"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Restoran' untuk burung hering makan bangkai (Gambar)


SEJUMLAH burung hering makan bangkai seekor lembu di restoran haiwan itu.
PITHAULI, Nepal: Di kampung ini, seorang wanita pernah menarik bangkai seekor lembu yang berada di atas sebuah troli dan menjatuhkan haiwan itu di sebuah padang.

Wanita itu kemudian berlari dan bersembunyi di sebuah pondok berdekatan semasa sekawan burung hering turun untuk memakan bangkai lembu tersebut.

Kurang setengah jam, bangkai lembu itu hanya tinggal tulang.

Kawasan padang itu dikenali sebagai restoran untuk burung hering yang dibuka untuk membantu menjadikan alam sekitar bersih.

'Restoran' itu menjadi daya tarikan pelancong dan para pelancong dikenakan bayaran untuk melihat burung tersebut.

Namun, ubat dikenali sebagai diclofenac yang digunakan untuk merawat keradangan lembu, boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kematian burung hering.

Ana Raffali kini dah pakai tudung

NURUL NAZRAH NAZARUDIN
Ana Raffali
Terkenal trademark berbaju kurung atau kebaya ketika mengadakan persembahan, penyanyi, Ana Raffali, yang sebelum ini tampil imej sopan kini semakin ayu apabila mengenakan hijab.


Pelantun lagu Tolong Ingatkan Aku ini membuat keputusan untuk bertudung litup pada sambutan Maulidur Rasul lalu.

Menganggap penghijrahannya itu bukan satu percubaan atau trend, Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, menyifatkan keinginan bertudung lahir daripada hatinya sendiri.

Tambahnya, keputusan yang dibuat itu bukan disebabkan desakan keluarga atau orang terdekat, tetapi ia atas keinginan menjadi Muslimah lebih baik.

“Soal bertudung ini bukan satu perkara yang boleh dibuat main dan juga bukan merupakan percubaan atau fesyen. Ia timbul atas keinginan untuk cuba menjadi Muslimah lebih baik.

“Alhamdulillah, keputusan saya untuk bertudung menerima sokongan daripada keluarga dan orang terdekat.

“Malah, saya sudah mula mengenakan tudung semasa mengedarkan kad jemputan kahwin kepada bekas pensyarah di universiti. Jadi, keluarga mahupun bakal suami tidak terkejut dengan keputusan itu,” katanya yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 Februari ini.

Mengaku pernah berkongsi hasrat mengenakan tudung kepada ibunya, Ana berkata, keluarga dan bakal suaminya, Aznaim Abdullah, 30, tumpang gembira dengan perubahan dilakukan.

Menurutnya, sukar menggambarkan perasaannya ketika itu tatkala ‘seruan’ untuk penghijrahan tersebut berlaku.

“Apa yang boleh saya katakan adalah timbulnya satu dorongan atau keinginan yang begitu kuat untuk mengenakan hijab sewaktu tengah hari ketika saya hendak keluar makan,” katanya yang ketika itu berada di studio bagi menyiapkan kerja-kerjanya.

Penyanyi yang berusia 27 tahun ini juga berhasrat mendalami lebih banyak ilmu agama selepas ini.

Berpendapat setiap insan akan melalui fasa peralihan dalam kehidupan mereka, Ana bersyukur menerima sokongan daripada bakal suaminya untuk berhijrah ke arah kebaikan.

“Sebelum ini pun, saya dan bakal suami sering berbincang mengenai perkara berilmiah bagi melengkapkan diri kami dengan ilmu.

“Insya-Allah selepas berkahwin, kami masing-masing akan terus mendalami ilmu agama bagi melengkapkan diri dan cuba menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” katanya yang semakin sibuk menyediakan persiapan untuk perkahwinan.


Debaran bergelar isteri

Hanya tinggal dua minggu sahaja lagi untuk melangkah ke fasa baru dalam hidupnya. Bagaimanapun, Ana berharap segala perancangan untuk hari tersebut berjalan lancar.

Mengaku berdebar menunggu tarikh 25 Februari ini, Ana bersyukur kerana dibantu keluarga dan rakan terdekat dalam menyiapkan urusan perkahwinan.

“Alhamdulillah, persiapan majlis setakat ini berjalan lancar. Saya lebih tertumpu kepada persiapan hantaran untuk diberikan kepada bakal suami,” katanya yang menyediakan sembilan dulang hantaran dengan warna tema perak putih untuk diberikan kepada pihak lelaki.

Mengambil keputusan untuk tidak bersanding, pasangan ini memilih untuk diraikan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati.

NFC: Raja Nong Chik nafi dakwaan beliau 'tangan ghaib' yang mendedahkan isu

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini berkata dakwaan beliau 'tangan ghaib' yang mendedahkan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) adalah satu fitnah.

Katanya dakwaan tersebut juga adalah satu usaha pembangkang untuk memutar belitkan isu NFC selain cuba melemahkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Dakwaan Raja Petra (Kamarudin) ini merupakan satu fitnah," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul dan penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Pantai Dalam di sini.

Raja Nong Chik mengulas entri terkini pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin bahawa beliau antara dalang yang mendedahkan skandal NFC yang mengaitkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Antara lain, Raja Petra turut mendakwa Raja Nong Chik berbuat demikian bagi memastikan peluangnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Lembah Pantai tidak digugat Shahrizat yang sebelum ini pernah mewakili kawasan itu sebelum tewas kepada Nurul Izzah Anwar pada pilihan raya umum lepas.

Mengulas lanjut, Raja Nong Chik berkata pada mesyuarat Umno Bahagian Lembah Pantai baru-baru ini, Shahrizat telah menyatakan keputusan untuk tidak bertanding di kawasan tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno Lembah Pantai turut menafikan dakwaan penulis blog itu bahawa beliau kini tidak bertegur sapa dengan Shahrizat.

Ditanya sama ada beliau merupakan calon BN bagi Lembah Pantai pada pilihan raya umum akan datang, Raja Nong Chik berkata perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas mengenai skim khas pembelian rumah Program Perumahan Rakyat-Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL), Raja Nong berkata tindakan itu tidak akan menjejaskan kedudukan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada masa ini KWSP masih dalam perbincangan dengan syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan untuk memberikan pinjaman dengan syarat-syaratnya sedang dimuktamadkan, katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut. Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata sehingga kini kira-kira 3,000 penduduk Lembah Pantai yang layak telah menerima BR1M dan menasihati mereka yang permohonannya ditolak agar membuat rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan memberi alasan yang munasabah. 
-Bernama-

'Saya tak bersama Hasan Ali' - Ketua Pemuda Pas Pusat

Nasrudin Hasan GOMBAK: Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan menegaskan, beliau tidak lagi bersama Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, malah tidak ambil peduli terhadap tindak tanduk bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mendakwa Dewan Pemuda Pas berada di belakang dan menyokong tindakan-tindakan diambil Hasan.

Nasrudin berkata, setelah Hasan dipecat dan tiada rayuan dibuat, beliau menganggap bekas Exco Selangor itu sebagai orang luar yang tiada kena-mengena dengan Pas.

Hasan dipecat oleh Pas pada 8 Januari dan minggu lalu, beliau mengumumkan tidak akan membuat rayuan.

"Saya difahamkan sebelum ini dalam 'roadshow' beliau, Hasan ada berkata yang Pemuda berada di belakangnya, menyokongnya. Di sini saya nak tegaskan bahawa saya tak bersama beliau selepas dia keluar Pas dan dia tidak kemuka rayuan. Saya tak bersama beliau," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan Pemuda Pas di sini, hari ini.

Selain itu, Nasrudin berkata, walaupun terdapat beberapa kenyataannya sebelum ini yang didakwa menyebelahi Hasan, ia disebabkan Adun Gombak Setia itu masih lagi ahli Pas.

"Pemuda sejak awal lagi konsisten perjuangkan Islam. Kita tak pernah menyeleweng seperti yang didakwa dia (Hasan) yang mengatakan Pas kini mengabaikan perjuangan. Dari segi penubuhan negara kebajikan, kita cuma memperhalusi pendekatan dan perbaharui tindakan yang sesuai mengikut suasana. Itu perkara biasa.

"Mungkin bila kita ubah nama dari negara Islam kepada negara kebajikan, dia mengatakan kita sudah abai perjuangan. Sebenarnya tidak ada beza pun. Negara kebajikan ialah membina negara Islam," tegasnya.

Zaid: Saya kesal cabar Azmin untuk timbalan presiden

NONE
Dalam satu pusingan pilihan raya, Datuk Zaid Ibrahim beranjak daripada seorang menteri Umno untuk menjadi anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR dan kemudiannya menjadi presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).


Namun begitu, Zaid bangga kerana meletakkan jawatan dalam kerajaan sebagai membantah penahanan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; penulis blog Raja Petra Kamaruddin serta wartawan Sin Chew, Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Apabila ditanya tentang kekesalannya, Zaid dalam satu wawancara dengan Malaysiakini di kediamannya semalam berkata ia satu kesilapan mencabar Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bagi jawatan nombor dua itu sewaktu beliau berada dalam PKR.

"Kekesalan yang saya fikir adalah ... mencabar Azmin bagi jawatan timbalan (presiden) PKR, kerana saya tidak tahu parti itu.

NONE
"Parti itu belum bersedia untuk pemilihan secara langsung; ia kucar-kacir... bila direnung semula, ia bukan satu keputusan yang betul (untuk mencabar Azmin).


"Kesilapan saya ialah... saya mempunyai banyak sokongan dalam parti, saya fikir saya boleh melakukan sesuatu yang berbeza untuk menukar PKR.

"Tetapi saya terlepas pandang hakikat bahawa (supremo PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan seseorang yang beliau boleh percaya kerana keadaannya. (Lagi pun) beliau mungkin (ke penjara berhubng kes Liwat II).

"Jadi, mencabar Azmin adalah satu kesilapan dalam erti kata demikian," katanya, sambil menambah bahawa pada masa itu, beliau merupakan pendatang baru dalam parti tersebut.

Selepas meletak jawatan dalam kerajaan dan Umno, Zaid ditarik menyertai PKR pada tahun 2009 sebagai penyelaras dasar Pakatan Rakyat, untuk meletakkan asas bagi rangka kerja bersama polisi pakatan.

Pada tahun 2010, beliau mencabar Azmin bagi jawatan timbalan presiden PKR tetapi kemudiannya menarik diri selepas menuduh lawannya melakukan penipuan semasa pemilihan parti.

Episod tersebut mencetuskan kepada perang mulut, dan berikutan itu Zaid meninggalkan PKR dan membentuk KITA.

'Silap buka KITA seperti pasaraya'

Satu lagi kekesalan, kata Zaid, ialah kerana "secara bebas memberikan" borang keahlian untuk menyertai KITA - parti yang kini mahu dibubarkannya.

NONE
"Kesilapan lain adalah apabila saya membentuk KITA, saya sepatutnya

lebih berhati-hati," katanya sambil menambah beliau sepatutnya sabar memilih orang yang betul menyertai parti itu.

"Saya sepatutnya interviu mereka dan bukannya membuka (keahlian) seperti sebuah pasaraya," katanya.

Tindakan tersebut, tambahnya, menyebabkan beberapa ahli KITA yang tidak ada kepercayaan terhadap perjuangan parti itu dan mempunyai agenda mereka sendiri.

Isa dan isteri guna RM353,000 wang Felda buat rumah terbuka?

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 11 Feb: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini mendakwa Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menyalahgunakan wang Felda sejumlah RM353,375 bagi mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, September tahun lalu.
Presidennya, Mazlan Aliman berkata, Isa tidak mengadakan rumah terbuka di Ibu Pejabat Felda seperti kebiasaannya, sebaliknya memilih untuk mengadakannya di kediamannya di Port Dickson.

"Sepatutnya Felda mengadakan rumah terbuka di ibu pejabatnya dengan kos lebih kurang RM30 ribu.

"Tapi Tan Sri Isa buat di kediaman sendiri. Jadi sudah tentu memerlukan peruntukan yang banyak untuk tujuan pengangkutan dan sebagainya, dan dia guna duit Felda, sudah tentu duit peneroka," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Selain itu, turut dipersoal isteri Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga mengadakan rumah terbuka, juga menggunakan duit Felda.

Kos rumah terbuka tersebut mencecah RM17,875 dan diadakan di Taman Fatimah, Kuala Pilah.

"Apa gunanya isteri dia buat rumah terbuka guna anam sendiri dan peruntukan Felda? Sepatutnya cukuplah pengerusi Felda sahaja yang buat," katanya.

Sehubungan itu, Anak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan tersebut.

"Kami akan buat laporan ke SPRM dan SPRM dapat menyiasat perkara ini," katanya.

Ahmad Said sudah hilang kewarasan

Abu Bakar Chik
Datuk Ahmad Said Menteri Besar Terengganu telah membuat satu kesilapan besar apabila beliau bertindak menyambung lidah musuh-musuh Islam dan kuasa kuffar antarabangsa dengan melemparkan tuduhan kesat kepada PAS yang didakwa oleh beliau sebagai Parti Ajaran Sesat.

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam di Malaysia kini mengalami nasib serupa dengan gerakan - gerakan Islam lain di seluruh dunia apabila dituduh dengan pelbagai tuduhan yang tidak masuk aqal seperti pengganas, komunis dan kini pembawa ajaran sesat.

Tidak hanya penjajah yang menuduh pejuang Islam dalam negara ini seperti Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong sebagai pemberontak dan pengganas, kini Datuk Ahmad Said pula melangsungkan peranan penjajah untuk melabelkan pejuang dan jamaah yang memperjuangkan Islam dengan label yang jahat.

Umum mengetahui bahawa PAS adalah sebuah pergerakan Islam, didokong pula oleh para alim ulama' yang menyambung warisan perjuangan untuk mendaulatkan Islam di bumi bertuah ini.

Menuduh PAS sebagai Parti Ajaran Sesat adalah percubaan jahat yang dilakukan oleh Datuk Ahmad Said untuk menyamatarafkan PAS (sebagai sebuah parti yang sah dan perlembagaannya meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan) dengan pergerakan sesat yang dibawa oleh Ayah Pin.

Perkataan Datuk Ahmad Said sungguh buruk dan hasratnya kelihatan sungguh busuk. Bankrap modal politik serta tandus isu membuatkan Datuk Ahmad Said bertindak jahat dan tidak waras.

Beliau diberi masa selama 3 hari untuk menarik balik semua tuduhan liar dan tidak berasas yang dilemparkan kepada kami khasnya rakyat Terengganu.

Kegagalan Datuk Ahmad Said untuk menarik balik dan memohon maaf kepada PAS secara rasminya dalam masa 3 hari ini, maka saya akan berbincang dengan pihak tertinggi parti untuk mengambil tindakkan tegas.

*Abu Bakar Chik adalah AJK PAS Pusat

Pemuda PAS lapor polis terhadap Hasan Ali

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini membuat satu laporan polis terhadap Datuk Dr Hasan Mohd Ali ekoran kenyataan bekas exco Selangor itu yang didakwa boleh mencetuskan suasana tegang dan mengancam keselamatan negara.

Ianya merujuk kepada kenyataan Hasan ketika berceramah pada 31 Januari lalu di Padang Awam Seksyen 2, Bandar Baru Bangi yang dilaporkan berkata bahawa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah negara republik.

Di samping itu, Hasan Ali yang dipecat keahlian dari PAS awal Januari lalu itu juga dilaporkan mendakwa bahawa DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara kita.

"Ucapan ini pada kita sangat bahaya dan boleh mengundang ketidakharmonian antara kaum.

"Ia juga satu kenyataan berniat jahat yang cuba menghasut masyarakat membenci PAS serta parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat," kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily selepas selesai membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Turut serta dalam rombongan itu, exco Dewan Pemuda PAS Pusat termasuk Mohd Sany Hamzan dan Mohd Adram Musa.

"Kalau ianya tidak benar, dia (Hasan Ali) kena nafikan lah, namun sehingga hari ini belum ada sebarang penafian dari beliau.

"Jadi untuk permulaan kita serah kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan kita telah bersedia untuk mengambil tindakan lanjut selepas itu," kata Raja Ahmad.

Najib tidak peduli nasihat mufti

Mohd Sayuti Omar
Ada orang bertanya kepada saya - memusykilkan, kenapa Hasan Ali alias Hasan Akidah tidak menegur kehadiran Ha Najib Razak bersama isterinya Rosmah Mansor ke Batu Cave untuk menyambut perayaan keagamaan Thaipusam.

Saya tidak menjawab atau memberi andaian di atas apa yang berlaku itu, cuma berkata; "Hasan tidak membuat apa-apa teguran kerana Ngo yang dibentuk untuk memperjuangkan akidah ummah bernama Jati selepas beliau dipecat Pas masih belum dilancarkan lagi. Menurut Hasan Ngo akan dilancarkan pada 21 Februari ini.

Kata saya kepada si penanya itu sambil berseloroh mungkin selepas 21 Februari ini baru Hasan Akidah akan memberi komen dan fatwanya terhadap tindakan Najib itu. Mungkin menjadi kesalahan atau tidak valid kalau dia menegur sebelum Ngo itu dilancarkan.

Orang itu berkata kepada saya secara bercanda juga, apakah setelah dirasmi baru boleh tegur Najib, atau memang Hasan Akidah penakut dan membuat kritikan memilih bulu? Sepatutnya sebagai ulamak tersohor memiliki Phd beliau harus menegur sesiapa saja. Saya tidak memberi jawaban kerana persoalan itu saja-saja dilepaskan. Sedangkan orang itu saya kira dia sudah tahu kenapa Hasan tidak bingkas dan 'melembu' untuk mengkritik Najib seperti dia membedal Pas.

Kenapa saya berfikir begitu, pertama saya kira dia merasa ilmu Hasan tidak cukup, kedua kerana orang yang hendak ditegur itu perdana menteri yang kini sudah menjadi idolanya selepas Najib mengambil pendekatan Islam Wasatiyyah. Cuba kalau pergi ke batu Cave itu Abdul Hadi Awang atau Anwar Ibrahim berkebut dikritiknya.

Kalau begitu kata orang itu lagi macam mana dia (Hasan Akidah) mendabit dada sebagai pejuang akidah. Apakah soal akidah itu terkena ke atas Pas dan Anwar sahaja dan Najib tidak? Saya malas juga untuk menjawabnya dan saya biarkan kepadanya. Saya dah jelas seperti di atas tadi.

Barang kali mungkin Hasan Akidah fikir tidak menjadi masalah sebab Najib orang Umno. Orang Umno yang menganut faham sekular merasakan tidak menjadi kesalahan untuk hadir ke tempat-tempat begitu. Bagi Hasan mereka yang berfahaman asabiyyah dibenarkan untuk memasuki rumah ibadat agama lain dan turut meraikan perayaan keagamaan itu. Tidak pelik bagi Umno tetapi pelik kepada Pas.

Dan hari ini bila mana Mufti Perak Harussani Zakaria menegur perbuatan Najib itu jelas pegangan dan keyakinan agam syariat agama Hasan Akidah tidak sejauh mana atau mazhab Hasan Akidah menghalalkan perbuatan Najib itu. Atau pun beliau tidak jujur dalam membuat teguran dan memilih bulu. Asalkan Pas tidak boleh asalkan Anwar tidak boleh, kalau Umno orang yang ingin dikawaninya boleh?

Harussani tanpa kompromi menyatakan terkilan atas perbuatan Najib itu yang diibaratkan sebagai menggadai akidah dan perbuatan itu sebagai syirik. Sebelum ini Harussani sudah pun memberi nasihat tetapi nampaknya Najib masih mengulangi perkara yang sama. Apakah yang boleh dihukum kepada manusia yang degil dan terus bergelumang dengan kekufuran?

Harussani berkata majlis-majlis keagmaan seperti Thaipusam itu bukan patut dihadiri tetapi perlu dihindari kerana ia kurafat kerana ia majlis keagamaan dan budaya.

Dalam pada itu Harussani juga hairan kenapa Menteri Agama tidak menasihati Najib? Sepatutnya Jamil Khir Bahrum memberi pandangan dari segi agama dan tidak begitu mementingkan soal politik. Benar agama tidak boleh dipisahkan dari politik, tetapi agama itu ialah Islam bukan dengan agama-agama lain.

Sebenarnya Harussani tidak merasa hairan kalau Jamil Khir tidak berkata apa-apa kepada Najib. Kalau wang zakat beliau boleh benarkan untuk disalah gunakan apalah sangat dengan kunjungan Najib yang lengkap dengan memakai Kurta baju raya Thaipusam itu mengujungi batu Cave.

Mungkin Jamil berfikir anak tangga untuk naik ke batu Cave tidak akan berubah dengan kunjungan Najib itu?

Shahrizat mula hilang akal

Wong Choon Mei

Shahrizat yang semakin hilang kewarasan itu mula menunjukkan taringnya terhadap Rafizi Ramli, Pengarah Stategik PKR tetapi tidak berani membidas senior-senior beliau dalam parti, begitu juga timbalam beliau dalam Umno yang mahukan beliau berundur sebelum beliau memusnahkan parti.


“Ia satu komen yang agak murahan dan saya faham beliau semestinya merasa tertekan sekarang. Tetapi kita haruslah bersikap professional. Jika beliau dan keluarga beliau tidak bersalah, beliau seharusnya menyambut baik peluang untuk membuktikan mereka tidak bersalah,” beritahu Rafizi kepada Malaysia Chronicle.

Apabila tertekan, Shahrizat menjadi tidak waras dan kasar

Setelah secara terang-terangan diberitahu oleh bekas Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz untuk pergi sahaja dan tinggalkan Umno dan sebelum itu oleh Mahathir untuk berundur sebelum dihalau serta sehari yang lalu timbalan beliau membuat kenyataan agar beliau jangan membebankan Umno – Shahrizat kelihatan gagah menunjukkan wajah yang selamba.

Dengan melupakan maruah beliau, beliau telah mengutarakan perkara-perkara yang tidak masuk akal dan kurang ajar. Beliau menyalahkan Rafizi kerana mendedahkan penyalahgunaan dana kerajaan dalam skandal RM250 juta NFC untuk projek ternakan lembu.

Shahrizat yang juga menteri Wanita memanggil Rafizi pondan kerana sangat memberi perhatian terhadap skandal NFC dan juga menawarkan baju kurung merah putihnya kepada Rafizi.

“Dia akan kelihatan cantik dalam baju kurung merah putih saya kerana dia seorang pondan. Nanti wanita Umno akan kirimkan baju tersebut kepada ‘stalker’ saya,” Malaysia Insider melaporkan Shahrizat sebagai berkata.

“Sebab saya rasa dia ni bercita-cita jadi ketua Wanita Umno, mungkin dia memang mahu jadi pemimpin tetapi parti beliau tidak begitu ramai ahli. Wanita Umno ada 1.3 juta ahli jadi beliau boleh rasakan kekuatannya.”

Bila dengan Rafidah dan Dr M, jadi penakut pula..

Sebelum ini, beliau telah menunjukkan sifat penakut beliau dalam berhadapan dengan orang dalam Umno sendiri. Beliau tidak berani menjawap komen Rafidah yang terang-terangan menyuruh beliau berambus dari Umno sebelum merosakkan parti itu.

“Saya tidak mahu menyerang orang yang lebih tua daripada saya. Ibu bapa saya mengajar saya untuk jangan bersikap kurang ajar dengan orang lain apa lagi orang yang lebih tua daripada saya, jadi, ada baiknya saya tutup mulut sahaja,” ujar Shahrizat.

Wanita Malaysia adalah lebih baik daripada itu


Menurut pengkritik, daripada cara beliau menyerang Rafizi, Shahrizat tidaklah sebaik yang beliau canangkan. Bermuka-muka dan menipu diri sendiri adalah sebab kepada kenyataan biadapnya terhadap Rafizi.


Tidak hairanlah Shahrizat menghina Rafizi dengan mempersoalkan kemaskulinan beliau tetapi pada masa yang sama menhancurkan sifat femininnya – yang semestinya adalah tonggak kepada kelembutan dan maruah beliau sebagai seorang wanita.

“Seperti yang sudah dimaklumkan sebelum ini, PKR tidak akan tertekan dengan serangan peribadi demi membongkar salahlaku Shahrizat dan keluarganya. Sebaliknya, kita akan menjadi lebih fokus dalam memastikan agar tuduhan kami ini berasas dan sukar untuk beliau dan keluarga beliau melepaskan diri daripadanya. Ini bukan balas dendam. Tiada siapa yang kisah sangat pasal Shahrizat dan keluarganya tetapi semua orang berminat mengetahui di mana perginya RM250 juta itu,” beritahu Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin kepada Malaysia Chronicle.

“Sebagai pemimpin wanita, saya berasa amat malu dengan komen Shahrizat. Bukan sahaja ia tidak sepatutnya dan biadap, ia juga memalukan kaum wanita. Wanita harus bermaruah dan bertenang dalam menghadapi saat-saat getir dalam hidup mereka. Wanita adalah asas kepada sebuah keluarga dan negara. Tetapi Shahrizat sudah menjadi seperti Ummi Hafilda, yang cakap apa sahaja mereka mahu dengan tidak menghiraukan sekiranya ia seperti cakap-cakap orang gila. I saya rasa mungkin beliau sudah terlalu tertekan dan mungkin ada baiknya beliau ambil nasihat bukan sahaja daripada Pakatan Rakyat tetapi juga senior beliau dalam Umno- berundur dengan penuh maruah sebelum beliau dihalau keluar. Juga jangan terus memalukan wanita di Malaysia dengan komen-komen bodoh beliau. Wanita di Malaysia adalah lebih tinggi maruah daripada itu.”
-Malaysia Chronicle-

KWSP bukan tabung buluh kerajaan

Idris Ahmad
Wang KWSP ialah wang simpanan hari tua, ia bukan tabung buluh kerajaan BN untuk dibelanja sewenang-wenangnya bagi maslahat politik.

Terbaru Senator Datuk Nong Chik mengumumkan kerajaan akan menggunakan wang KWSP sebanyak RM1.5 bilion untuk membantu 20,000 penyewa di Kuala Lumpur membeli rumah.

Kenapa wang KWSP yang digunakan? Kenapa kerajaan tidak menggunakan dana kerajaan sendiri? Apakah ini petanda kerajaan BN sudah kritikal dari segi kewangan sehingga terpaksa mengguna dana awam?

Bagaimana pula nasib rakyat di luar Kuala Lumpur yang menjadi penyumbang kepada KWSP? Kenapa mereka dianak tirikan? Rakyat Sabah dan Sarawak juga perlukan rumah.

Adakah ini hanya projek untuk mengambil hati pengundi di Parlimen Lembah Pantai yang bakal ditandingi oleh Senator Datuk Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Paling menyedihkan sekali menurut Bekas Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Komersial Sabah (SCEU) Rebecca Chin tidak dimaklumkan semasa beliau menghadiri mensyuarat Lembaga Pengarah KWSP.

Beliau mewakili kesatuan di lembaga KWSP dari tahun 2007 hingga 31 Januari 2012.

Sebelum ini dana KWSP juga digunakan untuk valueCap sebanyak RM5 bilion, Felda RM6 bilion, pinjaman kepada GLC tanpa penjamin RM55.1 bilion.

Dana KWSP untuk simpanan hari tua, bagaimana nasib para pekerja selepas bersara, terutama mereka yang berpendapan rendah. Dividen KWSP hanya berkisar 5 hingga 6 peratus. Sedangkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera boleh memberi sebanyak 15 peratus.

KWSP berada di tangga ke 9 pada tahun 2010 berbanding tahun 2009 di tangga ke 18. Ini menunjukkan pungutan KWSP setiap tahun meningkat. Anggaran setiap bulan KWSP memungut sebanyak RM500 juta. Malangnya ia tidak diurus dengan baik oleh kerajaan BN.

Saya bukan ahli Pas - Ustaz Azhar Idrus

WAN SAIDATUL FADZILAH WAN NAJEMUDDIN
11 Februari 2012
Ustaz Azhar Idrus.
KUALA TERENGGANU: “Tidak. Saya tidak akan bertanding sebagai calon Pas pada pilihan raya akan datang,” kata Ustaz Azhar Idrus.

“Saya akan terus buat kerja yang saya sedang buat sekarang (berdakwah) sampai mati,” katanya lagi, lebih menekan berbanding ayat yang terawal untuk menafikan desas-desus konon beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Kini tersebar desas-desus di sini, pendakwah berusia 48 tahun itu dikatakan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang.

Lebih mengejutkan, Az­har kemudian memberitahu: “Saya bukan ahli Pas.”

“Memang, selama ini ramai orang ingat (anggap) saya ahli Pas. Kita berjemaah tapi saya tidak masuk mana-mana parti politik,” tegasnya.

Penulis pojok, Cik Kiah Kepok menerusi ruangan ‘Cuit-cuit Sikek’ Sinar Harian 12 Januari lalu mengaitkan Azhar disebut-sebut akan bertanding sebagai calon Pas pada pilihan raya akan datang.

Antara lain kata penulis itu, nama pendakwah yang mempunyai ratusan ribu peminat di seluruh negara itu turut hangat diperkatakan di kawasan Ladang, tempat asal Azhar sendiri.

Sosok yang cukup dikenali dengan imej berjanggut lebat itu antara penceramah agama masa kini yang paling popular di negara ini terutama sejak berpuluh-puluh video klip kuliahnya dimuat turun menerusi laman Youtube.

Namun kata Azhar, pembabitannya dalam kerja dakwah sama sekali tidak bersandarkan kepada ma­na-mana kelompok politik termasuk Pas meskipun ramai yang melihat aliran dibawanya agak selari dengan perjuangan parti itu.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan sering kelihatan dalam program anjuran Pas.

“Dah orang jemput kita, kena pergilah. Tak kiralah Pas atau siapa. Umno pula kurang jemput saya ceramah,” katanya dengan nada bersahaja ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Wan Esah, Seberang Baroh, di sini.

Dalam pada itu, Azhar turut menyuarakan rasa kecewannya apabila ada pihak tertentu termasuk parti politik yang menyalahgunakan namanya untuk menarik perhatian orang ramai supaya datang ke majlis mereka.

“Bukan Pas saja guna strategi seperti itu, parti pemerintah pun ada juga buat majlis yang saya tidak hadir tetapi disebut akan hadir. Memang ada yang hantar surat minta saya hadir tetapi belum sempat saya jawab, mereka sudah buat kain rentang tulis nama saya. Itu yang banyak berlaku sekarang,” katanya.

Kongres Melayu Pulau Pinang kutuk Hasan Ali

Rahmad Isahak
Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) hari ini mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan oleh Dato Dr. Hasan Ali yang dibuatnya di Bandar Baru Bangi bahawa terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu terutamanya Pakatan Rakyat yang kononnya berhasrat untuk mewujudkan negara Malaysia sebagai sebuah negara republik serta menggugurkan Perkara 153
Perlembagaan Malaysia.

Lanjutan dari kenyataan beliau yang tidak mengambilkira soal integritikaum telah mendatangkan situasi panik dikalangan rakyat Malaysia yang majmuk ini.

Apakah kenyataan tersebut dibuat bagi kepentingan politik murahan demi bagi tujuan meneruskan survival politik beliau? Ianya sangat memalukan orang-orang melayu.

KMPP menilai situasi Dato Dr. Hasan Ali sekarang lebih menonjol dan bebas mengeluarkan kenyataan yang melampaui keraguan munasabah kerana terdapat immuniti yang diberikan disamping mendapat liputan daripada pihak media tempatan.

Gara-gara dipecat dari Parti PAS maka kesempatan tersebut digunakan sebaik mungkin menerusi anjakan motivasi untuk mencari publisiti.

Kenapa sewaktu beliau masih bersama PAS dahulu perkataan “PARASIT” tidak digunakannya dan hanya setelah dipecat barulah pemimpin professional Islam ini melabelkan perkataan tersebut secara drastik?

Kenapa perlu tunggu hingga dipecat baru bertindak dan tidakkah situasi tersebut dilihat sebagai membalas dendam? Bekas exco ini sepatutnya melepaskan jawatannya terlebih dahulu dalam Kerajaan Negeri Selangor jika sudah tahu bahawa ada seteru dari Parti PAS yang menghalangnya dari melaksanakan hukum Islam.

Cerminlah diri sendiri sebelum menagih simpati dari rakyat atau alasan dianiayai.

Jika beliau berpendapat dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berasaskan kepada khabar angin dengan hasrat untuk menakutkan rakyat di negara ini maka ini bermakna beliau menggali lubang sendiri.

Jangan menjadikan agenda Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu sebagai perisai bagi tujuan menyatupadukan melayu dinegara ini, tetapi pada masa yang sama meraih sokongan bukan melayu diatas tiket JATI yang kononnya akan menjadi bentang ketiga dalam arena
politik negara.

Situasi sebegini hanya akan ditolak oleh rakyat berfikiran waras.

Walaubagaimanapun pihak KMPP menyanjung tinggi hasrat beliau untuk mewujudkan satu NGO berbilang kaum yang dikenali sebagai JATI.

Namun kepada rakyat Malaysia soal tersebut tidak relevan serta sama sekali tidak penting. Yang lebih penting adalah harus ada sebuah Kerajaan yang dapat memberikan keutamaan kepada soal kebajikan serta ekonomi yang manpan kepada rakyat.

Rakyat lebih bijak menggunakan minda sebagai pengundi demi bagi memastikan hak mereka terpelihara daripada membuang masa mendengar motivasi yang akhirnya mendatangkan defisit kepada mereka.

Oleh yang demikian tanpa prasangka pihak KMPP mencabar Dato Dr. Hasan Ali menunjuk bukti bahawa negara Malaysia akan menjadi sebuah negara Republik dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Negara akan digugurkan.

Sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa, kenyataan yang berteraskan khabar angin daripada seorang pemimpin professional seperti beliau adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Ianya hanya menyerlahkan sikap serta peribadi beliau yang sebenarnya. Maka rakyat boleh menilai siapakah sebenarnya Dato Dr. Hasan Ali.

Dalam masa yang sama pihak KMPP atas nama rakyat Malaysia turut mendesak agar pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat khususnya Parti DAP dapat memberikan penjelasan serta jawapan yang terang apakah benar seperti mana didakwa oleh Dato Dr. Hasan Ali tersebut?

Apa jua penjelasan nanti akan dianggap sebagai janji oleh pihak Pakatan Rakyat yang bakal disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

KMPP melihat kenyataan Dato Dr. Hasan Ali tersebut sebagai amat serius dan tidak boleh berkompromi kerana ianya melibatkan kesejahteraan kaum dinegara ini. Sesungguhnya inilah satu kenyataan berbentuk “PARASIT” daripada seorang pemimpin atau wira yang tidak didendang.

Sekian, terima kasih.

KONGRES MELAYU PULAU PINANG

.................
RAHMAD BIN ISAHAK
PRESIDEN (KMPP), (019-472 8509)

Putrajaya hanya mampu ditawan pada PRU14

forum on galas and batu sapi by election 131110 ong kian mingPilihan raya umum akan datang tidak akan menyaksikan tsunami seperti yang diharapkan oleh Pakatan Rakyat bagi membawa mereka ke Putrajaya.
Walau bagaimanapun, kata ahli sains politik Ong Kian Ming (kiri), keputusan berkenaan akan menyediakan pentas bagi Pakatan mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum ke-14.

"BN tidak akan mendapat majoriti dua pertiga (pada PRU13), mereka juga akan kehilangan kerusi di Johor, Sabah dan Sarawak, akan menang 55 hingga 63 peratus kerusi.

"Saya jangkakan senario selepas pilihan raya di mana PM Najib Razak akan dicabar oleh TPM Muhyiddin Yassin kerana Najib tidak mampu merampas kembali Selangor atau memenangi dua pertiga majoriti di parlimen," katanya.

Bercakap pada satu forum di Bangsar, katanya jika Muhyiddin mengambil alih sebagai perdana menteri, BN akan menjadi lebih "eksklusif daripada inklusif".

"Ini dan ekonomi yang semakin teruk akan menyaksikan 60 peratus daripada kerusi BN akan jatuh kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-14.

"Pilihan raya umum ke-13 adalah permulaan bagi BN kehilangan kuasanya," kata Ong.

Najib ‘gadai akidah’ hadir Thaipusam - Harussani

Syed Mu’az Syed Putra, TMI,
(Najib menyertai perayaan Thaipusam di batu Caves)
KUALA LUMPUR, 10 Feb: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.

Bob Lokman terbit filem pendek jawab tohmahan

Akmal Abdullah
IPOH, 10 Feb: Bekas pelakon, penulis lirik dan pelawak terkenal, Bob Lokman dengan kerjasama Semarak Production sekali lagi menerbitkan sebuah filem pendek kali ini bertajuk ‘Alahai Bob la Plak Menjawab’.

Filem pendek ini dihasilkan untuk menjawab satu filem pendek 'Alahai Bob' yang diterbitkan pihak tertentu bagi memburukkan imej Bob yang dimuat naik di Youtube beberapa minggu lalu.

Antara lain video itu membangkitkan isu Bob yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ekoran mengajar agama tanpa tauliah di negeri itu.

Menurut Pengerusi Semarak, Ustaz Mohd Fakharudin Abd Aziz, filem pendek ini adalah filem yang ketiga berjaya dihasilkan selepas ‘Orang Kuat UMNO’ dan juga ‘Aduhai 1 Malaysia’.

Sambung beliau lagi, skrip filem ini adalah idea dari Bob Lokman sendiri dan ianya dijawab dan disampaikan secara santai.

“InsyaAllah filem yang keempat akan menyusul tidak lama lagi dimana filem keempat ini akan membicarakan tentang hudud pula," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin pula menyifatkan sambutan terhadap filem pendek ini sungguh mengejutkan, ini kerana tidak sampai 24 jam dimuat naik ke Youtube filem ini sudah dikunjungi lebih 10000 orang.

“ini menunjukkan filem pendek ini adalah satu medium dakwah dan juga satu cara untuk menjawab isu-isu semasa, oleh itu kita mengharapkan agar jentera penerangan seluruh negara dapat mengoptimumkan penggunaan Youtube ini untuk menyebarluaskan dakwah dan menjawab isu-isu semasa," tegas beliau.

Bagi yang ingin melihat filem pendek ini boleh menonton dengan klik di atas gambar berikut.

Mahkamah batal rayuan Berita Harian ke atas Mahfuz

Harakahdaily 
PUTRAJAYA, 10 Feb: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan Berita Harian ke atas Datuk Mahfuz Omar tanpa kos setelah peguamcara Berita Harian memaklumkan kepada Mahkamah anakguam mereka menarik balik rayuan tersebut.

Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri dari Yang Arif Hakim Datuk Jeffery Tan, Datuk Clement Skiner dan Datuk Aziah Ali membenarkan permohonan Berita Harian untuk menarik balik rayuan tersebut apabila peguamcara Datuk Mahfuz, Mohamed Hanipa Maidin tidak membantah permohonan peguam Berita Harian tersebut.

Beita Harian pada 23 September 2009 memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan atas keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Haji Mohd Yazid bin Mustafa yang membenarkan tuntutan gantirugi Mahfuz ke atas Berita Harian sebanyak RM150,000-00.

Tuntutan itu dibuat di atas laporan berita yang disiarkan di akhbar tersebut bertarikh 9/11/2000 di muka hadapan akhbar bertajuk “ Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk”.

Atas berita yang bersifat fitnah tersebut, Mahfuz telah melalui peguamnya memfailkan writ saman ke atas Berita Harian dengan menamakan Ketua Pengarang akhbar tersebut pada masa itu Datuk Ahmad Rejal Arbee dan penerbit dan pencetak akhbar tersebut The News Straits Times Press (Malaysia) Berhad.

Di dalam artikel bertajuk 'Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk' akhbar tersebut antara lain telah memfitnah kononnya Mahfuz telah mencabar Datuk Shaziman Abu Bakar bertumbuk di luar Dewan Rakyat semasa perbahasan usul membantah tindakan ganas polis kepada peserta perhimpuna di Klang pada tahun 2000.

Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan berita tersebut adalah fitnah ke atas Mahfuz kerana menurut hakim laporan akhbar berkenaan bercanggah dengan laporan Hansard Parlimen yang menunjukkan bahawa cabaran bertumbuk sebenarnya datang dari Datuk Shaziman Abu Bakar dan bukannya Mahfuz.

Mahfuz sebelum ini telah memfailkan permohonan Notis Usul untuk membatalkan rayuan tersebut kerana terdapat kecacatan serius dalam proses rayuan tersebut yang menjejaskan keesahan rayuan tersebut.

Akibat dari tindakan Berita Harian menarik balik rayuannya, peguamcara Mahfuz juga menarik balik Notis Usul tersebut tanpa perintah terhadap kos.

Sebelum ini Mahfuz juga telah berjaya di dalam samannya ke atas Utusan Malaysia apabila mahkamah mengarahkan Utusan membayar gantirugi RM120,000-00 dan kos ke atas Mahfuz kerana memfitnah beliau kononnya ingin mengguling kerajaan dengan kekerasan.

Berita Harian diwakili oleh Tetuan Shearn Delamore & Co manakala Mahfuz pula diwakili Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.