"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dolar AS bakal hadapi krisis, Malaysia perlu bersedia

NURFARDLINA IZZATI MOKTAR

SHAH ALAM - Malaysia perlu bersiap sedia untuk beralih daripada penggunaan dolar Amerika Syarikat (AS) dengan menggunakan mata wang baharu yang disepakati berikutan mata wang negara berkenaan bakal menghadapi krisis.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kini buat pertama kalinya dominasi mata wang dolar AS dalam ekonomi dunia akan berdepan risiko kehilangan nilai apabila negara seperti Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan (BRICS) mahu beralih daripada menggunakan mata wang negara tersebut.

"Seluruh ekonomi dunia selama ini telah dikawal oleh AS apabila perdagangan dunia berada di bawah ketentuan dolar AS. Segala perkembangan ekonomi dunia didalangi di bawah dolar.

"Kini suatu peralihan ekonomi akan berlaku apabila 70 peratus penduduk dunia yang selama ini mengguna dolar AS untuk urusan perdagangan membuat keputusan mengetepikan mata wang berkenaan selain memilih menggunakan mata wang lain.

"Menyahkan dolar (de-dolarization) bakal berlaku. Dominasi dolar AS akan berakhir selain mata wang tersebut akhirnya akan menjadi kertas tidak berharga selain pada masa itu juga inflasi di AS akan melonjak tanpa kawalan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tidak ada sebab bagi negara seperti Malaysia untuk terus bergantung kepada dolar AS dalam menarik pelaburan ke dalam negara.

Anwar berkata, rundingan pelaburan antara Malaysia dengan negara-negara lain sepatutnya menggunakan mata wang negara ini dan mata wang negara terbabit.

Sementara itu, Mohd Azmi menjelaskan bagi negara yang berdagang dengan AS akan diheret dalam krisis yang kronik sekiranya berlaku kejatuhan dolar.

Menurutnya, mata wang dolar yang dicetak oleh AS bakal hilang nilai dan nilai simpanan dolar di bank-bank diramal akan jatuh.

"Soalnya negara dagang seperti Malaysia yang mempunyai hubungan perdagangan paling besar dengan Amerika perlu bersiap untuk beralih dari dolar AS dengan mata wang disepakati dengan negara lain.

"BRICS dijangka mencari mata wang alternatif kepada dolar AS malah mata wang digital akan diterokai untuk tidak lagi menggunakan dolar AS," jelasnya.

Cerita syahdu bulan suci

Syarifah Dayana Syed Bakri

Betika saya masih di alam kanak-kanak, apabila membeli barangan yang agak mahal istilah biasa yang akan disebut adalah - mahal gila - yang merujuk kepada harga terlampau mahal.

Namun, apabila menginjak ke alam dewasa istilah lain pula disebut - harga Yahudi, harga Israel, harga Tel Aviv atau harga Zionis - untuk merujuk kepada barangan yang dijual pada harga terlalu mahal.

Ini kerana sebagai pelanggan, apabila peniaga menjual barangan pada harga terlalu tinggi, mereka dianggap kejam umpama Israel atau Zionis.

Namun, dalam konteks kemanusiaan kekejaman sebenar adalah dari pihak Zionis.

Beberapa hari lalu, polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan bertempur dengan rakyat Palestin. Terdapat wartawan mendakwa pasukan keselamatan rejim Zionis dilihat turut menyekat laluan ke masjid itu.

Saksi warga Palestin, Abdel Karim Ikraiem berkata, polis Israel yang dilengkapi cota, peledak gas pemedih mata dan bom asap menyerbu Masjid Al-Aqsa menggunakan kekerasan serta 'memukul lelaki dan perempuan' yang sedang beribadah.

Rakaman video yang tersebar luas menerusi media sosial memaparkan pasukan rejim Zionis memukul jemaah di atas lantai dalam masjid itu.

Lebih menyedihkan kejadian ini berlaku pada Ramadan di mana serangan berlaku ketika penduduk Palestin sedang beriktikaf di masjid selepas Tarawih.

Serbuan polis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa disifatkan sebagai tindakan 'tidak boleh diterima' sama sekali, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Beliau menggesa Israel untuk menghentikan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan di mana pencerobohan dan ancaman terhadap kesucian dan kepentingan sejarah Masjid Al-Aqsa serta kebebasan beragama dan hidup rakyat Palestin mesti dihentikan, kata Erdogan seperti dilaporkan Anadolu.

Anadolu melaporkan bahawa Kementerian Luar Rusia turut menyuarakan kebimbangan dengan situasi di Masjid Al-Aqsa dan menyifatkan apa yang berlaku di Baitulmaqdis umpama 'memusuhi semua agama di dunia.'

Moscow turut menggesa Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres untuk memberi perhatian yang teliti kepada penempatan Israel-Palestin, menggesa untuk mencari punca kepada tercetusnya keganasan baharu di Palestin dan merangka cadangan bagi memulihkan kestabilan.

Malah, media melaporkan Guterres begitu terkejut melihat rakaman yang menunjukkan pasukan keselamatan Israel memukul jemaah di masjid itu, lebih-lebih lagi kejadian terbabit berlaku dalam bulan mulia yang sepatutnya tempoh aman, kata jurucakapnya.

Sebahagian besar negara Islam termasuk Malaysia turut mengecam tindakan rejim Zionis yang mengganggu ketenteraman umat Islam di Palestin pada Ramadan ini.

Menurut kenyataan media bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), tindakan rejim Israel perlu dibantah dengan keras oleh komuniti dunia.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Israel tidak sama sekali menghormati resolusi dunia mengenai status Masjid Al-Aqsa.

Katanya, pencerobohan itu menunjukkan rejim Zionis nekad untuk mengambil alih Masjid Al- Aqsa dan serangan itu bukan tindakan biasa dalam meneruskan penguasaan ke atas Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.

Mohd Azmi berkata, pernyataan solidariti tidak memadai untuk menyatakan sokongan kepada Palestin sebaliknya ia perlu disusuli dengan mengusulkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan PBB mengeluarkan kenyataan untuk menuntut Israel keluar dari Baitulmaqdis.

Ini kerana provokasi itu sudah mencabar status quo Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif serta tidak boleh dikompromi sama sekali.

Namun, sebagai dalang utama, Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir pula menyuarakan sokongan penuh kepada polis rejim Zionis dan tindakan mereka yang disifatkannya sebagai 'pantas serta nekad.'

Serangan kali ini bukanlah yang pertama buat penduduk Palestin dan pastinya bukan yang terakhir. Pada 2021 dan 2022 juga penduduk Palestin diserang pada Ramadan.

Di saat umat Islam seluruh dunia sedang menumpukan perhatian untuk beramal ibadah, mereka di Palestin bersahur ketakutan dan beriftar kekejaman.

Kita juga berdepan masalah, namun apa sangatlah jika dibandingkan dengan ujian buat penduduk Palestin.

Pada Ramadan penuh keberkatan ini, moga doa semua umat Islam untuk keselamatan penduduk Palestin dimakbulkan Allah.

Terus digambarkan konon sokong judi, Mahfuz beri amaran

Malaysiakini 

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata banyak manipulasi dan dakwaan songsang dibuat ke atasnya selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini.

Kata Mahfuz dia mengheret Sanusi ke mahkamah kerana pemimpin PAS itu menuduh kononnya dia mempertahankan pemindahan premis judi di Pokok Sena.

Sedangkan, kata Mahfuz, pemindahan premis judi berkenaan langsung tidak ada kaitan dengannya.

"Malah saya sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena ketika itu telah pun membuat bantahan terhadap pemindahan Sports Toto tersebut kepada Majlis Bandaraya Alor Setar.

"Kemudian pemindahan tersebut tidak pun diteruskan," katanya dalam kenyataan media.

Mahkamah Rayuan pada 3 April lalu menolak rayuan Sanusi untuk mengetepikan saman fitnah dikemukakan Mahfuz Omar dan bersetuju agar jumlah ganti rugi yang perlu dibayar dinaikkan.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan ganti rugi yang perlu dibayar Sanusi kepada Mahfuz ialah RM50,000 namun panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan di Putrajaya menerima permohonan Mahfuz agar ia dinaikkan kepada RM120,000.

Jelas kenyataan fitnah

Sehari kemudian Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menyiarkan sekali lagi kenyataan fitnahnya ke atas Mahfuz di media sosial.

“Posting inilah yang didapati saya bersalah oleh mahkamah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi (+ RM15,000 kos) dan kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh Mahkamah Rayuan kerana RM50k didapati terlalu rendah oleh plaintif.

“Mereka membuat counter appeal (rayuan balas) untuk tuntut lebih tinggi,” tulisnya di media sosial.

Dalam hantaran yang sama Sanusi memberi gambaran bahawa tindakannya membuat kenyataan didapati fitnah oleh mahkamah dibuat dalam usaha dia menyekat kegiatan judi.

Mahfuz berkata memang ada penyokong PN bertindak keterlaluan dengan mendakwa dia menyaman Sanusi kerana mahu mempertahankan aktiviti judi.

"Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan saman fitnah saya membuktikan dakwaan Sanusi yang mengaitkan saya dengan isu tersebut jelas adalah fitnah," katanya

Bekas timbalan menteri sumber manusia itu juga memetik beberapa alasan pengakiman di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Misalnya wujud suasana tidak peka pada pihak berkuasa yang meluluskan pemindahan kedai judi terbabit.

Hakim juga mendapati kenyataan dibuat Sanusi adalah fitnah - seperti yang didakwa oleh Mahfuz.

Disebabkan defendan (Sanusi) mendakwa Mahfuz meluluskan atau telah menjadi pihak dalam peruntukan semula tersebut, dia mesti menunjukkan bahawa kenyataan tersebut adalah benar.

Hakim juga berkata: "Saya dapati pihak pembelaan gagal membuktikan bahawa kandungan siaran Facebook (Sanusi) itu adalah benar. Saya dapati defendan tidak menunjukkan bahawa plaintif bertanggungjawab ke atas pelesenan atau pergerakan cawangan Sports Toto dari tapak bekasnya ke premis baharunya di Pokok Sena."

Dengan apa yang berlaku ekoran keputusan tersebut, kata Mahfuz, dia meminta agar tiada lagi mana-mana pihak menyelewengkan fakta kes berkenaan.

Menurut Mahfuz, jika ada yang masih mengaitkan dia dengan sebarang maksud kononnya menyokong atau mempertahankan judi, mereka perlu menarik balik tulisan-tulisan tersebut.

Jika tidak, tambahnya, dia akan mengambil tindakan lanjut dengan mengemukakan saman fitnah.

““Kalau (pun) ‘koyak’ jangan fitnah,” katanya.

Laung azan 2 minit awal, masjid di Kedah mohon maaf

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pentadbir Masjid Jame’ Badlishah di Pekan Yan, Kedah memohon maaf kerana melaungkan azan Maghrib dua minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac lalu.

Timbalan Pengerusi masjid, Ahmad Nasir, berkata kesilapan itu akibat masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid.

Beliau berkata, jemaah masjid yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari masjid itu untuk berbuka puasa, dimaklumkan puasa mereka terbatal pada hari itu dan perlu diganti.

“Begitulah pandangan Jumhur Ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali menyatakan puasa itu batal dan wajib diqadha’,” katanya menurut Harian Metro.

Jangkaan raya awal, beri cuti khas 19 April, KPM diberitahu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta memberikan cuti khas kepada guru pada 19 April mengambil kira jangkaan 1 Syawal mungkin 21 April, sehari awal berbanding ketetapan asal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata langkah pemberian cuti khas itu memudahkan urusan guru terutama yang bertugas di negeri lain merentas negeri pulang berhari raya.

Pihaknya membuat gesaan itu merujuk kepada kenyataan Pusat Astronomi Antarabangsa berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bahawa kebanyakan negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal Syawal pada 20 April, yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan 1444H.

“Dalam isu cuti perayaan dalam sesi persekolahan 2023 sekarang, KPM membuat ketetapan cuti perayaan untuk Aidilfitri bagi semua negeri ialah pada 20 April dengan andaian semasa perancangan cuti dibuat bahawa Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 22 April.

“Ini membolehkan guru serta semua lapisan masyarakat yang mempunyai anak di sekolah mempunyai masa selama dua hari merentas negeri bagi tujuan balik kampung untuk beraya,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan terbaru berkaitan jangkaan 1 Syawal itu, NUTP berharap KPM dapat mempertimbangkan cuti khas pada 19 April bagi memudahkan urusan guru terutama yang bertugas di negeri lain.

“Pemberian cuti khas ini memberikan lebih ruang kepada guru dan rakyat yang terpaksa merentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri.

“Hal ini akan mengurangkan kesesakan jalan raya dan memberikan lebih keselesaan kepada semua pihak,” katanya.

Penduduk belasah ‘pocong’ tepi jalan

KOSMO!
Remaja itu ditendang sebelum diangkut menaiki trak pikap ke balai polis. - Instagram
JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan senario beberapa penduduk kampung menendang ‘hantu pocong’ yang berdiri di tepi jalan di Demak, Jawa Tengah, lapor laman berita Kompas.

Menerusi video yang dimuat naik dalam akaun Instagram @andreli_48, seorang remaja kelihatan berpura-pura menjadi hantu pocong dengan berdiri di tepi jalan untuk menakutkan orang ramai. 

Beberapa lelaki kemudian menghampiri remaja itu dan memukulnya sehingga terjatuh. Dia kemudian diangkut ke trak pikap untuk dibawa ke balai polis. 

Ketua Polis Demak, Budi Adhy Buwono mengesahkan penangkapan dua remaja lelaki yang berpura-pura menjadi pocong di kawasannya.

Menurut Budi, motif dua remaja itu berpura-pura menjadi hantu pocong adalah hanya ingin bergurau. 

Polis merampas sehelai kostum hantu pocong dan kedua-dua mereka dihantar kepada keluarga masing-masing. 

Sebagai jaminan, mereka diminta membuat kenyataan supaya tidak menimbulkan keresahan kepada penduduk pada masa akan datang. – Agensi

4 warga asing direman kes curi wang zakat

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

Kangar: Empat lelaki warga Indonesia direman sehingga 10 April hadapan bagi membantu siasatan kecurian wang zakat fitrah berjumlah RM22,000 dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang amil zakat di Kangar pada Rabu lalu.

Suspek dipercayai berusia antara 39 hingga 48 itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Perlis semalam selepas satu laporan polis dibuat mangsa berusia 63 tahun di Balai Polis Kangar pada hari yang sama.

Sumber berkata, kejadian berlaku di Jalan Kangar Jaya 1, di sini sekitar jam 11.25 pagi ketika itu baharu saja selesai membeli kipas angin dari sebuah kedai elektrik di lokasi berkenaan.

"Apabila mangsa mendekati kenderaan Toyota Hilux berwarna putih miliknya, dia terkejut apabila melihat cermin pintu sebelah tempat duduk pemandu didapati sudah dipecahkan seseorang.

"Mangsa kemudian memeriksa pelbagai barangan yang diletakkan dalam kenderaannya itu dan mendapati wang tunai berjumlah RM22,000 dipercayai wang kutipan zakat fitrah Ramadan tahun ini hilang dipercayai dilarikan.

"Selain itu, dua buku resit kutipan zakat fitrah dan senarai nama asnaf dari sebuah mukim di daerah di Perlis ini juga turut hilang," katanya.

Sumber berkata, kejadian pecah kenderaan itu bagaimanapun dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah kedai menjual perkakasan rumah dan elektrik di lokasi kejadian.

Susulan itu juga, empat lelaki berjaya diberkas polis di sekitar Perlis di mana suspek bekerja sebagai buruh kontrak dan peniaga baju terpakai atau 'bundle'.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad ketika dihubungi mengesahkan penangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Penentuan 1 Syawal: Umat Islam dinasihat tenang, serah kepada pihak berautoriti

SHAH ALAM: Masyarakat Islam dinasihatkan untuk kekal tenang dalam keadaan harmoni menunggu pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April ini bagi penentuan tarikh permulaan 1 Syawal.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dalam kenyataan berkata, hitungan ahli falak adalah sesuatu yang bersifat tidak muktamad dalam penentuan 1 Syawal khususnya.

"Keputusan akhir adalah pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam berkenaan tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 lokasi yang telah ditetapkan.

"Atas titah perintah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya selaku Mufti Selangor ingin menasihatkan umat Islam khususnya di negeri ini untuk menghormati semua proses yang telah ditetapkan serta menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawal 1444H kepada pihak berautoriti," katanya.

Jelasnya, permulaan awal bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal (anak bulan) serta data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara dan penentuan awal Syawal di satu-satu negara tidak tertakluk kepada hasil kenampakan hilal atau data kedudukan hilal di negara lain.– BERNAMA

Mahkamah arah bunuh ayam

AFP

Kano, Nigeria: Mahkamah di bandar terbesar di utara Nigeria, Kano, memberi tempoh sehingga Jumaat untuk seorang lelaki membunuh ayam jantannya.

Ia berikutan aduan jiran mengenai kokokan ayam yang berterusan menyebabkan mereka tidak dapat tidur.

Majistret Halima Wali mengeluarkan perintah itu terhadap Malam Yusuf pada Selasa yang mengisytiharkan ayam mengganggu kejiranan, menurut prosiding mahkamah yang dilapor AFP.

Dalam prosiding sama, Yusuf memberitahu mahkamah membeli ayam jantan terbabit bagi sambutan Good Friday sehingga perayaan Kristian sebelum menyembelihnya bagi jamuan keluarga.

Hakim membenarkan permohonan itu tetapi memberi amaran supaya memastikan ia tidak berkeliaran di kawasan perumahan dan mengganggu penduduk.

Beliau turut memerintahkan menyembelih ayam jantan itu pada Jumaat, seperti dijanjikan atau berdepan hukuman daripada mahkamah.

Tidak menyalahi undang-undang menyimpan ternakan termasuk ayam dan itik di kediaman di Nigeria yang mana ia diternak untuk makanan dan sebagai aset segera dalam kecemasan kewangan.
-hmetro 

Amboi bengisnya di masjid

Mohsin Abdullah

Jumaat lalu sembilan hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Khutbah Jumaat minggu lalu yang disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan membicarakan tajuk: Ramadan Dihidupkan, Rumah Allah Diimarahkan.

Antaranya khutbah berkenaan menyaran umat Islam merebut peluang di bulan penuh barakah dengan mengimarahkan rumah Allah, sesuai tajuknya. Masjid dan surau, kata khatib yang menyampaikan khutbah, tempat terpenting dan paling mulia dalam kehidupan umat Islam. Kewujudannya bagi memenuhi kewajipan ibadah disamping berperanan sebagai tempat menyemarakkan penyatuan umat Islam.

Dua hari lalu pula Yang di-Pertuan Agong bertitah di satu majlis di Melaka agar umat Islam terus mempertahankan institusi masjid daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak. Sesungguhnya ini seruan raja-raja Melayu selaku ketua agama Islam, peringatan yang kerap disuarakan. Seri Paduka bertitah masjid perlu menjadi satu institusi yang cukup suci, mulia, dan dihormati sekaligus menjadi contoh kepada agama-agama lain.

“Kita tak mahu adanya institusi masjid ini tempat kita berpecah-belah. Nauzubillah. Kita semua harus menentukan keharmonian masjid ini dipelihara oleh kita umat Islam, bukan pemimpin semata-mata tetapi kariah masjid berkenaan,” titah baginda.

Berbalik kepada khutbah Jumaat 31 Mac lalu. Ia menegaskan juga seiring dengan tuntutan arus kemajuan masa kini, masjid dan surau perlu terkehadapan dalam urus tadbirnya agar ia lebih berdaya maju dan cekap mendepani keperluan umat Islam. Benar. Lantas sesuatu mesti dilaksanakan. Segera.

Politik dengan masjid sering dikaitkan. Bagi saya ini bukan sekadar masalah penceramah bercakap mengenai politik menggunakan pentas masjid sama ada secara jelas dan terbuka atau samar-samar berbunga-bunga.

Selain itu yang ingin saya perkatakan ialah masalah kakitangan masjid termasuk pengerusi dan ahli jawatankuasa (dan ada kalanya golongan imam dan muazzin) dikatakan ada kaitan dengan parti politik, atau sekurang-kurangnya menunjukkan kecenderungan ke arah sesuatu parti politik. Malah, dikatakan jika sesuatu parti sedang memegang tampuk pemerintahan sesuatu negeri maka golongan yang pro-parti itu hampir pasti mentadbir masjid dan surau di negeri itu. Saya bercakap secara am tetapi ini pernah berlaku.

Saya sendiri pernah menyaksikan pada suatu masa dahulu ada masjid yang pengerusi dan ahli jawatankuasanya bukan sahaja mesra parti politik tertentu tetapi menjadi ahli dan memegang jawatan dalam parti politik berkenaan.

Sememangnya tidak boleh dihalang seseorang daripada mempunyai kecenderungan politik. Namun harapannya ialah jangan dicampur aduk politik dengan urusan masjid. Dalam kes yang saya sebut ini, kerap terjadi undangan ke majlis anjuran masjid hanya diberi kepada pemimpin parti politik yang dianggotai ahli jawatankuasa. Misalan imam dan bilal tidak sehaluan maka sedikit sebanyak berlaku “ketidakselesaan”. Keretakan dapat dihindari apabila golongan imam akur dengan pentadbir. Saya harap ini tidak berlaku pada waktu ini. Waullahualam.

Teringat saya akan satu lagi kisah lampau. Pernah terjadi pada suatu bulan puasa beberapa tahun dahulu ada wartawan menemubual seorang imam di sebuah masjid mengenai fadilat Ramadan. Si wakil media ditegur dengan agak keras oleh pengerusi masjid kerana menebual imam tanpa izin beliau. Teguran juga diberi kepada pak imam. Ertinya imam perlu mendapat izin pengerusi walaupun untuk bercakap mengenai perkara yang beliau arif, yakni soal agama. Bagi saya ini pelik.

Pada pendapat saya lebih elok jika imam memegang jawatan pengerusi masjid dan beliau juga pilih ahli jawatankuasa. Jika imam boleh memikul tanggungjawab memimpin jemaah bersembahyang, masakan kita tidak boleh memberi keyakinan dan kepercayaan kepada imam mentadbir masjid? Pada hemat saya mengimamkan sembahyang lebih besar tanggungan daripada mentadbir masjid. Bagi saya satu orang boleh melaku dua tugas namun kita masih amalkan sistem satu pasukan pentadbir dan satu pasukan imam di masjid dan surau kita.

Di wilayah selatan Thai, kalau tidak silap saya, pemilihan ala pilihan raya diadakan untuk memilih pentadbir masjid. Saya tidak pasti sama ia membabitkan pemilihan imam. Ertinya pengundian dibuat oleh ahli kariah. Saya rasa ini tidak sesuai kita contohi kerana akan menimbulkan masalah politik pula. Tak apa itu soal lain.

Menutup rencana izinkan saya bercakap mengenai kanak-kanak di masjid. Memang ada anak-anak yang nakal dan buat bising di dalam masjid semasa jemaah bersembahyang. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak berada “in the best behavior” apabila berada di masjid, tetapi budak-budak tetap budak-budak. Yang nakal tetap nakal. Maka kakitangan masjid mahu pun sesiapa berhak menegur mereka supaya jangan buat bising dan mengganggu para jemaah.

Tetapi tegurlah dengan cara baik dan lemah lembut. Saya pernah nampak kanak-kanak diherdik secara kasar. Ini mempunyai kesan terhadap diri mereka.

Satu lagi yang saya tidak faham ialah kanak-kanak tidak dibenarkan duduk di saf depan. Mereka diusir ke belakang. Mengapa? Adakah mereka kotor? Menjijikkan? Nyata mereka ada yang sudah pun bersuci.

Dalam usaha mahu masjid diimarahkan dan ketika kita mahu anak-anak gemar ke masjid, lakukanlah sesuatu yang menarik mereka dan bukan sesuatu yang merenggangkan mereka dari rumah Allah.

Cukup setakat ini sebelum saya dituduh berkhutbah tanpa tauliah. Selamat mendirikan sembahyang Jumaat.

Polis jadi dalang seludup mercun

Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harapkan pagar, pagar makan padi. Itu yang berlaku apabila seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditahan selepas dipercayai 'dalang' sindiket penyeludup mercun ke negara ini.

Lebih mengejutkan apabila suspek berusia 30-an turut menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawa mercun diseludup.

Sumber berkata, anggota polis berkhidmat di cawangan pengangkutan di Terengganu itu dikesan menggunakan kenderaan pasukan PDRM untuk aktiviti penyeludupan mercun dari Kelantan.

Menurutnya, suspek bagaimanapun diberkas hasil risikan dilakukan anggota Pasukan Gerak Am (PGA) terhadap aktiviti penyeludupan mercun sempena Aidilfitri ini.

"Suspek ditahan sepasukan anggota PGA di Kampung Wakaf Bata, Machang, Kelantan ketika memandu kenderaan pacuan empat roda milik PDRM, sekitar jam 7 malam, Selasa lalu.

"Difahamkan suspek menutup mercun dimuatkan di bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan menggunakan kanvas.

"Turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan yang turut menemani suspek di dalam kenderaan berkenaan.

"Dia dipercayai ada kaitan dengan kegiatan penyeludupan mercun berkenaan," katanya.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan lanjut menemui berpuluh ribu mercun bola, mercun roket, mercun bateri, mercun pop-pop dan pelbagai bunga api dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit.

"Difahamkan ketika kejadian suspek tidak bertugas dan menggunakan kenderaan itu tanpa kebenaran pihak atasan.

"Susulan itu, PGA merampas kenderaan bersama muatan mercun itu sebelum dibawa ke IPD Machang, Kelantan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu pihak polis Bukit Aman yang dihubungi memaklumkan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun bakal mengeluarkan kenyataan berhubung rampasan berkenaan.

Sebelum ini polis Kelantan turut berjaya menahan 13 lelaki dan seorang wanita warga tempatan di enam daerah di Kelantan serta merampas pelbagai mercun dan bunga api bernilai lebih RM100,000 sejak 25 Mac lalu.

Muhamad Zaki memaklumkan, penahanan dan rampasan dilakukan di Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Beliau berkata kesemua 14 individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rakam aksi jelik dalam kereta, pasangan kekasih ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan sepasang kekasih selepas tular video mereka melakukan perbuatan jelik dalam kereta di kawasan letak kenderaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata kedua-dua suspek berusia 17 dan 22 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan, petang tadi.

Katanya, siasatan mendapati, rakaman kejadian itu berlaku pada 3.03 petang, 29 Mac lalu, tetapi baru tular di media sosial tiktok baru-baru ini.

“Polis menjalankan siasatan dan mengesan lokasi kejadian adalah di kawasan letak kenderaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang. 

“Bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek ditahan masing-masing di Taman Johor Jaya dan Taman Kota Masai antara jam 4.15 petang hingga 5.15 petang, hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Sohaimi berkata, semakan dibuat mendapati kedua-dua warganegara tempatan itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna merah dan sehelai t-shirt berwarna merah dan putih.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun,” katanya.

Sohaimi turut mengingatkan orang awam agar tidak melakukan perbuatan melanggar norma kehidupan dan insan negara ini.

Sebelum itu, tular satu rakaman berdurasi 23 saat memaparkan perbuatan jelik kedua-dua individu berkenaan di dalam sebuah kenderaan.

Ahli parlimen kantoi layan video ‘blue’ ketika dewan bersidang

WAN SITI AMINAH

Leka menonton video lucah, seorang wakil rakyat dari India tidak sedar tingkah laku tidak senonohnya itu telah dirakam.

Menerima kecaman dari orang awam, video kejadian yang berlaku ketika parlimen sedang bersidang itu ditularkan di media sosial.

Difahamkan, ahli politik berkenaan mewakili kawasan Bagbassa yang terletak di bahagian timur laut India.

Mengundang kemarahan, insiden tersebut dipercayai dirakam oleh individu yang duduk di kerusi belakang lelaki itu.

Menurut laporan media India, parlimen ketika itu sedang membahaskan isu penting berkaitan dengan belanjawan negara.

Mengecewakan, pembahasan yang sedang dilangsungkan itu turut dapat didengar melalui video yang ditularkan.

Sehubungan dengan itu, Speaker Parlimen, Biswabandhu tampil mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu.

“Kebanyakan perkara boleh tular di media sosial. Saya tidak boleh bertindak tanpa berlandaskan apa-apa fakta.

“Saya juga tidak menerima apa-apa aduan mengenainya,” katanya ketika diminta untuk mengulas lanjut.

Pemimpin tertinggi parti yang diwakili ahli politik itu telah memintanya untuk memberikan penjelasan.

Namun setakat ini, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab itu.

Siapa yang akan terkulai dan rebah di Selangor

Dahlan Maamor

ULASAN l Pilihan raya enam negeri (PRN) dijangka akan diadakan serentak di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Pastinya, Jun akan menjadi bulan yang sibuk dan dilihat sebagai medan saingan sengit selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang lalu antara gabungan Pakatan Harapan (PH)/Umno/BN dan gabungan Perikatan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Bersatu dan PAS.

Namun PRN yang menjadi tumpuan dan dijangka sengit adalah di Selangor.

Banyak telahan dan jangkaan dibuat dengan pelbagai dalil dan alasan bahawa Selangor akan tumbang kali ini setelah sekian lama PH menjadi kerajaan negeri.

Selangor memang menjadi sasaran PN untuk meluaskan kuasa dan pengaruh dan mereka meletakkan harapan ke bahu bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang tewas di Parlimen Gombak di tangan Menteri Besar, Amirudin Shari dalam PRU-15 lalu.

PRN Selangor dijangka menjadi perhatian susulan PAS dan Bersatu, masing-masing menyimpan angan-angan besar untuk merampas Selangor. Gerak kerja dan usaha dilipatgandakan PN untuk tujuan itu.

Namun ia bukan satu kesalahan dan tidak salah PN menanam angan-angan kerana ini adalah bayangan kepada sebuah cita-cita.

Kemungkinan PN masih “mabuk” dengan kemenangan enam kerusi Parlimen di Selangor pada PRU15 lalu maka alasan itu menjadi senjata angan-angan PN khususnya PAS.

Jika itu alasannya, saya yakin PAS dan Bersatu khususnya akan tersilap percaturan kerana politik Selangor berbeza jauh berbanding dengan negeri-negeri lain seperti Kedah, Terengganu mahupun Kelantan.

Mungkin PN khususnya PAS yakin akan kekal di Kelantan tetapi haklikatnya, di Selangor, keadaan adalah berbeza. PAS mungkin boleh mendabik dada dan mengisytiharkan Terengganu juga milik mereka namun keadaan yang sama tidak boleh dikatakan akan berlaku di Pulau Pinang.

PAS juga boleh yakin mampu mempertahankan Keda, namun hakikatnya keadaan di Kedah adalah 50-50 dengan PH dan Umno/BN mampu membuat kejutan.

Semua perubahan bergantung kepada isu bagaimana mereka menyelesaikan masalah pembahagian kerusi dan jawatan sekiranya menang nanti. Jika ini berlaku dengan baik, PN berhadapan dengan masalah besar.

Tidak ada sebab Selangor harus bertukar kerajaan kerana pelbagai program kepentingan rakyat sudah dan sedang dilaksanakan dengan cemerlang oleh Amirudin.

Bermula sejak lahir hinggalah ke alam kubur, Selangor memastikan rakyat negeri dibantu dengan sebaiknya.

Antara kejayaan Selangor prihatin rakyat menerusi perkhidmatan di bawah Iltizam Selangor penyayang yang dulunya dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat atau IPR.

Iltizam Selangor Penyayang bermula pada 2022 adalah kesinambungan polisi dan program negeri Selangor yang mengutamakan kebajikan rakyat melalui manifestasi dan perlaksanaan usaha berterusan oleh kerajaan negeri dalam membantu meringankan bebanan rakyat.

PAS tidak melihat kejayaan itu sebagai pengiktirafan rakyat Selangor tetapi menggunakan alasan kemenangan enam kerusi Parlimen dalam PRU15 yang lalu di Selangor menjadi pendorong kepada keyakinan bahawa kerajaan negeri gagal menjaga kebajikan rakyat.

PAS yang kini sebahagian daripada PN turut memberi alasan Umno dan BN tidak lagi menjadi ancaman berikutan kegagalan Umno pimpinan Ahmad Zahid Hamidi meraih walau satu kerusi Parlimen di Selangor pada PRU-15 lalu. Malah dakwa mereka, keberadaan BN dan Umno ke dalam kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat persekutuan adalah membebankan PH.

Kehadiran Umno bersama kerajaan pusat dikatakan tidak menggusarkan PN malah mereka beranggapan BN khususnya Umno tidak akan dapat mempegaruhi pengundi berikutan kemelut dalam parti itu yang belum berakhir dan terus bergolak atas gerakan tokoh pimpinan utama mereka yang dipecat dan digantung oleh parti.

Bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar yang dipecat dari Umno dikatakan penggerak utama bagi memastikan kerajaan PH Selangor terkulai dan rebah.

Namun itu hanyalah andaian dan cita-cita yang tidak boleh diterima kepastiannya jika fakta penerimaan rakyat Selangor terhadap usaha keras tanpa mengira musim telah dilaksanakan dengan baik oleh Amirudin di Selangor.

Umno dan BN harus berjiwa besar memperakui bahawa PH adalah kerajaan yang memerintah di Selangor dan mereka juga perlu berjiwa besar dalam soal pembahagian kerusi tanpa banyak menimbulkan karenah yang boleh merosakkan hubungan dan peluang.

Jika kerjasama, tolak ansur dan muafakat bersandarkan realiti politik Selangor, diyakini PH dan BN akan menyapu bersih kerusi-kerusi di Selangor.

Tidak terkejut andainya muafakat ini terbina dalam keadaam tenang tanpa berkecil hati, PN jika pun membuat kejutan, tidak mampu memenangi tidak lebih daripada dua daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

Kekuatan sekutu PH, DAP yang memiliki 14 kerusi diyakini tidak akan berkurangan dan akan kekal mempertahankan jumlah itu. Andai DAP berjaya kekal dengan 14 kerusi yang dimenangi pada PRU-14 lalu, maka PH hanya perlu mencari 15 lagi kerusi bagi memastikan PH kekal memerintah di Selangor.

Bersatu Selangor, pimpinan Mohammed Azmin Ali dilihat tidak mempunyai pengaruh besar berbanding ketika dia bersama PKR sebelum ini.

Azmin banyak mengharapkan dan bergantung kepada akar umbi dan jentera parti PAS serta bantuan penyokong parti itu untuk menggugat Selangor. Jika keadaan ini diambil kira maka tidak mustahil, di Selangor, Bersatu tidak mustahil akan gagal memenangi walaupun satu kerusi.

Jika kejayaan Selangor mengutamakan kepentingan rakyat selama ini diambil kira, bukan setakat 14 kerusi malah tidak mustahil 40 kerusi mampu dimiliki bagi mengesahkan PH memang kebal di Selangor. Bagaimanapun, ramai yang beranggapan persaingan kali ini sengit namun bagi saya PN akan “patah gala”h dalam PRN di Selangor.

Sekutu PN, PAS mungkin akan memenangi sekurang kurangnya satu atau dua kerusi. Dan ini tidak memberi kesan kepada kerajaan PH.

DAHLAN MAAMOR adalah bekas wartawan dan pemerhati politik dan pernah berkhidmat dengan pemimpin Umno dan PH.

Mahfuz: Sanusi pemfitnah nombor satu Kedah

KIM SYAZIE

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyelar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pemfitnah nombor satu Kedah.

Beliau berkata demikian selepas Sanusi diarah Mahkamah untuk membayar ganti rugj berjumlah M120,000 yang dinaikkan daripada RM50,000 selepas didapati bersalah memfitnah bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu

“Saya fikir masyarakat sudah boleh melihat bagaimana keputusan Mahkamah Rayuan itu mempengaruhi persepsi rakyat terhadap Sanusi sebagai pemfitnah nombor satu negeri Kedah,” katanya memetik laporan Harapan Daily, semalam

“Apa yang diucapkan Sanusi itu temberang dan tidak boleh diterima,” tambah beliau.

Jumlah ganti rugi yang dinaikkan itu ekoran fitnah terhadap Mahfuz berkaitan dengan pemindahan syarikat perjudian, Sport Toto ke Parlimen Pokok Sena ketika Mahfuz menjadi ahli Parlimen kawasan itu

Sanusi yang juga pengerusi Perikatan Nasional Kedah dan pengarah pilihan raya PN turut menerbitkan video bantahan penduduk yang mamaparkan sepanduk tertera nama Mahfuz

Mahfuz melihat keputusan mahkamah sebagai tindakan yang wajar memandangkan tuduhan yang dibuat ke atasnya adalah tuduhan yang berat.

“Saya percaya bahawa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menaikkan jumlah hukuman itu daripada RM50,000 hingga RM120,000 kerana fitnah Sanusi itu satu tuduhan yang sangat berat kepada saya.

“Saya juga serius membanteras judi bukan dia sahaja (Sanusi), tetapi janganlah sehingga memfitnahkan saya,” kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memfailkan saman terhadap Sanusi pada 23 Disember berhubung ucapannya yang berbaur fitnah dalam kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’ pada 13 November lalu.

Meneliti kembara 300km Noorazlan ke Istana Negara

Emylia Rosli  & Amiera Solihan

Noorazlan Ismail berjalan dari Johor Bahru ke Istana Negara di Kuala Lumpur dalam usahanya memohon kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pemandu teksi itu memulakan perjalanan dari tol Skudai, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) pada 28 Mac dan tiba di Istana Negara pada 3 April lengkap dengan kot serta songkok.

Perjalanannya kira-kira 312 kilometer (km) yang hanya mengambil masa selama enam hari itu menjadi perbualan orang ramai dan pada masa sama tidak sedikit yang meraguinya.

Bapa kepada lima orang anak itu memuat naik perjalanannya setiap hari di media sosial tetapi berhenti mengemas kini pada 30 Mac ketika sampai di kawasan rehat dan rawat (RnR) Machap, Melaka.

Ia menambahkan lagi keraguan ramai terhadap perjalanan yang dibuatnya.

Berdasarkan kemas kini di media sosial, Noorazlan, 49, mengambil masa tiga hari untuk menyelesaikan perjalanan kira-kira 60km dari tol Skudai hingga RnR Machap.

Itu bermakna dia hanya berjalan secara purata sejauh kira-kira 20km bagi setiap hari.

Dengan jarak dan kelajuan sama, perjalanan yang berbaki kira-kira 252km ke Istana Negara kelihatan tidak munasabah apabila turut mengambil masa tiga hari.

Berdasarkan kiraan, dia memerlukan masa selama kira-kira 12 hari untuk tiba di Istana Negara jika dia menggunakan kelajuan sama yang digunakan dari Skudai ke Machap.

Kalaupun dia mempercepatkan kelajuan untuk sampai dalam tempoh tiga hari, dia perlu menghabiskan kira-kira 84km setiap hari.

Jika dikira kelajuan biasa berjalan kaki iaitu 14 minit setiap km, dia memerlukan kira-kira 19 jam sehari.

Noorazlan ketika di Istana Negara
Ini bermakna dia hanya berbaki lima jam sehari untuk tidur, berehat, makan-minum, beribadah dan membuang air.

Ia belum mengambil kira faktor umur, cuaca panas-lembap Malaysia, struktur jalan raya berbukit dan kesesakan jalan raya.

Tambahan lagi perjalanan itu dilakukan ketika bulan puasa.

Mengikut faktor umur Noorazlan yang dianggap veteran itu, dia boleh dikira tidak mampu untuk menghabiskan keseluruhan perjalanan dalam masa enam hari kecuali jika dia memang berpengalaman dalam sukan berjalan atau larian jarak jauh seperti ultramaraton.

Ketika pelakon Sharifah Sofia Syed Hussein, 36, berjalan dalam kempennya menyelamatkan harimau Malaya daripada pupus pada tahun lalu, dia mengambil masa sembilan hari untuk melengkapkan perjalanan sejauh 235km dari Taman Negara, Pahang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selepas sampai di Kuala Lumpur, Noorazlan "secara kebetulan" berjumpa dengan wakil tiga NGO dan Ahli Parlimen PN Wan Saiful Wan Jan yang ingin menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara yang sama.

Wan Saiful menegaskan pertembungan itu bukan dirancang sebaliknya atas kehendak Allah.

"Ini semua benda-benda tak dirancang. Alhamdulillah dari segi susunan tu nampak cantik, Allah bantu kita.

“Dengan jadualnya hari ni, walau tak dirancang tapi dia jadi tersusun.

"Dari datang ke Istana Negara, kemudian pergi ke parlimen. Kebetulan (ahli parlimen) Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) ada bawa usul untuk bahaskan walaupun ditolak," katanya.

Penerjun muda negara, Nur Eilisha Rania dapat hidayah usia 13

Zulkarnain Azman
sukan@hmetro.com.my
Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj
Mula-mula ikut rakan

Kuala Lumpur: Penerjun muda negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj mengakui memilih Islam sebagai cara hidup selepas tertarik dengan cara penganutnya mengamalkan ajaran agama berkenaan.

Menceritakan pengalamannya, atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu memberitahu dia mula mengenal Islam sejak berusia tujuh tahun menerusi kawannya di sekolah rendah.

Sejak detik itu, kata Eilisha, dia cuba mengikut serba sedikit amalan dilakukan oleh kawan-kawannya sebelum memutuskan untuk memeluk Islam ketika berusia 13 tahun.

Menurut Eilisha, dia bersyukur kerana hasratnya itu disokong oleh kedua-dua ibu bapanya yang juga sebenarnya terlebih dahulu memeluk agama Islam berbanding dirinya.

"Dulu saya Kristian dan juga kedua-dua ibu bapa saya. Sebenarnya daddy saya sudah lama nak peluk Islam cuma mommy saya ketika itu belum bersedia untuk bertukar agama.

"Namun selepas satu kejadian berlaku, barulah ibu saya terbuka untuk memeluk Islam. Setahun selepas itu kami adik beradik memeluk Islam cumanya tak semua kerana tiga daripada lima sahaja yang bersetuju.

"Saya tertarik dengan agama Islam kerana saya percaya bahawa tuhan itu satu dan tiada tuhan selain Allah. Saya mula minat dengan agama Islam ketika usia tujuh tahun apabila bergaul dengan kawan-kawan yang beragama Islam.

"Saya suka cara mereka malah saya juga kadang-kadang ada ikut cara mereka seperti baca doa sebelum makan dan juga ketika saya berusia 12 tahun saya sudah cuba untuk berpuasa tapi tak penuh," katanya yang akan membuat penampilan pertamanya di temasya Sukan Sea Kemboja Mei ini.

Dalam pada itu, atlet berusia 17 tahun itu ketika ditanya berkenaan pembabitannya dalam sukan terjun, minatnya hadir selepas dicabar oleh ibunya yang juga merupakan bekas atlet terjun wanita Sarawak Victory Emmy.

"Semuanya bermula apabila saya dipilih menjadi penerjun ketika sekolah rendah. Ibu dan jurulatih bertanya sama ada saya benar-benar minat sukan terjun dan saya jawab ya.

"Tetapi ibu saya cakap jangan sesekali menyesali keputusan anda untuk meneruskan aktiviti terjun, tetapi ingat ia tidak selalunya mudah," katanya turut berterima kasih kepada bapanya, Muhammad Abrar Raj yang disifatkan sebagai tonggak kekuatannya.

Yang Dipertuan Agong: Umat Islam perlu pertahan masjid dari jadi gelanggang politik

Malaysiakini

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar umat Islam terus mempertahankan institusi masjid daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak.

Seri Paduka bertitah masjid perlu menjadi satu institusi yang cukup suci, mulia dan dihormati sekali gus menjadi contoh kepada agama-agama lain.

“Kita tak mahu adanya institusi masjid ini tempat kita berpecah belah… Nauzubillah. Kita semua harus menentukan keharmonian masjid ini dipelihara oleh kita umat Islam, bukan pemimpin semata-mata tetapi kariah masjid berkenaan.

“Saya akan sentiasa ingatkan khususnya di Pahang masjid tak boleh dicampuri unsur-unsur politik waima siapa sekali pun,” titah baginda pada majlis Pemasyhuran Masjid Ar-Razzaq dan Majlis Berbuka Puasa di Bachang, di Melaka, hari ini.

Hadir sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut diiringi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengucapkan tahniah Atas pelantikan Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menguruskan lawatan Seri Paduka ke negeri berkenaan sebelum ini.

“Hari ini saya mengucapkan terima kasih di atas setiap persiapan (untuk menyambut keberangkatan tiba). Saya menghargai usaha dicurahkan Sulaiman.

“Hari ini begitu besar erti kepada saya dan keluarga dapat hadir (ke Melaka). Kali ketiga sejak 2019. Dalam masa tiga, empat tahun ini saya dapat kenal tiga Ketua Menteri seperti mana saya berpengalaman di Kuala Lumpur dengan empat Perdana Menteri.

“Ini adalah satu sejarah bagi saya dan keluarga dan sudah tentu ini akan tercatit dalam sanubari dan ingatan saya selepas saya pulang ke Pahang nanti,” titah Seri Paduka.

Pada majlis berkenaan, Seri Paduka berkenan menandatangani plak pemasyhuran masjid itu serta mengurniakan sumbangan kepada 100 penerima.

Seri Paduka berdua juga berkenan solat Maghrib berjemaah bersama rakyat jelata.

Terdahulu, Seri Paduka berdua berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam dengan pesawat khas pada jam 11.56 pagi bagi memulakan lawatan dua hari ke Melaka.

Seri Paduka berdua kemudiannya berkenan melawat Bazar Ramadan Peringgit pada jam 4.45 petang tadi.

Esok, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual menerima mengadap ahli-ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

- Bernama

Bekas kakitangan kerajaan simpan RM10.9 juta hasil rasuah, siap sorok daripada anak dan isteri

SHAFIQAH MUKHSIN

Apabila mata dikaburi wang maka mengambil rasuah dilihat sebagai perkara biasa buat sesetengah pekerja baik kerajaan mahupun swasta.

Seorang bekas kakitangan Direktorat Cukai Kementerian Kewangan, mengaku menyembunyikan sejumlah wang di dalam peti simpanan.

Rafael Alun Trisambodo didakwa oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah kerana menyimpan wang berjumlah RM10.9 juta (37 billion Rupiah).

Wang tersebut dipercayai diperoleh daripada kegiatan rasuah, namun wang tersebut telah disita lapor Kompas.com.

Bagaimanapun dia tidak mendedahkan pihak mana yang memberi rasuah selama dia bekerja dengan alasan tidak mengetahui pihak tersebut.

“Saya tidak pernah menerima sebarang bentuk wang daripada pihak-pihak lain yang bekerja di pejabat yang sama dengan saya,” katanya.

Berdasarkan keterangan Rafael, dia menjelaskan bahawa wang simpanannya itu adalah daripada hasil jualan aset tanah yang telah dihibahkan oleh ibu bapanya pada tahun 2010.

Dia juga telah memperoleh RM2.9 juta (10 billion Rupiah) hasil jualan aset tersebut yang telah ditukarkan ke mata wang asing.

Rafael bagaimanapun menafikan bahawa dia menyimpan wang dalam bentuk mata wang asing.

Rafael menyembunyikan wang tersebut daripada pengetahuan anak dan isteri dengan alasan mereka mahukan duit itu untuk dibelanjakan.

“Memang saya sembunyikan wang tersebut. Tujuannya saya sembunyikan daripada keluarga saya dan tidak mahu anak serta isteri saya tahu tentang wang tersebut.” tambahnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah telah mengesyaki Rafael pernah menerima rasuah dalam bentuk wang.

Wanita maut, dibunuh suami dengan tukul besi

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Dungun: Seorang wanita maut disyaki dibunuh suaminya sendiri dengan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun Terengganu.

Mangsa yang berusia 41 tahun dilaporkan parah di dahi dan muka.

Sebelum kejadian, mangsa dilaporkan baru pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah.

Setibanya di rumah, pasangan itu didakwa mula bergaduh sebelum suspek yang berusia 32 tahun dikatakan keluar dari rumah dan pergi ke rumah datuknya yang terletak tidak jauh dari lokasi.

Suspek dilapor memaklumkan kepada kakaknya yang dia telah membunuh isterinya dengan tukul besi sambil menangis dan ketakutan.

Pasangan berkenaan dikatakan berkahwin tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia enam bulan.

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Polis sudah menahan suspek untuk siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif pembunuhan itu dan kes di siasatan dibawah 

Polisi Israel serbu Masjid al-Aqsa, serang jemaah

Tujuh orang cedera selepas polis Israel menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada Rabu. 

Sekumpulan penduduk Palestin bertindak menghalang pendatang Yahudi menyerbu masuk ke dalam Dewan Solat Al-Qibli di Masjid al-Aqsa, lapor Agensi Anadolu. 

Polis Israel bertindak memecahkan tingkap dan menyerang jemaah.  

Bulan Sabit Merah Palestin berkata tujuh rakyat Palestin cedera akibat tembakan peluru getah dan dipukul. 

Polis Israel turut menahan 200 rakyat Palestin. 

Tindakan Tentera Israel dan pendatang Yahudi yang sering kali melakukan serbuan ke atas Masjid Al-Aqsa dengan niat untuk membangkitkan kemarahan rakyat Palestin.

- Bernama-Anadolu

Zuraida nafi ingin sertai Bersatu semula

Malaysiakini 

Bekas ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menafikan dia ingin kembali menyertai semula Bersatu selepas pilihan raya umum ke-15.

“Ini tidak benar... saya cuma sebut saya akan sokong PN (Perikatan Nasional) pada pilihan raya (negeri) akan datang.

"Saya sokong parti berbilang kaum. Budak ini baik jaga mulutnya," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej teks.

Zuraida mengulas laporan FMT yang memetik Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai berkata Bersatu menolak permohonan Zuraida untuk menyertai semula parti itu selepas PRU15.

Ini, menurut ahli Parlimen Machang itu, kerana Zuraida sebelum ini enggan melepaskan jawatan menteri yang diisi atas kuota Bersatu selepas keluar parti.

Tambah Wan Fayhsal, keputusan menolak permohonan Zuraida dibuat secara sebulat suara.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata dia akan menghubungi Wan Fayhsal untuk menjelaskan perkara itu.

Zuraida menyertai Bersatu selepas dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Selepas meninggalkan Bersatu, dia menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan, tetapi tidak lama kemudian dipecat berikutan perebutan kuasa dengan presidennya Larry Sng.

Zuraida kini adalah Timbalan Presiden Muafakat Nasional, sebuah NGO yang diasaskan oleh bekas pemimpin Umno Annuar Musa.

Bekas menteri itu bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi parlimen Ampang, yang disandangnya selama tiga penggal, pada PRU15 tetapi juga kehilangan wang pertaruhannya.

Bulan lalu, katanya, dia akan menyokong Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri akan datang di enam negeri.

Kes ambil alih menara KL:.Pengarah syarikat dituduh cuba sogok Annuar Musa RM7.5 juta

Alyaa Alhadjri

Seorang pengarah syarikat minta dibicarakan kerana didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM7.5 juta sebagai dorongan untuk seorang menteri mempercepatkan cadangan penjualan saham dan pengambilalihan konsesi daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (Menara KL).

Pengarah Urusan Hydroshoppe Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, yang syarikatnya telah mengambil alih konsesi itu, didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa melalui pengarah MyCreative Ventures Tan Ser Lay.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM yang dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, tawaran itu dibuat antara Julai dan Ogos tahun lalu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya.

Suzana menetapkan ikat jamin RM50,000 dan meminta Abdul Hamid melaporkan diri di ibu pejabat SPRM di Kuala Lumpur dua bulan sekali mulai Mei tahun ini sehingga perbicaraan selesai.

Dia juga diarah untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 2 Jun untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan menyiasat dakwaan berhubung penjualan saham yang mencurigakan dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Telekom Malaysia (TM).

Secara berasingan di mahkamah berbeza, Hydroshoppe Sdn Bhd didakwa mengikut Seksyen 17(A)(1)(a) atas kesalahan yang sama dengan Abdul Hamid sebagai pengarah menuntut dibicarakan bagi pihak syarikat.

Majistret Rozina Ayob membenarkan ikat jamin RM50,000 berasingan dengan syarat sama seperti pertuduhan terdahulu.

Sebelum ini, TM berkata mereka memutuskan untuk tidak terus memegang konsesi menguruskan Menara KL bagi menumpukan kepada perniagaan terasnya iaitu perkhidmatan telekomunikasi.

Rafizi sekolahkan pembangkang pasal KWSP

KIM SYAZIE

Kelmarin, Dewan Rakyat yang baru sahaja beberapa minit bersidang bertukar kecoh selepas Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menunjukkan protes dan keluar dari Dewan.

Ini selepas Timbalan Speaker, Alice Lau enggan melayan permintaan pembangkang yang berulang kali mendesak untuk membahaskan isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), biarpun Yang Dipertua Dewan Rakyat sudah pun memuktamadkan untuk tidak membenar isu tersebut dibahaskan.

Susulan itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil menegur pembangkang menerusi Facebook, menegaskan bahawa kerajaan tidak membenarkan pengeluaran bersasar wang KWSP kerana bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.

Ujarnya, kerajaan bukan memilih jalan singkat semata-mata untuk meraih populariti sementara dan tinggalkan beban masalah kepada pimpinan lain di masa hadapan untuk diselesaikan.

“Pagi tadi, beberapa ahli parlimen pembangkang protes keluar dewan bila Timbalan Speaker Dewan Rakyat tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar KWSP dibahaskan hari ini.

“Ini sebab mereka tidak faham atau tidak ambil berat masa depan rakyat. Jadi, saya nak jelaskan sikit kenapa kerajaan tidak membenarkan KWSP dikeluarkan secara bersasar.

“Pertama, KWSP diwujudkan untuk pencarum mempunyai simpanan di hari tua. Ia juga mengehadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik,” katanya.

Beliau menambah, kesan kepada pencarum lain walaupun mereka tidak keluarkan wang KWSP kerana pulangan secara keseluruhan akan menjadi rendah.

“Sekiranya pencarum mati sekalipun, simpanan dalam KWSP akan dapat kepada waris,” katanya.

Anwar mohon penghakiman ingkar terhadap Ahli Parlimen Pendang

Bernama

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim memohon untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap Ahli Parlimen Pendang Awang Solahuddin Hashim atas kegagalannya memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab saman fitnah oleh perdana menteri itu, dalam tempoh masa ditetapkan.

Anwar, 75, memfailkan saman itu terhadap Awang pada 3 Mac lepas, berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap perdana menteri itu di lobi Parlimen.

Peguam S N Nair, yang mewakili Anwar, berkata writ dan tuntutan saman itu diserahkan kepada Awang selaku defendan pada 3 Mac dan beliau sepatutnya memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 21 Mac.

“Semasa pengurusan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Aisyaf Falina Abdullah hari ini, kami memaklumkan kepada mahkamah mengenai kegagalan defendan untuk memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh masa yang diperuntukkan dalam perundangan dan memohon penghakiman ingkar direkodkan terhadap defendan.

“Selepas merekodkan bantahan kami, timbalan pendaftar itu mengarahkan agar perkara tersebut dibawa ke hadapan Yang Arif untuk tindakan selanjutnya. Namun, tarikh pengurusan kes akan ditetapkan kemudian,” kata Nair ketika dihubungi.

Nair berkata walaupun pihaknya telah membangkitkan bantahan dan fakta bahawa mahkamah masih belum memberikan apa-apa lanjutan masa dan arahan kepada defendan untuk memfailkan pernyataan pembelaannya, namun peguam defendan meneruskan dengan pemfailan pernyataan pembelaan itu hari ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar selaku plaintif mendakwa defendan membuat beberapa kenyataan yang merujuk kepadanya di lobi Dewan Rakyat, bangunan Parlimen, semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, pada 21 Feb lepas.

Beliau berkata kenyataan tersebut telah diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan kepada pemberita, yang terakam dalam bentuk audio dan video.

Menurut Anwar, pada 21 Feb 2023, kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut telah diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan di aplikasi TikTok melalui akaun di bawah nama “@asriasri64chanel”.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata pada hari sama (21 Feb) portal MalaysiaKini menerbitkan semula sebahagian kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut menerusi dua artikel bertajuk “MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir” manakala dalam versi Bahasa Inggeris, bertajuk “Why no LCS charges, MP asks ‘more vindictive than Mahathir’ PM”.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.

Beliau mendakwa Awang sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua kerajaan perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah.

Jurutera tepis dakwaan Anwar larikan gas Bachok ke Songkhla

Malaysiakini

Seorang jurutera berpengalaman dalam bidang petroleum menolak kenyataan Anggota Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary bahawa Anwar Ibrahim melarikan pendaratan gas dari kawasan pembangunan bersama Malaysia-Thailand (JDA) ke Songkhla, Thailand hampir 30 tahun lalu.

Rahim Kamil Sulaiman, 69, berkata, sebagai menteri kewangan pada 9 Mei 1996 Anwar menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Koperasi Usaha Bersatu Malaysia Bhd (KUB) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi pembangunan industri petrokimia di Pantai Senok, Bachok, Kelantan. 

Menurutnya, ia merupakan detik bersejarah bagi KUB dalam transformasinya daripada koperasi yang disokong Umno kepada konglomerat tersenarai.

“Menteri kewangan menyokong penuh langkah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan. 

“Semasa majlis menandatangani perjanjian pada 9 Mei 1996, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan pusat tidak mempunyai sebarang masalah jika kerajaan negeri Kelantan terbuka kepada kerjasama demi kepentingan rakyat Kelantan. 

“Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan (ketika itu) menyambut baik jaminan ini apabila kami memberi taklimat kepadanya.

“KUB meneruskan rekayasa dengan sebuah syarikat kejuruteraan Jerman bersama dengan Ranhill Bersekutu yang berpangkalan di Malaysia untuk menyediakan laporan interim mengenai kebolehlaksanaan teknikal kompleks petrokimia yang dicadangkan di kawasan seluas 5,000 ekar di Pantai Senok.

“Laporan itu mengenal pasti proses pemisahan gas dan petrokimia dua dekad lebih awal daripada kompleks petrokimia Pengerang sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini. 

Bagaimanapun jelasnya dalam tempoh beberapa bulan selepas perdana menteri Mahathir Mohamad dan menteri besar Kelantan berjabat tangan di Kelantan pada tahun 1996, pemimpin PAS dan Umno Kelantan memulakan peranan masing-masing.

Menurut Rahim , “permainan” ini tiada kena mengena dengan kepentingan rakyat Kelantan.

“Rakyat Malaysia tahu bahawa pada pertengahan tahun 1997, hubungan antara Mahathir dan timbalannya Anwar mula muram dan menuju konfrontasi. Pada 2 September 1998, Anwar sudah terkeluar daripada Umno dan kerajaan. 

“Dia ditahan bawah ISA pada 20 September sebelum didakwa atas tuduhan meliwat. Bilakah Anwar Ibrahim mempunyai masa untuk ‘larikan gas JDA’ dari Kelantan ke Songkhla? 

“Pada awal tahun 1998, KUB (seperti semua korporat Malaysia) telah pun berada di tahap kritikal untuk mengurangkan kesan Krisis Kewangan Asia. Projek Pantai Senok yang bercita-cita tinggi terpaksa ditangguhkan,” jelasnya.

Ahmad Marzuk dalam sesi sidang parlimen 2 Mac lalu mendakwa  Anwar “melarikan” pendaratan gas ini ke Songkhla yang jaraknya 230 kilometer, sedangkan kawasan bertindih itu cuma 140 kilometer dari Pantai Senok.

“Kalau kata nak mengangkat martabat Melayu, Melayu mana ada di Songkhla, Thailand? Kalau kata nak menokhtahkan miskin tegar sepatutnya minyak itu didaratkan di Bachok. 

“Kerana ia boleh memacu industri hiliran, jajaran jalan, kedai-kedai, tanah nilainya akan meningkat apabila adanya pendaratan gas dan petroleum di situ. 

“Tetapi semuanya ini kerana tangan YB Tambun ia didaratkan di Thailand dan hasil lima peratus daripada pengeluaran minyak tahunan berjumlah RM3 bilion setahun tapi satu sen pun tidak diberikan peruntukan seperti mana perjanjian yang ada pada 1975,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023 baru-baru ini.

Sementara itu tambah Rahim pada awal tahun 1998, KUB (seperti semua korporat Malaysia) telah pun berada di tahap kritikal untuk mengurangkan kesan krisis kewangan Asia. 

Justeru, katanya, projek Pantai Senok yang bercita-cita tinggi terpaksa ditangguhkan.

“Petroleum bukan portfolio Anwar. 

“Dalam semua kebarangkalian, Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA) memutuskan mengenai pendaratan di Songkhla sekitar akhir 1999 atau awal 2000.

“Pihak berkuasa bersama ini hanya meluluskan Perjanjian Perkongsian Pengeluaran pada bulan September 2004. Mampukah Anwar mengarahkan MTJA dari penjara?

”Bagaimanapun, politik Kelantan semasa krisis kewangan Asia dan pemecatan Anwar giat diteruskan dengan ghairah. 

“Pengerusi BN Kelantan telah mengangkat ‘Deklarasi Semarak’ yang dikemukakan kepada Mahathir yang ‘menyatakan hasrat untuk menakluki kembali Kelantan pada pilihan raya umum akan datang’. 

“Dia menegaskan bahawa sesiapa boleh menandatangani MOU dengan Kelantan supaya pada 1999 iaitu apabila BN memerintah Kelantan projek itu dapat dibangunkan,” katanya yang juga bekas profesor pelawat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga 1997.

Mahfuz timbang prosiding hina mahkamah terhadap Sanusi

Shakira Buang
story-image

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar akan mempertimbang untuk memulakan prosiding menghina mahkamah ke atas Muhammad Sanusi Md Nor susulan tindakan menteri besar Kedah itu berkongsi semula kenyataan fitnah terhadapnya.

Mahfuz berkata dia akan meminta peguamnya untuk menyemak tindakan yang wajar diambil untuk situasi tersebut.

"Saya akan minta peguam saya semak (untuk mulakan prosiding hina mahkamah), apakah wajar untuk saya mengambil tindakan," katanya kepada Malaysiakini.

Mahfuz diminta mengulas tindakan Muhammad Sanusi yang memuat naik semula kenyataan fitnah terhadapnya hari ini, sehari selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengetepikan saman fitnah ke atasnya.

Kenyataan itu dikongsi semula di laman Facebook Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS ketika mengulas keputusan tersebut, yang antara lain menaikkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayarnya daripada RM50,000 kepada RM120,000.

“Posting inilah yang didapati saya bersalah oleh mahkamah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi (+ RM15,000 kos) dan kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh Mahkamah Rayuan kerana RM50k didapati terlalu rendah oleh plaintif.

“Mereka membuat counter appeal (rayuan balas) untuk tuntut lebih tinggi,” tulisnya di media sosial pagi tadi.

Tindakan Sanusi itu walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 November 2021 telah memerintahkan injunksi yang menegahnya atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap Mahfuz.

Mahfuz yang merupakan bekas anggota Parlimen Pokok Sena memfailkan saman tersebut pada 9 Oktober 2019 berhubung satu hantaran Sanusi - yang mengaitkannya dengan isu pemindahan kedai judi nombor ekor Sport Toto ke kawasan tersebut - yang dimuat naik di laman Facebooknya pada 30 Julai 2019.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata dia terkejut dengan tindakan Sanusi itu walau setelah perintah injunksi dikeluarkan.

"Saya nampak tindakan dia memuat naik semula kenyataan itu jelas memperlihatkan dia tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

"Isunya adalah dia telah mengaibkan saya bukan soal macam itu atau macam ini saja (seperti mana yang dikongsikan semula di Facebook Sanusi)," tegas Mahfuz.

Mahfuz berkata dia lega dengan keputusan mahkamah dan berharap ia dapat menunjukkan bahawa Sanusi telah memfitnahnya.

"Saya melihat dengan keputusan mahkamah akan dapat menunjukkan Sanusi ini adalah pemfitnah nombor satu negeri Kedah," katanya lagi.

'Dr M ambil masa 6 tahun, Anwar hanya 3 bulan untuk kenakan musuh politik'

Hidir Reduan Abdul Rashid

Ahli parlimen PAS, Awang Hashim berkata, Anwar Ibrahim mengeheret seteru politiknya ke mahkamah hanya dalam tempoh tiga bulan selepas dia dilantik sebagai perdana menteri.

Dalam pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah yang difailkan Anwar, Awang membuat perbandingan antara perdana menteri itu dan bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad.

Menurutnya, tindakan pertama Mahathir selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 1981 ialah membebaskan 21 tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, Operasi Lalang yang menyaksikan penahanan ahli politik kerajaan dan pembangkang hanya berlaku enam tahun selepas Mahathir memegang jawatan itu.

Sebaliknya, katanya, seteru politik Anwar dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh tiga bulan selepas dia dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Nov 2022.

"Jika dibandingkan tindakan kontroversi yang dibuat oleh Kerajaan Tun Mahathir ketika itu dengan tindakan kontroversi yang dibuat oleh kerajaan plaintif ketika ini, jelas menunjukkan bahawa dari segi jangka masa, kerajaan Tun Mahathir melakukan Operasi Lalang hanya 6 tahun selepas Tun Mahathir dilantik sebagai perdana menteri, walhal pertuduhan terhadap seteru politik dibuat oleh plaintif hanya dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Defendan mendakwa bahawa pertuduhan jenayah terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Bersatu, Wan Saiful Wan Jan bercanggah dengan dakwaan Anwar bahawa dia tidak mengamalkan politik dendam.

Awang mendakwa kes jenayah itu berlaku selepas plaintif mengeluarkan kenyataan pada 5 Dis tahun lepas dengan mendakwa Perikatan Nasional dibiayai syarikat judi dan berlaku penyalahgunaan dana dalam projek Jana Wibawa.

Kerjasama dengan Zahid

Ahli Parlimen Pendang itu juga berkata Anwar telah berhenti membuat kenyataan berhubung peranan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dalam skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) selepas kedua-duanya membentuk kerjasama dan Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

"Kedua-dua situasi kes diatas melahirkan satu konklusi yang jelas bahawa Kerajaan Plaintif akan cuba melindungi atau melengahkan penyelesaian sebarang isu yang membabitkan sekutu politik terkini, namun akan bingkas dan tegas terhadap seteru politik terutamanya Perikatan Nasional. Maka inilah yang dimaksudkan oleh Defendan sebagai “strategi” dan “kaedah mengugut,” katanya.

Pada 3 Mac, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Awang atas dua dakwaan iaitu mendakwa presiden PKR itu menyalahgunakan kuasa dengan campur tangan dalam agensi penguatkuasaan dan pendakwaan di Malaysia, dan kedua berhubung isu pelantikan plaintif sebagai perdana menteri ke-10.

Awang menyebut mengenai pembelaan justifikasi di mana defendan bersedia membuktikan di mahkamah kenyataan atau dakwaan yang dibuatnya dan kedua, kenyataan itu dibuat sebagai komen yang berpatutan, bukannya sebagai kenyataan fakta melibatkan isu kepentingan awam.

Menurut pernyataan pembelaannya, Awang berkata dia tidak mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Anwar tetapi membuat ulasan yang adil mengenai "proses pra-pelantikan".

Defendan mendakwa bahawa dia membuat pemerhatian yang disokong oleh fakta mengenai “komplot Anwar dengan Zahid” untuk memaksa 10 Ahli Parlimen BN menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri.

Anwar diwakili peguam Sankara Nair manakala Awang diawakil firma guaman Amalin & Faizi.

Sanusi kongsi kembali kenyataan fitnah terhadap Mahfuz Omar

Malaysiakini 
Sanusi kongsi kembali kenyataan fitnah, tegaskan akan bayar saman

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini berkongsi semula kenyataan fitnahnya terhadap Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar setelah kalah saman semalam.

Kenyataan itu dikongsi semula di Facebooknya ketika mengulas keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang menolak rayuannya dan menaikkan jumlah ganti rugi kepada RM120,000.

“Posting inilah yang didapati saya bersalah oleh mahkamah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi (+ RM15,000 kos) dan kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh Mahkamah Rayuan kerana RM50k didapati terlalu rendah oleh plaintif.

“Mereka membuat counter appeal (rayuan balas) untuk tuntut lebih tinggi,” tulisnya di media sosial pagi tadi.


Sanusi berkongsi semula status itu walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 November 2021 memerintahkan injunksi yang menegah defendan atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan.

Saman Mahfuz, bekas anggota Parlimen Pokok Sena, itu difailkan pada 9 Okt 2019 berdasarkan hantaran Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS mengaitkan Mahfuz - selaku wakil rakyat Pokok Sena ketika itu - dalam isu pemindahan kedai judi nombor ekor Sport Toto ke kawasan terbabit.

Sementara itu, dalam tulisan sama Sanusi berkata dia akan berusaha membayar ganti rugi diperintahkan susulan keputusan saman fitnah itu.

“Apabila sudah didapati bersalah dengan posting ini, menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan tuntutan mereka.

“Saya akan berusaha membayar berapa pun harganya.

”Mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri ini terjebak menjadi kaki judi, tidaklah sekali-sekali,” tegas Sanusi.

Dia bagaimanapun menegaskan keseriusannya membanteras kegiatan perjudian di Kedah dengan tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi selepas Disember 2022.

“Mulai Januari 2023, tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, selari dengan keseriusan PAS menghentikan kegiatan yang merosakkan seluruh masyarakat di negeri ini. 

“Adapun jika didapati terdapat premis judi tanpa lesen (premis haram) wujud di mana-mana tempat di Negeri Kedah, pihak PDRM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dan akan melaksanakan operasi membanteras perjudian selari dengan peruntukan undang-undang.

“Inilah yang dimaksudkan dengan tidak main-main atau ambil mudah dengan judi. We walk the talk (cakap serupa bikin),” kata Sanusi.

Ini rupanya punca ustaz-ustaz takut sangat nak mohon tauliah

MAISARAH AISYA

Walaupun sudah banyak negeri yang melarang penceramah tanpa tauliah untuk berceramah di masjid dan surau, masih ada yang berdegil untuk dapatkan tauliah.

Menerusi Facebook, Dr Mohamed Hadi Abd Hamid menjelaskan bagaimana masih ramai yang tidak mendapatkan tauliah walhal ia bukanlah susah.

Secara umumnya, beliau menjelaskan bahawa mereka yang enggan memohon tauliah ni terdiri daripada tiga golongan seperti berikut.

Terlibat dengan politik kepartian

Pertama adalah mereka yang terlibat dengan politik kepartian. Golongan ini tidak pisahkan keinginan untuk menyampul sambil berpolitik atau berpolitik sambil menyampul, maka dia memilih untuk ingkar dengan peraturan tauliah.

“Mereka inilah yang biasanya berceramah ‘Ini bukan politik tuan-tuan, cuma nak peringat…’, maknanya memang nak berpolitiklah tu,” ujarnya.

Latar belakang pengajian agama yang meragukan

Golongan kedua adalah mereka yang mempunyai latar belakang pengajian agama yang meragukan.

“Boleh jadi mengaji agama pun celup-celup juga ikut kaset (kalau zaman dulu) atau Youtube jadi kalau ditemuduga ada kemungkinan golongan ini akan kantoi.

“Aku tahu ada penceramah yang baca kitab (kononnya), tapi asas Syariah pun tak tahu. Usul fiqh tak tahu, qiyas khafi tu apa, istishab tu apa.

“Ada yang berpuluh tahun baca kitab sirah sahaja, bukan ustaz pun. Bahasa Arab pun lintang-pukang. Ada pula jenis ustaz yang nak komen benda yang bukan bidang dia, nak ulas juga pasal kewangan Islam contohnya, walaupun dia bukan pakar. Mereka ini kalau ditemuduga, sahih kena sembelih juga,” tambahnya lagi.

Ada masalah sikap

Golongan ketiga adalah mereka yang berkelayakan tapi ada masalah sikap seperti suka terpekik terlolong dalam masjid, malah ada yang maki hamun atau menyanyi.

Sikap mereka inilah yang menjadi asbab mereka tidak sesuai diberi tauliah.

“Ada yang jenis cepat melenting, dia saja yang betul dan tak boleh ditegur. Ini pun biasanya terjun gaung juga.

“Mereka yang sudah ada track record yang gelap sebegini, tak perlulah nak cuba mohon tauliah. Ada juga segelintir yang terlibat dengan kontroversi tertentu melibatkan masalah peribadi, namun biasanya namanya ‘digantung’ seketika,” tambahnya.

Sebagai pemegang tauliah mengajar di negeri Selangor yang diberikan oleh JAIS, beliau hairan kenapa masih ada penceramah yang masih degil untuk memohon tauliah.

“Pada pengamatan peribadi aku, untuk mendapat tauliah, kita hanya perlu menjadi ‘normal’. Bukan jenis suka cari balah, kutuk sana, maki sini.

“Kita boleh berbeza pandangan, tapi bagi aku, peraturan tauliah ini satu keperluan juga, untuk rekod dan pemantauan.

“Dalam kewangan Islam pun ada ‘tauliah’ menurut SGPD, nak jadi peguam syarie pun kena ada ‘tauliah’. Jadi peraturan tauliah bukanlah sesuatu yang pelik,” katanya.

Namun Mohamed Hadi juga memaklumkan ada perbezaan yang memohon tauliah tapi tak diterima atas faktor lain.

Selalunya mereka ini dikatakan terlibat dalam politik dan ceramahnya mempertikaikan isu furu’ dalam agama (atau sekurang-kurangnya dilabel sedemikian walaupun hakikatnya pemohon tidaklah begitu) atau membangkitkan keresahan kepada umat Islam.