Farhan Zulkefly
Pada 10 Februari 2015 merupakan tarikh yang cukup memilukan buat Datuk Seri Anwar Ibrahim sekeluarga serta penyokong setia beliau.Kira-kira jam 12 tengah hari, hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun buat ketua pembangkang itu.
Saya tidak berniat untuk mengingat kembali kes fitnah yang jijik dan meloyakan ini kerana bagi saya cukup mudah.
Orang yang beriman dan berakal pasti akan menolak fitnah dan cubaan mengaibkan seseorang tanpa batas seperti yang dikenakan terhadap Anwar.
Walaupun masih ada yang mentertawakan air mata Datuk Seri Wan Azizah dan mempersendakan tangisan Nurul Izzah Anwar dan adik beradiknya yang lain, saya yakin mereka yang menganggap jasad Anwar terpenjara kali ke-2 ini merupakan sesuatu yang lucu pasti akan dibalas Allah kelak.
Walaupun sudah setahun Anwar meringkuk di dalam penjara dan tidak dapat memberi ceramah selama setahun, rakyat dapat lihat tuduhan dan pembongkaran Anwar selama ini bukan sekadar tuduhan, tetapi merupakan fakta yang tidak dapat dinafikan.
Antaranya ialah kepincangan sistem kehakiman negara. Apabila Anwar mempertikai kredibiliti badan kehakiman negara dan mengaitkan pemimpin kerajaan dengan kes beliau, penyokong Umno bukan main melenting.
“Ini keputusan mahkamah. Kena hormat”. Itulah antara ayat yang diulang beribu kali oleh mereka.
Bukan setakat penyokong Umno, malah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir juga antara yang mendesak rakyat menghormati segala keputusan mahkamah.
“Rakyat mesti terima. Negara ini ditadbir dengan undang-undang”. Cukup tegas pendirian Dr Mahathir.
Malangnya, tidak sampai setahun, Dr Mahathir sudah hilang pendirian. Di dalam blognya, beliau membangkitkan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan cuba menimbulkan persoalan sama ada bekas pegawai polis Sirul Azhar Umar membunuh kerana mendapat arahan atau tidak.
Mengapa Dr Mahathir hendak bangkitkan isu ini lagi? Bukankah kes ini sudah selesai di mahkamah? Kalau benar Dr Mahathir seorang yang cukup yakin dengan sistem kehakiman negara dan tidak langsung merasakan ada campur tangan orang lain termasuk perdana menteri, mengapa mempertikai keputusan mahkamah?
Begitu juga apabila kes lucu, RM2.6 bilion yang terdapat di dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disahkan peguam negara dana itu bukan rasuah, tetapi derma daripada dermawan Arab.
Mengapa Dr Mahathir tidak minta maaf kepada Najib selepas peguam negara membuat keputusan ini? Bukankah sebelum ini, Dr Mahathir kata wang ini tidak logik didermakan hartawan Arab dan hanya orang Arab gila sahaja yang akan menderma wang sebanyak itu.
Sekarang, peguam negara sudah sahkan. Mengapa masih tidak percaya?
Apakah Dr Mahathir dan sesetengah penyokong Umno sudah mula mempercayai dakwaan Anwar terdapat kepincangan dalam sistem kehakiman negara kita? Anwar sudah cakap lama dah.
Begitu juga sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Anwar beri jaminan jika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan, ia akan menurunkan harga petrol, air, elektrik, dan mansuhkan tol, manakala Anwar menegaskan berulang kali jika BN menang, pasti mereka akan melaksanakan cukai yang kononnya efektif, cukai barangan dan perkhidmatan (GST)? Apakah Dr Mahathir dan penyokong Umno lakukan? Sokong BN.
Akhirnya selepas Anwar dipenjara, GST dilaksanakan dan hampir setiap hari rakyat maki hamun Najib seolah-olah hanya Najib yang terlibat melaksanakan GST. Jika hanya Najib yang sokong GST, GST tidak mampu dilaksanakan.
Ini keputusan bersama barisan menteri. Kerana undian penyokong BN, menteri laksanakan GST. Sekarang, sesetengah kamu penyokong Umno membantah pula cukai ini.
Apakah kamu penyokong Umno sudah mula sedar dakwaan Anwar itu benar? Anwar sudah cakap lama dah.
Apabila Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan diaibkan Dr Mahathir pada 1998, apa yang Anwar katakan?
“Kalau saya yang TPM diperlakukan sebegini, bagaimana pula dengan rakyat biasa? Hari ini Anwar kena, esok orang lain pula akan dilakukan sebegini jika sistem tidak diubah”.
Ketika itu, penyokong Umno tidak langsung endahkan ayat Anwar. Bagi mereka, itu hanyalah ayat retorik yang keluar dari mulut seorang yang tewas.
Selepas Anwar dipenjara, apa yang berlaku? Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dilucutkan jawatan secara tiba-tiba oleh Najib.
Apa respons penyokong Umno? Marah, kecewa, dan terkejut. Malah, Ummi Hafilda, penyokong Umno yang cukup terkenal menjaja nama buruk Anwar sendiri mengeluarkan ayat yang saling tak tumpah seperti ayat Anwar, “Kalau seorang TPM (Muhyiddin) diperlakukan sebegini, bagaimana pula rakyat biasa”.
Apakah kamu Ummi Hafilda dan penyokong Umno sudah mula sedar dakwaan Anwar itu benar? Anwar sudah cakap lama dah.
Begitu juga dengan hutang 1MDB. Sejak 2013 lagi Anwar konsisten mengkritik salah urus kewangan di bawah 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Semasa hutang 1MDB tidak cecah RM20 bilion lagi Anwar sudah kritik 1MDB dan mengaitkan Jho Low dengan 1MDB.
Apa respon penyokong Umno? Tiada respons langsung kerana mereka tidak ambil tahu pun.
Tetapi pada awal 2015, apabila Dr Mahathir menaikkan semula isu hutang 1MDB dan ketika itu hutang pun sudah mencecah RM43 bilion, barulah penyokong Umno mula melenting dan mempersoalkan kredibiliti kerajaan.
Barulah kita dapat lihat wajah terkejut penyokong Umno seolah-olah inilah satu-satunya kes korup yang pernah kerajaan BN lakukan.
Kalau kamu penyokong Umno sudah mula bangkit dan melawan salah urus 1MDB sejak Anwar bongkarkan, pasti hutang 1MDB tidak sebanyak itu.
Malangnya kamu terlewat. Yang pasti, kamu akhirnya bangkitkan isu yang Anwar bangkitkan 2 tahun sebelum itu.
Apakah kamu penyokong Umno sudah mula sedar dakwaan Anwar itu benar? Anwar sudah cakap lama dah.
Kepada rakyat Malaysia, khususnya penyokong Umno, sedarlah. Orang yang kamu cerca, caci, maki, dan aibkan itu, sudah lama bersuara untuk kamu.
Rajin-rajinlah mendengar ucapan Anwar atau sekurang-kurangnya lihatlah ucapan beliau di Parlimen.
Tidak ada ahli Parlimen yang konsisten mempertahankan masalah rakyat seperti isu Bernas, GST, 1MDB, kuasa rakyat, dan sebagainya seperti Anwar.
Selepas setahun Anwar dipenjara, akhirnya kamu mula sedar yang perjuangan Anwar itu benar. Anwar sudah cakap lama dah.
* Penulis merupakan mahasiswa kejuruteraan awam tahun akhir dan penulis buku “Sudahlah Politikus” terbitan Merpati Jingga.