"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berbaloikah pengorbanan PH untuk MUDA?

MALAYSIA DATELINE

Pendekatan Khemah Besar Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti menimbulkan persoalan apakah PH akan mendapat keuntungan selepas DAP dan AMANAH menyerahkan kerusi kepada parti MUDA.

Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, MUDA bukan sebahagian dalam PH dan dikhabarkan enggan menggunakan logo Pakatan Harapan.

“MUDA akan menggunakan dan mempromosikan logo mereka sendiri, jadi dimana lebihnya kepada Pakatan Harapan selain elak berlakunya tiga atau empat penjuru yang akan menguntungkan Umno?” soal beliau.

Katanya, MUDA dilihat belum bersedia untuk memperlihatkan mereka sebahagian dari pasukan Pakatan Harapan namun hanya menjaja pada idea kesatuan pembangkang, dimana idea itu akan memberi kelebihan kepada MUDA, dan memberi mudarat kepada Pakatan Harapan sekiranya MUDA tidak diraikan kerana kewujudan MUDA adalah hanya mengambil segmen pengundi mereka, jadi mahu tidak mahu rundingan terpaksa dilakukan.

“MUDA juga dilihat ekslusif, bukan dalam erti keahlian mahupun batang tubuh parti terbabit tetapi dalam kerangka hubungan mereka dengan parti parti pembangkang lain.

“Hanya sesekali dilihat pemimpin MUDA sepentas dengan pemimpin Pakatan Harapan, itupun melibatkan kepimpinan tertinggi lalu bagaimana kerjasama antara peringkat akar umbi dapat dibentuk dan boleh bekerjasama untuk saling memenangkan?” soalnya lagi.

Beliau percaya ahli AMANAH khususnya pasti terkilan jika rundingan ini hanya melibatkan agihan kerusi dan “elak Umno menang” tetapi tiada nilai tambah untuk membantu calon Pakatan Harapan untuk menang berhadapan pilihan raya.

“Oleh yang demikian, MUDA memikul satu beban besar untuk membuktikan bahawa keputusan AMANAH dan DAP membuka ruang kepada mereka adalah memberi keuntungan kepada kedua belah pihak,” kata beliau.

Justeru, katanya MUDA dan Syed Saddiq khususnya perlu bekerja lebih kuat dalam mempastikan pengorbanan parti lain memberi ruang kepada MUDA yang sekaligus.

Terdahulu, parti komponen Pakatan Harapan, AMANAH dan DAP telah selesai rundingan dengan Parti MUDA pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 9 Februari lalu dengan persetujuan menyerahkan 6 kerusi milik mereka kepada parti MUDA iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Empat dari enam kerusi yang diserahkan kepada MUDA adalah kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRU14 lalu termasuklah kerusi Puteri Wangsa yang mendapat majoriti hampir 25,000 undi.

Tambahnya, penyerahan ini adalah semata mata untuk menjayakan idea penyatuan parti pembangkang, walaupun MUDA bukan sebahagian dari komponen Pakatan Harapan.

Katanya, penyerahan 6 kerusi ini oleh AMANAH dan DAP adalah satu pengorbanan yang cukup besar, apatah lagi calon bagi kerusi kerusi terbabit sudah diperuntukkan oleh kedua parti namun terpaksa diserahkan atas nama kesepakatan “Khemah Besar”.

AMANAH menyumbang 4 dari 6 kerusi terbabit, termasuklah 2 daripada sudah mempunyai calon yang merupakan orang yang sangat penting dalam AMANAH Johor, dan turut terpaksa berdepan asakan dalaman yang mempertikaikan keputusan kepimpinan yang menyerahkan kerusi yang berpotensi besar untuk menang.

“Jadi adakah pengorbanan ini berbaloi oleh Pakatan Harapan sedangkan jika tiga penjuru pun tidak menjamin kekalahan terutama MUDA masih parti yang baru dan tidak terbukti kekuatan mereka?

Pendekatan membina hubungan dengan MUDA adalah bagi mendapatkan sokongan anak muda, terutama setelah digezetkan Umdi18 akhir tahun lalu.

Ada masalah disiplin, Khairuddin dipecat jawatan SU Majlis Syura Ulama Pas

FAZLI RADZI

Pemecatan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas disebabkan masalah disiplin.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata pengguguran jawatan Mohd Khairuddin itu berkuat kuasa semalam.

Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pas ekoran masalah disiplin bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu.

“Oleh kerana pelantikan beliau (Mohd Khairuddin) (dalam) Majlis Syura (Ulama) oleh Jawatankuasa Pas Pusat, maka Pas Pusat membatalkan perlantikan itu.

“(Beliau) tak jadi Ahli Majlis Syura Ulama (kerana) nak jadi Setiausaha Majlis Syura Ulama mesti Ahli Majlis Syura, maka gugurlah (beliau) daripada Majlis Syura dan Setiausaha Majlis Syura,” dipetik BH.

Hadi berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus kini hanya ahli biasa Pas.

“Kita akan melantik individu lain bagi mengisi kekosongan itu,” tambah Hadi lagi.

Pemecatan Mohd Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu tidak sampai sebulan dia digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

Wanita maut selepas kulit kepala tercabut

Agensi

UMIDA Nazarova. FOTO Agensi

UMIDA Nazarova. FOTO Agensi

Minsk: Malang nasib seorang wanita hamil berusia 21 tahun yang meninggal dunia selepas bahagian kulit kepalanya tercabut sebaik rambutnya tersangkut pada mesin.

New York Post melaporkan insiden itu berlaku ketika mangsa, Umida Nazarova hadir ke sesi temu duga kerja di sebuah kilang di Belarus.

Nazarova yang hamil tujuh minggu memohon pekerjaan di kilang Svarmet di Borisov, yang menghasilkan wayar kimpalan dan elektrod, lapor East2West News.

Menurut ibu mangsa, Olga, ketika dibawa meninjau ke sekitar kawasan kilang, rambut anaknya itu dikatakan tersangkut di salah satu mesin perindustrian.

"Rambutnya melilit leher dan 'tertarik' ke dalam mesin itu.

"Seandainya kulit kepalanya tidak dicabut, dia akan 'tercekik' kerana rambutnya sendiri.

"Walaupun dilepaskan daripada mesin itu, Nazarova dilaporkan tidak sedarkan diri dan meninggal dunia akibat kecederaan dialami," katanya.

Dia berkata, pihak kilang sepatutnya awal-awal lagi memberi sesuatu untuk menutup kepala anaknya memandangkan rambut mangsa yang panjang.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Penyiasatan Belarus berkata, ketika kejadian, seorang pekerja menunjukkan Nazarova bagaimana peralatan itu beroperasi.

Katanya, individu itu berhenti seketika untuk membuat rekod dalam daftar.

"Sebaik pekerja itu menoleh ke belakang, dia melihat mangsa sudah terbaring di atas lantai dan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Rambutnya berpintal di dalam mesin," kata jurucakap jawatankuasa itu.

Susulan insiden itu, seorang pegawai kilang dijatuhi hukuman kerana gagal menjalankan tugas, tidak jujur dan cuai hingga menyebabkan kematian.

-Hmetro 

Khairuddin dipecat sebagai setiausaha Majlis Syura pula

Malaysiakini

Anggota parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan daripada jawatan setiausaha Majlis Syura PAS berkuat kuasa semalam.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata jawatan itu terbatal kerana jawatankuasa pusat PAS membatalkan pelantikannya sebagai anggota Majlis Syura.

“Dan nak jadi setiausaha Majlis Syura kena jadi ahli Majlis Syura. 

“Maka gugurlah (keanggotannya) daripada Majlis Syura dan (jawatan sebagai) setiausaha Majlis Syura,” kata Hadi kepada pemberita di Marang, Terengganu sebentar tadi.

Katanya, keputusan itu berkuat kuasa semalam, susulan keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat sehari sebelumnya, atas alasan masalah disiplin.

Justeru, kata Hadi, Khairuddin kini hanya seorang anggota biasa PAS.

Bulan lepas Khairuddin dipecat sebagai anggota jawatankuasa pusat PAS, tidak sampai dua bulan selepas dilantik.

Dia antara tiga pemimpin tertinggi PAS yang dilantik semula sebagai AJK bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Ketiga-tiga mereka dilihat sebagai pimpinan PAS yang lebih cenderung terhadap kerjasama politik dengan Umno berbanding Bersatu.

PAS setakat ini mahu menjalinkan kerjasama dengan kedua-dua parti. Tetapi untuk dua pilihan raya negeri - Melaka dan Johor - Umno dilihat semakin menjauh setelah  berkerat rotan berpatah arang dengan Bersatu.

Jangan melampau, akibatnya buruk - Khairuddin 

Sementara itu, dalam hantaran terbarunya sebelum Hadi mengumumkan penggugurannya sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama, Khairuddin menyatakan bahawa dia tidak akan berdiam diri.

Kata Khairuddin jika sebelum ini dia mengambil pendirian untuk tidak membalas apa-apa kenyataan namun tidak untuk kali ini.  

"Jangan dimalukan seseorang secara berulang. Sekali mungkin dia berdiam dan bersabar.

"Tapi tidak selamanya dia akan berdiam diri bila maruah dicemar dan diceroboh secara berulang. Setiap perkara itu ada batasannya.

“Jangan melampaui batas kerana akibatnya sangat buruk," katanya tanpa merujuk secara khusus.

Malaysiakini sudah menghubungi Khairuddin dan sedang menunggu maklum balasnya.

Mahkamah beri Najib 14 hari bagi dedahkan AS$681 juta aset 1MDB

Hidir Reduan Abdul Rashid

Najib Razak diberi masa 14 hari dari tarikh penyampaian injunksi Mareva untuk membuat pendedahan bertulis kepada 1MDB mengenai lebih AS$681 juta dalam aset.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, tidak jelas sama ada perintah mahkamah - yang dikeluarkan dua hari lalu berhubung tindakan sivil RM23 bilion oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadapnya - telah disampaikan kepada bekas perdana menteri itu atau belum.

Tempoh masa 14 hari itu adalah antara terma dalam injunksi Mareva yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lalu, bagi mengekalkan status quo antara pihak dalam tindakan undang-undang, sementara menunggu tindakan sivil itu diselesaikan.

The Edge sebelum ini melaporkan bahawa kesan daripada perintah itu ialah Najib - yang juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB - diarahkan untuk tidak melupuskan mana-mana bahagian aset AS$681 juta - sama ada di Malaysia atau di luar negara.

Kesan lain daripada perintah itu ialah bekas menteri kewangan itu hanya dibenarkan mengeluarkan sehingga RM100,000 sebulan daripada akaun banknya untuk menampung perbelanjaan atau perbelanjaan sara hidupnya.

Najib sebelum ini berhujah bahawa AS$681 juta yang masuk ke dalam akaun banknya adalah derma daripada keluarga diraja Arab dan ia telah dipulangkan.

Injunksi Mareva yang dikeluarkan adalah berhubung satu daripada 22 saman sivil yang dilancarkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International tahun lepas, menyasarkan mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.

Dalam tindakan sivil ketika ini, plaintif ialah 1MDB dan empat anak syarikatnya - 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited yang berpangkalan di British Virgin Islands (yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investment Limited).

Najib disenaraikan sebagai defendan pertama dalam kalangan lapan defendan dalam saman sivil RM23 bilion itu di mana mahkamah memberikan injunksi Mareva.

Menurut salinan perintah injunksi Mareva, Najib dikehendaki mengesahkan dalam afidavit kepada 1MDB dan empat anak syarikatnya, nilai, lokasi dan butiran aset.

"Bahawa defendan pertama (Najib), mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada plaintif pertama dan plaintif kelima berkenaan dengan aset-asetnya sehingga pada nilai AS$681,000,000, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama (dengan Defendan-Defendan yang lain atau sebaliknya), dan di bawah penerima-penerima namaan (‘nominees’) yang memegang bagi pihaknya, memberikan nilai, lokasi dan segala maklumat berkenaan dengan aset-aset dan maklumat tersebut hendaklah disahkan melalui suatu afidavit dan hendaklah disampaikan kepada peguamcara plaintif pertama dan plaintif kelima dalam masa empat belas (14) hari selepas perintah ini disampaikan kepada Defendan Pertama," kata perintah itu.

Malaysiakini cuba menghubungi peguam Najib untuk mengetahui sama ada perintah mahkamah itu telah disampaikan kepadanya atau belum.

Mahkamah telah menetapkan 21 Feb untuk mendengar hujah Najib jika dia cuba mengetepikan injunksi Mareva.

Pada Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi pertuduhan rasuah berkaitan RM42 juta yang diterimanya daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib pada 8 Dis 2021. Najib sedang menunggu rayuannya terhadap keputusan yang akan didengar di mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan.

PKR tunggu respons MUDA selepas tawar tiga kerusi

FAZLI RADZI

PKR sedang menanti jawapan di pihak Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) selepas menawarkan parti itu tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tawaran kerusi tersebut dibuat selepas tiga siri rundingan dengan parti diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu.

“Berhubung isu agihan kerusi, PKR telah mengadakan tiga siri rundingan bersama dengan MUDA selari menepati hasrat yang dinyatakan oleh Majlis Presiden PH dan PH Johor.

“Dalam siri rundingan tersebut, masing-masing telah memberi pandangan secara jujur dan terbuka.

“Hasil dari rundingan ini, PKR telah menawarkan tiga kerusi kepada MUDA dan sedang menunggu maklumbalas berhubung tawaran tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor nanti.

MUDA bertanding enam kerusi hasil kesepakatan AMANAH, DAP

FAZLI RADZI

MUDA akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hasil kesepakatan dengan AMANAH dan DAP.

Kesemua kerusi terbabit ialah DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Keputusan itu telah dimuktamadkan selepas beberapa siri mesyuarat dan perbincangan pelbagai hala melibatkan AMANAH, DAP dan MUDA untuk tujuan pengagihan kerusi.

Menerusi kenyataan bersama ketiga-tiga parti tersebut hari ini, rundingan rasmi telah bersetuju dengan tiga matlamat utama.

Pertama, katanya, memastikan tidak ada pertindihan kerusi antara calon AMANAH,
DAP dan MUDA di setiap kawasan.

Kedua, menumpukan usaha dan tenaga kerja jentera AMANAH, DAP dan MUDA untuk memenangi setiap calon.

Ketiga, kata ketiga-tiga parti itu, bersama-sama menubuhkan kerajaan Negeri Johor demi
membantu rakyat mencapai impian mereka.

“Ini bermakna bagi menghadapi PRN Johor 2022, AMANAH, DAP dan MUDA bakal bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya walaupun MUDA tidak menyertai Pakatan Harapan.

 
“Ini serasi dengan prinsip ‘khemah besar’ untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan BN/PN,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, pimpinan AMANAH, DAP dan MUDA percaya bahawa pakatan pilihan yang dijalin
menerusi rundingan tersebut akan membawa suara rakyat Johor dengan cemerlang selaras
dengan agenda Johor Bangkit.

Kesemua parti terbabit menegaskan PRN Johor adalah untuk masa depan rakyat dan
bukanlah perebutan kuasa dan jawatan.

Sementara itu, kenyataan sama memberitahu rundingan antara MUDA dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN Johor.

“Rakyat Johor berhak mendapat kepimpinan yang mahukan Johor Bangkit menjadi sebuah negeri yang maju, beramanah, bermaruah dan berintegriti,” kata kenyataan itu lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor nanti.

Wanita Pakistan rela kepala dipaku bomoh untuk dapat anak lelaki

AFP

PESHAWAR: Seorang wanita mengandung di Pakistan merelakan kepalanya dipaku oleh bomoh sebagai jaminan beliau akan melahirkan anak lelaki.

Di Asia Selatan, anak lelaki dianggap sebagai jaminan keselamatan kewangan dan lebih menguntungkan ibu bapa berbanding anak perempuan.

Terdapat ramai bomoh yang mengambil kesempatan terhadap penduduk di Pakistan, dengan mendakwa amalan mereka berteraskan fahaman Sufi, yang popular di negara itu, walaupun dilarang dalam Islam.

Doktor yang merawatnya, Haider Khan, memberitahu AFP bahawa wanita berkenaan datang di hospital di barat laut Peshawar selepas gagal mencabut sendiri paku berkenaan menggunakan playar.

“Dia masih sedar sepenuhnya tetapi dalam keadaan amat sakit,” katanya yang berjaya mengeluarkan paku berkenaan.

“Imbasan X-ray menunjukkan paku sepanjang lima sentimeter (sm) itu menembusi bahagian atas dahi wanita berkenaan tetapi tidak kena pada otaknya.

“Tukul atau objek berat digunakan bagi menghentam masuk paku itu, tambahnya.

Tambah doktor itu, ibu kepada tiga anak perempuan itu turut memaklumkan kepadanya bahawa dirinya kini sedang mengandungkan anak perempuan keempat.

Wanita itu pada mulanya memberitahu kakitangan hospital bahawa dia sendiri memasukkan paku itu di kepalanya atas nasihat seorang bomoh tetapi kemudian mengakui bomoh berkenaan yang melakukannya.

Ketua Polis Peshawar, Abbas Ahsan, memberitahu AFP bahawa pihaknya kini sedang menjejaki wanita berkenaan untuk mencari dan menyoal siasat bomoh terbabit.

“Kami sudah mendapatkan gambar kamera litar tertutup (CCTV) dari hospital dan harap dapat menghubungi wanita berkenaan.

“Kami akan tahan bomoh terbabit dalam masa terdekat,” katanya.

Najib ‘kalah’ satu lagi kes mahkamah

A KADIR JASIN

Tidak banyak orang tahu atau sedar yang Mohd Najib Abdul Razak “kalah” satu lagi kes dalam mahkamah.

Semalam (8 Februari), Mahkamah Tinggi (Bahagian Perdagangan) Kuala Lumpur mengeluarkan injunksi ex-parte Mareva bagi membekukan harta bernilai AS$681 juta (kira-kira RM2.85 bilion pada kadar tukaran hari ini) daripada sumber-sumber 1MDB dalam akaun Najib.

Perintah itu dimohon oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan empat anak syarikatnya.

Perintah terhadap Najib itu juga menghadkan pengeluaran daripada akaunnya kepada RM100,000 sebulan. Perintah itu merangkumi aset di dalam dan luar negara.

1MDB meminta perintah itu bagi menyekat sebarang pengaliran keluar AS$681 juta yang dituntut daripada Najib dan beberapa orang lain.

Mareva adalah perintah mahkamah yang membekukan harta seseorang yang ada tindakan mahkamah ke atasnya bagi menyekat pemindahan harta, termasuk duit yang disimpan dalam bank atau institusi-institusi kewangan lain.

Pesuruhjaya Kehakiman, Atan Mustaffa Yussof Ahmad yang membuat perintah itu menetapkan 21 Februari sebagai hari pendengaran jika terdapat bantahan daripada Najib.

Cerita guru kami

Muhaimin Sulam

Sepanjang kehidupan, mungkin ada ratusan guru yang mengajar kita dalam sistem pendidikan dilalui. Dari prasekolah hingga ke universiti, jumlahnya mungkin tidak terhitung.

Namun antara mereka yang memang berbekas benar dalam hidup kita.

Tulisan ini mungkin bersifat peribadi tetapi harus dibaca dalam konteks yang lebih luas. Sejarah manusia sebenarnya tidak banyak berbeza, kecuali bagaimana ia diurus dengan apa yang ada di sekelilingnya.

Mengingatkan bahawa masa terus berlalu dan tidak pernah menunggu sesiapa, saya memilih untuk menjejak guru-guru yang pernah mengajar saya. Setelah beberapa orang guru saya pergi menemui Yang Maha Pencipta, ralat sungguh jika tidak sempat menemui mereka sewaktu sihat dan selapang begini.

Salah seorang daripada mereka ialah guru geografi kami.

Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah pada 15 tahun lalu, iaitu sebelum saya berangkat ke bumi Inggeris. Ketika itu, dia memesan agar dibawa bersama buku saya, Diari Lokap Black 14.

Di dalam buku itu tercatat namanya di bahagian penghargaan sebagai antara individu yang memberi inspirasi dalam hidup saya.

Rumah guru kami di Kampung Pulai Bergading itu tidak jauh dari simpang tiga Malim Nawar di jalan Ipoh-Kampar. Sering juga saya melewati tempat tersebut. Namun kerana kesibukan memenuhi tuntutan hidup, banyak perkara penting terpaksa diketepikan.

Hari itu, saya menjejak guru geografi tingkatan enam yang mengajar kami di Asrama Perak di Ipoh. Tidak jauh selepas masuk ke dalam lorong sempit, saya terlihat sebuah rumah lama.

Setelah lebih 30 tahun berlalu, memandang rumah itu, ingatan saya cepat kembali. Tangga batu itulah tempat kaki kami beramai-ramai melangkah naik.

Ketika itu tingkap depan rumah tersebut ditutup untuk menempatkan pelamin pengantin bersanding. Guru kami itu menjadi raja sehari. Kami datang satu bas dari Ipoh.

Tak pernah gagal datang

Kini rumah tersebut kelihatan tidak berubah sejak pertama kali kami pergi beramai-ramai dulu.

Ia tidak lagi dihuni. Guru kami itu sebaliknya tinggal di rumahnya sendiri yang terletak kira-kira 30 meter di belakang kediaman kosong berkenaan.

Di hadapan rumah, mata saya memandang kereta yang berselimut kain. Itu kereta Datsun Sunny 120Y. Orang kampung menggelarnya dengan pelbagai nama seperti Datsun buah kana, Datsun tonggek, dan sebagainya.

Itulah pertama kali saya lihat kereta itu sejak sekian lama. Kereta itu mengingatkan saya tentang kisah tiga dekad lalu. Guru geografi berulang-alik mengajar dari Malim Nawar ke Ipoh hanya dengan motosikal Suzuki cub.

Jika hujan, baju hujan yang disarung hanya tidak melencunkan, tetapi dia tetap basah. Dia tidak pernah dia gagal untuk datang mengajar.

Suatu hari kami bertanya mengapa dia tidak naik kereta saja sedangkan guru kami itu lulusan universiti. Sudah tentu dia mampu memiliki kereta.

Kata guru kami, di rumahnya sudah ada kereta tapi disimpan saja. Kami hairan dengan jawapannya itu.

"Mengapa?" tanya kami.

"Saya dah berkali-kali gagal ujian lesen memandu," katanya jujur. Kami pun ketawa ramai-ramai.

Sehingga kami habis pengajian di sekolah tersebut, guru kami itu tidak pernah kelihatan memandu kereta tersebut.

"Jika tiada lesen, mengapa beli kereta?" Kami seperti mahu menasihati guru kami.

"Begini," katanya membuka rahsia, "sebenarnya kereta ni saya beli untuk bawa mak saya ke klinik atau hospital. Walaupun saya tak ada lesen memandu, saya boleh minta orang lain guna untuk menghantar mak saya ke klinik kalau ada kecemasan atau keperluan."

Jawapan itu menyebabkan kami terkedu. Semua kami diam seketika. Kata-kata itu memang memaku kami jauh ke dalam sanubari. Hingga kini, saya masih ingat kata-kata itu.

Saya yakin kawan-kawan saya juga ingat cerita tersebut.

Ada titisan ilmunya

Jika segmen ini sebuah filem, tentulah latar belakang muziknya adalah lagu Kasihnya Ibu yang boleh menyiat-nyiat hati dan mengalirkan hangat air mata ke pipi. Tetapi ini hanyalah sebuah karangan tanpa muzik.

Guru geografi kami itu sangat rapat dengan kami. Pengajarannya menarik. Dia guru yang mengajar dengan ikhlas dan penuh kesungguhan. Ada sakti yang tidak boleh dinafikan keajaibannya.

Ia mungkin menjadi sebab saya meneruskan pengajian dalam bidang geografi di Universiti Malaya. Dalam ilmu geografi saya menemukan makna kehidupan di bumi Tuhan ini.

Dari gurun pasir Pinnacle hingga fiord di Flam, Norway hingga lembangan Sungai Mekong, ada titisan ilmunya di situ.  

Setelah saya terlibat dalam politik, geografi itu berkembang jauh hingga merentasi pelbagai disiplin ilmu dan ruang kehidupan. Sewaktu di bangku sekolah, kami hanya didedahkan soal geografi fizikal, geologi, kartografi dan geografi kemanusiaan.

Kini geopolitik adalah salah satu bidang yang sangat menarik difahami terutama para pencatur politik dunia.

Tingkat atas kelas kami ialah asrama lelaki. Kadangkala selepas cikgu datang ke kelas, ada rakan kami yang masih tidur di asrama. Melihat jumlah kehadiran yang kurang, dia mengarahkan ketua kelas memanggil dan mengejutkan mereka yang masih tidur.

Meskipun begitu, guru kami itu tidak marah. Dia cuma bagi nasihat agar kami belajar bersungguh-sungguh. Bahkan digosok-gosoknya rambut dan kepala kami dengan tangannya.

Agaknya dia tak kuasa mahu memarahi budak-budak yang sudah besar panjang. Berada di tingkatan enam, sepatutnya kami tahulah buruk baiknya sesuatu perkara.

Dipendekkan cerita, kini guru saya sudah bersara.

Langit itu luas

Kini dia bukan sekadar memiliki kereta dan lesen memandu kereta, tetapi pernah memiliki kapal terbang persendirian. Dia juga mempunyai lesen membawa kapal terbang awam dan persendirian.

"Cikgu boleh bawa Boeing?" saya bertanya mahu kepastian.

"Ya, boleh Boeing 707," jawab guru dengan yakin.

Guru saya itu juga menjadi pengajar bertauliah untuk juruterbang awam dan persendirian yang perlu memperbaharui lesen mereka setiap enam bulan. Sekarang aktif dengan Kelab Aero Perak sebagai ahli jawatankuasanya dan meminati aktiviti kapal terbang kawalan jauh.

Sembang kami berkisar soal sekolah yang telah menjadi sejarah, dan isu teknologi kapal terbang. Guru saya itu membawa saya ke dimensi baru – penerbangan.

Kami bercerita mengenai hal-hal mengendalikan pesawat persendirian, payung terjun, pesawat kawalan jauh termasuk dron. Itu dunia yang agak asing saya.

Memang langit itu luas. Banyak yang boleh kita teroka di celah-celah keluasannya yang terhampar saujana mata memandang. Bolehlah melihat bagaimana gunung-gunang di Lembah Kinta itu ditarah, pembalakan di hutan Belum, sawah padi di kampung, Sungai Perak mengalir duka dan segala khazanah negara dari mata helang yang terbang melayang.

Itulah cerita guru kami, Kapt Dr Ahmad Damanhuri Ibrahim.

Pengesahan Mahiaddin khabar sedih buat ‘kluster mahkamah’ Umno

SHAHBUDIN HUSIN

Mahiaddin Md Yasin akhirnya mengesahkan bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan meninggalkan kerajaan atau menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Di sebalik cabaran berkali-kali oleh Najib Razak khususnya dan hubungan Bersatu serta PN yang makin tegang dengan Umno, Mahiaddin nampaknya kekal tenang dan tidak mudah melatah.

Malah, bekas Perdana Menteri itu juga berkata, tindakan menarik sokongan atau menjatuhkan Perdana Menteri pada ketika ini adalah suatu tindakan bodoh, tidak bertanggungjawab serta pastinya tidak disukai rakyat.

“Meninggalkan kerajaan dan memaksa supaya pilihan raya umum diadakan semasa wabak Covid-19 ini akan mencetuskan tindak balas negatif daripada orang ramai.

“Bersatu bukan parti yang tidak bertanggungjawab, malah sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dan negara.

“Supaya jangan rakyat terkorban disebabkan langkah bodoh kita. Bertindak sebegitu hanya untuk kepentingan parti diri semata-mata.

“Nanti rakyat akan kata ‘what the hell are you trying to do? In this Omicron. Do you want to see us die?’ Itu soalannya,” kata Mahiaddin lagi.

Dengan penegasan Mahiaddin ini, sekaligus ia merupakan berita yang menggembirakan buat Perdana Menteri kerana beliau kini seolah-olah tiada gugatan lagi.

Sedemikian, beliau boleh menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pelbagai masalah yang sedang melanda negara.

Bersama pengakuan Mahiaddin itu, disertai dengan MoU yang telah termeterai antara Ismail Sabri dengan PH yang menjanjikan kestabilan serta sokongan kepada kerajaan sekurang-kurangnya sehingga Julai tahun ini, nampaknya tiada apa-apa lagi yang menggugat kedudukan Perdana Menteri.

Lagi pun, PH juga memerlukan lebih banyak masa sebelum mereka benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan rakyat dalam pilihan raya.

Maka, tidak mustahil, walaupun MoU yang dimeterai hanya sehingga Julai, sokongan yang tidak ke arah menjatuhkan kerajaan akan berlanjutan lagi sehingga penggal Parlimen berakhir pada Mei 2023 akan datang.

Dengan itu, selain Ismail Sabri akan terus kekal sehingga hujung penggal, kerajaan Keluarga Malaysia yang antaranya menggabungkan Umno dan Bersatu juga nampaknya mampu bertahan sehingga tempoh yang sama.

Begitu pun, perkembangan ini tentunya merupakan suatu berita sedih buat Zahid Hamidi, Najib Razak dan sebahagian kepimpinan Umno sedia ada, terutama yang tiada jawatan dalam kerajaan serta kumpulan yang pro kepada “kluster mahkamah”.

Dengan Ismail Sabri dilihat mampu bertahan sehingga ke tahun 2023, bermakna pemilihan Umno mesti diadakan terlebih sebagaimana tempoh yang diberi RoS berakhir iaitu sebelum 29 Disember tahun ini dan selepas itu barulah PRU-15 bakal dilangsungkan.

Sebarang usaha oleh mana-mana pihak dalam Umno untuk memaksa PRU-15 diadakan lebih awal selepas ini, dengan sendirinya jadi tidak relevan lagi.

Bahkan, dengan kes Covid-19 yang melonjak semula, cubaan berbuat begitu hanya akan menjadikan mereka dicop “budak jahat” oleh rakyat.

‘Kalau sumpah pemimpin Pas lompat masuk DAP lagi bagus’

FAZLI RADZI

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mengaitkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan ahli sihir.

Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berpendapat jika benar Zahid ahli sihir adalah lebih baik beberapa pemimpin Pas disumpah jadi ‘katak’.

Beliau menegaskan negara ini akan aman jika hal tersebut menjadi kenyataan.

“Ia bermula, bila Ustaz Hadi kata, Umno ibarat itik yang patah kaki. Lantas Zahid menyindir Hadi, supaya jadi ahli zoologi. Ketua Pemuda Pas berang dan tuduh Zahid ahli sihir.

“Kalau betul Zahid ahli sihir, elok sumpah sahaja beberapa pemimpin Pas jadi katak supaya senang mereka lompat masuk Bersatu. Kalau lompat masuk DAP lagi bagus. Aman Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Ahmad Fadhli menyelar kenyataan Ahmad Zahid yang menyindir dengan mengesyorkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

Katanya, walaupun kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini diketahui kepada siapa ia dituju tetapi Pemuda Pas tidak bingkas membalas menyahut dan mencabar.

Jelas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, Pemuda Pas mengambil sikap sedemikian memandangkan masih ramai dalam kalangan pimpinan Umno yang tahu menilai erti muafakat.

“Namun apabila Presiden kami membalas kiasan seorang veteran UMNO yang menyifatkan Pas cuba mengajar itik berenang, hanya sekadar membalas sahaja, bukan mengajar itik berenang tetapi mengubati itik yang kakinya sakit, marah benar Datuk Seri (Ahmad Zahid), sehingga mencadangkan Presiden kami lebih baik jadi ahli zoologi.

“Jika membalas begitu pun sudah dilabel ahli zoologi, Datuk Seri ahli apa? Ahli sihir yang sekejap uzur ke mahkamah kemudiannya sihat sejahtera memikul beras?

“Atau Datuk Seri lah sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah, bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, kelmarin.

Mengulas lanjut, Puad yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan berkata, Zahid tidak akan melakukan ‘sumpahan’ terhadap pemimpin Pas agar menjadi ‘katak’.

Beliau berpendapat Umno tidak jahat setahap itu memandangkan Pas rakan politik dalam Muafakat Nasional (MN).

“Tetapi Zahid tidak akan buat begitu. Hakikatnya dia bukan ahli sihir. Lagipun Umno tidak sejahat itu bila berkawan,” tegasnya lagi.

Kedudukan Bersatu, Muhyiddin tak menentu menjelang PRN Johor

Ahimsya Karu

PETALING JAYA: Kedudukan Bersatu dan Presidennya Muhyiddin Yassin dilihat berada dalam keadaan yang tidak menentu ketika persediaan menjelangnya pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata penganalisis politik.

Menurut penganalisis, parti itu mempunyai perjuangan yang sukar mendapat sokongan daripada pengundi bukan Melayu selepas keluar daripada Pakatan Harapan (PH) tahun lalu dan kegagalan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor – negeri kelahiran Muhyiddin – akan memberi kesan terhadap masa depan parti itu dan presidennya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Muhyiddin tertekan untuk mencapai keputusan “yang hebat” kerana beliau berasal dari Muar serta merupakan Ahli Parlimen Pagoh.

Katanya, kepimpinan Muhyiddin akan dipersoalkan sekiranya Bersatu tidak boleh melakukan lebih baik di Johor berbanding prestasi buruknya dalam PRN Melaka pada November apabila Perikatan Nasional (PN) – gabungan pimpinan Bersatu – hanya menang dua daripada 28 kerusi yang ditandinginya.

Seorang profesor di Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, Bersatu akan bergelut tanpa undi bukan Melayu yang diraih melalui PH pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Menurutnya, perjuangan pelbagai bangsa menentang rasuah adalah salah satu faktor pendorong kemenangan PH dalam PRU dan tanpa PH, Bersatu tidak mungkin mendapat tahap sokongan yang sama seperti 2018.

Katanya, keputusan Muhyiddin untuk tidak bertanding semula di Gambir mungkin berpunca daripada kehilangan undi bukan Melayu.

Manakala itu Oh berkata, keputusan itu boleh ditafsirkan sebagai tanda kelemahan atau kurang keyakinan dan menyebabkan kepimpinan Muhyiddin menjadi persoalan.

Data pilihan raya menunjukkan 41% sokongan yang diterima oleh Muhyiddin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir datangnya daripada pengundi Cina dan India.

Fauzi berkata, Muhyiddin perlu menjelaskan mengapa beliau memilih untuk tidak bertanding, bukannya hanya berdiam diri. Beliau boleh menggunakan keadaan kesihatannya sebagai alasan yang boleh diterima.

PRN Johor bagi memilih 56 anggota DUN mesti diadakan sebelum 23 Mac. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat pada Rabu untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.

Wanita kebas suami kakak sendiri

KOSMO 

JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia menjadi tular apabila video luahan perasaan suami dirampas adik sendiri mendapat perhatian netizen, lapor Suara.com, hari ini.

Menerusi akaun@rdearfirly, wanita itu memberitahu,  dia berasa kecewa apabila mengetahui orang ketiga dalam rumah tangganya adalah adik kandung sendiri.

“Saya tidak mahu menghina adik saya yang kini sudah menjadi perampas suami orang (pelakor) kerana itu sangat menjatuhkan maruahnya.

“Mungkin mereka sudah saling sayang menyayangi,” luah wanita itu yang berkongsi foto sewaktu majlis perkahwinannya.

Tambah wanita itu, adiknya bersikap tidak tahu malu dan tiada perasaan bersalah apabila secara terang-terangan mengirim mesej mesra buat suaminya di laman Facebook.

“Hati saya kecewa kerana orang ketiga bukan orang lain tetapi adik sendiri.

“Suami pula melayannya dan memberi amaran agar tidak menceritakan hubungan ini kepada sesiapa,” jelasnya.

Namun begitu, terdapat kejutan dalam kisah tersebut  apabila rupa-rupanya suami wanita itu ialah bekas kekasih adiknya dan mereka pernah bercinta selama dua tahun.

Malah, selepas video luahan hati ini mendapat tontonan lebih 20 juta, si adik membuat permohonan maaf dan memohon agar kakaknya memadamkan status tersebut.

Kisah persis drama televisyen ini mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang keliru siapakah sebenarnya yang bersalah.

“Kalau bercinta dengan kakaknya, kenapa kahwin dengan adiknya? Pening,” komen seorang pengguna TikTok. – Agensi

NGO rayu Agong isytihar darurat, tangguh PRN Johor

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat di Johor bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pengisytiharan darurat perlu dikuatkuasakan ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 yang kini mencecah sehingga lima angka.

“Atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 termasuk kebimbangan dari varian Omicron seperti yang dimaklumkan Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan, patik merayu pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, negara dikejutkan dengan peningkatan kes Covid-19 yang naik mendadak sehingga 10,089 kes dan mengundang kebimbangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut memberi amaran bahawa kes akan terus melonjak kepada 15,000 dalam masa terdekat.

Sementara itu Mazlan berkata, pengisytiharan darurat pernah dilakukan ketika PRN Sarawak, PRK Batu Sapi dan PRK Gerik atas alasan yang sama.

Justeru katanya, keutamaan ketika ini adalah melaksanakan langkah-langkah segera bagi mengekang Covid-19 yang kembali meningkat termasuk mengehadkan pergerakan rakyat melalui SOP dan lain lain.

“Nyawa rakyat adalah segala-galanya, manakala mandat yang diberi rakyat boleh disekalikan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya lagi.

Peluang untuk menerapkan minda endemik

NIK MOHAMAD HASYUDEEN

Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan unjuran bilangan kes Covid-19 berdasarkan kadar jangkitan 1.2 dan juga 1.6. Ianya lebih cepat naik kerana varian Omicron memang sifatnya mudah merebak. Kadar positiviti pun sudah melebihi 5% memggambarkan lebih banyak kes di luar sana yang belum dikesan. Ada kenaikan pada kadar kemasukan ke hospital.

Jika kita bandingkan dengan kes di Amerika Syarikat, itulah yang akan kita hadapi di sini. Bilangan kes tidak meningkatkan kematian dengan mendadak. Jadi tak ada isu Kementerian Kesihatan (KK) nak naikkan bilangan kes supaya kita tidak beraya di kampung. Lihatlah data-data yang sama di Afrika Selatan, UK dan juga Australia, coraknya sama.

Apa yang menarik ialah jumlah kemasukan ke hospital. Walaupun jumlah kes Omicron jauh lebih besar berbanding dengan Delta dan varian sebelumnya, kadar kemasukan hospital Omicron rendah. Namun, oleh kerana bilangan kes adalah besar, risiko kemasukan ke hospital dan ketidakcukupan katil serta bilik ICU tetap ada.

Pada pandangan saya, ada baiknya pihak KK mula kongsikan bilangan kes dan bilangan kemasukan ke hospital di rajah yang sama. Ini akan memudahkan rakyat faham nombor mana yang lebih kritikal, bilangan kes atau pun kemasukan ke hospital. Memisah-misahkah data akan memisahkan cerita yang dibawa oleh data.

Kita kena menyediakan rakyat untuk melihat Covid-19 sebagai endemik. Macam rasuahlah, dah endemik sehingga orang yang dah disabitkan kesalahan di mahkamah pun masih dipuja-puja dan mahu diangkat lagi. Fakta kes tidak dipedulikan. Yang penting, nak naikkan supaya masyukk lagi.

Itulah sifat-sifatnya apabila satu-satu perkara sudah endemik. Jadi, tak mustahil kita hanya perhatikan sahaja bilangan kemasukan ke hospital dan tidak perlu lagi membuat ujian Covid-19 sama seperti kita tidak diuji di dalam kes-kes selsema yang lain.

Untuk menjadikan rakyat lebih faham berkenaan apa yang harus ditumpukan bila Covid-19 sudah dianggap endamik, KK juga kena menukar naratifnya. Sudah lebih 2 tahun kita ditakut-takutkan dengan bilangan kes, penutupan aktiviti ekonomi dan sosial dan penguatkuasaan undang-undang yang membezakan kedudukan rakyat. Mulai sekarang kena cerita bagaimana kita kena hidup dengan Covid-19 termasuk meyakinkan rakyat berkenaan vaksin dan penggalak. Keluarkan lebih banyak data, jika tidak rakyat akan mula mencari bomoh-bomoh.

Sebagai rakyat, kita pun kena cari ilmu yang berteraskan data. Boleh juga ikuti ulasan harian Dr John Campbell, seorang doktor pesara yang mengulas perkembangan Covid-19 berdasarkan data-data yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kredibiliti yang tinggi. Walaupun beliau tidak semestinya sentiasa betul, beliau jauh lebih baik dari orang-orang yang membincangkan berkenaan Covid-19 tanpa apa-apa asas.

Saluran Youtube beliau adalah di sini https://youtube.com/c/Campbellteaching

Semoga Allah berikan kita semua taufik dan hidayahNya agar kita berkelakuan dengan kelakuan yang melayakkan Allah mengangkat Covid-19 dari masyarakat kita. Mungkin kita boleh bermula dengan membenci rasuah, korupsi dan salahguna kuasa. Susah sangat ke?

Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Ini adalah tulisan di facebook beliau.

PRN Johor: Jangan pilih pimpinan korup BN-PN

MOHD ALI HASHIM

Rakyat negeri Johor diingatkan supaya jangan tersilap langkah sekali lagi dalam membuat pilihan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor kali ini.

Kesilapan yang dibuat akan menyebabkan rakyat sendiri terseksa sekaligus menjadikan mereka sebagai mangsa untuk diratah secara mentah oleh pimpinan politik yang terlalu gilakan kuasa semata-mata bagi memastikan survival politik mereka terus kekal berkuasa.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sembrong, Mohd Shahrun Radzi Salehudin berkata, sejak pemerintahan kerajaan BN-PN, pelbagai kerosakan ketara telah terserlah, apa lagi dengan nafsu yang tinggi bagi memastikan tampuk pemerintahan sekali lagi didominasi oleh parti itu.

“Sejak pengkhianatan ‘Langkah Sheraton’ kita dapat lihat betapa kerosakan besar berlaku dalam masyarakat apabila banyak pimpinan politik diisi temolok mereka dengan menguasai GLC dan seumpamanya.

“Begitu juga dengan kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan legasi yang ditinggalkan dengan menjadikan PN pula sebagai medium untuk menguasai kleptokrasi yang telah sekian lama menjadi amalan.

“Rakyat negeri Johor wajib membuat reformasi kali ini dengan menolak secara total kepimpinan Umno-BN maupun PN sekiranya tidak mahu nasib rakyat terus dihimpit dengan pelbagai masalah ekonomi dan sara hidup seperti mana sedia ada tatkala ini,” ujar beliau ketika dihubungi.

Malah katanya, PH mampu untuk membawa pembaharuan kepada rakyat negeri Johor dan mandat yang ada di tangan rakyat Johor khususnya pengundi muda haruslah digunakan semaksima mungkin dalam PRN kali ini.

Beliau turut menyeru agar pengundi Johor keluar beramai-ramai menolak kepimpinan BN-Pas maupun PN dari terus menjadikan rakyat sebagai mangsa untuk mengkayakan pimpinan politik kumpulan tersebut.

Beliau yang juga merupakan Ketua PKR Cabang Sembrong turut berkata, PH mampu untuk mengulangi kemenangan dalam PRN kali ini sekiranya rakyat sedar bahawa PH boleh membawa lebih banyak reformasi yang memanfaatkan rakyat jika dibandingkankan dengan omongan kosong kerajaan sedia ada.

Zuraida tunggu keluar atau dikeluarkan Bersatu?

Mohsin Abdullah

Zuraida Kamaruddin jarang “make the news”, walaupun memegang jawatan menteri sama ada dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin mahupun Ismail Sabri Yaakob.

Namun, bila beliau mendapat perhatian umum melalui media massa dan media sosial, lazimnya ia merupakan “liputan yang kurang me2nyenangkannya”. Pendek kata “negatif”.

Contoh: Semasa hari-hari awal pandemik Covid-19 dulu, Zuraida selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipersenda serta dibidas pelbagai pihak kerana arahannya menyembur ‘sanitizer’ ke atas jalan raya yang dianggap “kerja sia-sia dan membazir”.

Beliau juga dituduh cari publisiti murahan kerana menyertai satu operasi sanitasi lengkap dengan sut peralatan perlindungan diri – PPE – dengan pelindung muka tertera perkataan “MENTERI”.

Ada juga ketika beliau mengenakan pelindung muka tanpa memakai pelitup muka, lantas ‘dibelasah’ orang ramai .

Baru-baru ini beliau ditertawa dan dikritik kerana kenyataannya mengenai Orang Utan meskipun menjelaskan beliau “bergurau” semasa kata apa yang beliau kata mengenai haiwan itu. Sebenarnya ada macam-macam hal lagi tetapi cukuplah sekadar itu.

Cuma sekarang khalayak sedang disajikan dengan beberapa laporan mengenai Zuraida dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baharu ditubuhkan. Ini bagi saya perlu diberi perhatian kerana mengambil kira keadaan politik negara yang terus berkeramok dan berserabut.

Tentu anda sudah baca laporan yang mengaitkan Zuraida dengan PBM. Ringkasnya spekulasi timbul beliau akan tinggalkan (atau dipecat?) Bersatu pimpinan untuk menyertai PBM.

Zuraida sudah pun dikeluarkan daripada WhatsApp grup pimpinan tertinggi Bersatu, yang turut disertai presidennya Muhyiddin Yassin.

Beliau juga dilaporkan sudah lama “memencilkan diri” daripada Bersatu dan tidak menghadiri mesyuarat penting parti. Zuraida pula berkata tugasnya sebagai menteri tidak mengizinkan beliau menghadiri mesyuarat Bersatu.

Sekarang beliau akan luangkan masa untuk parti. Sehingga ini, kata beliau, tidak ada apa-apa pemberitahuan kepadanya daripada Bersatu. Oleh itu beliau akan terus duduk dalam Bersatu seperti biasa. ‘Business as usual’ gamaknya.

Melihat apa yang dilaporkan dan apa yang beliau katakan, kini saya teringat apa yang berlaku pada hari-hari terakhir Zuraida dalam PKR sebelum masuk Bersatu. Imbau ketika itu beliau selaku Naib Presiden PKR bersama Timbalan Presiden Azmin Ali berperang dengan Anwar Ibrahim.

Zuraida juga ketika itu tidak menghadiri mesyuarat penting pimpinan PKR atas alasan sibuk dengan tugasan lain (akhirnya beliau bersama Azmin dipecat PKR). Kata-kata dan tindakan beliau ketika itu dalam PKR sama dengan apa yang beliau kata dan lakukan sekarang dalam Bersatu. Adakah sejarah akan berulang? Waullahualam.

Ura-ura Zuraida menyertai PBM tidak lah memeranjatkan. Sebilangan besar ahli parti itu datangnya dari Penggerak Komuniti Negara sebuah NGO yang dikaitkan dengan beliau. Beberapa pemimpin PBM pernah menganggotai PKR dan menyebelahi tim Azmin – Zuraida. Malah setiausaha agung penaja PBM, Nor Hizwan Ahmad ialah bekas setiausaha politik Zuraida. Beliau keluar Bersatu Disember lalu untuk menyertai PBM.

Menurut laporan akhbar 12 Disember 2021, Zuraida diberitakan “bersedia mempertimbangkan pelawaan untuk mengetuai PBM tetapi “pada masa ini (yakni Disember lalu) belum menerima sebarang jemputan” daripada PBM.

Sebab itu saya nyatakan tadi bukan sesuatu yang memeranjatkan Zuraida dikaitkan dengan penyertaan PBM – berdasarkan perkembangan yang ditulis diatas.

Imbau lagi. Selepas Zuraida dan tim Azmin memainkan peranan dalam rampasan kuasa Langkah Sheraton, beberapa orang kanan mereka ada berbisik-bisik mengenai penubuhan sebuah parti baharu yang akan dipimpin Azmin.

Parti itu bagi menampung mereka dan juga saki baki penyokong mereka yang tersangkut dalam PKR. Ketika itu Azmin dituduh mengabaikan kumpulan itu terutama penyokongnya yang bukan Melayu.

Jelas mereka memerlukan sebuah parti yang boleh menerima keahlian rakyat semua bangsa dan agama. Ini tidak terlaksana.

Ada juga dihebohkan tim Azmin-Zuraida akan menyertai Gerakan yang sudah meninggalkan BN selepas kekalahan PRU14 pada 2018. Waktu itu saya ada bertanya Presiden Gerakan, Dominic Lau, tentang kemungkinan itu .

Lau meskipun mengalu-alukan pendatang baharu ke partinya, tetap menegaskan Gerakan ada perlembagaan dan peraturan tertentu yang wajib dipatuhi. Dalam erti kata lain, tanpa menyebut nama, beliau membayangkan kepada saya, Azmin tidak boleh menjangkakan masuk Gerakan terus ambil jawatan Presiden sementara timnya duduk jawatan tertinggi parti.

Apa pun Azmin dan tim tidak masuk Gerakan jika benar mereka ada pernah berhasrat demikian.

Akhirnya mereka menyertai Bersatu pimpinan Muhyiddin. Bukan lah rahsia besar ada pihak tertentu dalam Bersatu yang tidak berkenan dengan Azmin, Zuraidah, dan rakan-rakan.

Azmin khususnya diawasi dengan syak dan curiga kerana dianggap bercita-cita bukan untuk hanya mahu jadi Presiden parti tetapi mahu duduk kerusi Perdana Menteri.

Ramai pemerhati politik kerap bercakap mengenai “persaingan” atau “rivalry” Azmin dengan Hamzah Zainudin, setiausaha agung Bersatu.

Apa pun, Azmin dan Zuraida “selesa” dalam Bersatu. Sekurang-kurangnya begitulah gambaran luaran yang dipertontonkan untuk umum sehingga kini.

Dua hari lalu, FMT melaporkan Zuraida dijangka keluar Bersatu April ini dan masuk PBM sebelum PRU15. Itu kata FMT menurut sumber. Kata sumber itu lagi Zuraida “memilih” April untuk keluar Bersatu kerana mengambil kira jangkaan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang anti-lompat parti ketika itu.

Andainya apa yang dijangka menjadi kenyataan persoalan susulan ialah bagaimana pula Azmin? Adakah akan menyusul? PBM ada menyebut ramai orang PKR yang masih “sayang” Azmin akan keluar parti untuk masuk PBM.

Adakah mereka akan “bersatu” dengannya apabila Azmin keluar Bersatu ?

Jika Azmin dan Zuraida bukan lagi ahli Bersatu, bagaimana hubungan mereka dengan kerajaan pimpinan orang Umno tetapi turut dianggotai Bersatu dan PAS antaranya? Bagaimana kedudukan mereka dalam Kabinet?

Sehingga artikel ini ditulis Azmin tidak mengeluarkan reaksi. Cuma Zuraida memberi respon seperti yang ditulis tadi. Tidak mengesahkan, tidak juga menafikan.

Kedudukan mereka tentu ada kaitan dengan persoalan besar iaitu ke mana PBM akan bergerak.

Dalam lain pengertian, blok politik mana akan mereka sertai. BN? Tidak mungkin walaupun diakui tidak ada yang mustahil dalam politik. Tetapi umum tahu orang Umno bukanlah peminat Azmin.

Begitu juga Pakatan Harapan. Mereka tidak lupa apa yang dilakukan Azmin (dan Zuraida dan lain-lain) sehingga mereka tumbang dan digantikan kerajaan yang masuk menerusi pintu belakang atau tebuk atap kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Mungkin PBM akan cuba nasib mewujudkan gabungan baharu bersama Pejuang, Warisan, dan MUDA? Akan tetapi ramai dalam Pejuang percaya Azmin telah tikam belakang pengasas mereka Mahathir Mohamad ketika berlakunya Langkah Sheraton Februari 2020. MUDA pula, berdasarkan perkembangan menjelang PRN Johor, agak lebih mesra PH.

Lalu yang ada PN. Namun PN diterajui Bersatu. Adakah mereka rela terima orang yang tinggalkan mereka dan datang dengan sebuah parti baharu?

Atau mahu menjalin kerjasama dengan parti baharu Parti Kuasa Rakyat pimpinan Kamarazaman Yaakob abang kepada Ismail Sabri Yaakob Perdana Menteri sekarang? Atau berbaik dengan Putera yang dipimpin Ibrahim Ali dan banyak lagi parti kecil lain? Adakah yakin mereka cukup kuat untuk menghadapi PRU15?

Seribu satu persoalan seribu satu kemungkinan. Yang pasti PBM tidak boleh hidup seorang untuk hidup. Mesti cari geng. Zuraida tahu semua ini. Apa lagi bosnya, Azmin .

Zahid Hamidi perli Hadi :'Eloklah tukar profesion dari ahli politik jadi zoologi...'

Malaysiakini 

PRN JOHOR | Ahmad Zahid Hamidi mempunyai cara tersendiri untuk membalas label yang diberikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ke atas partinya, Umno.

Jelas tidak senang dengan gelaran "itik patah kaki", presiden Umno terbabit berkata mereka bukanlah haiwan seperti yang disebutkan Abdul Hadi baru-baru ini.

"Saya mengikuti banyak wawancara dan banyak ucapan pemimpin itu. Banyak kiasan yang berkaitan dengan haiwan (digunakan).

"Saya fikir eloklah dia tukar profesion daripada ahli politik kepada ahli zoologi," katanya dengan sinis.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap di majlis pelancaran jentera BN di Stadium Tertutup Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri , Johor malam tadi.

Ia turut disiarkan secara langsung melalui platform media sosial.

Turut hadir Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Pada 28 Jan lalu Abdul Hadi menyatakan rasa tidak senangnya terhadap Umno yang digambarkan sebagai itik patah kaki selepas kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Selepas PAS membantu mereka, kata Abdul Hadi, Umno bertindak meninggalkan PAS dan dia menganggap tindakan tersebut sebagai tidak bermoral.

Duta Khas Perdana Menteri itu juga mempersoalkan tindakan Umno-BN menggerakkan langkah secara sendirian bagi mengadakan PRN Johor.

Kata Ahmad Zahid dia juga "bimbang" apabila tuduhan yang dibuat PAS ke atas Umno sebaliknya memakan tuan.

"Saya tahu itu ilmu mantik, tapi saya khuatir jika satu jari dituduh kepada orang (lain) empat jari akan kena pada pada dia," katanya lagi.

Justeru kata ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi, untuk Umno tidak disindir dan dicaci-maki, penyokong parti berkenaan perlu berusaha memenangi PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Kita pastikan orang yang menghina kita, yang menyindir kita akan malu sendiri," katanya.