"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota tentera dituduh buat seks atas katil pejabat di Kota Bharu

Muhamaad Razis Ismail
ANGGOTA tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dua tuduhan melakukan hubungan seks tanpa kerelaan dengan seorang wanita yang dikenali selama seminggu melalui aplikasi WeChat, tahun lalu.

Tertuduh Nik Aris Ghazali, 24, yang berpangkat prebet bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang wanita berusia 33 tahun dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa tanpa kerelaannya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di atas katil di dalam pejabat Unit 5 Rejimen Artileri Diraja (RAD), Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di Kota Bharu pada jam 11.30 malam hingga 12 tengah malam, 26 November 2017.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dan mencabul kehormatan mangsa sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan bagi pertuduhan kedua, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias tidak menawarkan sebarang jaminan tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan tiada alasan istimewa yang membolehkan tertuduh diikat jamin.
a man standing in front of a store: Nik Aris dituduh melakukan kesalahan itu di atas katil di dalam pejabat Unit 5 RAD, Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas. FOTO Muhamaad Razis Ismail
© Provided by Media Prima Nik Aris dituduh melakukan kesalahan itu di atas katil di dalam pejabat Unit 5 RAD, Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Bagaimanapun, peguam Ahmad Nuri Abdul Rahman yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh adalah penyara tunggal keluarga yang perlu menjaga isteri dan anak.

Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat dia perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi.

Mahkamah menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes.

Ikat Dan belasah isteri kerana lari ikut lelaki lain (Gambar)

New Delhi: Video menunjukkan seorang wanita diikat pada pokok dan dibelasah menggunakan tali pinggang di khalayak ramai oleh suami sendiri tular di internet kerana dipercayai cuba melarikan diri bersama lelaki lain.

Video 73 saat itu dirakam menggunakan telefon bimbit menunjukkan hukuman terhadap mangsa yang diarahkan majlis kampung atau panchayat membawa kepada penahanan suami terbabit dan anak lelaki mereka selepas ia tular di media sosial, lapor Hindustan Times.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut mengejek wanita berkenaan. Malah mangsa dilaporkan dicabul selepas kejadian sebagai ‘hukuman’ tambahan.

Kejadian dipercayai berlaku pada 10 Mac lalu sebelum wanita itu akhirnya berjaya dikesan di rumah ibu bapanya pada Rabu lalu susulan penyebaran video berkenaan.

The Hindu memetik Superintendan Praveen Ranjan Singh berkata, wanita terbabit mengaku melarikan diri bersama kekasih yang juga jirannya pada 5 Mac lalu ke kampung sebelum ditemui dan diarahkan pulang.

Penduduk yang membantah hukuman terhadap mangsa turut dipukul dan diarah meninggalkan lokasi itu.

NAJIB SUDAH KALAH 0-3 KEPADA TUN MAHATHIR

Lelaki tua berusia 93 tahun yang bernama Tun Mahathir Mohamad ini memang luar biasa.

Tidak saja bijaksana, punya daya kepimpinan dan yang bukan biasa-biasa, malah keberaniannya sudah terbukti mampu mengalahkan orang yang lebih muda daripadanya.

Najib Razak yang baru menginjak usia 65 tahun dan jauh lebih muda daripadanya, kini sudah terdampar dengan kekalahan 3-0 kepadanya.

Kali pertama Najib kalah ialah bila beliau tidak berani menghadirkan diri dalam program Nothing To Hide di PWTC, sedangkan sudah menyatakan persetujuan pada awalnya dan telah pun bersiap sedia di kediamannya ketika itu.

Najib membatalkan kehadirannya di saat-saat akhir apabila mengetuai Tun Mahathir turut hadir dalam program yang sama dan ingin menyoalnya secara berdepan berkaitan skandal 1MDB dan dana RM2,600 juta yang masuk ke akuan bank peribadinya.

Kali kedua Najib tewas ialah apabila beliau tiada keberanian menghadirkan diri dalam program Nothing To Hide 2 di Shah Alam yang dirancang untuk mempertemukannya sekali lagi dengan Tun Mahathir di atas pentas yang sama bagi menguji kepintaran serta keberanian berhujah dalam mempertahankan diri masing-masing.

Majlis itu bagaimanpun berakhir dengan beberapa letupan mercun dan kekecohan ketika Tun Mahathir sedang menyampaikan hujah-hujahnya.

Semalam, ketika berlangsungnya sebuah wacana yang bertajuk “Apakah Tun M, terlalua tua untuk jadi PM?” di Shah Alam, beliau sekali lagi menunjukkan keberaniannya.

Dengan topik yang jelas mahu membincangkan mengenai kemampuan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua dan salah seorang ahli panel yang mengambil bahagian pula diketahui mesra Pas dan kritikal terhadapnya, kehadiran Tun Mahathir tidak lain ialah untuk mendengar sendiri mereka bercakap depan-depan mengenainya.

Hakikatnya, tidak ramai yang berani hadir ketika orang lain mahu membincang, malah mempertikai kemampuan diri mereka.

Dengan kehadiran Tun Mahathir itu, ahli panel berkenaan akhirnya agak terpana, tergugup-gugup dan tidak lancar dalam menyampaikan hujah, malah dalam gambar yang diambil ketika di akhir majlis, beliau kelihatan tunduk dan seolah-olah tidak mampu bertentang mata dengan Pengerusi Pakatan Harapan tersebut.

Tidak seperti Najib yang hanya berani bercakap secara sehala dan tiada keberanian untuk bersemuka, lelaki berusia 93 tahun ini sebaliknya sedia dan mampu berdepan dengan sesiapa saja yang ada keraguan terhadap kemampuannya.

Dalam banyak majlis sebelum ini, Najib sebagaimana dilaporkan media begitu kerap mempertikaikan kemampuan Tun Mahathir yang berusia 93 untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Malangnya, semua ucapan, kritikan dan sindiran beliau hanyalah dalam majlis atau ucapan sehala di mana orang lain sekadar mendengar dan tiada soal jawab disediakan.

Lebih daripada itu, sejak terkait skandal 1MDB, Najib juga tidak berani lagi berhadapan dengan media secara terbuka dan kalau ada pun sidang media, seperti selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO misalnya, hanya wartawan tertentu dan daripada media arus perdana saja yang dibenarkan menghadirinya.

Dengan keberaniannya menghadiri wacana semalam, sekali lagi Tun Mahathir berjaya mengalahkan Najib. Kali ini untuk kali ketiga. Keberanian beliau nyata hampir tidak ada pada Najib.

Dan kalau ada wacana yang serupa untuk membincangkan apa-apa berkaitan masalah Najib selepas ini, sah beliau terus tidak akan berani menghadirkan diri, malah silap-silap permit polis tidak akan diluluskan sama sekali.

Kedudukan kini ialah Najib yang berusia 65 tahun sudah tewas di tangan Tun Mahathir yang berusia 93 tahun dengan kedudukan 0-3.

Aduhhh…malunya!!!

– http://shahbudindotcom.blogspot.co.id/

Buah zakar tersekat pada kerusi


Anggota bomba terpaksa dihubungi untuk membantu lelaki tersebut.
MADRID - SEPANYOL. Seorang pengunjung hotel di Sepanyol berdepan detik memalukan selepas buah zakarnya tersekat pada kerusi plastik.

Kejadian malang itu berlaku selepas lelaki berusia lingkungan 60-an dan 70-an itu mahu berehat sebentar sebelum mandi di bilik hotelnya di Torrevieja, Alicante.

Detik cemas itu berlaku apabila dia cuba untuk berdiri, namun gagal kerana buah zakarnya tersekat di celah kerusi terbabit.

Lebih memalukan, tiga jentera bomba terpaksa dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu lelaki tersebut.

Anggota bomba kemudiannya memotong beberapa bilah kerusi plastik itu yang mengambil masa selama setengah jam.

Usaha tersebut berjaya selepas lelaki terbabit akhirnya dapat berdiri dan dia telah dihantar ke Hospital Universiti Torrevieja untuk rawatan lanjut.

Menurut bomba, ia adalah panggilan kecemasan paling pelik pernah diterima walaupun pada mulanya mereka menganggap ia mungkin satu gurauan. - Daily Mail

Tsunami Melayu bakal landa Alor Setar?

Melissa Darlyne Chow
ALOR SETAR: PKR berharap kerjasama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menarik sokongan pengundi Melayu, bukan sahaja untuk mempertahankan kerusi Parlimen Alor Setar, tetapi membantu Pakatan Rakyat (PH) menawan Kedah.

Ahli Parlimen Alor Setar daripada PKR, Gooi Hsiao Leung berkata, kecenderungan pengundi Cina kepada parti pembangkang seperti ditunjukkan pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013, kekal tidak berubah.

Katanya, isu utama ialah sama ada PRU14 akan menyaksikan “tsunami Melayu” akan berlaku seperti “tsunami Cina” yang dikatakan membantu pembangkang pada PRU lalu.

“Saya percaya kerjasama antara Anwar dan Dr Mahathir akan mencetuskan tsunami Melayu yang diperlukan kami untuk mempertahankan Alor Setar dan menawan semula Kedah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kehadiran PPBM yang diketuai Dr Mahathir akan membantu menarik lebih banyak undi Melayu untuk PKR.

Katanya, Dr Mahathir dan pemimpin Melayu lain dalam PH turut berjaya menghalang cubaan Umno menakut-nakutkan orang Melayu mengundi PKR dan DAP.

Gooi yang merupakan ketua cabang PKR Alor Setar berkata, partinya memperoleh 40% hingga 45% undi Melayu di kerusi Parlimen Alor Setar pada PRU13, dan jumlah itu dijangka terus meningkat pada PRU14.

Dr Mahathir yang pernah memimpin negara selama 22 tahun, adalah seorang daripada 2 bekas perdana menteri yang dilahirkan dan dibesarkan di Alor Setar. Seorang lagi ialah perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman yang menerajui negara sejak merdeka, dari 1957 hingga 1970.

Pada PRU 2013, Gooi mengalahkan penyandang dari MCA, Tan Sri Chor Chee Heung yang memenangi kerusi itu selama 5 penggal berturut-turut, dengan majoriti kecil 1,873 undi.

Pada PRU 2008, Gooi kalah kepada naib presiden MCA ketika itu dengan majoriti tipis 184 undi.

Alor Setar, ibu negeri Kedah adalah bandar ke-2terbesar di negeri utara ini, selepas Sungai Petani.

Ia mempunyai hampir 70,000 pengundi berdaftar, dengan 62% pengundi Melayu, 33% Cina dan India 5%.

Terdapat 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Alor Setar.

Kerusi Bakar Bata disandang Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sementara kerusi DUN Kota Darulaman dikuasai wakil DAP, Teoh Boon Kok dan kerusi DUN Alor Mengkudu oleh Ahmad Saad @ Yahaya daripada PAS.

Gooi berkata, insiden penyingkiran anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz yang ketika itu masih bersama Umno, daripada jawatan menteri besar Kedah pada 2016 melalui undi tidak percaya oleh exco Barisan Nasional (BN), akan memberi kesan ke atas pengundi.

“Peristiwa itu masih segar dalam fikiran rakyat, terutama orang Melayu,” katanya sambil menambah Mukhriz yang kini timbalan presiden PPBM dan naib presiden PH, akan mengetuai kempen PH di Kedah.

Gooi berkata, pengundi Melayu juga cenderung kepada PH kerana isu seperti kenaikan kos sara hidup, cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan BN pada 1 April 2015, selain isu seperti 1MDB.

Amanah, PKR tegang di Permatang Pauh selepas JKKK dipecat (Bersama video)

FMT Reporters
GEORGE TOWN: Ketegangan tercetus antara Amanah dan PKR di tanah besar Pulau Pinang, selepas ahli Amanah yang menganggotai satu jawatankuasa kampung di Parlimen Permatang Pauh dibuang terus, dikatakan kerana lobi PKR.

Lima belas ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Petani-Kampung Pelet dilantik untuk berkhidmat selama 2 tahun pada Januari 2017 dan mereka dijangka akan menjalankan tugas sehingga tamat tempoh penggal akhir tahun ini.

Bagaimanapun, mereka digantikan oleh satu jawatankuasa baru.

“PKR mesti tampil ke depan dan jelaskan mengapa kami diberhentikan,” kata mereka dalam video yang tular di Whatsapp.

Mereka yang dipecat menuntut penjelasan kerana tiada sebab diberikan tentang pembuangan itu.

“Mereka cuma menghantar surat memaklumkan kami dipecat,” kata seorang jurucakap.

Surat yang mereka terima semalam berkata satu JKKK baru diadakan pada 1 Mac. Difahamkan kumpulan terbaru itu terdiri daripda ahli PKR.

Ahli JKKK merupakan lantikan parti politik yang membentuk kerajaan negeri. Budi bicara untuk melantik dan memecat ahli JKKK terletak pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Kampung Petani dan Kampung Pelet sebahagian daripada Permatang Pasir, salah satu daripada 3 DUN bawah Parlimen Permatang Pauh, dan kerusi itu dimenangi PAS pada pilihan raya umum lepas.

Jika mengikut kebiasaan dalam Pakatan Harapan, Amanah sepatutnya bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi PAS, dan Permatang Pasir berkemungkinan sekali ditandingi calon daripada parti serpihan PAS itu pada pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, 5 daripda 8 JKKK diisi dengan ahli lantikan Amanah, sementra selebihnya untuk lantikan PKR.

Sumber memberitahu FMT bahawa PKR sekian lama memerhatikan Permatang Pasir dan berkempen untuk bertanding di kerusi itu.

Namun difahamkan majlis presiden PH menguntukkan kerusi itu kepada Amanah.

Sementara itu, kerajaan negeri berikrar akan menyelesaikan isu itu dan merancang untuk bertemu kedua-dua parti.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata isu Kampung Petani-Kampung Pelet banyak kali dibincangkan sejak 2 tahun lalu.

“Kami mahu ahli akar umbi PH rapat dan bersatu,” kata Rashid.

1 juta tonton video 'pensyarah macam kena telan ubat gegat'

Klip video yang memaparkan reaksi penganalisis politik Kamarul Zaman Yussof sebelum dan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan pada Wacana Sinar Harian di Shah Alam semalam telah mendapat lebih satu juta tontonan.

Video itu memperlihatkan bagaimana pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, yang pada mulanya nampak yakin dan lantang dalam kritikannya terhadap bekas perdana menteri itu, tetapi kemudian terpaku di kerusinya apabila Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali tampil dan duduk di barisan hadapan penonton.

Kamarul Zaman adalah salah satu daripada tiga ahli panel yang membincangkan tajuk "Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?".

Dalam hantaran di Facebook pagi tadi, penganalisis itu menafikan bahawa dirinya terkedu dan terus terkucil ketakutan sebaik sahaja Dr Mahathir sampai ke majlis wacana itu.

Klip video berkenaan disiarkan di laman Facebook Kelab Che Det dengan tajuk, “Tengok muka prof ni bila Dr M datang macam kena telan ubat gegat. Kah kah kah. Sebelum tu bukan main lagi kutuk Dr M kan...”

Video itu bermula dengan Kamarul Zaman bercakap mengenai kesihatan mental sebagai faktor penting bagi calon perdana menteri, dengan alasan bahawa kemampuan kognitif merosot atau menurun mengikut usia.

Beliau kemudiannya memetik beberapa contoh kenyataan Mahathir, yang dakwanya menunjukkan kemampuan kognitif pemimpin berusia 93 tahun itu mula merosot.

Apabila Mahathir tiba, video tersebut menampilkan tajuk kecil di bahagian bawah “dah tak senang duduk” semasa Kamarul Zaman terpaku di kerusi sambil terpingga-pingga sedangkan semua mereka di pentas dan juga para hadirin memilih untuk berdiri.

Moderator, Nazri Kahar kemudian memberitahu Kamarul Zaman bahawa beliau boleh berinteraksi secara langsung dengan Mahathir dan bekas perdana menteri itu boleh menjawap soalannya.

Ketika itu, profesor berkenaan kelihatan agak tidak selesa di kerusinya sambil tersenyum simpul dan menjawab, "saya okay". Dia kemudian kelihatan kehilangan kata-kata, dan tertera pula tajuk kecil, "Kenapa gagap. Hahaha."

Seterusnya, video memaparkan Dr Mahathir senyum apabila Kamarul Zaman menyoal sama ada bekas perdana menteri mampu mengawal parti seperti DAP dan tajuk yang muncil, "Aik..Tetiba cakap pasal DAP pulak... Tun senyum jelah."

Video itu berakhir dengan gambar Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bergambar dengan ahli panel di pentas dengan bekas perdana menteri itu memandang ke arah Kamarul Zaman yang berdiri di sebelahnya.
Tajuk kecil yang tertera pula adalah "Bukak la mic tu dulu kalau gelabah pun."

Ini merujuk kepada mikrofon Kamarul Zaman masih melekat di telinganya sedangkan semua ahli panel termasuk moderator, masing-masing telah menanggalkan mikrofon mereka.
-malaysiakini

Patriot ‘pelik’ kerja kempen PRU13 untuk Mukhriz diumumkan kepada semua

FMT Reporters
PETALING JAYA: Kumpulan veteran Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyifatkan penafian dan dakwaan terbaharu Ketua Kumpulan SCL Asia Tenggara, Azrin Zizal berhubung penglibatannya dalam membantu Datuk Seri Mukhriz Mahathir memenangi pilihan raya umum (PRU) 2013 “sangat pelik”.

Presiden Patriot, Datuk Mohd Arshad Raji berkata, bekas pembantu Mukhriz itu tidak akan mendedahkan perbuatan sendiri, jika beliau pernah melakukan kerja pengintipan itu.

“Sekiranya dia terlibat dalam kerja-kerja pengintipan semasa PRU13, dia mungkin akan menutup mulutnya dan tidak mengatakan dia telah melakukannya untuk Mukhriz Mahathir.

“Kenyataan luar biasa Azrin memaklumkan dia dan syarikatnya mungkin bekerja untuk pihak tertentu, mungkin dalam PRU14.

“Sekiranya benar, aktiviti haram ini mesti dihentikan dan tindakan undang-undang diambil terhadap para pelaku dan rakan-rakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azrin sebelum ini mendakwa Mukhriz berbohong beliau pernah cuba mendapatkan perkhidmatan sebuah firma yang dikaitkan dengan syarikat perunding Cambridge Analytica (CA) yang berdepan kontroversi, untuk kempen Barisan Nasional (BN) Kedah pada PRU13.

Mukhriz yang juga timbalan presiden PPBM bagaimanapun menafikan sebarang hubungan dengan CA dan mendakwa Azrin bukan pegawai medianya selepas beliau dilantik sebagai menteri besar Kedah.

Kumpulan SCL (SCL) merupakan syarikat induk kepada CA, yang terbabit dalam skandal menyalah guna berjuga-juta data peribadi.

Dokumentari Channel 4 secara rahsia merakamkan eksekutif tinggi CA mendakwa mereka boleh menggunakan rasuah, bekas perisik dan pekerja seks untuk memerangkap ahli politik seluruh dunia, selain mendakwa pernah melakukan kerja pilihan raya di Malaysia.

Arshad berkata, pendedahan Channel 4 dan eksekutif tinggi CA itu melanggar prinsip Perlindungan Data Peribadi.

“Persetujuan terlebih dahulu dari individu perlu diperolehi. Ia melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Tindakan menggunakan wanita untuk memerangkap ahli politik boleh dilihat melalui sudut etika.

“Kegiatan gelap menggunakan propaganda menyebarkan sebarang maklumat, dalam bentuk berita palsu melalui media sosial untuk menghasut emosi negatif, membenci, mengelirukan, memecah belah dan menyebabkan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia adalah kerja perisik untuk memusnahkan negara kita.”

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap parti politik yang bersekongkol dan bersubahat dalam kegiatan haram itu.

Maria Chin akan bertanding guna logo PKR

Alyaa Azhar
PKR mengumumkan bekas Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah kini merupakan sebahagian keluarga PKR dan akan bertanding menggunakan logo parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan perkara itu dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR hari ini.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, bagaimanapun menjelaskan Maria tidak menyertai parti secara rasmi.

Maria sebelum ini mengesahkan beliau telah berbincang untuk bertanding sebagai calon parlimen pada pilihan raya umum ke-14.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengakui tawaran itu dua minggu lalu.

Pasir Mas bersedia dikerumuni ‘calon agama’

Faiz Zainudin 
PASIR MAS: Pasir Mas merupakan antara daerah utama di Kelantan yang bersempadanan dengan Kota Bharu, dan dihubungkan melalui landasan keretapi dengan Gemas, Gua Musang dan Tumpat.

Ia juga bersempadan dengan negara Thailand di sebelah barat.

Di sini terletak pondok agama yang berkait rapat dengan pemimpin lapisan PAS.

Dengan jumlah penduduk melebihi 200,000 orang, ia sudah tentu menjadi kawasan yang mengukur kekuatan parti politik di Kelantan ditambah pula Pasir Mas merupakan kubu kuat PAS yang sukar ditembusi pihak lawan.

Sejak 1999, kerusi Parlimen Pasir Mas dimenangi PAS, walaupun parti itu diwakili pada nama sahaja oleh Datuk Ibrahim Ali pada PRU 2008.

Sebelum ini, ia merupakan kubu kuat Semangat 46, parti pecahan Umno yang ditubuhkan pada 1989 oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada PRU lalu, kerusi itu dimenang Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, anak arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dengan majoriti besar 8,047 menewaskan Ibrahim. PAS turut menyapu bersih semua 3 kerusi negeri di bawahnya.

Nik Abduh bukan anak tempatan Pasir Mas, tetapi imej agama dan latar belakang keluarganya dipercayai antara faktor membantu kemenangannya.

Dengan kemunculan Pakatan Harapan (PH), gabungan 4 parti iaitu PKR, DAP, Amanah dan PPBM, kekuatan PAS di sini mungkin sedikit “goyah”, disebabkan pertandingan 3, malah 4 penjuru yang pasti berlaku.

Ini kerana di samping PAS, PH dan Barisan Nasional (BN), Ibrahim juga baru-baru ini menyatakan hasrat untuk cuba merampas balik kerusi itu.

Tetapi Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Datuk Hanifa Ahmad tidak bimbang, dan yakin partinya dapat mengekalkan kemenangan pada PRU akan datang.

Bagi Hanifa, pencabar utama PAS ialah Umno, walaupun parti itu gagal di Pasir Mas sejak 1986.

“Majoriti kita menang lebih 8,000 di kerusi Parlimen, DUN Pengkalan Pasir kita menang lebih 4,000, DUN Tendong menang majoriti hampir 1,000 dan DUN Chetok majoriti kita dapat lebih 2,000.”

Beliau mengakui sekiranya Pasir Mas turut menyaksikan calon Amanah atau PPBM dapat menarik keluar sokongan kepada PAS dan Umno tetapi “tak sampai 5%”.

“Dalam politik Kelantan, biasanya orang PAS akan kembali kepada PAS dan Umno akan kembali kepada Umno,” katanya kepada FMT.

Katanya, pondok agama di Pasir Mas merupakan antara tunjang kekuatan PAS, dan rakyat mahukan pemimpin yang berlatarbelakangkan agama.

“Kalau Amanah tidak ada latar belakang agama, rakyat akan tolak,” katanya.

PAS masih belum memutuskan sama ada Nik Abduh akan dicalonkan sekali lagi untuk mempertahankan kerusi ini.

Faktor agama turut diakui seteru PAS seperti Umno dan PKR, yang sedia mempertimbangkan calon berlatarbelakang agama.

Bagi PKR, individu seperti Nik Abduh bukanlah tokoh besar yang sukar ditewaskan.

“Cuma beliau dikenali sebab anak bekas menteri besar Kelantan,” kata Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir.

Menurutnya, tokoh agama bukan monopoli PAS.

“Semua parti ada tokoh agama, calon kita kemukakan juga ada ketokohan agama, saya rasa isu agama tidak menjadi isu utama, sebab rakyat lebih pentingkan isu kos sara hidup dan sebagainya,” katanya.

Tetapi Aziz mengakui PKR merupakan “underdog” yang perlu mendapat bantuan sekutu PH.

Sementara itu, Umno di Pasir Mas mengalu-alukan kehadiran PKR dan calon lain.

Ketuanya, Datuk Hanafi Mamat berkata kemasukan PKR di Pasir Mas langsung tidak mendatangkan kesan.

“PKR tidak pernah bertanding di Pasir Mas dan saya kira PKR Pasir Mas ini tidak kuat dan tokoh mereka juga lemah. Mereka parti lemah bukan sahaja di Pasir Mas tapi di Kelantan juga lemah, mereka bergantung harap kepada PH sahaja.

Malah, Hanafi menjangkakan PKR PKR akan “hilang deposit”.

Beliau juga membayangkan seorang “tokoh agama” akan mewakili Umno kali ini di Pasir Mas.

“Penting untuk Umno menang di Pasir Mas, kita boleh menjadi penghubung kepada kerajaan pusat dan sudah tentu pembangunan di sini lebih cepat dan efektif berbanding wakil rakyat PAS.”

Prospek order lama lwn order baru

DR MUJAHID YUSOF 
PRU semakin hampir, sementara ramai yang menunggu tarikh pembubaran, permasalahan sebenarnya tidak berhenti dengan pembubaran dan tarikh mengundi.

Isu sebenarnya jauh lebih kritikal, ia tentang masa depan negara dan masa depan peluang politik baharu muncul memimpin. Dengan kata lain ia adalah pertembungan order lama lwn order baru.

Perubahan yang dilaungkan dalam hampir semua wacana pembangkang selama ini perlu diambil secara serius oleh rakyat Malaysia. Ia bukan wacana menonjolkan parti-parti pembangkang tetapi jauh lebih besar ialah menonjolkan order baru lewat ide-ide baru yang segar untuk negara ini melonjak ke hadapan.

Perubahan adalah tentang ide, walaupun ide baru bukan hak cipta terpelihara pembangkang, namun keperluan untuk ide ini dikembangkan dan dilaksanakan memerlukan parti yang meyakininya dan memperjuangkannya bukan hanya ‘lips service’ untuk kekal berkuasa tanpa memupuk dan merangkulinya.

BN sudah berkuasa hampir 50 tahun namun pemikiran barunya kehilangan momentum kerana keinginan kekal berkuasa lebih utama kepadanya daripada memperkenalkan ide baharu.

Bebanan sejarah lampau BN, khususnya Umno terlalu berat untuk dibawa bersama dengan ide yang segar dan baru sedangkan pembangkang dalam gabungan PH (Pakatan Harapan) lebih selesa membawa ide baharu untuk negara.

Tun M ORDER LAMA?

Ada yang berpendapat PPBM pimpinan Tun Mahathir adalah bebanan lampau dan kekok membawa ide baharu. Sementara kenyataan itu ada kebenarannya, namun bebanan itu diimbangi dengan kesegaran ide rakan komponen dari Keadilan, AMANAH dan DAP yang membuktikan komitmen mereka kepada memberi ruang politik baharu.

Ia adalah kemenangan kepada politik baharu sebenarnya kerana PPBM dan Tun Mahathir memilih untuk bersama ide baharu dan pemikiran baharu. Tun Mahathir boleh sahaja memilih untuk kekal bersendirian seperti Pas tetapi beliau dan PPBM memilih untuk bersama pakej politik baharu dan sedar bahawa pilihannya itu bermakna ‘melawan’ idenya sendiri semasa negarawan itu mewakili order lama.

IMPLIKASI KEGAGALAN ORDER BARU

Segala poin di atas membawa kepada persoalan lain yang lebih kritikal; apa akan jadi jika politik order baru PH gagal menang dengan politik order lama BN?

Kekalahan order baru PH pasti membawa mesej yang menyedihkan bahawa rakyat belum bersedia memasuki order baru. Ini bermakna Malaysia akan ketinggalan berbanding negara jirannya di Indonesia, Thailand, Filipina dan lain-lain negara yang sudahpun memasuki order baharu politik.

Kegagalan Malaysia memasuki fasa order baru juga membawa makna bahawa PH belum cukup kekuatan untuk meyakinkan rakyat Malaysia tentang hasratnya dan manifestonya.

Ini juga membawa mesej bahawa sepenggal lagi usaha memenangkan politik baharu akan berhadapan dengan lebih tekanan daripada order lama menyekat perubahan yang sepatutnya sudah lama berlaku.

Order lama akan lebih tertumpu untuk mengekang kebangkitan order baru dan secara implikasinya negara ini akan terus dilitupi awan mendung. Demokrasi terjejas manakala salah guna kuasa akan terus bermaharajalela, tanda kediktatoran bukan lagi mungkin tetapi pasti.

Demikianlah bagaimana PRU ke-14 begitu bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia. Ia bukan pertembungan BN lwn PH tetapi order lama lwn order baru. Pilihan di tangan rakyat!
________________________
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Naib Presiden AMANAH dan Ahli Parlimen Parit Buntar.

Kemaraan peniaga asing isu serius

MOHD ZUL
PADA 2014, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot telah menyuarakan kebimbangan dengan kebanjiran warga asing yang didakwa sudah mencecah angka 6.7 juta orang.

Ujar beliau lagi warga asing mempunyai kemampuan untuk menguasai ekonomi jika diberi peluang selain menguasai bidang pekerjaan profesional.

Apa yang dibimbangi sudah hampir menjadi kenyataan. Warga asing yang dahulunya jadi pekerja sudah menjadi majikan dan memiliki perniagaan sendiri di seluruh negara.

Isu lambakan pekerjaan pekerja asing dalam sektor pekerjaan sudah tidak diperkatakan lagi kerana seakan sukar dibendung. Meskipun data kerajaan pada 2017 menunjukkan ada penurunan ketara pekerja asing yang datang secara sah, angka pekerja berstatus PATI tidak diketahui secara tepat.

Advertisement

Kerana itu rakyat tetap merasakan bilangan pekerja asing sudah melebihi hadnya apabila boleh bekerja di mana sahaja kecuali di sektor awam.

Warga asing mampu menguasai bidang perniagaan kerana mereka ini golongan yang cekal berusaha dan tahan lasak. Manakala penduduk peribumi tempatan yang sudah biasa hidup senang cukup makan meskipun tidak kaya tidak mampu untuk berdepan dengan kemaraan agresif golongan imigran.

Premis perniagaan warga asing berkembang dengan cepat di seluruh negara. Warga asing mengambil alih perniagaan di tempat mereka bekerja dahulu. Cawangan-cawangan baharu di buka di tempat lain.

Warga tempatan tidak menjadi pelanggan utama tidak mengapa kerana bilangan rakyat asing daripada rakan senegara sudah cukup ramai.

Sebab itu mereka berani memasang papan tanda dalam tulisan Urdu, Nepali, Burma dan

Bengali untuk menarik perhatian warga senegara.

Tidak pasti sama ada pekerja asing ada membuka perniagaan di negara-negara lain yang mengimport pekerja asing dalam jumlah ramai seperti Singapura dan negara-negara Arab tetapi yang pasti di Malaysia warga asing berani berniaga tanpa rasa gentar. Moto ‘Pantang Undur Kecuali Operasi’ menjadi azimat.

Di Bukit Bintang, majoriti peniaga asing terutama warga Pakistan dan Bangladesh secara terang-terang berniaga produk tiruan kepada pelancong asing dan menguasai perniagaan telekomunikasi dan IT di Low Yat Plaza.

Mungkin warga asing ini memiliki sokongan kuat daripada persatuan mereka hingga jumlah kedai milik mereka akhirnya mengatasi kedai peniaga tempatan. Contoh baik ialah kedai tukang jahit milik warga asing di Sungai Besi.

Dahulu warga Pakistan keluar masuk kampung menaiki basikal dan motosikal menjaja karpet. Kini sudah mampu membuka kedai tekstil, kedai runcit dan kedai perabot di seluruh negara terutama di negeri Pantai Timur dan Sabah. Di Sarawak pun sudah ada.

Nilai di Negeri Sembilan sudah menjadi lubuk emas peniaga Pakistan.

Di Selangor peniaga Acheh dan sekarang Bangladesh begitu mendominasi. Peniaga Acheh biasanya membuka perniagaan runcit dan kedai gunting rambut manakala kedai runcit milik imigran Bangladesh boleh ditemui di hampir setiap daerah selain bengkel kereta, kedai alat telekomunikasi, kedai mencuci kereta dan lain-lain.

Kontraktor tempatan mengeluh tiada projek manakala syarikat kontraktor asing makin bertambah.

Selain masalah penguatkuasaan, sikap orang kita sendiri menjadi punca bilangan premis perniagaan warga asing bercambah dengan cepat. Orang kita tidak sama dengan warga asing, lebih suka wang segera, cukuplah disewakan lesen dan permit tanpa perlu bekerja keras.

Selain menyewa lesen dan permit peniaga tempatan, lelaki asing dari Pakistan dan Bangladesh mencari isteri rakyat tempatan demi memudahkan pendaftaran perniagaan, Taktik lain diguna ialah mencari rakan kongsi rakyat tempatan yang sanggup meminjamkan nama. Rakyat tempatan hanyalah proksi manakala warga asing adalah tauke sebenar.

Justeru, cadangan ini diutarakan. Satunya ialah gerak gempur secara besar-besaran oleh KDN, Jabatan Imigresen, PBT dan SSM di seluruh negara bagi mengesan pekerja asing yang salah guna permit kerja untuk berniaga.

SSM perlu mengetatkan pendaftaran perniagaan dan menapis teliti syarikat yang didaftarkan atas nama wanita selain perniagaan milik bersama rakyat asing dan rakyat tempatan.

Hukuman tegas kepada rakyat tempatan yang menyewakan premis, lesen dan permit kepada warga asing. Sekadar menyenaraihitamkan tidak berkesan lagi. Denda yang berat perlu dikenakan.

Tidak membenarkan warga asing bekerja di barisan hadapan di kedai hotel, restoran, kedai serbaneka sebagai juruwang, pelayan dan penyelia. Begitu juga di pasar pagi, kawasan perniagaan yang menjadi tumpuan pelancong asing di Petaling Street, Bukit Bintang, Masjid India.

Pihak PBT di seluruh negara perlu menetapkan dengan jelas jenis perniagaan yang tidak boleh disertai warga asing. DBKL misalnya telah menggariskan syarikat asing mestilah daripada jenama antarabangsa dan mempunyai modal melebihi RM1 juta. Warga asing tidak dibenarkan membuka perniagaan runcit pasar mini, kedai komputer dan lain-lain

lagi. Ini adalah satu contoh yang baik yang wajar jadi ikutan.

Memasang lebih banyak CCTV dan menempatkan anggota statik dan ronda PDRM, APM, Rela, Imigresen di kawasan Jalan Silang - Pasar Seni - Kota Raya -Pasar Seni - Pudu dan Bukit Bintang bagi memantau aktiviti warga asing khususnya ketika mereka berkumpul beramai-ramai ketika cuti umum.

Selain dapat mengesan premis perniagaan baharu warga asing dapat juga mengesan aktiviti tidak sihat lain.

Mengetatkan pemberian pas ekspatriat kepada warga asing khususnya dari negara Asia Selatan seperti Bangladesh, India dan Pakistan bagi mengelakkan mereka masuk dengan tujuan untuk berniaga semata-mata.

Mazlan mampu cetus tsunami di kawasan Felda, kata PPBM

HUSIN MAHAT 
Tindakan terbaru penguasa menahan Mazlan Aliman di bawah Akta 233 Akta Komunikasi adalah langkah terdesak kerana momentum yang digerakkan beliau di kawasan Felda bakal menjadi tsunami dalam pilihan raya umum (PRU) nanti, kata Pengerusi Taskforce Felda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil.

Ujar beliau, sejak PPBM menubuhkan badan bertindak Felda, beliau selaku pengerusi sering bekerjasama dengan Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) itu bagi mengatur program penerangan di tanah-tanah rancangan Felda.

“Berbeza dengan penceramah lain, termasuk saya sendiri, Mazlan mengenali Felda macam ‘belakang tangan dia saja’. Dia menguasai statistik-statistik, details dan maklumat yang bertulis atau tersirat, lantaran pengalaman selama 30 tahun mendengari denyut nadi Felda.

“Beliau juga mempunyai jaringan luas, termasuk ‘fifth column’ dalam Felda. Masih ada pegawai Felda yang mempunyai hati nurani dan ‘moral compass’ yang ingin maklumat diterima kepada tangan yang boleh menjadikannya fakta, setidak-tidaknya mengekang penguasa dari ‘Beraja di mata dan bersultan di hati’,” jelas beliau.
Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil

Wan Mohd Shahrir menambah, masalah utama dihadapi Mazlan adalah sekatan terhadap ceramahnya dan kehadiran peneroka yang ‘takut-takut’ ke majlis ceramah beliau walaupun data dan maklumat yang diketengahkan Mazlan jitu.

Namun jelas beliau, keadaan bertukar apabila PPBM menerobos ke kawasan Felda dan beberapa siri ‘Semarak Kasih Felda’ yang diatur dengan PPBM dan Anak menukar kehadiran dari puluhan ke ribuan manusia.

“Mungkin kehadiran didorong oleh aura (Pengerusi Pakatan Harapan) Tun Dr Mahathir.

“Di Taib Andak kehadiran seramai 2000 orang, Jengka 8 seramai 2500, Lubuk Merbau sekitar 2000, Kota Tinggi 4000 dan Jengka Pusat seramai 1500 walau dalam hujan.

“Ada beberapa siri lagi jelajah Semarak Kasih Felda yang kehadirannya tidak menghampakan tetapi yang disebutkan sebagai contoh,” katanya.

Perkembangan baru ini, jelas Wan Mohd Shahrir membuatkan Mazlan sangat teruja kerana selama ini mesej jitu beliau tidak sampai ke kumpulan sasar kerana kehadiran yang kurang.

Pihaknya dan Anak merancang beberapa siri jelajah Felda menjelang PRU di kawasan parlimen-parlimen tumpuan boleh menang.

Menurut Wan Mohd Shahrir, walaupun bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berjaya dalam saman fitnahnya terhadap Mazlan sehingga beliau tidak boleh bertanding akibat muflis, keputusan mahkamah itu tidak mengurung niat Mazlan untuk terus berjuang.

“Marilah kita sama-sama berusaha agar beliau boleh meneruskan usaha murni beliau. Kita semua bangkit sebagai Mazlan Aliman kerana beliau adalah kita!

“Kita semua adalah Mazlan Aliman. Bersatu!” tegas Wan Mohd Shahrir.

Lelaki OKU pitam ditumbuk, dipijak pengawal (video)


FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) tidak sedarkan diri apabila ditumbuk dan dipijak seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Tumpat, Kelantan.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial sejak pagi semalam, mangsa, yang dikatakan pekerja pasar raya berkenaan diserang ketika menghampiri sebuah mesin layan diri di luar pasar raya berkenaan.

Pengawal itu datang dari arah belakang, ditumbuk di muka sehingga jatuh dan kemudian dipijak di bahagian dada.

Pengawal itu kemudian dirakam cuba membangunkan mangsa.

Harian Metro melaporkan berlaku perselisihan faham antara mangsa yang berusia 42 tahun dengan pengawal keselamatan berusia 26 tahun itu sebelum kejadian.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud dipetik sebagai berkata pengawal terlibat sudah ditahan sejurus menerima laporan kejadian itu kelmarin.

“Kita dapati rakaman CCTV kes itu tular di media sosial semalam, tetapi kes berkenaan berlaku pada Isnin lalu.

“Terdapat kesan tumbukan dan darah di muka mangsa, manakala di belakang kepala pula mengalami bengkak akibat hentakan ketika terjatuh di lantai.

“Mangsa yang dibawa ke Hospital Tumpat ketika ini dan masih menerima rawatan di pusat perubatan berkenaan,” katanya.

Suspek direman 4 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Murid maut dalam lubang tandas

Harian Metro
LUMKA terjatuh ke dalam tandas ini yang dibina dengan lubang takungan najis di bawahnya. Gambar kecil, Lumka Mkhethwa. FOTO eNCA.com & Jamie Pyatt
LUMKA terjatuh ke dalam tandas ini yang dibina dengan lubang takungan najis di bawahnya. Gambar kecil, Lumka Mkhethwa
Cape Town: Seorang murid perempuan berusia lima tahun maut dalam keadaan menyedihkan selepas ditemui lemas dalam lubang takungan najis di sebuah sekolah di Afrika Selatan.

Lumka Mkhethwa pada mulanya disyaki diculik selepas dia hilang dari sekolahnya di Bizana, Timur Cape dan polis melancarkan gerakan mencari murid itu.

Bagaimanapun, mayat murid itu ditemui sehari kemudian dalam lubang takungan najis selepas ia dikeringkan.

Menurut laporan Daily Mail yang memetik media Afrika Selatan, mangsa dipercayai maut akibat terjatuh ketika menggunakan tandas yang dibina dengan lubang takungan najis terletak betu-betul di bawah tempat duduk tandas.

Kementerian Kesihatan Afrika Selatan mengesahkan kematian tragis murid Sekolah Rendah Luna berkenaan.

“Kematian murid itu dalam keadaan tragis adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan sangat mengganggu,” kata Menteri Pendidikan Afrika Selatan, Angie Motshekga.

Ia bukan kejadian pertama membabitkan murid sekolah yang maut akibat terjatuh ke dalam lubang takungan najis di Afrika Selatan yang masih menggunakan kemudahan tandas yang usang.

Empat tahun lalu, seorang murid lelaki berusia lima tahun, Michael Komape juga ditemui mati akibat terjatuh ke dalam lubang takungan najis ketika menggunakan tandas di sekolahnya di Polokwane.

Keluarga mangsa kemudiannya menyaman kerajaan negeri kerana gagal memastikan keselamatan murid di sekolah berkenaan.

Pakar: Mahathir mampu terajui negara lagi

Pakar psikologi dan pakar kesihatan fizikal percaya di sebalik mencecah usia 93 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu melaksanakan tugasnya sebagai perdana menteri sekali lagi sekiranya Pakatan Harapan menumbangkan BN pada piliha raya ke-14 akan datang.

Bagi pakar psikologi, Profesor Datuk Mat Saat Mohd Baki, beliau tidak hairan jika Dr Mahathir mengulangi semula prestasi semasa di zaman kemuncaknya.

“Usia menjadi isu dalam negara kita kerana sejarah pentadbiran kita belum ada individu lebih 90 tahun menjadi perdana menteri, tidak seperti negara lain.

“Dr Mahathir pernah lalui zaman kemuncak sebagai perdana menteri dan tidak mustahil ia akan berulang jika beliau diangkat sebagai perdana menteri,” katanya pada Wacana Sinar Harian di Shah Alam, hari ini yang berjudul "Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?"

Turut bersependapat dengan Mat Saat adalah pakar kesihatan fizikal, Kevin Zahri Abdul Ghaffar yang percaya Dr Mahathir mampu meneruskan perjuangan itu.

“Tekanan main peranan sangat besar. Daripada pemerhatian, kita lihat Dr Mahathir seorang individu yang tenang ketika bercakap atau berikan kenyataan," katanya.

Dr Mahathir pernah mengakui dirinya didesak untuk menjadi calon perdana menteri HARAPAN kerana tidak senang dengan perkembangan politik hari ini.

Katanya, berlaku terlalu banyak penyelewengan dan gejala rasuah di negara ini dan ramai yang memintanya supaya melakukan sesuatu.

Panas baran

Mengulas lanjut, Kevin Zahri berkata perwatakan Dr Mahathir juga sesuai sebagai seorang pemimpin.

“Cara beliau juga tidak menampakkan seorang panas baran dan daripada segi pemakanan juga sederhana.

“Jadi ini mungkin ini antara faktor beliau masih mampu teruskan perjuangannya,” kata pakar itu.

Walau bagaimanapun, panel ketiga, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) UUM, Kamarul Zaman Yusoff, beranggapan Dr Mahathir sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri.

Malah, kata pensyarah mesra PAS itu, faktor fizikal Dr Mahathir semakin tua dan beliau pernah dua kali menjalani pintasan jantung iaitu pada 1989 dan 2007.

“Pada pandangan saya fizikal dan mental Dr Mahathir tidak membenarkan beliau menjadi perdana menteri kerana jawatan tersebut memerlukan tenaga yang banyak dan jadual padat,” katanya.

Selain itu, kata Kamarul Zaman, Dr Mahathir juga tidak akan banyak membantu menarik undi orang Melayu kepada HARAPAN kerana sikap bekas perdana menteri itu terhadap agama Islam.

“Mahu atau tidak, undi orang Melayu Islam mampu ditarik oleh PAS,” katanya.

Buat kejutan

Mat Saat dalam wacana hari ini turut menghuraikan faktor ketuaan itu berdasarkan empat aspek: iaitu kronologikal berdasarkan umur, aspek psikologikal, aspek kemampuan berfungsi dan naratif.

Katanya, rekod menunjukkan terdapat 100 negara lain yang perdana menterinya berusia lebih 93 tahun.

Wacana hari ini turut dikejutkan dengan kehadiran Dr Mahathir.

Polemik "pemimpin tua" bermula, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, tiada negara di dunia akan memilih pemimpin berusia 93 tahun sebagai calon perdana menteri.

Mahathir, yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun sehingga 2003, akan berusia 93 tahun pada tahun ini.

Beliau berikrar akan menjatuhkan Najib sekiranya gabungan pembangkang yang diterajuinya memenangi PRU14.

Menerusi video di Facebook, awal minggu ini, Mahathir berkata pada usia 93 tahun beliau masih mampu menunggang kuda, memandu kereta dan mengalahkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Soal umur saya masih disebut-sebut kononnya saya sudah 93 tahun dan tak mungkin boleh jadi PM.

"Tetapi 93 tahun boleh lagi buat macam-macam bukan saja naik kuda , bawa kereta, tapi untuk mengalahkan Najib, masih boleh," kata pengerusi BERSATU itu.
-malaysiakini