Aidila Razak dan Tham Seen Hau
Nota editor: Sempena 50 tahun rusuhan 13 Mei, Malaysiakini menerbitkan beberapa siri artikel berkaitan tragedi itu dan usaha-usaha memulihkannya. Artikel-artikel yang disiarkan mempunyai keterangan bergambar berkaitan keganasan yang berlaku. Tiada semua faktanya dapat disahkan. Bagaimanapun, bahagian yang boleh disahkan diberi pautan.
Ini adalah cerita seorang saksi mata tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Pada masa itu, dia merupakan pelajar tahun pertama di Universiti Malaysia (UM). Dia terperangkap sehingga 16 Mei di Kampung Baru, yang merupakan salah satu ‘kawasan panas’ rusuhan tersebut.
Kini berusia 70 tahun, dia yang berbangsa Melayu itu sudi ditemu bual Malaysiakini dengan syarat identitinya tidak didedahkan.
Akuinya, kejadian 50 tahun lalu itu masih lagi meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.
“Sampai sekarang pun, bila saya ke kawasan masjid (Masjid Jamek Kampung Baru), saya terimbas balik segala apa yang pernah saya saksikan,” katanya.
Dengan mata yang bergenang, dia mengimbas semula kejadian di depan matanya apabila satu kereta yang dinaiki keluarga Cina dibakar oleh sekumpulan perusuh Melayu.
“Saya tak tahu apa yang terjadi, saya macam kena rasuk. Yang saya ingat, saya jerit: ‘Lepaskan mereka! Lepaskan mereka! Bunuh aku! Bunuh aku!’. Saya ingat saya sebut perkataan itu. Saya koyak baju dan mengamuk.
“Saya pun tak tahu kenapa saya bertindak macam itu, tapi saya tak boleh terima. Bila saya lihat dua budak kecil, seorang lelaki dan seorang perempuan, menangis dalam kereta dan kedua ibu bapanya mengggigil ketakutan, saya tak boleh terima. Apa dosa mereka? Sebab mereka orang Cina? Kenapa mereka yang dijadikan mangsa?
Ini ialah cerita saksi tersebut, seperti yang diceritakan kepada Aidila Razak dan Tham Seen Hau.
Pendaftaran kampus UM bermula seminggu sebelum 13 Mei. Saya dilahirkan pada 1949, jadi semasa saya mendaftar di kampus pada 1969 itu, saya baru 20 tahun.
Saya belum cukup umur untuk mengundi, dan saya tak pernah kisah pun. Saya lebih kisah tentang macam mana saya hendak bergerak di kampus tanpa motosikal. UM terletak jauh daripada tempat saya tinggal, kena naik dua bas. Jadi, saya kena fikir cara macam mana nak bergerak. Nak pinjam motorkah, atau cari duit untuk beli sebiji.
Ada juga kawan-kawan yang datang dari kampung yang belum ada bilik sewa, jadi saya banyak habiskan masa ketika pilihan raya itu untuk membantu mereka cari bilik atau rumah sewa.
Saya pun tiada duit. Saya tak dapat biasiswa. Jadi sambil itu, saya juga mencari duit untuk saya bayar yuran pendaftaran semester pertama, di samping itu membantu kawan-kawan yang sekapal dengan saya. Itu sajalah yang kami bimbangkan ketika itu.
Kami langsung tak berminat tentang politik. Kami tak tahu apa terjadi masa itu. Kami cuma hendak mulakan kehidupan kami sebagai pelajar, itu saja. Itu semua sebelum insiden 13 Mei tercetus.
Perhimpunan di rumah Datuk Harun
Pada hari rusuhan tersebut, saya ada di kampus. Seorang senior beritahu suruh dapatkan beberapa orang dan pergi ke rumah Datuk Harun. Saya tanya, “Kenapa? Ada bagi duitkah? Atau makanan?”
Dia jawab, ada perjumpaan. Pada masa itu, biasalah pelajar dipanggil untuk meramaikan mana-mana majlis. Mungkin dapat nasi bungkus, atau RM5 - itu saja pun dah cukup buat kami gembira.
Tapi yang kali itu agak pelik, sebab tiada pengumuman apa-apa tentangnya. Senior saya datang, berbisik saja kepada saya. Saya tak tanya lebih-lebih, sebab hormat senior.
Kami tak ada kenderaan, jadi senior itu aturkan dengan beberapa orang yang ada motosikal. Jadi kami pergi naik lima motosikal. Masa itu antara pukul 5 ke 6 petang. Pekerja pejabat pun dah balik kerja.
Sesetengah kawan saya yang ikut itu, mereka orang kampung. Jadi mereka ingatkan dapatlah mereka keluar tengok bandar sekali. Macam itulah naifnya kami masa itu.
Sebaik sampai, saya perasan, keadaan tak macam perjumpaan biasa pun. Tak ada meja pendaftaran, tak ada jalan nak masuk ke dalam, tak ada kain rentang. Cuma ada orang yang berlegar-legar saja.
“OK-lah. Mungkin ada makanan di dalam,” fikir saya sambil berjalan masuk menuju ke perkarangan (rumah).
Tapi di dalam, lebih aneh lagi. Kebanyakan orang nampak macam bukan orang Kuala Lumpur. Mereka bercakap sesama sendiri dalam bahasa Jawa. Mereka nampak keras, tak macam kerani kerajaan yang selalu hadir di kebanyakan perjumpaan.
Senior yang jemput kami itu hilang dalam orang ramai, jadi kami pun cuba bersembang dengan orang-orang di situ. Mereka kata, “Eh, takkan kau tak tahu?”
Saya mula syak ada benda tak kena apabila saya lihat mereka agihkan lilit kepala, kain merah yang ditulis Arab La ila haillahllah. Ini dah macam orang-orang silat.
Jadi, beberapa orang kawan saya ambil keputusan untuk balik. Mereka tak gemar apa yang mereka lihat. Saya pun kata, “OK, baliklah dulu.” Tinggal kami bertiga saja.
Saya ambil lilit kepala itu- semua orang pun ambil. Tapi apabila mereka suruh pakai lilit kepala itu, saya cakap, “Saya tak mahu pakai lilit merah ini, macam nak pergi perang saja.” Mereka balas, “Kau sepatutnya dah tahu. Memang itu yang kau patut buat pun”.
Budak muda penghantar kopi
Saya dah mula kurang senang. Kemudian saya ada nampak orang yang saya kenal. Saya tanya dia, dan dia pun kata, “Kita nak berarak”. Itulah kali pertama saya diberitahu apa yang nak jadi. Nampaknya, ada perarakan balas terhadap perarakan oleh Gerakan dan DAP sehari sebelum itu bagi meraikan kejayaan mereka.
Saya tanya dia lagi, apa rancangan sebenarnya. Dia jawab, kami semua sepatutnya berjumpa di jam besar tepi Masjid Jamek dan berdemonstrasi di seluruh tempat. Saya tanya lagi berapa orang akan terlibat, dan jawabnya, “Ramai, kita kat sini saja sudah 500”.
Saya dapat tahu ada orang datang dari Klang, Negeri Sembilan, Pudu dan Setapak untuk perarakan ini. Saya tanya dia, saya patut balik atau terus di situ? Dia jawab: “Kau balik, aku tetak”.
Pada masa itulah saya sedar, dia ada parang. Selepas itu, saya turut perasan ada senjata yang disembunyikan di pagar rumah Harun. Orang di situ makin tak tentu arah. Saya dengar ada wirid dan doa dibaca dari dalam rumah.
Saya sangat sangat takut dan nak balik rumah, tapi tak boleh sebab mereka kunci pagar. Tak ada sesiapa boleh masuk, tak ada sesiapa boleh keluar.
Bermula dari situlah, perkara paling buruk terjadi.
Ada orang tempah kopi dari kedai kopi di Jalan Gurney yang berdekatan. Jadi budak Cina ini datang hantar kopi dengan dulang, dan mereka bunuh dia. Saya tak nampak pembunuhan itu, tapi saya nampak dia dah mati.
Saya tak tahu tentang ini pada mulanya, tapi rupa-rupanya pada masa itu ada orang berbisik sesama sendiri tentang orang Melayu dibunuh orang Cina di Setapak.
Selepas itu, mereka tahan sebuah van dan bunuh orang di dalamnya. Saya mula berundur ke belakang, tapi saya nampak di belakang pun ada orang jaga.
Rasa saya, kalau sekumpulan orang berjalan bersama-sama, itu kita boleh panggil berarak. Tapi bila dibukakan pagar, mereka bukan berarak, mereka meluru. Mereka mengamuk. Rupa-rupanya, mereka terdengar cerita ada orang Melayu kena bunuh, jadi mereka meluru untuk pertahankan orang Melayu. Huru-hara jadinya.
'Lindungi kawasan ini'
Saya tak tahu nak buat apa. Kawan-kawan saya berjaya ambil Vespa mereka dan kami pergi ke masjid. Ada orang di situ, nampak macam ketua-ketua. Benda pertama dia tanya saya, sama ada saya ada lilit kepala atau tidak. Lilit kepala itu ada dalam poket saya, dia suruh saya pakai. Kemudian, dia suruh saya minum sejenis air yang dah dijampi. Air itu sepatutnya buat saya jadi berani.
Selepas 13 Mei, ada banyak cakap-cakap tentang pendekar silat yang boleh terbang, keris dan parang sakti, tapi saya tak pernah nampak pun. Saya cuma tahu air yang saya minum itu diambil daripada kolah masjid, tempat orang berwuduk. Ramai orang cirit-birit malam itu (lepas minum air itu).
Orang-orang yang beri arahan di dalam masjid adalah gangster Kampung Baru. Saya tak nampak mereka di perkarangan rumah Datuk Harun sebelum itu, tapi sekarang mereka bentuk kami menjadi kumpulan pertahankan diri.
Mereka bahagi-bahagikan Kampung Baru kepada beberapa kawasan dan berkata, “Kau jaga kawasan ini”. Mereka tak kata, “Bunuh orang Cina”. Tak. Mereka suruh kami lindungi kawasan masing-masing, jangan biar sesiapa masuk. Siapa yang nak keluar boleh keluar, tapi siapa yang keluar, matilah.
Mereka bimbang sebab orang Cina sedang bergerak masuk dari Jalan Kamunting. Kampung Baru ada bersebelahan beberapa kampung Cina, jadi mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan Cina, berpindah ke masjid untuk mendapatkan perlindungan. Kelab Sultan Sulaiman dikunci kerana ia sebelah Kampung Limau, iaitu kawasan Cina.
Ada satu rumah yang cantik di bahu Jalan Campbell (kini Jalan Dang Wangi) dan Jalan Ampang, rumah itu dibakar oleh perusuh Cina. Orang Cina di sebelah sini, orang Melayu di sebelah sana.
Senjata api dan parang berkilat macam pedang
Malam itu, selepas solat Isyak, saya ditugaskan untuk berjaga di Jalan Raja Alang (jalan menuju ke masjid) bersama 20 yang lain.
Pada masa itu, saya lihat ada sekumpulan orang Cina menunggang motosikal menuju ke arah kami. Lampu masih menyala, jadi kami dapat nampak mereka bersenjata. Mereka ada pistol, senapang patah dua laras (pada masa itu, banyak orang Cina memiliki senjata memburu). Sesetengah mereka bawa parang yang berkilat macam pedang.
Saya memang kecut perut. Tiada siapa yang boleh menghalang mereka. Kami ialah baris pertahanan paling depan, tapi apa yang kami ada? Selain batang kayu, tak ada apa-apa lagi. Saya tak ada parang, tapi saya kena bertahan. Sesetengah daripada kami asah buluh runcing. Tapi setakat itu sajalah.
Mereka datang dari arah Jalan Chow Kit menuju ke masjid. Kalau mereka melepasi kami, mereka akan dapat ambil alih masjid. Terus-terang, terkencing kami dibuatnya. Kami ini muda lagi, mereka itu gangster-gangster lama. Menggeletar kami.
Kemudian, mereka membelok ke satu jalan yang menuju ke tokong Cina. Saya tak tahulah mereka belok itu kerana mereka nampak kami, atau memang awal-awal lagi mereka nak pergi ke tokong itu. Saya memang takut betul. Cuma tak menangis saja lagi.
Malam itu agak kucar-kacir. Saya ikut beberapa orang dan akhirnya tiba untuk berjaga di kawasan berdekatan sungai, setentang dengan Sekolah Lai Meng (ketika itu). Sekolah Lai Meng terletak di Jalan Ampang - kawasan Cina- sementara kami berada di seberang, di Kampung Baru.
Pada masa ini, saya sedar ada penembak hendap. Pada masa itu, orang tak tahu macam mana rupa penembak hendap, bukan macam sekarang, kamu boleh lihat dalam filem.
Kami cuma nampak orang kena tembak. Kami terkejut. Ada seorang lelaki, saya rasa dia pernah berkhidmat dalam tentera, dia kata, “Eh, ada penembak”. Dia suruh kami menyorok, jangan duduk di kawasan terbuka.
Ada beberapa orang cuba nak menyeberangi sungai untuk memeriksa di mana penembak itu bersembunyi, tapi tak dapat. Mereka ditembak. Kami jangka penembak itu ada di Sekolah Lai Meng.
Orang Cina sedang bergerak masuk dari Setapak, Jalan Campbell, Batu Road (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman). Apakah ada rancangan untuk mereka takluk Kampung Baru? Saya tak tahu. Tapi gangster itu nampaknya mungkin tahu kerana mereka dah aturkan orang mereka untuk jaga kawasan-kawasan itu. Pada masa itu, ada kumpulan gangster yang berbilang bangsa di KL, jadi mungkin mereka dah bagi amaran sesama mereka.
Jip penuh dengan raifal
Saya di Kampung Baru selama tiga hari - 13, 14 dan 15 Mei. Banyak benda terjadi dalam masa tersebut.
Pada 13 haribulan, seorang pegawai tentera bawa masuk jip yang penuh dengan raifal di Kampung Baru. Saya ingat lagi, raifal automatik, saya pun dapat satu. Berat senjata itu. Tapi kebanyakan kami tak tahu macam mana nak guna senjata api itu, dan ramai naiki teruja hingga mereka menembak tak tentu hala sampai peluru habis cepat.
Pegawai tentera itu tak beri kami peluru, hanya apa yang ada dalam raifal itu saja. Jadi, mungkin dia bertindak ikut kepala sendiri (bukan arahan pihak atasan). Saya tak rasa perkara itu dirancang.
Saya juga lihat pegawai-pegawai keselamatan membawa keluar orang-orang kaya Kampung Baru menggunakan trak. Mereka nampak gayanya dibawa ke depot polis atau kawasan Kementerian Pertahanan di Jalan Gurney. Bertahun-tahun kemudian, saya diberitahu oleh mereka yang datang daripada keluarga yang ada ‘hubungan’ ini, mereka memang dibawa ke situ untuk dilindungi.
Rumah dan kedai dipecah masuk sejak 13 Mei lagi. Keluarga kakak ipar saya tinggal di Kampung Baru, dan saya nampak mereka di masjid. Rumah mereka dekat dengan kawasan Cina, jadi mereka lari.
Rumah mereka dipecah masuk, tapi saya rasa oleh orang Melayu. Orang Melayu pun bukannya semua baik. Malah, sesetengah rumah yang dipecah masuk itu memang jauh ke dalam Kampung Baru, jadi mustahil orang Cina yang pecah masuk. Inilah juga sebabnya kenapa kumpulan pertahanan ditubuhkan.
Kampung Melayu dikelilingi oleh kedai Cina. Apabila rusuhan itu tercetus, sesetengah orang pecah masuk ke dalam kedai Cina ini untuk musnahkan buku hutang. Tapi mereka tak tahu, tauke Cina itu bawa sekali buku hutang semasa melarikan diri.
Saya pun pecah masuk beberapa kedai. Tak ada makanan untuk keluarga yang berlindung di masjid, jadi kami pergi cari makanan di tengah-tengah malam. Saya cuba cari rokok nak curi, tapi tak ada. Dah ada orang pecah masuk lagi awal daripada kami. Tapi kawan saya jumpa seguni beras, dia bawa ke masjid. Tapi bila dibuka, garam, bukannya beras.
Banyak juga perkara kelakar sebegini terjadi di tengah-tengah pembunuhan beramai-ramai tersebut.
Seorang lagi kawan saya, kerdil saja orangnya - cukup-cukup empat kaki tinggi - dia cuba curi angsa dari rumah Cina yang berdekatan. Keluarga Cina itu bela ayam dan angsa. Angsa itu sama tinggi dengan dia, tapi dia pegang leher angsa itu, angkat dan lari.
'Bunuh aku! Bunuh aku!'
Hari kedua, mayat berapungan di Sungai Klang. Mayat Melayu, Cina dan India. Orang-orang tua di masjid kumpulkan orang untuk bawa keluar mayat Melayu, supaya dikebumikan. Tapi akhirnya, polis ambil semua mayat itu dibawa ke rumah mayat.
Saya saksikan sendiri bagaimana mereka bawa keluar mayat dari sungai berdekatan Kampung Cendana. Saya lihat mereka bawa keluar enam ke lapan jasad. Mereka periksa muka; kalau jasad lelaki mereka periksa bersunat ke tidak. Jika tak nampak macam Melayu, mereka tinggalkan dalam sungai.
Pada 15 haribulan, saya bersama seorang lelaki diarahkan untuk mengeluarkan dua mayat dari tempat pembuangan sampah. Dua perempuan Melayu: penari kabaret yang bekerja di Great Eastern Cabaret di Jalan Campbell. Kami serahkan jasad itu kepada pihak polis.
Ada satu hal yang saya tak pernah beritahu kepada sesiapa pun sebelum ini, walaupun kepada anak saya sendiri. Pada hari itu, saya nyaris dibunuh.
Ada satu keluarga Cina ini. Tak tahulah entah apa sebabnya mereka memandu dekat dengan persimpangan Jalan Campbell dengan Jalan Ampang. Mereka perlu lalui kawasan rusuhan orang Melayu.
Masih jelas wajah mereka - seorang ayah, ibu dan dua anak kecil: seorang lelaki dan seorang perempuan. Mereka dalam sebuah kereta yang kecil, Fiat 600 dengan nombor plat Perak. Perusuh mengerumuni kereta itu dan cuba menterbalikkannya.
Saya tak tahu apa yang terjadi pada saya, saya macam kena rasuk. Yang saya ingat, saya jerit: “Lepaskan mereka! Lepaskan mereka! Bunuh aku! Bunuh aku!” Saya ingat saya sebut perkataan itu. Saya koyak baju dan mengamuk.
Saya pun tak tahu kenapa saya bertindak macam itu, tapi saya tak boleh terima. Bila saya lihat dua budak kecil, seorang lelaki dan seorang perempuan, menangis dalam kereta dan kedua ibu-bapanya menggigil ketakutan, saya tak boleh terima. Apa dosa mereka? Sebab mereka orang Cina? Kenapa mereka yang dijadikan mangsa?
Sekarang pun, bergenang mata ini bila teringat pasal kejadian itu. Sampai sekarang saya tak tahu kenapa saya bertindak macam itu. Macam ada sesuatu dalam diri ini. Saya pun tak faham.
Keluarga di dalam kereta itu berjaya meloloskan diri, tapi perusuh menjadikan saya pula sebagai sasaran. Pada ketika itulah gangster Kampung Baru datang menyelamatkan saya. Mereka hentikan perusuh-perusuh itu, dan berkata: “Dia buat tindakan yang betul. Kita pun patut hentikan ini semua.”
Saya rasa, pada masa itulah saya sedar keamanan sedang dalam proses perundingan. Gangster Melayu dan gangster Cina buat pertemuan, dan berbincang tentang rundingan damai. Perkara ini tidak direkod di mana-mana, tapi saya tak ada sebab untuk mencurigainya. Pada zaman itu, gangster-gangster sangat berkuasa. Mereka boleh bakar satu KL kalau mereka mahu.
Sebenarnya, banyak cerita tentang orang saling membantu antara satu sama lain.
Ada mandur Melayu yang bekerja di sebuah bengkel di Jalan Campbell. Semasa rusuhan tercetus, satu keluarga Cina selamatkan dia dan sorokkan dia di siling mereka. Kami bantu bawa dia keluar dari rumah tersebut beberapa hari selepas itu.
Seorang tukang baiki televisyen berbangsa Cina yang kami cukup kenal, menceritakan bagaimana dia sedang membaiki televisyen untuk satu keluarga Melayu di Kampung Datuk Keramat (ketika rusuhan tercetus). Keluarga itu tak mahu biar dia keluar untuk balik ke rumah. Mereka pakaikan dia dengan persalinan Melayu dan simpan dia dalam rumah sampai keadaan beransur selamat.
Orang Cina datang
Saya dapat balik ke rumah pada 16 Mei. Emak saya hampir pengsan apabila dia nampak saya. Saya antara begitu banyak orang yang hilang dalam beberapa hari itu. Dia ingatkan saya dah mati. Dalam beberapa hari selepas itu, dia buat semua benda supaya saya tak keluar rumah. Nasib dia tak gari tangan saya.
Selepas itu, banyak hari saya tak dapat tidur. Saya akan terjaga di tengah-tengah malam, berfikir “Orang Cina datang”. Saya ambil masa setahun sebelum saya dapat jejakkan kaki semula ke Kampung Baru. Sampai sekarang pun, bila saya pergi ke kawasan masjid itu, saya terimbas balik segala apa yang pernah saya saksikan.
Universiti tutup seminggu disebabkan rusuhan tersebut. Apabila kami pulang semula, keadaan sudah berbeza. Tak ada orang yang nak bercakap tentang apa yang dah terjadi.
Di pasar, malah di Chow Kit sekalipun, anda banyak dengar: “Minta maaf encik, tumpang lalu, tak apa, tak apa.” Orang makin berhati-hati dan sopan.
Di kampus, Persatuan Bahasa Cina akan pergi kepada Persatuan Bahasa Melayu dan Persatuan Pelajar Islam sebelum mereka menganjurkan pesta tanglung. Mereka tanya orang Melayu dulu sebelum mereka minta kebenaran universiti.
Tapi diam-diam, semua orang bersiap-siaga. Mak saya beli banyak betul parang, setiap satu untuk anak-anak lelaki dia. Sesetengah orang akan sembunyikan parang dalam kereta mereka. Kawan saya, seorang Cina, keluarganya simpan lembing sepuluh kaki di rumah mereka. Semakin ramai ikut latihan seni mempertahankan diri, dan tangkal pelindung pun semakin laku. Suasana berubah, KL dah berubah.
Saya bersekolah di sekolah mubaligh Kristian dan kebanyakan kawan-kawan sekelas saya orang Cina. Kami dah kenal sejak tingkatan satu lagi. Banyak di kalangan kami ke universiti sama. Tapi selepas 13 Mei, keadaan jadi janggal. Kami masih bercakap, tapi kemesraan itu sudah tak ada.
Satu hari, saya berjumpa mereka dan kami berbincang tentang kejanggalan tersebut. Disebabkan kami sungguh-sungguh cuba mengatasi fasa itu, kami masih menjadi kawan baik sehingga ke hari ini. Cerita kami ini adalah salah satu cerita rakyat Malaysia yang hidup dan membesar bersama, dan berjaya mengharungi tragedi tersebut bersama-sama.
Hari ini, darah saya mendidih bila dengar orang-orang muda mengugut untuk mengulangi rusuhan 13 Mei. Saya nak tanya mereka, “Kamu di mana masa 13 Mei 1969? Dalam perut mak atau masih pakai seluar pendek?”
Saya nak beritahu mereka: “Kamu belum pernah berdepan satu kumpulan gangster yang bawa parang berkilat, meluru ke arah kamu sedangkan kamu cuma ada sebatang kayu untuk mempertahankan diri. Kamu tak tahu macam mana rasanya”.
Saya ada di sana. Saya masih dapat hidu bau darahnya. Saya dah cuba untuk lupakan sepanjang 50 tahun ini.
Pengalaman itu terlalu pahit, sampai kita cuma mahu lupakan segalanya. Sakit hati ini apabila teringatkan seorang budak muda dibunuh, hanya kerana dia menghantar kopi. Dia tak tahu apa-apa. Bila teringat hal itu, saya tak dapat terima hakikat.
Orang macam kami tak mahu bercakap tentang hal ini, kami lebih rela berdiam diri dan berharap ia takkan terjadi lagi. Satu-satunya sebab saya bercakap tentangnya adalah kerana saya merasakan dah sampai masanya. Banyak saksi kejadian itu telah meninggal dunia. Saya mahu cerita saya ini menjadi pengajaran.
Harapan saya, kejadian itu jangan pernah dibiar terjadi lagi.