak tahu-mengetahui dengan "slot Adi Putra" yang diselitkan ke dalam aturcara kongres AMK.
Naib Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainudin (gambar kanan) ketika dihubungi MerdekaReview berkata, beliau melihat slot tersebut dirancang untuk memberi penghargaan kepada seorang remaja yang berbakat, tetapi tidak diberi peluang yang sewajarnya dalam ruang arus perdana.

Khairul Anuar menyedari beberapa kenyataan Adi Putra yang berbau perkauman, namun beliau menganggap itu persoalan lain.  "Yang penting, beliau pada usia yang begitu muda, berani tampil ke depan untuk bersuara.  Soal kita setuju atau tidak dengan pandangannya, itu soal kedua.  Kita boleh debat kemudian.  Yang penting, beliau bukan sahaja berbakat, tetapi berani untuk tampil dan bercakap, malah lebih berani daripada banyak profesor universiti (yang berdiam diri)."

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
 

PKR: Ketuanan Melayu wajib ditinggalkan

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Imail berkata konsep “Ketuanan Melayu” wajib ditinggalkan kerana ia didakwa hanya slogan untuk memperdayakan bangsa itu sendiri.

"Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri.

"Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Kongres PKR pagi ini.

Menurutnya, sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, beliau berkeyakinan bahawa tidak akan ada satu bangsa pun yang akan menjadi agung dan dihormati hanya dengan menggelar diri sendiri sebagai “tuan”.

"Kitab al-Quran banyak mengisahkan bagaimana Tuhan telah menghancurkan kaum dan bangsa-bangsa yang bermegah-megah konon menjadi 'tuan' dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum yang lain.

"Sesungguhnya, semulia-mulia di sisi Tuhan adalah mereka yang paling tinggi taqwanya (amalan baik dan kebajikannya kepada insan lain)," katanya.

"Nyatalah bahawa sesuatu bangsa dan kaum itu hanya akan menjadi agung dan dipandang tinggi apabila mereka bermaruah. Lalu, andai sesuatu bangsa itu mahu besar, mereka harus memelihara dan menjaga maruah mereka termasuk kepada orang Melayu."

Tegasnya dalam tradisi orang Melayu, mereka amat menyedari kepentingan menjaga maruah diri supaya dipandang tinggi oleh orang lain.
-malaysiakini-

Bekas pemimpin PKR S'gor ketuai protes antipemilihan

Kira 50 orang yang mengaku ahli PKR membuat 'protes senyap' diluar Dewan Sivik MBPJ Petaling Jaya pagi ini kerana membantah proses pemilihan PKR yang didakwa tidak telus.

Protes tersebut diketuai oleh bekas bendahari PKR Selangor KS Kottapan sejurus sebelum Kongres PKR kira-kira jam 9.10 pagi di luar pintu pagar masuk ke dewan persidangan.

Mereka berhimpun selama kira-kira 15 minit sebelum diarahkan bersurai oleh pengawal keselamatan PKR yang ditugas mengawal keselamatan penjalanan kongres.

Mereka memegang beberapa buah kain rentang. Paling menonjol yang bertulis "General Anwar please resign, we don't need A dictator in our party" (Jeneral Anwar sila berundur, kami tidak perlu diktator dalam parti).
-malaysiakini-

Ajaran sesat: Tulang babi halal dimakan

SIASAT...pegawai Jais menyoal siasat pengikut IJ.
SIASAT...pegawai Jais menyoal siasat pengikut IJ.
RAMPAS...pegawai penguat kausa Jais merampas dokumen di surau tanpa tauliah di Sungai Tangkas, dekat Kajang, semalam.
RAMPAS...pegawai penguat kausa Jais merampas dokumen di surau tanpa tauliah di Sungai Tangkas, dekat Kajang, semalam.
PUTRAJAYA: Kegiatan ajaran sesat Islam Jamaah (IJ) yang antaranya menghalalkan tulang babi dimakan dikesan bergerak semula di negara ini selepas penahanan 21 pengikutnya selepas mereka melakukan solat Jumaat di surau tanpa tauliah di Sungai Tangkas, dekat Kajang, semalam.

Kegiatan ajaran sesat yang dipercayai didalangi lelaki warga Indonesia itu menjadikan surau berkenaan sebagai markas sejak beberapa bulan lalu sebelum diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kira-kira jam 1.40 tengah hari.

Sebelum serbuan, beberapa penguat kuasa Jais menyelinap ke dalam kumpulan terbabit yang taksub mendengar khutbah dalam bahasa Arab yang disampaikan lelaki itu.

Selepas mereka selesai bersolat, penguat kuasa Jais mengepung surau itu dan menahan 21 pengikut kumpulan itu yang turut membabitkan beberapa wanita.

Mereka yang berusia antara 20-an hingga 50-an, sebahagiannya ditahan di dalam sebuah rumah berhampiran surau itu dan kebanyakan mereka warga Indonesia.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi, berkata ajaran sesat IJ sudah diwartakan haram sejak 1980-an selepas ia didapati bertentangan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.

Menurutnya, ajaran itu dibawa dari Indonesia dan disebarkan di kalangan penduduk tempatan yang terpedaya kerana ingin menggunakan jalan singkat bagi mendekatkan diri dengan Allah.

“Antara kepercayaan pengikut kumpulan itu ialah tulang babi halal dimakan, yang haram daging babi saja. Jelas pegangan ini bertentangan dengan ajaran Islam sebenar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, serbuan semalam dilakukan pihaknya selepas siasatan dan pemantauan Jais mendapati kumpulan ajaran sesat itu cuba mengembangkan ajaran mereka bukan saja di kalangan pendatang Indonesia, tetapi juga kepada penduduk tempatan.

Menurutnya, tindakan pengikut ajaran itu yang mengadakan solat Jumaat dengan jumlah makmum hanya 20 orang satu lagi bukti kesesatan mereka.

Selain itu, kata Khusrin, satu lagi kesalahan mereka yang jelas ialah melakukan solat Jumaat di surau yang tidak pernah diberikan tauliah oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan menjadikan surau itu sebagai markas menyebarkan ajaran sesat terbabit.

“Jais serius untuk memastikan ajaran sesat terbabit tidak terus berkembang. Sebab itu kami menempatkan ‘orang kita’ dalam kumpulan itu ketika mereka melakukan solat Jumaat tadi (semalam).

“Dengan tindakan itu, Jais berharap dapat memiliki bukti kukuh, malah selepas ditahan semua mereka dibawa ke Mahkamah Syariah Kajang untuk didakwa atas kesalahan menjadi pengikut ajaran yang difatwakan sesat,” katanya.

Sementara itu, portal e-Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan antara penyelewengan pengikut IJ ialah mendakwa kumpulan mereka saja mengamalkan cara Islam sebenar manakala bukan ahli dianggap kafir.

Pengikutnya juga dibenarkan melakukan solat Jumaat di rumah, menganggap lelaki dan perempuan ajnabi tidak batal wuduk jika bersentuhan, selain mengeluarkan hukum binatang yang mati di perkampungan orang Islam tidak perlu disembelih dan halal dimakan.

Amah Indonesia diperkosa sampai hilang ingatan

GAMBAR yang disiarkan akhbar Jawa Pos menunjukkan Nina (kanan) yang hilang ingatan akibat diperkosa dua majikannya di Jeddah, Arab Saudi.
KANDARA, Arab Saudi: Seorang pembantu rumah Indonesia hilang ingatan selepas dia berulang kali diseksa dan dirogol dua majikannya di Arab Saudi, lapor sebuah akhbar semalam. Menurut akhbar Jawa Pos, dia ditemui oleh beberapa amah Indonesia lain dalam keadaan menyedihkan di sebuah jambatan di sini, Jeddah.

Nasib malang yang menimpa pembantu rumah itu dikenali sebagai Nina berumur dalam lingkungan 20-an dan berasal dari Karawang, Jawa Barat, diceritakan oleh sekumpulan amah Indonesia yang tinggal di bawah jambatan Kandara kepada seorang wartawan akhbar Jawa Pos.
Jambatan tersebut menjadi tempat tinggal amah-amah Indonesia yang senasib dengan Nina.
Menurut seorang amah di jambatan itu, Hani Marsiana, Nina ditemui dua minggu lalu dalam keadaan tidak bermaya dengan tubuhnya mempunyai kesan dipukul.
Hani berkata, Nina ditemui oleh beberapa amah Indonesia yang tinggal di bawah jambatan dan mereka merawatnya sehingga dia kembali waras tapi masih trauma dengan kejadian menimpanya.
Menurutnya, selepas badannya mula bergerak dan mampu duduk, amah-amah Indonesia lain mula bertanya mengenai kisah hidupnya.
Dia berkata, Nina menceritakan pada mulanya dia diperkosa oleh seorang majikan Arab menyebabkannya meninggalkan majikannya itu.
Nani kemudiannya diperkosa oleh seorang oleh warga Mesir selepas terpedaya dengan jaminannya untuk membantunya.
Hani berkata, Nani kemudiannya dibuang oleh warga mesir itu di kawasan Kandara.
“Nina ini diturunkan dari mobil (kereta) Camry oleh orang Mesir itu,” katanya.
“Kasihan sekali amah-amah di sini. Mereka tidak (diberi) gaji selama berbulan-bulan, bahkan ada yang diseksa, diperkosa dan dibuang ke jambatan Kandara,” ujar seorang lagi pembantu rumah Indonesia, Rokib. 
–Agensi-

Warga emas sebak ditinggalkan anak di masjid

CHUKAI: Seorang bapa warga emas terduduk kerana tidak mampu menahan sebak apabila anak tunggal dan menantunya tergamak meninggalkannya sendirian dalam keadaan sakit di Masjid Geliga sedangkan pada awalnya kedua-dua berjanji membawa warga emas itu berubat bagi merawat penyakit kencing manisnya di Hospital Mersing, Johor. 

Akibat ditinggalkan keseorangan di Masjid Geliga kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, warga emas yang dikenali sebagai Zulkifli Mustapa, 60, menerusi kad kerja yang berada didalam dompetnya terpaksa bermalam dalam kesejukan di masjid itu sebelum diselamatkan anggota polis peronda yang menemuinya dalam keadaan lemah di Stesen Bas Geliga bersebelahan masjid itu pada pagi semalam. 

Lebih menyayat hati apabila kaki Zulkifli turut dihurungi semut halus ketika ditemui, malah dia juga ditinggalkan sehelai sepinggang dengan hanya berkain pelikat dan berbaju T lengan panjang serta hanya mempunyai wang RM30 di dalam dompet iaitu yang disedekahkan sepupunya sebelum mereka bertolak. 

Zulkifli ketika ditemui Sinar Harian di Balai Polis Chukai berkata, dia menyedari anak dan menantunya sudah tiada di masjid berkenaan selepas menunaikan solat Isyak kerana mereka mengambil keputusan untuk berhenti menunaikan solat di masjid itu sebelum meneruskan perjalanan ke rumah menantunya di Mersing selepas bertolak pada jam 10 malam dari rumah arwah ibunya di Pulau Musang, Kuala Terengganu. 

“Selepas solat Isyak saya sedar anak dan menantu saya sudah tidak ada, mereka tinggalkan saya. Sebelum ini mereka kata mahu bawa saya berubat kaki yang luka di Hospital Mersing,” katanya sebak. 

Kata Zulkifli yang juga baru sahaja keluar wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat penyakit kencing manisnya itu, sebelum ini anak perempuannya yang berusia 20 tahun bersama menantunya yang berumur 30 tahun dan bekerja menjual ikan di Larkin, Johor beria-ia mahu membawanya mendapatkan rawatan di Mersing. 

“Sudah hampir empat tahun saya tinggal dengan anak perempuan dan menantu saya di Mersing tetapi selepas saya mengalami kemala-ngan ketika pulang ke kampung pada lapan bulan lalu, saya ditahan di wad HSNZ sebelum dibenarkan keluar dan saya tinggal berseorangan di rumah pusaka arwah ibu di Pulau Musang. 

“Anak tunggal saya tinggal bersama suaminya, namun saya bersyukur saudara mara selalu datang menjenguk saya. 

“Tetapi sejak akhir-akhir ini berikutan kemalangan tempoh hari ditambah dengan penyakit kencing manis yang saya hidapi menyebabkan lutut saya bengkak dan luka di bahagian kaki semakin besar sebab itulah anak menantu datang dan berjanji mahu membantu mengubati saya, malah saya juga baru sahaja keluar wad baru-baru ini dan masih belum mampu berjalan dengan baik,” katanya. 

Pada masa sama Zulkifli turut mengakui ketika tinggal bersama anaknya, anak tidak begitu mengambil berat mengenainya sehingga dia terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi mencari duit poket untuk menampung kehidupannya seharian. 

Sementara itu, akibat keadaan kesihatan Zulkifli yang tidak mengizinkan, pegawai Pejabat Kebajikan Daerah Kemaman yang tiba di balai polis kemudian menghantar warga emas itu mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.