"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana Leman Raja Lawak naik ke pentas politik

The Malaysian Insight
Sulaiman Ibrahim aktif menjalankan aktiviti kebajikan bagi bagi membela nasib masyarakat yang tidak bernasib baik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Ogos, 2017.

LIMA tahun lalu, Sulaiman Ibrahim, 35, menyertai rancangan televisyen realiti, Raja Lawak yang ketika itu masuk musim kelima dengan niat yang jelas: ini papan lonjak untuk masuk politik.

Ketika itu orang mengenalinya dengan nama Leman Raja Lawak. Selepas tamat program televisyen itu dan mula muncul di pentas ceramah anjuran PAS, Sulaiman memperoleh nama baru. Orang memanggilnya Leman Raja Lawan.

"Saya masuk Raja Lawak bukan untuk jadi selebriti tetapi sebagai batu loncatan kepada politik," cerita Sulaiman berterus-terang.

Apabila parti Islam itu menghadapi krisis dalaman dan kemudiannya berpecah pada 2016, Sulaiman ikut menyertai Amanah dan mengetuai cabang parti itu di Sik, Kedah. Beliau kini mengukuhkan kedudukannya dalam politik setempat apabila terpilih sebagai pengerusi Pakatan Harapan Sik.

"Saya daripada keluarga susah. Ibu saya ibu tunggal. Saya biasa lawan kerajaan, turun naik pejabat untuk dapatkan bantuan untuk keluarga.

"Saya biasa kena maki macam-macam kerana minta bantuan. Saya tahu rasa pedih dan payahnya mendapatkan bantuan walaupun kami susah. Rumah kami masih guna pelita minyak ketika itu," cerita Sulaiman mengimbau masa lalunya.

Ketika dalam darjah 6 dan kerana rumahnya jauh dari sekolah, Sulaiman dan ibunya memohon bantuan basikal daripada wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi mereka hanya mendapat baju sekolah, bukannya basikal.

Apa yang menyebabkan Sulaiman kesal dan terkilan, ada pelajar yang rumahnya lebih dekat dengan sekolah tetapi mereka pula yang menerima bantuan basikal.

"Apabila masuk tingkatan satu, saya jadi dendam," kata Sulaiman yang menyifatkan pengalaman itu sebagai pelajaran politiknya yang pertama.

Menurut Sulaiman, ibunya bukan malas bekerja tetapi memang nasib mereka menjadi orang susah.

"Dia buat kerja macam-macam. Potong getah dan bermacam kerja dibuat. Sebab itu saya kata, orang miskin di sini bukan sengaja mahu minta bantuan... mesti ada sebab tersendiri," katanya.

Dek kedudukan keluarganya yang susah, Sulaiman tidak menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya (UM). Katanya, apabila masuk semester kedua, beliau berhenti kerana tidak mampu membayar yuran dan perbelanjaan lain.

Dengan latar belakang dan pengalaman peribadi itulah, Sulaiman cukup memahami derita orang miskin. Apabila ada peluang dan diberi tanggungjawab memimpin Amanah di Sik, beliau menjadikan program bantuan orang miskin sebagai projek utamanya.
Amanah cawangan Sik memanfaatkan media sosial untuk menyebarkan segala aktiviti kebajikan di samping menjadi platform mendapatkan bantuan dermawan untuk disalurkan kepada yang memerlukan. – Gambar Facebook, 9 Ogos, 2017.
Bersama rakan-rakannya, beliau masuk keluar kampung menyampaikan bantuan kepada orang susah di sekitar Sik, setakat yang termampu.

Pejabat Amanah Sik sudah menjadi seperti pejabat kebajikan. Hampir setiap hari, ada sahaja orang kampung datang meminta bantuan.

Sulaiman memanfaatkan media sosial untuk menyebarluaskan segala aktivitinya memberikan bantuan, di samping mendapatkan bantuan daripada dermawan untuk disalurkan kepada yang memerlukan.

Taip saja nama Sik di Google, yang awal keluar adalah Parti Amanah Negara Parlimen Sik. Semuanya kerana aktiviti kebajikan yang digerakkan Sulaiman dan kawan-kawannya.

Berita Sulaiman dan kawan-kawannya memberi bantuan ini malah sampai ke Singapura. Sepasang suami isteri dari republik di selatan itu datang ke Sik bersama dua anak mereka. Mereka mencari Sulaiman, Mereka juga mahu ikut sama memberi bantuan. Puncanya, mereka terbaca cerita Sulaiman di Facebook.

Keluarga dari Singapura itu sekarang antara penyumbang bagi aktiviti kebajikan yang dijalankan Sulaiman.

Sebagaimana ahli politik pembangkang lain di tempatnya juga, Sulaiman yakin Pakatan Harapan boleh menang kerusi Parlimen Sik pada pilihan raya akan datang. Kerusi itu ada 48,000 pengundi.

"Sejarah Sik ini memang unik. Pengundinya sentiasa menukar wakil rakyat dan parti yang mereka sokong. Mereka tidak terikat dengan satu parti sahaja," kata Sulaiman.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, pengundi Sik memberikan sokongan mereka kepada Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad yang bertanding atas tiket PAS.

Namun pada PRU 2004, mereka menolak calon PAS dan memilih calon BN daripada Umno.

Pada PRU 2008, PAS menang semula tetapi dalam pilihan raya yang terakhir pada 2013, PAS kalah pula kepada BN.

"Kami berharap, dalam PRU14 nanti calon Pakatan Harapan pula dapat giliran menang Parlimen Sik," kata Sulaiman. – 10 Ogos, 2017.

Gadis 19 tahun dirogol oleh bapa, datuk dan 2 bapa saudara sejak berumur 13 tahun

Bernama 
KUCHING: Polis menahan 4 lelaki selepas menerima laporan mengenai seorang gadis berumur 19 tahun yang mendakwa dirogol oleh datuk, bapa kandung, dan 2 bapa saudaranya sejak berumur 13 tahun, di Kampung Daha Seroban, Serian, kira-kira 50km dari sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata polis pada mulanya menerima laporan daripada Hospital Serian mengenai seorang gadis mengandung yang dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan pada kira-kira pukul 2.30 petang.

Beliau berkata hasil temu bual awal, gadis itu mendedahkan bahawa dia telah dirogol oleh 4 orang lelaki iaitu bapa, datuk dan 2 bapa saudara sejak dia berumur 13 tahun, manakala adiknya yang kini berumur 14 tahun turut menjadi mangsa mereka.

“Wanita itu juga mendedahkan bahawa adiknya turut dirogol sejak berumur 9 tahun. Kesemua insiden ini dikatakan berlaku di rumah mereka di Kampung Daha Seroban, Serian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya susulan siasatan awal, polis menahan 4 suspek berumur antara 26 dan 57 tahun di Kampung Daha Seroban, Serian pada kira-kira pukul 3.30 petang.

Dev berkata suspek yang merupakan bapa kandung, datuk dan bapa saudara gadis itu tinggal serumah, dan semua mereka bekerja sebagai petani.

Gadis dan adiknya itu tidak bersekolah.

“Kes disiasat di bawah seksyen 376B, iaitu sumbang mahram. Kesemua 4 suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Serian pagi esok untuk permohonan reman,” katanya.

Kaji selidik tunjuk PH mampu ambil alih Kedah, kata Rafizi

MOHD ALI HASHIM
Pakatan Harapan (PH) mampu menerajui Kedah sekali lagi seperti yang diraih Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum ke-12.

Keyakinan ini adalah berdasarkan kepada sambutan yang amat memberangsangkan kepada PH di negeri Jelapang Padi itu.

Naib Preisiden PKR Rafizi Ramli berkata, keyakinan yang dizahirkan bukan merupakan suatu telahan semata-mata, malah ia adalah bersandarkan kepada kempen, turun padang dan pertemuan dengan rakyat negeri itu.

"Selain itu kita juga optimis berdasarkan kepada gerak kerja yang dilaksanakan oleh jentera PH.

"Ini turut berkait rapat dengan kaji selidik yang dilakukan setiap bulan sejak sekian lama.

"Ia menunjukkan bahawa Kedah mampu untuk dirampas kembali dalam pilihan raya umum yang akan datang tidak lama lagi," katanya dalam program Jelajah Invoke 'Bina Semula Negara' di Alor Setar semalam.

Peluang lebih besar

Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata, walaupun kewujudan pertandingan secara tiga penjuru, PH masih mempunyai peluang bagi memenangi banyak kerusi yang dipertandingkan di Kedah.

"PH akan berusaha semaksima mungkin bagi memastikan lebih banyak kerusi yang akan dimenangi dalam pilihan raya ke-14 nanti.

"Yang menjadi sasaran kita ialah memenangi sebanyak mungkin kerusi sehingga menjadikan Umno dan BN sebagai pembangkang yang baru.

"Kedah bukan saja berpotensi untuk dimenangi oleh PH jika dibezakan dengan negeri-negeri lain, sebaliknya mempunyai peluang yang lebih besar kali ini, " tegasnya lagi.

Selain itu katanya, rakyat Kedah semakin muak dengan pelbagai kerenah dan ketirisan yang menjadi amalan pimpinan Umno dan BN ketika ini.

"Yang hidup dengan kais pagi makan pagi, masih ramai tanpa mendapat pembelaan dari kerajaan.

"Nasib penoreh getah sehingga kini masih lagi tidak dapat dibela oleh kerajaan termasuklah di negeri Kedah.

"Selagi Umno dan BN memerintah, maka selagi itulah nasib rakyat tidak akan berubah dan berada ditakok lama," tambahnya.

Justeru, kata Rafizi, bagi merasai nikmat perubahan yang lebih baik, maka Umno dan BN mesti ditumbangkan tanpa menanti masa yang lebih lama lagi.

Oleh itu beliau menyeru rakyat Kedah bangkit menolak kerajaan Umno-BN dan juga kerajaan pusat yang sedang memerintah kini jika mahu nasib mereka berubah.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan kepimpinan AMANAH, Bersatu dan DAP Kedah.

Bin Abdullah buka aib, galakkan zina?

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

MENGAPAKAH Fatwa Perlis mengizinkan anak yang kurang enam bulan dari usia perkahwinan dinasabkan kepada bapanya? Tidakkah ini mencanggahi ijmak ulama? Tidakkah ini akan menggalakkan perzinaan? Naser Desa, Selangor

JAWAPAN: Fatwa Negeri Perlis yang diwartakan pada tahun 2013 (zaman Mufti Perlis yang sebelum ini) atas perkenan Raja Pemerintah. Warta fatwa itu menyebut: “Anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”.

Ia membawa maksud, fatwa ini mensyaratkan bapa yang hendak dinasabkan itu hendaklah berkahwin dengan si ibu yang mengandung tersebut dan si bapa tidak menafikan itu adalah anaknya. Ini bermaksud, fatwa ini tidak merangkumi semua anak zina yang lahir yang ibunya tidak mempunyai suami.

Perbezaan antara fatwa ini dengan pegangan beberapa fatwa pihak lain, mereka mensyaratkan enam bulan dan ke atas. Ada dengan tambah beberapa lahzah. Dalam erti kata lain, jika ia hasil zina sekalipun namun lahir selepas enam bulan ke atas maka boleh dinasabkan kepada si bapa. Sementara Fatwa Perlis tidak mensyaratkan enam bulan dan ke atas.

Wilayah Persekutuan melalui majlis fatwanya juga telah menjelaskan dengan menyebutkan: “Kalau anak dalam kandungan itu lahir setelah lebih enam bulan dari tarikh ibunya bernikah dengan lelaki itu, maka lelaki itu dikira sebagai anak yang sah taraf dan boleh dinasabkan kepada lelaki itu (suami ibunya) walaupun anak itu lahir hasil daripada perzinaan.” (http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/908-irsyad-al-fatwa-ke-147-isu-bin-binti-bagi-anak-luar-nikah)

Wujud penafian

Dalam isu anak zina, ada perkara yang ijmak (sepakat mujtahid tanpa kecuali) dan ada yang khilaf iaitu mujtahid berbeza pendapat. Perkara yang menjadi ijmak ialah jika seseorang wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan perkahwinan, maka anak itu hendaklah dibinkan kepada si suami. Sekiranya ada yang cuba mendakwa itu adalah anak hasil perzinaannya dengan si ibu, dakwaan itu sama sekali tidak diterima. Ini melainkan si suami menafikan itu adalah anaknya. Maka ketika itu proses li’an ataupun mula’anah iaitu laknat melaknati diri jika berbohong hendaklah dilakukan. Selepas itu, anak tidak dibinkan kepada si suami.

Demikian ulama ijmak, jika wanita itu tidak bersuami dan penzina pula tidak mengaku itu adalah anaknya, maka anak berkenaan tidak boleh dinasabkan kepada penzina. Adapun jika si ibu tidak mempunyai suami dan penzina mengaku itu anaknya, maka ketika itu ulama khilaf sama ada boleh ataupun tidak dinasabkan kepada si penzina.

Asas perbincangan hal ini ialah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan selain mereka: “Anak itu (nasabnya) kepada suami, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang boleh dituntut)” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis ini disebutkan oleh Nabi SAW apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman Baginda SAW antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang ketika itu masih budak, sebenarnya adalah anaknya. Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah.

Apabila kes ini diangkat kepada Nabi SAW, Baginda SAW mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d, namun baginda memutuskan anak itu ialah anak si suami yang sah ketika iaitu Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang boleh dituntut)."

Menutup aib

Hadis ini bagi kes wanita yang bersuami (mempunyai firash). Adapun wanita yang tidak mempunyai suami, maka di sana perselisihan pendapat ulama berlaku jika ada lelaki yang mendakwa anak yang dikandungkan ataupun dilahirkan itu adalah anaknya.

Ertinya, dalam isu ini, ada perkara yang sepakat mujtahid (ijmak) dan ada yang mujtahid berkhilaf pendapat. Al-Imam Ibn Qudamah (meninggal 620H) menyebut dalam kitab fekahnya yang masyhur iaitu Al-Mughni:

"‘Ali bin ‘Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah (Imam Mazhab Hanafi) bahawa beliau berkata: “Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan lalu mengandung disebabkan perzinaan itu, aku berpendapat tidak salah untuk dia berkahwin dengannya dalam keadaan dia hamil, menutupinya (aib) dan anak itu dikira anaknya”

(Sambung Ibn Qudamah lagi) “Ulama ijmak (sepakat tanpa kecuali) bahawa jika anak dilahirkan dalam keadaan isteri bersuami, kemudian ada orang lain mendakwa itu anaknya, anak itu tidak akan dinasabkan kepada yang mendakwa. Hanya ulama berkhilaf (berbeza pendapat tentang nasab) apabila anak itu lahir dalam keadaan perempuan tidak mempunyai suami." (Rujuk: Ibn Qudamah Al-Maqdisi, ِAl-Mughni, 6/345. Maktabah Al-Qahirah)

Sememangnya jumhur ulama berpendapat bahawa anak zina tidak boleh dinasabkan kepada bapanya si penzina. Pendapat ini dipegang oleh beberapa majlis fatwa termasuklah Majlis Fatwa Arab Saudi (Fatwa Al-Lajnah Al-Daimah). Demikian juga Jawatankuasa Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Alasan pihak jumhur telah disebut oleh banyak pihak dan tidak perlu diulangi di sini.

Di sana ada pendapat yang membolehkan dinasabkan kepada bapa zina yang mengaku anaknya. Pendapat ini dinukilkan daripada ‘Urwah bin Al-Zubair (perawi hadis iaitu anak saudara Umm Al-Mukminin ‘Aishah RAH dan salah seorang dari tujuh ahli fekah Madinah yang terbilang), Al-Hasan Al-Basri (ilmuwan terbilang dalam sejarah Islam yang merupakan anak susuan Umm Al-Mukminin Umm Salamah RHA), Sulaiman bin Yasar (salah seorang tujuh ahli fekah terbilang Madinah yang merupakan maula Umm Al-Mukminin Maimunah binti Harith RHA), Muhammad bin Sirin (seorang tabi’i agung yang merupakan murid Ibn ‘Abbas, Abu Hurairah dan selain mereka), Ishaq bin Rahuyah/Rahawaih (ahli hadis cenderung membaca dengan sebutan Rahuyah, seorang ilmuwan hadis dan fekah yang terbilang). (Lihat: Ibn Qudamah, Al-Mughni 6/345, Ibn Al-Qayyim Al-Juaziyyah, Zad Al-Ma’aad, 5/381, Kuwait: Maktabah Al-Manar)

Kata Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah (meninggal 751) dalam Zad Al-Ma’aad, yang bermaksud: "(Jika ditanya, bahawa sesungguhnya hadis berkaitan menunjukkan hukum tuntutan nasab anak dan anak itu dinasabkan kepada si suami, apakah pendapat kamu jika penzina menuntut seseorang anak yang ibunya tidak bersuami untuk dinasabkan kepada si penzina itu. Apakah anak akan menjadi nasabnya dan disabitkan kepadanya hukum-hakam nasab?"

Siapa bapa kamu?

Disebutkan ini masalah yang besar, ahli ilmu telah berselisihan pendapat mengenainya. Adalah Ishaq bin Rahawaih berpendapat bahawa anak zina jika ibunya tiada suami yang mendakwa anaknya sementara penzina mendakwa anaknya maka dinasabkan kepada penzina. Ditakwilkan sabda Nabi SAW: “Anak itu (dinasabkan) kepada suami” itu bahawa Nabi SAW menghukum demikian apabila berlaku pertikaian antara penzina dan suami ibu, seperti yang telah dinyatakan seblum ini. Inilah mazhab Hasan Al-Basri, telah meriwayatkan daripadanya Ishaq (bin Rahuyah) dengan sanadnya mengenai lelaki yang berzina dengan seorang perempuan dan melahirkan anak, lalu lelaki itu mendakwa itu anaknya, jawab Hasan Al-Basri: “Disebat dan anak dilazimkan (dinasabkan) kepadanya. Inilah juga Mazhab ‘Urwah bin al-Zubair dan Sulaiman bin Yasar.

Diriwayatkan daripada mereka berdua berkata: Mana-mana lelaki yang datang kepada seorang kanak-kanak lalu mengakui itu anaknya bahawa dia pernah berzina dengan ibunya, sementara tiada sesiapa pula selainnya yang mendakwa anak itu anaknya, maka anak itu dikira sebagai anak lelaki yang mengaku itu. Sulaiman bin Yasar berhujah bahawa Umar bin Al-Khattab menasabkan anak-anak (yang lahir) semasa jahiliah kepada sesiapa yang mengaku anaknya semasa Islam).

Pendapat kedua ini telah ditarjihkan oleh Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah RH (meninggal 728H) dan Qayyim Al-Jauziyyah RH (meninggal 751H). Demikian juga Al-Syeikh Muhammad Ridha RH (meninggal 1354H) dalam tafsirnya Al-Manar ketika menafsirkan Surah An-Nisaa ayat 23. Beliau menolak pendapat ulama Mazhab Syafie yang membolehkan bapa zina berkahwin dengan anak zina.

Ketika itu beliau menyebut bahawa nasab disabitkan dengan perkahwinan ataupun pengakuan. Lelaki yang berzina hendaklah dinasabkan kepadanya jika pasti itu anaknya. (Lihat: Tafsir Al-Manar, 4/382, Mesir: Al-Haiah Al-Misriyyah Al-‘Ammah)

Antara alasan pendapat kedua ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mengenai Juraij seorang ahli ibadah yang dituduh berzina dengan seorang wanita oleh orang ramai. Padahal wanita itu telah berzina dengan orang lain. Juraij telah berwuduk, bersolat dan memohon kepada ALLAH.

ALLAH telah menzahirkan karamah di tangan Juraij dalam peristiwa itu di mana dia datang kepada bayi tersebut yang masih kecil dan bertanya: "Wahai budak! Siapakah bapa kamu?" Jawab bayi itu: "Penggembala itu."

Jawapan bayi ini dijadikan hujah bahawa dalam karamah yang ALLAH zahirkan itu bayi itu apabila ditanya “siapa bapa kamu” dia menjawab penggembala itu. Ertinya, dinasabkan anak zina kepada bapanya. Tidak ditanya siapakah yang berzina dengan ibu kamu tetapi siapakah bapa kamu. Anak itu dinisbahkan kepada bapa zinanya.

Ini antara hujah yang digunakan dalam isu ini. Al-Imam Al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsirnya ketika menafsirkan Surah An-Nisaa ayat 23 membentang hujah pendapat ini yang beralasan dengan hadis Juraij tersebut.

Antaranya Al-Qurtubi menyebut: "Adalah nisbah tersebut sesuatu yang sahih dengan perakuan ALLAH dan perkhabaran Nabi SAW mengenai hal itu. Maka sabitlah kedudukannya sebagai anak dan hukum-hakam anak." (Lihat: Al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, 5/115, Beirut: Dar Al-Fikr)

Taubat dan keaiban

Setelah meneliti penghujahan kedua pihak dan menyedari ini adalah masalah khilaf dalam kalangan fuqaha, Fatwa Perlis juga meneliti fenomena yang berlaku dalam masyarakat hari ini. ‘Bin Abdullah’ yang diamalkan secara tidak langsung boleh menzalimi kehidupan anak yang tidak bersalah. Tidak memberikan peluang kepada seseorang yang bersalah menutup dosa yang telah dilakukan sekalipun dirinya telah bertaubat.

Apabila seseorang penzina berkahwin dan bertaubat, ALLAH itu menerima taubat. Atas sikap yang bertanggungjawab, dia membesarkan anak zina. Jika anak itu dibinkan dengan Abdullah, pasti si anak akan bertanya: "Mengapa saya bin Abdullah?." Apakah wajar untuk si bapa menjawab: “Saya dan ibu kamu dahulu berzina?.” Jika itulah jawapannya, bererti ibu bapa berkenaan telah membuka keaiban diri mereka yang dilarang oleh nas-nas Islam untuk mereka membukanya. Bahkan jawapan itu akan menghilangkan rasa hormat si anak kepada ibu dan bapa zinanya yang cuba membesarkan dan mendidiknya menjadi insan yang baik.

Jika ada anak-anak lain daripada hubungan halal, mereka juga akan mengetahui aib ibu bapa mereka dan tidak akan menghormati keduanya.

Ini semua akan menjadikan proses pendidikan ke arah yang baik terganggu. Mentaliti generasi pada zaman ini berbeza dengan zaman semasa kitab fekah dahulu ditulis. Pendedahan ini boleh membawa kepada penderhakaan ataupun kebencian dan memandang hina kepada ibu bapa dari anak-anak yang lain juga. Sekali lagi isi keluarga boleh berantakan. Semangat mendidik anak-anak menjadi baik juga akan hilang. Ini boleh membawa keruntuhan institusi keluarga yang banyaknya telah rapuh.

Pada zaman yang role model amat kurang bagi generasi anak-anak, ibu bapa sepatutnya menjadi contoh baik kepada anak-anak sendiri. Jika dari awal, keaiban dan kemaksiatan ibu bapa yang lepas didedahkan secara catatan ‘bin Abdullah’, apatah lagi yang tinggal bagi puluhan ribu, bahkan dikatakan ratusan ribu anak-anak ini? Apakah kita mahu melihat keruntuhan maksiat zina yang lepas membawa kepada keruntuhan demi keruntuhan?

Apabila anak tersebut ke sekolah, dia dipandang serong dan ibu bapanya yang telah bertaubat itu dibuka lagi keaiban mereka. Demikian seterus perjalanan kehidupan anak tersebut. Ibu bapanya dibuka keaiban, dirinya dipandang hina. Apakah kita mahu menghapuskan semangat dalam diri anak-anak ini? Hendaklah kita sedar bahawa pendaftaran dalam kad nama dan penggunaan seperti hari ini serta kesannya dalam institusi moden tidak sama seperti zaman silam ketika sebahagian fatwa dikeluarkan dahulu.

Kesan psikologi

Jika jumlah yang berbin Abdullah ratusan ribu seperti yang dilaporkan, apakah kesan psikologi terhadap jumlah yang banyak ini. Tidakkah kita seakanakan menghalang perkembangan positif anak-anak ini? Tidakkah kita menjadikan mereka merasakan zina adalah darah daging mereka lalu mereka juga menuju ke arah itu disebabkan tekanan yang dihadapi? Tidakkah juga apabila terlalu ramai yang berbin Abdullah sebagai tanda zina berlaku, maka akhirnya masyarakat akan berasakan zina itu sesuatu yang biasa kerana di sekeliling mereka manusia yang mempunyai tanda zina pada nama mereka?

Siapakah yang menggalakkan zina jika hal ini berlaku? Pada zaman ini, lelaki yang sanggup bertanggung jawab atas dosa mereka kepada wanita yang disetubuhinya secara haram bukannya mudah. Ruang untuk melepaskan diri itu terbuka. Kesanggupan bertanggungjawab ke atas kesalahannya itu sebenarnya sesuatu yang ada nilainya. Namun, jika lelaki penzina tahu, sekiranya dia cuba bertanggungjawab dengan berkahwin maka dia menanggung malu sepanjang hayatnya. Pastinya ataupun kemungkinan besar, dia akan mengelakkan diri dari bertanggungjawab. Akhirnya, hanya pihak perempuan sahaja yang akan menanggung derita. Jika ini berterusan, maka fenomena seperti di Barat akan membuak di mana anak hanya ada ibu sahaja yang bertanggungjawab.

Sedangkan dalam hadis yang sahih riwayat Bukhari, Muslim dan selain mereka, Nabi SAW menyebut: "Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, ALLAH akan menutup aibnya pada hari kiamat."

Galakkan zina?

Menutup aib adalah sesuatu yang penting dalam agama. Dukacita, ada pihak yang melihat ini sesuatu yang remeh. Melihat kepada semangat dalam hadis tadi: "Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut)." Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah SAW memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina jika dilihat pada zahir yang menyamai si penzina. Ini apatah lagi jika itu anak benihnya sendiri. Hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi SAW yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas.

Jikalaulah Baginda SAW memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki, maka sudah pasti berbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga.

Mendaftarkan anak dengan ‘Bin Abdullah’ secara tidak langsung memberitahu orang ramai untuk tempoh sepanjang hayatnya bahawa ‘aku dan isteriku telah melakukan zina’. Tidakkah kita membaca hadis Rasulullah SAW: “Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosanya). Antara perbuatan yang menzahirkan dosa itu; seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, kemudian berpagi dalam keadaan ALLAH telah menutupnya (keaibannya), kemudian dia sendiri memberitahu: “Wahai si fulan, aku telah lakukan ini dan itu semalam. Dia sendiri yang menyelak tutupan ALLAH untuknya.” (Riwayat Bukhari & Muslim) Ada pihak menyatakan Fatwa Perlis boleh menjadi punca galakan zina.

Saya ingin bertanya, selama ini Fatwa Perlis tidak dilaksanakan di negara ini sebaliknya fatwa ‘bin Abdullah’ yang dilaksanakan. Mana datangnya puluhan bahkan -seperti yang dilaporkan- ratusan ribu kes anak zina? Apakah tidak fatwa ‘bin Abdullah’ dapat mengurangkan kes zina? Mengapa pula ia makin hari makin bertambah?

Jangan sampai penyakit lain, ubat yang diberikan pula adalah bagi penyakit yang lain. Persoalan yang patut ditanya, apakah sesuatu yang baik apabila puluhan ribu manusia Muslim dapat dilihat tanda zina pada ‘bin’ mereka?

Tidakkah itu secara tidak langsung satu galakan dan menjadikan zina itu sesuatu yang dikongsi ceritanya dengan orang ramai melalui tanda nama pada ‘bin Abdullah’? Fatwa Perlis adalah satu ijtihad dalam memilih pendapat golongan fuqaha (ahli fekah) dengan mengambil realiti masa kini dan melihat kepada al-Maaal (kecenderungan yang akan berlaku).

Ia bukan satu galakan zina, bahkan mungkin satu penyelesaian dalam realiti yang ada pada hari ini.

MUFTI PERLIS, SAHIBUS, SAMAHAH DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Mahfuz Omar: 'Takziah Pas, kami ahli Pas dukacita'

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa partinya telah diperdaya dalam isu 'penjelasan 1MDB'.

Rentetan itu, Mahfuz berkata, beliau hanya boleh menzahirkan ucapan takziah kepada partinya itu.

"Di mana rasionalnya plan rasionalisasi 1MDB yang membuatkan parti saya (Pas) berasa 'puas hati' itu?

"Dalam hal ini, tiada apa yang dapat saya katakan melainkan saya ingin mengucapkan takziah kepada Ustaz Tuan Ibrahim dan parti saya yang terang-terang diperdayakan oleh 'ahli silap mata' sedangkan hakikat sebenar skandal 1MDB ini amat jauh lagi jalan penyelesaiannya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, pimpinan tertinggi Pas yang diketuai oleh Tuan Ibrahim bertemu dengan Arul bagi mendengar penjelasan daripadanya mengenai isu 1MDB.

Di akhir pertemuan dilaporkan Pas berpuas hati dengan hasil sesi meja bulat bagi membincangkan isu tersebut.

Tuan Ibrahim sebelum ini dipetik berkata, pihaknya menerima penjelasan oleh Arul mengenai pelan rasionalisasi yang dicadangkan beliau bagi mengatasi kemelut 1MDB.

Bagaimanapun katanya, Pas melihat ada keperluan untuk parlimen memantau aset 1MDB yang diambil alih Kementerian Kewangan.

Justeru, Mahfuz berkata, beliau turut mahu mengucapkan 'tahniah' kepada Arul Kanda Kandasamy dan 'pakar ekonomi' yang turut serta dalam pertemuan meja bulat itu kerana berjaya meyakinkan Tuan Ibrahim dan partinya sehingga rasa berpuas hati dengan langkah-langkah pemulihan 1MDB yang sedang dilaksanakan sekarang.

"Skandal 1MDB yang disimpulkan sebagai 'nasi sudah menjadi bubur' itu amat jijik dan meloyakan rakyat kerana bubur yang terhasil itu sudah basi akibat ketidaktahuan tentang selok belok peralatan yang menjadi penyebabnya," katanya.

Katanya lagi, rakyat seluruh negara termasuk beliau dan ahli-ahli Pas seluruh negara dukacita apabila pimpinan partinya sedang dilihat oleh rakyat Malaysia sebagai 'tukang cuci najis' 1MDB.

"Kenyataan 'Pas puas hati plan rasionalisasi 1MDB' bukanlah satu solusi sebaliknya menyebabkan rakyat sakit hati pada Pas dan menjadi bahan ketawa peminat lawak jenaka sampai tak kering gusi," katanya.

Anggpota polis dipenjarakan setahun kerana merakamkan suami isteri melakukan seks menerusi helikopter polis

Seorang anggota polis yang obses dengan seks telah dipenjarakan setahun selepas merakamkan sepasang suami isteri melakukan seks menerusi helikopter polis yang digunakan untuk mengesan penjenayah.

Adrian Pogmore, 51, yang telah berkhidmat selama 22 tahun sebagai anggota polis di South Yorkshire, England turut dikecam oleh hakim.

“Sepatutnya awak mengesan jenayah tetapi sebaliknya awak melakukan jenayah. Awak menggunakan helikopter yang bernilai RM11 juta untuk merakamkan gambar berkenaan bagi memenuhi keperluan seksual awak, ketika awak sepatutnya mengesan jenayah.

“Awak mengintai dan merakamkan orang berbogel dari ketinggian 1,000 kaki. Tiada siapa pun terkecuali dari undang-undang,” kata hakim Peter Kelson ketika menjatuhkan hukuman.

Meskipun hakim mengambil kira perkhidmatan Adrian selama 22 tahun dan bagaimana keluarganya turut terpalit dengan kejadian berkenaan, namun hukuman penjara perlu diberikan.

Ini memandangkan kes itu telah mengakibatkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap imej pihak polis.

Selain merakamkan gambar pasangan melakukan seks, dia turut mengambil gambar wanita berbogel.

Kes berkenaan telah menyebabkan polis di South Yorkshire mendapat malu besar.
-kualalumpurpost

Sidang Dewan Rakyat ditangguh, usul RUU 355 Marang masih di awangan

MALAYSIA DATELINE
Hasrat para penyokong Rang Undang-Undang 355 (RUU355) untuk melihat ianya dibahaskan pada sesi parlimen kali ini sekali lagi tidak kesampaian apabila sidang Dewan Rakyat ditangguhkan semalam.

Usul persendirian yang dibawa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 itu pada asalnya disenaraikan sebagai item ke-10 dalam Kertas Perintah, di belakang urusan kerajaan.

Namun selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan bahawa empat rang undang-undang kerajaan akan ditangguhkan kepada sidang parlimen yang akan datang, RUU persendirian ahli parlimen Marang itu berada di kedudukan ke-6.
Bagaimanapun, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim kemudian membentangkan usul supaya sidang Dewan Rakyat berakhir semalam hanya selepas lima rang undang-undang kerajaan diluluskan.

Sidang Dewan Rakyat bagi mesyuarat kedua penggal kelima Parlimen ke-13 ditangguhkan selepas bersidang selama 12 hari dan meluluskan 19 rang undang-undang.

Antara rang undang-undang (RUU) yang menjadi perhatian pada persidangan ini adalah RUU Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017; RUU Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) 2017 dan RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017.

RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 yang antara lain bertujuan mempercepatkan proses membuat keputusan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah dalam sesuatu kes selain memudahkan pengurusan berkaitan tugas lembaga itu, diluluskan pada 4.05 pagi, 10 Ogos.

RUU itu turut memberi kuasa kepada lembaga untuk mendesak pegawai penyiasat sesuatu kes mempercepatkan penyediaan laporan untuk tindakan selanjutnya.

RUU lain yang diluluskan ialah RUU Perkapalan Saudagar (Pindaan) 2017; RUU Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017; RUU Bantuan Guaman (Pindaan) 2017; RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2017; RUU Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017 dan RUU Agensi Pekerjaan Swasta (Pindaan) 2017.

Turut diluluskan RUU Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Pindaan) 2017; RUU Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Pindaan) 2017; RUU Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Pindaan) 2017; RUU Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Pindaan) 2017;

RUU Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017; RUU Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017;

RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2017 dan RUU Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Pindaan) 2017.

Peruntukan bagi mengawal selia perkhidmatan 'e-hailing' seperti Grabcar dan Uber dapat dikuatkuasakan selepas RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017
dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 turut diluluskan pada persidangan kali ini.

Pada akhir persidangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee Kiandee merakamkan penghargaan kepada anggota dewan, warga kerja Parlimen serta kakitangan Dewan Rakyat yang melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam memastikan kelancaran persidangan kali ini.

Beliau kemudian mengumumkan persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat yang dipaparkan di laman web Parlimen Malaysia, dewan itu dijadualkan bersidang semula bermula 23 Okt hingga 30 Nov akan datang.

Akta 164: AJK Pas Pusat dinasihati agar tidak 'merapu'

ARIF ATAN
Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor kononnya AMANAH menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) sebagai merapu.

"Dalam tulisannya, Riduan Md Nor (RMN) menyerang AMANAH secara merapu berkaitan isu pindaan Akta 164, apabila dia berkata pindaan akta itu membahayakan kepentingan umat Islam di negara ini, dan AMANAH menyokongnya," ujarnya.

Menasihatkan pemimpin Pas itu supaya tidak merapu, beliau menyenaraikan tujuh hujah membidas dakwaan Riduan yang menuduh Ahli Parlimen beragama Islam dari AMANAH dan PKR tidak menyertai Ahli Parlimen Pas mengambil bahagian membantah usul pindaan tersebut.

Ustaz Zolkharnain berkata, jika seorang anak dilahirkan oleh ibu bapa Islam, anak tersebut secara langsung beragama Islam memandangkan peruntukan yang dicadang akan dimasukkan ialah jika anak bawah umur yang salah seorang ibu bapanya memeluk Islam, anak itu tidak terus menjadi Islam.

"Mana ada dalam akta itu peruntukan sebaliknya. Tetapi, seksyen itu ditarik balik. Jika tidak ditarik balik sekalipun, seksyen itu dibuat demi maslahah anak di bawah umur itu iaitu mendapat kasih sayang dan penjagaan yang sepatutnya," jelas beliau.

Menurutnya, tidak boleh berlaku orang bukan Islam yang mahu berkahwin dengan orang Islam tidak perlu memeluk Islam kerana orang Islam yang ingin berkahwin perlu membuat permohonan.

"Jika orang Islam memohon untuk berkahwin dengan orang bukan Islam, permohonannya akan ditolak. Macam mana perkahwinan akan berlaku jika permohonan ditolak?" bidasnya.

Terdahulu, Riduan dalam tulisannya mendakwa orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam.

Dakwaan pemimpin Pas berkenaan kononnya orang Islam hendaklah dibenarkan keluar dari Islam jika ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang juga dilihat sebagai merapu.
"Orang Islam yang ingin keluar Islam perlu mengemukakan permohonan kepada mahkamah. Wujudkah undang-undang yang menghendaki mahkamah membenarkan orang Islam untuk keluar Islam jika ingin berkahwin dengan non muslim?" soalnya.

Mengulas lanjut dakwaan Riduan kononnya seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak, Ustaz Zolkharnain berkata, seorang anak itu akan tinggal dengan ibunya yang Islam jika masih di bawah umur dan yang memeluk Islam adalah ibunya.

"Jika pihak yang memeluk Islam adalah bapanya, anak bawah umur itu akan tinggal bersama ibunya walaupun ibunya belum Islam sebab tempat seorang anak adalah bersama ibu demi kepentingan kehidupan anak.

"Bapanya yang Islam hendaklah terus menyara anak itu, mengambil berat dan mendidik anak itu supaya terpikat dengan Islam setelah dia berhak memilih agamanya sendiri.

"Di sinilah peranan bapa sangat diperlukan dalam dakwah dan jika bapa berupaya menampilkan akhlak yang baik, anak itu akan terpikat dengan keislaman bapanya," jelas beliau.

Menyentuh soal tuntutan harta pusaka, beliau turut membidas dakwaan Riduan kononnya orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan individu yang memeluk Islam hendaklah diberi hak menuntut harta pusakanya selepas kematian.

"Bukan diberikan hak menuntut harta pusaka tetapi hak menuntut harta yang diperolehi bersama semasa perkahwinan.

"Harta sepencarian itu hendaklah diagihkan secara adil antara pasangan suami isteri itu. Nafkah anak mesti ditanggung oleh bapa. Jika timbul pertikaian tentang harta pusaka, rujukannya adalah mahkamah syariah," tegasnya lagi.

PANAS!!!! Ada ADUN Umno akan lompat parti

Seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno di Johor dikatakan akan melompat parti ke serpihannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perkara itu didakwa susulan tidak puas hati dengan kepimpinan BN negeri apabila dia dikatakan tidak akan dicalonkan semula untuk bertanding dalam pilihan raya.

Rundingan ke arah penghijrahan itu juga dikatakan sedang giat dijalankan, yang antaranya melibatkan ketua bahagian BERSATU Batu Pahat Dr Mohd Zaid Mohd Yusof.

"Ada tanda-tanda beliau berminat mahu sertai BERSATU atas alasan tertekan ekoran ada pihak cuba keluarkan beliau dari jawatan yang disandang beliau kini," kata Mohd Zaid kepada Malaysiakini.

Zaid berkata beliau sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat tersebut pada awal bulan ini.

Pertemuan dikatakan berlangsung di Bukit Perdana, Batu Pahat sepanjang minggu lalu.

Bagaimanapun, masih belum jelas bila tindakan itu akan dibuat kerana masih belum ada kata putus setakat ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi wakil rakyat itu dan kepimpinan Umno Johor berkaitan perkara itu.

Jika langkah itu diambil, wakil rakyat itu akan menjadi ADUN kedua Umno yang berpaling tadah kepada BERSATU di Johor.

Oktober tahun lalu, ADUN Jorak Datuk Shahruddin Md Salleh telah meninggalkan BN sebelum dilantik sebagai setiausaha agung BERSATU.

Sementara itu, BN juga boleh hilang penguasaan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya perkara itu benar-benar menjadi kenyataan.

Pembangkang kini mempunyai 19 daripada 56 kerusi dalam dewan negeri.
-malaysiakini

Inilah lelaki yang merogol anaknya 3 kali sehari selama 2 tahun


Seorang bapa berusia 36 tahun berdepan 594 pertuduhan liwat terhadap anaknya berusia 15 tahun di Mahkamah Sesyen Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Jenayah Seksual, Yong Zarida Sazali.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa S.Umma, dia didakwa melakukan perbuatan keji itu tiga kali sehari pada waktu pagi (sekitar jam 6 hingga 7 pagi), petang( sekitar jam 1 hingga 2 petang) dan malam (sekitar jam 11 - 12 tengah malam)

Perbuatan tersebut turut dibuat hampir setiap hari di bulan Ramadan termasuk Hari Raya Aidilfitri.

Kes akan disebut semula pada 18 September depan sementara menunggu laporan kimia dan laporan kesihatan anak perempuan malang terbabit.

------------------

7 bulan liwat anak, bapa hadapi 444 pertuduhan lagi
Seorang bapa sekali lagi didakwa di Mahkamah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya hari ini, atas 444 pertuduhan meliwat anak perempuan kandungnya yang berusia 15 tahun sebanyak tiga kali sehari selama tujuh bulan sejak Januari lalu hingga Julai lepas.

Tertuduh yang berusia 36 tahun itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut. Semalam dia juga mengaku tidak bersalah atas 150 pertuduhan sama menjadikan keseluruhan pertuduhan liwat yang dihadapinya ialah 594.

Prosiding semalam turut menyaksikan lelaki yang bekerja sebagai ejen unit amanah tersebut didakwa atas 30 pertuduhan melakukan seksual fizikal dengan cara menyentuh anak sulungnya itu, satu pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan penganiayaan seksual, menjadikan keseluruhan kesnya 626 pertuduhan.

Ketika dihubungi, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan lelaki itu merupakan tertuduh pertama di negara ini yang didakwa atas beratus-ratus pertuduhan melibatkan jenayah serangan seksual.

Tertuduh yang memakai baju sama dengan semalam, didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap anak perempuannya yang berumur 15 tahun di bilik tidur utama rumahnya, di Sungai Way, Petaling Jaya.

Dia dituduh melakukan semua perbuatan itu tiga kali sehari pada waktu pagi, petang dan malam iaitu pukul 6 pagi hingga 7 pagi, 1 petang hingga 2 petang dan 11 malam hingga 12.30 tengah malam pada setiap hari pada bulan Januari, Februari, Mac, April, dan Jun.

Bagi bulan Mei pula dia didakwa melakukan perbuatan itu setiap hari kecuali dua hari sebelum Ramadan dan hari pertama puasa manakala pada bulan Julai pula bermula 1 Julai hingga 20 Julai 2017.

Pada setiap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah, tertuduh yang berdiri di dalam kandang tertuduh tanpa gagal menjawab “faham pertuduhan” dan “minta dibicarakan”.

Prosiding bermula pukul 9.15 pagi dan berakhir pukul 12 tengah hari. Mahkamah berhenti rehat sebanyak tiga kali bagi membolehkan kes-kes itu didaftarkan sebelum pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh.

Hakim Yong Zarida Sazali tidak membenarkan tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding itu diikat jamin dan menetapkan 18 Sept untuk sebutan bagi laporan perubatan dan kimia.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin yang memperuntukan hukuman minimum lima tahun jika sabit kesalahan.

“Dengan mengambil kira mangsa adalah anak kandung tertuduh yang hanya berumur 15 tahun. Pohon jaminan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri tertuduh akan melarikan diri dan akan mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa,” katanya.

Bapa tiga anak perempuan yang tidak diwakili peguam itu hanya memohon jaminan yang rendah.

“Pohon jaminan yang rendah. Itu saja,” katanya. Ahli keluarga tertuduh juga tidak kelihatan di mahkamah pada prosiding hari ini.

Menurut laporan media, tertuduh menjaga anak sulungnya itu selepas dia bercerai dengan isterinya dua tahun lepas manakal dua lagi anak perempuannya tinggal bersama ibu mereka.

Laporan polis mengenai kejadian itu dibuat oleh bekas isteri tertuduh pada pada 25 Julai lepas.

TPM baharu?

Mandeep Singh
PADA 30 Julai yang lalu, secara tiba-tiba Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melontarkan peluru kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad. Anehnya, peluru yang digunakan Zahid ini adalah sebutir peluru yang sudah lapuk atau sudah diguna pakai aktivis pembangkang sejak sekian lama.

Untuk berkurun lama, aktivis sosial seperti Hishamuddin Rais menggunakan nama "Mahathir a/l Iskandar Kutty" sebagai gelaran kepada Dr Mahathir.

Namun, Zahid menambah perisa dengan membacakan nombor kad pengenalan individu bernama "Mahathir a/l Iskandar Kutty" ini. Zahid turut menunjukkan gambar kad pengenalan tersebut melalui telefon bimbitnya yang diterima daripada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

Pada hemat saya, Zahid sebenarnya mahu menunjukkan kepada Perdana Menteri Najib Razak kesetiaan beliau terhadap bosnya seperti mana yang dilakukan ahli Umno yang lain.

Tetapi, kenapakah Zahid melakukan perkara ini secara tiba-tiba? Apakah sebenarnya kedudukan Zahid dalam Umno terancam dan Zahid sedang disisihkan? Saya tidak ada jawapan untuk soalan ini, hanya Zahid yang tahu.

Selang sehari selepas Zahid menyerang Dr Mahathir, orang tua berumur 92 tahun itu menyatakan Zahid berjumpanya selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri untuk mendapatkan sokongan supaya Najib boleh digantikan sebagai perdana menteri.

Memang besar impian bekas ketua Pemuda Umno ini yang pernah bersama Anwar Ibrahim di zaman reformasi dulu. Intipati mesyuarat antara Zahid dan Dr Mahathir diketahui mereka berdua dan "SD card" yang digunakan Zahid untuk merakam mesyuarat tersebut.

Perjumpaan ini sebenarnya merungkai pelbagai persoalan. Bukankah Zahid tidak tahu Dr Mahathir sebenarnya sudah menjadi sosok pembangkang yang mahu jatuhkan Najib dan juga Barisan Nasional (BN)?

Jika benar Zahid begitu setia kepada Najib, kenapa perlu berjumpa Dr Mahathir, yang boleh dilihat bekerja dengan pembangkang?

Jika Zahid begitu setia kepada Najib, Zahid sepatutnya berjumpa semua ketua bahagian Umno untuk mengukuhkan ketuanya. Satu dunia mengetahui Dr Mahathir sedang bekerja siang malam untuk menjatuhkan Najib dan mustahil seorang TPM baru yang 10 hari ketika itu tidak mengetahuinya.

Baru-baru ini, presiden Umno mempertahankan timbalannya di Shah Alam, di mana Najib berkata mereka berdua berkawan sejak 1986 dan saling percaya akan kesetiaan masing-masing.

Perkara ini mungkin memberi sedikit nafas lega kepada Zahid. Tetapi yang pastinya, menteri tugas-tugas khas sedang tersenyum lebar dengan drama sensasi yang sedang berlangsung ini.

Mana mungkin dengan hati ikhlas seorang ketua mahu terus bersama dan mempertahankan seorang individu yang berjumpa musuhnya untuk meminta "simpati" bagi menggantikan kerusi yang disandangnya.

Zahid masih ada ruang untuk membersihkan namanya daripada perkara yang dikatakan Dr Mahathir, iaitu dengan menyiarkan rakaman perbualan dengan Dr Mahathir dan biarlah rakyat menilainya sendiri.

Zahid punyai peluang terbaik untuk meyakinkan tuannya yang beliau memang tidak meminta simpati untuk menjatuhkannya, bahkan seorang yang setia kepada tuannya. Peluang ini juga harus digunakan Zahid untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam Umno dan terutama kerusi nombor dua itu.

Ini juga akan sekaligus menutup mulut Dr Mahathir. Tetapi, jika dalam rakaman tersebut ada perbualan meminta simpati, maka rakyat Malaysia mungkin akan mendapat seorang TPM baru sama ada dalam masa terdekat ataupun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 jika BN terus memerintah negara ini.

Dan Zahid juga akan tergolong dalam kumpulan bekas TPM yang tewas di tengah jalan. – 9 Ogos, 2017.

Asal biru, kini merah; bersama Mahathir, Langkawi berubah

Zulkifli Sulong
Asal biru, kini merah; bersama Mahathir, Langkawi berubah
Bendera Bersatu dipasang megah di Langkawi tanpa takut diambil tindakan oleh pihak berkuasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Ogos, 2017.

DI Pantai Cenang, Langkawi, bendera berwarna merah dengan lambang bunga raya dipacak megah penyokongnya tanpa takut diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Mereka percaya Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad akan menguasai pulau itu selepas pilihan raya umum ini.

Keyakinan itu berbunga selepas Bersatu menembusi dua kubu yang selama ini jadi deposit tetap Umno di Langkawi – Pulau Tuba dan Bukit Malut. Dek tembusnya dua kubu kuat itulah mereka yakin, Pakatan Harapan (PH) khususnya Bersatu akan menang kerusi Parlimen Langkawi.

Pulau Tuba mempunyai kira-kira 3,000 pengundi manakala Bukit Malut pula 10,000.

"Mahathir hero kami. Tanpa dia apalah ada pada Langkawi. Boleh jalanlah Najib," kata pemilik Sabri Water Sport and Recreation kepada The Malaysian Insight ketika ditemui sedang memasang peralatan perniagaannya di Pantai Cenang.

Sambil-sambil memasang peralatan perniagaan, dia juga menaikkan bendera Bersatu, parti pimpinan Dr Mahathir tanpa ada sedikit pun kerisauan ia akan ditegur atau diturunkan penguatkuasa tempatan pulau bebas cukai itu.

"Dr Mahathir memang punca utama keyakinan kami di Langkawi sebab tanpa beliau apalah yang ada pada Langkawi.

"Tetapi berjayanya kami menembusi Pulau Tuba dan Bukit Malut penanda aras utama kejayaan kami," kata ketua sayap Pemuda Bersatu, Firdaus Ahmad.

Najib Razak dijadualkan turun sendiri ke Langkawi pada 19 Ogos ini untuk merasmikan program berkembar, pemimpin bersama rakyat dan mesyuarat agung tahunan Umno Bahagian Langkawi.

Pelbagai acara diatur dalam majlis bersama rakyat itu termasuk cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berjumlah RM1.5 juta berupa rumah, kereta, motosikal, basikal, telefon bimbit dan pelbagai barangan elektrik.

Kalau dua tahun lalu, wakil rakyat Umno sukar untuk menunjukkan muka di Pulau Tuba yang agak terbiar, kini pulau itu dapat tumpuan pembangunan. Wakil rakyatnya saban minggu turun berjumpa penduduk.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, calon pembangkang daripada PKR yang bertanding kerusi Parlimen Langkawi hanya dapat tujuh undi saja daripada lebih 1,800 undi di Pulau Tuba. Selebihnya, mengundi Umno.

Ceritanya hampir sama di Bukit Malut yang merupakan petempatan orang Rohingya diberikan taraf kerakyatan beberapa tahun lalu.

"Dengan sambutan yang diberikan penduduk Pulau Tuba kepada program kami, kami yakin kini 50% pengundi di sini akan menyokong PH," kata Firdaus, dan menambah Bersatu mendaftarkan kira-kira 800 pengundi baharu di Pulau Tuba saja.

Faktor Mahathir yang membangunkan Langkawi daripada perkampungan nelayan sehingga jadi pusat pelancongan terkenal di dunia akan selalu tersemat dalam ingatan penduduknya.

"Kami tetap bersama dengan Tun. Itu kata mereka terutama generasi tua di Pulau Tuba," kata Firdaus, anak jati Langkawi yang pernah jadi ahli Parlimen belia.

Bagi penduduk Bukit Malut pula, mereka masih percaya, kerajaan pimpinan Dr Mahathir yang membolehkan mereka selamat tinggal di negara ini khasnya Langkawi selepas lari meninggalkan kampung halaman mereka di Myanmar.

"Kerajaan Mahathir yang selamatkan kami," kata seorang pemimpin mereka yang enggan namanya disiarkan.

Bendahari Amanah Langkawi Abdul Rahman Jamaludin berkata ketika beliau dalam PAS dulu, sudah jadi rahsia umum yang Bukit Malut dan Pulau Tuba adalah kubu Umno yang tidak boleh dipecahkan pembangkang.

"Kini dengan Tun Mahathir, kami sudah boleh masuk bersama Bersatu," katanya.

Bot yang membawa penceramah terkenal PAS ketika itu, Mohamad Sabu yang kini presiden Amanah, pernah dihalang dengan pukat oleh penduduk Pulau Tuba daripada masuk ke pulau mereka untuk berceramah.

Dr Mahathir, yang kini ketua Bersatu Langkawi disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Langkawi dalam PRU akan datang, walau beliau sendiri menafikannya.

"Kami harap begitulah, dia jadi calon kami dan sememangnya kami yang hendak dia pimpin Bersatu Langkawi.” – 8 Ogos, 2017.