"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hasnol, penyanyi kongsi perasaan cemas bantu wanita ditikam perut terburai


Petaling Jaya – Penyanyi Hasnol tidak menyangka kursus pertahanan awam dan kecemasan yang dipelajari tiga hari lalu dipraktikan secara realiti dengan membantu wanita warga asing yang parah ditikam di Putra Height dekat sini, pada Jumaat.

Bekas peserta Gegar Vaganza musim pertama itu, Hasnol Hassan, 46, berkata, biarpun berasa gementar, namun dia bangga dapat bersama doktor bagi membantu menyelamatkan nyawa wanita itu.

“Saya dengar orang menjerit di belakang pejabat saya tapi tidak sangka pula ada berlaku pergaduhan serius, lantas saya bergegas keluar.

“Alangkah terperanjatnya apabila melihat seorang wanita parah ditikam dengan bahagian perut terburai, ia seperti tidak percaya dan menyangka ada orang ingin cuba menguji saya. Maklumlah saya baharu tamat kursus Akademi Pertahanan Awam beberapa hari lalu,” ujarnya kepada mstar Online.

Hasnol berkata, detik tersebut merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dia terus terpanggil memberi bantuan dan menggunakan pengetahuannya dalam kursus yang dihadiri baru-baru ini.

Katanya, dia bertindak menenangkan doktor yang sedang merawat mangsa termasuk membantu memeriksa kecederaan wanita itu.

“Ketika itu keadaan memang agak kelam-kabut dan doktor juga cemas kerana tiada pembantu, saya terus memberi bantuan memeriksa mangsa seperti apa yang pernah saya pelajari baru-baru ini.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya dapat menenang dan memudahkan urusan doktor untuk membuat rawatan kecemasan kepada pesakit,” ujarnya.

Difahamkan wanita tersebut terbabit dengan perbalahan dengan seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya.

Hasnol berkata, pihak polis juga sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabatnya untuk sisatan lanjut. – mStar

Umno mesti bertindak terhadap ahlinya yang terlibat dengan keganasan jika benar Umno bersih

Khalid Samad tak percaya Umno terlibat serangan di Parlimen
Sean Augustin
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Amanah, Khalid Samad hari ini berkata beliau tidak percaya Umno mengarahkan ahli-ahlinya menyerang beliau di luar bangunan Parlimen pada Khamis.

“Saya tidak fikir Umno sebodoh itu,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Ahli Parlimen Shah Alam itu mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menafikan penglibatan parti itu dalam kekecohan 2 hari lepas.

Tengku Adnan juga berkata kepimpinan parti tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada kumpulan yang menyerang Khalid.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak juga menyatakan beliau memandang serius kejadian itu dan menggesa semua orang menghormati kesucian Parlimen.

Bercakap dalam nada lebih menjurus kepada berdamai, Khalid juga percaya perusuh yang marah itu tidak bertindak bagi pihak Umno.
Khalid “gembira” membaca kenyataan Tengku Adnan, dan menunjukkan apa yang berlaku adalah salah dan bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Khalid berkata, kenyataan Tengku Adnan juga menunjukkan Umno mahu menjauhkan diri daripada sebarang kekecohan.

“Sama ada orang percaya atau tidak, itu perkara lain.”

Khalid seterusnya menyatakan orang ramai pasti akan membandingkan hukuman yang dikenakan kepada sepasang pasangan suami isteri diganggu seorang pegawai penguat kuasa wanita dan tindakan yang beliau sifatkan sebagai perkara “tidak dirancang”.

(Semalam, pasangan suami dan isteri dihukum penjara 14 hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam kerana menganggu seorang pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas mengeluarkan tiket sama bagi kesalahan letak kenderaan.

Pasangan itu memperoleh penangguhan pelaksanaan dan kini merayu)

“Bagaimanapun, dalam kes saya, saya percaya rusuhan yang menimpa sudah dirancang,” kata Khalid.

Pada Khamis, Khalid diserang perusuh semasa memasuki bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, beliau bernasib baik apabila pegawai keselamatan datang menyelamatkan keadaan dan menghalang kejadian menjadi lebih buruk. Difahamkan terdapat seorang pegawai cedera dalam kejadian huru-hara itu.

Sekumpulan lelaki mengacau Khalid dan menjerit “Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak! “.

Antara yang turut serta dalam rusuhan itu adalah anak Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan dipercayai mereka yang lain adalah ahli Pemuda Umno dari Pasir Salak.

Mereka berada di sana untuk menunjukkan rasa marah terhadap Khalid, yang menggelar Tajuddin sebagai “menteri sial” selepas beliau merujuk kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai “satu-satunya wanita dengan Kok” di Parlimen pada Isnin.

Polis menahan 11 orang bagi membantu siasatan dalam kejadian itu dan serta untuk mengetahui bagaimana kumpulan itu memasuki kawasan Parlimen.

Umno perlu hapus amalan 'samseng simpanan'

MALAYSIA DATELINE
Kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bahawa parti itu tiada kaitan dengan insiden kekasaran yang berlaku di Parlimen baru-baru ini hanyalah alasan lemah yang tidak boleh diterima rakyat, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kenyataan itu sama dengan kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bahawa mereka tiada kaitan dengan protes kumpulan baju merah di pejabat Malaysiakini Oktober lalu.

"Sudah menjadi kebiasaan apabila pemimpin Umno terlibat dalam insiden kekerasan, maka pimpinan tertingginya akan dengan cepat menyatakan rasa kesal serta cuba menjauhkan parti Umno dari pemimpin tersebut bagi mengelak dari mengambil tanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

"Tetapi jarang sekali umum mendengar sebarang tindakan disiplin yang dikenakan terhadap mereka, malah mereka kekal sebagai pemimpin dalam Umno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fahmi, keengganan Umno mendisiplinkan anggota dan khususnya pemimpin-pemimpin ini memberanikan mereka ini untuk terus melakukan tindakan-tindakan kekerasan di luar batas undang-undang kerana kelihatan seperti tiada sesiapa di dalam atau di luar Umno yang berani menghukum mereka.

Persepsi ini tegasnya, semakin kukuh terutama selepas terjadi empat insiden kekerasan berturut-turut yang melibatkan atau diketuai pemimpin Umno iaitu:

1. Pada 8 Oktober di Sabak Bernam, kumpulan baju merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Yunos, Ketua Umno Sungai Besar telah bertindak menyerang dan mencederakan peserta konvoi Bersih 5;

2. Pada 13 November di Ampang Point, Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos bersama kumpulan baju merah telah membuat kacau di pusat membeli belah sehingga terpaksa dihalang pihak polis. Ini telah mengakibatkan hidung Jamal berdarah akibat terkena pukulan seorang anggota polis; Jamal kemudiannya berkata kononnya kecederaannya itu akibat dipukul "budak Zuraida" dan membuat laporan polis palsu;

3. Pada 24 November di hadapan bangunan Parlimen, sekumpulan 10 orang yang diketuaiKetua Pemuda Umno pasir Salak Dr Faizal Tajuddin yang juga dan anak kepada ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman telah merusuh dan cuba membuat kekasaran terhadap ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

4. Pada 25 November, sekumpulan 30 orang yang diketuai Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim telah menyerang pameran seni Zunar di bangunan Komtar, Pulau Pinang, merosakkan dua lukisan seni beliau.

"Dalam kesemua insiden ini, bukan sahaja mereka yang terlibat tidak dan belum dihadapkan ke mahkamah - yang merupakan satu isu lain - tetapi dari segi disiplin organisasi, Umno juga tidak mengumumkan tindakan disiplin bagi mengawal tindak-tanduk pemimpin dan anggota Umno.

"Apakah Umno tiada kesungguhan politik ("political will") dalam isu ini? Atau adakah Umno sengaja menyimpan mereka ini sebagai kumpulan pendesak atau "samseng simpanan"?" soalnya.

Jeusteru kata Fahmi, Tengku Adnan perlu segera memperbetul keadaan dengan mengarah penggantungan keahlian serta mengenakan tindakan disiplin ke atas semua pemimpin UMNO yang terlibat dalam insiden kekerasan.

"Rakyat akan terus melihat sama ada Umno serius dalam menangani krisis kepimpinan ini atau sekadar "melepaskan batoh di tangga" dan telah benar-benar menjadi, bak kata Tun Dr Mahathir, sebuah parti dipimpin "pencuri, penyangak dan perompak"," katanya.

Kantoi: Pekerja warga asing melutut minta ampun selepas ditangkap mengintai, rakam video

Wartawan Sinar Harian
Foto suspek dan laporan polis yang viral di laman sosial.
FOTO seorang pekerja stesen minyak yang didakwa merakam video dan mengintai seorang wanita di tandas stesen sebuah kawasan Rehat & Rawat (R&R) menjadi viral semalam.

Perkongsian viral mendakwa kejadian tersebut berlaku pada 22 November lepas apabila mangsa yang berusia 24 tahun menyedari telefon bimbit suspek dari tandas sebelah.

Mangsa kemudian bersemuka dengan pekerja warga asing berkenaan dan meminta untuk memeriksa telefonnya.

"Kami geledah sana sini. Tak jumpa telefon dia, tak mengaku. Sekali dah jumpa telefon dia, tau pula melutut merayu-rayu," kata mangsa.

Selain foto suspek, foto salinan laporan polis juga disertakan dalam perkongsian berkenaan.

Suspek didakwa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
-sinarharian

Samseng Umno mengganas lagi (Gambar)

Kartunis Zunar pula diserang samseng Umno
ARIF ATAN

Pameran Kartun Zuanr yang bermula tengahari tadi diserang kumpulan samseng Umno-BN selepas solat Jumaat.
Lagi aksi serangan dipercayai dilakukan kumpulan samseng Umno. Kali ini berlaku selepas solat Jumaat di bangunan Komtar, Pulau Pinang yang diketuai pemimpin negeri parti itu.


Kumpulan terbabit menyerang Pameran Kartun Zunar yang sebelum itu dirasmikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini.

Mereka dipercayai tidak berpuas hati dengan karya satira politik Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque yang dikenali sarat mengkritik kepimpinan Umno-BN.

Samseng Umno terbabit juga menuntut supaya Zunar memberhentikan pameran itu serta mengancam mahu membakar bahan pameran.

Dalam serangan itu, dua bahan pameran dirosakkan mengikut sumber daripada Pengurus Zunar, Azura Aziz.

Pada masa sama, exco kesihatan negeri Dr Afif Bahardin juga dikatakan berada bersama Zunar ketika kejadian.

Ekoran aksi keterlaluan kumpulan samseng tersebut termasuk membuat kepungan, Zunar terpaksa meminta bantuan pihak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

“FRU terpaksa dipanggil kerana pameran saya di Komtar tadi dikepung oleh sekumpulan mereka,” ujarnya dipetik daripada status beliau di Facebook.
FRU serbu Komtar untuk mengawal keadaan.

Pasangan suami isteri terima padah kasari penguat kuasa MBSA


Shah Alam – Dua individu yang mengasari anggota penguat kuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika menjalankan tugas di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, semalam, dihukum penjara 14 hari.

Hukuman dijatuhkan Majistret P Sarulatha selepas pasangan suami isteri itu, Lor Ka Hoo, 35, dan Tan Sit Fun, 30, mengaku salah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

Baca: Video viral: Penguatkuasa MBSA dihalang ketika bertugas

Sarulatha turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM3,000 seorang dan jika gagal, tertuduh diarahkan penjara tujuh hari.

Bagaimanapun, Sarulatha membenarkan penangguhan hukuman sehingga selesai rayuan dan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,000 setiap seorang.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Nurul Ain Isa, 23, ketika sedang menjalankan tugas dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa bersama seorang rakan setugas sedang menjalankan tugas di kawasan BRP 6/11 Bukit Rahman Putra dan mengeluarkan saman ke atas sebuah kereta yang tidak mempunyai kupon bayaran letak kereta.

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kemarahan tertuduh dan pergaduhan membabitkan penguat kuasa berkenaan dengan pasangan itu menjadi viral selepas video berdurasi dua minit 10 saat tersebar di laman sosial. – BH Online

PRU14 pada Mac atau April tahun hadapan?

ARIF ATAN
Desas-desus Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mungkin berlangsung pada Mac tahun hadapan dilihat diyakini banyak pihak selepas satu surat rasmi daripada Pejabat Daerah Besut berkaitan petugas PRU14 menjadi viral sejak semalam.

Surat kepada Ketua Jabatan Kerajaan serta pengetua sekolah menengah dan guru besar sekolah rendah di daerah tersebut meminta mereka terbabit mengemukakan senarai pertugas pilihan raya sebelum 8 Disember nanti.

“Dengan hormatnya sukacita dimaklumkan bahawa Pejabat Pilihan Raya Negeri Terengganu sedang dalam proses membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 yang akan datang,” dipetik daripada surat bertarikh 23 November itu.

Lima petugas diperlukan iaitu Penyelia Pusat Mengundi (PPM), Ketua Tempat Mengundi (KTM), Kerani Pengundian/ Mengira Undi (KP/MU), Kerani Penyemak Daftar Pemilih (KPDP) dan Pemandu Arah Pusat Mengundi (PAPM).

Dalam hal berkaitan, Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa menjangkakan PRU14 bakal diadakan sebelum Ramadan sama ada Mac atau April tahun hadapan susulan daripada penangguhan usul Rang Undang Undang (RUU) 335 semalam.
Beliau yang juga Adun Salor dilapor berkata, tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sekadar membaca usul RUU tersebut boleh diterjemahkan sebagai PRU14 dijangka berlangsung sebelum Parlimen depan bersidang.

Bahkan, Husam berpendapat penangguhan pindaan Akta 355 itu sebagai langkah strategik yang menguntungkan Umno dan Pas apabila Umno dilihat jujur dalam memartabatkan hukum Islam manakala Pas pula tidak dilihat gagal dalam pendekatannya.

Untuk rekod, sidang Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan selepas persidangan mesyuarat ketiga penggal keempat Parlimen ke-13 berakhir semalam.

Kesal pemimpin tidak turun padang, bapa saudara Sultan Kelantan sertai Amanah

ZIKRI ABDULLAH
Tengku Mohamed menyerahkan borang keahlian Amanah kepada Husam.
Kesal terhadap tindak-tanduk pemimpin kerajaan negeri yang tidak turun padang mendorong bapa saudara Sultan Kelantan Tengku Mohamed Tengku Yahya Petra mengisytiharkan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Dalam majlis di kediamannya ketika kunjungan pimpinan Amanah negeri Kelantan yang diketuai Datuk Husam Musa, beliau melahirkan kekecewaan kerana banyak masalah rakyat tidak diselesaikan.

"Bolehkah bila berlaku banjir seorang pemimpin berkata saya tidak boleh pergi melihat keadaan rakyat kerana rumah sayapun turut kena banjir," katanya dengan nada kesal.

Beliau turut membangkitkan masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli akibat pembalakan di Kuala Balah.

"Saya tidak dengar mana-mana pemimpin negeri yang turun padang ke tempat Orang Asli buat 'blockade' sebagai protes kawasan mereka menghadapi masalah akibat pembalakan.

"Yang saya dengar Datuk Husam (Musa) yang pergi jumpa Orang Asli dan bertanya masalah mereka," katanya.

Beliau memuji pemimpin-pemimpin Amanah negeri yang selalu turun padang dan berusaha mencari penyelesaikan kepada masalah yang dihadapi rakyat.

"Saya rasa ada persamaan antara kami.

"Sebab itu sekarang saya nak isytiharkan bahawa saya menyertai parti Amanah," katanya.

Beliau turut membangkitkan usaha menghapuskan rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

"Saya yakin parti Amanah mempunyai sikap yang sama dengan saya untuk melawan rasuah.

"Insya Allah saya akan membantu parti Amanah dengan segala upaya yang saya ada sehingga parti ini berjaya," katanya.

Pada majlis itu, Tengku Mohamed menyerahkan borang keahlian Amanah kepada Datuk Husam Musa disaksikan oleh Setiausaha  Amanah negeri Kelantan Saudara Rushdan Mustafa.
-malaysiadateline

Bawa gangster ke Parlimen, adakah pemimpin Umno bakal di SOSMA ?

Che'GuBard

UMNO Biadap Bawa Gangster Merusuh Di Dewan Rakyat

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penyokong-penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak yang merusuh di Dewan Rakyat pagi tadi. Ini menunjukkan UMNO/BN adalah pihak yang tidak menghormati dan mahu menghancurkan institusi Parlimen Malaysia.

Adakah pihak Polis mempunyai keberanian untuk menahan di bawah SOSMA kerana aktiviti yang mengancam Demokrasi Berparlimen? Ternyata jelas Ahli Parlimen Pasir Salak disebalik kekecohan membawa penyokong untuk merusuh dan mengancam keselamatan institusi parlimen.

Sungguhpun SAMM menolak SOSMA tetapi inilah realiti politik tanahair ini, bagaimana semenjak zaman Mahathir lagi negara ini tidak pernah lari daripada keganasan politik yang dilindungi dan aktiviti politik yang memperkudakan sistem.

SAMM bersama-sama rakan aktivis lain pernah berdemonstrasi secara aman di luar perkarangan Parlimen selepas Pilihanraya Umum Ke-13 untuk menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen tetapi di tangkap, dibicarakan dan didenda sehingga RM 6,000.

SAMM menyeru Speaker Dewan Rakyat sendiri untuk membuat satu laporan Polis dan meminta pihak Polis untuk mengambil tindakan segera terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak dan penyokongnya atas kesalahan merusuh dan mengancam Demokrasi Berparlimen.

Che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

http://chegubard.blogspot.my

‘Jawablah di padang mahsyar’, Tuan Ibrahim nafi letak jawatan

KUALA LUMPUR: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan desas-desus ingin meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden PAS susulan masalah dalam parti.“Saya sebenarnya malas hendak layan berita bohong ini. Saya pun tidak pasti siapa yang membuat fitnah tersebut dan apa motif mereka.

“Tapi tidak apalah, nanti mereka akan jawab di padang mahsyar dakwaan yang mereka lemparkan itu,” katanya seperti dilaporkan portal Sinar Harian.
Tuan Ibrahim menjawab dakwaan mahu melepaskan jawatan susulan isu dana RM90 juta yang didakwa disumbangkan oleh Umno kepada parti Islam.

Beliau bersama barisan pemimpin PAS baru saja selesai mengadakan perbincangan bagi merangka strategi pilihan raya umum, tambahnya.

“Saya tiada masalah bekerjasama bersama kepimpinan PAS... Malah, kami seronok berada dalam pasukan yang penuh ukhuwah dan semangat jihad tinggi bagi mendaulatkan Islam di negara ini,” katanya lagi.

PAS mengambil tindakan undang-undang terhadap portal Sarawak Report yang memuatkan tulisan mendakwa dana RM90 juta itu diterima daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

SAH RUU 355 hanya perangkap BN untuk PRU14

Gantung RUU 355 hanya perangkap BN untuk PRU14, kata Husam
MALAYSIA DATELINE
Langkah kerajaan Umno-BN membenarkan usul Rang Undang-Undang 355 hanya dibaca tanpa dibahas di Dewan Rakyat hari ini disifatkan satu perangkap untuk parti itu berhadapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Datuk Husam Musa yakin tindakan kerajaan BN membenarkan Ahli Parlimen Marang membaca usul itu hari ini, menandakan bahawa PRU14 akan diadakan sebelum Parlimen bersidang Mac depan.

"Umno berjaya menggantungkan isu 'perlaksanaan hudud' di 'titik keseimbangan' atau 'equilibrium point'.

"Ia bagus untuk Pas tidak dilihat gagal dalam pendekatannya. Juga sebagai penyedap rasa untuk berterusan dalam senggama politik antara Pas dan Umno khususnya untuk PRU terdekat," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu juga berkata, dengan bacaan RUU 355 itu hari ini, Umno cuba memperlihatkan imej mereka sebagai jujur dalam memartabatkan hukum Islam dan pada masa yang sama Pas pula tidak dilihat sudah dipermainkan.

"Ia resipi yang mustajab, win win untuk tiga pihak menghadapi PRU secara 'smart partnership'," katanya lagi.

Beberapa jangkaan katanya boleh dibuat dengan perkembangan yang berlaku hari ini.

Ini termasuk jangkaan bahawa PRU14 akan diadakan sebelum bulan Ramadan tahun hadapan sama ada Mac atau April bagi mengelakkan RUU 355 dibahaskan sehingga menganggu 'keseimbangan' yang terwujud pada hari ini, kata Husam.
"Pas adalah rakan Umno BN dalam permainan 'segi tiga' atau 'triangle equation' sampai PRU. Bagi mereka yang masih mengharapkan Pas bersama dengan pakatan pembangkang, akhirnya akan menggigit jari.

"Matlamat Umno adalah untuk mendapat majoriti dua pertiga dengan pertolongan Pas. Apa akan jadi dengan RUU 355 selepas PRU adalah ditentukan selepas PRU," katanya.

Lebih licik kata Husam, tindakan itu dirancang Umno bagi memerangkap sebahagian rakyat khususnya pengundi Islam antara sentimen RUU 355 dan isu nyata yang sedang dihadapi mereka.

Ia termasuk himpitan kos sara hidup, rasuah, penyelewengan, hutang negara dan ancaman krisis kewangan dan implikasi pengaruh Republik Rakyat China ke atas geopolitik, ekonomi, sosial dan keselamatan Malaysia.

--------------------

Hadi minta tangguh, timbalan menteri Umno kata Pas mahu segera
ARIF ATAN

Asyraf Wajdi (dua dari kanan) bersama para pemimpin Pas dan Umno dalam satu majlis rasmi kerajaan.
Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan semula jawapan timbalan menteri Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung apa yang dianggap 10 salah faham tentang pindaan Akta 355.

Semakan Malaysia Dateline mendapati artikel sama telah disiarkan oleh Sinar Harian Online bertarikh 1 Jun lalu yang memuatkan alasan mengapa pembentangan itu wajar disegerakan melalui usul persendirian walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat semalam meminta supaya huraian pindaan terhadap usul asal ditunda pada sesi akan datang.

Akibatnya, kenyataan Asyraf iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tentang pendirian Pas yang kononnya mahu menyegerakan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 turut tersiar sekaligus bercanggah dengan apa diputuskan Abdul Hadi semalam.

“Pas dalam dalam konteks ini tidak terikat dengan prosedur ini (tertib yang banyak perlu dilalui Menteri) dan mereka bersungguh-sungguh mahu dipercepatkan RUU ini dibentangkan,” ujarnya yag didakwa jawapan beliau dalam sesi Dialog dan Soal Jawab dengan pemimpin bukan Islam khususnya MCA dan Gerakan Kelantan di Kota Bharu sebelum ini.
Menurut Asyraf yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, proses untuk membentangkan RUU bagi meminda Akta 355 lebih mudah jika dimulakan sebagai Usul Persendirian.

Hal ini kerana, jelasnya, kerajaan terikat dengan proses dan tertib untuk berbuat demikian termasuk meyakinkan Jemaah Menteri yang terdiri dari parti-parti bukan Islam.

Dalam hal berkaitan, akhbar Utusan Malaysia hari ini dilihat memberi liputan utama terhadap bacaan pindaan kepada usul asal Abdul Hadi di Parlimen berkaitan isu RUU 355 itu di muka depan dengan tajuk “RUU 355 dibentang”.

Tidak cukup dengan itu, Utusan Malaysia turut menyiarkan laporan berita berkaitan ‘kejayaan’ Presiden Pas itu di tiga halaman akhbar yang dikuasai Umno tersebut.

Bahkan editorialnya, Awang di ruangan Bisik-bisik di muka surat 12 menganggap semua pihak tidak harus terburu-buru membuat kesimpulan kerana perjalanan RUU 355 masih jauh dan perlu melalui pelbagai prosedur.

Polis gesa anak Tajuddin dan 9 orang lagi serah diri kerana merusuh

Polis meminta 10 individu, termasuk anak timbalan menteri Umno Firdaus Tajuddin menyerah diri bagi membantu siasatan kes merusuh di kawasan parlimen hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berkata siasatan dibuat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Selain Firdaus, 34, sembilan lagi yang diminta menyerah diri, termasuk:

Mohd Rizal Shafie, 37
Ariffin Mohamed Ali, 32
Hasnah Md Razali, 48
Erwan Halmi, 36
Sapiah Aini Sulaiman, 48
Norfirdaus Ahmad Zanian, 30
Azmir Ahmad, 41
Mohd Saffek Mohd Saleh, 28
Mohd Faizal Saidina Omar, 34
Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut mengesahkan anaknya antara yang 'menyerang' anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad di hadapan lobi parlimen pagi ini.

Bagaimanapun, timbalan menteri pertanian dan industri asas tani menafikan menaja kumpulan tersebut untuk memasuki kawasan Parlimen.

Tajuddin juga berkata “mereka melindungi rakyat Pasir Salak”.

Sebelum ini, parlimen hangat selepas Tajuddin berkata anggota parlimen Seputeh Teresa Kok satu-satunya perempuan yang ada “Kok”.

Khalid kemudian menyelar tindakan itu dan memakinya kembali sebagai “sial”.

Sementara itu, Amar dalam kenyataannya menjelaskan tiada kecederaan dalam insiden itu.

Beliau bagaimanapun merayu orang ramai, terutama penyokong atau ahli politik tidak membelakangkan undang-undang.

"Institusi dan integriti parlimen hendaklah sentiasa dipelihara dan dihormati semua pihak.

"Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa juga yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dan mencetuskan kekacauan," katanya.
-malaysiakini

Tahap keselamatan Parlimen dipersoal: Bagaimana sekumpulan pengganas Amno boleh masuk ( 6 video)








Siapa benarkan penyerang Khalid masuk kawasan Parlimen, soal Nur Jazlan
FMT Reporters
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Ahmad berkata siasatan penuh akan dilakukan terhadap kumpulan yang menyerang Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad di luar bangunan Parlimen pagi tadi.

Nur Jazlan berkata siasatan juga akan tertumpu untuk mengenal pasti bagaimana kumpulan itu dibenarkan masuk di perkarangan Parlimen, kerana mereka memerlukan undangan daripada wakil rakyat.

“Seseorang perlu ambil tanggungjawab kerana membenarkan pelawat masuk ke perkarangan Parlimen yang dihadkan.

“Kita tidak tahu sama ada mereka berdaftar di pintu masuk. Kita akan mengarahkan unit keselamat untuk menyiasat perkara itu,” kata Nur Jazlan.

Kira-kira 30 lelaki hari ini menjerit “Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak!” bagi menganggu Khalid, sebelum mereka bertukar ganas.

Ia susulan isu Ahli Parlimen Datuk Tajuddin Abdul Rahman mencetuskan kemarahan di Dewan Rakyat selepas menghina nama keluarga Teresa Kok, dengan berkata beliau satu-satunya wanita yang “mempunyai Kok”.

Khalid yang mewakili Amanah bangun mengutuk perbuatan itu sebagai tidak beradab sambil berulang kali memanggilnya “sial”.

Salah seorang daripada kumpulan yang mencetuskan pergaduhan hari ini berkata: “Ini baru permulaan”.

Nur Jazlan mempersoalkan bagaimana pihak keselamatan membenarkan mereka masuk, dan merujuk dakwaan Khalid yang beliau dimaklumkan mengenai kehadiran mereka.

“Mereka sepatutnya mengambil tindakan dan langkah mencegah segera untuk menghalang mereka masuk ke perkarangan, atau berada hampir ke bangunan Parlimen.

“Tindakan serius akan dilakukan terhadap mereka yang melanggar keselamatan Parlimen,” kata Nur Jazlan.

Elak disaman, wanita nekad berbogel (Gambar)

Seorang wanita ditahan polis trafik selepas enggan memberhentikan kenderaan semasa pemeriksaan sekatan jalan raya dalam satu operasi di Shandong, China.

Dalam kejadian yang berlaku di lebuh raya bandar Dongying itu, sebuah kereta putih dipandu seorang wanita di bawah pengaruh alkohol cuba merempuh pusat pemeriksaan tersebut.

Beberapa anggota trafik cuba menyiasat wanita itu namun suspek enggan memberikan kerjasama. Suspek tidak mahu menjalankan saringan ujian nafas untuk memastikan tahap alkohol dalam badannya.

Malah wanita berkenaan bersama seorang lagi lelaki berkelakuan pelik apabila nekad membogelkan diri mereka. Suspek wanita dilihat menanggalkan pakaian dan colinya sehingga mendedahkan payudaranya.

Selain itu, suspek juga mencekau salah seorang anggota trafik itu yang cuba mendapatkan bantuan daripada rakan sekerjanya.

Walau bagaimanapun, ‘drama’ yang cuba dilakukan oleh suspek tidak berjaya dan pihak polis telah menghantarnya ke hospital untuk melakukan ujian darah.

Hasilnya, keputusan ujian darah menunjukkan bacaan kandungan alkohol dalam badan wanita itu sebanyak 185.9 melebihi paras yang telah ditetapkan.
-kualalumpurpost 

Kecoh:“Kenapa panggil bapak aku sial?” Khalid Samad diserang sekumpulan individu di Parlimen (Gambar)



KUALA LUMPUR:  Hari terakhir Dewan Rakyat kecoh hari ini, apabila Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad diserang di perkarangan Parlimen disini.

Khalid yang baru tiba di Parlimen diserang ketika keluar dari kereta oleh sekumpulan individu.

Difahamkan serangan itu berlaku ekoran daripada kenyataan Khalid yang menggelarkan Timbalan Menteri, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dengan gelaran 'sial' dalam sidang dewan, Isnin lalu.

"Ini baru permulaan, ini anak Pasir Salak,", jerit salah seorang individu itu kepada Khalid.

Kekecohan bagaimanapun berjaya dikawal oleh pasukan keselamatan Parlimen yang meleraikan insiden berkenaan.

Khalid kemudiannya dilihat berjaya memasuki Dewan Rakyat dengan diiringi oleh pasukan keselamatan Parlimen.
-sinarharian
------------------------


“Kenapa panggil bapak aku sial?”

Khalid Samad (kiri) sejurus keluar dari kenderaannya diserang dikalangan penyokong Tajuddin di perkarangan dewan rakyat pagi tadi.

Pagi terakhir sidang Dewan Rakyat hari ini menyaksikan anak Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan konco-konconya menyerang Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di perkarangan bangunan Parlimen sambil menghamburkan kata-kata makian.

“Minta maaf balik! Kenapa panggil bapak aku sial? Aku panggil (Khalid) Samad sial sekarang!” jerit seorang lelaki muda berkaca mata hitam dan bersut lengkap warna kelabu terhadap Khalid yang ketika itu sedang keluar dari kereta dinaikinya.

Antara cercaan lain yang turut diucap oleh kumpulan terdiri daripada lebih 10 orang yang dilihat berang itu adalah “haram jadah kamu”, “babi”, “ingat bagus sangat”, “Pasir Salak datang”.

Tidak cukup dengan itu, nama DAP turut terpalit apabila mereka menjeritkan kata-kata “barua DAP” berulang-kali selain “p***mak punya DAP”.

Bagaimanapun, pihak keselamatan dapat mengawal serangan dicetuskan kumpulan penyokong Tajudin itu termasuk beberapa wanita berbaju kurung merah jambu.

Mengulas insiden serangan tersebut, Khalid mengucapkan penghargaan kepada pihak keselamatan kerana berjaya mengawal keadaan sehingga beliau selamat memasuki bangunan Parlimen.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan. Ada antara yang cuba memukul tetapi anggota keselamatan melindungi saya termasuk dengan badan mereka,” ujarnya.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah itu memberitahu, beliau membuat keputusan untuk tetap memasuki Dewan Rakyat selepas terlebih dahulu ditanya pihak keselamatan ekoran aksi samseng tersebut.

“Memandangkan hari ini banyak usul saya perlu bahas termasuk Sosma dan RUU 355, saya buat keputusan masuk. Dua orang (keselamatan) bawa saya ke sini. Ramai pihak keselamatan melindungi saya,” ujarnya pada sidang media selepas itu.

Menjawab soalan pemberita selanjutnya, Khalid menganggap insiden beliau dikasari itu tidak jauh bezanya dengan aksi ketua geng baju merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

“Satu budaya ala Jamal Tongkol atau Jamal Jamban pasal dia buat sidang media dalam jamban. Budaya yang sama.

“Saya merasakan ini semua tanda-tanda kerajaan yang rakyat semakin menolaknya dan cara ahli-ahli (Umno) bertindak kerana tidak boleh berhujah, tidak boleh bercakap,” tambahnya lagi.

Aksi penyokong yang diluar kawalan memaki hamun Khalid kerana berang dengan insiden yang berlaku di dewan rakyat tempoh hari.
-malaysiadateline

5 fakta Rohingya yang mengejutkan anda!

Fakta #1: Nama asal Arakan (Rakhine) ialah Rohang. Perkataan Rohingya bermaksud penduduk asal Rohang.

Komen: Jika tanya saya, ada apa pada nama? Ia adalah segala-galanya. Ada sebab kenapa nama Tanah Melayu ditukar kepada Malaysia.

Fakta #2: Undang-Undang Kerakyatan Burma yang dilaksanakan oleh kerajaan tentera pada tahun 1982 telah menafikan status kerakyatan Rohingya. Daripada 1.3 juta populasi, hanya lebih kurang 40,000 orang merupakan rakyat yang sah.

Komen: Setiap perjanjian dan undang-undang mesti ada hitam putih. Mungkin ada sebab juga kenapa kontrak sosial kita tiada dokumen rasminya? Ingat, kuasa sebenar adalah pada tentera dan ekonomi, bukan politik.

Fakta #3: Sejak berpuluh tahun, ratusan ribu Rohingya hanya tinggal di kem-kem dalam keadaan yang sangat menderita. Mereka berhadapan krisis kurang nutrisi yang sangat kritikal dengan 45 peratus tidak mempunyai sumber makanan yang tetap.

Komen: Hak keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal yang dinafikan menjadikan mereka lebih teruk dilayan daripada haiwan.

Fakta #4: Rohingya diiktiraf sebagai bangsa minoriti yang paling teruk ditindas dalam dunia moden hari ini.

Komen: Walaupun keadaan ini telah diketahui oleh badan berautoriti dunia, pejuang hak asasi manusia dan pelbagai negara namun majoriti seolah tidak mampu berbuat apa-apa.

Fakta #5: Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi merupakan penerima Nobel Prize Keamanan Dunia tapi hakikatnya merupakan dalang yang menyokong penglibatan tentera menghapuskan Rohingya secara licik.

Komen: Pengiktirafan Barat adalah atas pencapaian menjayakan agenda mereka, bukan rakyat setempat. Jangan pernah tertipu dengan topeng-topeng seperti ini yang dicipta untuk menipu seluruh dunia

Perlu difahami krisis ini adalah rantaian pembantaian Islam di seluruh dunia dan satu proses menghancurkan umat Islam secara keras dan konsisten. Bukan lagi sekadar isu kemanusiaan, tapi isu AQIDAH!

#prayforrohingya
#kembalikantanahrohingya

Muhammad Lukman Al Hakim
Ketua Pemuda Isma

Desas desus: Tuan Ibrahim akan tinggalkan parti

Pas nafi Tuan Ibrahim akan tinggalkan parti
MALAYSIA DATELINE

Pas menafikan dakwaan bahawa Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan meninggalkan parti itu berikutan isu dana RM90 juta yang dilaporkan portal Sarawak Report sebelum ini.

Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abdul Jabbar berkata, dakwaan itu disifatkan sebagai berita palsu dan mewujudkan persepsi negatif terhadap Tuan Ibrahim.

“Ini berita palsu. Bagi saya, ini adalah pembohongan semata-mata dan ia sangat tidak masuk akal. Kami baru sahaja bersama dalam retreat Pas Pusat dalam merangka strategi PRU14.

“Jadi hentikan sebar berita palsu seperti ini,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Tegas beliau, Pas sebelum ini menerusi Tuan Ibrahim berulang kali menafikan penerimaan wang tersebut.

Sebelum ini, Sarawak Report dalam artikelnya mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengalirkan sejumlah wang bernilai RM90 juta kepada pimpinan tertinggi PAS supaya parti itu menjauhi gabungan pembangkang.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan setegasnya oleh Tuan Ibrahim dan Pas kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berkenaan berhubung fitnah tersebut.

Pemandu teksi didakwa tunjuk kemaluan

Kuala Lumpur – Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini atas pertuduhan menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita.

P. Mogan, 38, didakwa menunjukkan kemaluan dengan niat untuk menghina kesopanan seorang wanita berumur 33 tahun, di dalam lif Kondominium Magnaville, di Gombak, di sini pada 4.20 petang, 18 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, K. Vasugi menawarkan jaminan RM5,000, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan dia penanggung utama keluarga dan perlu menyara dua anak berusia 12 dan sembilan tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zarifah Zainal Abidin yang mendengar kes itu membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang  penjamin dan menetapkan 24 Disember untuk sebutan semula kes.
-Bernama

Ibu tampar, tumbuk bayi 42 kali ditahan polis


Sedutan rakaman yang viral di laman sosial.
TASHKENT - UZBEZKISTAN. Seorang wanita ditahan selepas rakaman beliau menampar dan menumbuk bayinya viral di laman sosial.

Laporan Mirror UK mengatakan wanita berkenaan berbuat sedemikian terhadap anaknya kerana mangsa tidak berhenti menangis.

Ketika kejadian, wanita tersebut tidak menyedari tindakannya dirakam oleh anak rakannya yang berusia lapan tahun.

Jurucakap polis, Almas Sadubaev mengesahkan wanita tersebut dikenal pasti sebagai Aygul Kozhabaevna dan mengaku melakukan perkara tersebut.

Selain berhadapan dakwaan melakukan kekerasan terhadap kanak-kanak, Aygul juga bakal menghadapi tuduhan tinggal di Uzbezkistan secara tidak sah.