"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lambang PAS mungkin sukar diterima pengundi bukan Islam, Gerakan Kedah tak bertanding

Predeep Nambiar

PETALING JAYA: Gerakan Kedah tidak akan bertanding PRU15 kerana Perikatan Nasional akan menggunakan lambang PAS di negeri itu.

Pengerusi Gerakan Kedah, M Marimuthu Selvan, menjelaskan pihaknya mengambil keputusan untuk tidak bertanding kerana lambang PAS mungkin sukar diterima pengundi bukan Islam.

Menurut beliau, Gerakan sepatutnya bertanding di Parlimen Alor Setar dan Sungai Petani yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang ramai.

“Isu kontroversi seperti mengawal penjualan alkohol dan menutup kedai 4D bertentangan dengan kehendak pengundi Cina,” katanya kepada FMT.

“Kami ingin menggunakan logo PN namun kerana PAS bertegas mahu menggunakan logo mereka, maka kami menarik diri di Kedah.”

Marimuthu bagaimanapun menambah pihaknya akur sekiranya pimpinan pusat Gerakan menetapkan mereka harus bertanding dan menggunakan lambang PAS.

Namun buat masa ini, Gerakan meminta PN menukar kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu di Kedah dengan kerusi di negeri lain.

Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen. PRU akan datang menyaksikan pertandingan bagi kerusi-kerusi Parlimen sahaja, kerana Dewan Undangan Negeri tidak dibubarkan.

Semalam, Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong, berkata partinya tiada masalah untuk bertanding menggunakan lambang PAS.

Menurut Marimuthu, keputusan untuk tidak bertanding di Kedah itu dibuat pimpinan pusat Gerakan hujung minggu lalu.

Beliau percaya keputusan ini tidak akan menjejaskan hubungan Gerakan dengan PAS.

“Gerakan akan terus menyokong PAS dan Bersatu dalam kempen pilihan raya mereka di Kedah,” katanya.

Anwar terlepas peluang terbaik untuk singkir Azmin?

Jason Thomas

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim kehilangan peluang terbaik untuk memberikan “pengajaran besar” kepada bekas timbalannya Azmin Ali, kata seorang penganalisis.

Pada Khamis, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengesahkan akan bertanding di kerusi Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), selepas beliau memberi bayangan akan bertanding di kerusi disandang oleh salah seorang “pengkhianat” gabungan itu.

Walaupun beliau tidak mendedahkan kerusi Parlimen mana yang dimaksudkan, pemerhati politik menganggap ini bermakna beliau akan bersemuka dengan Azmin, bekas Ahli Parlimen Gombak daripada PKR yang berpaling tadah bersama 10 pemimpin parti lain, mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020 dalam insiden yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

“Jika Anwar berdepan dengan Azmin, ia akan memberikan pengajaran besar kepada Azmin. Anwar akan dilihat sebagai lelaki sejati, seorang wira sebenar,” kata felo Majlis Profesor Jeniri Amir.

Jeniri juga berkata sebagai alternatifnya, Anwar patut bertanding di Ampang untuk potensi bertembung dengan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin, yang mengikut Azmin beralih kepada Bersatu tetapi kemudian meninggalkannya untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Saya rasa itu persoalan terbesar sekarang. Mengapa (Anwar) memilih Tambun dan bukannya dua kerusi lain itu untuk bertembung dengan Azmin atau Zuraida?” kata Jeniri.

“Bagi saya, ini (PRU15) ialah peluang terbaik untuk menyingkirkan mereka. Mereka menimbulkan masalah yang membawa kepada PH digulingkan. (Anwar) kehilangan peluang untuk ‘mengajar’ mereka. Saya tidak begitu faham (keputusan Anwar).”

Pada majlis bersama wartawan di sebuah hotel di sini pada 28 Sept, Anwar berkat, beliau akan memilih untuk bertanding di kawasan yang dipegang oleh pengkhianat untuk menyampaikan mesej bahawa “pengkhianatan dalam politik tidak boleh diterima”.

“Gombak? Tak semestinya, tetapi saya tak menolak,” katanya.

Sebelum Parlimen dibubarkan, Anwar menyandang kerusi Port Dickson. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang selama lima penggal antara 1982 dan 2015.

Penyandang kerusi Tambun ialah bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu. Timbalan presiden Bersatu itu, yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket PH pada PRU14, berkata pada Jumaat bahawa beliau akan mempertahankan kerusi itu dan mengalu-alukan semua pencabar.

Mengenai mengapa Anwar memilih Tambun, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, beliau merasakan ketua pembangkang itu berhasrat untuk mendapatkan semula Perak, yang dimenangi PH pada PRU14 sebelum Perikatan Nasional (PN) mengambil alih selepas Langkah Sheraton.

Katanya, setelah memenangi kerusi Parlimen di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Anwar mungkin fikir beliau perlu membuktikan mempunyai sokongan di seluruh negara dengan menang di Tambun, yang 67% daripada pengundinya terdiri daripada orang Melayu.

“Jika anda ingin muncul sebagai pemimpin kebangsaan di negara ini, khususnya sebagai orang Melayu, anda perlu mendapat sokongan daripada orang Melayu,” katanya.

“Saya rasa (perihal) sokongan ini telah lama membelenggunya, jadi beliau kini ingin membuktikan sesuatu.”

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) berkata, keputusan Anwar untuk bertanding di Tambun akan memberi isyarat kuat kepada pemimpin PKR lain untuk mengikut jejak langkah presiden mereka dengan “melangkah keluar dari zon selesa”.

“Ini mesej jelas kepada pengikut Anwar bahawa mereka tidak boleh bertanding di kerusi selamat,” katanya.

“Kepada mereka yang mengaku dalang, pakar strategi atau ‘game changer’, mesejnya ialah mereka perlu membuktikan perkara ini dengan mengambil risiko.

“Itulah satu-satunya cara PH boleh memenangi lebih banyak kerusi.”

PN sah guna lambang bulan di Kelantan

N Faizal Ghazali

PRU15 | Calon-calon Perikatan Nasional (PN) termasuk daripada Bersatu di Kelantan akan menggunakan logo PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata perkara itu sudah dipersetujui dalam mesyuarat PN sebelum ini.

"Kami dalam mesyuarat baru-baru ini kata, okay Kelantan pakai simbol PAS tak apa. Jamin menang.

"Yang calon Bersatu kalau ada di Kelantan ini, Tok Pa ke, Ikmal ke masuk bertanding pakai bendera PAS, pangkah dia," katanya ketika berucap di Himpunan Penyatuan Ummah di Kota Bharu, malam tadi.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata demikian sebagai merujuk kepada penyandang anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed (Tok Pa) dan penyandang Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Muhyiddin berkata PH pada awalnya tidak bersetuju pelaksanaan PRU15 tahun ini namun terpaksa menghadapinya selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan permintaan perdana menteri untuk membubarkan parlimen.

Bekas perdana menteri itu menegaskan PRU15 ini penting kerana negara menghadapi masalah yang cukup besar disebabkan pentadbiran Umno.

"Saya nak katakan ini penting, kerana negara kita menghadapi masalah yang cukup besar. Tapi situasi negara di waktu ini amat sukar selepas kita berdepan pandemik Covid-19.

"Oleh sebab itu dalam keadaan mana pun kita mesti berupaya membentuk kerajaan yang baik, kerana situasi kerajaan lepas, apa lagi ketika Umno mentadbir negara sudah cukup rosak.

"Dengan pelbagai salah lakunya, penyelewengannya, dengan kluster mahkamahnya, turun naik turun naik mahkamah.

“Apakah kita mahu serahkan kuasa kepada kumpulan yang melakukan kemungkaran?" tegas Muhyiddin sambil menyeru rakyat Kelantan keluar mengundi beramai-ramai pada 19 Nov nanti.

‘Katak’ politik tak selamat pada PRU15

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Wakil rakyat yang melompat parti selepas dipilih pada 2018 dijangka berada dalam kedudukan yang tidak selamat apabila rakyat keluar mengundi bulan depan, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, Ahli Parlimen yang melompat parti kini dianggap sebagai liabiliti.

“Mereka yang melompat parti ini tidak selamat. Pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, hanya seorang sahaja dipilih semula di Johor. Selebihnya dihukum oleh pengundi,” katanya kepada FMT.

Satu-satunya wakil rakyat yang melompat parti dan dipilih semula ialah Alwiyah Talib daripada Bersatu, di Endau, Johor. Beliau melompat dari Umno pada Mei 2018.

Selepas pilihan raya umum (PRU) 2018, 15 Ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

PKR mengambil Ahli Parlimen bebas Larry Sng (Julau) dan Jugah Muyang (Lubok Antu). Sng kemudiannya meninggalkan PKR untuk menubuhkan Parti Bangsa Malaysia (PBM), manakala Jugah menjadi wakil rakyat bebas.

Pada Mac 2020, sekumpulan Ahli Parlimen PKR bekerjasama dengan Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam “Langkah Sheraton” untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan ia memerintah.

Keadaan ini mendorong kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

Azmi berkata, bagi mereka yang melompat parti dan kini menganggotai PBM dan Bersatu, akan menjadi sukar untuk mereka dipilih semula, kecuali Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed yang telah memegang kerusi Parlimen Jeli selama 5 penggal.

Mustapa, atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, mewakili Jeli sejak 1995 tetapi tewas kepada Apandi Mohamad daripada PAS pada 1999, sebelum merampasnya semula pada 2004 dan PRU berikutnya.

“Jika beliau memutuskan untuk mempertahankan kerusi itu, beliau mempunyai peluang cerah untuk menang kerana Tok Pa sinonim dengan Jeli,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Anantha Raman Govindasamy daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, 90% daripada mereka yang melompat parti akan ditolak oleh pengundi. Hanya 10% atau kurang yang berkemungkinan dipilih semula.

“Sekalipun begitu, ini bergantung kepada politik keperibadian dan gabungan yang dibentuk,” katanya.

Tambahnya, pengundi bandar lebih cenderung untuk menghukum pelompat parti, berbanding dengan pengundi di kawasan separa bandar dan luar bandar di mana wakil rakyat disanjungi dalam komuniti tertentu.

Bagaimanapun, Anantha berkata, masih terlalu awal untuk meramalkan dengan tepat kerana terdapat banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan, seperti pakatan politik yang dibentuk, calon yang ditampilkan parti dan pertembungan banyak penjuru yang boleh memecahkan undi.

Wakil rakyat kini dilarang melompat parti oleh undang-undang anti-lompat yang berkuat kuasa pada 5 Okt.

Baru sekarang Nik Amar tahu pemimpin Umno tu penyamun ke?

'Penyamun politik lebih hina daripada parti pak lebai' - Mohd Amar

N Faizal Ghazali

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah 'memulangkan paku buah keras' kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini melabelkan PAS sebagai parti 'pak lebai'.

Walaupun tidak menyebut nama Ahmad Zahid secara langsung timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, sehari dua lepas terdapat presiden sebuah parti menyebut PAS sebagai parti pak lebai.

"Kalau dulu orang anggap PAS sebagai parti kampung, parti pak lebai. Sehari dua ini ada presiden sebuah parti sebut PAS ini parti pak lebai lagi.

"Alhamdulillah bagi kita gelaran parti pak lebai bukan gelaran yang hina, gelaran penyamun politik lebih hina daripada pak lebai," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis himpunan penyatuan ummah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Hadir sama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Terdahulu Ahmad Zahid dilaporkan berkata BN tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan parti ‘lebai’, untuk apa jua gabungan selepas PRU Ke-15 (PRU15).

Tanpa menamakan mana-mana parti, beliau yang juga Presiden Umno menyifatkan parti berkenaan sebuah parti yang tiada pendirian tetap.

"Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak, pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain," katanya yang dipercayai merujuk kepada PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, program yang membawa tema 'Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera' itu diadakan sebagai meraikan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang kini berusia 32 tahun sejak 1990.

Tinjauan Malaysiakini mendapati sambutan terhadap program itu tetap meriah dengan kehadiran lebih 1,000 hadirin di stadium itu walaupun hujan turun dengan lebat.

Sementara itu, Mohd Amar berkata dia berharap bahawa hujan yang turun malam ini merupakan hujan rahmat.

"Semoga hujan ini adalah hujan rahmat untuk membuang sampah-sampah politik terutama daripada umno dan PH," katanya.

Remaja 19 tahun jatuh cinta pada janda sebelah rumah berusia 56 tahun

KOSMO

Janla berkata Wuthichai membuatkan dia berasa muda selepas bercinta dengan remaja itu. - Viral Press

BANGKOK – Seorang remaja lelaki dari wilayah Sakhon Nakhon, Thailand jatuh cinta pada wanita yang juga jirannya yang kini berusia 56 tahun, lapor laman Coconut News semalam.

Wuthichai Chantaraj, 19, mula mengenali Janla Namuangrak semasa berusia 10 tahun apabila sering membantunya mengemas rumah.

Dalam tempoh 10 tahun berkenalan, Wuthichai akhirnya meluahkan perasaan kepada Janla yang merupakan seorang janda anak tiga dan cintanya mendapat balasan positif.

Wuthichai berkata ini adalah kali pertama dalam hidupnya di mana dia mahu memastikan seseorang itu hidup dengan selesa.

Dia menambah bahawa Janla yang kini bergelar tunangannya ialah seorang wanita yang rajin dan jujur.

“Saya melihat rumahnya yang buruk dan mendapati diri saya mula mengambil berat untuk memastikan kehidupan dia lebih baik daripada sekarang.

“Saya sangat mengagumi semangatnya hidup sendirian selepas berpisah dengan bekas suami hampir 20 tahun lalu,” kata Wuthichai.

Janla pula berkongsi bahawa cinta remaja itu membuatkan dia berasa muda semula.

“Wuthichai bagaikan adi wira bagi saya. Semasa kecil, dia sering membantu saya membersihkan kawasan rumah.

“Apabila dia besar, kami mula ada perasaan antara satu sama lain dan tidak menyangka hubungan ini akan berubah menjadi pasangan suami isteri tidak lama lagi,” ujarnya.

Menurut Janla, semasa mereka mengumumkan hubungan cinta mereka kepada keluarga dan rakan-rakan pada awal tahun ini, hampir kesemuanya melabelkan pasangan ini sebagai gila. – Agensi

Bertanding di Tambun, perangkap untuk kuburkan Anwar?

Balqis Jazimah Zahari

am@hmetro.com.my

Ipoh: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Tambun tidak gentar dengan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Pengerusi Pemuda BN Tambun, Faridzul Azlan berkata, malah pasukannya sudah bersiap sedia untuk berdepan sesiapa atau dari parti mana yang berhasrat menentang BN di semua kerusi yang dipertandingkan termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan DUN Hulu Kinta.

"Tiada istilah mengalah sebelum bertempur dalam kamus perjuangan Pergerakan Pemuda BN Tambun.

"Kami akan tetap meneruskan perjuangan untuk berbakti kepada rakyat khususnya di Tambun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketua Pemuda Umno Tambun itu berkata, pihaknya yakin pengundi di Tambun bijaksana dalam menilai calon yang layak untuk mewakili mereka.

"Pastinya mereka akan memilih calon BN yang benar-benar dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran buat mereka semua.

"Kami mengajak seluruh pengundi di Tambun untuk menolak calon lompat kawasan seperti Anwar yang bukan hanya tidak setia pada rakyat yang diwakilinya, malah hanya bertanding demi kepentingan politik peribadi bukannya untuk berbakti kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama, pihaknya berpendapat rencana meletakkan Anwar sebagai calon di Parlimen Tambun adalah satu perangkap yang dipasang oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menguburkan riwayat politik pemimpin besar itu.

"Insya Allah dengan kehendak Allah, segala gerak kerja yang sudah diterjemahkan oleh Pemuda BN Tambun akan memenangkan calon-calon BN di Tambun," katanya.

Wanita berbogel dalam iklan trip memancing kerana mahu tambah pengikut

KOSMO!

Antara gambar yang dimuat naik di Twitter hingga tular dan mencetuskan kemarahan penduduk tempatan. - Twitter

BANGKOK – Dua wanita yang tampil berbogel dalam iklan trip memancing di daerah kecil Bang Saray, wilayah  Chon Buri, Thailand menyerah diri kepada polis selepas isu tersebut menjadi tular, lapor laman Thaiger semalam.

Kedua-dua wanita itu berkata,  mereka melakukannya untuk mendapatkan pengikut di media sosial dan  tidak menawarkan perkhidmatan seks atau memancing.

Dua wanita itu hadir di Balai Polis Sattahip hari ini dan mengaku menyiarkan gambar bogel itu di laman Twitter.

Wanita itu berkata,  lelaki-lelaki  yang dipaparkan dalam gambar itu adalah teman lelaki mereka.

Kesemua yang terlibat menyewa bot dan mengambil gambar menggunakan tripod sebelum memutuskan untuk memuat naik siaran itu ke laman Twitter untuk mendapatkan lebih ramai pengikut.

Wanita terbabit turut menegaskan tiada agensi pelancongan atau nelayan terbabit dan mereka tidak mengenali pemilik bot berkenaan.

Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 14(4) Akta Komputer kerana mengimport bahan dan maklumat lucah ke Internet yang boleh diakses oleh orang ramai. 

Mereka berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga 100,000 baht (RM12,381) atau kedua-duanya sekali.

Tiada laporan sama ada teman lelaki mereka akan didakwa. – Agensi

Anwar tandingi Tambun: Sejauh mana sambutan?

Ng Xiang Yi

Walaupun Pakatan Harapan Perak mengalu-alukan pencalonan Anwar Ibrahim di Tambun, nampaknya beberapa pengundi yang ditemui di kerusi parlimen itu tidak berkongsi sentimen yang sama.

Pemerhatian Malaysiakini di kawasan itu mendapati pendapat berbeza antara pengundi dan akar umbi PKR.

Penduduk Tambun, Abdul Salam Zakaria melahirkan rasa tidak berminat dan terkejut selepas mendengar mengenai perpindahan Anwar dari kerusi Port Dickson sebelum ini.

“Boleh ker dia menang di sini? Saya tidak fikir dia mempunyai peluang di sini. Saya tidak faham strateginya,” kata ahli perniagaan berusia 58 tahun itu.

Tambahnya, Anwar berdepan pertarungan sengit menentang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, yang juga menteri belia dan sukan serta bekas menteri besar Perak.

“Pada pendapat saya, ia akan menyakitkan dia (Anwar) di sini. Pengaruh Faizal Azumu di sini kuat. PAS juga,” katanya sambil menegaskan majoriti pengundi di Tambun ialah orang Melayu.

Ditanya jika dia tidak berpuas hati dengan prestasi Anwar di arena politik, Abdul Salam berkata dia tidak nampak perbezaan antara presiden PKR dan pemimpin BN.

“Kalau soal duit, semua sama saja. Mereka hanya fikir tentang diri mereka sendiri.

“Sebaliknya, tiada pemimpin PAS terlibat dalam mana-mana kes rasuah,” dakwanya yang mengundi di kerusi Parlimen Tambun dan DUN Manjoi.

Alex Choong, seorang lagi pengundi di kawasan Tambun, turut berkongsi sentimen yang sama, menyatakan sikap tidak peduli mengenai keputusan Anwar bertanding di sana.

“Macam mana jika dia boleh menang? Bagi kami, semuanya sama. Sesiapa yang mengambil Tambun, ia akan tetap sama.

"Saya belum putuskan sama ada saya akan mengundi atau tidak," kata ahli perniagaan berusia 46 tahun itu.

Untuk lebih baik atau teruk?

Seorang lagi pengundi yang ingin dikenali hanya sebagai Yik, kelihatan berada di atas pagar.

Pengurus IT berusia 32 tahun itu berkata dia akan mengundi untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengambil kira pencalonan Anwar.

“Melihat bagaimana rakan-rakan saya berkata mereka tidak akan mengundi, saya tidak fikir kehadiran Anwar akan menarik pengundi untuk balik (ke Tambun), tetapi bagi mereka yang masih mahu mengundi, ya, sekurang-kurangnya kita ada calon berprofil tinggi kali ini.

“Pada pendapat saya, kehadirannya di Perak adalah penting kerana anda tahu Perak pecah 50-50.

"Meletakkan ahli politik berprofil tinggi mungkin mengubahnya, tetapi untuk lebih baik atau lebih teruk, kita akan lihat."

Bagaimanapun, Naib Pengerusi Wanita PKR Tambun Mahanin Abdul Hamid berkata hasil daripada tinjauan yang dilakukannya mengenai populariti PH di kawasan itu menunjukkan sebaliknya.

“Sebelum Anwar mengumumkan akan bertanding di Tambun, saya telah diminta membuat tinjauan di kerusi ini.

“Maklum balas itu mengejutkan saya kerana penerimaan pengundi terhadap Pakatan Harapan adalah 80 peratus dan mereka menolak Perikatan Nasional dan BN.

“Mereka memetik isu ekonomi dan rasuah serta masalah banjir di kawasan itu. BN tak turun padang jumpa rakyat semasa banjir.”

Walaupun gembira dan berterima kasih kepada Anwar kerana memilih kerusi Tambun, dia mengakui tempoh sebulan ini memenatkan dengan aktiviti berkempen, membayangkan ia seperti 'kenduri-kendara'.

“Sebagai pengundi, saya berasa bertuah kerana tinggal di Tambun dan jika menang akan berada di bawah pentadbiran Anwar. Saya sangat bersyukur."

Dalam perkembangan berkaitan Pengerusi PH Perak Mujahid Yusof pula memberi sambutan hangat kepada Anwar untuk bertanding di Tambun.

“Tiba masanya orang Perak berbangga calon perdana menteri kali ini dari bumi bertuah Perak Darul Ridzwan.

"Parlimen Tambun adalah lambang kepada menebus perbuatan khianat mandat rakyat dari penyandangnya," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum 2013, Anwar dikhabarkan akan bertanding di kerusi parlimen Perak tetapi rancangan itu gagal.

Sembilan tahun kemudian, keputusan Anwar untuk bertanding di Tambun bagi PRU15 dipuji kerana kepimpinannya dapat memastikan pembangunan dan kesejahteraan pengundi, menurut penyandang Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Jelasnya, ini peluang Anwar untuk menewaskan Ahmad Faizal, yang merupakan sebahagian ahli parlimen Bersatu yang keluar PH pada 2020, menyebabkan keruntuhan kerajaan persekutuan ketika itu.

"Keputusan Anwar untuk bertanding di Tambun adalah peluang untuk mengubati luka rakyat yang diguris oleh Peja (Ahmad Faizal)," katanya kepada Malaysiakini.

Pemimpin PKR itu berkata pusat khidmatnya bersedia menjadi salah satu bilik gerakan kempen untuk Anwar.

Timbalan pengerusi pilihan raya PKR Perak MA Tinagaran pula berkata Anwar mengambil risiko besar masuk ke wilayah yang belum diterokai untuk menguji populariti kepimpinannya.

Berdasarkan pemerhatiannya, Tinagaran berkata terdapat ramai orang teruja memandangkan calon perdana menteri bertanding di negeri ini.

Dia melabelkan Anwar sebagai tokoh paling penting dalam PRU15.

“Anwar adalah kesatria dalam perisai bersinar yang datang. Semua orang dari berbagai kaum sangat teruja.

“Kita perlukan ikon seperti Anwar di Perak. Kita telah banyak kali gagal untuk kekal sebagai kerajaan negeri. Ada beberapa isu kepimpinan yang perlu diberi perhatian.

"Anwar akan dapat memberi kepimpinan dan penghormatan seperti itu."

PESANAN UNTUK ANWAR – JANGAN HUBUNGI, JANGAN JUMPA DAN TOLAK SEMUA BENTUK KERJASAMA DENGAN MAHATHIR

Shahbudin Husin 

Ibarat lelaki kasanova yang sedang mabuk dan kemaruk mahu memikat seorang gadis jelita secantik bidadari daripada syurga, itulah perumpamaan paling sesuai untuk menggambarkan bagaimana ghairahnya Tun Mahathir Mohamad mahu bekerjasama dan ingin berbaik dengan Anwar Ibrahim menjelang PRU15 akan datang ini.

Agaknya juga, siang dan malam, waktu makan, waktu mandi dan sebelum melelapkan mata pun wajah Anwar saja yang terbayang di matanya.

Entah sudah kali yang ke berapa beliau meluahkan perasaan ingin berbaik semula dengan Presiden PKR itu, terbaru hari ini luahan hati bekas Perdana Menteri itu muncul sekali lagi dan ternampak beliau begitu terdesak sekali.

Katanya, jika kali ini beliau yang perlu memulakan langkah terlebih dahulu ke arah itu, beliau sanggup melakukannya.

Malah menurut Pengerusi GTA itu, beliau juga tidak kisah jika dengan tindakan itu akan ada pihak menganggapnya menjilat semula ludah sendiri.

Kenapa sampai begitu sekali?

Bukankah baru beberapa hari lalu beliau mengeluarkan kenyataan bahawa sebab utama GTA enggan bekerjasama dengan PH ialah kerana di dalam gabungan itu ada DAP yang tidak disukai oleh orang-orang Melayu?

Tambah beliau, dengan bekerjasama dengan PH yang ada DAP itu, maka ia akan menyebabkan GTA kehilangan sokongan daripada orang-orang Melayu.

Tetapi, kenapa hari ini sanggup menjilat ludah sendiri untuk berbaik semula dengan Anwar?

Tidakkah mahu bekerjasama dengan Anwar bermakna mahu bekerjasama dengan PH yang masih ada DAP di dalamnya?

Tak takutkah ditolak oleh orang-orang Melayu atau GTA sebetulnya tiada kekuatan langsung untuk menang walau satu kerusi?

Meskipun Anwar dalam reaksi segeranya terhadap hasrat Tun Mahathir itu lebih memperlihatkan sifat kenegarawanannya dengan menyatakan tiada masalah baginya untuk bertemu dan berbincang, ingin dipesan kepada Pengerusi PH itu agar jangan buang masa walau sesaat pun berbuat demikian.

Semua penyokong PH, pengundi atas pagar dan rakyat biasa secara umumnya sangat tidak suka dan menolak jika Anwar bekerjasama dengan Tun Mahathir yang dalam hatinya lebih banyak sifat khianat berbanding keikhlasan.

Berbaik dengan Tun Mahathir, apa lagi jika bekerjasama, hanya akan menyebabkan Anwar dibenci dan ditolak oleh penyokongnya sendiri.

Lagi pula, PH ketika ini sedang berada di landasan yang betul untuk meraih kemenangan walaupun tanpa bekerjasama dengan GTA dan Pejuang.

Muslihat sebenar di sebalik kerjasama yang diimpikan oleh Tun Mahathir itu tidak lain adalah untuk beliau, GTA dan Pejuang menumpang kekuatan PH demi memastikan nafas politiknya tidak terhenti dan ditolak pengundi, bukan sangat untuk mengelakkan UMNO/BN daripada berkuasa semula.

Selepas berjaya nanti, percayalah, sekali lagi Anwar akan ditolaknya daripada menjadi Perdana Menteri.

Dalam hati, jiwa, urat dan seluruh pembuluh darahnya, ketakutan paling besar Tun Mahathir ialah jika Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri.

Oleh itu, jangan sama sekali berjumpa atau menghubungi beliau untuk merundingkan sebarang kemungkinan bagi bekerjasama itu.

Dengan tarikh penamaan calon dan pengundian telah ditetapkan oleh SPR, sekarang ini sebenarnya adalah masa untuk bersiap sedia ke medan perang dan sebaiknya simpan dulu semua pen yang boleh digunakan bagi menandatangi perjanjian kerjasama.

Lupakan terus Tun Mahathir, PH tidak mati tanpa beliau, tetapi Tun Mahathirlah yang mungkin mati kerjaya politiknya tanpa bekerjasama dengan PH.

Dalam perkembangan sama, maklumat lain mengatakan Tun Mahathir telah menghantar orangnya untuk bertemu dengan orang kanan Anwar bagi merintis jalan hubungan kerjasama yang dimpikannya itu sejak dua minggu lalu.

Dalam pertemuan itu, orang Tun Mahathir itu kemudian meminta orang kanan Anwar agar memujuk Presiden PKR itu agar sudi menghubungi dan seterusnya bertemu dengan Tun Mahathir.

Kenapa Anwar yang diminta menghubungi Tun Mahathir, sedangkan Tun Mahathir yang ingin bekerjasama dengan Anwar?

Tidak mungkinkah jika Anwar menghubungi Tun Mahathir, keadaan nanti akan dipesongkan seolah-olah Anwar yang ingin bekerjasama dengan beliau?

Di sini saja sudah boleh dinilai di mana keikhlasan beliau terhadap Anwar.

Oleh itu, pilihan terbaik bagi Anwar hanya satu – jangan hubungi, jangan jumpa dan tolak sama sekali untuk bekerjasama dengan sang pengkhianat itu. – ShahbudinHusin 21/10/2022.

Anwar: Saya tiada masalah bincang kerjasama politik dengan Dr M

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim tiada masalah untuk bertemu dan berbincang dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengenai kerjasama politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Namun, Anwar berkata, perkara yang ditekankan PH ialah kepentingan untuk melawan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Tiada masalah. Boleh jumpa, boleh bincang, tetapi selalu saya tekankan mengapa nak lawan PN atau BN. Atas dasar (lawan) iaitu tolak rasuah, perkauman dan fahaman melampau. Kalau itu yang diminta, saya tiada masalah,” katanya dipetik Bernama semasa melawat Little India Klang di Jalan Tengku Kelana, Klang.

Media hari ini melaporkan Mahathir yang merupakan pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) bersedia bertemu Anwar bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU15.

Mengulas persediaannya bertanding di kerusi Parlimen Tambun dan sasaran PH di Perak, Anwar berkata, negeri itu antara kawasan yang akan ditawan PH pada PRU15

Mengulas kenyataan bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam yang meletakkan beliau antara pemimpin mampu menerajui negara, Anwar mengucapkan terima kasih kerana kenyataan Musa itu membantunya dalam berkempen.

“Kenyataan Tun Musa itu membantu. (Musa kata) layak dan ada pendedahan peringkat antarabangsa. Saya ucapkan terima kasih kepada Tun Musa,” katanya.

Media sebelum ini menyifatkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob; bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Anwar sebagai pemimpin yang mampu menerajui Malaysia.

Katanya, tiga pemimpin itu dilihat memiliki kualiti, daya tahan serta karisma dalam memimpin negara mengharungi cabaran semasa.

‘Naik pangkat’ kalau menang lebih empat kerusi, Zahid beritahu Ahmad Said

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional Terengganu, Ahmad Said diberi misi untuk memenangi sekurang-kurangnya empat kerusi Parlimen di negerinya bagi Barisan Nasional pada PRU15.

Pengerusi BN, Zahid Hamidi, menjanjikan ganjaran untuk veteran Umno itu sekiranya beliau memenuhi misi itu dan menawan beberapa lagi kerusi.

“Pengerusi BN negeri berjanji dengan saya, daripada lapan kerusi Parlimen sekurang-kurangnya empat kita rampas. Tok Mat (Ahmad Said) kalau nak naik pangkat bukan setakat empat, tapi mesti lebih daripada itu,” katanya Zahid ketika berucap di pelancaran jentera BN di Hulu Terengganu petang tadi.

Peluang PH dikawasan Felda malap?

Malaysiakini

Kempen PH di Felda begitu malap - Mazlan Aliman

Bekas pemimpin Amanah dan aktivis isu-isu Felda Mazlan Aliman mengalu alukan pengumuman Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan.

Namun, dia menyoal jika PH sudah selesa untuk memperolehi sasaran di kerusi bandar dan separa bandar tanpa perlu sokongan kerusi Felda memandangkan pilihan raya umum (PRU15) tidak sampai sebulan lagi.

"Sampai saat ini kempen PH di kawasan Felda begitu malap sekali," katanya pada satu kenyataan media hari ini.

Mazlan menyorot kerusi Felda di Johor seperti parlimen Tebrau, Kulai, Simpang Renggam, Labis, Sekijang, Segamat dan Pagoh yang. dimenangi PH pada PRU14.

"Bagaimana kali ini," soal penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu lagi.

Mazlan berkata dia berharap Anwar tidak mengulangi "kegagalan kerajaan lalu" dalam melaksanakan janji manifesto mengenai Felda.

"Tidak usah diulang cerita penyelewengan dan salah guna kuasa Felda zaman BN," katanya.

Untuk rekod, Mazlan dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada Oktober 2018, sebelum ditamatkan perkhidmatannya pada 1 April 2020.

Pada Disember 2020, dia meletakkan jawatan sebagai AJK pusat Amanah untuk menumpukan kegiatan bersama NGO Felda dan petani.

Dalam pada itu, Mazlan berharap Anwar memiliki iltizam politik untuk memulihkan semula Felda.

Menurutnya, generasi baru Felda menuntut reformasi menyeluruh, khususnya pindaan Akta Tanah Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 (Akta GSA) mengenai pewaris menggantikan peneroka asal yang hampir 70 peratus meninggal dunia.

Kata Mazlan, generasi baru Felda perlu diberi kepercayaan sebagai penjawat utama dari Pengerusi Felda, Pengurus Besar Felda, Pengerusi FGV dan anak syarikatnya.

"Institusi orang Melayu yang mempunyai keluasan tanah terbesar di dunia ini wajar diurus oleh warganya sendiri.

"Ia tidak boleh dicaturkan oleh pemimpin politik yang bernafsu serakah menjarah hasil mahsulnya.

"Dulunya memiliki simpanan berbilion tapi akhirnya menanggung hutang berbilion bilion," katanya.

Selepas 99 budak maut, ubat sirap perosak buah pinggang ini dilarang jual

DANIAL HAKIM

Indonesia melarang penjualan beberapa ubat sirap yang mengandungi ramuan dikaitkan dengan penyakit buah pinggang akut (AKI) selepas 99 kes budak maut.

Menteri Kesihatan Indonesia berkata, pihaknya sedang menyiasat peningkatan kes kematian dalam kalangan kanak-kanak tahun ini dan yakin jumlah sebenar kes itu mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Menurut Budi Gunadi Sadikin, sirap Paracetamol yang digunakan untuk merawat demam bagi kanak-kanak itu mengandungi bahan toksik iaitu dietilena glikol dan etilena glikol.

Jelasnya, dipetik Awani, dietilena glikol dan etilena glikol dikesan dalam ubat sirap yang ditemui di rumah beberapa pesakit tetapi beliau tidak mendedahkan bilangan mereka.

Sementara itu, Agensi Pengawasan Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia berkata, produk keluaran syarikat berkenaan tidak dijual di negara itu.

BPOM memaklumkan, lima daripada 26 ubat sirap yang diuji agensi itu mengandungi tahap etilena glikol yang berlebihan.

Walau bagaimanapun, BPOM berkata, pihaknya tidak boleh membuat kesimpulan bahawa produk berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya dan menjadi punca kepada penyakit itu.

Agensi itu juga mengarahkan syarikat pengeluarnya menarik balik ubat tertentu daripada pasaran dan memusnahkan semua baki yang masih ada.

Indonesia telah mengenal pasti 206 kes kanak-kanak dengan komplikasi AKI yang mana 99 daripadanya adalah kes kematian yang direkodkan bagi tahun ini.

Selain Indonesia, Gambia turut menyiasat kes kematian kanak-kanak kerana AKI yang dikaitkan dengan sirap Paracetamol selepas 70 kes maut dicatat di negara itu.

Sementara itu, India sedang giat melakukan siasatan berhubung ubat sirap tersebut yang dikeluarkan oleh syarikat berpangkalan di New Delhi, Maiden Pharmaceuticals.

Mahathir mahu berdamai dengan Anwar lagi, tak kisah dikata 'jilat ludah'

Malaysiakini

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menghulurkan tangan pendamaian dengan Anwar Ibrahim, menjelang pilihan raya umum bulan depan.

Kata Mahathir, jika perlu memulakan langkah itu, dia akan melakukannya demi mengelakkan kerosakan pada negara.

“Saya bersedia bertemu dengan Datuk Seri Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya.  

“Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan,” katanya.

Penyandang kerusi parlimen Langkawi itu juga berkata, dia tidak kisah jika dengan tindakan itu akan ada pihdak menganggap dia menjilat semula ludah sendiri.

Menjelaskan cadangannya itu Mahathir berkata, apa yang penting dicapai oleh kedua-dua pihak adalah menyekat parti lain daripada merosakkan negara.

"Kejatuhan Najib Razak menunjukkan kita boleh boleh bekerjasama," katanya dalam pesanan video yang dimuat naik di media sosial hari ini.

Sejarah hubungan presiden PRK dan pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu memang panjang dan mengalami naik turun yang ketara.

Pada 1998 perseteruan kedua-dua mereka mencapai kemuncak apabila Anwar dipecat daripada kerajaan serta parti dan membawa kepada pendakwaan ke atasnya di mahkamah.

Perlu satu lagi pertemuan

Di sebalik kekeruhan berkenaan, Anwar dan Mahathir berdamai ketika parti pembangkang bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Pada Sept 2016 - atau hampir 20 tahun - Mahathir menemui Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan detik bersejarah itu kemudian berlanjutan kepada pembentukan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Bersatu.

Kejatuhan kerajaan PH melalui pembelotan Bersatu serta sekumpulan ahli parlimen PKR kembali mengeruhkan hubungan kedua-dua mereka dengan kebanyakan penyokong Anwar meletakkan kesalahan kepada Mahathir.

Mahathir dan penyokongnya pula menuding kepada Anwar atas kejatuhan kerajaan PH.

Ketika ini, kata Mahathir, keadaan semasa politik memerlukan satu lagi pertemuan dengan Anwar.

Anwar yang juga pengerusi PH sebelum ini membayangkan masih ada ruang untuk PH bekerjasama dengan Mahathir dan Bersatu melalui syarat tertentu.

Namun PAS - yang menjadi parti komponen Perikatan Nasional - menolak sekeras-kerasnya kerjasama dengan PH.

Pada masa sama penyokong PH menganggap sebelum ini Mahathir gagal menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar jika gabungan tersebut berjaya membentuk kerajaan melalui PRU ke-14.

Ini pesan Presiden AMANAH buat bakal PM -Jika Anwar ke Putra Jaya

ARIF ATAN

Sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya mara ke Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri.

Oleh itu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu ada pesanan buat Pengerusi PH berkenaan dan isterinya yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya hendak nasihatkan bakal Perdana Menteri (Anwar) dan isteri.

“Bila jadi Perdana Menteri nanti bersama Kak Wan (Wan Azizah), carilah harta sepencarian.

“Jangan cari harta ‘sepencurian’,” katanya yang juga bekas Menteri Pertahanan ketika pentadbiran PH pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 itu.

Mohamad berkata demikian pada Konvensyen PH dengan disaksikan lebih 7,000 hadirin di Ipoh, malam tadi.

Pesanan Mohamad atau mesra dipanggil Mat Sabu itu sekaligus mengingatkan pada ‘pecah rekod’ yang dimiliki Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib, 69, yang ke tirai besi selepas jatuh dari puncak kuasa memegang rekod sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia pertama disumbat ke penjara mulai Ogos lalu.

Anak bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak itu dikenakan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Sementara itu, Rosmah, 70, yang dianggap sebagai isteri Perdana Menteri paling kontroversi ketika suami sedang berkuasa, kini turun naik mahkamah ekoran tiga tuduhan rasuah berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion melibatkan kepentingan 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Anwar malam tadi mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun sekali gus dijangka bertembung dengan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jika Timbalan Presiden Bersatu itu mempertahankan kerusi itu pada PRU kali ini.

Pemilihan Parlimen Tambun itu, jelasnya, kerana mahu melonjakkan gerakan PH di utara Semenanjung khususnya Perak sebagai negeri barisan hadapan bagi gabungan tersebut.

Beliau juga mahu memastikan Perak dapat mengekori PH di Selangor dan Pulau Pinang yang berjaya mempertahan negeri itu dengan majoriti yang semakin mengukuh dalam beberapa PRU sebelum ini.

Anwar tanding di Tambun, jadi calon perdana menteri PH

Shaq Ismail dan Danial Azhar

IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Anwar ketika mengumumkan dirinya akan bertanding di kerusi itu berkata, beliau tidak memilih kawasan yang mudah dimenangi untuk bertanding.

“Saya tak memilih kawasan yang mudah, yang jamin majoriti besar. Saya ketuai, saya mengepalai dan berani tawan (Parlimen) Tambun dalam pilihan raya akan datang.

“Saya mahu rakan di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor melihat keyakinan kita.

“Saya bukan tawan kerusi mudah, saya katakan saya mahu Perak bersama diangkat martabatnya, Perak jadi barisan harapan perjuangan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Ipoh.

Dalam majlis sama, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution mengumumkan Anwar dipilih sebagai calon perdana menteri gabungan itu, jika ia memenangi PRU15.

Terdahulu, Ketua DAP Perak yang juga Pengarah Konvensyen PH, Nga Kor Ming berkata, Perak banyak melahirkan pemimpin tersohor, namun tidak pernah ada perdana menteri datang dari negeri itu.

“Perak pernah melahirkan pemimpin tersohor, tetapi ada kurang, tak pernah ada PM dari Perak, inilah peluang keemasan kita,” katanya ketika berucap pada konvensyen itu.

Anwar meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenanginya dengan majoriti 23,560 undi, selepas menewaskan enam pencabarnya daripada PAS dan bebas pada pilihan raya kecil Oktober 2018.

Kerusi Parlimen Tambun kini disandang Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu, yang juga timbalan presiden Bersatu. Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,320 undi pada PRU14, menewaskan calon Barisan Nasional, Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria.

Sebelum ini, Faizal mengalu-alukan cadangan untuk Anwar bertanding di Tambun pada PRU15 dengan berkata, beliau tidak tergugat dengan mana-mana lawannya kerana ia proses yang perlu dilalui ahli politik dalam mendukung amalan demokrasi.

DAP Perak turut mempelawa Anwar bertanding di kerusi Parlimen negeri itu, terutamanya Tambun, yang disifatkannya kerusi disandang “pengkhianat” PH.

Tyson dedah punca sebenar tumbuk peminat

Agensi

TYSON (kanan) menumbuk Townsend di dalam pesawat, April lalu. FOTO Agensi

TYSON (kanan) menumbuk Townsend di dalam pesawat, April lalu. FOTO Agensi

Los Angeles: Mike Tyson mengakui dia pening kepala akibat terhidu bau ganja sebelum menumbuk seorang peminat di dalam pesawat.

Bekas petinju berusia 56 tahun itu dirakam berulang kali menumbuk Melvin George Townsend dalam penerbangan JetBlue pada April lalu.

Tyson mengakui dia menaiki penerbangan dari San Francisco ke Miami selepas berada di tengah-tengah 60,000 orang yang menghisap ganja.

Video di media sosial menunjukkan Townsend cuba mendekatinya dan tidak henti-henti melakukan provokasi.

Bercakap mengenai kejadian itu, Tyson memberitahu dalam rancangan Piers Morgan Uncensored bahawa dia tidak boleh tahan lagi melihat tingkah laku Townsend.

"Pertama sekali, saya datang dari tempat bernama Hippie Hill di mana 60,000 orang di sana menghisap ganja.

"Jadi apabila saya berada di dalam pesawat, saya lapar, pening dan letih. Lelaki itu terus mendekati saya.

"Saya geram dan bertindak menumbuknya. Mujur pengawal peribadi saya menghentikan insiden itu," katanya.

-hmetro

Hujung pisau pemotong sayur terkena bahagian kanan leher adik

 Izz Laily Hussein

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Punca kematian remaja lelaki berusia 16 tahun yang terkena pisau dibaling kakaknya di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh di sini, semalam, disahkan akibat pendarahan yang banyak pada saluran darah utama.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, perkara itu diperoleh hasil bedah siasat dijalankan ke atas mayat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendarahan berlaku akibat hujung pisau pemotong sayur dibaling kakak mangsa terkena pada arteri di bahagian kanan leher mangsa.

"Sebab kematian mangsa adalah kerana satu tusukan pisau dan hujung pisau itu terkena pada saluran darah utama (arteri) menyebabkan pendarahan yang banyak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan remaja lelaki maut dipercayai tertusuk pisau yang dibaling kakaknya.

Rahmat berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sejurus insiden berkenaan dan pisau pemotong sayur itu sudah dirampas.

Katanya, tiada kecederaan lain ditemui pada mangsa.

Hari ini, kakak mangsa yang berusia 18 tahun ditahan reman enam hari bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rahmat dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik dan ibu mangsa mendakwa mangsa bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

"Kakak mangsa mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah," katanya semalam.

Anwar sah tanding di Tambun

B Nantha Kumar

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sah akan bertanding di kerusi parlimen Tambun, Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sumber-sumber yang rapat dengan presiden PKR itu mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini sebentar tadi.

"Ya. kerusi Tambun telah dimuktamadkan siang tadi. Anwar dah maklum kepada pimpinan utama PH.

"Akan diumumkan pada Konvensyen PH malam ini," kata sumber.

Teka-teki kerusi parlimen yang bakal ditandingi Anwar akan terjawab hari ini.

Pada pilihan raya umum 2013, Tambun dimenangi oleh calon Bersatu Ahmad Faizal Azumu dengan majoriti 5,320 undi.

Dalam pilihan raya umum lima tahun lalu, beliau dicabar calon Umno Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang merupakan penyandang kerusi itu sejak 1995.

"Isu pokok bukan sekadar Anwar ke Tambun tapi ke Perak. Impak dirasi ke seluruh Perak dan ini penting dalam langkah PH untuk tawan Putrajaya.

"Tambun kerusi campuran. Penting untuk menunjukkan dapat sokongan semua kaum," kata sumber itu.

Datuk Wan Rahim: Husam kata dia mahu bertanding kerusi negeri sahaja

BORHAN AHMAD

Penjelasan yang dibuat oleh Datuk Wan Rahim Abdullah bahawa Datuk Husam Musa tidak bersedia untuk bertanding di peringkat Parlimen dalam pilihan raya kali ini telah meredakan ketegangan di kalangan penyokong AMANAH Kelantan.

Menurut bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, beliau telah meminta Husam secara pribadi agar bertanding kedua-dua peringkat iaitu Parlimen dan DUN di Kota Bharu.

“Pada 2 Okt, berkereta bawa Datuk Husam ke Gong Ketereh, ambo minta dia tanding Parlimen dan DUN di KB (Kota Bharu).

“Jawabnya jelas dengan penuh keikhlasan, “Ana letih doh Cikgu, rasanya kalu tandingpun cukuplah di Negeri,” tulis Wan Rahim, bekas Pengerusi AMANAH Kelantan itu.

Wan Rahim ketika dihubungi mengesahkan komen yang beliau buat itu dan itulah cerita yang sebenarnya berlaku.

“Namun saya tidak tahu apakah yang berlaku ketika mesyuarat pemilihan calon berjalan kerana saya tidak menyertainya,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Nama Husam, Pengerusi Save Kelantan yang juga bekas Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan itu dikatakan tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum kali ini.

Ini menyebabkan pimpinan AMANAH negeri dan pusat diserang oleh para penyokong Husam yang juga Ketua AMANAH Kota Bharu itu.

Kelantan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri dalam PRU kali ini ekoran musim banjir yang bakal mendatang.

Oleh itu, rakyat Kelantan hanya akan mengundi untuk kerusi Parlimen sahaja manakala kerusi DUN hanya akan diadakan pilihan raya selepas musim tengkujuh yang bakal melanda Kelantan bila-bila masa sekarang.

Bekas Adun Sekong meninggal dunia

Malaysiakini

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong Datuk Samsudin Yahya meninggal dunia petang tadi.

Berita pemergiannya itu dikongsikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebooknya.

"Semoga roh Allahyarham Datuk Samsudin Yahya, Allah letakan bersama orang soleh dan beriman. Takziah kepada Datin Junaidah Aji dan seluruh keluarga, diharap tabah menerima dengan kehendak Allah," katanya.

Samsudin, 67, difahamkan tidak sedarkan diri dalam penerbangan ke Kota Kinabalu yang berlepas dari Kuala Lumpur kira-kira 2 petang tadi, dan punca kematian masih belum dipastikan.

Allahyarham dipilih sebagai ADUN Sekong selama empat penggal sejak 2004 selepas memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional, juga merupakan mantan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi bagi penggal 2013-2016.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak.

- Bernama

Ustaz Azhar akan lawan Haji Hadi di Marang

BORHAN AHMAD
Bekas calon AMANAH dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar 2016 lalu, ustaz Azhar Abdul Shukur bakal dipertaruhkan Pakatan Harapan untuk melawan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang.

Menurut sumber, pemilihan Azhar telah diputuskan oleh AMANAH selepas kerusi itu diberikan kepada parti itu oleh Pakatan Harapan untuk meletakkan calon.

Azhar ketika mengesahkan pemilihan ini berkata, Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah telah meminta beliau menjadi calon di Marang.

“Saya telah diminta oleh Datuk Raja untuk bertanding di Marang. Saya harap, pemilihan saya ini diterima oleh pengundi Marang,” kata ahli perniagan itu kepada Malaysia Dateline.

Save Kelantan ucap 'takziah' buat Husam

Malaysiakini

PRU15 | Bekas naib presiden Amanah, Husam Musa, dikhabarkan tidak dicalonkan untuk bertanding mana-mana kerusi parlimen di Kelantan setakat ini.

Seorang aktivis Save Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz, memberi gambaran berhubung perkara itu melalui hantaran di Facebook semalam.

"Takziah Dato Husam Musa, pengerusi Save Kelantan merangkap Ketua Amanah Kota Bharu tidak tercalon kerusi Parlimen pada PRU ke-15 nanti di Kelantan," katanya ringkas.

Husam merupakan bekas pemimpin kanan PAS yang pernah menjadi naib presiden parti itu sebelum berlaku krisis dalaman yang membawa dia menyertai Amanah

Melalui Amanah-Pakatan Harapan (PH), dia yang pernah mejadi exco kanan Kelantan diletakkan untuk bertanding di kawasan parlimen Kota Bharu pada 2018.

Bagaimanapun dia tewas kepada calon PAS, Takiyuddin Hassan dengan majoriti 5,869 undi.

Sebagai rekod pada Sept 2020, dia meletakkan jawatan naib presiden Amanah dan kemudiannya aktif bergerak bersama Save Kelantan.

Sementara itu Malaysiakini difahamkan Amanah akan mempertaruhkan Ketua Wanita Amanah Kelantan Dr Hafidzah Mustakim sebagai calon di Kota Bharu.

Selain itu sumber memaklumkan Amanah bertanding di tujuh kerusi parlimen di Kelantan iaitu Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Rantau Panjang, Tumpat, Kuala Krai, Pasir Puteh dan Kubang Kerian.

Jabatan Penjara: Najib dilarang keluar kenyataan berkait PRU15

FMT Reporters

PETALING JAYA: Najib Razak tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan, termasuk berkaitan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan Supri Hashim.

Beliau berkata, bekas perdana menteri itu sama seperti mana-mana banduan lain yang sedang menjalani hukuman penjara, tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan, lapor Sinar Harian.

“Semua surat serta dokumen dikeluarkan juga perlu ditapis terlebih dahulu oleh pihak penjara, termasuk surat yang dihantar kepada keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pameran Menjangkau Abad Dinding Penjara di Muzium Penjara Banda Hilir, Melaka, hari ini.

Tambahnya, Jabatan Penjara ialah jabatan kerajaan yang tidak terlibat dengan mana-mana politik dan warganya terus menggalas tanggungjawab diamanahkan tidak kira kerajaan yang memerintah.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Nordin Muhammad sebagai berkata, bekas ahli Parlimen Pekan yang sedang menjalani hukuman penjara itu tidak dibenarkan keluar berkempen untuk PRU15.

Katanya, Najib tertakluk kepada Akta Penjara dan peraturan selain prosedur operasi standard jabatan itu.

“Selagi beliau masih menjalani hukuman penjara, beliau tertakluk kepada akta dan peraturan penjara,” katanya.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes membabitkan dana SRC International.

Kakak tikam adik selepas berebut tempat duduk dalam kereta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan menikam adik lelakinya hingga maut selepas berselisih faham akibat berebut tempat duduk kereta ketika pulang sekolah dalam kejadian di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.15 petang dan hasil siasatan mendapati ia berpunca daripada pergaduhan adik-beradik.

Katanya, daripada keterangan daripada ibu mangsa, anak lelakinya berusia 16 tahun bergaduh dengan kakaknya berusia 18 tahun kerana berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Katanya, kakak mangsa mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah keluarga.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang hari ini, bedah siasat akan dijalankan esok di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya lapor Harian Metro.

Berikutan itu, suspek kini ditahan dan polis akan memohon untuk mendapatkan perintah tahan reman terhadap remaja berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan bedah siasat akan dijalankan esok.

'Dr Dzul pertahan Kuala Selangor, Khalid Samad pindah ke Titiwangsa'

N Faizal Ghazali & Yasmin Ramlan

story-imageAmanah sah akan mempertaruhkan penyandangnya Dr Dzulkefly Ahmad di parlimen Kuala Selangor walaupun dia sebelum ini mahu memberi laluan kepada muka baru.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata kerusi itu menjadi sangat kritikal dan serius selepas Umno mahu meletakkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di situ.

“Kami yakin beliau mampu mengekalkan kerusi ini berdasarkan kerja buat beliau selama ini,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Sebelum ini Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan mengumumkan tidak menyertai pilihan raya umum kali ini dan menegaskan pendirian itu kekal walaupun BN menurunkan Tengku Zafrul. 

Sementara itu, sumber yang enggan namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini, perkara itu hasil perbincangan mesyuarat jawatankuasa penilaian calon Amanah pada Isnin lalu.

Selain itu Amanah juga dijangka membuat perubahan kecil dalam meletakkan calon-calon pada PRU ke-15 nanti khususnya membabitkan kepimpinan utama parti.

Antaranya Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad diputuskan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam yang dimenanginya pada 2018.

Sebaliknya kata sumber itu, Khalid akan menjadi taruhan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Titiwangsa.

"Khalid bakal bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa, manakala parlimen Shah Alam belum diputuskan setakat ini dan berkemungkinan Ketua Amanah kawasan Shah Alam, Azli Yusof, akan dicalonkan," katanya.

Sementara itu, ketika diminta pengesahan berhubung statusnya pada PRU15, Khalid berkata dia “bersedia menyerahkan kerusi Shah Alam kepada muka baru”. 

Dia juga berterima kasih kepada pengundi Shah Alam yang telah mengundinya selama tiga penggal sejak PRU12 pada 2008. 

“Saya minta maaf atas kelemahan dan kekurangan yang pasti ada. 

“Berkhidmat sebagai ahli parlimen Shah Alam satu penghormatan buat saya.

“Saya bersedia menyerahkan kerusi kepada ‘muka baru’, pelapis yang telah pun disediakan parti sejak sekian lama sekiranya itu yang diinginkan parti,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Perubahan calon

Sementara itu sumber memberitahu, Amanah juga membuat keputusan untuk membuat perubahan calon di beberapa kerusi parlimen yang dimenangi mereka sebelum ini.

Katanya, langkah yang diambil antaranya Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus diputuskan tidak mempertahankan kerusi parlimen Hulu Langat.

"Selain itu Amanah juga akan tampilkan calon baru di kerusi parlimen Tampin bagi menggantikan penyandangnya Hassan Bahrom yang tidak akan bertanding.

"Seorang lagi naib presiden Amanah tidak akan bertanding kali ini iatu Dr Siti Mariah Mahmud (Seri Serdang) dan Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli (Lumut)," katanya.

Sebelum ini Siti Mariah dilaporkan berkata pemimpin parti yang berusia 60 tahun dan ke atas sedia berundur jika benar mereka tidak lagi diperlukan dalam parti.

Katanya keberadaan pemimpin yang veteran dalam Amanah adalah kerana pengalaman yang ada pada mereka.

Sementara itu sumber turut memberitahu Presiden Amanah Mohamad Sabu akan kekal bertanding di Kota Raja, manakala timbalannya Salahuddin Ayub mempertahankan Parlimen Pulai.

Selain itu katanya, dua lagi Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof dan Mahfuz Omar masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar dan Pokok Sena.

Hobi orang kaya yang menyusahkan orang lain

Peminat sukan 4×4 rosakkan laluan kampung Orang Asli

ASLIZA MUSA

RADI Uda menunjukkan keadaan jalan balak yang mengalami kerosakan menuju ke Pos Gob, Gua Musang, Kelantan.

GUA MUSANG: Komuniti Orang Asli di sini merungut apabila laluan yang menghubungkan penempatan mereka rosak gara-gara aktiviti lasak kenderaan pacuan empat roda.

Malah, keadaan laluan yang menghubung penempatan me­reka dengan jalan raya utama dijangka bertambah teruk menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula November ini.

Antara perkampungan yang teruk terkesan dengan aktiviti peminat sukan lasak itu ialah Kampung Pos Gob, Pos Balar, Pos Bihai serta Pos Tohoi.

Seorang penduduk Orang Asli Kampung Kajang, Pos Gob, Radi Uda, 51, berkata, mereka cukup terkesan apabila tidak dapat keluar ke bandar menggunakan jalan balak kerana laluan rosak dilalui kenderaan tersebut.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih parah terutama ketika mereka berdepan kes kecemasan seperti sakit atau mahu bersalin kerana tidak keluar menggunakan jalan darat.

“Jika orang kampung sahaja yang menggunakan, jalan ini tidak akan jadi rosak macam ini. Tetapi bila ada yang masuk untuk bermain pacuan empat roda pada hujan tetapi kami orang kampung yang terseksa.

“Akibatnya, kami memerlukan masa hingga hampir 12 jam untuk keluar dari kawasan kampung ke bandar Gua Musang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, John Busu, 36, memberitahu, sejak bulan September lalu sudah lebih lima kali dia terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda masuk ke Pos Gob.

Katanya, dia berharap pihak berkuasa dapat mengetatkan kawalan kepada pihak yang ­ingin mengadakan program di kawasan perkampungan Orang Asli ketika musim tengkujuh.

“Aktiviti yang memberi keseronokan kepada peminat sukan lasak itu hanya mendatangkan kesusahan kepada penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman untuk me­lakukan urusan harian,” ujar­nya. –UTUSAN

Islamic Center terbakar

Islamic Center Jakarta Kebakaran, Api Berkobar di Kubah

CNN Indonesia

Rabu, 19 Okt 2022 16:18 

Jakarta, CNN Indonesia -- Bangunan masjid Islamic Center Jakarta di Jakarta Utara mengalami kebakaran, Rabu (19/10) petang.

Berdasarkan rekaman video yang viral terlihat api berkobar di kubah masjid tersebut.

Ketika dikonfirmasi, petugas jaga di layanan Dinas Pemadam Kebakaran Jakarta Utara, Eddy, membenarkan peristiwa tersebut.

Dia mengatakan kebakaran itu dilaporkan ke pihak pemadam sekitar pukul 15.22 WIB. Saat dihubungi pada pukul 16.13 WIB, setidaknya 10 unit mobil pemadam kebakaran telah diterjunkan ke lokasi.

"10 unit mobil damkar diterjunkan ke lokasi, saat ini sedang dalam proses pemadaman," kata Eddy.

"15.22 WIB, kejadian awalnya berdasarkan laporan," imbuhnya.

Saat ditanya terkait dugaan penyebab kebakaran, Eddy menjawab, "Sejauh ini belum diketahui penyebab kebakaran

Rekaman kebakaran kubah masjid itu pun diunggah di akun Instagram @humasjakfire.

"Terjadi kebakaran yang melanda kubah masjid Jakarta Islamic Center, JI. Kramat Jaya Raya, 006/001, Kel. Tugu Utara, Kec. Koja, Jakarta Utara," bunyi unggahan Pemadam Kebakaran Jakarta di akun Instagram @humasjakfire.

"Pengerahan sebanyak 10 unit dan 55 personil," bunyi unggahan tersebut.

Sementara itu, Kepala Sub Divisi Seni Budaya Pusat Pengkajian dan Pengembangan Islam JIC Hanny Fitriyah mengatakan kebakaran terjadi usai kegiatan salat asar berjemaah.

"Iya, betul. Kubah terbakar setelah salat ashar tadi," kata Hanny Fitriyah saat dihubungi CNNIndonesia.com.

Baca artikel CNN Indonesia "Islamic Center Jakarta Kebakaran, Api Berkobar di Kubah" selengkapnya di sini: https://www.cnnindonesia.com/nasional/20221019161017-20-862770/islamic-center-jakarta-kebakaran-api-berkobar-di-kubah.

Download Apps CNN Indonesia sekarang https://app.cnnindonesia.com/

Tiada rundingan dengan parti 'pak lebai' lepas PRU15 - Zahid

Malaysiakini

Barisan Nasional (BN) tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan parti ‘lebai’, untuk apa jua gabungan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tanpa menamakan mana-mana parti, beliau yang juga Presiden Umno menyifatkan parti berkenaan sebuah parti yang tiada pendirian tetap.

“Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak, pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dataran Seri Serdang di Bandar Baharu, hari ini.

Terhegeh-hegeh hendak jumpa

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ahmad Zahid berkata BN mahu kawan yang setia dan istiqamah, selain yang sedia bersama susah dan senang bersama parti itu.

“Mereka beritahu tunggu lepas pilihan raya kita runding, BN jawab dengan cepat pilihan raya belum lagi, kita sedang menghadapi realiti ketika ini.

"Jangan runding lepas pilihan raya, kita bukan riak, sombong, takut atau pengecut. Rakyat sudah sedar dan akan beri kepercayaan semula kepada BN.

“Ketika itu apabila kita berjaya bentuk kerajaan, baru ada orang terhegeh-hegeh hendak jumpa kita, kita akan cakap cukup sampai di sini dan semua sudah terlambat,” katanya.

- Bernama

Wartawan disiasat lebih 3 jam susulan laporan operasi ‘Mossad’ di KL

Farah Ayuni Zulkefli 

Pengarang Kumpulan NST Farrah Naz Karim disiasat kira-kira tiga jam setengah susulan laporan yang mendakwa agensi risikan Israel Mossad terlibat dalam penculikan warga Palestin di Kuala Lumpur.

Malaysiakini difahamkan dia keluar daripada ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada jam 4.40 petang tadi,selepas memasuki bangunan itu kira-kira jam satu tengah hari.

Dalam kenyataan selepas siasatan, dia berkata polis antaranya ingin tahu bagaimana NST memperoleh maklumat terperinci berkaitan penculikan itu.

“Saya jelaskan perkara itu sebahagian daripada kewartawanan penyiasatan untuk menghasilkan laporan terperinci, walaupun ia mungkin tidak selesa bagi sesetengah pihak,” katanya.  

NST awal pagi semalam melaporkan Mossad menjalankan operasi menculik warga Palestin di Malaysia menggunakan rekrut rakyat Malaysia.

Laporan itu bagaimanapun menyebut mangsa yang dikaitkan dengan Hamas dan sayap bersenjatanya Briged Izz ad-Din al-Qassam itu diselamatkan oleh polis Malaysia.

Polis setakat ini masih belum dapat mengesahkan dakwaan penglibatan Mossad dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

Seramai 11 suspek penculikan itu telah didakwa di mahkamah.

Zahid Hamidi: PAS kawan tak setia

 M Hifzuddin Ikhsan

hifzuddin@bh.com.my

Bandar Baharu: Barisan Nasional (BN) menolak sebarang rundingan bersama Pas selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila menganggap parti itu sebagai kawan yang tidak setia.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin Pas dilihat sering berubah-ubah dalam menentukan pendiriannya.

Katanya, disebabkan itu BN memilih untuk bergerak solo pada PRU-15 selain yakin komponen BN dapat membantu parti itu kembali memerintah negara.

"Seharusnya Pas mempunyai pendirian teguh dalam membuat keputusan dalam menentukan kerjasama sebelum PRU-15 kali ini.

"BN mahu kawan yang setia dan istiqamah selain yang sedia bersama susah dan senang bersama parti itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Dataran Serdang di sini, hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ahmad Zahid berkata, Pas memaklumkan ingin berunding selepas pilihan raya, namun ketika itu sudah terlambat.

"Jangan runding lepas pilihan raya, kita bukan riak, sombong, takut atau pengecut. Rakyat sudah sedar dan akan beri kepercayaan semula kepada BN.

"Ketika itu apabila kita berjaya bentuk kerajaan, baru ada orang terhegeh-hegeh hendak jumpa kita, kita akan cakap cukup sampai di sini dan semua sudah terlambat," katanya.

Amanah sasar 6 kerusi Parlimen di Selangor

Mohamad Fadli

Enam kerusi Parlimen yang akan ditandingi Amanah di Selangor ialah Shah Alam, Kota Raja, Kuala Selangor, Sepang, Hulu Langat dan Sabak Bernam.

SHAH ALAM: Amanah akan bertanding enam kerusi Parlimen di Selangor pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berbanding lima kerusi pada 2018.

Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim berkata, enam kerusi itu adalah Shah Alam, Kota Raja, Kuala Selangor, Sepang, Hulu Langat dan Sabak Bernam.

“Nama-nama calon sudah dibincang, tetapi tak boleh dedahkan lagi. Setiap hari bertukar nama,” katanya pada majlis penyerahan bantuan banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Amanah bertanding lima kerusi Parlimen, iaitu Shah Alam, Kota Raja, Kuala Selangor, Sepang dan Hulu Langat, yang semuanya dimenangi parti itu.

Sebelum ini, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, parti itu akan meletakkan calon di lebih banyak kerusi yang ditandinginya pada PRU14.

Sementara itu, Izham berkata, beliau difahamkan Amanah menyasarkan untuk bertanding hampir 50 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu belum dimuktamadkan lagi.

Muda pertimbang gerak solo

Ng Xiang Yi

Muda bercadang untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berikutan perundingan kerusi yang belum tentu walaupun kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk membentuk pakatan pilihan raya.

Sumber dari Muda memberitahu Malaysiakini masih tiada perbincangan rasmi mengenai rundingan kerusi antara Muda dan Pakatan Harapan (PH) setakat ini, walaupun seorang pemimpin PKR menyatakan sebaliknya.

Timbalan presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz (gambar, bawah) hari ini mengesahkan belum ada mesyuarat rasmi mengenai rundinga kerusi.

Difahamkan setakat ini, satu-satunya kawasan yang disahkan untuk Muda ialah kerusi Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar.

Ini berdasarkan syarat perjanjian dengan PH bahawa kedua-dua parti akan memastikan rundingan tidak menyentuh kepada kerusi disandang (incumbency).

Amira mendedahkan bahawa dua syarat lain adalah untuk menyokong calon perdana menteri PH dan jika Muda ingin mengadakan perbincangan dengan parti ataupun gabungan lain, maka Muda perlu mendapat persetujuan Majlis Presiden PH.

Pun begitu, sumber Muda berkata masa semakin suntuk untuk rundingan kerusi.

“Syarat ini tidak akan bermakna kepada kami. Memandangkan kami sudah bersetuju untuk membentuk pakatan pilihan raya maka kami harus bergerak ke hadapan untuk membincangkan peruntukan kerusi lain.

“Ini tidak adil kepada kami kerana kami juga memerlukan masa untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

“Kami mula mempertimbangkan untuk bergerak solo kerana kami tidak sabar lagi. Pimpinan mungkin mempunyai jawapan muktamad selepas mesyuarat esok,” kata sumber itu.

Sumber itu mendedahkan Muda hanya meminta enam hingga tujuh kerusi parlimen untuk PRU15 dan ini bukan tuntutan yang tidak munasabah.

Sementara itu, Amira turut meluahkan kekecewaan berhubung rundingan kerusi dan menggesa PH duduk berbincang bersama mereka tidak lama lagi.

"Ada yang tanya, Muda akan tanding kerusi mana?.

"Jujur saya sebut di sini, rundingan kerusi secara rasmi bersama PH masih belum bermula.

"Sebagai Pengarah Pilihanraya MUDA, saya telah berhubung dengan pimpinan PH untuk berjumpa dengan Mesyuarat Majlis Presiden PH dan adakan rundingan secara rasmi dalam masa terdekat.

"Namun masih belum ada mesyuarat rasmi ditetapkan,” katanya pada satu kenyataan.

Rundingan dalaman PH belum selesai

Muda membangkitkan isu rundingan kerusi sehari sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan jadual PRU15 esok.

Ini akan disusulu dengan konvensyen PH di Ipoh malam esok, dengan gabungan itu akan mengumumkan calon perdana menteri, pembahagian kerusi, manifesto, dan lagu tema pilihan raya serta maskot.

Bagaimanapun, sumber PH yang bersimpati kepada Muda berkata terdapat sebab kukuh mengapa gabungan itu tidak memulakan rundingan kerusi dengan parti belia itu.

Ini memandangkan gabungan itu belum menyelesaikan rundingan kerusi antara parti komponennya - yang menghalang mereka daripada meneruskan rundingan dengan sekutu PH.

Justeru, sumber itu berharap Muda dapat bersabar, dan memberi jaminan bahawa PH akan dapat menyelesaikan perbincangan dalaman mereka sendiri dalam tempoh dua hari akan datang.

“Jika Muda benar-benar pergi bergerak solo, ia satu kerugian kepada kedua-dua parti, dan Muda akan mengalami kerugian yang lebih besar. Saya harap ini tidak akan berlaku,” kata sumber itu.

Sumber itu juga melihat bahawa permintaan Muda mengenai peruntukan kerusi adalah munasabah dan bukan sesuatu yang terlalu rumit untuk dipertimbangkan.

“Permintaan mereka munasabah dan tidak rumit untuk dipertimbangkan, memandangkan bilangan kerusi tidak banyak.

“Kami tidak berniat untuk melengah-lengahkan atau membuang masa berhubung perkara ini kerana kami benar-benar komited untuk bekerjasama dengan Muda.

"Satu-satunya perkara ialah mengenai kekangan masa dan saya dapat memahami kekecewaan mereka," tambah sumber itu.

Sementara itu, wakil PKR dalam jawatankuasa pilihan raya PH, Nik Nazmi Nik Ahmad ketiak dihubungi membayangkan perkembangan yang lebih cerah.

Ditanya jika rundingan kerusi dengan Muda tidak akan berlangdung, Nik Nazmi memberi jaminan bahawa perbincangan sedang berjalan dan dia baru sahaja bertemu dengan Syed Saddiq pagi tadi.

"Ia bagus," katanya ringkas ketika menjawab soalan bagaimana mesyuarat itu berjalan.

Nik Nazmi memberi jaminan bahawa pengumuman juga akan dibuat tidak lama lagi.

Jika Muda dan PH bersetuju duduk untuk berunding, mungkin terdapat beberapa perkara yang boleh menimbulkan ketegangan.

Secara khusus, soalan bagaimana untuk mentafsir syarat perjanjian bahawa tidak akan ada pertembungan di kerusi penyandang.

Menurut sumber dari Harapan, satu-satunya kerusi yang dibuka untuk rundingan adalah kerusi yang ditandingi oleh Bersatu, Warisan, atau kerusi yang Harapan kalah pada PRU14.

Bagi Muda, ini termasuk kerusi yang dimenangi oleh PKR yang kemudian wakil rakyatnya berpaling tadah kepada Bersatu - pandangan yang tidak dikongsi PKR.

Bekas hakim dipenjara 6 bulan, denda RM25,000

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

hafidzul@hmetro.com.my

Shah Alam: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM25,000 terhadap seorang bekas hakim selepas didapati bersalah atas pertuduhan menerima suapan membabitkan kes yang dikendalikannya empat tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali juga memerintahkan Azmil Muntapha Abas, 48, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan, jika tertuduh yang sebelum ini berkhidmat di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, Rasyihah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, kerana ingin merayu ke Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 10 Mei 2018 sebagai seorang ejen penjawat awam iaitu Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor memperoleh suatu barang berharga untuk dirinya iaitu wang tunai sebanyak RM5,000 tanpa suatu balasan.

Ia yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam prosiding berkaitan dengan dirinya iaitu mengendalikan kes-kes jenayah bagi enam orang tertuduh yang melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dengan menjatuhkan hukuman denda terhadap mereka semua.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di Setia Alam 2, Selangor dan dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai, Maziah Mohaide dan Mohd Shahrom Idris.

Hakim kemudian membenarkan penangguhan hukuman sehingga notis rayuan difailkan selewatnya pada 21 Oktober dengan wang jamin mahkamah RM12,000.

Musa Hitam: Semua parti termasuk Umno takut, tiada yakin menang PRU15

Malaysiakini

Bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam membuat spekulasi bahawa Umno dan BN tidak akan mampu menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti dan akan menjadi minoriti.

Bercakap pada program Bicara Tokoh: Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Johor, di Johor Bahru, semalam, veteran politik itu berkata, setiap parti yang bakal bertanding takut dan tidak ada yang satu pun gabungan yang dilihat benar-benar yakin mampu menang.

"Pada saya semuanya (parti) takut dan tidak tahu kemungkinan bakal berlaku. Ia berikutan keadaan politik negara yang berada dalam kecelaruan malah rakyat juga menjadi celaru dan keliru.

"Keadaan sekarang ini, setiap parti pun tidak begitu pasti apa hasilnya (PRU15) dan bagaimana rakyat akan buat pilihan nanti,” katanya yang dipetik akhbar Berita Harian Online.

Bekas pemimpin Umno itu berkata hasil analisis dan pemerhatiannya mendapati semua parti mengambil sikap berhati-hati dan tidak yakin nasib parti mereka.

"Semua parti juga saya lihat masih ambil sikap tunggu dan lihat. Selepas keputusan PRU15 barulah mereka akan mengorak langkah masing-masing.

"Namun apa yang menjadi kerisauan saya, pada pendapat saya Umno tidak akan mampu tubuhkan kerajaan dan mungkin akan jadi minoriti selepas ini, " katanya.

Hadir sama pada majlis itu adalah Yang Dipertua Mubarak Johor, Abdullah Md Ali dan bekas menteri besar, Abdul Ghani Othman.

Mengulas lanjut, Musa juga berkata Umno dilihat sedang menghadapi dilema dan krisis kepemimpinan paling buruk parti itu.

"Saya ingin mengingatkan semua dalam Umno harus sedar hakikat daripada sebuah parti politik yang penuh semangat nasionalisme, kini budaya baharu parti telah bertukar kepada nafsu materialisme, kekayaan dan kepentingan individu semata-mata.

"Kepentingan masyarakat kini tenggelam dan tidak menjadi keutamaan lagi. Umno juga sedang menghadapi krisis kepemimpinan... yang tak pernah dihadapinya," katanya.

Justeru, bekas timbalan presiden parti itu berkata, ahli perlu bangkit menentukan arah tuju Umno selepas ini.

Katanya, mereka tidak boleh lagi mendiamkan diri untuk menyelamatkan kedudukan masing-masing.

"Jika kita tak buat sesuatu dan tak pandai memilih, hanya guna emosi dan sentimen sahaja atau kita terus guna kekayaan dan wang demi meraih kuasa macam dulu.

"Maka akan habislah hayat dan riwayat Umno selepas ditolak rakyat," katanya.

Musa juga menjangkakan parti-parti pembangkang tidak dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Menurutnya, konsep khemah besar yang disarankan masih tidak diterima hampir kesemua gabungan politik negara buat masa ini.

Katanya, konsep itu agak kontroversi dengan semua parti dilihat enggan pada idea perkongsian kuasa dan pembahagian kerusi yang dimiliki.

"Hasil PRU-15 ini sangat menarik untuk kita lihat namun saya jangkakan lebih banyak kesan negatif akan timbul daripada tiada satu pun parti yang mampu menjadi dominan," katanya lagi.

Operasi Mossad di Malaysia perlu diperangi habis-habisan

MOHD ALI HASHIM

Pihak berkuasa Malaysia perlu segera menyiasat bagaimana operasi agensi perisikan Israel – Mossad di negara ini menggunakan orang tempatan bagi memburu pejuang Palestin di Malaysia, boleh wujud kerana ia menjadi satu ancaman di mana mereka mampu menerobos sempadan keselamatan negara.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata insiden asasinasi seorang warga Palestin pada 2018 di Kuala Lumpur sepatutnya pihak keselamatan menggerakkan agensi inteligen negara memantau operasi Mossad dengan terperinci.

“Pihak lokal yang rela dipergunakan oleh Mossad perlu segera disiasat kerana kewujudan penjenayah terbabit kemungkinannya telah membina jaringan yang luas dan kegiatan espionaj Mossad di seluruh dunia bukan suatu perkara yang baru.

” Mapim mendesak kerajaan, ahli politik dan agensi keselamatan bertindak pantas dan tegas membanteras agensi zionis yang beroperasi di negara ini.

” Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam negara ini digesa supaya bangkit dan mengecam zionis Israel dan agensi penjenayah Mossad serta melancarkan kempen memerangi mereka yang sanggup menjadi tali barut Mossad,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, kerajaan dan pimpinan parti politik harus mengeluarkan kenyataan tegas bahawa agensi penjenayah tersebut tidak boleh beroperasi di bumi Malaysia dan tiada kompromi sama sekali terhadap Mossad.

Malah kata beliau, sstu nota bantahan perlu dihantar kepada Israel melalui Amerika Syarikat yang menjadi penyokong kuat Israel.

Tegasnya, pihak keselamatan Malaysia harus memantau sebarang operasi menggunakan warga Malaysa sebagai agen Mossad atau mana-mana agen luar yang mengancam keselamatan negara.

Musa Hitam: Ismail, Muhyiddin, Anwar ada kualiti, karisma terajui negara

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob, Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim adalah tiga pemimpin yang dilihat mempunyai ketokohan, kualiti, karisma dan daya tahan untuk memimpin negara, kata bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam.

Musa berkata, ketika-tiga pemimpin itu dilihat mampu menerajui negara dan mengharungi cabaran masa kini.

“Dalam keadaan dunia yang mencabar sekarang ini, negara kita, sangat-sangat memerlukan kepimpinan taraf dunia.

“Pada masa kini, negara kita sangat kekurangan pemimpin yang mampu berdepan dengan pelbagai cabaran dunia kini. Malaysia sangat perlu pemimpin berkualiti, berpengalaman dan tabah berani dalam menghadapi apa jua cabaran yang datang.

“Waktu sekarang nampaknya memang kita alami kekurangan pemimpin yang boleh dikatakan ‘top class’. Saya nak buat satu analisa. Pemimpin pilihan peribadi saya yang saya lihat mampu memimpin negara dalam keadaan mencabar ini ada tiga nama iaitu Ismail Sabri, Muhyiddin dan Anwar.

“Pokoknya, mereka ini berkebolehan memimpin negara dalam keadaan sekarang yang penuh kecelaruan,” katanya lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian Program Bicara Tokoh : Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Johor, di Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Dalam pada itu, Musa yang juga bekas timbalan presiden Umno, turut menamakan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai pemimpin muda berpotensi.

Katanya, beliau tertarik kepada Muda dan ideologi Syed Saddiq.

“Saya berpeluang bercakap dengan dia (Syed Saddiq). Dia ada idea bagus, ini pandangan saya tanpa prejudis dan tidak berpihak. Saya lihat dia ada keterujaan dan idealisme tersendiri.

“Orang di luar memang berkata macam-macam mengenai dia. Namun pada saya dia mewakili golongan pemimpin masa depan.

“Dia juga ada pengikut ramai. Untuk dia menang kerusi atau mendapat dua tiga kerusi menerusi Muda bukan satu masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Musa menyifatkan kecelaruan politik yang dialami negara masa kini, diibaratkan seperti ‘politik kartun’.

“Saya nak cakap juga terus terang, tiap-tiap kali saya hadapi kritikan (daripada orang luar), berikutan keadaan politik dalam negara yang bercelaru, mereka cakap keadaannya seperti ‘politik kartun’.

“Keadaan politik negara macam hiburan pula jadinya dengan kita (ahli politik) diketawakan,” katanya.

Pemandu bot, pemancing selamat wanita mengandung di Jambatan Pulau Pinang

Zuhainy Zulkiffli

am@hmetro.com.my

WANITA hamil yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang berjaya diselamatkan pemandu bot pancing.

WANITA hamil yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang berjaya diselamatkan pemandu bot pancing.

Georgetown: "Memang tergamam apabila melihat ada orang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, betul-betul di hadapan bot saya.

"Saya terus memandu bot yang tidak jauh daripada mangsa sebelum lihat dia sudah tenggelam dan timbul."

Demikian kata pemandu bot pancing, Mohd Sobri Karim, 37, selepas menyelamatkan wanita mengandung yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang, semalam.

Mohd Sobri berkata, dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu, dia baharu mengambil empat pemancing di tiang tengah jambatan dan mahu mengambil dua lagi pemancing di kira-kira Kilometer 4.0 dari arah Perai ke Georgetown.

"Kebetulan bot saya dipandu perlahan ketika melalui kawasan itu dan tiba-tiba kami terlihat kelibat sesuatu terjatuh dari jambatan, betul-betul berlaku di hadapan bot.

"Berikutan mangsa sedang tenggelam timbul serta ditolak arus, saya capai tangannya dan ikat dengan tali pengikat bot supaya dia tidak tenggelam.

"Saya dengan dibantu empat lagi pemancing kemudian perlahan-lahan menarik tali berkenaan sebelum mengangkat wanita berkenaan ke dalam bot.

"Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban bagi diserah kepada pasukan perubatan sebaik tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.

Terdahulu, video berdurasi 19 saat yang dimuatnaik Mohd Sobri di TikTok, memaparkan wanita berkenaan diselamatkan juga tular di media sosial.

Mengulas lanjut Mohd Sobri berkata, dia terus menghubungi ambulans manakala wanita yang memakai pelitup muka sambil memegang perutnya hanya menangis dan meraung ketika diselamatkan.

Katanya, wanita yang berusia lewat 20-an itu juga dipercayai sedang mengandung antara enam atau tujuh bulan.

"Dia dipercayai menaiki kereta berwarna putih dan berhenti di atas jambatan sebelum terus terjun ke laut.

"Syukurlah wanita berkenaan selamat dan yang penting bayi dalam kandungannya juga selamat bermakna dua nyawa dapat diselamatkan, " katanya.

Menurut Mohd Sobri, ia adalah kali pertama pengalamannya menyelamatkan mangsa terjun dari jambatan berkenaan.

Namun dia sudah dua kali berjaya memujuk dua mangsa supaya tidak terjun dari jambatan dalam dua kejadian berasingan.

"Terbaru minggu lalu, apabila seorang lelaki berusia 60-an mahu terjun di kilometer yang sama dan saya memujuknya supaya membatalkan niat, sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.

"Kita bantu selagi boleh, semoga dengan pertolongan ini dapat beri peluang kedua kepada mereka supaya teruskan hidup," katanya.

Cikgu Fadli bebas tindakan tatatertib kerana PRU15 makin hampir

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik mendakwa Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan mendapati guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak bersalah kerana pilihan raya umum ke-15 semakin hampir.

Katanya, perkara itu dimaklumkan guru terbabit dalam sesi perkongsiannya di Facebook sebentar tadi.

“Cikgu Fadli bernasib baik, dia digugurkan (tindakan tatatertib) kerana menjelang PRU isu ini meletup.

“Beliau mempunyai ramai pengikut (sosial media) dan beliau bersuara pada umum. Itu dari mulut Cikgu Fadli sendiri,” kata Maszlee menerusi sesi bual bicara dalam talian.

Terdahulu, Fadli berkongsi keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang membebaskan beliau daripada tiga tuduhan, susulan kelantangannya bersuara mengenai silibus pembelajaran yang didakwanya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Maszlee berkata, semasa menjadi menteri pendidikan di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, banyak aduan diterima berhubung guru yang dikenakan tindakan sama kerana bersuara lantang semasa pemerintahan Barisan Nasional.

Justeru, beliau mencadangkan guru yang pernah dikenakan tindakan sebelum pemerintahan PH untuk menularkannya kepada umum.

“Perkara ini bukan baharu. Cikgu Fadli sendiri katakan sebelum zaman saya (jadi menteri pendidikan) banyak yang terima nasib seperti beliau, namun tiada siapa nak bela dan berani bercakap dan mereka dibungkam tak boleh bersuara.”

Sebelum ini, Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus Matematik.

Guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu itu berkata, jumlah murid dalam kelas terlalu ramai, subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat boleh memudaratkan kesihatan murid.

Selepas mendedahkan keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan hari ini, Fadli dilaporkan berkata, beliau didapati tidak bersalah kerana tekanan netizen.

“Kalau didapati bersalah, rakyat akan bangkit. Saya yakin tindakan ini kerana ada dendam orang tertentu terhadap saya. Ini kezaliman yang nyata dan kesalahan saya tak setimpal dengan denda yang hendak dikenakan.

“Saya dizalimi, sebab itu sokongan orang ramai nampak, orang tak kenal saya sebelum ini pun bila dia baca pertuduhan saya kerana menulis berkenaan silibus dan sebagainya, patutkah orang ini dibuang? Tak patut, sebab itu sokongan jadi melampau,” katanya.

Menurut Maszlee, ketika menjawat jawatan menteri pendidikan, dia tidak mengambil tindakan terhadap guru yang bersuara mengkritik kerajaan, atas sebab demokrasi.

“Tetapi ada tindakan diambil zaman saya iaitu salah laku seksual, cikgu yang culas tak datang (sekolah) dan sebagainya,” katanya.