"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki rakam bawah paha wanita warga asing dicekup

Bernama

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang lelaki merakam video bahagian bawah paha seorang wanita warga asing di sebuah pusat beli-belah mengundang padah, apabila dia diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata lelaki tempatan berusia 22 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut di kaunter bayaran pasar raya pada jam 10.14 malam, semalam.

“Wanita warga asing berusia 24 tahun itu telah diberitahu saksi awam bahawa lelaki terbabit merakam video secara sulit di bahagian bawah pahanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian ditahan pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Setia Indah untuk tindakan lanjut.

Raub berkata hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit lelaki terbabit menemukan pelbagai lagi video rakaman sulit tidak senonoh melibatkan beberapa wanita lain.

Katanya, lelaki itu kini ditahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Samseng yang memecahkan cermin kereta dan mengugut sudah lari

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memecahkan cermin kereta dan mengugut pemandu wanita di Simpang Empat Limbat, Khamis lalu.

Polis turut melakukan serbuan di rumah suspek di Nilam Puri pada jam 2.30 pagi tadi namun lelaki berusia lingkungan 40-an itu tiada di kediaman dipercayai melarikan diri.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian 5.45 petang Khamis lalu, mangsa berusia 35 tahun memandu Perodua Axia berseorangan di Simpang Empat Limbat.

"Kenderaan mangsa dihimpit Toyota Vios yang dipandu suspek tidak dikenali.

"Secara tiba-tiba suspek menghalang laluan mangsa dan berhenti di tengah jalan. Suspek kemudian menghampiri kereta wanita itu lalu memecahkan cermin serta mengugut mangsa.

"Suspek sudah dikenal pasti dan pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menjalankan pemeriksaan serta serbuan di kediaman suspek di Nilam Puri namun lelaki itu menghilangkan diri," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu dua rakaman video masing-masing berdurasi dua minit 16 saat dan 36 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.

Muhamad Zaki berkata, usaha mengesan suspek sedang digerakkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 279 KK dan 427 KK.

"Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya bagi kesalahan memandu dengan berbahaya dan hukuman penjara selama dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya bagi kesalahan khianat harta benda.

"Bagi kesalahan mendatangkan ugutan jenayah, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

"Sehubungan itu, kami mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut perasaan tanpa pertimbangan yang sewajarnya dan tindakan tegas akan diambil jika perkara itu mendatangkan ancaman kepada individu yang lain," katanya.

Mahu beli model iPhone baharu? Pakar ini kongsi 10 langkah mudah jaga duit

FAZLI RADZI

Bukan sedikit orang yang tidak tahu menjaga duit dimiliknya contohnya sanggup membeli model iPhone baharu walaupun jumlah wang tunai di akaun banknya tidak sebanyak harga telefon itu.

Pakar kewangan, Faiz menerusi saluran Youtube beliau ada berkongsikan 10 langkah mudah untuk menjaga duit:

Mesti ada duit kecemasan untuk 12 bulan

Zaman sekarang ini anda tidak boleh begitu yakin bahawa syarikat anda akan kekal. Bila-bila masa saja anda boleh kena buang.

Kalau gaji anda RM5,000, pastikan anda ada RM60,000 dalam liquid investment, yang anda boleh keluarkan bila-bila masa nanti.

Mengapa 12 bulan? Sebab ada masalah-masalah yang anda tidak boleh kawal seperti pandemik. Kalau anda ada enam bulan saja duit kecemasan, susahlah nak survive terpaksa jual benda-benda yang anda tak patut jual untuk meneruskan hidup.

Liquidity vs profitability

Pertimbangkan mudah tak untuk cairkan aset. Contohnya, emas dan rumah. Senang ke nak jual rumah? Tak senang. Unit trust pula ambil masa juga untuk dijual hingga anda dapat duit. Saham pun sama.

Masa itu emas

Jangan buang masa hanya untuk mengejar diskaun yang kecil. Jangan pedulikan diskaun RM10 atau RM15.

Yang anda patut fokus adalah pelaburan. Di mana anda nak letak duit RM10,000 anda supaya boleh cepat jadi dua kali ganda. Yang itulah anda kena study betul-betul.

Fokus tenaga dan masa anda untuk dapatkan ilmu dalam investment vehicle yang anda akan buat.

Elak beli murah, beli dua kali

Kalau beli barang, beli yang lebih berkualiti walaupun lebih mahal berbanding murah tetapi tidak berkualiti. Selesa, mahal sedikit tidak mengapa.

Belajar ilmu kewangan

Jangan lokek belajar ilmu kewangan dari segi wang, masa dan tenaga sebelum memberi komitmen untuk sesuatu. Contohnya, semasa membeli rumah.

Mampu bayar penuh

Bayar tunai. Jika tiada duit sebanyak itu, maka anda tidak layak untuk membelinya. Contohnya, kereta. Jika kereta sedia ada masih boleh gerak dan tidak mendatangkan keburukan maka tidak perlu keluar duit untuk beli kereta. Lagi, contohnya Iphone. Jika tiada RM5,000 dalam tangan maka tidak usah beli.

Jangan terikut-ikut

Kedudukan kewangan setiap orang berbeza. Jika ada orang sudah naik taraf gaya hidup, anda pula terikut-ikut, yang sakit nanti adalah anda juga.

Simpan sifat skeptikal

Kena faham syarikat fokusnya mengejar keuntungan. Jika nampak iklan-iklan dijanjikan dengan pulangan besar, fikir terlebih dahulu.

Jangan terlalu kedekut, kongsi rezeki

Duit yang kita ada bukan milik kita seratus peratus. Lebih baik berbelanja di kawasan kejiranan anda, contohnya kedai gunting rambut dan kedai runcit. Sokong bisnes tempatan. Sentiasa beri peluang kepada orang lain supaya orang lain akan memberi peluang kepada kita nanti.

Kahwin dengan orang yang sesuai

Ada orang tidak kisah makan di gerai asalkan bersih. Tapi ada pasangan jenis memilih tempat makan. Begitu juga ada pasangan jenis suka kenderaan lebih mewah.

5 faktor yang bakal mewarnakan senario politik Malaysia

BORHAN AHMAD

Sebaik sahaja Dewan Rakyat meluluskan Akta Anti Lompat Parti, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) semalam meluluskan permohonan Umno untuk mengadakan pemilihannya selepas PRU-15.

Serentak dengan itu juga Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan sidangnya walaupun dengan alasan mereka baru sahaja dilantik sebagai peguam Najib yang baharu.

Dalam masa yang sama juga tersebar gambar pertemuan lima pemimpin utama Umno (Top 5) bertemu sebagaimana janji Perhimpunan Agung Umno untuk memberikan peluang kepada Top 5 pemimpin Umno membuat keputusan mengenai hal ehwal parti itu.

Di pihak rakyat pula, mereka sedang berdepan dengan kenaikan harga barang yang mendadak bermula 1 Julai lalu.

Lima keputusan dan suasana inilah bakal mewarnakan politik Malaysia dan bilakah agaknya pilihan raya umum ke 15 Malaysia akan diadakan.

Faktor paling jelas adalah, PRU-15 akan dibuat apabila Malaysia sedia untuk melaksanakan Akta Anti Lompat Parti (AALP) itu.

Ini kerana, inilah kehendak majoriti rakyat negara ini selepas 209 dari 222 wakil mereka telah membuat keputusan mahu AALP itu dilaksanakan.

Jika berlaku sebarang penyelewengan atau penyanggahan terhadap hasrat ini sudah tentu kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri akan dipersalahkan oleh rakyat dan beliau akan ditolak.

Oleh itu, sebelum membuat apa-apa keputusan, PM Ismail dipercayai akan menjadikan hasrat rakyat untuk melihat AALP terlaksana dalam PRU-15 nanti dituruti.

Untuk membolehkan AALP ini dilaksanakan, ia perlu melalui proses tertentu selepas diluluskan Dewan Rakyat iaitu kelulusan Dewan Negara dan seterusnya tarikh penguatkuasaanya selepas dipersetujui oleh Yang Dipertuan Agong.

Dipercayai atas keyakinan inilah, RoS dengan berani meluluskan permohonan Umno untuk mengadakan pemilihan selepas PRU-15 yang membawa maksud Presiden Umno yang ada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kuasa penuh untuk menandatangani watikah perlantikan semua calon Umno dalam PRU-15.

Dengan lain perkataan, Zahid adalah pemimpin Umno yang akan memutuskan siapa pemimpin Umno yang boleh menjadi calon dalam pilihan raya nanti.

Namun begitu, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan lagi sidangnya walaupun selepas peguam baharu dilantik membayangkan ketegasan mahkamah dalam kes sebegini.

Di samping Najib, tokoh yang paling popular di kalangan penyokong Umno sekarang, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid juga berhadapan dengan kesnya yang dijangka akan berakhir selepas sidang 10 hingga 12 Ogos ini.

Walaupun perbicaraan terhadap Zahid terpaksa ditangguhkan semalam kerana saksi pendakwaan masih positif Covid-19, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, berkata perbicaraan kes itu akan bersambung pada 10 hingga 12 Ogos ini seperti ditetapkan sebelum ini.

Bilakah PRU-15, empat peristiwa di atas dan apa yang rakyat fikirkan tentang kenaikan harga barang ini akan mempengaruhi tarikh itu.

Selagi rakyat tidak boleh menerima kenaikan harga barangan dengan rasional, kita yakin PM tidak akan menasihatkan Yang Dipertuan Agong untuk mengadakan PRU-15.

2 budak perempuan dilaporkan hilang di Beluran

FMT Reporters

Nur Hawa Syaqira Jeif, 12 dan adiknya Nurul Syuhada Asyiqim Jeif, 9, dilaporkan hilang sejak 26 Julai lalu. (Gambar polis)
PETALING JAYA: Polis memohon kerjasama orang ramai membantu mengesan dua kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di Beluran, Sabah sejak 26 Julai lalu.

Dua kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Nur Hawa Syaqira Jeif, 12 dan adiknya Nurul Syuhada Asyiqim Jeif, 9.

Mereka dilaporkan hilang dari rumah keluarga di Ladang Monsok, Beluran.

Ketua Polis Beluran, Kasim Muda, berkata mengikut laporan kedua-duanya disedari hilang kira-kira 10 pagi.

Katanya, menurut bapa mangsa, Jeif Wong, 46, kali terakhir dia melihat kedua-dua anaknya kira-kira 8 pagi sebelum keluar ke tempat kerja.

“Sebaik menyedari kehilangan anaknya, bapa mangsa turut menghebahkan kehilangan itu di media sosial.

“Selepas itu, ada saksi mendakwa melihat kedua-duanya di Hotel London, Sandakan,” katanya dalam kenyataan.

Kasim berkata, setakat ini dua kanak-kanak terbabit masih gagal ditemui dan operasi mencari giat dijalankan di sekitar Ladang Monsok dan Hotel London.

Sehubungan itu, Kasim menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak terbabit menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran di talian 089 511222.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Muhammad Fakhrullah Wahad di talian 013 5126121 atau balai polis berhampiran.

KE MANA HILANGNYA 1.2 JUTA PELANCONG DARI CHINA?

Di manakah silapnya sehingga 1.2 juta pelancong dari negara China tidak kembali ke negara asal?

Ini menimbulkan pelbagai lagi persoalan yang merisaukan kita semua.

Kenyataan dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini menunjukkan bahawa situasi ini sangat serius dan menunjukkan satu kealpaan yang sangat besar.

Ini tidak patut berlaku kerana pihak berwajib sepatutnya bertanggungjawab mengawal kedatangan pelancong asing yang datang ke negara ini, apatah memastikan mereka pulang kembali.

Jumlah yang didedahkan JIM itu apa yang direkod, kita tidak tahu lagi pula berapa jumlah tidak direkod. Pasti berkali ganda lebih tinggi.

Itu baru pelancong dari negara China sahaja, belum lagi dikira negara-negara lain seperti Bangladesh, India dan sebagainya. Bila difikir-fikirkan, memang membimbangkan.

Saya yakin, mungkin berlakunya kepincangan dari sudut pentadbiran kerajaan yang sepatutnya tindakan segera telah diambil sejak sekian lama.

Sangat tidak logik dan tidak masuk akal perkara ini boleh dicuai dan dialpakan walhal kedatangan warga asing direkod dan dipantau.

Pihak berwajib MESTI mengambil tindakan drastik dengan segera sebelum perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dalam negara kita dengan menghantar pelancong-pelancong ini pulang ke negara asal.

Aminuddin Yahaya

Pengerusi PEMBELA

28 Julai 2022

Wanita ditahan berkait kes guru dipercayai maut lepas gaduh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penolong pegawai wanita sebuah agensi kerajaan ditahan bagi membantu siasatan kes guru lelaki yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim, kelmarin.

Wanita berusia 41 tahun itu ditahan di rumahnya di Ayer Itam, Pulau Pinang kira-kira 4 pagi hari ini.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan setakat ini siasatan awal mendapati guru pendidikan moral berusia 54 tahun itu dipercayai terbabit pergaduhan dengan beberapa lelaki di sebuah restoran kerana didakwa menyimpan gambar bogel suspek dalam telefon bimbitnya.

“Suspek mendakwa dia ada meminta tolong daripada rakan lelaki untuk memadam gambar tidak senonohnya itu selain turut berpesan supaya memberi amaran kepada mangsa.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sejauh mana kebenaran dakwaan suspek itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kematian seorang guru yang menjadi persoalan sama ada dia menjadi mangsa jenayah atau sebaliknya selepas dibawa tiga lelaki ke hospital jam 9.15 malam.

Isteri mangsa turut membuat laporan polis berhubung kejadian selepas tiga lelaki tidak dikenali sebelum itu membawa suaminya pulang dalam keadaan parah ke rumah mereka di Lunas.

Difahamkan, tiga lelaki itu mendakwa mereka terserempak dengan mangsa dalam keadaan parah konon akibat kemalangan dan isteri lelaki terbabit kemudian meminta mereka menghantar suaminya ke hospital.

Tiga lelaki yang menghantarnya ke hospital terus beredar dan pemeriksaan turut mendapati mangsa mengalami kesan lebam di mata dan luka di beberapa bahagian anggota badan selain patah tengkuk.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes terbabit dan masih memburu tiga lagi lelaki.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, G Suresh Kumar mengesahkan penahanan suspek wanita berkenaan.

“Ya…ada satu tangkapan membabitkan seorang wanita namun kita masih menjalankan siasatan mengenai kes ini,” katanya.

Pemimpin PKR dakwa PAS kini bukan kingmaker, tapi pencari laba

 B Nantha Kumar

Seorang pemimpin PKR mendakwa PAS - yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat - gagal bertindak sebagai kingmaker seperti yang dirancang mereka selama ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail berkata di sebalik kedudukan mereka dalam kerajaan PAS masih gagal menjadi pendamai ketika Umno dan Bersatu terus berseteru.

Perselisihan itu, katanya, berlaku sehingga Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mendapat tekanan daripada Bersatu.

"Nampak gaya, Bersatu telah menggerakkan serangan yang lebih 'kasar' terhadap Ismail Sabri, dengan jurucakap-jurucakap parti itu menuntut secara terbuka jawatan-jawatan termasuk timbalan perdana menteri.

"Serangan Bersatu kemudian dibalas pula oleh wakil Umno yang dilihat daripada pimpinan yang lebih rendah membalas serangan - dengan 'kasar' juga - menjadikan suhu politik negara teramat panas sekarang.

"Tapi, dalam keadaa ini kita perhatikan PAS sebagai parti yang mendakwa sebagai kingmaker atau orang tengah dilihat gagal memainkan apa-apa peranan atau fungsi untuk meredakan ketegangan ini," katanya.

PAS juga kata Azan seolah-olah menunggu peluang untuk melihat dari sebelah mana mereka boleh mendapat manfaat sama ada melalui Bersatu atau Umno.

Sepatutnya kata Azan, PAS memainkan peranan untuk meredakan keadaan serta mendamaikan Umno dan Bersatu.

Untuk rekod, kerajaan pusat hari ini merupakan gabungan BN, Perikatan Nasional (PN) serta sokongan daripada parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

PAS merupakan komponen PN namun sebelum kewujudan gabungan berkenaan, parti terbabit memeterai persefahaman dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN).

Ketika piagam berkenaan ditandatangani, Umno dan PAS sama-sama menjadi pembangkang. Hanya apabila Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan dan Bersatu keluar dari gabungan tersebut, PAS mengambil langkah sepihak bersama Bersatu membentuk PN.

Langkah itu bagaimanapun tidak disenangi Umno.

Pemimpin Umno dan Bersatu terus bertikam lidah berhubung pelbagai isu termasuk jawatan timbalan perdana menteri.

Azan berkata sikap pendiam PAS sekarang menunjukkan parti itu memang mempunyai niat tertentu untuk mendapat laba dengan melihat dari sisi mana paling menguntungkan mereka.

"Tidak seperti dijanjikan dan disuarakan oleh mereka (selaku kingmaker) kerana telah mendapat kedudukan dan lantikan besar termasuk duta khas," katanya.

Mengapa Zaid berubah fikiran tentang Najib?

Malaysiakini 

Ahli Parlimen veteran Lim Kit Siang mengakui dirinya terkejut dengan pemikiran baharu peguam terkenal, Zaid Ibrahim tentang Najib Razak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata tidak terlintas di fikirannya bahawa Zaid mengumumkan secara terbuka bahawa dia "yakin" Najib tidak bersalah dalam urusan 1MDB.

“Kini saya yakin yang Najib ditipu. Bukan sahaja oleh Jho Low tetapi juga oleh pegawainya. Dia dikelirukan oleh pegawai-pegawainya dalam 1MDB dan ditipu oleh Goldman Sachs dan Aabar Investments di Abu Dhabi.

“Jadi kerugian berbillion ringgit ini, pada pendapat saya, bukanlah kerana salah Najib, atau dalam kata lain, dia bukanlah yang merancangnya.” kata Zaid dalam video yang dimuat naik di laman Facebook.

Lim berkata perubahan pendirian Zaid, terutamanya selepas penerbitan lebih daripada 100 muka surat penghakiman oleh Hakim Azimah Omar dalam kes saman bekas Peguam Negara, Mohamad Apandi terhadap dirinya adalah mengejutkan.

Penghakiman itu menimbulkan keraguan terhadap kebenaran tentang penjelasan Najib bahawa dia menerima sumbangan "derma" RM2.6 bilion daripada Arab Saudi.

Sebagai peguam negara, Apandi menerima penjelasan Najib pada 2016 dan memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan. Najib akhirnya didakwa pada 2018 atas pertuduhan menyelewengkan dana RM2.6 bilion daripada 1MDB milik kerajaan.

Bagi Lim, dia tertanya-tanya bagaimana Zaid boleh berubah fikiran selepas membaca penghakiman Azimah.

“Atau adakah dia belum membaca penghakiman ini?” soal Lim.

Pada Selasa lalu, Najib memaklumkan Mahkamah Persekutuan bahawa dia telah menggugurkan firma guaman Muhammad Shafee Abdullah bagi mewakilinya dan sebaliknya telah melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners sebagai peguambela yang baru.

Zaid pernah menjadi ahli Umno yang kemudiannya menyertai PKR dan seterusnya menyertai DAP. Dia meninggalkan DAP pada Mei 2020.

Remaja perempuan dituduh bersubahat dengan perogol

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan bersubahat membabitkan jenayah rogol masing-masing secara individu serta rogol berkumpulan, pada pertengahan bulan yang lalu.

Tertuduh yang berusia 16 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibaca di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja itu didakwa bersubahat dengan Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20; Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21; dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun sembilan bulan dengan cara membenarkan dan menyebabkan seorang remaja perempuan yang ketika kejadian berumur 15 tahun 11 bulan dirogol yang mana kesalahan rogol itu dilakukan atas sebab persubahatan tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan di rumah beralamat tidak bernombor di Taman Dovenby, Sungai Siput, antara jam 1 hingga 2 pagi pada 14 Julai lalu yang mana kesalahan dibaca mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun sama yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun namun tidak melebihi 30 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, remaja perempuan itu didakwa bersubahat dengan Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, dengan cara membenarkan dan menyebabkan mangsa yang sama iaitu remaja perempuan berumur 15 tahun 11 bulan, dirogol yang mana kesalahan rogol itu dilakukan atas sebab-sebab persubahatan tertuduh.

Perbuatan itu pula dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput antara jam 1 pagi hingga 2 pagi pada 17 Julai lalu.

Oleh demikian bagi kertas pertuduhan kedua itu, ia dibaca mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun sama yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad dengan tertuduh diwakili dua peguam, Navin Punj dan Mahajoth Singh.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh namun mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan selepas mendengar rayuan pihak pembelaan.

Majistret menetapkan tarikh 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes selain turut memerintahkan agar tertuduh tidak boleh mengganggu saksi kes serta perlu melapor diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.

Terdahulu, tertuduh dibawa menaiki van polis pagi tadi ke perkarangan Mahkamah Kuala Kangsar bersama empat tertuduh lelaki yang bersangkutan dengan kes rogol terbabit.

Navin ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai berkata, empat tertuduh lelaki kemudiannya dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk dituduh pada petang ini memandangkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar sedang dalam tempoh cuti.

Banduan wanita dakwa dirogol, warden jual kunci sel kepada banduan lelaki

NASUHA RAHMAN

Banduan wanita didakwa bukan sahaja diraba, ditunjukkan kemaluan bahkan dirogol setelah warden penjara menjual kunci sel wanita kepada banduan lelaki.

Dengan bayaran RM4,448.34 (USD1,000) banduan wanita diserang oleh banduan lelaki memakai topeng yang diperbuat daripada tuala dan selimut itu berlangsung selama kira-kira dua jam.

Kejadian yang berlaku di sebuah penjara di Indiana, Amerika Syarikat (AS) di mana mangsa memfailkan saman terhadap pihak penjara selepas mendakwa seorang pengawal menjual kunci sel mereka kepada banduan lelaki yang menyerang mereka secara seksual.

Menerusi saman yang difailkan kepada Mahkamah Daerah AS, seramai 28 wanita mengatakan sel mereka di Penjara Clark County di Jeffersonville diceroboh sejurus selepas tengah malam pada 23 Oktober lalu.

Menurut mangsa, pengawal penjara tidak campur tangan walaupun ada kamera pengawasan di dalam penjara.

“Walaupun kejadian itu membabitkan beberapa tahanan lelaki dan berpuluh-puluh mangsa dalam tempoh yang panjang, tidak seorang pun pegawai penjara yang bertugas malam itu membantu plaintif dan mangsa lain,” menurut tuntutan mahkamah itu.

Tuntutan undang-undang mendakwa banduan lelaki meraba banduan wanita, mendedahkan kemaluan mereka, dan membuat kenyataan seksual dan mengancam. Dua daripada wanita itu mendakwa mereka dirogol.

Menurut tuntutan saman itu, walaupun banduan wanita itu adalah mangsa, pegawai penjara menghukum wanita itu, membiarkan lampu menyala berterusan selama 72 jam, meletakkan mereka di ‘lockdown’ dan merampas barang peribadi.

Selain menamakan Lowe sebagai defendan, tindakan undang-undang itu juga menuduh Sheriff Clark County, Jamey Noel cuai kerana gagal menghalang serangan itu, lapor Harian Metro

Lowe, memberitahu The Washington Post bahawa banduan mencuri kunci yang memberi mereka akses ke sel wanita dan dia hanya mengetahui mengenai serangan itu beberapa hari kemudian.

Jambatan runtuh, 8 kanak-kanak maut

Jambatan runtuh, 8 kanak-kanak maut di Filipina

AFP

Anggota keselamatan mengambil masa dua hari untuk mengeluarkan mayat mangsa dari sungai itu. (Gambar Facebook)

MANILA: Lapan kanak-kanak maut di Filipina selepas sebuah jambatan usang runtuh menyebabkan mereka terhumban ke dalam sungai ketika bermain di situ, kata pihak berkuasa tempatan.

Kejadian berlaku pada lewat Selasa di Dasmarinas City, 40km di selatan ibu negara, Manila.

Anggota keselamatan termasuk dari polis, bomba, dan pengawal pantai mengambil masa dua hari untuk mengeluarkan mayat kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 12 hingga 17 tahun itu.

Lima lagi kanak-kanak cedera ringan, kata seorang anggota penyelamat yang enggan dinamakan.

Gambar dikongsikan di Facebook Datuk Bandar Dasmarinas City Jenny Austria-Barzaga menunjukkan usaha oleh pencarian di anggota penyelamat di Sungai Imus. Kekuda besi berkarat turut dilihat tergantung 10m dari permukaan air.

Anggota berkenaan memaklumkan AFP, jambatan itu dibina berdekad lalu tetapi ditutup sejak beberapa tahun ini atas faktor keselamatan. Bagaimanapun, ia menjadi tempat berkumpulan popular dalam kalangan orang muda di kampung itu.

16 maut bas terjunam ke dalam cerun, pemandu ditahan

Bernama

Sekurang-kurangnya 16 maut manakala 47 lagi cedera selepas bas yang membawa berpuluh-puluh penumpang terbabit dalam nahas di utara Nicaragua, menurut polis hari ini.

Bas itu dilaporkan dalam perjalanan dari Managua menuju ke sempadan Nicaragua sebelum terjunam ke dalam cerun curam dan berbahaya, dikenali sebagai La Cucamonga.

Daripada 16 korban itu, 13 daripadanya adalah warga Venezuela, dan seorang lagi rakyat Nicaragua, manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti.

"Mereka yang terkorban terdiri lima wanita dan 11 lelaki," lapor agensi berita Anadolu yang memetik kenyataan polis.

Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila bas yang dipandu laju itu bertembung dengan dua buah kereta sebelum terjunam.

Pemandu bas turut ditahan bagi membantu siasatan.

- Bernama

Pelakon veteran didakwa ludah wanita

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

am@hmetro.com.my

Taiping: "Jangan viral (tular), okay." Demikian amaran diberi oleh pelakon veteran yang dikenali dengan gelaran Mak Wan Latah kepada petugas media yang merakam visual beliau sejurus sebelum memasuki kamar bicara Mahkmah Majistret, di sini, hari ini.

Mak Wan Latah atau nama sebenarnya, Halimatussa'diah Mohd Daud, 61, dihadapakan ke mahkamah itu atas tuduhan berkelakuan aib iaitu meludah dengan tujuan membangkitkan kemarahan terhadap seorang wanita, bulan lalu.

Halimatussa'diah bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Nur 'Atiqah Sapari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja meludah kepada Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28, di Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, di sini kira-kira 7 malam, 24 Jun lalu.

TERTUDUH sebelum memasuki kamar bicara. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

TERTUDUH sebelum memasuki kamar bicara. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Taiping, Inspektor Khoo Thean Heng menawarkan jumlah jaminan RM5,000 terhadap tertuduh sebelum Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000.

Ia selepas peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebngsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, T Selvadoray meminta mahkamah mengambil kira pendapatan tertuduh yang tidak menentu kerana bekerja sambilan selain merupakan ibu tunggal kepada empat anak.

Majistret turut menetapkan 5 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mayat reput dua beradik warga Arab Saudi ditemukan

ASRA Abdullah Alsehli (kiri) dan Amaal Abdullah Alsehli (kanan). - AGENSI

SYDNEY: Mayat dua adik beradik warga Arab Saudi ditemukan dalam keadaan sudah reput di sebuah apartmen di barat daya Sydney, Australia.

Beberapa gambar mengerikan memaparkan mayat reput Asra Abdullah Alsehli, 24, dan Amaal Abdullah Alsehli, 23, ditemukan dalam bilik tidur berasingan di apartmen itu.

Lapor Daily Mail, polis masih cuba menyelesaikan misteri penemuan mayat wanita muda itu termasuk punca kematian, tujuan berada di Australia, pekerjaan dilakukan dan maklumat lain mengenai diri mereka.

“Daripada dikatakan memandu kereta mewah hingga pergerakan mereka yang luar biasa, banyak persoalan tidak terjawab menyebabkan penyiasat buntu.

“Polis dalam sidang akhbar turut meminta orang ramai memberi maklumat mengenai dua beradik itu.

“Malah, punca kematian mereka masih samar walaupun proses bedah siasatan sudah dijalankan,” jelas laporan itu.

Polis menemukan mayat adik-beradik itu di apartmen Canterbury ketika melakukan pemeriksaan kebajikan pada 7 Jun lalu.

Namun, pasukan penyiasat percaya wanita berkenaan meninggal dunia pada awal bulan Mei.

Setakat ini, punca kematian Asra dan Amaal tidak dapat dipastikan serta tiada tanda-tanda menunjukkan rumah mereka dipecah masuk.

Malah, tiada sesiapa juga tampil melaporkan kehilangan adik-beradik itu atau menyedari ketiadaan mereka.

Hanya pemilik rumah mengesan sesuatu tidak kena dengan dua beradik itu selepas memfailkan kes sivil terhadap Amaal pada 13 Mei lalu kerana gagal membayar sewa.

Dilaporkan, proses bedah siasat mangsa dijalankan pada 9 dan 10 Jun lalu.

Namun, detektif Claudia Allcroft berkata, polis masih tidak dapat mengenal punca kematian wanita tersebut.

Kes ini dianggap mencurigakan namun detektif berharap agar ujian toksikologi yang masih sedang berjalan dapat merungkai misteri kematian dua beradik itu.

Penceramah bebas direman 5 hari bantu siasatan kes rogol remaja

Bernama

IPOH: Seorang penceramah bebas direman lima hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berumur 14 tahun di negeri ini.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang berkemeja-T dan tangan bergari, dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kira-kira 1 tengah hari tadi.

Tempoh reman bermula hari ini sehingga Isnin depan dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Polis Perak sebelum ini mengesahkan menerima satu laporan berhubung kes rogol remaja dipercayai membabitkan seorang penceramah bebas popular, yang ditahan di Selangor pada 18 Julai lepas melibatkan mangsa sama dan siasatan sedang dijalankan berhubung laporan itu.

Penceramah bebas itu dilaporkan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Sabtu lepas, suspek diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut berhubung kejadian rogol yang dilaporkan turut berlaku di negeri itu, selepas tempoh reman lima hari di Selangor tamat.

Difahamkan, polis Perak menahan suspek di Kuala Lumpur semalam bagi membantu siasatan kes rogol yang dipercayai berlaku di Ipoh pada Januari lepas.

Berdasarkan siasatan awal, perkenalan di antara suspek dan remaja bawah umur itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lepas.

MoU tak sambung petanda PRU makin hampir?

Hakimie Amrie Hisamudin

PETALING JAYA: Keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak menyambung memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) menjadi petanda pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan tidak lama lagi, kata penganalisis politik.

Walaupun MoU yang ditandatangani pada September lepas itu tiada tarikh luput, kerajaan dan PH bersetuju tidak mengadakan PRU15 sebelum 31 Julai.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, keputusan Ismail itu akan memberi manfaat besar kepada Umno dan perdana menteri.

Tambahnya, dengan tidak menyambung MoU itu, Ismail yang juga naib presiden Umno menunjukkan bahawa beliau mengutamakan partinya.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Ismail tidak lagi mampu menahan desakan parti supaya PRU diadakan seawal mungkin.

“Tanpa sokongan PH, dengan sokongan Perikatan Nasional semakin goyah saban hari, Ismail tidak akan mampu menahan desakan bertalu-talu oleh partinya,” katanya.

Semalam, Ismail berkata, Umno memutuskan untuk tidak menyambung MoU itu, maka beliau mematuhi keputusan partinya.

Katanya, beliau telah menemui pemimpin pembangkang dan memberi jaminan bahawa sama ada MoU wujud atau tidak, kerajaan persekutuan akan terus bekerjasama dalam isu yang telah dipersetujui dengan pembangkang sebelum ini.

Dengan menandatangani MoU itu, Ismail dan pemimpin PH bersetuju untuk bekerjasama bagi membantu memacu pemulihan ekonomi dan mengembalikan kestabilan politik sementara kerajaan menangani wabak Covid-19.

Siapa bunuh budak ditanam bawah lantai dapur pada 2015?

Ho Kit Yen

PETALING JAYA: Pada 2015, pasangan dari Sabah Loo Chon Wen and Tan Boa Jia berpindah secara tergesa-gesa dari rumah yang disewa mereka di Kepong, tidak lama selepas kerja mengubah suai selesai di rumah tersebut.

Tindakan ini menimbulkan syak wasangka tuan rumah mereka, Ng Bee Juan.

Ng pergi ke rumah tersebut dan mendapati lantai dapur rumah disimen semula. Beliau memanggil kontraktor untuk memecahkan lantai simen itu dan terkejut dengan apa yang mereka temui – mayat seorang kanak-kanak yang berbau.

Mayat itu kemudiannya diketahui sebagai anak lelaki pasangan tersebut, Loo Yong Shen. Kanak-kanak berusia 9 tahun itu ialah seorang daripada empat anak pasangan tersebut; yang lain berusia 14, 10, dan tujuh tahun.

Pasangan itu ditahan dan Loo didakwa atas tuduhan membunuh dengan kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Isterinya, Tan, didakwa atas tuduhan melupuskan barang kes dengan menanam mayat anak mereka. Dia mengaku bersalah pada 12 Nov 2015 dan dihukum penjara dua tahun.

Keputusan tidak disangka

Kes itu dibicarakan selama dua tahun, dengan 17 saksi dipanggil memberi keterangan. Pada 2018, Hakim Mahkamah Tinggi, Ghazali Cha membebaskan Loo selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya.

Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil saksi material seperti Tan dan anaknya yang lain, serta ahli kimia yang menjalankan ujian DNA untuk membuktikan hubungan pasangan itu dengan mayat kanak-kanak lelaki yang ditanam itu.

Mahkamah mengurangkan tuduhan bunuh Loo kepada melupuskan barang kes, sama seperti tuduhan terhadap isterinya. Loo mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dari tarikh dia ditangkap pada 30 Mac 2015.

Apa yang berlaku semasa perbicaraan?

Peguam Loo, Mak Kah Keong berkata, keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan tidak cukup untuk mengaitkan anak guamnya dengan kematian Yong Shen.

Menurut Mak, wujud kelompongan dalam kes pendakwaan, seperti dakwaan mereka bahawa Loo memukul budak itu hingga mati.

Kes itu dibicarakan selama dua tahun, sebelum hakim Mahkamah Tinggi membebaskan Loo, mengurangkan tuduhan bunuh kepada melupuskan barang kes.

“Tiada keterangan dikemukakan semasa perbicaraan menunjukkan budak itu dipukul. Malah, struktur tulangnya masih utuh.”

Mak berkata, Tan yang ketika itu telah dibebaskan, sepatutnya menjadi saksi utama pendakwaan, tetapi tidak dipanggil memberi keterangan. Polis juga gagal mengesan Tan dan anak-anaknya.

Tambahnya, pihak pendakwaan cuba mengemukakan kenyataan yang direkodkan daripada anak-anak pasangan itu, tetapi pihak pembelaan membantah atas alasan ia tidak memenuhi syarat undang-undang.

“Kenyataan dua daripada anak-anak itu dirakam menerusi rakan keluarga itu, yang diterjemah dari dialek tempatan Sabah kepada Bahasa Melayu,” jelas Mak.

“Hanya anak sulung pasangan itu bercakap dalam Bahasa Melayu kepada pegawai polis yang merakam kenyataannya.”

Beliau berkata, kedua-dua rakan keluarga dan pegawai polis yang merakam kenyataan tersebut tidak dipanggil memberi keterangan, dan ini menjadi kepincangan besar bagi kes pendakwaan. Satu lagi kepincangan yang dinyatakan Mak ialah kegagalan pegawai penyiasat mengenal pasti mayat Yong Shen.

Mak berkata, tidak pasti sama ada pihak pendakwaan pernah membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Loo daripada tuduhan membunuh, atau sama ada mereka gagal menyampaikan notis rayuan kepada Loo.

Kebiasaannya, jika notis rayuan tidak disampaikan selepas beberapa percubaan, mahkamah lebih tinggi akan membatalkan notis itu, sekali gus mengekalkan penghakiman mahkamah asal.

Mak tidak tahu di mana Loo berada, dan beliau tidak bercakap dengan lelaki itu sejak dia dimasukkan ke penjara kerana menyembunyikan barang kes.

Tujuh tahun selepas mayat Yong Shen ditemui, dan dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa tiada keterangan mengaitkan Loo dengan kematian anak lelakinya, persoalan tentang apa yang sebenarnya berlaku masih tidak terjawab.

FMT telah menghubungi Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan komen, tetapi belum menerima jawapan ketika laporan ini diterbitkan.

2 kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh

Juwan Riduan

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Dua kanak-kanak maut manakala dua lagi cedera tertimbus tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, di sini, malam tadi.

Mangsa Norain Jaziz, 11, dan Isa Sabri, 2, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), manakala Siti Nur, 28, parah patah tangan dan suaminya Sabri Botong, 28, cedera ringan di kaki menerima rawatan hospital sama .

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu 8.26 malam tadi.

Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku tanah runtuh menghempap sebuah rumah yang didiami sembilan sekeluarga.

"Terdapat empat mangsa terbabit dalam kejadian itu dengan tiga daripada mereka tertimbus tanah dan pokok, manakala satu lagi cedera di kaki," katanya, malam tadi.

Menurut kenyataan itu, seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

"Dua lagi mangsa perempuan termasuk seorang kanak-kanak yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan orang awam.

"Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan EMRS dan ambulans.

"Dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di hospital manakala dua lagi mangsa yang cedera kini menerima rawatan," katanya.

Katanya lagi, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain terbabit operasi ditamatkan kira-kira 10 malam tadi.

Wanita batal perkahwinan selepas lihat bakal suami dimandikan ibunya

KOSMO!

BEIJING – Seorang wanita di China bertindak membatalkan perkahwinannya setelah mengetahui bahawa calon suami masih dimandikan oleh ibu sendiri, lapor portal berita Wolipop.

Kejadian itu berlaku di bandar Sutian, wilayah Jiangsu ketika kedua-dua bakal pengantin itu sedang membuat persediaan untuk majlis perkahwinan mereka. 

Pada malam sebelum perkahwinan berlangsung, wanita dikenali sebagai Chen itu singgah di rumah bakal suaminya, Li sambil membawa beberapa barang dan memeriksa persiapan di sana.

Ketika itu, dia melihat bakal ibu mentuanya sibuk menghias bilik pengantin dan melakukan beberapa kerja lain.

Bagaimanapun, Chen kemudian melihat bakal ibu mentuanya masuk ke dalam bilik bakal suaminya. Dia melihat wanita itu memandikan bakal suaminya, manakala lelaki itu kelihatan sudah biasa dimandikan kerana kelihatan selesa. 

Pelbagai prasangka timbul dalam fikiran Chen. Dia kecewa dan tidak dapat menerima perbuatan tersebut.

Menurutnya, tidak normal bagi seorang lelaki dewasa yang bakal berkahwin masih dimandikan oleh ibu sendiri. Lelaki seperti itu akan sentiasa terikat dengan ibunya dan akhirnya akan menyukarkan perkahwinan mereka.

Dia memutuskan untuk membatalkan perkahwinan mereka tetapi keluarga bakal suaminya tidak dapat menerima penolakan tersebut kerana semua persiapan sudah hampir lengkap.

Li juga berkata, mereka sudah lama bercinta, jadi tiada sebab untuk membatalkan perkahwinan itu. Ibunya berasa amat sedih dan tidak menyangka perbuatan tersebut akan memberi kesan sebegitu rupa. – Agensi

Pas pelik pernah dakwa SOSMA haram tidak ikut Islam tetapi hari ini…

NASUHA RAHMAN

Tindakan Pas menyokong Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) hari ini adalah tindakan pelik di mana Pas pernah mendakwa akta ini haram kerana tidak mengikut keadilan Islam.

Peguam Faiz Fadzil berkata, malangnya hari ini Pas telah menukar fatwanya dengan berlapikkan dalil yang dibimbangi Islam dilihat rapuh kerana dengan sikap Pas sebegini.

“Islam melarang kita cenderung kepada perkara yang zalim,” katanya yang juga ADUN Permatang Pasir.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah satu undang-undang statute yang zalim dan drakonian yang bertentangan dengan hak dan kebebasan individu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Zalim ini bermaksud peruntukan yang tidak memberikan kebebasan kepada seseorang individu yang ditahan sepertimana undang-undang lazim.

Sebagai contoh, katanya, SOSMA membenarkan tahanan untuk siasatan polis selama 28 hari berbanding 14 hari dalam undang-undang lazim (Kanun Prosedur Jenayah-CPC).

“Akses kepada peguam juga dinafikan sepanjang tempoh penahanan 28 hari tersebut.

“Sementara menunggu bicara pula, individu tersebut tidak boleh dijamin dan perlu berada dalam penjara, sedangkan di bawah undang-undang lazim, boleh diikat jamin bergantung kepada kesalahan.

“Semasa bicara pula, keterangan yang salah (inadmissible) dalam undang-undang lazim juga dianggap boleh diterima. Peruntukan ini amat tidak adil kepada individu tersebut,” katanya.

Malangnya, kata beliau apa yang berlaku hari ini di Parlimen adalah kelulusan RUU untuk melanjutkan SOSMA berkaitan tempoh penahanan 28 hari untuk penyiasatan polis.

Jelasnya, peruntukan ini memberikan satu tempoh tahanan yang terlalu panjang.

“Walaupun ianya satu kuasa kerajaan, namun apabila keseluruhan SOSMA ini zalim, sebarang peruntukan di dalam Akta ini adalah zalim.

“Ibarat, injin kereta yang haram digunakan akan menjadikan kereta tersebut haram,” ujarnya lagi.

Parlimen telah meluluskan usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), undang-undang kontroversi yang membenarkan suspek ditahan selama 28 hari tanpa tuduhan atas dakwaan kesalahan keselamatan negara, walaupun mendapat tentangan kuat daripada Ahli Parlimen pembangkang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun semasa sidang pada Selasa berkata usul itu diluluskan selepas 111 Ahli Parlimen mengundi memihak kepada perlanjutan undang-undang berkenaan, manakala 88 lagi menentangnya dengan 21 lagi tidak hadir untuk mengundi.

Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan usul dibawa Menteri Dalam Negeri itu bagi membatalkan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Parlimen, Mac lepas yang menolak penguatkuasaannya bagi membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan selama lima tahun lagi.

Hamzah telah pertama kali membentangkan usul lanjutan tersebut pada 23 Mac lepas, tetapi gagal mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Polis, Perhilitan siasat kes ADUN Pahang disyaki guna bom ikan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang menyiasat seorang ADUN Pahang yang didakwa menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, Jerantut baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan polis dibuat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana menularkan laporan berkaitan kes itu di media sosial.

Katanya, Perhilitan akan menjalankan siasatan berhubung kes letupan itu.

“Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan kami akan memanggil semua saksi kes terbabit,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Minggu lalu, tular di media sosial berhubung tindakan seorang wakil rakyat yang didakwa menggunakan peledak untuk menangkap ikan di Sungai Sepia sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Kebanyakan warganet menganggap perbuatan itu tidak beretika dan bertanggungjawab.

Ahad lalu, seorang kontraktor mengaku melempar mercun bola ke Sungai Sepia ketika mengikuti lawatan kerja rombongan ADUN Pahang pada 15 dan 16 Julai lalu.

Mohd Rosli Awang, 44, mengaku membawa mercun bola itu sebagai perlindungan daripada ancaman binatang buas, khususnya di kawasan Ulu Tembeling, tetapi dia menafikan menggunakan bom ikan untuk menangkap ikan di sungai itu seperti yang tular di media sosial.

“Kalau bertembung lori tangki baru ada akal” – Polis pengiring potong di garisan berkembar cetus kemarahan ramai

SITI NUR ZAWANI MISCON

Beberapa hari lalu tular di media sosial memaparkan tindakan berbahaya pasukan polis pengiring yang selamba memotong di garisan berkembar sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

Menerusi video dashcam yang dikongsikan seorang pengguna Facebook, Hamdan Zakaria, dapat dilihat sebuah kereta peronda polis yang sedang mengiringi dua buah trak tunda dan sebuah pikap, memasuki lorong bertentangan dengan sangat laju.

Ini membuatkan pemilik dashcam yang sedang memandu pada kelajuan hampir 80km/jam terpaksa mengelak ke tepi dan memasuki lorong kecemasan secara mengejut.

Bahkan, individu tersebut turut meluahkan rasa geram kerana dia nyaris kemalangan atas perbuatan bahaya polis pengiring terbabit dan bertanyakan sama ada dia berhak untuk membuat aduan berhubung perkara itu.

“Salam boleh bagi pendapat. Jika berlaku kemalangan adakah saya salah? atau polis yang escort tu salah? Bagi saya, kereta polis tu buat satu perkara yang sangat berbahaya. Nyaris nak accident. Bernasib baik sebab tepi tu ada rumput dan sempat ketepi.

“Tolong bagi pendapat. Jika polis tu salah, adakah saya berhak untuk aduan kerana membahayakan pengguna jalan raya lain. Jalan kecil, dan bukannya highway,” tulis pemilik dashcam berkenaan.

Hal itu kemudian mengundang kemarahan dan makian orang ramai kerana bengang dengan sikap polis pengiring yang sentiasa menimbulkan isu tidak wajar di atas jalan raya.

Apa yang menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna media sosial juga ialah escort tersebut bukanlah dalam situasi kecemasan sebaliknya hanya membawa dua buah kenderaan mewah yang terletak di atas dua trak tunda berkenaan.

Individu hina Islam, mengaku nabi wanita pertama

KOSMO!

Tangkap layar memaparkan tindakan seorang individu menghina Islam menerusi beberapa video yang dikongsikan di media sosial.

PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita, Mariam Hadid yang terkenal di media sosial dengan beraninya menggelarkan dirinya sebagai nabi wanita pertama sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Meninjau ke laman TikTok milinya, pelbagai video ‘lucah’ turut dikongsikan dengan mempamerkan aksi keterlaluan serta pakaian tidak senonoh walaupun dia turut memakai hijab.

Katanya, tudung adalah perhiasan orang Islam yang perlu dipakai, namun cara pemakaian dan pemilihan baju itu terpulang pada individu walaupun mereka ingin menggayakan dalam bentuk seksi.

Difahamkan, dia merupakan seorang wanita Arab dan lokasinya ketika ini masih tidak diketahui.

Lebih parah, dia juga memuat naik video sedang membaca al-Quran serta mengajuk pergerakan dan bacaan ketika solat sambil memakai kostum ‘lucah’.

Bagaimanapun, orang ramai menggesa laporan dibuat kepada pihak TikTok agar akaun tersebut disekat kerana hasil perkongsiannya menghina agama Islam. – KOSMO! ONLINE

PH tidak sokong RUU IPCC

FAZLI RADZI

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi kenyataan hari ini, blok pembangkang tersebut menegaskan RUU yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan berhubung aduan tatakelakuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tidak memenuhi hasrat reformasi institusi yang diharapkan.

Menurut kenyataan bersama itu, RUU IPCC mempunyai banyak kepincangan dan lebih lemah berbanding badan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang wujud sekarang dan RUU IPCMC yang pernah dicadangkan sebelum ini.

Jelasnya, antara kelemahan RUU IPCC ialah anggota Suruhanjaya tidak berkecuali dan boleh dilucutkan bila-bila masa dan tanpa sebab dan Setiausaha Suruhanjaya dilantik Menteri Dalam Negeri, manakala EAIC melantik setiausahanya sendiri pada masa ini.

Berbeza dengan EAIC juga, Majlis Presiden PH berpendapat IPCC tiada kuasa siasatan seperti yang ada pada EAIC serta tidak membolehkan Suruhanjaya meneliti hal-hal di bawah Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO).

Turut dilihat sebagai kelemahan IPCC apabila tiada peruntukan untuk suatu lembaga tatatertib.

Dalam hal berkaitan, Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU IPCC 2020 dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan ketiga oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan dibahas seramai 18 Ahli Parlimen.

Menurut Hamzah pada sesi penggulungan perbahasan RUU itu, pihaknya mengadakan libat urus dengan seramai 1,059 orang berhubung IPCC.

Selain itu, sesi taklimat turut dianjurkan dengan banyak pihak termasuk pimpinan tertinggi PDRM, persatuan bekas polis dan wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kerajaan hari ini ibarat kapal hanyut tidak tahu nak berlabuh di mana, atau tenggelam

NASUHA RAHMAN

Kerajaan BN dan PN hari ini ibarat sebuah ‘kapal’ yang hanyut dan tidak tahu di mana akan berlabuh atau ianya akan tenggelam begitu sahaja, demikian menurut Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz turut memberi perumpamaan jika rakyat tidak turun daripada kapal ini maka rakyat pun akan turut tenggelam bersama.

“Kerjaaan hari ini ibarat kapal hanyut yang dan tidak tahu di mana ia akan berlabuh sama ada oa boleh berlabuh atau tenggelam.

“Kalau kita tidak turun dari kapal ini maka kita akan turut tenggelam bersama kapal ini” katanya.

Kerajaan hari ini ibarat kapal hanyut tidak tahu nak berlabuh di mana, atau tenggelam

Mahfuz Omar menandatangani memorandum daripada NGO Jaringan Pengeluar Makanan

Mahfuz berkata demikian ketika menerima memorandum daripada NGO Jaringan Pengeluar Makanan bagi Selamatkan Pengeluar Makanan Tempatan di hadapan bangunan Parlimen pagi tadi.

Naib Presien AMANAH itu percaya sesuatu kedaulatan tidak berupaya diangkat jikalau kedaulatan kuasa rakyat tidak diangkat bersama.

Katanya, kedaulatan kuasa rakyat paling utama untuk memastikan kedaulatan makanan akan terpelihara.

“Angkat kedaulatan kuasa rakyat untuk angkat kedaulatan negara yang meliputi persoalan-persoalan pertanian, padi, pekebun, penternak dan juga nelayan di mana seluruh rakyat diangkat bersama,” katanya.

Wakil-wakil petani, pesawah, penternak dan nelayan daripada Jaringan Pengeluar Makanan turt hadir menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Menteri Pertanian, berkenaan dengan Krisis Sekuriti Makanan di Malaysia.

Ngo Jaringan Pengeluar Makanan meminta satu tindakan segera bagi menyelamatkan pengeluar makanan tempatan antaranya untuk pesawah di mana menukar semua subsidi input pengeluaran padi kepada bentuk tunai atau voucher, meningkatkan insentif harga padi kepada 80 sen sekilogram dan bayaran wang sara hidup sementara menunggu hasil tuaian, menyelesaikan isu pemerasan pesawah di peringkat kilang, dan mengiktiraf pesawah padi sebagai Pegawai Keselamatan Makanan yang ditawarkan pencen.

Untuk nelayan pula, mereka memohon Jabatan Alam Sekitar menubuhkan ‘task force’ bebas untuk melakukan kajian EIA, dan membatalkan projek penambakan laut PSR.

Penternak lembu turut memohon agar menghentikan tindakan mengusir penternak daripada ladang Sime Darby, selain melanjutkan dialog antara Sime Darby dengan penternak yang terlibat, dan bertindak adil dalam mengawal selia harga jualan susu dan daging lembu.

Polis tunggu laporan bedah siasat untuk kenal pasti identiti mayat berbungkus

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti identiti mayat yang ditemui berhampiran kolam air panas di Jalan Gua Musang-Lojing di Gua Musang pada Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 8.30 malam memaklumkan penemuan mayat itu yang kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

“Berdasarkan keadaan mayat yang ditemui, saya percaya ia lebih daripada tempoh sehari.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu perkembangan laporan hasil bedah siasat yang akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya menurut Harian Metro.

Sebelum ini, satu klip video 29 saat tular di aplikasi TikTok mengenai penemuan mayat dalam keadaan berbungkus dan dipercayai berulat dekat kolam air panas di Jalan Gua Musang-Lojing.

Najib lantik Zaid Ibrahim ketuai rayuan akhir kes SRC International

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak melantik pasukan pembelaan baharu yang diketuai oleh Zaid Ibrahim untuk mewakili pasukan pembelaan dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan kes SRC International.

Dalam surat kepada Mahkamah Persekutuan, bekas peguamnya dari firma Shafee & Co memaklumkan mahkamah bahawa Najib telah melepaskan mereka.

Mahkamah perintah Jamal bayar Teresa Kok RM300,000

Hariz Mohd

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos membayar RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai ganti rugi berhubung ucapan yang dibuat pada 2017, di mana beliau menuduh ahli parlimen itu menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Arief Emran Arifin membuat perintah itu selepas membenarkan saman fitnah Kok terhadap pemimpin Umno itu.

“... defendan gagal membuktikan pembelaannya.

“(Saya dengan ini memerintahkan defendan membayar) ganti rugi, termasuk ganti rugi am, teruk dan teladan, berjumlah RM300,000.

"Jumlah itu perlu dibayar oleh defendan kepada plaintif dalam tempoh 14 hari dari hari ini,” kata Arief ketika menyampaikan penghakimannya.

Arief turut memerintahkan Jamal, yang tidak hadir ke mahkamah hari ini, membayar RM50,000 lagi sebagai kos, dan mengeluarkan injunksi untuk melarang dia atau ejennya daripada mengulangi dakwaan itu.

Selain Kok, Jamal juga mendakwa beberapa ahli politik dari Kuala Lumpur dan Selangor telah menggunakan dana untuk bantuan kebajikan tersebut demikepentingan peribadi.

Dia mendakwa ahli politik itu mengeluarkan wang tunai daripada dana Yawas tetapi tidak pernah mengagihkannya kepada penerima yang layak.

Dakwa undi PH jahil agama, ini deretan sindiran warganet terhadap Presiden Pas

FAZLI RADZI

Anggapan Presiden Pas, Datuk Sri Abdul Hadi Awang bahawa keputusan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 sebagai jahil agama sendiri dilihat mengundang deretan sindiran warganet.

Orang ramai menyelar kenyataan Duta Khas ke Asia Barat berkenaan yang dilihat seolah-olah hanya pengundi Pas celik agama di Malaysia ini.

Antaranya, penguna Facebook Spark Nauza menyoal kembali mengapa Pas boleh sahaja bekerjasama dengan Bersatu merupakan komponen PH pada PRU 2018.

“Muhyiddin dan geng-geng dia bertanding masa PRU lepas bawa nama PH. Dah tu, kenapa tok guru pergi kerjasama dengan puak tu?” soalnya.

Tindakan Pas turun ke Tanjung Piai untuk menyokong MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu pada 2019 turut dibangkitkan netizen.

“Semasa PRK Tanjung Piai, Hadi reti pula suruh undi calon MCA,” kata Mat Lutfi.

Untuk rekod, dalam ucapannya pada Ceramah Perdana BN pada 2019, Hadi berkata Pas boleh menyokong calon MCA itu kerana Islam yang diajar bukan sahaja satu agama tetapi mengajar hidup bermasyarakat yang majmuk.

Tidak kurang juga kalangan warganet secara menyindir berharap supaya rakyat negara ini memaafkan saja Hadi yang dikenali dengan amanat penuh kontroversinya pada 1981 itu.

Seorang warganet menulis, “Dah biasa (Hadi) berkata-kata begitu. Maafkan dia. Dah lama tak pergi Timur Tengah. Mungkin terlupa.”

Terdahulu, Abdul Hadi dalam Amanat Khas Presiden dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di Alor Setar mengaitkan tindakan tidak mengundi Pas pada PRU14 sebagai jahil agama.

“Malangnya kita menghadapi orang Islam yang jahil agama, tak tahu agama dia sendiri.

“PRU14 pilih orang bukan-Islam jadi wakil rakyat, pilih orang liberal menjadi wakil rakyat. Berlaku kerajaan yang kacau bilau, Kerajaan Pakatan Harapan, yang lebih teruk daripada Umno.

“Umno ada masalah, tapi PH lebih mencabar Islam, mencabar Perlembagaan, mencabar Raja-raja. Gejala-gejala menghina Islam. Ini kerana kejahilan orang Islam. Kita mesti bersabar menghadapi kejahilan orang Islam,” dipetik Harakahdaily.

Susulan itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri dalam kenyataannya berkata, tindakan menyalahkan pengundi yang tidak memilih Pas pada PRU14 lalu sebagai jahil agama adalah tidak wajar.

Jelasnya, Abdul Hadi harus memahami kedudukan umat Islam yang terpedaya dengan janji manis yang tidak realistik, bukan kerana mereka tidak mengenal Islam sepenuhnya.

“Pada PRU14, bukan saja PAS, malah BN yang terbukti berpengalaman, berjaya membangunkan negara dan menjalankan dasar sejajar Islam pun dikaramkan dengan dakyah fitnah akhir zaman ini,” kata Syed Mohd Johan dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pramugara temui kepala ular dalam makanan ketika penerbangan

KOSMO!

Kru penerbangan tersebut terkejut apabila menemui kepala ular dalam keadaan seperti sedang merenung tajam arahnya. – YouTube/Newspaper Wall

ANTALYA, TURKI – Pramugara sebuah syarikat penerbangan tambang murah  Turki terkejut apabila menemui kepala ular dalam makanan untuk dihidangkan kepada penumpang   pada Khamis lalu, lapor akhbar The Sun.

Kru kabin penerbangan SunExpress merakam imej tersebut dan memuat naiknya di internet.

Kejadian semasa penerbangan dari Ankara ke Dusseldorf, Jerman itu disedari apabila kakitangan tersebut membuka bungkusan makanan dalam penerbangan.

Dia terkejut menemui kepala ular dalam keadaan seperti sedang merenung tajam ke arahnya.

Media tempatan, Bolge Gundem melaporkan bahawa dakwaan tersebut mendorong kru kabin  lain mengadu mengenai keadaan makanan  teruk yang diterima oleh SunExpress. 

Sebelum ini, kru penerbangan pernah menemui kumbang dan siput babi dalam makanan penumpang.

SunExpress yang berpangkalan di Antalya dalam satu kenyataan berkata, perkara itu  tidak boleh diterima sama sekali.

“Adalah keutamaan kami untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada penumpang dan pengalaman penerbangan yang selamat buat kakitangan SunExpress.

“Dakwaan mengenai keadaan makanan seperti  dilaporkan media adalah tidak boleh diterima, justeru, siasatan terperinci akan dilakukan,” demikian menurut kenyataan SunExpress.

Dalam pada itu, syarikat katering yang menyediakan makanan tersebut, Sancak Inflight Services mendakwa bahawa hidangannya dimasak pada suhu 280 darjah Celsius dan menafikan insiden itu berlaku di dapur kendaliannya.

“SunExpress merupakan pelanggan kami yang amat bernilai. 

“Kami tidak menggunakan sebarang objek asing yang tidak sepatutnya semasa proses memasak,” kata kenyataan itu.

Syarikat berkenaan turut mendakwa bahawa kepala ular itu telah dimasukkan ke dalam makanan pada satu tarikh kemudian. – Agensi 

Tokoh korporat, Mustapha Kamal meninggal dunia

FMT Reporters

Tokoh korporat ternama, Mustapha Kamal Abu Bakar meninggal dunia pada usia 73 tahun. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Tokoh korporat ternama, Mustapha Kamal Abu Bakar dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua.

Berita itu disahkan anak, Felina yang memaklumkan ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada 7.45 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN), menurut Astro Awani..

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.

Malaysia boleh jadi bankrap jika Waris Kesultanan Sulu berjaya tuntut RM62.59 bilion

MOHD ALI HASHIM

Malaysia boleh jadi bankrap jika waris Kesultanan Sulu berjaya menuntut RM62.59 bilion, demikian menurut anggota Jawatankuasa Piihan Khas Hak Asasi dan Hak-hak Di Bawah Perlembagaan Parlimen ke-14, Hassan Abdul Karim.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan politik sempit untuk faedah domestik apabila berdepan ancaman kedaulatan wilayah dari musuh yang berada di luar, sebaliknya perlu mengambil pendekatan patriotik demi keutuhan negara.

Malah katanya, ancaman Waris Kesultanan Sulu adalah ugutan yang nyata dan bukan diada-adakan dari isu wilayah berjiran, Malaysia dan Filipina sehinggalah kini isu tersebut menjadi isu global dan antarabangsa.

“Isu ini bukan lagi isu meriam, senapang dan peluru. Sebaliknya ia kini sudah menjadi isu perundangan antarabangsa.

“Manakala kerajaan PN dan BN tidak boleh berhujah kepada dunia bahawa ini bukan kesalahan mereka dan tidak juga boleh mendakwa ia sebagai kesalahan kerajaan Pakatan Harapan(PH) yang lalu.

“Begitu juga mantan-mantan Perdana Menteri(PM) dan menteri-menteri PH tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka dan berkata, bahawa ini bukan salah mereka, tetapi ini kecuaian PM.

“Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN yang terdahulu keana undang-undang pentadbiran dalam negara dan di pentas antarabangsa tidak beroperasi sedemikian.

“Usaha menyalahkan kecuaian dan tindakan Najib dalam isu ini boleh dibuat, tetapi hanya untuk mendapat skor politik semasa bagi faedah politik sementara dalam pilihan umum yang akan tiba tidak lama lagi.

“Namun begitu tindakan menyalahkan Najib tidak akan membantu usaha Malaysia untuk mencabar keputusan tribunal timbangtara di Mahkamah Perancis,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Tambahnya, secara serius yang perlu dilihat, disemak dan diteliti ialah apakah tindakan kerajaan PM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dibantu oleh kabinet pimpinannya secara tanggungjawab bersama atau kolektif memikul tanggungjawsb barisan hadapan menghadapi tuntutan Waris Kesultanan Sulu dari sudut perundangan antarabangsa.

Tegas beliau lagi, persoalan relevan seluruh rakyat Malaysia perlu tahu adakah kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan di Mahkamah Perancis dalam tempoh masa yang dibenarkan oleh sistem Mahkamah Perancis (dalam prosidur merayu sesuatu keputusan tribunal timbangtara).

Hassan berkata, sekiranya kerajaan Malaysia melalui Jabatan Peguam Negara membuat rayuan dalam tempoh masa yang dibenarkan, maka kerajaan Malaysia telah melakukan langkah yang betul.

Namun begitu kata beliau lagi, seandainya berlaku sebaliknya, maka kerajaan telah melakukan kecuain yang serius dan kerajaan yang cuai wajib dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang

Sejajar dengan itu, 222 Ahli Parlimen Malaysia tidak dipilih untuk menjadi ‘ahli hotel’ sebaliknya mereka dipilih untuk menjadi Ahli Parlimen dan sebuah kerajaan yang bermaruah mesti memberi taklimat atau penerangan kepada seluruh Ahli Parlimen yang dipilih.

Rakyat serta Speaker dan PM sebagai Ketua Majlis Dewan Rakyat harus memahami prinsip demokrasi berparlimen tersebut.

6 suspek kes bakar remaja lelaki direman lima hari

NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

Suspek utama (dua dari kanan) dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas direman lima hari bagi membantu siasatan membakar remaja 15 tahun.

KEMAMAN – Seorang penganggur lelaki disyaki suspek utama kes bakar seorang remaja lelaki berusia 15 tahun sehingga melecur pada Jumaat lalu telah direman selama lima hari sehingga Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, perintah reman tersebut dibenarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berusia 28 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

“Kita mengesyaki punca mangsa yang keciciran sekolah dibakar kerana disyaki mencuri wang tunai RM100.

“Perbuatan itu menyebabkan remaja lelaki terbabit melecur 40 peratus pada bahagian leher hingga belakang badan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, seramai lima individu berusia 18 hingga 25 tahun lain turut ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kesmengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mendakwa dibakar rakan-rakannya kerana dituduh mencuri di Kampung Perasing Jaya, Jabor di sini. – KOSMO! ONLINE

Ke manakah hilangnya 67 orang?

Ruwaida Md Zain

bhnews@bh.com.my

SHAH ALAM: Sebanyak 67 kes orang hilang (OH) masih disiasat dan belum ditemui hingga kini, daripada sejumlah 602 kes OH membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas yang direkodkan Polis Selangor sejak 2018 hingga Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata jumlah itu meliputi 164 kes dilaporkan pada 2018, 138 (2019), 112 (2020), 114 (2021) dan 74 lagi tahun ini hingga setakat Jun lalu.

"Ia membabitkan 363 mangsa lelaki dan 239 perempuan berumur dalam lingkungan 18 hingga 80 tahun," katanya dalam satu wawancara khas bersama NSTP, semalam.

Beliau berkata, punca kes OH lazimnya diketahui selepas polis mengambil keterangan mangsa yang ditemui semula.

"Berdasarkan analisis kita, kebiasaannya kes ini berlaku disebabkan faktor seperti masalah keluarga, perselisihan faham, ada membuat pinjaman along, mahu menyepikan diri dan kemurungan sehingga mereka meninggalkan rumah," katanya.

Sasikala Devi memaklumkan, terdapat dua kategori kes OH dengan yang membabitkan individu berumur bawah 18 tahun akan disiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

"Kategori kedua pula membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas yang disiasat Jabatan Pengurusan di mana sepanjang tempoh 2018 hingga Jun lalu, kita sudah membuka 602 kertas siasatan.

"Daripada jumlah itu, 535 kes (88.87 peratus) sudah selesai (ditemui dalam keadaan selamat, pulang sendiri atau berada di rumah rakan)," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa setiap bulan, pihaknya akan membuat semakan ke atas semua kertas siasatan yang dibuka untuk melihat semula sama ada polis berjaya menemui mangsa atau sebaliknya.

"Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang diketuai Pegawai Turus Pentadbiran, bertanggungjawab memantau semua kertas siasatan Kertas Enkuiri Polis (KEP) (OH) bagi (kes) berumur 18 tahun ke atas yang dibuka daerah Kontinjen Selangor.

"Setiap bulan, semua ibu pejabat polis daerah (IPD) dikehendaki membuat semakan kertas siasatan dan minit mesyuarat dihantar ke bahagian Pentadbiran IPK Selangor, manakala pelaporan akan dihantar ke Pengurusan Bukit Aman," katanya.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi.

Sasikala Devi sekali gus menasihati orang ramai, terutama ahli keluarga dan rakan supaya memberi perhatian kepada satu sama lain, termasuk memanfaatkan media sosial sebagai alat penghubung jika berjauhan.

"Saya mengambil contoh ketika berdepan pandemik COVID-19, kita pernah tidak dapat bergerak keluar daerah untuk berjumpa keluarga, saudara ataupun rakan, justeru media sosial memainkan peranan penting yang membolehkan kita terus berhubung antara satu sama lain. Malah, kita juga boleh membuat panggilan video.

"Dengan cara ini, sekurang-kurangnya kita mengetahui keadaan mereka walaupun berjauhan. Mungkin ketika itu, mereka ada masalah dan pasti ada perkara boleh dikongsikan jika kebetulan pula kita menghubungi mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata, orang ramai juga dapat membantu polis menyebarkan maklumat berhubung kes OH melalui media sosial.

Askar Myanmar diarah bunuh, seksa dan rogol orang awam

KOSMO!

Tentera Myanmar berkawal di kem pelarian etnik Rohingya di pekan Sittwe, negeri Rakhine pada 9 Ogos 2013. - AFP

YANGON – Sekumpulan askar Myanmar membuat pengakuan kali pertama bahawa tentera negara  itu yang dikenali sebagai Tatmadaw, bertanggungjawab membunuh, menyeksa dan merogol orang awam, lapor akhbar Saudi Gazette. Pengakuan mereka dibuat dalam wawancara eksklusif bersama Badan Penyiaran Britain (BBC).

Menerusi wawancara itu, mereka memberikan laporan terperinci tentang pencabulan hak asasi manusia yang didakwa dibuat atas arahan pihak atasan

Salah seorang daripada mereka dikenali sebagai Koperal Maung Oo. Dia menganggotai batalion yang membunuh orang awam ketika mereka bersembunyi di dalam sebuah biara pada Mei lalu.

“Mereka (pegawai atasan) mengarahkan saya untuk menyeksa, merompak dan membunuh orang awam.

“Kami diarah  untuk mengumpulkan semua lelaki dan menembak mati mereka. Perkara paling menyedihkan ialah kami terpaksa membunuh orang tua dan wanita,” kata Maung.

Kumpulan tentera yang berpaling tadah kini berada di bawah perlindungan unit tempatan Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF). PDF merupakan rang­kaian kumpulan militia awam yang berjuang untuk memulihkan demokrasi di Myanmar.

Tatmadaw merampas kuasa daripada kerajaan demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi dalam kudeta pada tahun lalu. 

Junta kini berusaha untuk menumpaskan pemberontakan awam bersenjata yang cuba mencabar kuasa pemimpin diktator Jeneral Ming Aung Hlaing.

Pada 20 Disember tahun lalu, tiga helikopter mengelilingi Kampung Yae Myet di tengah Myanmar. Sekumpulan askar diturunkan dan mereka 

mula melepaskan tembakan rambang.

Pasukan tentera itu yang dibahagikan kepada tiga kumpulan berasingan, menembak lelaki, wanita dan kanak-kanak secara sembarangan.

“Arahannya adalah untuk menembak apa sahaja yang anda lihat,” kata Maung dari lokasi yang tidak didedahkan di bahagian terpencil hutan Myanmar.

“Kami juga mendapat arahan untuk membakar setiap rumah besar yang ada di kampung tersebut,” katanya.

Pertubuhan hak asasi Myanmar,  Witness  yang menjejaki pelanggaran hak asasi manusia mengesahkan lebih 200 laporan tentang kampung dibakar dengan cara demikian sejak 10 bulan lalu.

Ini bukan kali pertama Tatmadaw  menggunakan dasar bumi hangus. Ia dilaporkan secara meluas terhadap orang Ro­hingya pada 2017. – Agensi