"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Audio didakwa pemimpin PAS susah hati pendirian Hadi tular

Malaysiakini 

Tular satu klip audio yang didakwa berkaitan pemimpin PAS menyuarakan kerisauannya terhadap kepimpinan presiden parti Abdul Hadi Awang.

Audio yang tular di media sosial semalam itu berdurasi 52 saat didedahkan seorang pemilik akaun Facebook.

Akaun media sosial itu mendakwa pemimpin PAS berkenaan sebagai "Dr T" yang dikaitkan dengan seorang ahli jawatankuasa pusat parti itu.

Menurut rakaman audio berkenaan, Dr T berkata Abdul Hadi percaya Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding BN.

“Tok Guru (Abdul Hadi) ini berpegang pada pandangan 'survey' yang menunjukkan PN naik, BN turun.

"Tetapi, dia kata, kita kena raikan juga, Umno masih ada akar umbi.

“Ayat itu Tok Guru ulang selalu ulang pada ungkapan, tetapi pada praktikalnya, tidak ditunjukkan. Jadi, kita susah hati,” kata suara Dr T dalam rakaman berkenaan.

Malaysiakini belum lagi dapat mengesahkan secara bebas kesahihan klip audio itu dan sedang mendapatkan maklum balas daripada pemimpin yang dirujuk sebagai Dr T itu.

Pun begitu pemilik akaun Facebook itu juga mendakwa pendedahannya itu merupakan siri kedua kerja terkutuk Dr T yang hendak "sailang" presiden PAS.

Dakwanya lagi, dia akan terus membongkar rancangan jahat pemimpin PAS yang digelar Dr T itu.

Sebelum ini, PAS membentuk kerjasama dengan Umno yang dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN) namun pakatan itu kini dilihat semakin goyah.

Hubungan kedua-dua parti itu dikatakan mempunyai masalah apabila Umno menarik sokongan terhadap Bersatu dalam PN, manakala PAS kekal menyokong Bersatu.

PAS bersama BN, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain, sebelum ini membentuk kerajaan PN bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, suara dikatakan Dr T dalam klip audio itu juga berkata pendirian Abdul Hadi yang sentiasa berubah membuatkan para pemimpin PAS sentiasa susah hati.

"Sebab itu ana (saya) baru ini panggil Tok Guru pergi ke Kenyir, kumpulan ana... sengaja paksa Tok Guru dengar taklimat kita bagi.

"Ini kerusi PAS, ini kerusi Umno, ini kerusi Bersatu, nak menang syaratnya begini tambah kerusi. Nak menang syaratnya kita dapat 23 kerusi.

"Lepas tu dia kendur balik, berubah sokmo (selaku) Tok Guru," katanya lagi.

Saya kagum dengan legenda Brazil ini

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Impressed

1. Sebentaq tadi saya ambil masa sedikit tonton video sessi wawancara dengan mantan pemain legenda Brazil dan Inter Milan ini.

2.Semasa kegemilangannya, dia digelar “Emperor” di Itali. Kareer beliau berakhir bila beliau agak sukar menerima kematian bapanya.

3. Dia seorang yang beragama Kristian dan tubuhnya berselirat dengan tatoo. Dia habaq “saya kuat minum arak tapi saya tidak pernah sentuh dadah”. Nampak ada kejujuran dalam kata-kata beliau.

4. Meskipun berbeza agama dan kepercayaan dengan beliau, jujurnya, saya agak impressed dengan kepercayaan beliau yang amat kental tentang God walaupun cara dia memahami God itu mungkin tidak sama dengan cara saya – sebagai Muslim – mempercayainya. But i viewed him as a fellow human being.

Ya, seseorang itu mungkin ada sikap “judgemental” ke atas beliau, namun saya melihat cara beliau menerangkan tentang God dan keyakinan beliau terhadap God, bagi saya, beliau agak jujur, “passionate” dan begitu yakin. It impressed me.

5. Saya juga amat impressed dengan sikap kasih sayang beliau dengan keluarganya khususnya nenek beliau.

Shahidan cakap tak fikir, akhirnya hangat-hangat tahi ayam

MALAYSIA DATELINE

Tokoh wartawan negara menyifatkan sikap dan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai ‘cakap tak fikir’ dan ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Ini berikutan tindakan beliau tidak mahu menjawab panggilan telefon apabila ratusan panggilan telefon diterima selepas beliau memaparkan nombor telefonnya dan meminta orang ramai menghantar SMS pula.

“Cakap tak fikir. Mula-mula suruh telefon. Bila dibanjiri panggilan minta hantar pesanan teks pula. Kesudahannya hangat-hangat tahi ayam,” tulis Datuk A Kadir Jasin menerusi facebook beliau mengulas olah Shahidan itu.

Kelmarin, Shahidan berjanji akan menyelesaikan segala aduan di Kuala Lumpur dalam masa 24 jam.

“Kami bersiap siaga. Rakyat Malaysia boleh hubungi. Yang baru datang Kuala Lumpur, jumpa jalan berlopak boleh hubungi kami dan kami akan ambil tindakan dalam 24 jam,” katanya.

Dia turut berkongsi nombor telefon timbalannya Jalaluddin Alias, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah.

Nombor telefon yang dipaparkan Shahidan adalah 0194545111 manakala timbalannya Jalaluddin 0196524444.

Namun selepas nombor itu dipaparkan, beliau mengeluh kerana tidak sempat menjawab semua panggilan itu.

“Saya terima beratus panggilan berhubung jalan berlubang dan saya tidak sempat mengangkat panggilan satu per satu.

“Saya meminta untuk mereka menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan saya akan mengambil tindakan serta merta,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Pengakuan agama Saif Ali Khan cetus kontroversi

SITI ATHIRAH DZULKIFLY

NEW DELHI : Pelakon terkenal Bollywood dan suami kepada Kareena Kapor, Saif Ali Khan, baru-baru ini mencuri tumpuan umum gara-gara kenyataannya memilih fahaman agnostik lantaran tidak percaya kepada kewujudan Tuhan.

Kenyataan itu sekaligus mencetuskan kontroversi kerana sebagaimana semua orang tahu, Saif sejak lahir merupakan seorang Muslim.

Menurut Saif, apa yang menyebabkan dia memilih fahaman agnostik kerana baginya, agama seringkali dijadikan senjata dalam mencari kebenaran tertentu sehingga adakalanya mampu membuatkan hubungan seseorang itu berantakan dengan disulami kebimbangan.

“Saya agnostik. Saya sangat sekular dalam erti kata lain, saya fikir, terlalu banyak agama yang ada membuatkan saya jadi khuatir. Ini kerana mereka menekankan pada kehidupan setelah kematian.

“Saya rasa ini bukan tentang kehidupan setelah kematian sahaja yang perlu kita tekankan. Kenapa terlalu merumitkan? Kenapa tidak saling memahami, hidup saat kita di dunia ini?”katanya.

Selain itu, kata Saif, dia juga merasakan banyak agama yang ada di dunia ini seolah-olah terangkum rumit.

“Malah, dijadikan akomodasi untuk sesebuah organisasi. Terlalu banyak masalah yang pada dasarnya terkait dengan Tuhan saya, atau Tuhanmu atau Tuhan siapa yang lebih baik,”katanya kepada Indian Express.

Sebelum ini, pada satu upacara keagaman Hindu sekitar bulan lalu, Saif telah dikecam kerana dilihat melakukan ritual Hindu,

Perkara itu juga mendapat perhatian ramai dengan terdapat sesetengah netizen yang memprotes sambil mengingatkan bahawa dia merupakan seorang Muslim.

‘Saya tidak tahu PH boleh sabar atau tidak untuk teruskan persefahaman ini’

SURI LAILA

Kejatuhan kerajaan Negeri Melaka sehingga menyaksikan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), mengundang rasa tidak senang pada Pakatan Harapan (PH) yang telah membuat perjanjian persefahaman dan kestabilan politik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di peringkat Persekutuan.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan Ismail sebagai tidak bertanggungjawab dalam menangani kemelut yang berlaku di Melaka.

“(MoU ditandatangani) kerana kita tidak mahu kekecohan politik boleh menjejaskan kehidupan rakyat. Dalam masa tiga tahun selepas PRU, kita tukar tiga Perdana Menteri. (Kerana itu PH tandatangan), kita nak tenangkan suasana.

“Dalam keadaan tenang ini tiba-tiba berlaku peristiwa di Melaka. Rakan-rakan dari PN dan BN tak percaya pada Ketua Menteri, dan tiba-tiba mereka buat ‘disaster’. Buat satu perkara tak menyenangkan bagi kami yang buat persefahaman ini,” katanya dalam satu siaran di Facebooknya semalam.

Beliau juga menganggap, Ketua Menteri Melaka bertindak tidak adil kerana tidak melalui proses yang betul seperti ketika Adly Zahari kehilangan sokongan majoriti.

Ketika Adly hilang kepercayaan sebagai Ketua Menteri, Yang Dipertua Negeri telah menolak permohonan Adly untuk membubarkan DUN kerana tiada sokongan, sekaligus menyaksikan kerajaan negeri diambil alih oleh Umno.

“Kenapa tak ikut cara yang kamu buat? Bila hilang majoriti, serahlah kepada PH dan mereka yang nak sokong PH. Tapi ‘double standard’ berlaku sebegitu rupa,” katanya.

Pada masa sama Mohamad berkata, beliau akan berbincang bersama PH mengenai hala tuju perjanjian mereka dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau juga menyatakan rasa teramat kesal dengan suasana politik yang berlaku di Melaka terutama dengan sikap Ismail yang tidak menunjukkan rasa tanggungjawab.

“Saya tidak tahu kalau pimpinan PH boleh sabar atau tidak dalam nak membuat persefahaman begini. Kita lihat sikap Perdana Menteri tak bertanggungjawab tentang apa yang berlaku di Melaka.

“Saya akan ambil keputusan bersama dengan PH, apa keputusan kita akan akur tapi secara peribadi saya amat kesal dengan kejadian yang berlaku di Melaka. PM hilang kawalan dan tidak bertanggungjawab.

“PM tak bertanggungjawab apa yang berlaku di Melaka. Kamu memulakan satu perkara buruk dalam sejarah pentadbiran,” ujarnya lagi.

Kerap berselawat, amal air suam, kurang makanan bergula jadi petua

Ahmad Ismail

am@hmetro.com.my

Umi Kastawi menunjukkan kad pengenalannya yang berusia 107 bersama anak cucunya. FOTO Ahmad Ismail

Umi Kastawi menunjukkan kad pengenalannya yang berusia 107 bersama anak cucunya. FOTO Ahmad Ismail

Muar: Kerap berselawat, minum air suam lebih enam gelas sehari dan pemakanan sihat dengan mengurangkan gula antara petua diamalkan seorang wanita berusia 107 tahun.

Bukan itu sahaja, ingatan Umi Kastawi juga masih kuat apabila mampu cam individu dalam kalangan keluarga dan jirannya juga serta mengingati kenangan pergi menoreh getah dengan berbasikal hingga belasan kilometer setiap hari suatu ketika dahulu.

Cucu perempuannya yang juga seorang guru, Nurhayati Khalil, 41, berkata, secara rasmi usia neneknya itu adalah 107 tahun, namun jika diikutkan usia sebenar mungkin sudah lebih berdasarkan tanda '*' pada nombor kad pengenalannya.

"Pada usia muda, neneknya sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat, mengurangkan gula, amalkan ulaman selain tidak gemar memakan daging serta kerap juga berpuasa sunat.

"Nenek saya juga seorang yang cergas apabila dia tidak pernah duduk diam ketika usia mudanya dan bercucuk tanam sekitar kediaman dahulunya.

"Bayangkan setiap kali balik menoreh getah dia boleh buat lagi kerja lain antaranya memasak, berkebun, bela ayam dan pelbagai lagi," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Liang Batu di sini, hari ini.

Nurhayati berkata, neneknya dilahirkan dan dibesarkan di persekitaran kampung bersama keluarga ketika remaja.

"Berselawat tanpa mengira waktu itu antara pesanannya kepada ahli keluarga selain bersyukur serta pasrah dalam apa juga dugaan kehidupan.

Mengulas lanjut mengenai tahap kesihatan neneknya, Nurhayati berkata, ingatan neneknya masih kuat namun tahap pendengaran serta penglihatannya semakin terjejas serta kini terpaksa dibantu untuk bergerak.

"Ada ketikanya nenek masih boleh cam sesiapa yang pernah rapat dengannya dahulu dan juga kerap dia berpesan kepada cucu cicit agar belajar bersungguh-sungguh.

"Kami bersyukur kerana nenek dikurniakan usia yang panjang melebihi satu abad serta mampu melihat cucu serta cicitnya membesar di depan mata.

"Dia juga sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 baru-baru ini," katanya.

Umi mempunyai seorang anak perempuan, tujuh cucu serta 28 cicit dan tiga piut.

'Rangkaian dedak’:Syed Saddiq berdepan tindakan undang-undang

Enggan mohon maaf tuduh ‘rangkaian dedak’, Syed Saddiq berdepan tindakan undang-undang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas beliau enggan memenuhi tuntutan permohonan maaf atas tuduhan mengaitkannya dengan satu “rangkaian dedak” yang menawarkan rasuah kepada ahli Bersatu.

Habibul Rahman Kadir Shah berkata, beliau menerusi peguamnya, Tetuan Jahaberdeen & Co telah menghantar satu notis tuntutan kepada Ahli Parlimen Muar itu pada 17 Sept lalu untuk menuntut tiga perkara, iaitu permohonan maaf kerana kata-kata fitnah yang dilemparkan terhadapnya, akujanji untuk tidak mengulangi perkara itu serta tawaran satu jumlah ganti rugi.

Bagaimanapun katanya, Syed Saddiq enggan memenuhi tuntutan itu menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk memulakan tindakan undang-undang. 

“Pada 17hb September 2021, saya menerusi peguam cara, Tetuan Jahaberdeen & Co telah menghantar satu notis tuntutan kepada Syed Saddiq untuk menuntut tiga perkara, iaitu penerbitan permohonan maaf beliau kerana menerbitkan kata-kata fitnah terhadap saya dalam sidang media di Hotel Seri Pacific pada 2 Okt 2017, akujanji bahawa beliau tidak mengulangi kata-kata fitnah tersebut dan tawarannya untuk satu jumlah ganti rugi.

“Saya dengan tegas menafikan segala tuduhan jahat yang dilemparkan terhadap saya dan menyatakan bahawa perkara-perkara yang dinyatakan itu adalah fitnah yang amat menjengkelkan.

“Walaupun begitu, Syed Saddiq menerusi peguamnya, Tetuan AmerBON Advocates memaklumkan bahawa beliau enggan memenuhi tuntutan surat peguam saya.

Justeru, saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya dalam kenyataan.

Pada sidang media itu, Syed Saddiq dilaporkan mendedahkan mengenai kewujudan satu rangkaian yang beroperasi untuk menyogok dan mengugut ahli pengasas parti Bersatu.

Rangkaian yang dirujuknya sebagai “rangkaian dedak yang sistematik” itu dikatakan beroperasi untuk melemahkan dan merapuhkan status kewangan individu yang menentang rasuah di Malaysia.

PH Melaka tiada rancangan menghadap Agong

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari memberitahu bahawa setakat hari ini, gabungan itu tiada rancangan bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau dalam hantaran Facebooknya hari ini berkata, fokus PH ketika ini adalah untuk membawa kes pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke mahkamah.

Kenyataan yang dikeluarkan Adly itu sekaligus menafikan dakwaan ADUN Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee bahawa ADUN PH dan empat ADUN yang menarik sokongan kepada kerajaan, akan menghadap Agong.

“Pakatan Harapan Negeri Melaka setakat ini tiada rancangan bertemu YDP Agong.

“Fokus kini untuk membawa pembubaran DUN ke mahkamah bagi mempertikaikan proses dan fakta pembubaran termasuk menghormati perkara 19(2) perlembagaan negeri,” katanya.

Terdahulu, ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee memaklumkan bahawa kesemua 15 ADUN PH, Umno, Bersatu dan Bebas Melaka yang mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri, akan mengadakan pertemuan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, pertemuan itu ekoran ketidakpuasan hati terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam membubarkan DUN selepas mendapat nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Politik Melaka: PN rampas mandat, tapi masih gagal urus rakyat

SITI NUR ZAWANI MISCON

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar melabel Umno sebagai ‘fail’ atau gagal ekoran konflik dalaman parti itu yang menyebabkan kerajaan negeri Melaka tumbang sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Beliau berkata, pada ketika Umno dan Perikatan Nasional (PN) merampas mandat rakyat daripada Pakatan Harapan (PH), rakyat menjangkakan satu perubahan bakal terlaksana dari kerajaan dikenali Melayu Islam itu.

Namun sebaliknya, parti-parti itu mempamerkan kegagalan dalam mengurus negeri yang kecil, kata Mahfuz.

“(Situasi di Melaka) bukan bermula dari PH. Ini bermula dari masalah dalaman Umno.

“Masalah dalaman yang masing-masing menghunuskan keris. Ini menunjukkan bahawa Umno ‘fail’. Umno tak berupaya nak menguruskan negara dan juga negeri.

“Rakyat mesti buat penilaian bagaimana kegagalan Umno menguruskan masalah dalaman mereka,” katanya dalam Borak Dahsyat yang disiarkan di Facebooknya malam tadi.

Pada masa sama beliau berkata, rakyat tidak boleh menganggap bahawa suara mereka melalui peti undi tidak akan didengar lagi.

Tetapi katanya, rakyat perlu terus melangkah, menolak kumpulan-kumpulan yang sentiasa berbalah dan tidak boleh menguruskan rakyat dengan baik.

Abang askar jilat tangan pekerja wanita diburu polis

Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

AKSI lelaki memakai pakaian seragam tentera memegang tangan pekerja wanita kedai vape di Taman Keramat, Ampang, sebelum menjilatnya, tengah hari semalam. FOTO ihsan polis

AKSI lelaki memakai pakaian seragam tentera memegang tangan pekerja wanita kedai vape di Taman Keramat, Ampang, sebelum menjilatnya, tengah hari semalam. FOTO ihsan polis

Ampang: Pekerja wanita sebuah kedai vape di Taman Keramat, di sini, trauma selepas menjadi mangsa cabul lelaki memakai pakaian seragam tentera, tengah hari semalam.

Dalam kejadian pada 1 tengah hari itu, mangsa berusia 18 tahun didatangi suspek yang ingin membeli barangan vape sebelum dia keluar selepas selesai melakukan urusan itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, selepas itu, suspek masuk semula ke dalam kedai dan beritahu pod vape dibelinya tidak berfungsi.

Beliau berkata, mangsa kemudian memeriksa pod itu dan menggantikan dengan yang baru.

"Mangsa menyerahkan pod vape terbabit dan ketika itu, suspek mengambil kesempatan memegang tangan mangsa serta turut menjilat tangan mangsa.

"Selepas mangsa beritahu ada kamera litar tertutup (CCTV), suspek terus melepaskan tangan mangsa dan beredar dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohamad Farouk berkata, siasatan diteruskan dan usaha untuk mendapatkan butiran peribadi dan mengesan suspek sedang dijalankan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu cabul.

Menurutnya, orang awam yang memiliki maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Siti Zaleha Abdullah ditalian 03 42897222 atau balai polis berhampiran.

Pandora Papers: PH digesa keluar dari MoU kecuali Ismail penuhi 3 tuntutan

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menggesa Pakatan Harapan bertindak keluar dari Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan jika Kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memenuhi tuntutan 3 tuntutan.

Iaitu, membenarkan Parlimen membahaskan Usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pendedahan oleh Pandora Papers tentang berbilion ringgit Malaysia disimpan secara rahsia di British Virgin Islands dan lain-lain Pusat kewangan luar pesisir oleh 1500 Rakyat Malaysia termasuk tokoh-tokoh politik Dan korporat serta anak-anak Dan isteri mereka, yang dianggarkan RM1.8 trillion dari tahun 2004 hingga 2014.

Tuntutan kedua ialah membentuk segera Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu Pandora Papers.

Dan yang ketiga, mengambil tindakan segera dengan menggunakan kuasa perundangan Malaysia yang ada supaya Wang dan modal milik Rakyat Malaysia yang tersimpan dalam akaun-akaun rahsia tersebut yang menyalahi undang-undang Malaysia dirampas dan dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia.

Abang PM bakal pimpin parti baharu

MALAYSIA DATELINE

Abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal melancarkan parti baharu bulan ini, lapor The Malaysian Insight.

Kamaruzaman Yaakob yang merupakan nama besar dalam gerakan mahasiswa lebih 40 tahun lalu ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) 1973/1974.

Beliau antara mahasiswa ketika itu yang menggerakkan demonstrasi Baling, Peristiwa Tasek Utara, gerakan anti imperialis dan rampasan kuasa UM pada 1974.

Keahlian parti baharu yang akan dilancarkan Kamaruzaman dikatakan terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti individu berhaluan kiri, ahli ekonomi, ahli politik bebas dan aktivis politik dari Sabah dan Sarawak.

Ada tiga 'singa' kuasai Melaka

Hassan Omar

am@hmetro.com.my

NOR Azman menangis ketika meluahkan perasaan pada sidang media penjelasan mengenai kemelut politik Melaka. Turut serta, Idris. FOTO Syafeeq Ahmad

NOR Azman menangis ketika meluahkan perasaan pada sidang media penjelasan mengenai kemelut politik Melaka. Turut serta, Idris. FOTO Syafeeq Ahmad

Melaka: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mendakwa, Melaka bukan dikuasai oleh 'dua singa di atas gunung,' sebaliknya tiga 'singa' yang didakwanya terbabit dalam penyelewengan kerja mengorek pasir laut dan menambak pantai di negeri ini.

Beliau mendakwa, ketiga-tiga singa terbabit akan dibawa ke muka pengadilan jika Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

"Kalau Datuk Seri Idris Haron kata ada dua singa di atas gunung yang menguasai negeri Melaka, saya pula katakan sebenarnya ada tiga singa yang merosakkan negeri ini," katanya pada sidang media bersama-sama Idris di resort miliknya di Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini hari ini.

Mengenai hala tuju mereka, Nor Azman berkata, setakat ini beliau dan Idris sudah menerima tawaran daripada beberapa pemimpin PH untuk menyertai parti masing-masing tetapi masih membuat pertimbangan sewajarnya bagi memastikan mereka bukan setakat menang, malah mampu membentuk kerajaan negeri selepas itu.

"Saya dan Datuk Seri (Idris) akan buat keputusan parti mana yang akan kami sertai pada waktu sesuai sebelum PRN tetapi yang dua orang lagi (Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad), saya tidak tahu," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas parti atau pemimpin parti berkenaan yang menghubungi mereka dan membuat tawaran itu.

Nor Azman berkata, beliau akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan begitu juga Idris di kerusi Sungai Udang.

Nor Azman adalah penyandang bagi penggal pertama manakala Idris bagi penggal kedua.

Adly: Isytihar darurat bakal burukkan ekonomi negeri yang sedang pulih

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari tidak bersetuju sekiranya darurat diisytihar di negeri itu.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pengisytiharan darurat bakal memberi gambaran negatif terhadap pembangunan ekonomi negeri yang baharu sahaja dalam fasa pemulihan.

“Bagi saya mengheret Melaka kepada darurat adalah cukup buruk dan memberi persepsi negatif sebab kita dalam proses (pemulihan) dari satu fasa ke satu fasa.

“Kita tak boleh burukkan ekonomi kita. (Tak boleh) beri gambaran ekonomi buruk terutama di Melaka ketika kita baru nak buka pintu pelancongan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Naib Presiden AMANAH itu juga menyatakan rasa kesal kerana sepatutnya pihak yang sudah hilang majoriti, perlu mengikut proses peletakan jawatan yang betul, dan bukannya menasihati Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tegasnya lagi, pihak yang tidak lagi mempunyai majoriti tidak sepatutnya memberi pandangan yang akhirnya menyebabkan kemudaratan kepada negeri itu.

Umno perlu tanggungjawab jika PRN Melaka jejas kesihatan awam, kata PKR

SITI NUR ZAWANI MISCON

Umno harus bertanggungjawab jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjejaskan kesihatan orang ramai kerana keputusan melaksanakan pilihan raya dalam waktu pandemik Covid-19 ini meletakkan rakyat dalam risiko jangkitan.

Bahkan kata Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR, Ginie Lim, pembubaran DUN Melaka itu dibuat tanpa perbincangan.

“Pembubaran DUN Melaka yang diumumkan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh agar diadakan pilihan raya di peringkat negeri, adalah satu keputusan yang dibuat secara unilateral.

“(Keputusan dibuat) tanpa berbincang dengan semua pihak dan bertentangan dengan semangat muafakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kata Ginie Lim yang juga Adun Machap Jaya, mereka menerima cabaran tersebut bagi mengembalikan semula mandat rakyat yang dirampas selepas PRU-14

Ini katanya, merupakan satu peluang untuk rakyat Melaka bersuara dan memberi mesej yang jelas kepada pimpinan politik baik peringkat negeri mahupun nasional tentang hala tuju negara.

“Selepas berkhidmat 3 tahun sebagai Ahli Undangan Dewan, saya ucapkan terima kasih kepada semua warga Machap Jaya, penyokong dan anggota parti yang telah memberi kerjasama dan peluang untuk saya berkhidmat selama 40 bulan.

“Saya akan terus pertahankan DUN Machap Jaya agar kemenangan kembali kepada Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

Idris dakwa ada campur tangan individu halang tugas exco

Malaysiakini 

Sehari selepas mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan dua lagi Exco Kerajaan Negeri Melaka hari ini menjelaskan tindakan mereka berbuat demikian, yang secara tidak langsung mencetuskan krisis politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang itu mendakwa terdapat campur tangan individu tertentu sehingga menyebabkan Exco Kerajaan negeri Melaka tidak dapat menjalankan peranan dan fungsi mereka kepada rakyat.

Bekas Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri itu berkata semua perkara yang dirujuk kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk tindakan tidak dapat diputuskan beliau, sebaliknya perlu dirujuk kepada pihak berkenaan.

"Saya tidak ada masalah dengan Sulaiman… beliau seorang yang baik dan menghormati semua orang tetapi saya mempunyai masalah dengan (kepimpinan) Ketua Menteri Melaka yang menjadi boneka kepada individu berkenaan.

"Saya ada masalah dengan (kepimpinan) Ketua Menteri yang terpaksa merujuk keputusan kepada seseorang yang lain.

"Kita ada 10 Exco kerajaan negeri dan kita mempunyai hak untuk membuat keputusan tetapi ia tidak dapat dilaksanakan," katanya pada sidang media di Melaka hari ini.

Hadir sama Adun Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee yang merupakan bekas Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan Adun Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad yang juga bekas Exco Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan).

Sementara itu, Adun Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan tidak menghadiri sidang media itu kerana dikhabarkan kurang sihat.

Idris berkata situasi itu menjejaskan peranan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana banyak keputusan tidak dapat dilaksanakan, sekali gus memberi impak negatif kepada Melaka terutama membabitkan pembangunan dan ekonomi negeri.

Ketika ditanya tentang ura-ura beliau akan dilantik semula sebagai Ketua Menteri Melaka di bawah kepimpinan Pakatan Harapan, Idris berkata hal itu bukan keutamaan mereka ketika ini, sebaliknya usaha membentuk kerajaan negeri baru lebih penting.

"Semua Adun dalam PH berpotensi menjadi Ketua Menteri Melaka dan setakat ini saya tidak mencalonkan diri saya dan kami tidak bercerita tentang isu ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Idris mendakwa dua lagi Adun daripada UMNO akan menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri Melaka.

Rentetan pengumuman empat Adun berkenaan, Sulaiman dilaporkan menghantar surat kepada Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam semalam bagi memaklumkan kedudukan itu dan meminta perkenan untuk pembubaran DUN.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini berkata Mohd Ali telah membuat pertimbangan dan bersetuju DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 Adun yang terdiri daripada 14 Adun Umno, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

- Bernama

PRN Melaka: Jangan jadi macam Sabah, kata A Kadir

SITI NUR ZAWANI MISCON

Selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menarik sokongan dari kerajaan negeri, DUN diumumkan bubar hari ini dan bakal memberi laluan kepada pilihan raya negeri mengejut.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin memberi amaran agar keadaan ini tidak mencetuskan suasana seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

PRN di Sabah antara punca kepada lonjakan kes positif Covid-19 dalam negara sehingga mencetuskan gelombang ketiga dan mencatatkan angka kes tertinggi melebihi 24,000. 

“DUN Melaka dibubarkan. Pilihan raya negeri akan diadakan. Jangan jadi macam Sabah. Covid-19 menjadi padah,” ulasnya ringkas di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, empat Adun mengumumkan penarikan sokongan daripada kerajaan negeri.

Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Mereka berkata, tindakan berkenaan rentetan daripada beberapa keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana, sekali gus meletakkan Melaka sebagai negeri yang ‘flip flop’ atau sering berubah-ubah dalam membuat keputusan.

“Seolah-olah ada dua singa di atas satu gunung dan ini menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.

Suami isteri maut ditetak anak sendiri

FMT Reporters

Kejadian di Kampung Kemahang, Benta, Lipis, Pahang menyebabkan Mohamad Maasai dan isterinya, Zailan Zainudin meninggal dunia di tempat kejadian. (Gambar IPD)

PETALING JAYA: Menyayat hati apabila sepasang suami isteri maut di tangan anak sendiri selepas dipercayai ditetak dengan parang, dalam kejadian di Benta, Lipis, malam tadi.

Kejadian kira-kira 11.55 malam di Kampung Kemahang itu menyebabkan pengawal keselamatan, Mohamad Maasai, 68, dan isterinya, yang juga pesara penyelia asrama, Zailan Zainudin, 64, meninggal dunia di tempat kejadian.

Tragedi itu dikatakan berlaku selepas suspek, yang juga seorang penganggur, berbual dengan mangsa mengenai ilmu agama dan ketuhanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Azli Mohd Noor, siasatan awal mendapati anak mangsa berusia 34 tahun itu berada di tempat kejadian ketika pembunuhan berlaku.

“Kejadian dipercayai berlaku pada 11.55 malam di rumah keluarga terbabit, ketika suspek bersama ibu bapanya sedang berbual.

“Ketika wanita warga emas itu masuk ke dalam bilik, suspek terus berborak dengan bapanya mengenai ilmu agama dan ketuhanan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Azli berkata, siasatan mendapati suspek dikatakan melihat mata bapanya menjadi hitam dan seolah-olah ingin menyerangnya sehingga menyebabkan dia mencapai sebilah parang dan bergelut sebelum menetak warga emas terbabit.

“Ibu suspek yang menyedari kejadian itu menghampiri suaminya dan cuba membantu tetapi diserang oleh suspek dengan menetak dan menikam leher dan kepala mangsa.

“Wanita itu berusaha menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah tetapi rebah berhampiran pagar kediaman itu,” katanya.

Azli berkata, ketika ditahan oleh penduduk, suspek berada dalam keadaan bogel serta berlumuran darah.

Katanya, seorang penduduk kampung yang meninjau rumah keluarga itu menemui mangsa (Mohammad) terbaring di lantai dalam keadaan berlumuran darah dan telah meninggal dunia.

“Ibu suspek pula ditemui terbaring di atas rumput dan tidak bernyawa di luar rumah mereka,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

DUN Melaka dibubar, pilihan raya negeri jadi pilihan atasi kemelut politik

Malaysiakini 

Akhirnya kemelut politik di Melaka akan diselesaikan dengan mengembalikan hak untuk menentukan kerajaan negeri kepada pengundi.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Ab Rauf Yusoh, sebentar tadi mengumumkan cadangan agar diadakan pilihan raya di peringkat negeri diterima Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam.

Ab Rauf juga mengumumkan DUN Melaka dibubarkan hari ini.

Kata Ab Rauf nasihat agar diadakan DUN Melaka dibubarkan itu dibuat Ketua Menteri Sulaiman Md Ali kepada Mohd Ali dan dipersetujui hari ini.

Mengikut perlembagaan, selepas DUN dibubarkan sebuah pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Melaka dilanda kemelut politik selepas empat Adun kerajaan diketuai bekas ketua Menteri, Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan BN-PN.

Idris merupakan Adun Sungai Udang.

"Proklamasi pembubaran DUN Melaka diwartakan hari ini, 5 Okt 2021," kata Ab Rauf pada sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini. 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memberi jaminan sekiranya berlaku pilihan raya di Melaka, prosedur operasi standard yang ketat akan dilaksanakan.

Ketetapan itu katanya dibuat bagi mengelakkan berulangnya penularan wabak Covid-19 seperti yang pernah berlaku ketika pilihan raya negeri Sabah diadakan pada tahun lalu.

Untuk rekod sehingga malam tadi, 88.2 peratus populasi orang dewasa di Melaka sudah divaksinasi sepenuhnya.

Ditanya mengenai pelaksanaan pilihan raya negeri ketika Covid-19 masih menjadi ancaman, Ab Rauf berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mencadangkan kaedah yang rasakan sesuai.

"Terpulang kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membuat keputusan lanjut," katanya. 

Dia juga memaklumkan, dengan pembubaran DUN Melaka hari ini, negeri itu ditadbir oleh kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya negeri selesai dijalankan.

Anak lelaki Shah Rukh Khan ditahan, beberapa jenis dadah ditemukan


ARYAN KHAN

MUMBAI: Biro Kawalan Narkotik (NCB) menahan anak lelaki Shah Rukh Khan, Aryan Khan pagi ini, susulan serbuan parti di atas kapal layar dekat sini.

NDTV melaporkan, selain Aryan, 23, tujuh lagi turut ditahan dalam serbuan malam tadi.

Serbuan menemukan 13 gram kokain, 21 gram kanabis, 22 pil methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan 5 gram dadah jenis mephedrone (MD).

“Kesemuanya termasuk dua wanita ditahan untuk soal siasat,” jelas NCB.

Dalam pada itu, Shah Rukh Khan dilihat meninggalkan kediamannya dan menuju ke pejabat peguam sejurus selepas penahanan Aryan disahkan.

Utusan 

Sudah merasa darah, takut muncul pula Dracula dalam Umno

A KADIR JASIN

Mahiaddin Md Yasin ajar cara jatuhkan kerajaan pilihan rakyat. Dia dan konco-konco dia jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dia sendiri anggotai. Dia pun naik jadi Perdana Menteri.

Ahmad Zahid Hamidi ajar cara jatuhkan ketua kerajaan. Dia dan Geng 15 jatuhkan Mahiaddin dengan menarik balik sokongan. Perdana Menteri dari Bersatu jatuh, Perdana Menteri dari Umno naik. Umno yang kalah pilihan kembali berkuasa. Bersatu/PH yang kalahkan Umno terpelanting.

Sekarang penyakit ini merebak ke negeri pula. Di Melaka, dua Ahli Dewan Undangan Negeri dari Umno berpakat dengan seorang Adun Bersatu dan seorang Adun Bebas (asalnya DAP) untuk jatuhkan kerajaan pimpinan Umno.

Macamlah Mahiaddin dari Bersatu bersekongkol dengan Umno, Pas dan Geng Azmin menjatuhkan Perdana Menteri PH dari Bersatu.

Cepat sungguh politikus Melayu-Islam belajar perkara tidak baik. Kalau di Perak yang jatuhkan Menteri Besar dari Bersatu adalah Umno tapi di Melaka ia sudah sampai peringkat menjatuhkan ketua kerajaan daripada parti yang sama. Umno jatuhkan Umno.

6. Jadi, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dari Umno pun kenalah berjaga-jaga juga sebab dia naik kerana Geng 15 dari partinya berpakat menjatuhkan Perdana Menteri dari Bersatu. Mereka ini sudah merasa darah. Jadi, berhati-hatilah takut muncul pula Dracula dalam Umno.

Ismail Sabri mungkin selamat (atau berasa selamat) daripada konspirasi pembangkang kerana telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PH. Tapi kena berhati-hati juga takut ada musuh dalam selimut yang ada gunting dalam lipatan dalam kalangan pemimpin Umno sendiri. Silap-silap terpotong tiang seri!

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan umumnya dianggap sebagai orang baik dan sesuai ambil alih parti itu. Tapi dia pun sudah mula bersuara. Dia dilaporkan berkata, terdapat beberapa dasar kerajaan yang tidak selaras dengan dasar parti, kerana Umno dan kerajaan adalah dua entiti berbeza. Sebagai contoh dia menyebut MoU dengan PH.

Tapi ada pula orang kata, sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri patut jadi Presiden parti. Kalau dia tunjuk prestasi yang baik dalam masa 100 hari macam dia janji, rakyat jelata akan buka mata.

Perbuatan saling menjatuhkan ini hanya boleh diterima dan dipertahankan jika tujuannya adalah menyingkirkan ketua kerajaan negeri atau persekutuan yang gagal mentadbir dengan baik apatah lagi korup, menyeleweng dan menyalahguna kuasa.

Hantaran sahabat baik Ebit Liew di media sosial dedah wajah sebenar pendakwah tersebut

Kontroversi melanda Ebit Lew sejak akhir-akhir ini membuatkan seorang sahabat karib kepada penceramah terkenal itu tampil menitipkan pesanan kepada beliau sekali gus menjawab persoalan yang ditanyakan orang ramai kepada wanita berkenaan.

Menerusi perkongsian di Facebook milik Noor Laila Aniza Zakaria, pemilik akaun itu menjelaskan sudah lama berkawan baik dengan Ebit malah banyak artikel ditulis mengenai kebaikan penceramah itu tular di laman media sosial.

“Buat sahabat baikku, Ustaz Ebit Lew, seandainya apa dikatakan orang tentang dirimu, semoga Allah mengeluarkan kamu daripada segala kesulitan hidup dan kesakitan yang kau tanggung sehingga melakukan kerosakan sebegini besar, ketahuilah ia kerosakkan yang besar.

“Pasti ada ubat dan penawar, ubatilah dirimu dan carilah jalan keluar sebelum terlambat, terlalu ramai ingin menolong kamu, sangat ramai,” tulisnya.

Katanya kepada Ebit Lew, setiap tipu daya juga tidak boleh ditutup dengan tipu daya.

“Adalah satu kemuliaan untuk memohon maaf, berhenti melakukannya dan mengawasi dirimu dengan sehabis baik selain duduk berdamping bersama dan belajar bersama guru yang alim.

“Sekiranya ia merupakan fitnah kepadamu, semoga Allah memberi ganjaran dengan sebanyak kebaikan yang tidak terhitung,” jelasnya yang bercakap atas kapasiti seorang sahabat baik.

Beliau turut memberi pesan kepada orang ramai yang tidak mengetahui kebenaran kisah itu agar tidak menyokong serta mengeji.

Sumber –K! ONLINE

Gara-gara gaduh dengan teman lelaki, wanita terjun kereta

FMT Reporters

Tangkap layar video menunjukkan seorang wanita yang dipercayai bergaduh dengan pemandu Myvi bertindak nekad terjun dari kenderaan itu.

PETALING JAYA: Seorang wanita terjun dari kereta selepas dikatakan bergaduh dengan teman lelakinya yang memandu kenderaan itu di Shah Alam.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Seksyen 7, berdekatan Universiti Selangor. Video rakaman insiden itu kini tular di media sosial.

Wanita itu terjun dari kereta Perodua Myvi yang dipandu agak laju dan nyaris dilanggar kenderaan lain yang berada di belakang.

Tindakan wanita berkenaan membahayakan dirinya dan pengguna jalan raya lain. Beliau dikecam pengguna media sosial yang mendesak pihak berkuasa menyiasat kejadian itu.

Melalui rakaman video berkenaan, kereta itu memberikan lampu isyarat kecemasan sebelum seorang wanita bertindak terjun keluar.

“Harap pihak berkuasa ambil tindakan dalam kes ni…harap maklum,” kata warganet Norhissham Hissham.

“Bahaya betul, kalau dilenyek kereta belakang tak pasal lain jadinya, lain kali kalau nak gaduh ‘parking’ tepi jalan,” kata Ariana Sha.

Seorang lagi pengguna media sosial Faridah Abdullah Nurizda pula berharap sebarang pertelingkahan pasangan itu diselesaikan secara baik.

“Kita tak boleh hukum mereka sebab kita tak tahu apa kes mereka, saya doakan yang si perempuan itu bersabar selesai cara baik-baik kalau rasa dah tak boleh baik putus sahaja cara elok,” katanya.

ADUN PH bersama 4 ADUN lagi mohon menghadap TYT Melaka

NASUHA RAHMAN

11 ADUN Pakatan Harapan dan empat ADUN yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam bagi memastikan kestabilan politik diteruskan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari di dalam sidang media di Melaka sebentar tadi berikutan susulan Adun Sungai Udang, bersama Pangkalan Batu, Teluk Emas, dan Pantai Kundur, mengumumkan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Melaka dan seluruh kepimpinan kerajaan.

ADUN Bukit Katil itu berkata surat bagi memohon menghadap telah diserahkan kepada pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ali Rustam hari ini.

“Hari ini kita sampaikan surat pada Tuan Yang Terutama dan tunggu jawapan istana negeri,” katanya.

Menurut Adly, Pakatan Harapan sentiasa akan memastikan kestabilan politik terjamin demi kesejahteraan rakyat negeri Melaka.

“Negara masih menuju ke arah endemik, bagi kita PH yang penting adalah kestabilan politik diberi keutamaan dan tanggungjawab.

“Politik Melaka harus stabil untuk berdepan dengan Covid-19, ekonomi. Jadi PH memainkan peranan itu,” kata beliau.

Menurutnya, apabila Ketua Menteri Melaka tidak lagi mendapat kepercayaan maka dia sudah tidak boleh terus tadbir kerajaan.

Ini kerana katanya, sebagaimana di dalam Perlembagaan Negeri Perkara 74 di mana Ketua Menteri yang tidak dapat kepercayaan maka dia hendaklah letak jawatan melainkan ada permintaan dibubarkan Dun.

Empat ADUN kerajaan, sebentar tadi mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Keputusan 'flip-flop' punca kerajaan Melaka tumbang?

Amir Mamat dan Nuraliawati Sabri

am@hmetro.com.my

Melaka: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkuat-kuasa hari ini.

Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan beliau bersama Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh pagi tadi.

Pada sidang media khasnya, Idris yang juga Adun Sungai Udang mendakwa penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang 'flip-flop' serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.

"Banyak keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana (meskipun) sudah diputuskan. Seolah-olah ada dua singa atas satu gunung, jadi menimbulkan keresahan kami dan menyedarkan kami untuk mengubah keadaan yang ada sekarang ini.

"Setakat ini saya menyatakan, empat orang kami ini bersama dengan 11 Adun Pakatan Harapan (PH) memang tidak percaya dan tidak menyokong kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus membuktikan kerajaan negeri pimpinan Sulaiman sudah hilang majoriti sokongan.

"Saya melihat kepentingan rakyat di atas segala-galanya, kalau semua tindakan kerajaan negeri tidak tepat dan tidak objektif dalam membela nasib rakyat terutama dalam suasana Covid-19 yang begitu mengekang, ditambah pula suasana ekonomi yang tidak menunjukkan sebarang kemajuan, inilah tindakan kita.

"InsyaAllah kita akan ada satu gagasan yang akan memberikan peluang lebih dalam soal kemajuan dan kebajikan rakyat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, gabungan PH negeri akan menghantar surat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dalam tempoh terdekat bagi memaklumkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Sulaiman sudah hilang majoriti.

Beliau berkata, selaras dengan peruntukan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka yang berbunyi 'Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Adun, Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat, melainkan jika atas permintaan Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Saya mewakili Adun PH, manakala Datuk Seri Idris mewakili empat Adun, berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Tun bagi membincangkan mengenai usaha yang boleh diambil bagi memastikan kestabilan politik negeri serta kesinambungan pentadbiran kerajaan dapat diteruskan.

"Keutamaan PH pada masa ini adalah untuk memastikan kestabilan politik negeri ini bagi memastikan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, mengenai senarai nama calon bakal Ketua Menteri dari PH, Adly berkata, pihaknya akan terlebih dulu berjumpa dan mengadakan perbincangan bersama Mohd Ali.

"Kalau kita lihat Perlembagaan Negeri, kuasa melantik (Ketua Menteri) dalam bidang kuasa Tun.

"Kita akan bertemu dulu dengan Tun bagi berbincang demi kebaikan negeri ini," katanya.

Empat Adun umum hilang kepercayaan kepada KM Melaka

Amir Mamat

am@hmetro.com.my

Melaka: Empat Adun kerajaan, sebentar tadi mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Mereka menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri.

Kartunis hina Nabi Muhammad maut kemalangan jalan raya

 

story-imageKartunis Sweden Lars Vilks, yang pernah mencetuskan kontroversi menerusi kartun yang menghina Nabi Muhammad, maut dalam kemalangan jalan raya pada Ahad, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan.

Kartunis Sweden Lars Vilks, yang pernah mencetuskan kontroversi menerusi kartun yang menghina Nabi Muhammad, maut dalam kemalangan jalan raya pada Ahad, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan.

Dua pegawai polis yang ditugaskan untuk melindunginya juga terbunuh dalam nahas itu, lapor harian Sweden Dagens Nyheter.

Kereta dinaiki Vilks dan anggota polis itu bertembung dengan sebuah lori sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar, lapor penyiar Sweden, SVT.

Pemandu lori turut cedera.

Vilks hidup di bawah perlindungan polis dan tinggal di lokasi rahsia ekoran menerima ancaman bunuh sejak akhbar tempatan Sweden, Nerikes Allehanda menerbitkan kartunnya yang menghina Nabi Muhammad pada 2007.

- Bernama

Zuraida sahkan Kabinet lulus 32,000 pekerja asing masuk Malaysia

MALAYSIA DATELINE

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin mengesahkan seramai 32,000 buruh asing yang sudah lengkap divaksin akan dibawa masuk ke Malaysia sebagai pekerja dan penuai di ladang-ladang kelapa sawit di seluruh negara pada pertengahan bulan ini.

Menurut beliau perkara itu telah diluluskan oleh Kabinet dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Perkara ini perlu disegerakan bagi meningkatkan eksport negara. Kita masih mengharapkan penggunaan buruh asing memandangkan rakyat tempatan belum berkemahiran untuk menjadi penuai dan pekerja ladang.

“Satu masa nanti diharap negara akan mempunyai kemahiran tenaga kerja tempatan, seiring dengan industri yang lebih berteknologi tinggi,” katanya selepas melawat Galeri Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN) Kelantan semalam.

Zuraida dalam pada itu menambah, kerajaan mengalu-alukan inisiatif syarikat-syarikat perladangan menanggung sendiri proses kemasukan buruh asing, sekali gus mempercepatkan usaha tersebut.

“Pekerja asing baru dibawa masuk ini akan diletak di ladang-ladang kepa sawit yang dikenal pasti dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum memulakan pekerjaan masing-masing,” katanya.

Kes RM272.99 juta uCustoms: Siasat pegawai tinggi kerajaan, menteri

FAZLI RADZI

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat pegawai dan menteri-menteri yang terlibat dalam kelulusan siri pembayaran RM272.99 juta untuk projek sistem uCustoms yang gagal disiapkan, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Wakil rakyat DAP itu menegaskan pegawai tinggi kerajaan dan menteri yang terbabit dalam kelulusan pembayaran kepada syarikat tersebut harus digantung sementara siasatan dilakukan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini merujuk kepada berita penangkapan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang dikaitkan dengan uCustoms berusia 56 tahun pada 1 Oktober lalu.

Lelaki berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi tujuan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mengulas lanjut, Lip Eng berpendapat projek sistem uCustoms, yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), baru-baru ini melibatkan lebih daripada sekadar seorang CEO.

Hal ini memandangkan, jelasnya, satu sindiket tidak akan dapat beroperasi tanpa bantuan pegawai tinggi kerajaan, bahkan menteri-menteri yang meluluskan siri bayaran sejak 2013.

“Mereka ini juga haruslah disiasat, dan jika mereka masih dalam perkhidmatan, mereka harus digantung sementara Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan SPRM menyiasat kes berkenaan,” tegasnya.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) adalah antara yang akan dipanggil PAC bagi menjelaskan mengenai kegagalan menyiapkan sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta, sehingga kini.

Sebelum ini, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, memberitahu kerajaan sudah membayar sejumlah RM272.99 juta bagi projek yang dimulakan pada Oktober 2013 dan diberi pelanjutan sehingga lima kali.

LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, baru-baru ini mendedahkan, sistem uCustoms oleh JKDM bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.

Sebanyak RM272.99 juta dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek menurut laporan audit itu manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 dikenakan.

Lip Eng menyoal sekiranya pembayaran kepada syarikat itu dibuat secara telus dan bertanggungjawab.

“Ia perkara yang serius bagaimana satu jumlah sebesar RM272.99 juta boleh dibayar kepada pembekal dan pejabat pengurusan projek, apabila projeknya gagal disiapkan dalam 86 bulan dengan lima lanjutan masa yang diberikan.

“Ini bukan hanya menunjukkan ketikdakcekapan syarikat, tetapi juga agensi pemantau dan menteri-menteri yang memantau projek itu,” tegasnya lagi.

Imam masjid rugi lebih RM55,000 'dipukau' bakal menantu

N Faizal Ghazali

Imam masjid membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu seorang lelaki hingga mengalami kerugian sehingga RM55,800 dalam kejadian bermula Jun hingga pertengahan September, tahun ini.

Imam berusia 50-an itu membuat laporan di Balai Polis Bachok, Kelantan pada 14 September lalu selepas menyedari dia dan anak perempuannya diperdaya individu tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, imam berkenaan mengenali lelaki berusia 36 tahun itu yang juga bakal menantunya pada Jun lalu.

Menurut Abdul Rahim, lelaki itu mendakwa mempunyai perniagaan emas dan kambing perap serta meminta sejumlah modal daripada bakal mentuanya.

"Imam tersebut memberi sejumlah wang lebih RM38,000 daripada awal Jun hingga September secara berperingkat berdekatan di Bandar Baru Kubang Kerian.

"Dia juga memberikan barang kemas berjumlah RM6,000 dan sebuah kereta Proton Gen2 bagi memudahkan urusan perniagaan bakal menantunya," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ni.

Abdul Rahim berkata lagi, pada 14 September, lelaki tersebut menyedari dirinya ditipu dan tampil membuat laporan polis berikutan wang yang dipinjamkan tidak dipulangkan kembali.

Menurutnya, imam berkenaan menghubungi bakal menantunya untuk menuntut wang namun pelbagai alasan yang diberikan.

"Lelaki itu sudah ditahan pada jam 11 malam tadi di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Chepa bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dalam proses untuk tahanan reman," katanya lagi.

Terdahulu kes tersebut viral di media sosial selepas anak perempuan imam itu menceritakan kejadian dialami mereka menerusi hantaran di Facebook.

Pengguna Facebook dikenali sebagai Nurul Afifah itu berkata, pemberian wang oleh ayahnya kepada lelaki tersebut didakwa dalam keadaan diri mereka 'dipukau'.

"Dengan usaha adik-beradik, ayah pulih dan sedar telah ditipu.

"Kerugian kami berjumlah RM55,800, termasuk wang simpanan ibu, ayah, dan abang serta duit yang dipinjam daripada saudara terdekat selain barang kemas.

"Kemudian dia menghilangkan diri dan gagal dihubungi. Dia juga menggunakan kad pengenalan saya yang diperoleh untuk urusan perkahwinan dan membuat pinjaman ah long.

"Sungguh kami terkesan dan trauma sangat panjang. Agak berat untuk saya kongsikan kisah ini, namun demi keselamatan orang awam saya gagahkan juga," katanya yang berharap tiada lagi yang menjadi mangsa individu tersebut.

Keahlian Adun Umno terbabit jatuhkan kerajaan Melaka terbatal automatik

Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my

Seremban: Umno akan menggugurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu di Melaka yang didapati terbabit dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu selaras dengan peraturan ditetapkan parti.

"Jika didapati ada Adun daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) yang melakukan kerja dan boleh meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik keahliannya akan tergugur.

"Itu sajalah bagi pihak parti. Saya berharap wakil-wakil rakyat, Ketua Menteri dan speaker dapat memainkan peranan.

"Nasihat saya, jika kerajaan ini sudah tak boleh lagi meneruskan pemerintahan, daripada beralih-alih kerajaan, lebih baik diadakan pilihan raya kecil (PRK) negeri supaya yang penting kita boleh beri semula mandat kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan daripada sesama kita lompat sana, lompat sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada ibu tunggal, anak yatim dan golongan memerlukan di Masjid Al-Hidayah, Taman Angsamas dekat sini, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau berkata, walaupun belum mendapat maklumat lanjut mengenai perkembangan politik di Melaka kecuali melalui laporan media, namun Umno akan terus memantau.

"Saya kurang arif apa yang berlaku di Melaka kecuali seperti dilaporkan oleh media sahaja.

"Saya harap ia dapat ditangani dengan baik oleh pentadbiran kerajaan Melaka," katanya.

Terdahulu media melaporkan timbul spekulasi yang mendakwa kerajaan Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang selepas empat Adun kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH).

Malah, keempat-empat Adun itu juga didakwa sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).

Dalam pada itu, Mohamad yang juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan menggesa undang-undang mencegah ahli parlimen atau Adun daripada melompat parti dapat diluluskan segera di peringkat Parlimen.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berkata, undang-undang itu penting bagi mengelak berlakunya lompat parti dan menimbulkan masalah pada masa akan datang.

"Apabila dikira melompat dan dikira tempat itu kosong dan kita boleh buat kerusi itu sebagai kepunyaan parti. Penduduk boleh buat petisyen kerana pilihan raya kecil ini akan makan belanja.

"Apabila buat undang-undang kerusi itu kepunyaan parti, maka parti boleh melantik siapa sahaja yang layak (untuk menduduki kerusi itu)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Umno Negeri Sembilan sedang bersiap untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Selaku Pengarah Pilihan Raya Umno, saya akan turun ke setiap di negeri ini yang berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi menemui bahagian-bahagian tentang kesiapsiagaan yang dilakukan.

"Saya ada data dan maklumat, dan kita tidak mahu kesiapsiagaan itu hanya cantik atas kertas sahaja. Kita nak pastikan jentera pilihan raya bertindak proaktif," katanya.

Kes Ahmad Maslan: Adakah ini SOP baru bagi kes berprofile tinggi?

MALAYSIA DATELINE

Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa Peguam Negara memberi penjelasan terhadap kes yang melibatkan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan Peguam Negara.

“Peguam Negara juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi operasi prosedur standard (SOP) baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.

“Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada “barang kes” tersebut?”soalnya.

Dalam kenyataan bersama Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, Majlis Presiden juga kesal dengan sikap acuh tak acuh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengiakan trend baharu ini.

“Bolehkah SPRM memberikan penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan pembayaran balik wang sogokan yang dirampas sepertimana yang membabitkan ahli politik penyokong kerajaan?

“Demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum (rule of law), trend baharu Peguam Negara dan SPRM ini jelas melanggari prinsip bahawasanya keadilan itu bukan sahaja mesti dilakukan tetapi juga mesti disaksi dilakukan (“justice must not only be done, it must also be seen to be done”),” katanya.

Pakatan Harapan percaya tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki agar SPRM mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai.

Majlis Presiden Pakatan Harapan amat risau dengan trend kes mahkamah melibatkan individu individu berprofil tinggi serta penyokong parti pemerintah yang telah dilepaskan atau dibebaskan dari pendakwaan sama ada memulangkan sejumlah wang yang didakwa diterima secara tidak sah atau dengan membuat bayaran kompaun.

Terbaharu adalah kes yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian merangkap Setiausaha Agung Umno yang didakwa menerima sejumlah wang dari Dato’ Sri Najib Razak yang dipercayai dana 1MDB.

Ahmad Maslan telah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan tersebut setelah beliau membayar kompaun walaupun perbicaraan telah bermula, dan walaupun media melaporkan pada mulanya beliau enggan membayar kompaun dan mahu kes ini dibicarakan.