"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Tiada apa dapat halang MP PH ke parlimen Isnin ini'

Malaysiakini 

Tiada yang dapat menghalang ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk hadir ke Parlimen Isnin ini meskipun persidangan ditangguhkan, kata gabungan itu.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden Harapan berkata tidak ada yang dapat menghentikan ahli parlimen daripada melaksanakan tugas mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan sebelum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan persidangan parlimen Isnin ini.

"Walau apapun yang berlaku, ahli-ahli Parlimen tidak boleh dihalang dari hadir ke Parlimen pada hari Isnin ini untuk melaksana tugas dan tanggungjawab kami kepada Rakyat dan Negara, serta melaksana sumpah yang telah kami angkat iaitu untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Kenyataan itu turut menjangkakan Muhyiddin akan menggunakan isu Covid-19 sebagai alasan untuk menutup Parlimen.

Bagaimanapun Majlis Presiden PH berkata, isu jangkitan Covid-19 tidak patut dijadikan alasan untuk menutup atau menangguhkan sidang parlimen.

Menurut mereka, 11 kes Covid-19 yang dikesan di parlimen pada Khamis lalu dan kadar positif di parlimen hanya berjumlah 0.9 peratus - jauh di bawah nilai ambang 5 peratus yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Ini bermaksud tidak ada jumlah kes positif Covi-19 yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu.

"Jika Parlimen ditutup dengan hanya dengan kadar kurang daripada 1 peratus, Parlimen berkemungkinan besar tidak akan bersidang lagi kerana hakikatnya Covid-19 akan terus berada di dalam masyarakat (endemik) bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia," kata kenyataan itu lagi.

Selain mereka turut mengingatkan Muhyiddin agar tidak menggunakan kementerian dan agensi kerajaan, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk membenarkan penutupan parlimen.

Surat yang dikeluarkan setiausaha Dewan Rakyat kepada ahli parlimen menyatakan penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.

Penangguhan itu dibuat di tengah kemelut yang didakwa sebagai krisis perlembagaan antara Istana Negara dan kerajaan.

Khamis lepas, Yang di-Pertuan Agong memberikan teguran terhadap kerajaan, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan ordinan darurat telah ditamatkan - walaupun belum mendapat perkenan Agong.

Pejabat Perdana Menteri mempertahankan keputusan itu dengan mengatakan kerajaan bertindak mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan nasihat kabinet.

Anwar sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin berikutan keputusan itu.

Sidang Dewan Rakyat tangguh, kami tetap mahu turun Parlimen, kata Ahli Parlimen pembangkang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebilangan Ahli Parlimen pembangkang tetap bertegas mahu hadir ke Parlimen Isnin ini walaupun hari terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu sudah dibatalkan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional adalah penderhaka, yang mana mereka sama sekali meminggirkan Perlembagaan negara yang sudah mereka janji untuk taat setia ketika mengangkat sumpah.

Katanya, tindakan Perdana Menteri mengarahkan Parlimen digantung umpama mencampuri hak Eksekutif dalam urusan perundangan.

“Di mana Speaker (Azhar Azizan Harun) ketika dia seharusnya membuat keputusan sama ada Parlimen boleh atau tidak bersidang. Dia sepatutnya berkomunikasi dengan semua Ahli Parlimen. Mengapa dia menyerahkan tugasnya kepada Timbalan untuk memaklumkan kepada Ahli Parlimen?,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim mendakwa, Muhyiddin menangguhkan sidang Parlimen kerana ingin mengelak daripada undi sama ada semua Ahli Parlimen sepakat untuk menyokong titah Yang di-Pertuan Agong berhubung Ordinan Darurat perlu dibahaskan.

“Jika dia mendakwa ada sokongan lebih 110 Ahli Parlimen, mengapa mereka mengelak untuk bersidang?

“Perdana Menteri, Speaker, Takiyuddin (Menteri Undang-Undang) serta Peguam Negara perlu letak jawatan segera bagi memulihkan kembali negara,” katanya sambil menambah, empat individu berkenaan perlu mohon maaf kepada Agong.

Justeru, katanya, beliau sudah pun mengarahkan semua 42 Ahli Parlimen DAP untuk muncul di Parlimen pada jam 10 pagi Isnin ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kehadiran mereka pada Isnin ini di Parlimen sebagai tanda membantah penutupan institusi tertinggi negara itu.

Fahmi dan Syed Saddiq sependapat kadar jangkitan di Parlimen hanya 0.9%, iaitu di bawah paras 5% seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Hampir kesemua Ahli Parlimen telah terima 2 dos vaksin, dan telah disahkan negatif dalam ujian RT-PCR pada 23/7 sebelum sidang khas bermula.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Ordinan-Ordinan Darurat perlu dibahas dan diputuskan di Parlimen, selaras Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, tidak ada kuasa yang boleh atau patut menghalang Ahli Parlimen yang sah dan berhak berasaskan Perlembagaan Persekutuan untuk hadir ke Parlimen pada Isnin, 2 Ogos ini. Allah selamatkan Malaysia dari para pengkhianat, penderhaka, dan perosak Perlembagaan Persekutuan kita.

“Parlimen, kami datang!” kata Fahmi dalam laman Facebooknya.

Syed Saddiq berkata, kerajaan PN digambarkan sebagai takut untuk berbahas membabitkan ordinan darurat yang dijadual berlangsung pada sidang Parlimen, Isnin ini.

“Jangan ingat rakyat bodoh. Saya & rakan MPs (Ahli Parlimen) dibayar untuk bertugas di Parlimen. Saya tetap akan ke Parlimen Isnin ni. Nak halang saya, halanglah. Saya tak takut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian, menyatakan rasa kecewa kerana Parlimen dipermainkan pihak kerajaan.

“Baru terima notis dari Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bahawa Timbalan Speaker mengarahkan agar persidangan hari Isnin (2/8/2021) ditangguh ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Kenapa Parlimen di permainkan sedemikian?” katanya.

Sementara itu, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mencadangkan Yang di-Pertuan Agong membatalkan Seksyen 11 Ordinan Darurat, justeru pencetus keruntuhan kerajaan dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin termasuk barisan Kabinet, sebelum pengisytiharan darurat secara automatik tamat pada tengah malam, 2 Ogos ini.

Katanya, satu Seksyen 11 baru digubal dalam Ordinan Darurat dan meletakkan kuasa tadbir urus negara semasa darurat kepada satu Majlis Penasihat Diraja Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan dibantu penjawat awam di bawah kementerian masing-masing.

Haniff berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mutlak melanjutkan tempoh darurat mulai 2 Ogos ini hingga sekurang-kurangnya 31 Disember tahun ini ataupun mana-mana tarikh mengikut Perkara 150(1) dan atau Perkara 150(2A) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keseluruhan fokus dan perhatian tadbir urus negara semasa darurat di tumpukan kepada masalah menangani Covid-19 tanpa gangguan politik sama sekali.

Lari macam mana pun, Muhyiddin tetap akan ‘tersungkur’, kata Ahli Parlimen Amanah, PKR

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin tetap akan “tersungkur” dari jawatan Perdana Menteri dalam masa terdekat ini walaupun beliau menggunakan pelbagai helah untuk terus mengelak daripada sebarang pembuktian bahawa Presiden Bersatu itu sudah hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen, kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

“Perdana Menteri sudah hilang majoriti sebenarnya, sebab itu dia takut nak datang Parlimen. Dia dah hilang kredibiliti, dia dah hilang maruah malah secara terbuka melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Pada masa terdekat ini dia akan tetap jatuh, dia tidak boleh lari jauh apa yang telah berlaku pada hari ini,” katanya kepada FMT.

Malah, Ahli Parlimen Pulai itu berkata tindakan Muhyiddin yang terus menderhaka kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencemarkan negara, merosakkan Parlimen kerana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.

“Saya yakin apa yang dia buat ini telah cemarkan negara, cemarkan Parlimen dan tidak pernah berlaku sejak negara merdeka,” tegasnya sambil mendakwa imej Speaker Azhar Azizan Harun yang dikritik hebat kerana menjadi “pelindung” kerajaan gagal itu sudah tercalar teruk.

“Jadi mereka takkan berani hadapi kita pada Isnin ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata pendedahan Istana Negara mengenai tindak-tanduk pentadbiran Muhyiddin yang tidak mendapat perkenan Agong menyebabkan Muhyiddin semakin tertekan.

“Apabila pendirian Tuanku sudah terdedah kepada umum dan menyebabkan Muhyiddin semakin tertekan dan langkah terakhir untuk menyelamatkan dirinya adalah dengan menangguhkan Parlimen,” katanya kepada FMT.

Katanya, sepanjang Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 minggu ini, Muhyiddin berjaya mengelakkan sebarang pengundian dengan agenda penerangan mengenai Majlis Pemulihan Negara.

“Namun, sebaliknya Agong sudah pun menitahkan kepada Peguam Negara, Idrus Harun dan Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan bahawa Ordinan Darurat perlu dibentangkan dan dibahaskan di parlimen, tetapi mereka tidak patuh,” katanya.

Katanya, perkembangan terbaharu iaitu krisis antara Perdana Menteri dan Istana Negara mendedahkan lagi Muhyiddin sebagai pemimpin negara yang sedang bermasalah.

“Sekarang bermasalah dengan Istana, dia (Muhyiddin) juga tidak popular dalam kalangan rakyat malah pada hari ini anak muda buat demonstrasi, doktor juga buat demonstrasi… dia pun ada krisis dengan Istana iaitu derhaka dan tidak hormat,” katanya yang menyifatkan tindakan menangguhkan persidangan tanpa alasan yang konkrit adalah satu tindakan politik malah percubaan untuk mempertahankan kerajaan yang sedang berada di hujung tanduk.

Terdahulu, Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan hari terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Rakyat yang dijadual pada Isnin ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata Pejabat Speaker telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung perkara berkenaan.

Katanya, penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19.

Seperti dijangka: PM tangguh sidang parlimen Isnin ini kerana 'risiko Covid-19'

Malaysiakini 

Sidang khas parlimen yang seharusnya disambung Isnin ini ditangguhkan "ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak".

Perkara itu dimaklumkan melalui surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

"Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan rakyat pada Isnin, 2 Ogos 2021 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

"Pemakluman ini dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peratusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," kata surat itu yang dilihat Malaysiakini.

Surat itu juga menyatakan bahawa penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19," kata surat itu.

Dr M namakan senarai tokoh dicadang anggotai Majlis Pemulihan Negara

Malaysiakini 

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyenaraikan nama-nama yang difikirkannya sesuai menganggotai badan ala Mageran, Majlis Pemulihan Negara (MPN) khusus untuk menangani wabak Covid-19.

Nama-nama yang disenaraikannya itu melibatkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang merangkumi perubatan, ekonomi, perundangan, pendidikan dan politik.

Ini selepas kerajaan PN menubuhkan Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan menteri penyelarasnya Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurut ahli parlimen Langkawi cadangan MPN ini pertama kali dibentangkan olehnya kepada Yang di-Pertuan Agong pada hari Khamis, 10 Jun lepas.

"Ketika saya memberi cadangan penubuhan MPN kepada Yang di-Pertuan Agong, saya telah memikir secara amat mendalam keahlian badan itu yang saya yakin dapat membantu Negara mengatasi krisis ini selain menyediakan rancangan jangka panjang pemulihan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Katanya, cadangan penubuhan MPN ini timbul kerana rata-rata terdapat sentimen kerajaan PN "sudah gagal amat meluas dan krisis semakin bertambah."

Dr Mahathir juga berkata mereka yang dinamakan dalam MPN versi cadangannya itu tidak tahu atau bersetuju mengenai keanggotaan dalam badan yang berasaskan khidmat negara tersebut.

Kata Mahathir, MPN perlu menghadkan keahlian tidak lebih 20 orang, supaya "keputusan dan tindakan dapat dibuat dengan cepat."

"Nama-nama yang hendak saya cadang dan kenapa saya cadang mereka adalah seperti berikut: Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Lin See Yan, Tan Sri Mohd Hassan Merican Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Prof Dr Jomo K Sundram.

"Selain itu, dalam bidang perubatan, saya mencadangkan: Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, Datuk Dr Musa Nordin, Datuk Dr Amar Singh HSS, Dr Kumitaa Theva Das.

"Saya juga ingin mencadang beberapa pakar perundangan yang perlu untuk memastikan segala tindak-tanduk MPN itu tidak mencabar kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara: Prof Emeritus Datuk Shad Faruqi, Prof Dato’ Salleh Buang.

"Untuk mengatasi masalah pendidikan, saya bercadang memberi penekanan kepada pembelajaran dari rumah dan menggunakan televisyen dan program-program yang dirakam oleh ahli-ahli akademik, guru-guru dan pendidik terbaik supaya ibu bapa mudah membantu anak mereka dan ini dapat dirangka oleh: YAM Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz Tan Sri Mohd Shukri Ab Yajid, Samuel Isaiah," katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, Mahathir berkata beberapa ahli politik yang dicadangkannya tidak boleh terikat dengan parti mereka.

"Saya juga ingin cadangkan beberapa nama ahli politik untuk menyertai MPN dan mereka dipilih bukan kerana politik kepartian tetapi di atas beberapa usaha yang telah mereka lakukan: Datuk Seri Azalina Othman Said, Hannah Yeoh, Ahmad Fahmi Fadzil, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman," katanya lagi.

Belum sebulan dilantik TPM, Ismail Sabri bakal dilantik PM interim?

Minderjeet Kaur

Difahamkan, Muhyiddin sebelum ini dinasihati untuk tidak meletak jawatan, susulan kontroversi pembatalan ordinan darurat tanpa perkenan Istana Negara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikatakan mempunyai sokongan kuat, termasuk daripada kalangan ahli kabinet untuk dilantik sebagai perdana menteri interim (sementara,) menurut sumber.

Menurut sumber berkenaan, rundingan mengenai perkara itu sedang berjalan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ismail ‘nampaknya’ memperolehi sokongan agak kukuh menggantikan Muhyiddin Yassin, untuk dicalonkan sebagai perdana menteri interim, kata sumber itu.

Majoriti dalam kabinet bersetuju atas pekara ini dalam rundingan setakat ini,” tambahnya.

Adalah difahamkan, Muhyiddin sebelum ini dinasihati untuk tidak meletak jawatan oleh anggota kabinetnya, susulan kontroversi pembatalan ordinan darurat tanpa perkenan Istana Negara.

Bagaimanapun pendirian muktamad Ahli Parlimen Pagoh itu terhadap nasihat berkenaan tidak diketahui.

Ismail dilantik sebagai timbalan perdana menteri awal bulan ini.

Hari ini, spekulasi bertebaran Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memperolehi perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun jurucakap Istana dan PKR menafikannya.

Maklumat Anwar diperkenan menghadap YDP Agong tidak benar

Astro Awani

Maklumat Anwar diperkenan menghadap YDP Agong tidak benar

Menurut Istana Negara, maklumat berkenaan yang mendakwa Ahli Parlimen Port Dickson itu menghadap Tuanku di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Pahang, adalah palsu.

KUALA LUMPUR: Sumber rapat kepada Istana Negara hari ini menyifatkan maklumat berkaita jemputan diberikan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk masuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, adalah tidak benar.

Maklumat berkenaan mendakwa Ahli Parlimen Port Dickson itu akan menghadap Tuanku di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Pahang.

Terdahulu, Astro AWANI memetik sumber sebagai berkata, pertemuan itu dijadualkan berlangsung hari ini.

Bagaimanapun tiada maklumat lanjut mengenai isi pertemuan itu serta pukul berapa ia akan berlangsung.

Setakat ini Astro AWANI masih cuba mendapatkan maklumat lanjut dari Pejabat Ketua Pembangkang.

Akibat tamak kuasa, PAS berisiko hilang sokongan, kata penganalisis

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: PAS telah berubah daripada sebuah parti idealis menjadi parti oportunis sejak mendapat kuasa, dan dengan itu berisiko kehilangan sokongan, menurut seorang ahli akademik.

Mohd Azizuddin Sani daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, beliau yakin pemimpin PAS akan menyokong sesiapa sahaja yang mereka rasa akan kekal berkuasa dan sekarang akan terus menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekalipun kemelut berhubung pembatalan Ordinan Darurat menimbulkan kegelisahan di peringkat akar umbi.

“PAS juga berkemungkinan akan menyokong Bersatu sehingga parti itu tidak lagi dapat memenuhi matlamatnya untuk memegang kuasa,” katanya kepada FMT.

“Jika Umno menjadi lebih kuat, PAS mungkin akan beralih menyokongnya pula.”

Beliau juga berkata, Ahli Parlimen PAS boleh kehilangan sokongan pengundi kerana kemungkinan ramai ahli akar umbi terkejut dengan tindakan pemimpinnya yang dianggap menentang Yang di-Pertuan Agong.

Beliau merujuk kepada kenyataan Istana Negara pada Khamis bahawa kerajaan tidak mendapat perkenan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat.

Pemimpin PAS Takiyuddin Hassan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), mengejutkan Dewan Rakyat pada Isnin dengan memberitahu bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan sejak 21 Julai.

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin PAS lain mempertahankan beliau dengan ada yang berkata, Takiyuddin hanya mengikut arahan Perdana Menteri.

Azizuddin berkata, para pemimpin parti sekarang harus menjelaskan perkara itu kepada akar umbi untuk mendapatkan kembali sokongan, tetapi tindakan yang diambil bertentangan dengan titah Agong akan memberi kesan buruk kepada PAS.

Katanya, para pemimpin PAS sepatutnya menjangkakan reaksi negatif daripada akar umbi jika mereka terus menyokong Bersatu dalam pertikaian dengan Agong.

Azizuddin juga berkata, sudah ada bukti bahawa PAS kini semakin lemah.

Di Kedah dan Terengganu, katanya, timbul perpecahan di peringkat akar umbi antara mereka yang mahukan pemimpin mereka melaksanakan undang-undang hudud dan pihak yang menentangnya.

'Darurat gagal tangani Covid-19, malah cetus krisis perlembagaan'

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mempersoalkan apakah pengisytiharan darurat yang dimohon kerajaan Perikatan Nasional untuk memerangi Covid-19, berhasil selepas enam bulan.

Kenyataan itu hadir sehari sebelum darurat, yang bermula pada 11 Januari, akan tamat (1 Ogos).

"Adakah darurat berjaya dalam tujuan yang dimaksudkan?" soalnya.

Dia menyatakan bahawa ketika darurat diisytiharkan, hanya ada 235,992 kes Covid-19 dan 551 kematian.

Sejak itu kes melonjak kepada 1,095,485 kes keseluruhan dan 8,859 kematian pada 29 Julai.

Kes Covid-19 baru setiap hari juga meningkat daripada empat angka ketika darurat diisytiharkan menjadi lima angka sementara kematian setiap hari adalah tiga angka berbanding satu angka pada Januari.

"Peningkatan tujuh kali ganda kes Covid-19 baru setiap hari dan peningkatan 15 kali ganda kematian Covid19 baru setiap hari adalah bukti kukuh bahawa darurat bukanlah penawar kepada Covid-19 dan mengapa tidak ada negara di dunia yang mengisytiharkan darurat untuk memerangi wabak Covid-19 kecuali dalam keadaan yang paling luar biasa," katanya.

Malah, tambah Lim, penghujung darurat kini juga ditandai dengan krisis perlembagaan.

Ini terjadi setelah kerajaaan membatalkan ordinandarurat tanpa perkenan Yang Di-Pertuan Agong, yang menimbulkan rasa tidak senang kerajaan.

"Malaysia dalam situasi yang tidak pernah dilalui sebelum ini, kerana ini krisis perlembagaan yang tidak dapat dibayangkan oleh pengasas negara yang menulis Perlembagaan Malaysia dan memberikan asas-asas pemerintahan yang baik berdasarkan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen serta doktrin pemisahan kuasa di kalangan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman," katanya.

Lim berkata jika Yang Di-Pertuan Agong masih tidak memberikan perkenan menjelang tengah malam, maka Parlimen perlu mengundi untuk membatalkan ordinan darurat.

Yang Di-Pertuan Agong sebelum ini mahu ordinan darurat dibahaskan di Parlimen tetapi kerajaan mahu pihak istana memberi perkenan untuk pembatalan tanpa melalui badan perundangan.

Perkembangan ini hadir ketika sokongan majoriti Muhyiddin Yassin di parlimen tergugat selepas Umno menarik sokongan terhadapnya.

Istana Negara beri perincian kepada Mahiaddin

A KADIR JASIN

1. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam mengutus surat kepada Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin bagi memperjelaskan dan seterusnya “menyanggah” kenyataan serta pendirian Kerajaan berkaitan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang berkuatkuasa sepanjang tempoh Proklamasi Darurat.

2. Warkah Seri Paduka Baginda itu telah mula tersebar di media sosial beberapa ketika lalu.

3. Dalam warkah tersebut, Seri Paduka Baginda memberikan perincian teliti mengenai garis masa peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kekusutan yang melibatkan Istana Negara, Kerajaan Perikatan Nasional dan Dewan Rakyat.

4. Seri Paduka Baginda menjelaskan yang Baginda tidak akan memberi persetujuan bersabit pembatalan Ordinan-ordinan tersebut kerana dipersembahkan kepada Baginda secara tergesa-gesa dan tidak seperti yang Baginda titahkan.

5. Kerajaan mempersembahkan cadangan itu kepada Baginda hanya pada 23 Julai sedangkan Parlimen akan mula bersidang pada 26 Julai dan pembatalan Ordinan-ordinan berkenaan diundurkan (backdated) kepada 21 Julai.

6. Baginda menekankan yang Baginda tidak akan memberi persetujuan jika proses perungkaian Ordinan-ordinan berkenaan tidak dilakukan secara teratur mengikut Perlembagaan.

7. Baginda menitahkan supaya cadangan itu dibentangkan di Parlimen yang sedang bersidang sekarang dan dibahaskan oleh ahli-ahli.

8. Menurut Baginda, sebarang pembatalan ordinan darurat yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak dibentangkan di Parlimen akan hanya mencetuskan kesan negatif terhadap Baginda.
 
9. Baginda kecewa tindak tanduk kerajaan telah membelakangi fungsi dan kuasa Baginda sebagai Ketua Negara seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

10. Mohon baca kenyataan yang dilampirkan untuk kefahaman lebih mendalam.

Wallahuaklam. Terima kasih.

Tolak kluster mahkamah jadi PM

LIYANA MARZUKI

Ramai yang tidak tahu, apa yang jadi semalam, bukan pertembungan antara PN dan PH, tetapi a war between PN and Kluster Mahkamah. Kalau hendak difikirkan, agak janggal YDPA mendapat nasihat daripada Tun M, Anwar Ibrahim atau Lim Guan Eng. Hendak jejak kaki ke Istana pun punya susah. Inikan pula YDPA nak minta nasihat. Makanya, it made sense, political move semalam was mastermined by an ex-PM.

Umum ketahui, ex-PM ni dari dulu nak lepaskan kes. Pernah dia berkata dulu, kes dia akan diadili dengan adil di bawah PN. Tetapi memandangkan TSMY tidak layan untuk masuk campur hal mahkamah, kes dia sangkut di Mahkamah Tinggi. Sejak dari itu, onslaught dia ke atas Kerajaan PN bermula. Dia gerakkan seluruh jentera media dan cytro beliau untuk jatuhkan PM-8. Selagi boleh nak tunda kes di Mahkamah Rayuan.

Kluster Mahkamah yang seorang lagi merupakan presiden parti. Dia dari awal sanggup cium tangan mana-mana orang nak lepas kes. Dari cium tangan Tun M, deal dengan Anwar Ibrahim malah bersekongkol dengan Guan Eng di Perak. Presiden ini jadi the “frontliner” untuk ex-PM bergerak secara diam mengatur strategi untuk jatuhkan Kerajaan.

Makanya semalam, kita nampak, lepas je hiatus di Parlimen, dia buat sidang media. Siap promote kerja-kerja dia masa jadi PM, 9 tahun dulu. Cytro pun dah start main psywar nak promote dia jadi PM interim. Jelas, he’s aiming for the “throne”.

Personally, I have no issue with this ex-PM, I love his policies. But masalah dengan ex-PM ni, dia senang tertipu dan senang dikawal. Akaun sendiri pun tak boleh manage, macam mana nak control our treasure chest? Conman umur 30 tahun pun dia boleh percaya, bini dia pun dia tak boleh kawal. Ater macam mana kita nak percaya dia boleh jadi PM yang baik untuk Rakyat?

PN sebenarnya terjerat dengan game yang dia bawa. An open war against the Palace is not the answer. You may think you win on legal points, but you will lose out politically. Sekarang fence sitters pun dah mula naik hantu, sebab you declare war against the Agong. That’s definitely a fatal move.

PH pun jangan naik sheikh sangat, konon ada peluang jadi PM. Yang geng AI, dah start celebrating. My advice, be careful, be extra careful. You are selling your soul to the devil. Bersekongkol dengan Kluster Mahkamah is not the answer. Ingat dulu how they played AI, masa undi Belanjawan. If they can do it then, what make you think they can’t do it now?

Kita tak nak Kerajaan Gagal but kita juga taknak Kerajaan Klepto berkuasa kembali. Maka jawapannya ialah Kerajaan Unity. Ramai yang tolak, sebab katanya idea Atok. Masalahnya, tiada jawapan lain lagi ke atas kemelut ini. Saya rasa ini jalan terbaik. Pilih Menteri yang ada merit tak kira mana parti, kalau nak lantik professional yang bijak pandai lagi bagus.

PM7 jangan la nak berkuasa kembali. Even though pada dia baik, but kebanyakan Rakyat akan menyampah. Takkan nak jadi PM sampai 3 kali. Macam Malaysia ini ketandusan PM. At the rate we are going, we have many options: MY, AI, Tok Mat, SA to name a few. Tun M jadilah Menteri Mentor duduk dalam Kabinet sekali.

Kenapa saya pilih Kerajaan Unity, sebab ia Kerajaan tanpa pembangkang. Semua parti ada dalam tu, kalau makin elok semua dapat merit, kalau makin buruk, semua parti akan terpalit. Yang pasti, kita kena tolak Kluster Mahkamah to reign jadi PM kembali. Or else everything is back to square one. Macam sebelum PRU 14.

Wallahu ‘alam.

Ku Li anggap kabinet lakukan 'pembohongan tak boleh dimaafkan'

Malaysiakini

Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menggesa agar sidang khas parlimen dilanjutkan untuk memberi peluang kepada semua ahli parlimen membahas dan mengungkainya di Dewan Rakyat.

Katanya, pelanjutan sidang parlimen itu juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan rasmi baginda sebelum ini yang bertegas mahu ordinan darurat perlu dibentang dan dibahas di parlimen.

"Tuanku agong telah memberi pandangan supaya kita (ahli parlimen) berbincang hal ini (proklamasi darurat dan ordinan darurat) sebaik mungkin dan menentukan sama ada (ia) boleh diluluskan atau tidak pembatalannya.

"Maka, elok perkara ini dilakukan semula dan sidang parlimen yang diadakan sekarang melanjutkan peluang kepada ahli-ahli menyuarakan pendapat rakyat tentang baik buruk ordinan yang ada dipakai sekarang," katanya dalam sidang media menerusi Facebook malam ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga berpendapat bahawa bukan kuasa kabinet untuk membatalkan pengisytiharan darurat malah apa yang dilakukan kerajaan itu dianggapnya sebagai "pembohongan yang tidak boleh dimaafkan."

Menurut Tengku Razaleigh sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, menyatakan ordinan darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai melalui persetujuan kabinet.

Serah kuasa kepada Agong

Katanya orang yang berhak membatalkan ordinan tersebut ialah Agong dan dibuat semasa parlimen tidak bersidang.

"Lagi satu, saya rasa bukan setakat itu sahaja, (pembatalan ordinan darurat) bukan sahaja pembohongan yang tak boleh dimaafkan, tetapi juga contempt (penghinaan) yang sudah pun dilakukan oleh pihak kerajaan.

"Saya rasa perbuatan ini sudah tentu menimbul kemurkaan raja kita," katanya.

Untuk rekod, semasa hari pertama sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu, Takiyuddin mengejutkan Dewan Rakyat mengumumkan bahawa kabinet sudah bersetuju membatalkan enam ordinan darurat.

Kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu itu kemudian mengundang polemik perlembagaan di antara kuasa kabinet dan Agong.

Semalam, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan rasa amat dukacita Agong terhadap cara ordinan darurat dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, Agong juga amat kecewa apabila ordinan darurat itu tidak dibentang dan dibahaskan seperti dipersetujui Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun di hadapan baginda pada 24 Julai lalu.

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga amat dukacita apabila Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan dibuatnya semasa sidang khas berlangsung.

Namun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mempertahankan tindakan mereka membatalkan ordinan darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.

Menurutnya, kerajaan sudah menasihatkan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu.

Kata PMO, mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil sebagai Ku Li berkata langkah kerajaan itu juga "tidak cerdik" dan seluruh anggota kabinet Muhyiddin Yassin perlu mengambil tanggungjawab ke atasnya.

"Saya rasa oleh kerana tidak ada ketentuan daripada pihak kerajaan, maka saya mengesyorkan [...] perdana menteri dan menteri-menteri letak jawatan, berundur daripada pemerintahan negara, serah balik kuasa ini kepada Agong.

"Biar Agong menentukan masa depan negara, dengan kita buang penghalang ini mungkin keadaan ekonomi bertambah baik dan mungkin strategi baru digunakan untuk kita mengakhiri wabak Covid-19 yang mengancam keselamatan rakyat," katanya.

Bekas juruterbang, CEO antara 300 keluarga kibar bendera putih

ZUHANIS Zainol (kiri) menunjukkan bekas berisi air sumbangan pihaknya kepada Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kapar, Ustaz Mohamad Razif Ibrahim Muniandy di Kampung Sementa di Kapar, Klang hari ini. - UTUSAN / ABDUL

KLANG: Bekas juruterbang pesawat komersial dan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat antara individu yang mengibarkan bendera butih kerana memerlukan bantuan berikutan terkesan dengan pandemik Covid-19.

Perkara berkenaan dikesan Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) Kapar, di sini ketika menghulurkan bantuan kepada 300 penduduk dekat sebuah kawasan perumahan di situ apabila mengibarkan bendera putih, malah turut menemui keluarga golongan M40 menjadi antara mereka yang memerlukan bantuan.

Setiausahanya, Mohamad Razif Ibrahim Muniandy berkata, situasi  itu membuktikan impak besar sosioekonomi pandemik Covid-19 terhadap rakyat negara ini khususnya di kawasan Kapar.

Katanya, semasa heboh isu bendera putih, pihaknya telah memberi bantuan segera kepada 300 pengibar bendera putih di kawasan tersebut.

“Apabila kami membuat tinjauan pengibar bendera putih, amat mengejutkan apabila mengetahui golongan T20 dan M40 seperti juruterbang pesawat komersial dan bekas CEO berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan.

“100 keluarga memang dalam senarai sedia ada, 200 keluarga adalah orang susah baharu. Kita menganggap jika keadaan kewangan tidak begitu mendesak, golongan tersebut tidak akan meminta bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian 100 Kotak Makanan Misi Ummah Bantu Ummah Bantuan SOS Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Kampung Sementa hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agong MAPIM, Zuhanis Zainol. – UTUSAN ONLINE

Adakah sidang khas parlimen Isnin ini digagalkan Covid-19?

Kow Gah Chie & Shakira Buang

Dewan Rakyat sepatutnya dijadualkan meneruskan sidangnya pada Isnin ini (2 Ogos) namun ekoran perkembangan yang berlaku sejak empat hari lalu, kedudukannya kini dilihat menjadi tidak menentu.

Satu sumber yang dekat dengan Putrajaya memberitahu Malaysiakini, sidang khas parlimen itu mungkin disingkatkan atas faktor kes-kes Covid-19 yang dikesan dalam kalangan anggota parlimen.

Sumber lain pula memaklumkan, kabinet akan menunggu laporan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai ancaman wabak Covid-19 di parlimen sebelum membuat sebarang keputusan.

Ketika laporan ini ditulis, sumber yang biasa dengan hal-ehwal parlimen menyatakan, tiada sebarang arahan diterima untuk menghentikan sidang yang dijadualkan.

Siang tadi Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan seramai 11 individu disahkan positif Covid-19 selepas semua wakil rakyat dan kakitangan parlimen disaring.

Berdasarkan keadaan biasa, peraturan parlimen menyatakan, sesuatu sidang yang mahu ditangguhkan mestilah diusulkan oleh salah seorang anggotanya.

Ia kemudian perlu disokong sebelum diundi. Untuk membolehkan usul tersebut diluluskan, sekurang-kurangnya 26 ahli parlimen diperlukan untuk menyokongnya.

Kakitangan parlimen menunggu giliran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 pada 29 Julai

Bagaimanapun ada peruntukan khas, Perintah Tetap 100 yang membenarkan speaker memutuskan hal-hal yang tidak dinyatakan secara jelas dalam peraturan seperti ancaman wabak atau virus.

Menurut kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat, agenda yang belum diselesaikan dalam sidang khas kali ini ialah sesi soalan kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, serta taklimat berkaitan proklamasi darurat oleh Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 27 Jun lalu Speaker Azhar Harun juga membuat ketetapan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memberikan taklimat berkaitan isu pembatalan ordinan darurat pada Isnin ini.

Kena tunggu sidang Sept

Pejabat Perdana Menteri (PMO) sudah menjelaskan sebahagian daripada isu berkenaan dalam kenyataan media dikeluarkan semalam.

Menurut PMO Yang di-Pertuan Agong sudah dinasihatkan oleh jemaah menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat pada 27 Julai.

Terdahulu Istana Negara mengeluarkan kenyataan bagi menzahirkan rasa "amat dukacita" Agong mengenai cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan pembatalan ordinan berkenaan.

Agong juga bertitah Takiyuddin sudah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat dengan kenyataan yang dibuatnya pada 26 Julai.

Dalam kenyataan sama Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menekankan bahawa sebelum sidang khas parlimen bermula Takiyuddin serta Peguam Negara Idrus Harun bersetuju untuk membentang dan membahaskan ordinan darurat tersebut.

Untuk rekod kerajaan mempunyai pandangan lain mengenai maksud ordinan darurat itu "dibentangkan" kepada ahli parlimen. Setakat ini ordinan berkenaan tidak dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Putrajaya juga berpendapat tiada keperluan untuk mereka berbuat demikian dan Agong tertakluk kepada persetujuan yang dinasihatkan oleh kabinet.

Jika parlimen tidak dibenarkan meneruskan sidang khasnya minggu depan, kerajaan PN dijangka berdepan kritikan lebih teruk apabila ketika ini pun mereka dilabel derhaka oleh pembangkang serta pemimpin Umno.

Andainya diputuskan sidang parlimen ditangguhkan pada Isnin ini, anggota Dewan Rakyat perlu menunggu sehingga tarikh sidang seterusnya yang dijadual diadakan pada 6 Sept depan.

Ia juga bermakna usul dibawa ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, mengenai status kepercayaan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri tidak akan mengubah apa-apa.

Sidang pada Sept itu nanti merupakan sidang rasmi pertama untuk tahun ini dan akan dimulakan dengan titah diraja.

Benarkah Foodpanda menindas peniaga kecil?

WAN SALMAN WAN SALLAM

Pendigitalan bisnes mendorong lebih ramai peniaga memasarkan perniagaan mereka dalam pelbagai platform perniagaan dalam talian, termasuklah platform penghantaran pihak ketiga. Antara platform yang popular dan dominan buat masa ini di Malaysia ialah Foodpanda dan Grab.

Lebih-lebih lagi apabila Malaysia berada dalam kawalan pergerakan yang lebih ketat dan tidak menampakkan penghujungnya, platform inilah yang menjadi talian hayat bagi banyak peniaga kecil bagi memastikan kelangsungan jualan dan rezeki mereka.

Namun begitu, kontroversi yang melanda platform-platform sebegini tidak menampakkan pengakhirannya. Malahan baru-baru ini, telah tertular kes tidak puas hati daripada pemilik Jijah Satay dari Ampang, salah seorang peniaga yang memasarkan perniagaannya dalam platform Foodpanda.

Berdasarkan invois jualan perniagaannya di Foodpanda bertarikh 1 hingga 7 Julai 2021, walaupun kedainya berjaya memperoleh jualan setinggi RM1,460 daripada 40 pesanan yang diterimanya, hasil daripada penolakan pelbagai caj seperti caj komisen, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan caj-caj lain, pendapatan bersih kedai itu untuk minggu itu hanya tinggal 24 sen sahaja (Hype, 23 Julai 2021).

Namun begitu, terdapat juga pihak yang menafikan bahawa terdapat penindasan sengaja yang dilakukan oleh pihak Foodpanda ke atas peniaga kecil ini.

Dalam sebuah wawancara bersama salah seorang peniaga yang mempunyai beberapa perniagaan yang dipasarkandalam platform Foodpanda di Pantai Timur Semenanjung, Nazri (bukan nama sebenar) berkata, terdapat beberapa isu yang sama ada tidak dijelaskan secara telus oleh peniaga tersebut atau mungkin berlaku salah faham komunikasi tentang maklumat pemotongan dalam invois tersebut.

Dalam wawancara tersebut, beliau menjelaskan perkara ini sebagaimana yang telah juga dijelaskan dalam media sosialnya bahawa caj yang dikenakan bawah perkara ‘Fees and Adjustments’ dalam invois tersebut perlu diteliti dengan lebih baik bagi memahami masalah yang dihadapi ini.

Meneliti lanjut dalam invois tersebut, beliau menyatakan bahawa salah satu caj yang dikenakan ialah yuran platform yang berjumlah RM75. Beliau menerangkan dengan lebih lanjut bahawa caj komisen sebanyak RM75 sebulan itu hanya akan dikenakan jika jumlah jualan dalam platform tersebut mencecah sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan.

Ujarnya lagi, hal ini bermakna, kebanyakan caj-caj yang dikenakan terhadap Jijah Satay tersebut iaitu yuran platform dan caj pemasaran dalam platform yang berjumlah sekitar RM800 tersebut adalah berpatutan.

Ini kerana caj tersebut hanya dikenakan sekali sebulan jika dibandingkan dengan hasil jualan kedai tersebut yang sudah pasti mencecah sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan berdasarkan maklumat yuran platform RM75 yang dikenakan terhadap kedai tersebut.

Namun yang menjadi sedikit isu di sini ialah keseluruhan caj pemasaran dan yuran platform yang dikenakan secara bulanan dilonggokkan terus dalam satu invois jualan mingguan.

“Isu caj-caj sebulan yang dikenakan dalam invois jualan seminggu inilah yang menyebabkan hal ini menjadi kontroversi. Secara logiknya, jualan seminggu tidak akan mampu menanggung kos pemasaran dan caj platform untuk sebulan,” ujar Nazri.

Apabila dipersoal jika terdapat masalah komunikasi antara pihak pengurusan Foodpanda dengan peniaga-peniaga dari semasa ke semasa, Nazri tidak menafikan hal itu berlaku.

Apabila dipersoal jika beliau sendiri buat masa ini berpuas hati dengan perniagaan dalam Foodpanda, beliau berpendapat bahawa perniagaannya dalam Foodpanda agak memuaskan.

Malah beliau menambah lagi, jika dilihat dengan teliti, pihak Foodpanda hakikatnya telah mencuba dengan sedaya upaya membekalkan sebanyak mungkin maklumat dan latihan kepada peniaga-peniaga dalam platform ini boleh membuat pilihan yang bijak dalam platform ini.

Beliau menerangkan bahawa, walaupun mungkin keuntungan per unit tidaklah begitu tinggi, namun kerana nilai pemasaran yang ada pada Foodpanda iaitu memperkenalkan perniagaannya kepada penduduk sekitar, akhirnya jumlah pesanan dan jualan yang diterima juga adalah lebih daripada mampu untuk menampung kos yang perlu ditanggung untuk meletakkan perniagaannya dalam platform tersebut.

Sungguhpun begitu, terdapat juga kes di mana berlakunya kesilapan yang benar-benar merupakan kesilapan pihak Foodpanda.

Dalam satu kes yang melibatkan salah seorang peniaga dalam platform Foodpanda iaitu kes Sara Nasi Ayam 1981, pihak Foodpanda telah membuat penolakan yang agak besar daripada kedai ini.

Menerusi satu wawancara berasingan dengan Johari yang merupakan Duta Peniaga Foodpanda Malaysia yang juga pengurus kumpulan Facebook ‘foodpanda vendor Malaysia’, beliau merupakan antara pihak yang menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu ini.

Beliau menerangkan bahawa pihak Foodpanda secara amnya memandang serius isu kesilapan penolakan dalam invois yang berlaku dan akan menyiasat dengan selanjutnya jika benar kecuaian benar-benar berlaku.

Hasil siasatan dalam kes Sara Nasi Ayam 1981 ini juga, pihak Foodpanda bersetuju memulangkan semual sejumlah RM479 yang telah silap ditolak. Selain itu, pihak Foodpanda juga menawarkan promosi pemasaran percuma dalam aplikasi Foodpanda sebagai tanda permohonan maaf.

Dalam temu bual bersama Nazri yang disebutkan awal tadi, beliau juga ada menjelaskan, kelemahan peniaga dalam memastikan sama ada mereka benar-benar mangsa kecuaian Foodpanda, adalah kelemahan dalam menguruskan perkara-perkara yang mudah seperti membaca e-mel daripada pihak pengurusan Foodpanda.

“Banyak juga kes peniaga yang saya perhatikan bahawa mereka dakwa ada isu pemotongan caj pemasaran sedangkan mereka telah hubungi pihak Foodpanda untuk hentikan pemasaran tersebut.”

“Namun masalah mereka juga ialah apabila ditanya jika mereka pernah membalas atau memeriksa e-mel yang diberi oleh pihak pengurusan Foodpanda, mereka didapati tidak memeriksa e-mel mereka.” katanya.

Nazri menjelaskan bahawa kecuaian memeriksa e-mel dari semasa ke semasa sebenarnya menyukarkan lagi usaha untuk membuktikan kes mereka berpunca daripada kecuaian pihak Foodpanda.

Sebagai peniaga dalam platform ini, beliau menjelaskan, mahu tidak mahu peniaga harus sentiasa peka dengan pendekatan yang mereka ambil dalam platform ini. Ini termasuk terma dan syarat penggunaan platform, kesan-kesan menggunakan pemasaran dalam platform dan kaedah-kaedah memastikan tidak berlaku

percanggahan maklumat antara pengurusan dengan peniaga seperti semudah-mudah memeriksa e-mel.

———————

Penulis merupakan Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia,

Bandar Tun Razak

Gagal bayar ganti rugi, notis bankrap difailkan terhadap Nur Sajat

MALAYSIA DATELINE

Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan notis kebankrapan terhadap Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman atau Nur Sajat diserahkan secara penyampaian ganti melalui notis iklan dan penampalan berikutan kegagalan usahawan tersebut membayar penghakiman sebanyak RM200,000.00 kepada bekas stokis utama beliau iaitu OWA Resources seperti yang diputuskan Mahkamah Rayuan April lalu.

Dua plaintif dari OWA Resources iaitu Nurwati binti Hussin dan Mohammed Syakir bin Hussin berkata notis iklan dan notis tampal telah pun dibuat minggu ini dan pihaknya belum menerima sebarang affidavit membantah notis kebankrapan itu oleh pihak Muhammad Sajjad.

“Pihak anak guam tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan. Oleh itu, kami telah mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menyerahkan notis secara iklan dan menampal notis di mahkamah dan di depan rumah defendan,” kata Nurul Hafidzah Hassan, peguam utama OWA Resources dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors.

“Pada tahun lepas anak guam berjaya membekukan akaun bank defendan tetapi hanya dapat memperoleh RM5,000.00 iaitu baki terkini dari akaun tersebut.

“Ini dilakukan melalui tindakan garnisi terhadap kesemua akaun defendan-defendan. Berikutan kegagalan defendan membayar penghakiman mahkamah, anak guam tiada pilihan lain melainkan membankrapkan defendan,” tambah Nurul Hafidzah.

Mengikut penghakiman Mahkamah Rayuan, Nur Sajat gagal dalam rayuannya bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan usahawan itu membayar ganti rugi sebanyak hampir RM200,00.00 kepada OWA Resources.

Difahamkan, pihak Nur Sajat ada membuat cadangan awal bulan ini untuk membayar ganti rugi tersebut secara ansuran sebanyak RM3,000.00 sebulan sehingga selesai pembayaran penuh tetapi pihak plaintif tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

OWA Resources sebelum ini cuba menyerahkan notis bankrapsi kepada Muhammad Sajjad sebanyak tiga kali termasuk percubaan menyerahkan surat temujanji dan juga percubaan-percubaan lain. Namun, oleh kerana semua percubaan serahan tersebut gagal kerana Muhammad Sajjad tidak dapat diketemui maka plaintif telah memfailkan notis tersebut untuk serahan secara alternatif iaitu melalui notis iklan di surat khabar, di mahkamah dan juga di depan rumah defendan.

Berdasarkan notis berkenaan, Muhammad Sajjad perlu membayar RM113,327.00 dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 13 September 2018 (tarikh pemfailan writ saman) sehingga 3 Mac 2021 (tarikh notis kebankrapan) serta kos mahkamah sebanyak RM70,000.00 dan setakat 3 Mac 2021 jumlah itu menjadi RM197,329.87.

Akta Insolvensi 1967 membenarkan prosiding kebankrapan dimulakan ke atas mana-mana individu yang gagal membayar penghakiman melebihi RM100,000.00

Oleh itu, OWA Resources memfailkan notis kebankrapan terhadap Muhammad Sajjad kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini.

Nurwati, Pengasas OWA Resources yang merupakan bekas stokis produk bengkung dan girdle Muhammad Sajjad memaklumkan yang krisis undang-undang dan perniagaan tersebut menjadi pengajaran kepada syarikatnya agar lebih berhati-hati dalam memilih rakan perniagaan pada masa hadapan.

Beliau akan memastikan untuk melakukan pemeriksaan wajar (due diligence) melalui peguam korporat yang telah dilantik sebelum menjalankan sebarang kerjasama perniagaan dengan mana-mana pihak selepas ini.

Seluruh dunia kini tahu Mahiaddin dalam bahaya

SITI NUR ZAWANI MISCON

Boleh dikatakan seluruh dunia kini tahu tentang suasana politik yang panas di Malaysia, terutama tentang kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang diambang bahaya.

Mahiaddin pada semalam telah mencetuskan keadaan tidak terkawal apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kekecewaannya terhadap kerajaan yang membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.

Desakan demi desakan pelbagai pihak silih berganti untuk Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatannya termasuk dari rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) sendiri iaitu Umno.

Media-media luar negara juga melaporkan tentang politik Malaysia selepas Agong menzahirkan kekecewaannya terhadap tindakan menteri undang-undang di dalam Dewan.

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan bahawa teguran dari Raja Malaysia telah menambahkan lagi masalah Mahiaddin.

Rangkaian berita antarabangsa milik Perancis yang berpengkalan di Paris iaitu France 24 turut melaporkan hal yang sama dengan tajuk beritanya ‘Mahiaddin didesak letak jawatan selepas teguran Raja yang jarang berlaku’.

Selain itu, isu tersebut mendapat perhatian media-media di beberapa negara antaranya The Straits Time di Singapura, The Jakarta Post di Indonesia, The Diplomat di India, This Week in Asia di China (South China Morning Post), Nikkei Asia yang berpengkalan di Jepun.

Pada masa sama, media The Washington Post juga melaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia sedang berada di bawah tekanan untuk meletakkan jawatan selepas teguran Raja bahawa kerajaan gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.

Pada semalam, ekoran kekecohan berlaku di Parlimen, sesi persidangan telah ditangguh lebih awal pada jam 12.45 tengahari selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membacakan titah Istana Negara di dalam Dewan.

Bagaimanapun sehingga pagi ini, tiada apa-apa pemakluman bagi pihak perdana menteri untuk meletakkan jawatan seperti yang didesak ramai pihak.

Namun pada semalam, Mahiaddin mengeluarkan kenyataan mempertahankan tindakan kerajaan dengan mengatakan bahawa semua tindakan yang diambil oleh mereka adalah teratur dan selaras dengan undang-undang.

Bolehkah ‘ahli kayangan’ berkata tidak benar?

AZIZI AHMAD

Patutkah atau bolehkah Ahli Parlimen atau wakil rakyat terutama menteri berkata tidak benar, memutar belit , mengelirukan, menipu, dan berbohong di Parlimen?

Terdapat perbezaan antara berkata tidak benar dan berdusta. Tidak ada sesiapa pun yang mahu melihat ahli politik memberitahu ‘tidak benar, tetapi adakah praktikal untuk melarangnya?

Wujudkah ‘keistimewaan Parlimen’ untuk memungkinkan anggota Parlimen mengajukan pertanyaan, mengemukakan pandangan, mengkritik, mencabar dan mengusulkan, tanpa rasa takut akan campur tangan dari luar Dewan, seperti tuntutan saman untuk fitnah?

Keistimewaan yang ada diberikan adalah kekebalan terhadap apa yang diutarakan oleh Ahli Parlimen, tetapi tentu ada hadnya: Pengundi harus tidak lagi menjadikan mereka calon wakil pilihan raya berikut jika mereka mengatakan perkara-perkara yang sangat tidak cerdik atau menjijikkan, atau perkara yang berlawanan dengan apa yang sebelumnya mereka katakan sekiranya terpilih dahulu.

Wujudkah hak istimewa Parlimen untuk memastikan mereka daripada berbohong?

Ada beberapa perkara yang tidak benar yang diberitahu kepada Parlimen sejak kebelakangan ini: contohnya dolak-dalik darurat, dan persoalan yang membimbangkan tentang ini apakah itu sebenarnya pembohongan.

Berkata tidak benar adalah pembohongan yang disengajakan dan disedari yang tujuannya adalah untuk menyesatkan dan memanipulasi.

Dan dalam hal pengadilan tertinggi di negeri ini iaitu pengadilan di Parlimen, penyalahgunaan yang disengajakan sesama ahli perundangan dan orang awam pada umumnya adalah masalah yang sangat serius.

Atas sebab ini, adakah ia menjadi kes bahawa adalah salah untuk ‘tidak berkata benar’ di Parlimen.

Persoalannya, adakah tidak mengapa untuk ‘berbohong’ di Parlimen?

Patutkah Ahli Parlimen ditangkap dan didakwa apabila disyaki tidak berkata benar atau haruskah mereka menjalani hukuman penjara dan pengusiran dari Dewan Rakyat jika disabitkan kesalahan?

Adalah menjadi kes yang baik untuk memikirkannya, memandangkan keburukan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen berpotensi sangat besar.

Terdapat tempat di mana berbohong tidak pernah boleh diterima: misalnya dalam sains.

Terdapat tempat di mana berbohong sangat tidak diingini: di mahkamah perundangan misalnya.

Terdapat tempat di mana berbohong adalah satu keperluan: misalnya, bila disoal oleh musuh.

Bagaimana dengan di Parlimen? Mungkinkah dibolehkan berbohong di Dewan Rakyat. 

Siapa yang untung, siapa akan rugi dalam krisis perlembagaan?

Ainaa Aiman

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat, PAS berkemungkinan menjadi pihak paling rugi, manakala Umno paling untung dalam krisis yang tercetus ekoran pendedahan Yang di-Pertuan Agong bahawa baginda tidak memberi perkenan berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, PAS berada dalam kedudukan yang sukar kerana pembatalan Ordinan Darurat berkenaan pada Isnin diumumkan oleh salah seorang pemimpinnya, iaitu Takiyuddin Hassan.

Katanya kepada FMT, Umno mendapat manfaat daripada keputusan dibuat presidennya, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini untuk menjauhkan diri daripada Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong berasa “amat dukacita” dengan pengumuman Takiyuddin kerana baginda belum memberi perkenan berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Tan Sri Idrus Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” katanya.

Kata Azmi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai penyokong dalam kalangan Ahli Parlimen Umno, yang secara individu, mungkin akan menjadi pihak paling rugi akibat kredibiliti kerajaan PN yang kini tercemar.

“Kerugian mereka tidak akan dirasai oleh Umno sebagai organisasi,” katanya, sambil menambah Bersatu boleh menjadi lebih lemah.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, Bersatu boleh menjadi pihak paling rugi, terutamanya jika Muhyiddin meletak jawatan kerana tiada sokongan majoriti di Parlimen.

“Ini akan menjadi tamparan hebat kepada Bersatu jika presidennya dilihat kehilangan kuasa dan dituduh cuba mengelirukan Parlimen,” katanya.

Jeniri berkata, Ahli Parlimen Bersatu mungkin mengalihkan kesetiaan kepada pihak lain jika Muhyiddin berundur.

Katanya, parti komponen Barisan Nasional, seperti MCA dan MIC patut bersuara dalam hal ini.

“Mereka harus mengambil tindakan yang tepat berdasarkan perkembangan yang akan kita lihat dalam masa beberapa hari lagi. Tidak mengejutkan jika mereka juga menarik balik sokongan kepada PN,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri semalam mempertahankan pembatalan Ordinan Darurat berkenaan dengan berkata, ia dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Restoran cuba kelirukan pelanggan Islam disiasat

Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my

Seremban: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menjalankan siasatan terhadap sebuah restoran bukan Islam, di sini, hari ini, kerana mempromosikan premisnya sebagai penyedia makanan halal menerusi aplikasi pesanan makanan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pihaknya bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menjalankan pemeriksaan pada 11 pagi hari ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Restoran itu dimiliki warga tempatan bukan Islam dan dua pekerja yang penyediaan makanan juga bukan Islam tetapi mempromosikan sebagai penyedia makanan halal di aplikasi pesanan makanan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, satu tindakan diambil atas kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011.

Ain Arjuna berkata, tindakan mengelirukan pengguna melalui pengiklanan di aplikasi pesanan makanan atas talian adalah satu kesalahan.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu dan hukuman bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM5 juta," katanya.

Katanya, sehubungan itu, peniaga bukan Islam diingatkan supaya tidak menggunakan apa-apa petunjuk untuk mengelirukan atau menarik perhatian pelanggan Islam.

"Pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) atau talian bebas tol 1 800 886 800 atau WhatsApp 019 279 4317," katanya.

Kenyataan PMO bukti Muhyiddin degil, kata Puad

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli majlis kerja tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata kenyataan media dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri petang semalam adalah bukti Muhyiddin Yassin degil dan mahu menegakkan benang yang basah.

Beliau berkata, Perdana Menteri sepatutnya memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong seperti yang disarankan oleh Menteri Besar Pahang dan Perak. 

Katanya, persoalan timbul adakah Ahli Parlimen Umno mahu bersekongkol dengan tindakan Perdana Menteri yang membangkitkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.

Puad berkata, Presiden parti Zahid Hamidi menegaskan tindakan Perikatan Nasional (PN) batal Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong adalah penderhakaan kepada Tuanku dan mengarahkan Ahli Parlimen Umno menzahirkan pendirian menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

“Adakah usul hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri yang dikemuka oleh Anwar Ibrahim di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1)(h), 26 (1)(d), dan Peraturan Mesyuarat 36 (12) akan dibenarkan Isnin depan?,” soal Puad di Facebook.

Katanya, disarankan Ahli Parlimen Umno menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat dan menyatakan pendirian mereka tidak menyokong Perdana Menteri.

“Surat kepada Speaker akan mengabsahkan sama ada Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti melebihi 110 undi. Kecuali sidang Parlimen pada hari isnin ini dibatalkan sebagai jalan selamat untuk Perdana Menteri?,” katanya.

15 sudah meninggal, 1000 dikuarantin tetapi kilang masih beroperasi

MALAYSIA DATELINE

Kerajaan diminta menguatkuatkan SOP mereka dengan menutup sebuah kilang yang beroperasi di Tanjung Agas, Muar, Johor kerana ia masih kekal beroperasi walaupun sudah 15 kakitangannya sudah meninggal dunia akibat Covid-19.

Pekerja ini mula meninggal bermula 13 Jun lagi apabila dua petugas meninggal pada tarikh itu dan yang terakhir pada 28 Julai kelmarin.

Menurut satu iklan yang dikeluarkan dalam sebuah akhbar Cina, kilang itu mengucapkan tahziah kepada 15 pekerja mereka yang meninggal dunia itu.

Menurut satu posting yang dibuat di media sosial, 1,000 pekerja kilang itu telah dikurantin tetapi kilang elektronik itu masih beroperasi.

“Mohon kerajaan berikan perhatian sebelum ramai lagi yang ‘terbunuh’ di kilang elektronik ini yang terletak di Muar, Johor.

Dua hari lalu, seorang netizen memaklumkan seorang sahabat beliau meninggal.

“Hari ini sahabat saya Mohd Fuad Yusuf telah menjadi mangsa ke-15 pekerja **** di Tg Agas Muar/Tangkak yang telah meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di kilang.

“Ini tidak termasuk ahli keluarga ayah, ibu, suami, isteri dan anak yang juga telah meninggal dan dikuarantin kerana dijangkiti kluster kilang ini.

“Mudah-mudahan Allah bukakan hati sahabat saya *****  dan pengurus-pengurus kilang yang WFH (bekerja dari rumah) untuk melihat dan ambil langkah keselamatan dan kebajikan pekerja dari memikirkan pengeluaran,” tulis beliau.

Beliau juga menyenaraikan 15 kakitangan kilang elektronik itu yang telah meninggal dunia bersama dengan bahagian tugas dan tarikh mereka meninggal dunia.

Mahfuz: Perdana Menteri lancar peperangan terhadap Agong

FAZLI RADZI

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Seri Mahfuz Omar menyifatkan Perdana Menteri melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Naib Presiden AMANAH itu, kerajaan Melayu Islam yang di dalamnya terdapat ahli agama dan ulama termasuk bekas mufti jelas tidak menghormati Ketua Agama iaitu Yang di-Pertuan Agong.

“Ternyata kerajaan Melayu Islam yang melakukan perbuatan buruk terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Perdana Menteri melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan cuba memperkecilkan kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysia Dateline malam tadi.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong juga menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Kenyataan Istana Negara turut menyebut hal itu bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) jelas telah melakukan satu pembohongan yang nyata ke bawah Yang di-Pertuan Agong seperti dibuktikan melalui kenyataan Istana Negara.

“Mereka telah melakukan pembodohan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Saya sedih melihat kerajaan tang memerintah ini sudah sampai kepada peringkat memperbodohkan dan mempermainkan Seri Paduka Baginda,” katanya.

Beliau juga berpendapat kerajaan diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin melakukan perbuatan sangat menjijikkan, terkutuk dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Ini keadaan paling buruk dalam sejarah politik di negara kita apabila Yang di-Pertuan Agong diperbodohkan oleh Perdana Menteri, Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz menegaskan Ahli-Ahli Parlimen AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) akan terus memartabatkan institusi Yang di-Pertuan Agong yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Kami menuntut Mahiaddin untuk datang ke Parlimen pada Isnin ini untuk melepaskan jawatan di dalam Parlimen. Begitu juga dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau juga berharap Pas yang dipanggilnya sebagai “rakan-rakan” itu agar tidak bersikap biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Prof Agus: Kerajaan ini perlu pergi

FAZLI RADZI

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang begitu nekad mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong perlu berundur, kata Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Beliau menegaskan kerajaan yang baik ialah kerajaan yang mendukung keluhuran undang-undang dan berintegriti.

“Dalam keadaan sekarang, saya melihat ada empat pilihan: Semua menteri kerajaan PN meletakkan jawatan, bubar Dewan Rakyat, Agong lantik PM baharu setelah pembangkang berjaya yakinkan Baginda Agong mempunyai majoriti, dan Baginda Agong mengisytiharkan Mageran.

“Kerajaan ini perlu pergi. Ternyata darurat yang bertujuan untuk mengatasi pandemik gagal. Rakyat kecewa dengan cara pengurusan Covid-19.

“Rakyat bertanya sampai bila tidak bekerja, berapa lama lagi harus duduk di rumah, bagaimana nasib hidup mereka seterusnya, berapa lama lagi masa untuk mengurangkan kes yang meningkat ini?

“Saya tidak nampak kerajaan PN ada upaya untuk menjawab positif pertanyaan rakyat di atas,” tegasnya hari ini.

BN nafi keluar kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kenyataan yang memetik Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebagai mendakwa 40 Ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dengan menggunakan logo serta alamat BN, adalah palsu.

“Ibu Pejabat BN menafikan mengenai kewujudan surat yang menggunakan logo dan alamat pejabat parti seperti yang telah tersiar dan ‘viral’ ketika ini,” kata Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz.

“Sebarang kenyataan rasmi parti hanya dikeluar melalui pengerusi ataupun Setiausaha Agung BN dan hanya dikeluarkan melalui saluran rasmi komunikasi parti,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Sahfri berkata sebarang kenyataan rasmi dari Ibu Pejabat parti BN hanya akan dikeluarkan atas nama Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agungnya, Zambry Abdul Kadir.

Terdahulu, sebuah kenyataan memetik Ismail berkata, 40 Ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut kenyataan itu, Ismail yang juga naib presiden Umno, berkata, Ahli Parlimen BN turut bersetuju menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan akur nasihat supaya semua pihak mengutamakan isu kesejahteraan rakyat.

Pembantu Ismail mengesahkan kesahihan kenyataan itu kepada FMT. Ia dikeluarkan susulan isu kerajaan pimpinan Muhyiddin dilapor membatalkan ordinan darurat tanpa mendapatkan perkenan Agong.

Bagaimanapun kenyataan itu menimbulkan tanda tanya kerana sebilangan Ahli Parlimen Umno membuat pendirian terbuka menarik balik sokongan kepada Muhyiddin, selaras dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi parti itu.

Terdahulu, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang diumumkan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan di Parlimen pada Isnin lalu

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri menegaskan pembatalan ordinan terbabit dibuat mengikut landasan undang-undang.

Langkah COVID: Siapakah Perdana Menteri?

DR SHAHNOR BASRI

Sewenang-wenangnya Parlimen ditangguhkan tiga kali hari ini, 15 minit, 2.30 petang, kemudian 3.30 petang, 5.30 petang dan akhirnya ditangguh kehari Isnin 2hb Ogos 2021. Walaubagaimanapun kelibat para Menteri, Timbalan Menteri, ahli parlimen Umno/BN dan PN juga tidak kelihatan diantara jam 2.30 hingga 3.30 petang.

Tiba-tiba YB Timbalan Speaker masuk dan mengisytiharkan terdapat 2 kes positif COVID dalam kompaun parlimen, dan parlimen ditangguhkan dengan meminta semua MP dan yang berada diparlimen supaya menjalani ujian COVID. Dan pada jam 5.30 petang parlimen ditangguh kehari Isnin 2hb Ogos.

Ketiadaan para Menteri, Timbalan, ahli parlimen Umno/BN dan PN kecuali beberapa orang menimbul tanda tanya (Big Question Mark). Adakah rundingan sedang berlaku, adakah Langkah COVID sedar diatur bagi memastikan TSMY kekal sedaya upaya rundingan akan berlaku sehinggalah ke hari Isnin 2hb Ogos 2021.

Langkah COVID ini akan memastikan survival PN yang didokongi oleh Umno/BN, PBBM, Pas dan Gabungan Parti-parti Serawak dan Sabah. Adakah kedaulatan undang-undang menjadi tonggak atau mengelirukan parlimen menjadi dasar dan penderhakaan kepada SPB YDA tidak diendahkan? Apakah kesudahan LANGKAH COVID?

Sebelum itu, pada lewat tengahari 29hb Julai 2021 parlimen dan rakyat dikejutkan dengan titah Seri Paduka Baginda YDA yang telah dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dauk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin.

SPB YDA menzahirkan dukacita baginda apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) secara tiba-tiba pada 26hb Julai 2021 mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat yang dimasyorkan baginda tanpa mendapat persetujuan baginda. Ini menunjukkan Menteri telah mendahului dan membelakangkan YDA dalam hal sepenting ini.

Walaupun didesak berkali-kali dalam dewan yang mulia Parlimen untuk memberikan jawapan samaada YA atau TIDAK bahawa pembatalan itu telah dipersetujui oleh YDA, namum Menteri berdolak-dalik dalam jawapanya dan masih bertegas bahawa perkara ini akan dijelaskan pada hari Isnin 2hb Ogos 2021.

Ini merupakan satu sejarah penting dalam parlimen Malaysia dimana institusi parlimen telah diberikan maklumat salah, mengelirukan dan melanggar sifat integriti samada sebagai anggota dewan rakyat dan oleh seorang anggota eksekutif kerajaan.

Sedangkan rangkap ikrar dan sumpah ahli parlimen

“…. saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”

Tambahan pula YB Menteri mewakili Parti Islam SeMalaysia (Pas) yang kerap kali melebel diri sebagai pendokong tegar Islam! Adakah ikrar kejujuran ini dan mempertahankan perlembagaan ini berlaku? Tambahan pula YDA merupakan tunggak kepada Raja Berperlembagaan.

Pendedahan awal mengenainya di buat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia telah mengejutkan ahli parlimen dan menyebabkan ramai anggota parlimen bangkit dan mendesak supaya PM dan Menteri Undang meletak jawatan.

Akan tetapi apakah babak ‘lakonan’ seterusnya? Adakah Umno akan mengambil kesempatan pula dan sedang mendesak supaya jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada mereka dan kerajaan PN kekal tanpa TSMY? Adakah Umno/BN sanggup untuk berkerjasama dengan Pas yang telah terang-terang wakilnya dalam kebinet telah mengelirukan (misleading) dewan?

Adakah jika Umno menduduki kerusi PM, kerajaan masih terdiri dari gabungan PN dan juga parti-parti dari Sarawak? Adakah Umno/BN mengambil sikap tanggung-jawab bersama terhadap kekeliruan yang ditimbulkan dengan membabitkan pula SPB YDA?

Pada saat ini (3.30 petang 29hb Julai 2021) sidang sebelah petang sekali ditangguhkan dengan alasan ada kes COVID-19 berlaku diparlimen seperti perisytiharan Timbalan Speaker. Dimanakah Yang DiPertua Dewan pada ketika ini? Di dalam dewan juga tidak kelihatan MP Umno? Benarkah satu negosiasi sedang berlaku diantara tim Umno dangan tim PN/TSMY?

Insiden hari ini menunjukkan melalui kenyataan YDA bahawa parlimen dan terutamanya rakyat telah dikelirukan dengan kenyataan pembatalan ordinan darurat oleh YB Menteri PN. Suasana tidak sihat ini harus dihentikan serta merta dan rakyat harus diutamakan.

Parlimen hendaklah berfungsi sekarang untuk menyelesaikan segera hal-ehwal berkait ordinan darurat seperti titah YDA, membahas isu pandemik dan pelan penyelesaian, membahas data raya pandemik, mencari penyelesaian secara efektik menggunakan kaedah yang tepat melalui kepintaran buatan (artifial intelligence), memproses maklumat machine learning dan mencari jalan keluar segera walaupun kita sebenarnya telah terlewat lebih sepuluh (10) bulan menggunakan pendekatan tepat menangani pandemik. PN tolong hentikan semua ‘scheme of things” dan utamakan rakyat dan hentikan permainan (game) ini .

Petang 29hb Julai 2021, kita telah melihat pelbagai kenyataan oleh Timbalan Perdana Menteri (Ketua Whip Kerajaan), Timbalan Presiden Pas, Presiden Umno, Ketua Pembangkang, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir, dan terakhir kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri! Apakah kesudahan dan epiloque drama ini?

Rakyat sedang sengsara, pendekatan kerajaan amat lemah dan tidak menampakkan lagi cahaya dihujung terowong. Adakah akhirnya kita semua rakyat akan terdampar merana kerana kerakusan dan ketamakan terhadap kuasa oleh si Sang Penguasa dalam Langkah COVID ini. Mampukah Rakyat mematahkan epiloque Langkah COVID ini?

PN derhaka terhadap Agong, percubaan jahat mandulkan fungsi Parlimen

ARIF ATAN

Sekretariat Senator Pakatan Harapan (PH) Plus menyifatkan Yang di-Pertuan Agong telah murka susulan kenyataan pihak kerajaan berhubung pembatalan semua Ordinan Darurat yang belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Ketuanya, Senator Raj Munni Sabu berkata, sejak awal, pihaknya berpendirian kuasa pembatalan tersebut merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (2B) dan Perkara 150 (3).

Justeru, tegasnya, penderhakaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama Speaker Dewan Rakyat bermula sejak hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat.

Jelasnya, tindakan yang ‘menghalang’ daripada berlakunya proses usul, perbahasan dan pengundian terhadap Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat itu merupakan satu percubaan jahat memandulkan fungsi Parlimen.

“Tindakan ini juga secara tidak langsung merupakan satu percubaan memudaratkan demokrasi berparlimen di Malaysia dan merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 124B, Kanun Keseksaan.

“Ia juga sekaligus satu bentuk kesalahan terhadap kuasa-kuasa KDYMM Tuanku YDPA sepertimana dalam Seksyen 121B Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam beberapa kenyataan terdahulu, termasuklah kenyataan hari ini jelas konsisten menggesa agar Parlimen kembali berfungsi sebagai mekanisme dan platform semak imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan.

“Meneliti keseluruhan kenyataan media Istana Negara itu, kami merumuskan bahawa kerajaan secara kolektif telah gagal mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap segala yang telah dititahkan oleh Tuanku YDPA.

“Kegagalan ini adalah satu penderhakaan dan penghinaan lengkap terhadap sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang telah diamalkan oleh Malaysia sejak sekian lama,” tegasnya.

Kenyataan bersama Sekretariat Senator PH Plus turut disertai Senator Datuk Theodore Doughlas dan Senator Ismail Yusop masing-masing merangkap Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.

Turut bersama 13 Ahli Dewan Negara iaitu Dr Yaakob Sapari, Datuk Donald Peter Mojuntin, Datuk Husam Musa, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, Manolan Mohamad, Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid, Dr Ahmad Azam Hamzah, Lim Hui Ying, Nga Hock Cheh, Alan Ling Sie Kiong, Andrian Banie Lasimbang, Kesavadas Achyuthan Nair dan Suresh Singh.

Pas akan terus berdiri teguh bersama PM yang langgar sumpah taat setia pada Agong?

'Pas akan terus berdiri teguh bersama PM' - Tuan Ibrahim

Nickyson Nyambar

KUALA LUMPUR: Pas akan terus bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyokong sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh kabinet ketika ini.

Pendirian itu disuarakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pada Khamis.

"Pas tegas menyokong sistem Raja Berperlembagaan dalam kerangka keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Pas berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam mendukung semua keputusan yang telah diputuskan oleh Kabinet," katanya.

Beliau dalam masa sama turut meminta agar semua pihak untuk terus bersama-sama dan mengenepikan perihal politik terutama ketika negara berdepan dengan situasi sukar COVID-19 ini.

"Pas menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengenepikan politiking dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik COVID-19.

"Kestabilan politik serta perpaduan rakyat sangat diperlukan dalam menghadapi ancaman pandemik," tambah beliau.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Istana Negara turut mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

-------

'Muhyiddin derhaka, langgar sumpah taat setia Agong' - pensyarah

Kow Gah Chie & Annabelle Lee

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah melanggar sumpah jawatannya untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, dakwa penganalisis politik Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Justeru itu, kata Azman perdana menteri dan seluruh kabinet perlu mempertimbangkan untuk mengundurkan diri dalam memikul tanggungjawab secara bersama.

"Apabila baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita, dan memaklumkan kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat sedangkan belum lagi mendapat perkenan baginda, tindakan ini bertentangan dengan perlembagaan negara dan dilihat tidak menghormati institusi Raja Berpelembagaan.

"Tambahan pula apa yang telah diperkenan dan dipersetujui bersama dengan Takiyuddin menteri undang-undang dan peguam negara Idrus Harun untuk bentang dan bahas pembatalan semua ordinan darurat tidak dilaksanakan.

"Ini merupakan satu bentuk penderhakaan," kata Awang Azman, pensyarah kanan Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Dia berkata demikian kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas teguran keras Istana Negara terhadap Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun mengenai isu pembatalan ordinan darurat.

Menurut Istana Negara, Agong tidak memberi perkenan pembatalan peraturan darurat dan menuduh Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat.

Awang Azman percaya Muhyiddin telah memilih langkah itu bertujuan untuk mengelakkan undian di parlimen.

"PM berbuat sedemikian kerana bimbang apabila dibahaskan di parlimen dan dibuat pengundian maka dikhuatiri akan tidak mendapat sokongan majoriti.

"Ini bermakna boleh mengakibatkan kerajaan PN tumbang," kata Awang Azman.

"Ini merupakan peristiwa hitam dalam sejarah dan menjadi krisis perlembagaan yang akan menjadi rekod sejarah dan akademik," katanya lagi.

Apa selepas ini?

Sementara itu, sarjana sains politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkongsi pandangan sama dengan Awang Azman bahawa aturan pertama mesyuarat Dewan Rakyat sepatutnya merujuk perkara ini kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk tindakan disiplin.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun manakala enam anggotanya terdiri daripada empat penyokong kerajaan dan dua ahli parlimen pembangkang.

Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Order) membolehkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menggantung keanggotaan ahli parlimen.

Selain itu, Muhamad Nadzri berkata usul undi percaya terhadap Muhyiddin juga perlu dibuat di Dewan Rakyat.

"Hal yang sudah lama tertangguh ini, yang menyebabkan kebuntuan politik sejak Mac tahun lepas, tidak boleh lagi dilengah-lengahkan, sebaliknya perlu diselesaikan di dalam parlimen secara tuntas, sebagai jalan keluar krisis politik negara secara demokratik.

"Sama ada kerajaan samasa dapat menunjukkan majoritinya dan meningkatkan keabsahan pemerintahannya, atau mempertahankannya melalui kaedah Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (Confidence and Supply Agreement) atau Perjanjian Moratorium Covid-19, ataupun juga perundingan dan pembentukan kerajaan baru," katanya.

Dalam pada itu, Awang Azman pula menegaskan PAS perlu bertindak terhadap Takiyuddin.

"Takiyuddin pula perlu dirujuk jawatankuasa parlimen dan parti PAS perlu ambil tindakan terhadap tindakan Takiyuddin sebelum seluruh PAS akan dihukum oleh pengundi nanti," katanya.

TERKINI!!! Sekutu nasihatkan Muhyiddin lepas jawatan

Malaysiakini 

Beberapa rakan sekutu Muhyiddin Yassin dilaporkan memberi nasihat agar presiden Bersatu itu melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri.

Memetik sumber yang tidak didedahkan, Straits Times melaporkan keadaan dihadapi Muhyiddin sekarang sangat sukar untuk dipertahankan.

"Perdana menteri diberitahu, situasi sekarang sudah terlalu kusut dan sukar untuk dibela," kata sumber berkenaan.

Menurut media Singapura itu, perkara tersebut disampaikan kepada Muhyiddin dalam perbincangan tertutup di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, awal petang ini.

Terdahulu media melaporkan sejumlah menteri serta Peguam Negara Idrus Harun hadir ke rumah tersebut sejurus selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan menyatakan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap isu pembatalan ordinan darurat.

Malaysiakini sudah menghubungi pegawai Muhyiddin bagi mendapatkan komen mereka mengenai laporan tersebut.

Tengah hari tadi Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilaporkan amat dukacita apabila ordinan darurat dibatalkan walaupun sepatutnya hanya boleh dibuat selepas mendapat perkenan baginda.

Agong juga amat dukacita apabila menteri terbabit, Takiyuddin Hassan, mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Titah baginda, sebelum sidang khas kali ini berlangsung Takiyuddin dan Idrus sudah bersetuju agar ordinan darurat yang diperkenalkan sebelum ini dibentang dan dibahaskan.

Bagaimanapun tiada mana-mana ordinan darurat itu diperlakukan begitu sehingga kini.

Ia mendorong pelbagai pihak menganggap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional sudah menderhaka kepada Agong serta Raja-raja Melayu.

TERBARU!!! Zahid: MP Umno mesti tarik balik sokongan pada Muhyiddin

Malaysiakini 

Ahli parlimen Umno mesti melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 7 Julai untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata presidennya Zahid Hamidi.

Anwar: Tangguh sidang kerana Covid-19 'helah' kerajaan

Malaysiakini 

Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim berkata pengumuman sidang Dewan Rakyat yang ditangguhkan sehinggan jam 5.15 petang ini kerana terdapat kes positif Covid-19 dikesan di parlimen merupakan helah kerajaan.

"Ini yang saya katakan helah tadi. Padahal, kita boleh saja lakukan saringan tanpa mempersulitkan perjalanan parlimen," kata Anwar dalam sidang media di Parlimen sebentar tadi.

Terdahulu, Anwar mengadakan sidang media untuk menyatakan pandangan pihaknya berhubung situasi semasa politik negara.

Bagaimanapun ia terhenti sekita apabila pihak prlimen membuat pengumuman bahawa setiap wakil rakyat yang hadir diminta menjalani ujian saringan RTK Antigen (RTK-Ag) dengan kadar segera.

#PNderhaka semakin kelam kabut

Menteri, peguam negara tiba di rumah Muhyiddin

Malaysiakini 

Menteri kabinet dan Peguam Negara Idris Harun telah tiba di kediaman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Menurut Bernama TV, mereka mulai tiba pada jam 1.30 tengah hari tadi - satu jam sebelum persidangan Dewan Rakyat dijadualkan untuk bersambung semula.

Petugas media dilihat mula 'berkampung' di kawasan rumah perdana menteri  sejak pukul 1 tengah hari tadi.

Awal hari ini, Istana Negara mengeluarkan teguran terbuka terhadap Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun.

Istana berkata kedua-duanya tidak menepati kata-kata mereka ketika secara maya menghadap Yang di-Pertuan Agong bahawa Ordinan Darurat akan dibahaskan di parlimen.

Istana juga menuduh Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat mengenai pembatalan Ordinan Darurat itu.


--------


Azhar, Takiyuddin letak jawatan?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dijangka meletak jawatan, menurut sumber.

Sumber itu memberitahu FMT, beberapa pemimpin tertinggi lain juga dijangka berbuat demikian.

“Ini yang dimaklumkan kepada kami setakat ini, tetapi segala-galanya masih belum muktamad,” kata sumber itu.

FMT sedang mendapatkan pengesahan daripada Azhar and Takiyuddin.

Desakan supaya Takiyuddin dan Azhar meletakkan jawatan timbul selepas Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita terhadap pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang belum diperkenan baginda.

Isnin lalu, Takiyuddin mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai, menyebabkan timbul kekecohan dalam kalangan Ahli Parlimen yang mempersoalkan sama ada ia mendapat perkenan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sejak empat hari lalu, Ahli Parlimen gagal mendapatkan jawapan daripada Takiyuddin, sebaliknya beliau memberitahu perkara itu akan dijelaskan pada Isnin ini.

Bagaimanapun, kenyataan dikeluarkan Istana Negara yang mendedahkan perkara itu belum mendapat perkenan, sekali lagi menimbulkan kekecohan apabila laungan “derhaka” dan “letak jawatan” kedengaran dalam Parlimen yang meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Takiyuddin dan Azhar meletak jawatan.

Sidang ditangguh, Ahli Parlimen cari Mahiaddin dalam Dewan desak letak jawatan

MALAYSIA DATELINE

Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang mula mencari kelibat Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan mendesak Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatan serta merta.

“Pagoh kena masuk Dewan. Mana Pagoh, mana Kota Bharu,” kata RSN Rayer (Jelutong-PH).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bingkas menegaskan bahawa Mahiaddin dan Timbalan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah tidak bercakap benar dan mengelirukan Dewan.

“Kita tidak ada pilihan selain menuntut perdana menteri meletakkan jawatan,” tegasnya dalam Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Sesi jerit menjerit di blok pembangkang juga berlaku apabila Ahli-ahli Parlimen mendesak Mahiaddin meletakkan jawatan dengan beberapa kali pembesar suara mereka terpaksa ditutup.

Speaker juga diingatkan untuk tidak menjadi derhaka atau sekiranya tidak, lebih baik letak jawatan.

Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) juga memberi amaran jika dibiarkan perkara tersebut berlaku tanpa ada sikap ‘gentleman’ dari Kota Bharu dan Pagoh untu meletakkan jawatan, ia akan menjadi titik hitam dalam sejarah negara.

Sementara itu, Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang- BN) mencadangkan agar Dewan ditangguh sementara berikutan isu serius yang berlaku ketika ini dengan keadaan semakin tidak terkawal.

Selepas didesak kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang, Dewan memutuskan untuk menangguhkan persidangan sehingga jam 2.30 petang.

Agong amat dukacita, Takiyuddin kelirukan Dewan Rakyat

Malaysiakini 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di parlimen.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin pada kenyataan hari ini.

"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal belum lagi diperkenan baginda," katanya.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui tedahulu dengan Takiyuddin Hassan selalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Idrus Harun, peguam negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di parlimen bagi tujuan dirungkaikan telah tidak dilaksanakan.

"Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan Istana Negara itu, Seri Paduka Baginda sedia maklum mengenai keperluan Agong bertindak mengikut nasihat jemaah menteri seperti terkandung dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata Ahmad Fadhil.

Untuk rekod, tempoh darurat yang bermula pada 11 Jan lalu akan berakhir pada Ahad, 1 Ogos.

Ramai pihak sebelum ini berpendapat pembatalan tersebut dibuat secara tidak berperlembagaan.

Pengumuman Takiyuddin pada 26 Julai lalu bahawa ordinan darurat telah dibatalkan mengejutkan Dewan Rakyat.

Takiyuddin juga berkata lantaran itu, "isu pembatalan (peraturan-peraturan ordinan darurat) tidak lagi relevan."

Berikut adalah ordinan-ordinan darurat yang diwartakan tahun ini:

  • Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021
  • Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu]
  • Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif]
  • Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021

Kredibiliti PN dipersoal selepas elak soalan mudah Ordinan Darurat, kata penganalisis

Robin Augustin

PETALING JAYA: Kerajaan berdepan isu kredibiliti dan keabsahan yang timbul susulan enggan mendedahkan sama ada Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan membabitkan pembatalan ordinan darurat, menurut penganalisis.

Bercakap kepada FMT, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dan Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM), berkata kecurigaan sama ada Agong memberi perkenan tidak dapat dielakkan.

Oh berkata, enggan “memberi jawapan terhadap soalan mudah” menyebabkan “lebih banyak soalan berbangkit”.

Awang Azman pula berkata, kini timbul spekulasi bahawa Agong belum memberi perkenan berhubung pembatalan itu.

Isnin lalu, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan, memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan pada 21 Julai lalu, membatalkan semua Ordinan Darurat mengikut Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. Beberapa Ahli Parlimen mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan. Persoalan berkenaan kekal tidak dijawab.

Kata Oh, persoalan terbabit adalah penting kerana pembatalan hanya boleh dibuat dengan perkenan Agong, lebih-lebih lagi Ordinan Darurat diisytiharkan atas nama baginda.

Katanya, tindakan membatal Ordinan Darurat sebelum persidangan Dewan Rakyat memberi isyarat kerajaan tidak mahu ordinan itu diundi dan berkemungkinan disebabkan persoalan membelenggu Perikatan Nasional (PN) berhubung sokongan majoritinya.

“Sekiranya kerajaan tidak mempunyai majoriti, ia mengesahkan kecurigaan bahawa kerajaan sedia ada adalah kerajaan minoriti dan kredibiliti serta keabsahan untuk memerintah pastinya terjejas teruk,” katanya.

Awang Azman berkata, Ordinan Darurat sepatutnya diperdebatkan dan ditarik balik hanya selepas undi di Parlimen.

“Kegagalan mendapatkan sokongan menarik semula Ordinan Darurat di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan mendedahkan sama ada Agong memainkan peranan dalam pembatalan memberi tamparan terhadap kredibiliti kerajaan.

“Ini akan dilihat cubaan mengelirukan Ahli Parlimen dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, terutama jika Agong belum memberi perkenan ketika pengumuman dibuat.

“Imej kerajaan sudah tercalar. Biarpun kerajaan menunjukkan Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan, tanggapan bahawa pengumuman pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong akan kekal,” katanya.

Maut selepas terima vaksin campuran

KOSMO!

Pengarah Kesihatan dan Kes Kecemasan untuk Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Chawetsan Namwat dalam sidang media laporan bedah siasat. - NNT

BANGKOK – Thailand melaporkan kes kematian pertama melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun yang dikaitkan dengan campuran vaksin Sinovac dan AstraZeneca, lapor akhbar Thaiger News, kelmarin.

Berita ini muncul ketika kerajaan sedang bersiap sedia meneruskan perancangan mencampur dua vaksin berbeza sebagai meningkatkan imuniti badan dalam mengekang penularan varian Delta di negara tersebut.

Berdasarkan bedah siasat ke atas mangsa yang mendapat vaksin campuran daripada Sinovac dan AstraZeneca, doktor telah mengesahkan bahawa punca kematian adalah disebabkan pembengkakan otak akibat darah beku.

Pengarah Kesihatan dan Kes Kecemasan untuk Jabatan Kawalan Penyakit,  Dr. Chawetsan Namwat mendedahkan laporan bedah siasat kepada umum berikutan kematian berlaku sehari selepas mangsa menerima vaksin campuran.

Punca kematian rasmi adalah edema serebrum, iaitu ketika cecair berlebihan terkumpul di otak, akhirnya menyebabkan otak membengkak dan mampatan saluran darah otak.

Laporan bedah siasat bagaimanapun tidak menyatakan adakah ia dianggap sebagai kesan langsung daripada penerimaan vaksin, kesan sampingan atau insiden kesihatan semata-mata.

Wanita itu memang mempunyai masalah darah tinggi namun doktor di pusat vaksinasi memaklumkan mangsa dan suaminya bahawa vaksin itu masih selamat serta sesuai untuknya.

Suami mangsa turut  mendapat campuran yang sama dengan satu dos Sinovac dan satu dos AstraZeneca namun hanya mengalami sedikit ketidakselesaan selepas itu.

Tindakan mencampurkan vaksin sudah menjadi isu yang dipandang serius Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila menyatakan penentangan pada awalnya.

WHO kemudiannya melembutkan pendapat dengan mengatakan bahawa individu tidak boleh memilih campuran vaksin mereka tanpa panduan perubatan profesional.

Pusat Kawalan dan Penyakit Berjangkit dan Kementerian Kesihatan Awam Thailand akan membuat siasatan lanjut berkenaan laporan bedah siasat bagi menentukan sama ada tindakan campuran vaksin membawa masalah atau memberi lebih banyak kebaikan. 

Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha baru-baru ini mengarahkan kajian lebih menyeluruh dibuat berkenaan keberkesanan campuran dua vaksin berbeza iaitu Sinovac dan AstraZeneca. – Agensi