"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS patut ambil alih kepimpinan PN dari Bersatu

Malaysiakini 

Pemimpin veteran Umno melontarkan cadangan agar PAS memimpin Perikatan Nasional (PN) menggantikan Bersatu.

Dalam kenyataan di Facebook, Shahrir Abdul Samad melontarkan cadangan itu dengan memetik perkembangan politik yang menyaksikan sejumlah ahli parlimen Bersatu menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Patutnya PAS pula yang ambil alih kepimpinan PN dan bukan Bersatu marah-marah sama sendiri termasuk libatkan isteri presiden," katanya.

Shahrir juga mencadangkan agar Bersatu memecat ahli parlimen mereka yang menyokong kerajaan perpaduan.

Pada 24 Jan, Ahli Parlimen Tanjung Karang Zulkafperi Hanapi menjadi ahli parlimen keenam dari Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Zulkafperi berkata tindakan itu dibuat bagi menjaga kestabilan politik dan memastikan pemulihan ekonomi yang lancar, selain memastikan kebajikan pengundinya terjaga.

Dua hari kemudian, Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Syed Abu Fasal mendakwa "pusingan-U" Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk tidak melepaskan jawatan presiden semasa kongres tahunan parti itu telah melemahkan moral ahli yang mahu melihat perubahan.

Abu Hussin adalah salah seorang daripada enam ahli parlimen Bersatu yang telah berjanji menyokong kerajaan.

Ahli parlimen lain yang berikrar menyokong kerajaan ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sambil membidas pembangkang, Shahrir mengingatkan PN bagaimana mereka menuduh Umno tidak mempunyai maruah kerana bekerjasama dengan DAP selepas pilihan raya umum ke-15.

"Kan heboh kempen PN di pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil bagaimana tidak bermaruahnya Umno kerana bersama DAP dalam kerajaan perpaduan.

"Kini, dah enam ahli parlimen PN dari Bersatu isytihar sokongan kepada PMX (Anwar) dan kerajaan perpaduan," kata bekas menteri itu.

Inilah kereta mewah milik Datuk Seri, bekas setpol yang disita SPRM

Bernama 
Kenderaan mewah dipercayai hasil sumber rasuah yang diperoleh suspek bersangkutan tender di sebuah kementerian.
Kenderaan mewah dipercayai hasil sumber rasuah yang diperoleh suspek bersangkutan tender di sebuah kementerian.
PUTRAJAYA: Beberapa kenderaan mewah disita susulan siasatan kes rasuah dalam tender kerajaan yang turut membabitkan bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.

Antara kenderaan itu termasuk Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz S400L.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) SPRM berkata semua kenderaan mewah itu kini disimpan di gudang sitaannya.

Menurut SPRM, kenderaan mewah terbabit dipercayai hasil daripada sumber rasuah yang telah diperoleh suspek bersangkutan dengan tender di sebuah kementerian.

Dalam pada itu, SPRM mendapat kebenaran untuk menyambung reman bekas setiausaha politik dan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri itu berhubung kes meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata perintah reman selama tiga hari itu bermula esok hingga 30 Januari ini membabitkan kedua-dua suspek berusia sekitar 40-an.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, kedua-dua suspek direman empat hari bermula 24 Januari lalu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Mereka dipercayai menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian pada 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan lanjutan reman terhadap dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

Kanak-kanak maut kereta yang dinaiki dirempuh bas ekspres

Hazsyah Abdul Rahman
Am@hmetro.com.my
KEADAAN Proton Iswara dinaiki mangsa yang remuk teruk akibat dirempuh bas ekspres. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN Proton Iswara dinaiki mangsa yang remuk teruk akibat dirempuh bas ekspres. FOTO Ihsan Polis
Kinabatangan: Kanak-kanak perempuan maut selepas kenderaan dinaikinya dirempuh bas ekspres di Kilometer 117, Jalan Sandakan ke Lahad Datu, berdekatan Kampung Paris Satu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 pagi itu, mangsa berusia empat tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dibadan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, sebelum kemalangan maut itu berlaku terdapat satu lagi kemalangan awal membabitkan dua lori.

Menurutnya, kemalangan awal berkenaan disebabkan mengelak jalan berlubang dan tidak rata.

"Kenderaan dinaiki mangsa iaitu Proton Iswara dan sebuah lori tiga tan menghentikan kenderaan mereka disebabkan kemalangan awal berkenaan.

"Tiba-tiba bas ekspress yang datang dari arah sama iaitu dari arah Sandakan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan dinaiki mangsa.

"Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan kanak-kanak itu menggelongsor ke hadapan lalu melanggar bahagian belakang lori tiga tan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu Proton Iswara cedera ringan dan seorang penumpangnya iaitu kanak-kanak terbabit meninggal dunia.

"Pemandu lori, pemandu bas bersama seorang konduktor serta 29 orang penumpang tidak mengalami kecederaan.

"Susulan itu, polis menahan pemandu bas akibat cuai memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian dan permohonan reman akan dilaksanakan.

"Dalam masa sama, orang ramai mahupun pengguna jalanraya yang ada menyaksikan atau mengetahui berkaitan kemalangan ini boleh tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Hamkhah Md Syukur di talian 014-9551030 atau pusat kawalan Bilik Gerakan IPD Kinabatangan di talian 089-561890.

Jelas beliau, kes dicadangkan untuk disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kasihan Bersatu… Ramai ahli Parlimennya dah isytihar sokong PMX

Harapandaily

SHAHRIR SAMAD

Kesian Bersatu. Dah 6 ahli Parlimen parti itu mengisytiharkan sokongan kepada PMX dan Kerajaan Perpaduan.

Sokongan ini diistihar tanpa perlu mereka tinggalkan parti pula.

Akta anti-lompat parti (yang mereka sokong) tidak akan mengakibatkan kekosongan kerusi seorang ahli Parlimen sekiranya dipecat oleh partinya.

Jadi, parti tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang menyatakan sokongan kepada PMX dan Kerajaan Perpaduan.

Tidak pula mereka ini takut kepada DAP!

Kerajaan Perpaduan kian kukuh dengan sokongan semakin bertambah dari ahli Parlimen Bersatu.
‘Kan heboh kempen Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil, bagaimana tidak bermaruahnya UMNO kerana bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan?!

Kini, sudah 6 ahli Parlimen PN dari Bersatu isytihar sokongan kepada PMX dan Kerajaan Perpaduan (dalam mana ada DAP).

Patut pecat saja yang enam orang ini. Kenalah jaga maruah parti.

Rupanya, antara sebab berlaku keadaan ‘menyeberang’ ke sebelah kerajaan adalah kerana TSMY buat ‘u-turn’ atas nasihat Puan Sri isteri.

Takkanlah. Kecoh juga PN ni.

Patutnya Pas pula yang ambilalih kepimpinan PN dan bukan Bersatu marah-marah sama sendiri termasuk melibatkan isteri Presiden.

Remaja disyaki dirogol bapa dibawa ke lokasi kejadian, cari bukti baharu

Bernama

REMBAU: Remaja perempuan yang disyaki dirogol bapa kandungnya di Kendong telah dibawa ke lokasi kejadian untuk mencari bukti baharu berhubung kes itu, semalam.

Ketua Polis Rembau Hazri Mohamad, berkata mangsa berusia 17 tahun itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, tempoh reman terhadap suspek berusia 47 tahun itu yang tamat pada hari ini akan dilanjutkan dan pihaknya akan meminta tempoh itu dipanjangkan empat hari lagi.

“Apabila sudah selesai, kita akan serahkan kertas siasatan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut. Kita bawa mangsa keluar sekejap dari hospital untuk ke lokasi kejadian dia dirogol iaitu di rumahnya.

“Mangsa masih dalam keadaan trauma. Sebelum ini, mangsa tinggal bersama neneknya sejak berusia empat tahun dan berpindah ke rumah bapanya pada Jun 2022,” katanya ketika ditemui pemberita di Pekan Kota.

Media sebelum ini melaporkan lelaki itu ditahan kerana dipercayai memukul dan menendang mangsa sehingga cedera selepas remaja itu memaklumkan kejadian rogol itu kepada teman wanitanya.

Hazri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 akta sama serta Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

SPRM sambung reman bekas setpol menteri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambung reman bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri, berhubung kes menerima suapan daripada beberapa syarikat serta kontraktor yang mendapat tender di sebuah kementerian.

Menurut sumber SPRM, badan anti rasuah itu turut menyambung reman ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ berhubung kes sama.

Perintah reman selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Jan 2024 dikeluarkan Majistret Ain Nurshahira Sahzan, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Mereka sebelum ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan, bermula 24 Jan lalu.

Mereka dipercayai menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.

Sepanjang tempoh siasatan, SPRM menyita dan merampas beberapa buah kenderaan mewah yang dimiliki oleh suspek.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan reman lanjut itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

Koperal Mazlan dinaikkan ke pangkat Sarjan kerana bantu lelaki, wanita jatuh laut

Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my
MAZLAN dinaikkan ke pangkat Sarjan bagi mengiktiraf keberaniannya membantu dua individu terjun Jambatan Pulau Pinang. FOTO  Mohd Khidir Zakaria
MAZLAN dinaikkan ke pangkat Sarjan bagi mengiktiraf keberaniannya membantu dua individu terjun Jambatan Pulau Pinang. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Port Dickson: Jasa anggota tentera yang sanggup bergadai nyawa menyelamatkan dua individu dalam kejadian di Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini, dinaikkan pangkat.

Koperal Mazlan Abdul Rahman, dari Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) dinaikkan ke pangkat Sarjan bagi mengiktiraf keberaniannya itu.

Pemakaian pangkat perwira itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, di sini, hari ini.

Perwira itu turut dianugerahkan Pisau Tentera Darat sebagai pengiktirafan dan penghormatan.

Muhammad Hafizuddeain berkata, keberanian Mazlan dalam kejadian pada 15 Januari lalu adalah satu teladan yang baik dan amat membanggakan Tentera Darat.

"Baru baru ini negara menyaksikan keberanian Sarjan Mazlan yang sanggup terjun ke laut bagi menyelamatkan dua individu di Jambatan Pulau Pinang.

"Apa yang dilakukan itu menunjukkan teladan bagaimana seorang anggota yang memiliki sifat keberanian dan pengorbanan menzahirkan nilai etos kepahlawanan dengan tindakan beraninya walaupun tahu ada bahaya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di sini, hari ini.

Muhammad berkata, beliau percaya apa yang dilakukan oleh Sarjan Mazlan adalah hasil dari latihan dan didikan yang diterima sepanjang dalam perkhidmatan Tentera Darat.

Pada 15 Januari lalu, Mazlan dilaporkan bertindak nekad terjun di Jambatan Pulau Pinang bagi menyelamatkan 2 individu yang dipercayai terjatuh ke dalam laut.

Tentera Darat sebelum ini mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan tindakan anggota dari 2 RAMD itu berjaya menyelamatkan nyawa orang awam.

Penjelasan Rafizi: Kerajaan anti-subsidi dan anti-orang miskin?

Harapandaily

Ketika kerajaan memberi komitmen kepada pelaksanaan penyasaran semula subsidi, pembangkang dilihat semakin kuat menyerang.

Walhal, penyasaran semula subsidi secara berfasa tahun ini akan disertai dengan penambahbaikan pemberian bantuan sosial kepada rakyat.

Ikuti pencerahan daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli membidas tohmahan mereka yang mengecam langkah penyasaran semula subsidi ini:

Kerajaan anti-subsidi dan anti-orang miskin?

Saya tidak terkejut kalau selepas ini, serangan terbaru pembangkang ialah mengenai penyasaran semula subsidi.

Malah, saya faham kalau ada kebimbangan kenapa semua ini yang ditumpukan kerajaan – kan bagus kalau bagi wang kepada semua dan gunakan duit cukai rakyat untuk tetapkan harga barang serendah mungkin?

Kita sebenarnya dah terlepas kapal.

Semasa polemik turunkan harga RON95 antara 2007 ke 2015, situasinya berbeza.

Tanggungan subsidi negara masih rendah berbanding pendapatan keseluruhan kerajaan.

Jadi isunya, adakah lebih baik sejumlah beberapa bilion digunakan untuk rakyat terbanyak dan bukannya untuk projek-projek mega.

Malah, antara tahun 2014 hingga 2018, ada ketikanya rakyat membayar harga RON95 yang lebih tinggi dari pengiraan harga pasaran.

Maknanya, ada elemen cukai yang dikutip secara senyap-senyap.

Keadaannya cukup berbeza sekarang.

Apabila jumlah tanggungan subsidi melangkaui RM80 bilion setahun dan kita tahu banyak ketirisan berlaku (orang kaya mendapat lebih banyak manfaat, bukan warganegara turut sama mendapat subsidi), ia perlu distrukturkan semula.

Jika tidak, perbelanjaan rakyat yang lain akan dikekang dengan keadaan fiskal sebegini.

Sebab itu, tindakan yang sedang diambil kerajaan sekarang bukannya anti-subsidi.

Ia adalah penyasaran semula subsidi supaya ia sampai kepada yang benar-benar memerlukan.

Saya ulas perkara ini apabila ‘dibakar’ oleh Profesor Barjoya Bardai baru-baru ini.

Rampas kuasa atau hilang lebih ramai Ahli Parlimen, PN diberitahu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim melainkan pembangkang boleh membuktikan mereka mampu menukar kerajaan dalam tempoh terdekat, kata sumber rapat dengan seorang pemimpin parti.

Orang dalam itu yang enggan dinamakan berkata, pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu memberi “bukti kukuh” bahawa pertukaran itu akan berlaku.

Jika tidak, lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan beralih sokongan kepada kerajaan Anwar, kata sumber itu.

PN mendakwa ia boleh mengambil alih pentadbiran Putrajaya jika menang besar dalam pilihan raya enam negeri Ogos tahun lalu. Dakwaan sama dibuat pada PRK Kemaman, Terengganu.

Cakap-cakap mengenai pengambilalihan kuasa persekutuan daripada kerajaan perpaduan timbul lagi susulan dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Sanusi Nor, gabungan itu mempunyai akuan berkanun yang cukup daripada Ahli Parlimen untuk menukar kerajaan.

“Bagaimanapun, sekiranya kita tak tawarkan apa-apa yang kukuh (kepada Ahli Parlimen PN) mereka akhirnya akan menyokong Anwar. Apa pun, kita terdesak untuk bertindak segera,” kata sumber kepada FMT.

Sumber itu berkata, ada khabar angin dua lagi Ahli Parlimen bakal menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sehingga kini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar dengan alasan demi kepentingan kawasan diwakili mereka.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Semalam, Syed Hussin mendakwa lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan menyokong Anwar sebelum Dewan Rakyat bersidang 26 Feb ini.

Kata sumber, walaupun ada kemungkinan itu, ramai pemimpin Bersatu memfokuskan pemilihan parti dijangka berlangsung tahun ini. “Beberapa pemimpin tertinggi tidak mahu menonjol kerana mahu mengekalkan jawatan mereka,” katanya.

Pusingan-U Muhyiddin

Seorang lagi pemimpin Bersatu berkata, keputusan beberapa Ahli Parlimen menyokong kerajaan mungkin berpunca daripada keputusan Muhyiddin Yassin membuat pusingan-U untuk melepaskan jawatan presiden.

“Sebahagian ahli parti mahukan pemimpin baharu apabila parti gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum,” kata pemimpin itu.

Jika Muhyiddin kekal dengan keputusan awalnya untuk tidak mempertahankan jawatan, mungkin tidak ada Ahli Parlimen beralih sokongan kepada Anwar, katanya. “Ahli Parlimen itu merasakan parti sudah hilang arah dan ia memerlukan pemimpin baharu untuk kembali ke landasan semula.”

Pada perhimpunan agung parti tahun lalu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya, tetapi sehari kemudian beliau berubah fikiran selepas berbincang dengan isterinya.

Semalam, Syed Hussin mendakwa keputusan Muhyiddin itu mengecewakan ahli.

Kelantan: Polis siasat kes gangguan seksual didakwa babit pegawai kanan agensi kerajaan

Sharifah Mahsinah Abdullah
news@nst.com.my

KOTA BARU: Polis telah membuka satu kertas siasatan kes gangguan seksual didakwa membabitkan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Kelantan.

Laporan berhubung kes itu dibuat oleh seorang lelaki berumur 50-an di Balai Polis Kubang Kerian pada 21 Januari lalu.

Berdasarkan laporan itu, pegawai terbabit didakwa melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan wanita di pejabat agensi berkenaan pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan lelaki itu yang juga saudara kepada wanita berkenaan.

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

'Good by Liverpool' - Klopp

Klopp buat kejutan, umum mahu letak jawatan
Klopp bersama pemain ketika meraikan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara. - REUTERS
Klopp bersama pemain ketika meraikan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara. - REUTERS
LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp membuat kejutan apabila mengumumkan bakal meninggalkan The Reds pada penghujung musim ini.

Pengendali dari Jerman itu mengambil alih tugas di Anfield pada Oktober 2015 tetapi kini dia membuat keputusan untuk menamatkan kariernya di Liverpool.

Klopp menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara bersama Reds dan kini mendahului carta EPL.

Namun Klopp mendedahkan dia kini semakin kehilangan tenaga dan tidak mampu meneruskan tugas sebagai pengurus tahun demi tahun.

Klopp mendedahkan keputusan meletakkan jawatannya dalam temubual penuh emosi hari ini di mana dia berkongsi cintanya kepada kelab, penyokong dan bandar Liverpool.

"Saya boleh faham ramai terkejut ketika ini, apabila anda mendengarnya kali pertama tetapi saya boleh menjelaskannya atau sekurang-kurang berusaha menjelaskannya.

"Saya cintakan semuanya di kelab ini, bandar dan penyokong. Saya sukakan pasukan ini serta petugasnya. Tapi saya masih perlu membuat keputusan itu kerana ia sesuatu perlu saya lakukan.

"Boleh dikatakan, saya kehilangan tenaga. Saya tak punyai masalah sekarang. Saya tahu lambat laun saya perlu umumkan. Saya tahu saya tak boleh melakukan tugas ini sekali lagi, lagi dan lagi.

"Selepas bertahun-tahun kami bersama mengharungi suka duka, rasa hormat dan sayang terus bersama anda dan itulah hakikatnya," kata Klopp.

Sebelum ini Klopp memberitahu pemilik Liverpool mengenai hasratnya meletak jawatan pada musim panas lalu. - AGENSI

Isteri maut di sisi suami tersepit

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Anggota bomba membantu mengeluarkan empat mangsa daripada dua kenderaan yang terbabit nahas berhampiran Taman Mulia, Assam Jawa. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba membantu mengeluarkan empat mangsa daripada dua kenderaan yang terbabit nahas berhampiran Taman Mulia, Assam Jawa. FOTO IHSAN BOMBA
Kuala Selangor: Seorang wanita maut manakala suaminya parah sejurus kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam nahas berhampiran Taman Mulia, Assam Jawa, di sini.
 
Mangsa, Nur Izzathy Ashikin Ibrahim, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya, Tarmizzi Rumandud, 37, tersepit pada bahagian pemandu.

Manakala dua lagi mangsa menaiki MPV Toyota Estima adalah dua sekeluarga dikenali Mohd Saiful Shahrir Mohd Rosdi, 41 dan anak perempuannya berusia lima tahun.

Mohd Saiful Shahrir cedera ringan manakala anaknya pula tidak sedarkan diri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.59 pagi.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, Proton Saga FLX dinaiki pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari Jeram ke Kuala Selangor dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Estima.

"Anggota bertugas kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan peralatan khas dan memberi rawatan awal," katanya semalam.

Ahmad Mukhlis berkata, Nur Izzathy Ashikin bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Menurutnya, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Bayi maut didera, polis tahan suami isteri

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera suami isteri yang juga ibu bapa saudaranya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini, kelmarin.

Mangsa yang berusia setahun enam bulan itu dikatakan tidak sedarkan diri di kediaman terbabit sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam oleh bapa saudaranya berusia 20-an.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika rawatan dan hasil pemeriksaan serta bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat didera.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit akan dihantar ke rumah suspek setiap kali ibu bapanya ke tempat kerja dan dijaga oleh pasangan suami isteri itu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan bunuh.

"Hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur penderaan ke atas kanak-kanak terbabit.

"Susulan itu kita membuat dua tangkapan iaitu sepasang suami isteri, dengan mereka akan direman hari ini," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Tiga kanak-kanak lemas dalam kolam latihan kereta kebal

KOSMO!

PASUKAN bomba melakukan operasi pencarian di kolam latihan kereta kebal di Temerloh hari ini.
TEMERLOH – Kegembiraan tiga sahabat yang dipercayai mandi di dalam kolam latihan kereta kebal berakhir dengan tragedi apabila kanak-kanak berkenaan ditemui lemas.

Mangsa yang maut di dalam kolam sedalam 2.1 meter itu melibatkan dua kanak-kanak berusia 11 tahun dan seorang remaja berusia 13 tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian lemas di Kem Batu 5 di sini pada pukul 5.55 petang.

“Seramai sembilan anggota Balai Bomba Mentakab dan tujuh anggota balai bomba Temerloh digerakkan ke lokasi dan dimaklumkan tiga mangsa lelaki telah dihantar ke hospital oleh ambulans tentera.

“Tiga mangsa yang berusia lingkungan 11 hingga 13 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia,”katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pihak bomba turut melakukan operasi pencarian dan mengepam air kolam berkenaan selepas dimaklumkan kemungkinan terdapat seorang lagi mangsa.

“Setelah dibuat pencarian, mangsa iaitu satu kanak-kanak lelaki yang dikatakan masih hilang sebenarnya tidak terlibat dengan tempat kejadian,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Ahli Parlimen Bersatu sokong Hamzah sebagai presiden baharu

DIANA AZIS DAN QURRATUL’AINA QUDDUS

PUCHONG - Ramai ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahukan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai presiden baharu parti itu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, Ahli Parlimen Larut itu mempunyai potensi besar bagi memimpin parti berkenaan.

“Larut (Hamzah) juga bersedia, berkemampuan dan berkebolehan untuk memimpin Bersatu,” katanya dalam sidang akhbar di Baitul Husna dekat sini pada Jumaat.

Syed Abu Hussin Hafiz turut meminta barisan kepimpinan Bersatu untuk tampil berani menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu pentadbiran Perdana Menteri itu.

Beliau menamakan Hamzah, Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

“Usaha nak jatuhkan kerajaan adalah sia-sia sekarang ini, buang masa. Setahun lebih dah berlalu, takkan masih nak bercakap tentang langkah.

“Saya hanya katakan apa yang perlu dan saya kongsikan supaya rakyat tahu,” ujarnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, desas-desus muncul 'Langkah Dubai' yang didakwa digerakkan oleh pemimpin parti pembangkang, termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Dakwaan itu didedahkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.

Selain pemimpin pembangkang, 'Langkah Dubai' didakwa turut disertai tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dituduh menggunakan 'sumber asing' untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PN telah menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu.

2 pensyarah universiti dipecat kerana meniru

KOSMO!

BANGKOK  – Dua pensyarah universiti dipecat daripada jawatan masing-masing selepas terbabit dalam skandal melibatkan 100 ahli akademik dari 33 buah universiti berhubung isi kandungan kertas penyelidikan dicuri dan kes plagiat, lapor portal berita Thaiger semalam.

Kedua-dua  yang dipecat itu  masing-masing dari Universiti Chiang Mai (CMU) dan Akademi Diraja Chulabhorn selepas didapati bersalah berkaitan dengan amalan penyelidikan mereka. 

Mereka dituduh melakukan tugas di luar kepakaran masing-masing dengan menjadi penulis bersama kertas akademik tanpa membuat penyelidikan di samping membeli atau memplagiat penyelidikan orang lain.

Kedua-dua pensyarah itu menggambarkan kertas penyelidikan yang ditulis sebagai hasil kerja mereka dalam  jurnal antarabangsa.

Pendedahan silap laku dua pensyarah tersebut dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi (MHESI) kelmarin.

.Timbalan Setiausaha Tetap MHESI, Supachai Pathumnakul mendedahkan bahawa siasatan menyeluruh terhadap salah laku akademik telah dilakukan.

Kesalahan pensyarah CMU itu termasuk membeli kertas akademik dan kemudian membelanjakan wang tambahan sebanyak 30,000 baht (RM3,975) untuk kos penerbitan.

Ahli-ahli akademik ini menulis pelbagai karya dalam bidang yang sama sekali di luar  kepakaran sebenar mereka. – AGENSI

Bersatu gelabah hilang sokongan Ahli parlimen adakan mesyuarat MPT pada hari Ahad

Hilang sokongan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Bersatu buat mesyuarat MPT Ahad

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Bersatu akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Ahad ini, kurang seminggu selepas Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi dari parti itu bertindak menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Naib Ketua Wanitanya Mas Ermieyati Samsudin yang juga ahli MPT mengesahkan perkara itu kepada FMT namun menjelaskan tiada agenda khusus diberitahu oleh ibu pejabat parti.

Namun difahamkan ia berkaitan tindakan Zulkafperi yang juga ketua Bersatu Tanjong Karang mengikut jejak lima Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar.

Beliau menyusul Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Suhaili Abdul Rahman (Labuan) yang mendakwa bertindak demikian demi kepentingan penduduk di kawasan masing-masing.

“MPT akan bermesyuarat dan perjumpaan itu diatur Ahad ini, kita tak tahu lagi perkara nak dibincangkan,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan ada pertemuan di antara pemimpin Bersatu dengan Muhyiddin minggu lalu.

Mas Ermieyati turut menolak dakwaan Syed Hussin bahawa akan ada lagi Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar.

“Ahli Parlimen PN Melaka dari PAS dan Bersatu setakat ini masih kekal setia, saya sendiri kekal walaupun cuba dipujuk pihak tertentu,” katanya mendakwa dihubungi individu bergelar datuk kononnya dari pejabat perdana menteri.

Beliau mendakwa beberapa Ahli Parlimen Bersatu turut didekati individu terbabit berdasarkan nombor telefon digunakannya.

Wanita 8 anak saman suami kerana kahwin lain

KOSMO!
Pasangan itu mempunyai lapan anak melalui kaedah ibu tumpang. - Jam Press
BEIJING – Seorang wanita di wilayah Sichuan China, nekad menyaman suaminya selepas mendapati lelaki itu sudah berkahwin secara sah dengan wanita lain, lapor akhbar The Sun semlam.

Wanita berusia 33 tahun itu berkahwin dengan suaminya yang berusia 61 tahun sejak hampir 10 tahun lalu selepas mereka berkenalan secara online.

Pasangan yang tidak didedahkan identiti mereka itu kemudian mempunyai lima anak lelaki dan tiga anak perempuan.

“Dia memberitahu saya bahawa dia bujang, jadi perkahwinan kami sah,” kata wanita itu.

Dia media sosial, wanita itu menunjukkan sijil perkahwinan mereka  pada 2015. Dia juga berkongsi sijil kelahiran anak-anaknya yang dilahirkan oleh seorang ibu tumpang di Amerika Syarikat (AS).

Menurut wanita itu, dia dan suaminya membelanjakan 10 juta yuan (RM6.65 juta) untuk mempunyai anak melalui kaedah ibu tumpang.

Bagaimanapun, wanita itu terkejut apabila mendapati suaminya sudah berkahwin dengan wanita lain.

Dia kini memfailkan tuntutan mahkamah untuk mendapatkan nafkah bulanan sebanyak 200 juta yuan (RM133.07 juta) daripada suaminya.

Kes itu dibicarakan pada Oktober 2023 namun masih belum selesai. – AGENSI

Mat Sabu: Demi kuasa, PAS boleh ubah sekelip mata kerjasama dengan DAP

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan PAS sebagai parti “boleh berubah sekelip mata” dan tidak mustahil boleh kembali bekerjasama dengan DAP demi mendapat kuasa.

Mohamad, bekas timbalan presiden PAS dari 2011 hingga 2015 itu merujuk pertembungan dengan Umno yang bukan sekadar politik tetapi hukum sehingga melarang berimamkan dan memakan sembelihan ahli parti berkenaan.

Namun, katanya segala pertembungan itu diketepikan apabila kedua-duanya bekerjasama pasca PRU14 untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggotai Amanah, PKR, DAP dan Bersatu.

Menyentuh hubungan PAS-DAP, Mohamad berkata kedua-duanya mempunyai hubungan lama dan DAP sentiasa dipuji kerana dikatakan sentiasa menghormati perlembagaan dan hak-hak demokrasi.

“Tetapi hari ini mereka memberi komen yang buruk kepada DAP. Perkara ini perlu diabaikan oleh pendokong Amanah.

“⁠Hal ini kerana jika Amanah memutuskan hubungan dengan DAP 2 petang, sejam berikutnya PAS akan segera menghulurkan tangan kepada DAP yang memiliki 40 kerusi Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

“Segala kecaman kepada DAP akan bertukar segera kerana bagi mereka ialah kekuasaan yang menjadi matlamat utama daripada segala-galanya.”

Sehubungan itu, Mohamad berkata ahli Amanah perlu kekal tenang dan tidak perlu melayan sebarang ulasan berkenaan serangan PAS terhadap DAP.

“Hal ini kerana PAS adalah parti yang boleh berubah sekelip mata,” katanya yang juga menteri pertanian dan keterjaminan makanan.

Kepala air ibarat 'tsunami kecil' ranapkan 3 rumah

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@bh.com.my
Tg Mohd Zulkurnain melihat keadaan rumahnya di Kampung Shukor di Hulu Dungun yang ranap dibadai kepala air susulan hujan lebat semalam. - NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Tg Mohd Zulkurnain melihat keadaan rumahnya di Kampung Shukor di Hulu Dungun yang ranap dibadai kepala air susulan hujan lebat semalam. - NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
DUNGUN: Bagaikan tsunami kecil - Itu gambaran diberikan penduduk Kampung Shukor di Hulu Dungun di sini berhubung kejadian kepala air yang berlaku akibat hujan lebat semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabkan tiga rumah hanyut dengan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang sahaja.

Seorang pemilik kediaman, Tg Mohd Zulkurnain Tengku Man, 58, berkata sebahagian anjung rumahnya dihanyutkan arus deras kepala air, namun nasib baik ketika kejadian dia dan keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas di PPS sebelum dimaklumkan jirannya mengenai kepala air yang merosakkan kediamannya.

"Saya segera bergegas ke rumah dan terkejut melihat anjung rumah rosak. Memang biasa rumah dinaiki banjir, tetapi ini kejadian terburuk dialami saya sepanjang 58 tahun tinggal di sini," katanya.

Tg Mohd Zulkurnain berkata, banjir kali ini memang di luar jangkaan dan boleh diibaratkan sebagai tsunami kecil.

"Sedih pun kita nak buat macam mana, kita hanya reda dengan pemberian Allah, tabahkan hati dan kuatkan iman.

"Kita tak boleh nak buat apa-apa, kalau orang buat (sampai rumah rosak) lain cerita, tetapi ini semua ketentuan Allah, jadi kena reda dan ada hikmah di sebalik kejadian ini," katanya.

Selain kediamannya, dua lagi yang turut rosak adalah milik anaknya yang sedang dalam pembinaan serta kediaman sepupunya.

Sehubungan itu, Tg Mohd Zulkurnain berharap kerajaan negeri dapat membantunya serta penduduk lain yang terjejas akibat bencana kali ini.

Bersatu ada dua kem?

Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

Puchong: Ahli Parlimen Bersatu Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini didakwa mempunyai dua kem.

Beliau mendedahkan dua kem berkenaan adalah yang menyokong Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik sebagai Presiden parti itu.

Sementara, satu kem lagi untuk mengekalkan Presiden sedia ada, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, parti Bersatu pada masa ini tiada hala tuju yang jelas.

"Ahli Parlimen Bersatu jarang dipanggil berbincang. Soal kewangan sangat menjadi masalah besar kepada semua ahli parlimen.

"Jika parti tak ambil perhatian maka siapa lagi nak ambil perhatian," katanya dalam sidang media di kediamannya, di sini, hari ini.

Malah, katanya, pada Perhimpunan Agung Bersatu tahun lalu sepatutnya Bersatu direformasi, ada penambahbaikan.

"Presiden sudah ambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan akan datang. Ahli melihat agar kepimpinan diberi nafas baru.

"Larut (Hamzah) mempunyai masa depan, malangnya Presiden (Muhyiddin) reverse buat pusingan U," katanya.

Beliau berkata, Hamzah mempunyai potensi besar untuk memimpin Bersatu dan berkebolehan.

"Perwakilan nak Muhyiddin manakala semua 31 Ahli Parlimen (Bersatu) nakkan Larut (Hamzah) sebagai Presiden," katanya.

Dua lelaki didakwa ambil upah seludup PATI di perairan negara

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
KEDUA-DUA tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan menyeludup PATI. -Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
ALOR GAJAH – Seorang tekong dan awak-awak kapal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, minggu lalu.

Tertuduh, Ramlan Mispan, 59, dan Harun Mispiran, 56, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai operator bot nelayan bernombor pendaftaran SLS 6038 telah mengangkut migran yang diseludup iaitu seorang warga Indonesia Koirul Anam, 49.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.27 pagi di kedudukan 02’21.531 utara 101’41.801 timur dalam perairan Malaysia pada jarak 9.5 batu nautika dengan daratan paling hampir iaitu Tanjung Tuan, Melaka pada 19 Januari 2024.

Sabit kesalahan kedua tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau keduanya mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 (Akta 670) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, L. Ashok tidak menawarkan jaminan, manakala kedua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 11 Mac 2024 untuk sebutan semula kes dan permohonan kebenaran untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Mokhzani Mahathir pula dipanggil SPRM

Malaysiakini

Seorang lagi anak Dr Mahathir Mohamad, Mokhzani turut dipanggil SPRM.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada Berita Harian, hari ini.

Menurut laporan itu, Mokhzani hadir ke ibu pejabat SPRM kira-kira jam 11 pagi tadi dan dipercayai berhubung pengisytiharan harta.

Dia disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), menurut laporan itu lagi.

Menurut Sinar Harian pula, Mokhzani disiasat berhubung kaitan pegangan sahamnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dikatakan mendapat lesen fabrikasi struktur cari gali sebuah syarikat gergasi petroleum negara ketika bapanya menjadi perdana menteri.

Terdahulu, abang kepada Mokhzani, Mirzan yang merupakan ahli perniagaan diberi notis daripada SPRM untuk mengisytiharkan hartanya dalam tempoh 30 hari, pada 18 Januari lalu.

Dia turut hadir ke ibu pejabat SPRM pada hari yang sama.

Dia disiasat berhubung maklumat dalam Kertas Panama, juga di bawah Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA.

Sehari kemudian, Mahathir dalam hantaran di media sosial menempelak kerajaan yang menurutnya melakukan "kezaliman terhadap musuh politik" dan mendakwa anaknya diugut akan dipenjara lima tahun jika mengambil tindakan yang dianggap "bertentangan dengan dakwaan".

Dalam sidang media khas pada 22 Januari lalu pula, dia menyifatkan notis itu sebagai tidak masuk akal kerana Mirzan perlu menjelaskan sumber aset yang diperolehinya sejak 42 tahun lalu dalam tempoh yang singkat.

Gadis paling tinggi dengan ketinggian 2.28 meter meninggal selepas dijangkiti selesema berusia 23 tahun

KOSMO!
GAMBAR fail menunjukkan ketinggian Mo ketika dia masih hidup. - Foto Asiawire
BEIJING  – Seorang gadis yang mempunyai ketinggian luar biasa di China dan antara tertinggi di dunia, menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi selepas dijangkiti selesema ketika berumur 23 tahun, lapor portal berita The Sun semalam.

Xiao Mo dari Shaoyang yang juga seorang ‘bintang’ di internet,  memiliki ketinggian 2.28 meter. Dia mempunyai lebih 152,000 pengikut di laman sosial tempatan, Douyin.

Mo dilaporkan meninggal dunia pada 15 Januari lalu.

Ramai yang kagum dengan ketinggiannya. Mo adalah empat sentimeter lebih tinggi daripada  bintang bola keranjang China yang bermain dalam liga di Amerika Syarikat, Yao Ming.

Mo dikatakan dibesarkan oleh datuk dan neneknya selepas ditinggalkan oleh ibu sendiri.

Menurut media China, dia menghidap pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung dan mata kerana ketinggiannya.

Ketinggian Mo bagaimanapun belum dapat mengatasi Rumeysa Gelgi, 27, dari Turkiye. Rumeysa memiliki ketinggian  2.34 meter dan diiktiraf Guinness World Records sebagai wanita paling tinggi di dunia. – AGENSI

Kakak Bella: Mana kaki dan tangan Bella?

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
BELLA, gambar fail. FOTO Ihsan KeluargaBELLA, gambar fail. FOTO Ihsan Keluarga
Batu Pahat: Hati mana tidak sedih dan memberontak apabila melihat sekujur tubuh adik tersayang yang dimandi dan dikafankan tanpa kedua-dua kaki dan tangan.

Itu perasaan ditanggung keluarga Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, apabila rangka ditemui pada Jumaat minggu lalu sebenarnya tanpa kaki dan tangan.

Perkara itu didedahkan kakak kepada Bella, Norhisham, 36, dalam coretan terbaru di Facebook yang mengisahkan keadaan adiknya itu ketika jenazah dimandi dan dikafankan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Rabu lalu.

"Selesai urusan, tiba masa tuntut jenazah di Forensik HSI. Allahuakbar.. Allahuakbar... terkejut saya bila tengok rangka Bella.

"Hancur hati sehancur-hancurnya bila terima Bella dalam keadaan macam ni. Kenapa buat adik saya macam? Hanya tengkorak kesan pecah kena hentak benda tumpul, tulang rusuk, punggung sahaja.

"Mana kedua-dua kaki dan tangan Bella? Rasa macam nak memberontak... nak mengamuk... Rasa nak menjerit sekuat hati bagi semua tahu betapa hancur hati saya.

"Namun, apakan daya, saya hanya seorang kakak yang perjuangkan pencarian adik tapi saya dapat rangka yang tak sempurna," tulisnya.

Norhisham atau lebih dikenali sebagai Ayu berkata, dia bersama emak dan seorang ustazah hanya mampu menitiskan air mata sewaktu memandikan rangka Bella.

Katanya, mereka memandikan Bella dengan keadaan air mata berlinangan mengenangkan betapa azabnya ditanggung adiknya ketika itu.

"Kenapa pelaku sangat kejam... sangat zalim? Kenapa buat Bella sehingga begitu tragik? Kami tersangat rapuh dalam situasi ini. Kenapa pengakhiran pencarian saya macam ni? Siapa boleh carikan untuk saya selepas 36 hari?

"Saya nak Bella complete (sempurna). Tolonglah faham perasaan apa yang saya rasa, besar sungguh dugaan saya dan keluarga hadapi ketika ini.

"Emak saya kehilangan Bella, tapi masih ada saya. Tapi saya hilang adik, siapa lagi yang ada untuk saya? Kosong!," tulisnya.

Dalam pada itu, Ayu juga menjawab pertanyaan pihak lain kenapa dia bertindak luar dugaan ketika teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, dituduh di Mahkamah Majistret, Rabu lalu.

"Selepas pertuduhan di mahkamah ada yang pertikai kenapa lebih-lebih nak ada rusuhan. Perasaan mendidih marah itu datang tiba-tiba apabila tengok tertuduh.

"Bersusah payah siang malam saya mencari Bella.. tanya sana sini... masuk ceruk-ceruk, rupanya dia tahu sesuatu tapi disorok.

"Terbayang muka penipuan dia, 'saya tak tahu kak saya dah tinggal dia tepi jalan, ada orang ambil'.

"Tapi, sebenarnya kau dah bunuh dia, keadaan sangat emosi, hancur terluka marah semua ada. saya dah beritahu awal-awal boyfriend (teman lelaki Bella) tahu sesuatu," katanya.

‘Hot Daddy’, 2 teman wanita mengaku tak salah iklan khidmat seks

FMT Reporters
Tertuduh Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, Norhidayah Mahadi dan Norshazrina Md Zamri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang lelaki dikenali “Hot Daddy” bersama dua teman wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan menerusi platform X, minggu lalu.

Tertuduh Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, dan Norhidayah Mahadi, 24, yang bekerja sendiri bersama pengurus swasta, Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan X yang mana orang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat D7 (Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman, 10.10 pagi, 16 Jan lalu, menurut Harian Metro.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh terbabit kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan mengambil kira kepentingan awam.

“Bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

“Jumlah itu ialah sesuai kerana mengambil kira kepentingan awam selain pertuduhan kesalahan dikategorikan dalam jenayah serius,” katanya.

Sementara itu, peguam, Mohd Faris Abrar Othman mewakili semua tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

Katanya, tiada elemen menunjukkan mereka akan melarikan diri kerana anak guamnya adalah rakyat tempatan malah keluarga mereka tinggal di sini.

“Hasli perlu menjaga bapa berusia 67 tahun yang mempunyai sejarah sakit buah pinggang selain tiga anak berusia 12, 10 dan empat tahun.

“Norshazrina bekerja sebagai pengurus swasta dengan gaji RM4,000 sebulan dan menanggung ibu berusia 56 tahun yang mempunyai penyakit jantung manakala Norhidayah tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

Siti Aminah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Feb untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan, polis menahan seorang “gigolo” tempatan kerana merakam dan menjual video lucahnya dengan melakukan hubungan seks bersama lebih 20 wanita termasuk mereka yang mengupahnya untuk khidmat seks.

Tuah gali tanah, jumpa berlian

Agensi
BERLIAN yang ditemui Navas. FOTO Ihsan Taman Negeri Arkansas.
BERLIAN yang ditemui Navas. FOTO Ihsan Taman Negeri Arkansas.
Little Rock (Arkansas): Seorang pelancong Perancis yang pertama kali melawat Taman Negeri Kawah Berlian di Arkansas, Amerika Syarikat (AS), bertuah apabila menemui berlian asli 7.46 karat.

Taman Negeri Arkansas memaklumkan, Julien Navas dari Paris melancong ke AS untuk melihat pelancaran Roket Vulcan Centaur United Launch Alliance di Cape Canaveral, Florida, sebelum akhirnya ke New Orleans bersama seorang rakan.

Ketika di Louisiana, Navas mengetahui mengenai Taman Negeri Kawah Berlian dan memutuskan untuk melawat taman itu sebelum meninggalkan AS.

"Saya sampai ke taman itu kira-kira 9 pagi dan mula menggali. Mulanya saya rasa seperti buang masa, tetapi memasuki tengah hari, saya tengok ada batu berkilat di tanah saya gali.

"Rupanya ia berlian warna coklat 7.46 karat. Saya sangat gembira," katanya.

Navas menamakan berlian itu sebagai Berlian Carine, sempena nama tunangnya.

Penolong Penguasa Taman Waymon Cox berkata, tuah Navas menemui berlian itu, mungkin turut dipengaruhi cuaca yang kerap hujan, baru-baru ini.

"Kami secara berkala membajak kawasan pencarian untuk menggemburkan tanah yang berisi berlian dan menggalakkan hakisan semula jadi.

"Apabila hujan di kawasan padang, ia membasuh kotoran dan mendedahkan batu berat, mineral dan berlian pada permukaan," katanya.

Lelaki tinggal bayi di kaunter pertanyaan hospital

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
SEORANG bayi lelaki ditinggalkan di kaunter pertanyaan sebuah hospital swasta di Johor Bahru. FOTO Ihsan JKM
SEORANG bayi lelaki ditinggalkan di kaunter pertanyaan sebuah hospital swasta di Johor Bahru. FOTO Ihsan JKM
Johor Bahru: Seorang lelaki meninggalkan bayi lelaki dianggarkan berusia lima hari di kaunter pertanyaan sebuah hospital swasta di sini, 18 Disember lalu, selepas mendapati hospital berkenaan tidak lagi menyediakan khidmat pelindung 'baby hatch'.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Adnan Md Yassin berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan bayi itu daripada Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Beliau berkata, bayi berkenaan dirujuk ke HSA selepas dibawa polis untuk rawatan.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis pada 19 Disember lalu, pengadu membuat laporan selepas seorang lelaki meninggalkan kanak-kanak di kaunter pertanyaan di sebuah hospital swasta pada jam 8.30 pagi, sehari sebelum itu.

Katanya, pengurusan hospital itu kemudian menempatkan bayi terbabit di Taska pusat perubatan itu kerana menjangka warisnya akan tampil menuntutnya.

"Bagaimanapun, selepas tidak dituntut, bayi itu dirujuk kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Hasil semakan dengan polis, pelaku itu dapat dikesan dan dikenal-pasti sebagai bekas majikan kepada ibu kandung bayi.

"Difahamkan, ibu kandung bayi itu meminta bantuan lelaki terbabit untuk menempatkannya di Baby Hatch di hospital berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, lelaki itu buntu selepas mendapati perkhidmatan itu tidak lagi disediakan oleh hospital.

"Lelaki itu kemudiannya meninggalkan bayi di kaunter pertanyaan hospital sebelum beredar," katanya.

Adnan berkata, hasil pemeriksaan fizikal dan perkembangan bayi, pegawai perubatan menganggarkan bayi itu berusia lima hari ketika dirujuk kepada HSA dan kini berusia kira-kira enam minggu.

"JKM mengklasifikasikan bayi itu sebagai memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

"JKM juga memohon perintah di bawah Subseksyen 30(7) Akta Kanak-Kanak 2001 dan bayi berkenaan ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor bagi membolehkan kami menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Adnan berkata, bayi berkenaan dinamakan sebagai Kaisar Aryan.

Menurutnya, pihaknya berharap waris bayi berkenaan tampil menghubungi JKM bagi membincangkan masa depannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan waris bayi itu diharap dapat menghubungi Pelindung JKM di talian 07-2230606 atau 07-2232607.

Menteri infrastruktur dipecat kerana bocorkan maklumat

Presiden Argentina pecat menteri infrastruktur kerana bocorkan maklumat
story-image
Bernama-Sputnik

Presiden Argentina Javier Milei memecat Menteri Infrastruktur Guillermo Ferraro yang disyaki membocorkan maklumat dengan segaja selepas mesyuarat Kabinet baru-baru ini, lapor Sputnik memetik media tempatan pada Jumaat.

Selepas pemecatannya, Kementerian Infrastruktur mungkin kehilangan status bebas dan diletakkan di bawah Kementerian Ekonomi negara itu, lapor akhbar Argentina La Nacion.

Sementara itu, tiada maklumat rasmi dikeluarkan berhubung pemecatan Ferraro setakat ini.

Semasa pertemuan dengan Menteri-menteri Kabinet baru-baru ini, Milei didakwa mengancam untuk "memecat" gabenor sekiranya wakil-wakil daerah enggan menyokong pembaharuannya di Parlimen, lapor media Argentina pada Khamis, memetik maklumat yang bocor.

Pada Dis 2023, Milei menandatangani dekri kecemasan yang mencadangkan pembaharuan membabitkan semua sektor ekonomi dan sosial, termasuk melanjutkan tempoh percubaan pekerja kepada lapan bulan, menghapuskan beberapa denda untuk majikan dan pemansuhan dana insurans pengangguran. Kesatuan pekerja menentang cadangan itu di mahkamah.

Dekri darurat itu berkuat kuasa hanya beberapa hari selepas ditandatangani, tetapi masih memerlukan sokongan Ahli Parlimen. Semasa Parlimen mengkaji semula dekri terbabit, ia dianggap telah berkuat kuasa.

- Bernama-Sputnik

Walaun nekad nak hantar memo kepada tentera bbselepas usaha jatuhkan kerajaan gagal

SITI NUR ZAWANI

Selepas usaha menjatuhkan kerajaan menemui jalan buntu, penyokong tegar Perikatan Nasional (PN) dikatakan merancang untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak tentera.

Menerusi tangkap layar tular dipercayai dari aplikasi Telegram ‘Team Walabot’, salah seorang penyokong mengatakan dia akan menghantar satu memorandum rakyat kepada tentera dalam tempoh seminggu ini seandainya kerajaan gagal ditukar.

Difahamkan mereka mahu berbuat demikian selepas ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri di tengah-tengah dakwaan mereka sudah pun mempunyai cukup jumlah.

Fikiran separuh masak itu bagaimanapun hanya menjadi bahan jenaka ramai di media sosial yang mengumpamakan mereka seperti sudah terdesak.

“Andainya kita gagal tukar kerajaan, eloklah kita hantar memorandum rakyat kepada tentera biar tentera pula buat ‘move’.

“Aku lebih suka tentera yang memerintah dari ahli politik sebab ahli politik semuanya pentingkan diri. Kalau betul ambil berat terhadap rakyat, dah lama tumbang kerajaan Madanon tak payah Tun Mahathir ‘lead’.

“Kita tunggulah seminggu lagi. Kalau gagal, aku sendiri akan hantar memorandum rakyat kepada tentera,” kata individu itu.
Sokongan ahli Bersatu yang keenam kepada Perdana Menteri menguatkan lagi gambaran bahawa usaha tebuk atap yang sedang dirancang sebahagian bekas pemimpin negara tidak akan terjadi – atau sebenarnya telah berakhir.

PN juga tidak mempunyai kekuatan untuk mempertikai sokongan majoriti diperoleh Perdana Menteri.

Usaha berhimpun di hadapan pintu Istana Negara baru-baru ini untuk memberi tekanan terhadap Perdana Menteri juga tidak berhasil.

Menyebabkan lebih 400 pengikutnya, Ketua kultus Kenya didakwa seksa, kejam terhadap kanak-kanak

AFP
Paul Nthenge Mackenzie sebelum ini didakwa atas tuduhan keganasan dan menyebabkan kematian pengikutnya. (Gambar AP)
NAIROBI: Mahkamah di Kenya hari ini mendakwa seorang ketua kultus atas tuduhan penyeksaan dan kekejaman terhadap kanak-kanak selepas kematian lebih 400 pengikutnya.

Paul Nthenge Mackenzie dan 38 yang lain mengaku tidak bersalah atas pelbagai tuduhan, termasuk memukul dan sengaja mengebulurkan kanak-kanak, menurut dokumen mahkamah Mombasa yang dilihat AFP.

Mackenzie yang sebelum ini didakwa atas tuduhan keganasan dan menyebabkan kematian, dikatakan menghasut pengikutnya supaya mengebulurkan diri sampai mati untuk “menemui Jesus”, dalam kes yang mencetuskan kejutan seluruh dunia.

Mahkamah di Malindi dijadualkan memutuskan pada 6 Feb, sama ada Mackenzie layak dari segi mental untuk menghadapi tuduhan bunuh tambahan.

Dia ditahan pada April tahun lalu selepas ratusan mayat ditemui di hutan Shkahola berhampiran Laut Hindi.

Laporan bedah siasat menunjukkan majoriti 429 mangsa berkenaan mati kebuluran. Bagaimanapun, ada yang lain termasuk kanak-kanak yang dilihat mati akibat dicekik, dipukul atau dilemaskan.

Menurut kertas tuduhan Mahkamah Kanak-kanak Tononoka di Mombasa, kesalahan berkenaan dilakukan antara 2020 hingga 2023 di hutan Shakahola yang menjadi tempat perhimpunan kultus Mackenzie.

Tertuduh didakwa sengaja menafikan kanak-kanak berusia sekecil enam tahun daripada diberi makan, selain memukul mereka menggunakan kayu berduri, menurut dokumen mahkamah.

Segelintir kanak-kanak berkenaan juga dikeluarkan daripada sekolah dan dinafikan hak untuk pendidikan, menurut dokumen itu.

Kelantan: “Kami macam orang bodoh”, Penduduk berang 10 tahun turap jalan tak siap-siap

SITI NUR ZAWANI

Lebih 1,000 penduduk Kampung Serian, Gua Musang berang apabila kerja-kerja turapan jalan di kampung itu terbengkalai sejak 10 tahun yang lalu.

Penduduk mendakwa, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) sehingga kini gagal menyiapkan kerja pembinaan jalan sepanjang 18 kilometer yang membabitkan jalan Kampung Serian ke Kampung Baru Star.

Lapor Berita Harian, hanya 500 meter jalan dan satu jambatan besi sahaja yang disiapkan oleh kontraktor sebelum ia dihentikan pada tahun 2013.

Lebih menambah rasa kesal, penduduk mendakwa sebanyak RM5.3 juta diperuntuk bagi menyiapkan jalan 18 kilometer itu, namun tiada hasil sehingga sekarang.

“Kami dijanjikan dengan kemudahan jalan raya untuk laluan ini yang menjadi antara laluan utama ke Kampung Star Baru.

“Jalan ini tidak disiapkan dan hanya boleh digunakan oleh motosikal dan pacuan empat roda.

“Kontraktor hanya menurap kira-kira 300 meter dari Kampung Serian dan 200 meter dari Kampung Baru Star serta membina dua jambatan yang langsung tidak berguna kepada penduduk kampung,” kata salah seorang penduduk Kampung Serian, Muhamad Rofi Ismail, 56.
penduduk
Kredit gambar: BH
Muhammad Faisal Yaakob, 32, pula berkata sepatutnya jalan alternatif itu dapat memendekkan masa selama 30 minit berbanding satu jam menggunakan jalan biasa untuk ke bandar Gua Musang.

“Jalan ini juga tidak terganggu dengan banjir berbanding jalan utama Kampung Serian yang sering dinaiki air sehingga penduduk terkandas.

“Kami berharap KESEDAR dapat menyiapkan projek jalan ini demi keselesaan lebih 1,000 penduduk kampung,” katanya seperti dilapor.

Warga emas, Kadir Wahab, 61, berkata, sebelum pembinaan projek itu, penduduk kampung sudah bersetuju menyerahkan tanah mereka untuk digunakan bagi membuat jalan baru yang dijanjikan lebih selesa.

Namun penduduk Kampung Serian berasa teraniaya kerana jalan yang dibuat itu hanya boleh dilalui dengan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.

“Kami rasa kecewa dan perasaan macam orang bodoh apabila jalan semakin rosak kerana sebelum projek itu dibuat jalan terbabit sudah berturap dan boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya.

PMX: Mansuh pencen juga terpakai kepada wakil rakyat

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Cadangan skim tidak berpencen untuk penjawat awam juga terpakai kepada ahli politik berjawatan, termasuk wakil rakyat, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, secara prinsipnya kerajaan bersetuju dengan keputusan berhubung pemansuhan pencen kakitangan awam.

“Kalau kita mula pada 1 Feb 2024, semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga sama untuk semua pelantikan baharu (termasuk) ahli politik.

“Jadi ada orang kata mengapa tidak (ahli politik), tidak soal lain ada yang pernah jadi menteri besar, jadi menteri, kemudian jadi timbalan perdana menteri.

“Itu menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tapi tak boleh kebelakangkan retrospektif,” katanya kepada pemberita ketika makan tengah hari bersama rakyat di Desa Sri Hartamas.

Beliau berkata, mana-mana negara, termasuk Malaysia tidak boleh bertahan dengan kedudukan ekonomi semasa dan memerlukan perubahan terhadap sistem pentadbirannya.

Tetapi, katanya, apa juga perubahan ingin dilakukan kerajaan perlu didahului cadangan serta perbincangan, termasuk pemansuhan pencen sebelum ia dimuktamadkan.

“Kita boleh kaji dulu…Pada prinsipnya, saya bersetuju supaya apa saja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam terpakai bagi pelantikan politik, tetapi dimuktamadkan selepas kajian dan dibawa ke Jemaah Menteri untuk diputuskan.”

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen, di mana kumpulan penjawat awam itu akan mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam perkembangan lain, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan RM5 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selepas mengambil kira prestasi Harimau Malaya semasa kempen Piala Asia 2023, termasuk menentang Korea Selatan malam tadi.

10 lagi MP Bersatu sokong Anwar, ?ewangan jadi masalah besar

Harapandaily

Masalah kewangan menjadi antara penyebab utama 10 lagi ahli Parlimen Bersatu menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sokongan terbaharu ahli Parlimen daripada parti sekutu Pas dalam blok Perikatan Nasional (PN) itu muncul menjelang pembukaan sidang Parlimen, 26 Februari depan.

Dalam sidang media hari ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz mendedahkan butiran sokongan berkenaan.

Beliau mendakwa lima ahli Parlimen terbabit adalah dari utara, iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak; tiga dari Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang serta dua lagi dari Selangor dan Melaka.

Menurutnya, keputusan itu dibuat ahli Parlimen berkenaan kerana amat kecewa dengan parti, tidak dihargai dan terjaga.

“Sehingga hari ini, Bersatu tiada arah tuju yang jelas… jarang mengajak ahli Parlimennya berbincang bagaimana mahu mengekalkan (kebajikan) kawasan.

“Kewangan menjadi masalah yang besar. Jika parti tidak ambil perhatian, siapa lagi?” katanya hari ini.

Sebelum ini, enam wakil rakyat dari Bersatu termasuk Syed Abu Hussin telah membuat pengumuman menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Anwar.

Kelmarin, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, mengumumkan sokongannya kepada kepemimpinan Anwar berkuat kuasa serta merta.

Empat lagi wakil rakyat Bersatu yang berbuat demikian sebelum ini adalah Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Satu demi satu sokongan ahli Parlimen pembangkang terhadap kepimpinan Perdana Menteri secara tidak langsung mematahkan desas-desus PN yang mahu menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Dengan sokongan terbaharu 10 ahli Parlimen Bersatu itu kepada Perdana Menteri, blok kerajaan kini mempunyai 163 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

PN sokong PM lagi: Syed Hussin kemuka 'formula' 8+3

Shamz Johan

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa ada 10 lagi wakil rakyat PN akan memberikan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tidak menyatakan secara khusus ahli parlimen yang dirujuknya, dia berkata jumlah itu termasuk sokongan yang sudah diumumkan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi, beberapa hari lalu.

Dia juga tidak menyatakan secara spesifik bila ahli parlimen terbabit akan membuat pengumuman, namun memberi bayangan ia akan berlaku sebelum Dewan Rakyat mula bersidang 26 Feb ini.

Menggunakan 'fomula' 8+3, Syed Abu Hussin sekadar memberikan bayangan ahli parlimen terbabit.

"Bagi kawasan utara - Kedah, Pulau Pinang, dan Perak - ada lima orang. Kawasan Pantai Timur - Kelantan, Terengganu dan Pahang - tiga orang, dan kawasan tengah (Selangor dan Melaka), tiga orang lagi," katanya pada sidang media secara langsung melalui Facebook dan TikTok, hari ini.

Langkah Muhyiddin ikut nasihat isteri lemahkan moral Bersatu, kata MP

Malaysiakini

Tindakan Muhyiddin Yassin membuat pusingan U semasa perhimpunan agung tahunan Bersatu baru-baru ini didakwa melemahkan morah ahli yang mahu melihat parti itu melaksanakan perubahan.

Kata Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal lebih mengecewakan apabila presiden parti itu sendiri memaklumkan keputusan tersebut dibuat hasil nasihat daripada isterinya.

"U-turn sebab apa? Ini keputusan besar... hala tuju parti, nak bawa ahli-ahli parlimen membina masa depan negara tetapi seorang presiden boleh membuat u-turn dengan mudah," katanya sebelum membaca petikan kata-kata Muhyiddin semasa perhimpunan tersebut Nov tahun lalu.

Antara lain Syed Abu Hussin menekankan bagaimana Muhyiddin menyebut bahawa "kuasa paling besar" ialah nasihat seorang isteri.

Pun begitu Syed Abu Hussin berkata dia tidak menyalahkan isteri Muhyiddin.

"Saya tak salahkan isteri dia, tetapi keputusan sebagai pemimpin sebuah parti yang berhadapan dengan segala macam cabaran, ini keputusan paling penting.

"Ada berlaku demoralise dalam kalangan sebahagian pemimpin, (mereka) tak tahu ke mana hala tuju sebenar parti," katanya pada sidang media khas yang turut disiarkan secara langsung pagi ini.

5 warga Myanmar mangsa tanah runtuh Cameron

Bernama

KUANTAN: Semua mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kampung Raja, Cameron Highlands disahkan warga Myanmar, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands.

Kelima-lima mereka ialah Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25 tahun.

“IPD Cameron Highlands menerima laporan pada 2.10 pagi Jumaat dan bergegas ke lokasi bagi pemeriksaan dan mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pemeriksaan mendapati tempat kejadian telah terputus hubungan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi,” menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan.

Pihak jawatankuasa menasihati orang ramai untuk tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian dan menghubungi bilik gerakan di 05-4915999 atau balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat.

Sementara itu, Pengarah Bomba Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata pihaknya telah menggerakkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan unit anjing pengesan (K9) ke lokasi kejadian.

Selain itu, turut digerakkan ialan bantuan pasukan khas dari Perak, Selangor, dan Kuala Lumpur.

“Semua mangsa dipercayai mendiami sebuah rumah yang telah dihempap dalam tanah runtuh itu, dengan seorang daripadanya dikatakan wanita,” katanya.

Wan Mohammad Zaidi berkata seorang daripada mangsa ditemukan meninggal dunia pada 6.27 pagi, namun setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya juga menerima laporan kes tanah runtuh di Ulu Sungai Palas, Cameron Highlands pada 9.33 malam tadi, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kemusnahan harta benda.