"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengurus tahfiz ditahan larikan isteri

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Seorang wanita dilarikan dua individu termasuk suaminya sendiri kerana enggan mendaftar perkahwinan secara sah di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang, 12 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 38 tahun yang juga isteri ketiga suspek jam 11.30 malam.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam lif pangsapuri berkenaan diminta oleh dua individu tidak dikenali untuk berjumpa suaminya yang juga seorang pengurus pusat tahfiz.

"Mangsa kemudiannya akur dan berjumpa suaminya itu sebelum dilarikan suspek menaiki sebuah kereta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah homestay di Pasir Puteh, Kelantan.

"Mangsa mendakwa terpaksa mengikut suaminya itu tanpa kerelaan dan dikurung dalam homestay berkenaan.

"Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri keluar dari homestay terbabit jam 12.30 tengah hari pada 13 Oktober sebelum ke balai polis dengan bantuan penduduk kampung berhampiran untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan terhadap dua individu di Taman Ampang Mewah di sini pada Khamis.

"Suspek pertama diberkas adalah suami mangsa berusia 39 tahun serta memiliki rekod jenayah lampau manakala suspek kedua adalah rakannya yang berusia 30 tahun bekerja sebagai pembantu tahfiz.

"Siasatan mendapati kejadian berpunca mangsa enggan mengikuti suspek untuk bercuti di Kelantan serta enggan untuk mendaftar taraf perkahwinan," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

‘Hanya kerana pakai kopiah, jangan rasa orang lain tidak suci’ – Setpol PM

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi kesal dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang secara sinis mendakwa kerajaan Madani tidak dapat disucikan lagi kerana dikelilingi bekas banduan dan perasuah.

Ahmad Farhan menegaskan, ucapan Abdul Hadi dalam muktamar Pas tahunan yang diadakan semalam jelas menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Marang itu selaku seorang agamawan tidak mencerminkan nilai sebenar diterapkan Islam.

Beliau berkata, Abdul Hadi sebagai agamawan perlu menguar-uarkan nilai kebersamaan, kesatuan dan kekitaan kerana agama Islam telah tersebar melalui penyatuan manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang.

“Lantaran itu, saya berpandangan bahawa dalam ketika kita hendak berpolitik, biarlah ia bersifat sederhana dan jangan sampai kita memecah-belahkan umat, melontarkan fitnah dan mengadu domba.

“Sementelahan itu, jangan hanya kerana kita mengenakan kopiah di atas kepala dan mengemudi parti yang tertera nama Islam, kita merasakan seolah-olah pihak lain tidak suci mahupun tidak ‘Islam’ sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Abdul Hadi dengan nada sinis menyifatkan, Pas tidak mahu menyertai Kerajaan Perpaduan yang sudah sedia tercemar.

Abdul Hadi berkata, kerajaan Anwar penuh dengan kekotoran dan Pas tidak mahu ‘menyucikan’ parti-parti dalam kerajaan itu.

“Kamu boleh lihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) siapa dalamnya. Cuci macam mana? Bekas banduan ada, kluster mahkamah (kes rasuah) pun ada, macam mana kami nak ikut (sertai)?,” katanya.

Lantaran itu Ahmad Farhan menyarankan Abdul Hadi untuk mengkaji semula pandangan beliau dengan menghayati Firman Allah dalam Surah An-Najm, 53:32,

“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa..”

“Sebagai agamawan, beliau sepatutnya memahami lebih mendalam perihal ini.

“Oleh itu, saya berharap hal ini akan menjadi pengajaran kepada semua untuk bersederhana dalam berpolitik dan tidak merendahkan pihak yang berbeza ideologi dengan kita,” katanya.

Acu parang ugut tukang masak, lelaki ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan suspek ketika mengugut tukang masak dalam kejadian di sebuah restoran di Bukit Mertajam, pagi semalam.

Warga tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan di rumahnya, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata polis menerima laporan dibuat tukang masak terbabit yang memaklumkan dia didatangi suspek di restoran di Taman Kota Permai itu.

“Dalam kejadian 7.55 pagi, mangsa yang juga warga tempatan memberitahu dia sedang memasak. Tiba-tiba suspek yang dikenalinya itu datang lalu bertindak membaling kerusi, mengeluarkan parang dan mengacukan kepadanya.

“Mangsa terus melarikan diri ke bahagian dapur dan pergaduhan dileraikan pelanggan yang berada di dalam kedai berkenaan. Mangsa tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Cheng San berkata, susulan itu polis membuat penahanan ke atas suspek dan merampas parang digunakan ketika kejadian untuk siasatan lanjut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Mengapa Hadi sangat angkuh?

Roslan Abd Rahman

Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri dengan mandat yang kukuh melalui sokongan 148 ahli parlimen. Usul undi percaya terhadap perdana menteri juga diluluskan dengan sokongan suara di Dewan Rakyat pada 19 Dis 2022.

Jika diundi bilangannya pasti menyamai undi yang diperolehi oleh Johari Abdul selaku calon Kerajaan Perpaduan untuk jawatan Speaker Dewan Rakyat, iaitu 148 undi (jika dikira bersekali dengan undi Hanifah Hajar Taib yang tidak sempat mengundi kerana tiba lewat di Dewan Rakyat).

Logiknya, dengan kedudukan yang kukuh itu tiada sebarang sebab untuk Anwar menghulurkan tangan menjemput PN - khasnya PAS dan Bersatu - menyertai Kerajaan Perpaduan.

Pun begitu Anwar akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong sewaktu awal pembentukan Kerajaan Perpaduan bahawa semua ahli parlimen perlu menghulurkan tangan antara satu sama lain bagi merapatkan semula saf demi masa depan negara.

Itulah yang menyebabkan Anwar membuat tawaran kepada PN.

Bagaimanapun PAS dan Bersatu mengeluarkan kenyataan rasmi yang jelas menolak tawaran tersebut. Setelah ditolak, masih lagi Anwar berbuat baik dengan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan PN.

Apabila Kelantan dan Terengganu dilanda banjir, Anwar sendiri turun melawat mangsa banjir dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta setiap negeri selain bantuan wang ihsan RM1,000 kepada ketua isi rumah (KIR) yang berpindah, dan RM10,000 kepada keluarga yang mengalami kematian.

Elak kafirkan orang

Bagi menyelesaikan isu air di Kelantan (juga di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan), Anwar melalui Belanjawan 2024 menyediakan RM1.1 bilion bagi membina Loji Rawatan Air Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari, menggantikan paip simen asbestos untuk mengurangkan kadar kehilangan air dan gangguan bekalan ekoran paip bocor serta menambah sewaan lori tangki dan tangki statik bertujuan memastikan rakyat mendapat bekalan air segera ketika berlaku gangguan sementara menunggu projek berkenaan siap.

Bagaimanapun, pada pemimpin PAS terus menghina dan mengkritik peribadi Anwar di sebalik usaha perdana menteri menjernihkan hubungan.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, yang mendakwa Anwar berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim, pula mendakwa Anwar memiliki sikap dendam yang lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad, dan menuduh perdana menteri menipu rakyat Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong berkenaan jumlah ahli parlimen yang menyokongnya meraih majoriti di Dewan Rakyat.

Di sebalik semua itu Anwar masih cuba mengamalkan sikap berbaik-baik dengan PN. Ketika menjadi tetamu rancangan temu bual CNBC di Indonesia pada 14 Jan lalu, Anwar misalnya menyatakan harapan agar pembangkang di Malaysia tidak terlalu mempertajam permusuhan.

Anwar juga berharap mereka menghindari mengeluarkan kenyataan yang menghukum dan mengkafirkan orang.

Jika itu dapat diringankan, kata Anwar, dia yakin kerajaan dan pembangkang di Malaysia boleh berdialog dengan lebih baik.

Dalam temu bual dengan wartawan majalah Time, Debasish Roy Chowdhury, pada 11 Okt lalu, Anwar ditanya sama ada dia masih mempertimbangkan untuk menjemput PAS menyertai Kerajaan Perpaduan atau tidak, perdana menteri menjelaskan bahawa sejak awal penubuhan Kerajaan Perpaduan lagi dia sudah memikirkan kemungkinan itu demi kebaikan negara.

Ketika ditanya sama ada ia mungkin berlaku atau sebaliknya, Anwar menyatakan dia tidak menolak kemungkinan itu jika PAS boleh menerima syarat-syarat dasar utama (major policy conditions) Kerajaan Perpaduan.

Malangnya, keterbukaan Anwar itu disambut dengan penuh hinaan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Dalam ucapan dasar di Muktamar Tahunan PAS ke-69, di depan tetamu kehormat dari negara luar, Abdul Hadi menyebut: “Kerajaan yang didakwa sebagai Kerajaan Perpaduan dibentuk daripada kalangan mereka yang bermasalah dan mahu menyelamatkan diri masing-masing. Mereka terdiri daripada mantan banduan, kluster mahkamah dan bakal yang hendak diselamatkan secara tidak bermoral dan tidak bermaruah.”

Usah melampau batas

Tidak cukup dengan itu, pada sidang media selepas itu Abdul Hadi menyatakan kepada semua wartawan bahawa "Kalau kita nak bersihkan najis, tak boleh masuk dalam tong najis.”

Kenyataan Abdul Hadi itu amatlah mendukacitakan. Kenyataan tersebut tidak sepatutnya dibuat oleh pemimpin tertinggi sebuah parti menggunakan nama Islam.

Ia juga tidak wajar sama sekali keluar dari mulut seorang yang mempotretkan dirinya sebagai ulama atau pendakwah kerana jelas tidak selaras dengan ajaran Islam, sebaliknya penuh dengan hasad dengki dan dendam kesumat.

Islam mengajar alim ulama atau pendakwah agar menyeru manusia ke jalan Tuhan dengan cara hikmah, memberi nasihat pengajaran yang baik dan berbahas dengan juga dengan cara yang terbaik (an-Nahl: 125), bukan dengan menyerang peribadi mereka.

Untuk berdepan dengan pemerintah yang bengis dan zalim seperti Firaun sekali pun, Allah memerintahkan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS supaya bertutur dengan kata-kata yang lemah-lembut seperti maksud Firman Allah: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taaha: 43-44).

Jika berdepan dengan pemerintah yang kufur pun begitu ajaran Islam, apatah lagi dengan pemerintah Islam.

Abdul Hadi sepatutnya akur kepada titah Agong bahawa semua ahli parlimen perlu menghulurkan tangan antara satu sama lain demi masa depan negara kerana "Kesetiaan Kepada Raja dan Negara" adalah salah satu teras Rukun Negara.

Mengibaratkan Kerajaan Perpaduan seperti “tong najis” serta mendakwa ia dianggotai oleh banduan, bekas perasuah dan kluster mahkamah adalah kebiadaban dan penghinaan kepada kebijaksanaan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Penilaian kepada Kerajaan Perpaduan sepatutnya dibuat pada dasar-dasarnya.

Selain konsep Malaysia Madani dengan tumpuan kepada tata kelola yang baik sebagai terasnya, Kerajaan Perpaduan tertegak atas perjanjian persefahaman yang ditandatangani pada 16 Dis 2022.

Dalam perjanjian itu jelas tercatat semua 18 tekad Kerajaan Perpaduan, umumnya untuk setia kepada Agong sebagai ketua negara serta demi memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu”, “mempertahankan sistem raja berperlembagaan”, “memelihara Islam sebagai agama persekutuan”, “mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi” serta “menegakkan keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman dan institusi-institusi awam” adalah antara perkara yang dipersetujui oleh PAS.

Justeru mengapakah Abdul Hadi tidak memperkatakan hal-hal tersebut sebaliknya menumpukan serangan secara peribadi?

Sejak menjadi perdana menteri sudah berulang kali Anwar mengingatkan anggota kabinet mengenai keutamaan kepada aspek tata kelola. Amaran juga sudah beberapa kali diberikan bahawa sesiapa anggota kabinet yang terlibat dengan kes rasuah akan dipecat serta-merta.

Bercakap mengenai dakwaan rasuah, Abdul Hadi sepatutnya lebih cermat berkata-kata kerana pada saat ghairah menuduh Kerajaan Perpaduan, dia mungkin terlupa bahawa sudah ramai pemimpin PN yang termasuk dalam kluster mahkamah.

Dalam soal mengibaratkan Kerajaan Perpaduan seperti tong najis, siapakah sebenarnya “tong najis” sedangkan Anwar mengumumkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali yang diluluskan oleh kerajaan PN sebelum ini?

Pada sidang media selepas mesyuarat khas kabinet di Putrajaya pada 5 Dis 2022 lagi Anwar mengumumkan hal itu dengan menyebut: “Kita tidak ada kecenderungan mengutip dana haram, jadi hari ini saya sebagai menteri kewangan membatalkan keputusan cabutan khas perjudian.”

Tegasnya, tanggungjawab Anwar sudah terlepas, manakala Abdul Hadi hanya memalukan diri dan partinya kerana seperti meludah ke langit lalu menimpa muka dengan kata-kata keji sendiri.

Anak mahu lapor polis ibu tidak beri duit beli burung

KOSMO!
Rizam dinasihati ketua polis Cibeber sambil ditemani ibunya. - TikTok
JAKARTA, Indonesia – Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun di Cianjur, Jawa Barat mahu membuat laporan polis terhadap ibunya selepas dia tidak diberi wang untuk membeli burung, lapor laman berita Suara.com semalam.

Berdasarkan klip video yang dimuat naik dalam akaun TikTok @cibeberupdate, budak bernama Rizam itu merajuk kerana ibunya tidak memberinya wang sebanyak 100,000 rupiah (RM30) untuk membeli burung.

Ketika kejadian, Ketua Polis Cibeber yang mendengar laporan daripada Rizam segera memeluk budak lelaki itu sambil memberi nasihat kepadanya. 

Rizam kelihatan mendengar kata-kata polis dan akhirnya bersetuju untuk pulang ke rumah bersama ibunya. 

Ibu Rizam, Ani berkata, anaknya tidak berniat melaporkannya kepada polis. Dialah yang membawa anaknya ke balai polis berhampiran rumahnya. – Agensi

Dulu dakwa bukan Islam perosak negara, sekarang sibuk tagih undi

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI

Selepas pernah melabel golongan bukan Islam sebagai perosak politik dan ekonomi negara, Tan Sri Abdul Hadi Awang disindir apabila menggesa anggotanya untuk menarik undi dari kumpulan itu.

Dalam muktamar tahunan Pas semalam, Hadi mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Presiden Pas itu tidak pernah konsisten dalam ucapannya kerana “hari ini cakap lain, esok cakap lain”.

“Membaca ‘amanat’ terbaru Hadi mengingatkan saya tentang tohmahan beliau terhadap pengundi bukan Melayu.

“Nampaknya Hadi sedang menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah beliau label sebagai perosak negara.

“Sejak dari dulu Hadi terkenal dengan sikap yang tidak konsisten dalam berkempen. Hari ini cakap lain, esok cakap lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada Ogos tahun lalu, Abdul Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia, selain menuduh golongan itu menjadi kumpulan majoriti yang merosak politik dan ekonomi negara.

Susulan tuduhannya itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan iaitu berkaitan niat mengapi-apikan atau mungkin mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap golongan atau kaum lain.

Sementara itu Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, untuk Malaysia bergerak ke hadapan, semua kaum dan agama perlu dilibatkan dalam proses pembinaan negara.

PKR katanya, sebagai parti berbilang kaum tidak pernah melabel mana-mana kaum sebagai perosak negara.

“Saya percaya dengan pelbagai inisiatif yang telah dilakukan Kerajaan Perpaduan, ia akan memberikan keyakinan kepada semua pengundi tanpa mengira kaum dan agama untuk terus menyokong kerajaan ini,” ujarnya.

PAS dengan pujuk rayu, pikat

Mohsin Abdullah

Dalam ucapan dasar pada perasmian Muktamar PAS ke-69, semalam, Hadi Awang mengarah anggota parti menarik undi bukan Islam. Ertinya beliau tahu perkara yang sudah lama diketahui orang lain bahawa tanpa sokongan masyarakat bukan Melayu (untuk dicampur dengan sokongan Melayu) tiada parti politik boleh memerintah negara tercinta ini yang rakyatnya berbilang kaum dan agama.

Bagaimanapun saya yakin Hadi dan juga partinya sudah lama tahu akan realiti itu tetapi dengan mengeluarkan arahan yang disebut tadi di depan khalayak pada hemat saya ialah pengakuan terbuka PAS betapa pentingnya masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam dalam konteks Malaysia .

Hadi mengakui bedah siasat PAS mendapati partinya lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu. Maaf cakap tetapi adakah ini bermaksud Hadi dan partinya memerlukan suatu bedah siasat untuk mengetahui itu? Pada hal umum tahu PAS sememangnya tidak disokong majoriti orang bukan Melayu. Tidak perlu siasatan forensik untuk tahu itu.

Namun saya imbau kembali PRU2008 apabila PAS menikmati undi bukan Melayu. Contoh satu kawasan ditandingi calon PAS menentang calon Barisan Nasional (BN) dari MCA. Kata kawan keturunan Cina ibunya ahli MCA ditugaskan sebagai wakil calon waktu pengiraan undi dijalankan.

Kata kawan saya ibunya hampir terjatuh daripada kerusi apabila melihat semua peti undi dari stesen undi kawasan majoriti Cina mengandungi kertas undi yang dipangkah untuk PAS bukan MCA.

Tetapi perlu dinyatakan ini semasa PAS bersama DAP dan PKR dalam gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Meskipun gabungan itu tidak dapat menumbangkan BN di peringkat pusat ia berjaya menafikan majoriti dua pertiga yang dipegang BN merdeka.

Itu cerita lama tetapi perlu juga ditegaskan pembubaran Pakatan Rakyat pada 2015 rata-rata dianggap akibat tingkah laku PAS. Sejak itu masyarakat bukan Melayu yang menyokongnya pada 2008 menjauhkan diri.

Sekarang seperti disebut Hadi mahu PAS mendapatkan undi orang bukan Melayu-Islam kerana katanya PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan. Ini juga is stating the obvious.

“Kita (PAS/PN) sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu dalam PRU15 maka usaha penting dan berat yang mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan islam dan bukan Melayu dalam PRU16” kata Hadi sambil meneruskan “perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh sungguh, tersusun dan bijaksana”.

Itu bagi saya suatu saranan yang dibuat secara am, samar dan tidak spesifik. Tetapi langkah pertama harus dibuat adalah PAS perlu merenung mengapa mereka ditolak masyarakat bukan Melayu. Umpama apabila seseorang tidak sihat mestilah tahu apa yang buat dia begitu. Jika menghidap penyakit diabetes maka kurangkan makan manisan dan jangan lupa makanlah ubat .

Jadi PAS mestilah renung kembali apa yang telah terjadi atau lebih tepat apa yang ia sebagai parti telah lakukan khususnya Hadi sendiri . Ini menurut saya perkara mudah. Baca sahaja ulasan dalam ruangan komen yang mengiringi berita arahan Hadi siaran portal berita atas talian.

“Kamu tuduh golongan bukan Islam kaki mabuk, kaki pemberi rasuah, anti Islam, nak kuasai Malaysia, kaum pendatang, berpakaian jolok mata, moral rendah, komunis, tak kenang budi dan macam macam lagi – maaf orang yang waras tak akan lupa bagaimana kamu layan mereka sebelum ini”. Ini rumusan komen pembaca orang bukan Melayu dan juga orang Melayu.

Hakikatnya Hadi sendiri kerap bercakap mengenai “golongan anti Islam” dan “haram menyokong mereke”. Beliau juga menuduh orang bukan Islam punca rasuah di negara ini dan mendakwa bukan islam serta bukan Bumiputera menjadi majoriti perosak politik dan ekonomi negara .

Panglima perangnya Sanusi Nor mengiyakan presidennya dengan berkata “memang fakta orang bukan Islam paling ramai beri rasuah.”

Pada Jun lalu sebuah portal berita menyiarkan hantaran media sosial Hadi ketika beliau mengulas kes seorang wanita bukan Islam didenda di Kelantan (perlukah saya kata negeri yang diperintah PAS?) kerana didakwa berpakaian tidak sopan.

Antara lain Hadi menegaskan “Kalangan bukan Islam mesti berpakaian sopan mengikut sifat kemanusiaan yang bermaruah dan dihormati oleh semua agama serta bangsa yang beradab”. Mungkin ada yang setuju .

Tetapi Hadi menyambung begini: “Tidak bersikap liberal sehingga tidak ada rasa malu seperti binatang yang tidak berakal dan tidak bermaruah yang sedang melanda negara Barat sekarang”.

Ramai percaya itu ditujukan kepada wanita bukan Islam yang didenda di Kelantan dan juga semua wanita bukan Islam berseluar pendek dituduh “binatang tidak berakal tidak bermaruah”.

Ada banyak lagi yang diperkatakan Hadi. Bukan beliau seorang. Selain Sanusi ada lagi pemimpin PAS yang celupar. Kesimpulannya mereka berjaya mengguris dan melukai perasaan orang bukan Melayu.

Tidak perlu post mortem untuk tahu itu. Dan tidak lupa pelbagai peraturan di negeri diperintah PAS yang tidak disenangi masyarakat bukan Islam.

Pada sidang media di tepian muktamar semalam Hadi berkata partinya masih gagal menarik sokongan bukan Islam kerana komuniti itu tidak “menerima maklumat tepat.”

Bertanya saya adakah apa yang disenarai di atas bukan maklumat tepat? Adakah semua itu tidak pernah dikata Hadi dan saf kepimpinan PAS? Buat carian di Google, semua maklumat akan terburai .

Apa pun berdasarkan arahan presiden, semua anggota PAS memikul tanggungjawab memujuk, merayu dan memikat orang bukan Melayu bukan Islam. Bagaimana? Hadi dan barisan pemimpinnya memohon maaf secara terbuka dan tidak lagi bercakap seperti apa mereka cakap selama ini?

Jika itu yang dilakukan bolehkah ia diterima baik penyokong yang untuk sekian lama diasuh untuk percaya apa pemimpin kata? Atau bolehkah PAS berubah menjadi seperti parti Melayu lain yang mereka pandang tidak cukup Islamik?

Memahami kenaikan Dollar AS dan penurunan Ringgit Malaysia

HarapanDaily.com
Memahami kenaikan Dollar AS dan penurunan Ringgit Malaysia.
Megat Hisemudin Megat Kasim

Saya selalu menulis tentang kenaikan Ringgit berbanding Dollar AS sekarang yang disebabkan oleh kenaikan faedah dan pelbagai faktor lain yang mengukuhkan Dollar AS.

Namun ada segelintir yang memberi komen mengatakan saya pro-walanon dan mempertahan kerajaan sekarang.

Sebenarnya saya tidak menganggotai mana-mana parti politik tetapi lebih cenderung menyokong BN. Kerana tidak salah seseorang menyokong mana-mana parti politik yang serasi dengan prinsip dirinya.
Seorang penyokong BN pula marahkan saya kerana mempertahan kerajaan sekarang dalam penulisan saya.

Namun saya berpendapat kita tak seharusnya semua perkara hendak dipolitikkan terutamanya dalam hal ekonomi. Negara harus maju ke hadapan dan PRU16 dalam 4 1/2 tahun lagi.

Apabila Ringgit mencecah RM4.76 saya ada menulis petang tadi dan mengatakan kita tidak mampu untuk melawan Dollar AS yang menyebabkan kenaikan Ringgit.

China dan Jepun dalam dua minggu ini juga gagal untuk menurunkan Yuan dan Yen dengan kaedah intervensi iaitu menggunakan rizab bank pusat untuk membeli matawang sendiri di pasaran agar nilainya dapat diturunkan.

Namun beliau marah-marah mengatakan mengapa era DS Najib boleh turunkan Ringgit dari RM4.40 kepada RM3.80 tetapi kerajaan sekarang tak boleh lakukan?
Inilah masalahnya rakyat yang tidak faham tentang mekanisma kewangan. Semuanya dicampur-adukkan.

Saya sebutkan sekarang kenaikan Ringgit kerana Federal Reserve iaitu bank pusat Amerika asyik menaikan kadar faedah menyebabkan permintaan terhadap Dollar AS semakin tinggi. Sebaliknya matawang asing menyusut.

Ia berbeza semasa DS Najib menjadi Perdana Menteri pengukuhan Ringgit lebih kepada faktor harga minyak mentah dunia.
Lain-lain sebab hanya sampingan sahaja.

Kita lihat semasa Arab Spring antara tahun 2011 – 2014 harga minyak mentah melonjak antara USD100 – USD120. Malaysia mendapat faedah sebagai pengeluar minyak walaupun tidak banyak.Dengan itu Ringgit mengukuh antara RM2.97 – RM3.16.

Antara tahun 2015 – 2017 adalah ketika harga minyak jatuh menjunam dan pada tahun 2016 pernah mencecah USD35 setong. Dalam 3 tahun itu harga minyak turun naik secara drastik. Ketika itu nilai Ringgit bergerak antara RM3.60 ke RM4.41.

Selepas tahun 2017 barulah harga minyak kembali stabil. Dari USD55 naik kepada USD80 di awal tahun 2018 beberapa bulan sebelum PRU14.

Ketika inilah Ringgit mengukuh dari RM4.40 kepada RM3.80. Kerana negara menerima lebih banyak Dollar AS dalam penjualan minyak mentah.

Namun orang tidak mahu mengikuti perkembangan kewangan dan kaitannya dengan harga minyak. Sekarang pula harga minyak sudah stabil sekitar USD90 setong.
Sebaliknya yang membuatkan turun naik Ringgit sekarang tidak lagi dipengaruhi oleh harga minyak tetapi faktor pengukuhan Dollar AS.
_____________________________________________________________________________________
Megat Hisemudin Megat Kasim, seorang pengarang matematik dan penganalisa politik.

Pegawai kanan kastam disiasat, kes pemerdagangan manusia

Mohamed Basyir
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disiasat atas dakwaan terbabit kes pemerdagangan manusia.

Ia susulan laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang mendakwa pembantu rumahnya yang juga warga Indonesia dieksploitasi dan dibawa masuk ke negara ini secara haram.

Anak lelaki kepada wanita berusia 50 tahun itu melaporkannya kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia sebelum kes itu dirujuk kepada polis.

Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang kemudian menahan lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007.

Sumber memberitahu New Straits Times (NST) yang pegawai berusia 46 tahun dan berkhidmat di Putrajaya itu ditahan di rumahnya di Kajang, Selangor pada 1 tengah hari, 6 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa berjaya diselamatkan dan kini ditempatkan di premis perlindungan.

"Anak mangsa yang berada di Jawa Timur membuat laporan mendakwa ibunya tidak dibayar gaji oleh majikan.

"Menurut mangsa, dia bekerja dengan suspek selama tiga tahun dan sepatutnya dibayar RM1,000 sebulan. Bagaimanapun, dia tidak pernah dibayar secara tunai tetapi gajinya didakwa dihantar kepada keluarga di Jawa.

"Mangsa juga memberitahu polis bahawa suspek sering memarahinya tanpa sebab. Mangsa berkata dia bekerja dengan majikan lain ketika memasuki Malaysia pada 2018 sebelum dibawa bekerja di rumah suspek," katanya.

Sumber berkata, dalam soal siasat, suspek mendakwa mengambil mangsa yang tidak mempunyai permit sah daripada seorang ejen warga Malaysia dikenali 'Datin Liza'.

"Mangsa mempunyai telefon bimbit sendiri tetapi disimpan oleh isteri suspek yang tidak membenarkan dia menggunakannya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi NST mengesahkan kes itu.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono yang dihubungi NST juga mengesahkan menerima aduan itu dan merujuknya kepada polis IPD Kajang.

Beliau turut mengesahkan mangsa diselamatkan dan majikannya sedang dalam siasatan polis.

Bagaimanapun, beliau memberitahu belum menerima maklumat terkini berhubung siasatan kes berkenaan daripada polis.

Lelaki panjat lori, larikan tong gas di tengah jalan

Kosmo!

JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi dua lelaki memanjat lori yang berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum melarikan tong gas.

Berdasarkan rakaman tersebut, lori itu dilihat dipandu secara perlahan dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Tanjung Priok, Jakarta Utara.

Seorang lelaki kemudian memanjat lori tersebut sebelum menghulur tong gas kepada rakannya yang menunggu di atas jalan. Mereka kemudian melarikan dua tong gas.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Tanjung Priok, Asisten Komisioner Alex Chandra berkata, kejadian itu berlaku kelmarin dan pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut.

Siasatan mendapati terdapat dua suspek yang terlibat dalam kejadian itu, namun polis juga sedang memburu sekumpulan penjenayah yang mengganggu penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

“Siasatan masih diteruskan dan saksi-saksi sedang disoal siasat. Suspek kini dalam buruan polis,” katanya. – Agensi

Gaduh bunyi ekzos bising, 24 lelaki ditahan

FMT Reporters
Tangkap layar kejadian seorang lelaki dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah stesen minyak di Bagan Ajam, Butterworth.
PETALING JAYA: Polis menahan 24 remaja terbabit dalam pergaduhan berpunca kerana rasa tidak puas hati dengan bunyi ekzos motosikal kuat di sebuah stesen minyak di Bagan Ajam, Butterworth.

Ketua Polis Seberang Perai Utara Mohd Asri Shafie dalam kenyataan berkata suspek berusia antara 16 hingga 24 tahun dengan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

“Punca kejadian disebabkan tindakan provokasi mangsa sengaja membunyikan ekzos motosikal dengan kuat sehingga menghasilkan bunyi bising dalam satu perarakan keagamaan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan yang lain di stesen minyak tersebut hingga mengalami kecederaan di kepala.

Syed Ibrahim: 'Kalau tak mahu doakan Rafizi, cukup sekadar diam'

NOR SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menyelar tindakan pengguna media sosial yang membawa naratif jahat terhadap masalah kesihatan yang dihadapi oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Syed Ibrahim berkata, sekiranya tidak mahu mendoakan atau bersimpati, cukup sekadar berdiam diri.

“Semoga ALLAH beri kelembutan dan kewarasan dalam hati kita semua,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Jumaat.

Dalam hantaran berkenaan, Syed Ibrahim turut memuat naik paparan tangkap layar yang menunjukkan satu akaun media sosial mendakwa masalah kesihatan dihadapi Ahli Parlimen Pandan itu hanya sekadar drama untuk meraih simpati.

Terdahulu tular satu gambar tangkap layar memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan lawatan kebajikan ke salah pusat perubatan untuk melawat Rafizi yang dikatakan mengalami sakit jantung.

Elon Musk hilang RM76.3 bilion dalam satu malam

MOSCOW: Bilionair Amerika Syarikat (AS), Elon Musk hilang AS$16 bilion (RM76.3 bilion) nilai kekayaan dalam masa semalaman apabila saham Tesla menjunam lebih sembilan peratus berikutan prestasi kewangan yang buruk pada suku ketiga 2023, lapor Sputnik memetik Bloomberg Billionaires Index (BBI).

Saham pengeluar kereta elektrik itu jatuh 9.3 peratus kepada AS$220 apabila ditutup semalam selepas laporan suku tahunan menunjukkan pendapatan bersih syarikat merosot hampir 1.8 kali berbanding suku sebelumnya.

Nilai bersih Musk susut sebanyak tujuh peratus kepada AS$210 bilion, yang masih belum mencukupi untuk mengenepikannya daripada kedudukan teratas manusia paling kaya di dunia.

Hartawan barangan mewah Perancis, Bernard Arnault yang mengetuai syarikat mega Moet Hennessy Louis Vuitton (LVMH), di tempat kedua dengan AS$155 billion, diikuti rapat oleh pengasas Amazon, Jeff Bezos dengan AS$144 bilion.

-BERNAMA-SPUTNIK

Pemimpin DAP: PAS di bawah pimpinan Hadi Awang sekarang ‘menakutkan’ orang bukan Melayu

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP percaya PAS tidak akan dapat memulihkan kepercayaan orang bukan Islam selagi parti meneruskan pendekatan yang dianggap ekstrem oleh komuniti itu.

Timbalan Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong mengingatkan PAS ketika era Pakatan Rakyat (PR) kelihatan tidak “menakutkan” malah lebih terbuka, berbanding sekarang.

“Kalau parti anda sendiri ada pendirian (ekstrem) macam tu, main isu 3R (kaum, agama, dan raja) dengan begitu ekstrem sekali, macam mana dia nak dapat sokongan bukan Melayu?” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan bekas ketua Pemuda Ahmad Fadhli Shaari ketika muktamar semalam, yang terkilan PAS masih belum berjaya menjernihkan persepsi komuniti bukan Islam terhadap parti itu.

Hari ini, di muktamar sama, Presiden Hadi Awang percaya partinya gagal menarik sokongan kerana komuniti itu tidak menerima maklumat tepat, lantaran media sangat terbatas dan maklumat terhad di media sosial.

Khoo merasakan PAS wajar merenung kelakuan mutakhir ini. “Apa yang mereka lakukan sekarang ini bukan Melayu tak dapat terima dan dia menakutkan orang bukan Melayu.”

Fadhli dalam ucapan semalam berkata sokongan bukan Islam terhadap PAS ketika era PR disebabkan DAP menjernihkan persepsi komuniti bukan Melayu.

“Kita sedia bekerjasama dengan PAS dulu sebab dia boleh terima apa yang kita perjuangkan untuk rakyat dan kita boleh bersama lah,” kata Khoo.

Terengganu: Premis kibar bendera Israel undang kemarahan ramai

NORHASPIDA YATIM
Gambar tular di media sosial menunjukkan bahagian dari sebuah premis yang mengibarkan bendera Israel. - Foto media sosial
Gambar tular di media sosial menunjukkan bahagian dari sebuah premis yang mengibarkan bendera Israel. - Foto media sosial
KUALA TERENGGANU - Dua keping gambar memaparkan sebuah premis yang didakwa mengibarkan bendera Israel di sebuah kawasan di Terengganu tular di media sosial sejak petang Khamis.

Beberapa hantaran dimuat naik menerusi grup di media sosial menunjukkan gambar premis berkenaan yang dikatakan telah mengundang kemarahan ramai.

Bagaimanapun, menurut hantaran tersebut, pelaku memohon maaf dan telah menurunkan bendera berkenaan.

Difahamkan, motif kejadian dalam siasatan pihak berkuasa dan orang ramai diminta bertenang serta tidak mengambil tindakan sendiri.

Sementara itu, menjengah komen netizen kebanyakannya meluahkan rasa kesal ekoran tindakan tersebut.

Hayati Tasyriq berkata, pelaku tidak berapa sihat dan kini dalam pemantauan pihak berkuasa.

Sementara itu, Asrul Musa berkata, tindakan itu amat memalukan dan tidak peka terhadap sensitiviti seluruh umat Islam yang ketika ini berduka dengan tragedi berdarah yang melanda negara Islam Palestin.

Seorang lagi pengguna media sosial, Faith Schiudere mempersoalkan hukuman terhadap tindakan mengibarkan bendera Israel.

"Boleh kena dakwa ke kes gini (macam ni), betul tak beretika tetapi jenayah ke," soalnya.

Sehingga Khamis, lebih 3,000 penduduk Palestin dilaporkan telah terkorban dengan lebih 12,000 cedera akibat serangan rejim zionis ke atas Semenanjung Gaza.

Difahamkan, lebih 1,000 kanak-kanak terbunuh dalam 11 hari serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza dengan purata seorang kanak-kanak terkorban setiap 15 minit menjadikan golongan itu satu pertiga daripada jumlah kematian.

Tiga muslimat pulang Muktamar Pas maut kemalangan di Behrang

NORLIDA AKMAR IDROS
story-image
SUNGAI PETANI – Tiga muslimat Pas dilaporkan maut dalam kemalangan di Kilometer 390 Lebuh Raya Utara-Selatan di Behrang, Perak pada petang ini.

Ketiga-tiga mereka yang merupakan muslimat Pas Kawasan Sungai Petani dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Muktamar Pas di Shah Alam.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika mereka mahu membantu mangsa daripada sebuah kereta lain yang terlibat kemalangan di kawasan tersebut.

Berita pemergian tiga mangsa terbabit dikongsi di Facebook Pemuda Pas Sungai Petani dan Pas Kawasan Merbok sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE

Umpama 'Perang Dunia Ketiga', tiada tempat selamat di Gaza - Pengurus MyCARE Gaza

Bernama
Umpama 'Perang Dunia Ketiga', tiada tempat selamat di Gaza -  Pengurus MyCARE Gaza
Kali terakhir Zaid melaporkan situasinya di Semenanjung Gaza adalah 14 hari lepas. - FB Dr Ziad Shehada
JOHOR BAHRU: "Saudaraku di seluruh dunia. Kami ingin memaklumkan anda, keadaan kami tidak baik," kata Pengurus MyCARE Gaza Dr Ziad Shehada.

Kali terakhir Zaid melaporkan situasinya di Semenanjung Gaza adalah 14 hari lepas.

Beliau berkata dari pagi hingga malam terdapat pergerakan orang ramai di jalanan, sama ada untuk mendapatkan keperluan harian buat keluarga atau mencari tempat selamat.

Beliau juga telah kehabisan petrol dan gas memasak di rumah selain kedai roti utama telah hancur dalam serangan udara terbaru.

"Setiap hari anak-anak saya terpaksa beratur tiga hingga lima jam untuk mendapatkan sebeg roti. Tiada air bersih dan apa yang tinggal adalah air tercemar dan saya sedang mencari air bersih untuk anak saya yang sakit," katanya menerusi video di Facebooknya, semalam.

Ziad menggunakan radio lama milik datuk dan neneknya yang menggunakan bateri biasa untuk mendapatkan perkembangan terkini situasi di situ

Video itu turut memaparkan Ziad terpaksa berhenti bercakap seketika disebabkan oleh bunyi letupan berdekatan dan kemudiannya berkata "tiada tempat selamat di Gaza."

Beliau berkata aktiviti pengeboman memuncak selepas 10 malam hinggalah pagi dengan letupan dan pengeboman berlaku setiap minit.

"Kami fikir inilah situasi terburuk, seperti 'Perang Dunia Ketiga'. Mereka memusnahkan hospital, masjid dan orang awam," katanya.

Ziad turut berbincang dengan pembekal untuk bersiap sedia dengan bekalan keperluan harian terutama apabila sempadan Rafah dibuka, untuk membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan segera.

Serangan udara Israel sasar gereja di Gaza
Sementara itu, susulan pengeboman sebuah gereja yang menjadi sasaran terkini Zionis di Semenanjung Gaza malam tadi, seorang aktivis Palestin Abeer Z Barakat berkata, "ini bukan perang melawan Islam tetapi semua rakyat Palestin, tanpa mengira agama mereka."

Meluahkan perasannya dalam Facebook, beliau berkata kira-kira 400 penganut Kristian Gaza dan jiran mereka berlindung di gereja ketiga tertua di dunia itu ketika bangunan itu diserang.

"Anda masih fikir ini perang menentang Islam? Atau anda juga memberikan alasan seperti mereka (pengeboman hospital) bahawa gereja adalah perisai manusia?" katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.
-- BERNAMA

'30 sekeluarga meninggal dunia akibat kekejaman zionis'

Agensi
KESAN kemusnahan akibat serangan udara Israel di Khan Younis, selatan Gaza. FOTO Reuters
KESAN kemusnahan akibat serangan udara Israel di Khan Younis, selatan Gaza. FOTO Reuters
Gaza: Situasi tidak selamat di Gaza mengancam nyawa pesakit di hospital, berikutan bekalan perubatan tinggal sedikit, manakala kemudahan air bersih serta elektrik semakin terjejas, menurut doktor-doktor di Gaza.

The National News melaporkan, doktor terbabit turut meluahkan ketakutan mencengkam kakitangan perubatan yang kehilangan rakan sekerja dalam serangan udara Israel, yang turut memusnahkan kediaman mereka.

Air yang tercemar menyebabkan wabak gastroenteritis dalam kalangan kanak-kanak kecil, kata Dr Hussam Abu Safiya, petugas perubatan di Hospital Kanak-Kanak Kamal Adwan di utara Gaza.

Dr Hussam juga merayu bantuan antarabangsa untuk membekalkan lebih banyak ubat dan peralatan perubatan.

"Kami tidak mempunyai air bersih yang mencukupi, air kami tercemar dan 40 pesakit kanak-kanak mengalami jangkitan gastroenteritis akibat air tercemar," kata Dr Hussam yang mengetuai jabatan kanak-kanak hospital itu kepada The National News.

Beliau berkata, keadaan sekarang benar-benar sangat teruk, tidak selamat dengan 40 bayi mengalami muntah, cirit-birit, demam dan sakit perut, iaitu sakit berkaitan pencemaran air.

Hospital itu dipenuhi dengan ratusan mangsa cedera akibat pengeboman yang dikejarkan ke pusat perubatan itu, dan pada masa sama, ribuan mangsa lagi berpindah mencari perlindungan dan keselamatan di dalam kawasannya.

Dr Safiya, pakar perubatan utama untuk organisasi tidak bermotifkan keuntungan, MedGlobal, berkata, kakitangan perubatan sedang bergelut untuk menangani peningkatan jumlah mangsa maut.

"Hari ini, 30 mangsa daripada satu keluarga dibawa ke hospital kami dan menyedihkan semuanya meninggal dunia.

"Mangsa sekeluarga itu membabitkan bayi, bapa, ibu, nenek, datuk, semua (ahli keluarga) yang tinggal dalam satu rumah.

"Mereka ditarik keluar dari bawah sebuah rumah yang musnah dalam pengeboman. Ia terlalu ramai, sukar dan memeritkan untuk kami kendalikan serentak," katanya.

Beliau berkata, beberapa rakan sekerjanya terbunuh apabila serangan udara memusnahkan kediaman mereka selepas Israel mengisytiharkan perang ke atas Hamas pada 7 Oktober lalu.

"Ada pengeboman sepanjang masa, malah sekarang apabila saya bercakap dengan anda, ada pengeboman.

"Kami bekerja di bawah tekanan yang teruk. Kami bekerja dalam ketakutan," kata Dr Safiya.

Kemudahan rawatan rapi hospital dibanjiri pesakit yang mengalami kecederaan akibat letupan pengeboman rejim Zionis Israel.

Beliau berkata, dengan kemasukan pesakit baharu bertali-arus disebabkan serangan udara Israel itu dan penjagaan kritikal yang diperlukan untuk mangsa yang terselamat, warga hospital dan mangsa itu tidak akan berpindah walaupun Israel memberi amaran kepada semua penduduk untuk berpindah ke selatan.

"Ia akan membunuh pesakit kami, mereka tidak boleh diberitahu supaya meninggalkan hospital. Lagipun hospital di mana pula kami boleh memindahkan pesakit?

"Kami mempunyai enam pesakit neonatal di Unit Rawatan Rapi (ICU) pediatrik, ini adalah kanak-kanak yang disambungkan ke mesin oksigen.

"Kami mempunyai lebih ramai pesakit di bilik kecemasan pediatrik kami. Justeru kami memang tidak boleh berpindah," katanya.

Pada hari ke-13 perang Palestin-Israel, Kementerian Kesihatan Palestin berkata serangan udara Israel menghalang usaha untuk petugas perubatan mencapai mereka yang cedera, ditambah kemusnahan jalan menuju ke hospital.

Dua beranak cedera ditetak

Sinar Harian

KUANTAN: Seorang wanita warga emas bersama anak lelakinya cedera parah akibat ditetak seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Permatang Badak di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, suspek berusia 38 tahun bertindak menetak mangsa menggunakan parang menyebabkan Radzmah Awang, 71, dan anaknya, Ibrahim Shamsudin, 36, cedera parah di tangan, kepala serta beberapa bahagian badan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian dua beranak itu bersama dua lagi ahli keluarga berada di dapur rumah sebelum dikejutkan dengan kedatangan suspek.

"Suspek bertindak menendang pintu hingga pecah sebelum masuk ke dalam rumah dengan membawa sebilah parang lalu bertindak menyerang dan menetak dua beranak itu.

"Awalnya suspek menetak kepala dan tangan Ibrahim sebelum menyerang mangsa warga emas yang cuba melindungi anaknya," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, selepas kejadian, suspek segera melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

"Hasil siasatan, polis tidak menolak kejadian bermotifkan dendam ekoran rasa tidak hati suspek terhadap keluarga mangsa.

"Suspek pernah bekerja dengan salah seorang ahli keluarga mangsa sebelum diberhentikan kerana terlibat dengan penagihan dadah," katanya.

Menurutnya lagi, suspek juga sering mengganggu keluarga mangsa dan laporan polis juga pernah dibuat ke atas lelaki tersebut.

"Suspek pernah ditangkap dan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan melakukan khianat ke atas keluarga mangsa.

"Menurut mangsa, suspek kembali mengganggu mereka kebelakangan ini apabila sering menjerit dan membaling batu di hadapan rumah," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan berada dalam keadaan stabil.

"Usaha mengesan suspek masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian

Terengganu: Direman 7 hari rogol anak kandung

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
SUSPEK (depan berbaju ungu) dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan reman.  FOTO Rosli Ilham
SUSPEK (depan berbaju ungu) dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan reman. FOTO Rosli Ilham
Chukai: Seorang lelaki direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki merogol anak perempuannya berusia 13 tahun.

Perintah reman ke atas suspek itu bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 36 tahun ditahan di daerah ini, selepas anaknya itu membuat laporan polis.

"Sebelum membuat laporan polis, mangsa yang juga anak sulung daripada dua beradik itu menceritakan kejadian itu kepada jirannya kerana tidak berani memberitahu ibunya.

"Mangsa mendakwa perbuatan itu dilakukan bapanya kira-kira dua minggu lalu. Sebaik menerima laporan itu, polis segera menahan suspek petang semalam," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut dan hasil laporan perubatan, terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa.

Guru ditahan rogol pelajar

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
GURU yang ditahan reman tujuh hari kerana disyaki merogol pelajar sekolah. FOTO Abdul Rahemang Taiming
GURU yang ditahan reman tujuh hari kerana disyaki merogol pelajar sekolah. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Tawau: Seorang guru sebuah sekolah menengah di sini ditahan polis kerana disyaki merogol pelajar sekolah, kelmarin.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berhampiran sebuah premis di Kompleks Fajar, dekat sini, 9.58 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi berkata, tangkapan ke atas suspek susulan laporan dibuat oleh mangsa yang mendakwa dirogol suspek.

Beliau berkata, mangsa anak sulung daripada enam beradik itu yang juga pelajar Tingkatan 4, mendakwa dirogol di dalam bilik rumah guru terbabit di sebuah taman perumahan di Jalan Apas, antara 2.30 hingga 4.45 petang kelmarin.

"Ketika kejadian suspek meminta mangsa melakukan oral seks sebelum melakukan hubungan seks tanpa kerelaan mangsa," katanya.

Jasmin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek tidak menjalin hubungan cinta melainkan hubungan sebagai pelajar dan guru sahaja.

Bagaimanapun katanya, mangsa mengaku suspek pernah beberapa kali memintanya melakukan oral seks ketika keluar berdua-duaan antara Ogos tahun lalu sehingga 18 Oktober ini.

Terdahulu, suspek dibawa ke mahkamah pagi tadi untuk permohonan perintah reman dan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377(C) Kanun yang sama.

Suami isteri dituduh culik warga Palestin didakwa ubah wang haram

Ho Kit Yen
Nidarahayu Zainal dan suaminya, Raibafie Amdan, bersama 11 individu lain, didakwa menculik seorang lelaki Palestin pada 28 Sept tahun lepas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang didakwa menculik seorang warga Palestin dituduh di Mahkamah Sesyen hari ini melakukan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM205,636.32.

Nidarahayu Zainal berdepan 17 tuduhan melupuskan sejumlah wang itu daripada akaun CIMB miliknya dan memindahkannya kepada pelbagai penerima.

Sementara itu, suaminya, Raibafie Amdan, didakwa atas satu tuduhan menerima RM30,350 daripada Nidarahayu.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 15 Sept dan 2 Okt 2022.

Pasangan itu telah ditahan sejak Oktober tahun lepas dan sedang menunggu dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas tuduhan menculik.

Kedua-duanya, bersama 11 individu lain, didakwa menculik seorang lelaki Palestin pada 28 Sept tahun lepas untuk memintanya menyahaktif perisian komputer dan menggodam telefon bimbit.

Seorang lagi individu, Tengku Arif Tengku Bongsu, turut didakwa di mahkamah bersama mereka.

Tengku Arif didakwa atas satu tuduhan menerima RM25,000 daripada Nidarahayu pada 29 Sept 2022. Dia juga sedang menunggu dibicarakan bagi kes penculikan yang sama.

Hakim Kafli Che Ali mengenakan ikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin bagi Nidarahayu, manakala Tengku Arif dan Raibafie ditawarkan ikat jamin RM20,000 setiap seorang.

Mahkamah menetapkan 20 Nov untuk sebutan seterusnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria, manakala Goh Kim Lian mewakili Tengku Arif selaku peguam.

Pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.

Ahli Parlimen Gerik perjelas letak jawatan parti, sangkal khabar angin ‘tanpa asas’

FMT Reporters
Fathul Huzir Ayob mengesahkan akan kekal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen PN walaupun setelah meletak jawatan dalam Bersatu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob menyangkal khabar angin “tanpa asas” sekitar tindakan beliau meletakkan jawatan setiausaha Bersatu bahagian.

Menurut Fathul, beliau melepaskan jawatan setiausaha Bersatu Gerik kerana dilantik oleh pemangku ketua bahagian yang meletak jawatan pada 1 Okt lalu.

“Apabila (pemangku ketua bahagian) meletak jawatan, amat wajar sekiranya saya juga turut tertib dalam melakukan perkara sama tanda solidariti,” katanya dalam kenyataan.

Fathul menyifatkan perkembangan ini sebagai hal dalaman parti dan tidak wajar dikaitkan dengan kedudukannya sebagai seorang wakil rakyat Perikatan Nasional (PN)

“Tidak akan sesekali (saya) mengundurkan diri daripada barisan pembangkang mahupun menyatakan sokongan kepada kerajaan hari ini.

“Kesetiaan saya tidak boleh dijual beli,” tegasnya.

Terdahulu dilaporkan Fathul Huzir meletak jawatan sebagai setiausaha Bersatu Gerik pada 6 Okt.

Hadi tepis desas-desus Dr M calon PRK Kemaman

Faiz Zainudin dan Ameer Fakhri

SHAH ALAM: Presiden PAS Hadi Awang menepis desas-desus bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional bagi PRK Parlimen Kemaman.

“Tidak munasabah. Kalau nak timbulkan biar munasabah,” katanya pada sidang media di tepian muktamar PAS ke-69.

Hadi memaklumkan Perikatan Nasional belum memuktamadkan calonnya dan Mahathir tiada dalam senarai itu.

Pengundi Kemaman akan memilih wakil rakyat mereka pada 2 Disember. Pihak yang bertanding akan menamakan calon masing-masing pada 18 November.

Hadi arah PAS tarik undi bukan Melayu pula

Malaysiakini

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam pula setelah berjaya menguasai sokongan Melayu.

“Kita sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu Islam dalam PRU15, maka usaha yang penting dan berat yang mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu dalam PRU16. 

“Perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tersusun dan bijaksana,” katanya dalam ucapan dasar sempena muktamar tahunan PAS di Shah Alam sebentar tadi.

Hadi mengakui bedah siasat PAS mendapati bahawa mereka lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu.

Susulan itu, katanya, PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat bilangan gabungan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ini semua berlaku walaupun secara keseluruhannya berlaku peningkatan mendadak sokongan terhadap mereka, tambahnya.

Mangsa kebakaran terjun dari tingkat 4 selamatkan diri

KOSMO!
Seorang lelaki duduk di tingkat empat sebelum terjun dari sebuah bangunan terbakar di Bengaluru semalam. - Foto Twitter
NEW DELHI, India – Seorang pemuda nekad terjun dari tingkat empat bagi menyelamatkan diri selepas sebuah bangunan terbakar di Bengaluru, negeri Karnataka semalam, demikian menurut polis seperti dilaporkan laman berita Wion News.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan berada dalam keadaan selamat selepas terjun, namun dia sedang dirawat di sebuah hospital.

Dalam kejadian itu, dua individu mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat, manakala kebakaran berlaku sekitar waktu tengah hari.

Menurut laporan, api menjadi marak yang dipercayai dicetuskan daripada beberapa tong silinder gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan.

Lapan buah jentera bomba bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan api sebelum usaha itu berjaya dilakukan. – AGENSI

Laungan takbir sambut Dr Mahathir di muktamar PAS

Faiz Zainudin dan Ameer Fakhri
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ditempatkan di pentas muktamar bersama pimpinan PAS.
SHAH ALAM: Dr Mahathir Mohamad membuat kemunculan di muktamar PAS ke-69 di Shah Alam.

Bekas perdana menteri itu menjadi tetamu perhimpunan agung PAS hari ini, yang akan dirasmikan oleh Presiden Hadi Awang.

Terdahulu ketibaan Mahathir diumumkan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan sambil disambut laungan takbir perwakilan dan penyokong PAS.

“Selamat datang Tun Mahathir ke muktamar PAS,”kata Takiyuddin.

Turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin serta para pemimpin gabungan itu.

Kondominium mewah 42 tingkat jadi 'sarang' warga asing

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Pendatang tanpa izin yang ditahan pada operasi PATI di Menara City One. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Pendatang tanpa izin yang ditahan pada operasi PATI di Menara City One. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Kuala Lumpur: Kondominium mewah setinggi 42 tingkat yang terletak di kawasan ibu kota dikesan menjadi 'sarang' penempatan warga asing, sejak lebih tiga tahun lalu.

Hampir keseluruhan unit di dua blok bangunan lengkap dengan kawalan keselamatan itu dipercayai dihuni oleh warga asing termasuk penthouse dua tingkat yang mempunyai enam bilik terletak di bahagian paling atas bangunan berkenaan.

Perkara itu dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Bersepadu di kondominium di Jalan Munshi Abdullah di sini, kira-kira 1 pagi tadi.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan dijalankan selepas risikan dan aduan orang awam mengenai kebanjiran warga asing di kawasan itu.

"Dalam serbuan itu, seramai 3,016 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 136 warga asing berusia antara 20 hingga 70 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (45), Pakistan (41), India (33), Indonesia (12), Nepal (4) dan Thailand (1).

"Kesalahan tertinggi dikesan adalah tinggal lebih masa, pasport tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

Ruslin berkata, operasi dengan kekuatan 338 pegawai dan anggota JIM dari Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Ini kali kedua JIM menyerbu lokasi terbabit dengan kali pertama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira dua tahun lalu.

"Siasatan awal mendapati warga asing ini menyewa di dua blok kondominium yang mana setiap unit mempunyai tiga atau empat bilik dan kediaman itu dihuni sekurang-kurangnya lapan orang.

"Kadar sewa bagi setiap bilik berharga antara RM500 hingga RM800 sebulan bergantung kepada saiz bilik. Ada yang ditahan tinggal di penthouse dan ini menunjukkan warga asing mempunyai kemampuan yang besar," katanya.

Namun, katanya, JIM akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan majikan dan pemilik unit kediaman itu.

Beliau berkata, kesemua warga asing ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor, untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Untuk rekod, sebanyak 7,169 operasi dilaksanakan JIM sejak Januari lalu sehingga kelmarin, dengan 48,656 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 245 majikan ditahan.

Tebing Barat mungkin jadi ‘gerbang ke-3’ Israel

Reuters

RAMALLAH: Pertempuran kawasan jajahan di Tebing Barat semakin meningkat sejak Israel mengebom Semenanjung Gaza dan menyerang kedudukan Hezbollah di sempadan Lubnan, sekali gus mengundang kebimbangan kawasan dikuasai Palestin itu juga menjadi “gerbang ketiga” peperangan.

Israel kini sedang berperang terhadap Hamas di kawasan Palestin di Gaza, walaupun askar Israel dan pendatang haram keluar dari Gaza pada 2005. Israel masih menduduki Tebing Barat, yang ditawan bersama Gaza dalam Perang 1967.

Hamas, yang menguasai Gaza, telah membunuh lebih 1,400 dalam serangan mengejut ke Israel pada 7 Okt, disusuli pengeboman Israel yang mengorbankan 3,500 mangsa di Gaza. Israel juga sedang bersiap sedia melakukan serangan darat berskala besar ke atas Gaza untuk memusnahkan Hamas.

Negara Barat yang menyokong Israel bimbang perang meluas di Lubnan, yang mana kumpulan Hezbollah disokong Iran, sebagai “gerbang kedua”, selain apa yang dikatakan media Israel potensi “gerbang ketiga” di Tebing Barat.

Pertempuran antara askar Israel dan pendatang haram dengan rakyat Palestin telah pun menyebabkan kematian. Lebih 70 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat, sejak keganasan tercetus pada 7 Okt, dengan Israel menahan lebih 800 orang.

Tentera Israel menyerbu dan melakukan serangan udara di kem pelarian Palestin di Tebing Barat, pada Khamis, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang, kata pegawai Palestin.

Keganasan yang berlaku memberi cabaran kepada Israel dan Pihak Berkuasa Palestin (PA), satu-satunya badan pemerintah diiktiraf antarabangsa yang beribu pejabat di Tebing Barat.

Askar Israel berkata, mereka dalam kedudukan amaran tahap tinggi dan bersedia berdepan serangan termasuk daripada pejuang Hamas di Tebing Barat.

Jurucakap tentera Jonathan Conricus memberitahu Reuters, Hamas berusaha “menyelubungi Israel dengan dua atau tiga gerbang perang”, termasuk di sempadan Lubnan dan Tebing Barat. “Ancaman semakin meningkat,” katanya.

‘Beri rakyat senjata. Biar mereka bertempur’

Di Ramallah, laungan yang jarang didengar dibuat minggu ini menyokong sayap pejuang Hamas – saingan kepada Fatah parti menguasai PA – memaparkan peningkatan semangat untuk berjuang secara bersenjata.

“Beri rakyat senjata. Biar mereka bertempur. Kita tunjuk apa yang boleh kita buat,” kata Salah, penunjuk perasaan berusia 20 tahun.

Pegawai Fatah, Mowafaq Sehweel memberitahu Reuters: “Kami perlu melepaskan penguasaan dan menggunakan apa sahaja untuk menentang pendudukan.”

Nizar Mughrabi, pemilik firma seni bina, berkata beliau jijik dengan serangan Israel terhadap Gaza, namun tidak bersedia mengangkat senjata.

“Netanyahu mahu melawan, Haniyeh mahu melawan – temukan mereka di padang pasir dengan senapang dan biar mereka saling menembak sesama sendiri,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Dalam pada itu, aktivis anti pendatang haram, Mustafa al-Khawaja, 52, berkata “di Gaza, ada cukup masa (bagi Hamas) merencana pertempuran,” katanya. “Di sini, pendudukan (Israel) menyekat urusan seharian. Tiada ruang untuk membentuk serangan atau kekuatan politik.”

Kompleks kelompok Tebing Barat

Berbanding kawalan ketat Hamas meskipun Gaza dikepung, Tebing Barat merupakan kawasan kompleks berkelompok lereng berbukit, pendatang haram Israel dan pusat pemeriksaan tentera memisahkan masyarakat Palestin.

Israel menduduki wilayah berkenaan pada 1967 dengan kawasan itu dipisahkan kepada dua kawasan besar, kawasan kecil di mana rakyat Palestin mempunyai kawalan penuh dan kawasan di mana Palestin dan pihak berkuasa Israel membahagikan tugas awam dan keselamatan.

Belia terdesak di kem pelarian lebih bersedia melawan berbanding mereka di Ramallah, yang mana ahli perniagaan dan pegawai kanan Palestin akan mengalami kerugian dalam kitaran keganasan.

“Perniagaan saya sudah pun terjejas kerana ketidaktenteraman,” kata Mughrabi.

Antara kunci utama mengekang keganasan berlaku susulan perjanjian keselamatan Israel dengan Presiden PA Mahmoud Abbas, 87.

Walaupun Abbas mengutuk serangan Israel ke atas Gaza, pihak berkuasa keselamatannya turut menyekat tunjuk perasaan, selain Fatah tidak mengeluarkan seruan awam untuk melakukan penentangan bersenjata.

“PA mahu mengekalkan keamanan dan bimbang perarakan ribuan rakyat boleh bertukar cepat kepada ratusan ribu orang,” kata penganalisis politik Palestin, Hadi al-Masri.

Beliau berkata, pegawai PA dari segi kewangan adalah baik dan bergantung dengan perjanjian bersama Israel untuk mendapat bayaran.

Katanya, jika Abbas hilang penguasaan atau jatuh sakit pada usianya yang lanjut, situasi mungkin akan bertambah buruk.

Penyertaan PAS hapus pengaruh Umno dalam kerajaan perpaduan, kata penganalisis

Amirul Aiman dan Lynelle Tham

PETALING JAYA: Kemungkinan PAS menyertai kerajaan perpaduan boleh menghapuskan pengaruh Umno dalam pentadbiran, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, sokongan kuat Melayu terhadap parti Islam itu mungkin sesuatu yang patut dibimbangi Umno.

“Membawa PAS masuk ke kerajaan perpaduan (mungkin menyebabkan) Umno rasa diketepikan, kerana PAS terlalu dominan dalam meraih sokongan Melayu,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, pilihan raya negeri dan dua pilihan raya kecil di Johor dan Pahang baru-baru ini menunjukkan tahap sokongan yang semakin meningkat terhadap PAS dalam kalangan Melayu.

“Begitu juga MIC atau MCA tidak suka kekal dalam Barisan Nasional kerana telah diketepikan atau nampak tidak penting, memandangkan DAP begitu dominan dalam kerajaan,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mesti belajar cara menangani hubungan antara DAP dan PAS.

“Keadaan lebih kurang seperti utara dan selatan, masing-masing jauh berbeza dari segi ideologi dan prinsip politik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada PAS sanggup berpisah daripada Perikatan Nasional kerana gabungan itu masih percaya lambat-laun ia mampu membentuk kerajaan persekutuan.

Katanya, PAS mungkin mempertimbangkan menyertai kerajaan perpaduan jika parti itu menerima ia tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada undi Melayu untuk membentuk kerajaan persekutuan.

“Saya percaya harinya akan tiba apabila PAS menyedari ia tidak boleh bergantung 100% kepada pengundi Melayu untuk membentuk kerajaan persekutuan,” katanya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, penyertaan PAS dapat menyumbang kepada kestabilan negara dan memberikan Anwar sokongan kuat di Dewan Rakyat, seterusnya membolehkannya melaksanakan pelbagai reformasi dan inisiatif.

“Sudah pasti, kelebihan bagi Anwar dan kerajaannya jika PAS menyertai kerajaan perpaduan, adalah Anwar akan memiliki paling banyak sokongan di Dewan Rakyat.

Dalam wawancara dengan TIME Magazine baru-baru ini, Anwar mengesahkan tawaran telah dibuat kepada PAS untuk menyertai pentadbirannya.

Ditanya maklum balas diterima daripada parti itu, perdana menteri berkata PAS tidak memberikan jawapan positif mahupun menolaknya secara jelas.

Beliau membayangkan pintu masih terbuka untuk PAS menyertai pentadbirannya, bergantung kepada penerimaan beberapa syarat berkaitan dasar utama.

Polis siasat gambar tular wanita kurang sopan

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
DUA daripada empat gambar tular wanita yang berkelakuan tidak sopan di Sabah.
DUA daripada empat gambar tular wanita yang berkelakuan tidak sopan di Sabah.
Kota Kinabalu: Polis menyiasat gambar tular wanita berkelakuan tidak sopan dan berpakaian separuh bogel di tempat awam di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya mengesan empat gambar wanita itu yang tular semalam.

"Dua gambar menunjukkan wanita yang menayangkan payudara dan punggungnya, manakala dua gambar lagi wanita hanya berpakaian dalam di sekitar Jalan Gaya pada siang hari.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan juga Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya dalam kenyataan media.

Mohd Zaidi meminta orang ramai yang mengenali individu atau mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Hatin Amera Mohd Khir di talian 011-12939436 atau balai polis berhampiran.

Tiga maut, 4WD jatuh gaung dan terjunam dalam kolam

Erika George
am@hmetro.com.my
PASUKAN penyelamat membawa keluar mayat mangsa menaiki 4WD yang jatuh gaung dan terjunam dalam kolam di Batu 69 Jalan Simpang Pelugau-Tatau, Sibu. FOTO Ihsan JBPM.
PASUKAN penyelamat membawa keluar mayat mangsa menaiki 4WD yang jatuh gaung dan terjunam dalam kolam di Batu 69 Jalan Simpang Pelugau-Tatau, Sibu. FOTO Ihsan JBPM.
Sibu: Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun antara tiga maut selepas pacuan empat roda (4WD) dinaiki mereka jatuh gaung sebelum terjunam ke dalam kolam di Batu 69 Jalan Simpang Pelugau-Tatau, tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, kanak-kanak itu dikenali Hidayat dipercayai warga Indonesia selain, Dominic Serang, 33, dan Robin Kehing, 34.

Katanya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 1.18 tengah hari.

"Ketika pasukan tiba, kenderaan itu yang terjunam ke dalam kolam, ditarik ke tebing menggunakan jengkaut atas arahan polis.

"Mangsa pertama iaitu kanak-kanak itu ditemui di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, pasukan kemudian melakukan pencarian ke atas dua lagi mangsa di dalam kolam, sebelum menemui mereka yang kemudian turut disahkan meninggal dunia.

Mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Sibu bagi tindakan lanjut.

Seorang menyamar kontraktor TM ditahan, 3 lagi diburu

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Polis memburu tiga lelaki dipercayai menyamar sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM) dan mencuri kabel di Jalan Kampung Paya, Berapit, di sini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, seorang daripada ahli kumpulan itu berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, insiden disedari seorang pekerja TM yang melalui kawasan itu dan menghampiri empat lelaki berkenaan disebabkan curiga.

Katanya, ketika ditanya mengenai kerja yang dilakukan mereka, empat suspek bertindak melarikan diri sebelum pekerja TM sempat menahan seorang daripada mereka yang berusia lingkungan 20-an.

"Hasil semakan ke atas suspek mendapati dia mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala kejadian itu mengakibatkan TM kerugian kira-kira RM5,000.

"Polis melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 kanun Keseksaan dan mengesan suspek yang masih bebas," katanya dalam kenyataan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, kegiatan empat lelaki itu tular di media sosial selepas video mengenainya dimuat naik pengguna X.

Makan tak bayar, polis buru pemandu Myvi plat palsu

FMT Reporters
Pemandu Perodua Myvi dipercayai melarikan diri tanpa membayar selepas makan di sebuah gerai tepi jalan di Kampung Jambu, Kajang. (Gambar X)
PETALING JAYA: Polis mengesan pemandu Perodua Myvi dipercayai melarikan diri kerana tidak membayar makanan di kawasan Kampung Jambu, Kajang, kelmarin.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah gerai makan tepi jalan Kampung Jambu pada 12.30 tengah hari Rabu lalu.

“Semakan pada nombor pendaftaran kereta suspek itu didapati palsu,” katanya menurut Harian Metro.

Tetapi katanya, tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berhubung kejadian itu setakat ini.

Justeru, beliau meminta mangsa atau individu mempunyai maklumat berkaitan menghubungi pegawai penyiasat Somasurehsan Munusamy 016 4915193 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Tampar dua pemuda sebab salah faham

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular menunjukkan lelaki menampar dua pemuda di Taman Danau Kota, Setapak.
TANGKAP layar video tular menunjukkan lelaki menampar dua pemuda di Taman Danau Kota, Setapak.
Kuala Lumpur: Perselisihan faham dikatakan punca seorang lelaki menampar dua pemuda dalam pergaduhan di Taman Danau Kota, Setapak di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis menerima laporan kejadian pada 6.42 petang daripada mangsa berusia 21 tahun.

"Mangsa mendakwa ketika dia bersama rakannya berusia 19 tahun ditampar seorang lelaki. Suspek turut merampas dan membaling telefon bimbit rakannya sehingga mengalami kerosakan.

"Mangsa luka di bahagian mulut dan leher manakala rakan mengalami luka di mulut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Ashari berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju berjaya menahan suspek berusia 55 tahun di Setapak, kira-kira 11.30 pagi Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, polis sudah merujuk kertas siasatan lengkap kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan tuduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada pagi esok.

Terdahulu, beberapa rakaman video yang menunjukkan suspek menampar dan merampas telefon bimbit tular di laman sosial Facebook sehingga mendapat pelbagai respon orang ramai yang turut mengharapkan suspek dikenakan tindakan atas perbuatannya itu.

6 remaja ditahan rogol berkumpulan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Enam remaja ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang pelajar perempuan 14 tahun di Bagan Datuk, Perak.

Ketua Polis Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri, berkata semua suspek berusia 15 hingga 17 tahun itu ditahan susulan laporan ibu mangsa pada 8.30 malam kelmarin selepas dimaklumkan pihak sekolah.

Katanya mangsa dijemput seorang rakan sekolah dikenalinya, sebelum dibawa ke sebuah rumah di Hutan Melintang dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 2.30 pagi 24 Sept lalu.

“Semasa tiba di tempat kejadian, terdapat beberapa remaja lelaki yang dikenalinya sedang berehat di rumah itu.

“Dia didakwa diajak melakukan hubungan seks secara bergilir oleh lima remaja, kecuali lelaki yang membawanya ke rumah terbabit,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata lima daripada remaja lelaki itu bersekolah sama dengan mangsa, manakala seorang lagi berusia 17 tahun sudah berhenti sekolah.

Katanya mereka direman tiga hari mulai semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan.

Beliau berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.

Guna alasan buang ‘pendamping’, bomoh mengaku cabul pelajar tingkatan empat

HADI AB. MANAP
TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas empat pertuduhan mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan empat. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
MELAKA: Padah mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan empat dengan muslihat kononnya ingin membuang pendamping daripada tubuh mangsa, seorang bomoh berdepan hukuman penjara 80 tahun selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hukuman terhadap tertuduh, Zemi Rahim, 50, bagaimanapun ditangguhkan Hakim Mohd. Sabri Ismail pada 3 November ini bagi menunggu laporan penuh fakta kes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga seorang jurulatih Muay Thai didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 16 tahun dua bulan.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan semak di Jalan Taman Malim Jaya dan kawasan perindustrian berdekatan sebuah pasar raya di Cheng dalam daerah Melaka Tengah antara awal September sehingga 9 Oktober 2023.

Tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang jurulatih Muay Thai yang mendakwa dirinya sebagai bomoh direman tujuh hari bermula bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat di kawasan semak berhampiran sebuah pasar raya di Malim.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Khairunnisak Hasni terhadap suspek lelaki berusia 50 tahun.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pada mulanya suspek dipercayai datang ke rumah remaja itu untuk mengubati ibu saudara mangsa.

Ujarnya, suspek kemudiannya memberitahu ibu mangsa bahawa dia mahu mengubati remaja berkenaan kerana mendakwa terdapat pendamping di badan mangsa. – UTUSAN