ZULKIFLI YAHAYA
BN sangat bergantung kepada pengundi yang malas berfikir atau kurang daya berfikir untuk mengekalkan sokongan. Golongan ini hampir tidak menyedari bahawa setiap isu yang disensasikan media Umno/BN sebenarnya langsung tiada kena mengena dengan kepentingan Islam atau Melayu. Mereka memberi reaksi spontan terhadap isu rasis yang dimainkan BN serta terus hanyut dengan propagandanya.
Apabila media Umno/BN mendedahkan cerita propaganda kononnya 10 ribu Bible berbahasa Melayu menggunakan kalimah Allah sedang diedarkan di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, golongan kurang daya fikir ini akan menelan bulat-bulat dan meyakininya macam orang beriman percayakan kitab Al-Quran. Rentetan itu muncullah reaksi pelbagai yang menggambarkan kerisauan tidak berasas terhadap isu ciptaan itu.
Kononnya juga baru-baru ini terdapat cubaan mengedar Bible kepada pelajar Islam di Pulau Pinang. Gambar dua lelaki sedang mengedarkan Bible disebarkan di alam maya. Orang kurang daya fikir akan segera berkata, “Betullah macam dihebahkan, puak Kristian ni memang kurang ajar, sengaja nak cabar kesabaran umat Islam.”
Manakala golongan berfikir sudah nampak itu adalah rentetan propaganda Umno BN untuk kononnya mengesahkan apa yang menjadi kekhuatiran mereka. Mereka percaya mengedar Bible itu cuma pelakon, di mana pengarahnya ialah pihak yang terdesak untuk mendapat undi Melayu/Islam melalui sentimen rasisme.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan perkara itu tidak masuk akal dan merupakan fitnah jahat yang dilakukan bagi mencetuskan kemarahan umat Islam selepas isu penggunaan Kalimah Allah. Ia merupakan hasutan perkauman terbaru bagi mengalihkan perhatian rakyat.
“Jika betul perkara itu (pengedaran Bible) berlaku, mengapa hanya mengambil video dan tidak menangkap perlaku itu?
“Tangkap saja sebab pelaku itu sudah menyalahi undang-undang dan perlembagaan. Kenapa tidak serahkan kepada pihak polis? Kenapa hanya dimuat naik di Youtube dan Facebook?
“Sebagai rakyat, jangan mudah diperbodohkan Umno-BN. Mereka sudah terdesak dan tersempit oleh itu mereka lakukan pelbagai perkara,” katanya.
Isu pengedaran Bible itu mendapat ulasan dari para pemuka rasis Melayu dengan persembahan penuh emosi dan memualkan. Mereka marahkan pihak pendakyah Kristian kerana menyebarkan kepercayaan mereka kepada umat Islam. Memang terdapat dalam peruntukan undang-undang di negara ini, agama selain Islam tidak boleh didakyahkan kepada umat Islam.
Hari di mana langit sudah luas terbuka ini, wajar bagi umat Islam bertanya diri sendiri, sampai bila kita mahu menyelamatkan aqidah umat Islam dengan cara menyekat pengaruh atau maklumat dari bukan Islam berasaskan undang-undang? Hari ini, ajaran bukan Islam dari apa sahaja agama bukan hanya boleh didapati dari kitab yang bertulis. Hanya dengan sentuhan di keybord computer, segala jenis agama boleh dipelajari di internet. Apakah perlu pula bagi Umno, Jati dan Perkasa mendesak kerajaan mengharamkan internet di Malaysia demi menyekat dakyah Kristian?
Soalan menarik untuk difikirkan ialah, apakah Islam boleh berkembang pesat dan diagungkan dengan cara menyekat fahaman agama lain masuk ke pemikiran umat Islam semata-mata?
Kalangan pihak yang anti Kristian ini bukan main beremosi apabila mendengar cerita Bible diedarkan secara terbuka. Mereka marah jentera pendakyah agama bukan Islam menyebarkan agama mereka, tetapi puak yang kononnya terlalu kuat Islam itu sendiri tidak pula melakukan kerja dakwah terhadap umat manusia yang lain, khususnya bukan Muslim. Kerja mereka siang malam cuma memburukkan PAS dan Melayu KeADILan serta memaki hamun DAP. Agaknya melalui cara tersebut, semakin kuatlah Islam di Malaysia.
Di banyak negara di dunia ini, pertikaian berhubung fahaman agama diredakan melalui perdebatan antara agama secara ilmiah. Dalam banyak perdebatan, pihak Islam sentiasa menang berhujah. Menang atau kalah hujah adalah satu isu, tetapi Islam dianuti adalah kerana hidayah dari Allah. Ahmad Deedat menjadi tokoh lagenda Muslim yang semasa hayatnya sangat bijak berhujah dalam dialog Islam-Kristian. Beliau pernah diundang ke Malaysia dalam satu forum berhubung isu tersebut, malangnya kerajaan BN Malaysia tidak membenarkannya. Penghakiman salah betul sesuatu isu berdasarkan nilai keintelektualan nampaknya tidak laku di Malaysia. Lebih laku lagi cara perungus, bebal dan emosi yang mempamerkan wajah hodoh orang yag 'terlebih' Melayu dan Islam hingga sanggup membakar Bible... sedangkan ia langsung bukan dari ajaran Islam.
Cara menangani perbezaan antara agama di Malaysia, seperti yang dilakukan oleh Umno serta sekutunya ialah dengan memasak ego rasisme, menyemarak kebencian terpihak pihak lain dan yang paling utama bagi mereka ialah – menyalahkan DAP, KeADILan dan PAS! Kalimah Allah hakikatnya dijadikan barang dagangan politik oleh mereka untuk ditukar dengan undi Melayu dalam PRU13 nanti.