"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pempengaruh berdepan hukuman penjara kerana ulasan puri tomato

Agensi
CHIOMA Okoli. FOTO Facebook
CHIOMA Okoli. FOTO Facebook
Abuja: Seorang wanita Nigeria yang juga pempengaruh, berdepan hukuman penjara tujuh tahun kerana mengkritik mengenai puri tomato secara dalam talian, lapor portal Metro UK.

Chioma Okoli, yang mempunyai ramai pengikut di Facebook, menyiarkan ulasan dalam talian bahawa setin Nagiko Tomato Mix, yang dibuat oleh syarikat Nigeria Erisco Foods, adalah terlalu manis.

Okoli, 39, meminta 18,000 pengikutnya berkongsi pendapat mengenai sos tomato itu, yang mengundang pelbagai maklum balas.

Bagaimanapun, seorang wanita yang mendakwa adik kepada pencipta campuran tomato itu, mengulas pada hantaran Okoli.

"Berhenti merosakkan produk abang saya. Jika tidak menyukainya, gunakan yang lain, daripada bawa ke media sosial atau hubungi perkhidmatan pelanggan," tulisnya.

Okoli membalas komen wanita itu.

"Bantu saya menasihati abang anda.... semalam adalah kali pertama saya menggunakan dan ia adalah gula tulen," katanya.

Beberapa hari selepas komen itu, dia ditangkap oleh polis Nigeria dan dibawa ke penjara.

Untuk mendapatkan jaminan, Okoli dikehendaki memohon maaf secara terbuka kepada Erisco.

Okoli kemudian didakwa bersubahat dengan dua individu lain dengan niat untuk menghasut orang ramai menentang Erisco Foods Limited dan menghasut Erisco Foods Limited dengan mengetahui maklumat itu adalah palsu.

Jika disabitkan dengan jenayah itu, Okoli, yang kini mengandung anak keempatnya, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

Erisco juga menyaman Okoli dalam tuntutan sivil sebanyak AS$3.02 juta (kira-kira RM14.27 juta), selepas beberapa pembekal berhenti menjalankan perniagaan dengan syarikat itu.

Kes Okoli menimbulkan persoalan mengenai kebebasan bersuara di Nigeria, dan dikutuk oleh Amnesty International.

Dahsyat betul, 34 penguatkuasa kastam di KLIA lindungi penyeludupan sehingga negara kerugian RM2 bilion ditahan SPRM

Shahbudin Husin

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata setakat ini, seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Beliau berkata anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan selepas dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

“(Ops Samba 2.0) penting kerana kita bongkar kegiatan rasuah libatkan agensi penguat kuasa yang libatkan kebolosan dan ketirisan.

“Perkara ini dijangka berlaku begitu lama, ia dikesan sejak 2017 hingga baru-baru ini. Kerugian (kerajaan Malaysia) untuk tempoh tiga tahun kerana sindiket ini adalah RM1.5 bilion hingga RM2 bilion iaitu kutipan cukai tiris,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ops Samba 2.0 merupakan operasi diketuai SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memerangi aktiviti rasuah pegawai agensi penguatkuasaan yang melindungi aktiviti penyeludupan sejak 2017 hingga kini.

Azam berkata SPRM telah merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

Beliau berkata sejumlah 232 akaun bank milik syarikat dan individu ditahan termasuk akaun keldai berjumlah lebih RM17 juta telah dibekukan bagi membantu siasatan.

“Transaksi (rasuah) dikesan babitkan 34 penjawat awam ini adalah penyaluran iaitu masuk akaun peribadi menggunakan keldai akaun,” katanya menambah, proses analisis akaun akan dibuat LHDN, BNM dan SPRM.

Ditanya modus operandi sindiket ini, beliau berkata sindiket itu menggunakan perkhidmatan ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran rasuah kepada penguat kuasa yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan.

“Ini bagi melicinkan proses penyeludupan barangan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan sepatutnya,” katanya.

Azam berkata sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, pengurup wang, kegiatan judi dalam, kegiatan pelacuran dan juga melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

“Sebanyak 19 ‘syarikat hantu’ dikesan diwujudkan melibatkan pelbagai jenis perniagaan untuk kelirukan pihak berkuasa terutama LHDN,” katanya.

Beliau berkata SPRM ketika ini memfokuskan usaha membanteras kegiatan rasuah membabitkan anggota penguat kuasa kerana ia memberikan kerugian buat negara.

“Walaupun dah beberapa tahun lepas kegiatan rasuah berlaku, jangan ingat mereka terlepas… ini amaran kepada pihak penguat kuasa,” katanya.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/29/ketirisan-akibat-penyeludupan-di-kargo-klia-cecah-rm2-bilion/

Upah seludup, edar dadah hingga RM30,000, 4 suspek dicekup

FMT Reporters

PETALING JAYA: Empat suspek disyaki “transporter” dadah ditahan susulan serbuan di sebuah rumah di Shah Alam yang turut membawa rampasan syabu seberat 312.7kg yang bernilai RM10.3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata tiga daripada suspek yang berperanan sebagai transporter dipercayai menerima upah minimum antara RM15,000 dan maksimum RM30,000 untuk seludup dan mengedar dadah.

“Keempat-empat suspek itu berperanan sebagai transporter dengan menerima upah minimum antara RM15,000 dan maksimum RM30,000 untuk membawa masuk dan mengedar bekalan dadah itu di Lembah Klang serta menyeludup ke luar negara.

“Salah seorang suspek adalah pengurus bas persiaran yang berperanan sebagai koordinator urusan dadah dengan upah RM30,000 untuk satu perjalanan, manakala tiga lagi suspek masing-masing pemandu bas dan dua peniaga kosmetik berperanan sebagai transporter,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media IPK Selangor.

Kok Chin ketika mengulas lanjut, berkata serbuan dilakukan pada Rabu, 7.30 malam, berdasarkan hasil maklumat awam dan risikan polis.

“Hasil serbuan di rumah teres berkawalan keselamatan itu menemukan 312.7kg dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10.3 juta yang disembunyikan dalam lima kenderaan di rumah berkenaan.

“Dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran di utara Malaysia dan dibawa ke Lembah Klang dengan kereta. Ia dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan luar negara,” katanya sambil menambah semua suspek berusia lingkungan 23 hingga 40 tahun.

Katanya, semua suspek direman enam hari sehingga 2 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Duit RM500,000: Pemilik tak muncul

Pemilik RM500,000: 'Janji datang hari ini, tapi belum nampak kelibat'

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Individu yang mendakwa wang berjumlah lebih RM500,000 yang ditemui dalam bagasi di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli belah di Damansara, pada minggu lalu masih belum tampil memberikan keterangan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata sebelum ini lelaki berkenaan memberitahu bahawa dia akan memberikan keterangan dan bukti bahawa wang berkenaan milik syarikatnya kepada polis, hari ini.

"Belum (tampil beri keterangan). Dia janji nak datang hari ini tapi belum nampak kelibat.

"Sesiapa sahaja yang menuntut wang berkenaan, boleh tampil dan buktikan kepada kami. Jika tidak kami akan lakukan prosedur pelupusan harta yang tidak dituntut.

"Kami tidak kisah jika anda hendak datang atau tidak, kita akan bagi tempoh yang mencukupi cuma dia dah bagitau yang itu (wang) milik syarikatnya tapi dia tidak datang untuk beri bukti yang wang berkenaan miliknya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat prosedur untuk pelupusan harta yang tidak dituntut antaranya mengiklankan dalam media bagi tempoh masa tertentu sebelum tindakan pelupusan dilakukan (sekiranya tiada tuntutan).

Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada sebuah syarikat teknologi maklumat yang mendakwa bagasi berisi wang tunai melebihi RM500,000 yang ditemui di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli belah di Damansara, di sini, milik mereka.

Hussein berkata, polis menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan warga tempatan berusia 30-an berkaitan penemuan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana kira-kira jam 8 pagi, 20 Mac lalu.

Menurutnya, hasil pengiraan mendapati beg itu berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.

Bot bawa 18 Pati karam di Kuala Selangor

FMT Reporters
Semua warga Indonesia selamat dipercayai berlindung di ‘Lighthouse’ pada kedudukan 11 BN Barat Kuala Selangor sebelum diselamat APMM.
PETALING JAYA: Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) diselamat selepas bot dinaiki untuk masuk ke negara ini karam di 11 batu nautika Barat Kuala Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Hamid Mohd Amin, berkata kejadian berlaku ketika semua dalam perjalanan memasuki ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan.

“Mangsa terdiri daripada 11 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia dikatakan cuba memasuki ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas semua mangsa mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen sah,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Hamid berkata APMM melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru menerima aduan daripada seorang ahli keluarga mangsa melalui talian MERS 999 mengenai kejadian itu, pada 9.55 pagi.

Beliau berkata, semua mangsa selamat dan dipercayai berada di ‘Lighthouse’ pada kedudukan 11 BN Barat Kuala Selangor.

“Berpandukan maklumat berkenaan, APMM mendapatkan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi menyelamat dan membawa mangsa ke jeti PPM Pulau Indah untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan keluar masuk Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan dan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

5 penyamun ditembak mati semua licik, ganas

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Polis tembak mati 5 penyamun di Putra Heights. - Foto NSTP/Safeek Affendy Razali
Polis tembak mati 5 penyamun di Putra Heights. - Foto NSTP/Safeek Affendy Razali
Shah Alam: Kumpulan lima penjenayah yang ditembak mati di Persiaran Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, semalam menjadikan premis kilang; pejabat syarikat logistik; pejabat dan samun dalam rumah sebagai sasaran.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kumpulan yang terdiri daripada warga tempatan berusia 25 hingga 30 an itu dipercayai terbabit dalam 50 kes samun di seluruh Selangor serta Kuala Lumpur dan aktif sejak 2022.

"Kumpulan perompak ini mensasarkan premis yang mempunyai peti besi keselamatan mengandungi wang tunai.

"Mereka ini boleh dikatakan ganas yang mana dalam kes tertentu mereka tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa yang cuba yang menghalang.

"Kumpulan ini juga licik. Mereka dijejaki dan dikehendaki polis sejak 2022," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata bagi kes samun syarikat logistik, pihaknya tidak menolak jika ada orang dalam yang memberikan maklumat mengenai wang tunai dalam peti besi keselamatan tersebut.

Katanya, semua lelaki berkenaan mempunyai rekod lampau antara tujuh hingga 16 kes setiap seorang.

"Kumpulan ini dipercayai aktif melakukan samun di kawasan Klang; Puchong; Bukit Jalil dan Cheras dan hasil semakan mereka ini menetap di Klang," katanya.

Terdahulu media melaporkan polis menembak mati lima penjenayah yang disyaki aktif dalam lebih 50 kejadian samun bersenjata api di sekitar Lembah Klang, sejak dua tahun lalu.

Lokman Noor Adam: KJ buatlah parti ‘Baju Melayu’

AKMAL MANAF

Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam secara berseloroh mencadangkan bekas ketua pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya menubuhkan parti baharu dikenali sebagai ‘Baju Melayu’.

Beliau berkata, sekiranya Khairy mahu kembali ke pangkuan UMNO, buatlah cara seperti mahu masuk ke parti itu semula.

”Belajarlah pertahankan parti.. bukan belajar untuk memusnahkan parti kita ini dengan membantu musuh parti.

”Tetapi kalau rasa tak nak bersama dengan UMNO balik, ‘move on’..

”Buatlah parti baharu.. kalau tak pun buat parti Baju Melayu.. kancing suasa.. ajak Syed Saddiq sekali,” katanya sambil ketawa dalam video dimuat naik di Facebooknya.

Selepas menjadi penyampai radio di sebuah syarikat radio tempatan, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ kini menjadi model untuk sebuah produk minuman tempatan.

Malah, bekas Menteri Kesihatan berusia 48 tahun itu juga dilihat menjadi model baju Melayu untuk sebuah syarikat pengeluar pakaian raya terkemuka sehingga menarik perhatian ramai warga maya di media sosial.

Sebelum ini, Khairy dalam podcast Keluar Sekejap bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membangkitkan persoalan UMNO yang disifatkannya sebagai liabiliti dalam Kerajaan Perpaduan.

Khairy melabelkan UMNO sebagai ‘biawak hidup’ dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun tidak menyebut nama secara khusus, Ahmad Zahid menyifatkan bekas pemimpin UMNO itulah sebenarnya ‘biawak hidup’.

”Saya ingin mengatakan orang yang mengatakan orang lain sebagai biawak hidup itu dia sendiri adalah biawak hidup.

“Tanya diri sendiri sebelum menuding jari kepada pihak lain,” ujar Zahid.

Pasangan suami isteri bekal senjata pada warga Israel ditahan di bazar Ramadan

Bernama

Polis menahan tiga individu warga tempatan termasuk pasangan suami isteri yang disyaki membekal senjata api dan seorang lelaki menjadi pemandu kepada warga Israel yang telah diberkas di sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, Rabu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pasangan suami isteri berusia 40 dan 42 tahun ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor kira-kira 7.30 malam tadi, manakala lelaki berusia 38 tahun yang bertindak sebagai pemandu kepada warga Israel itu ditahan di Cameron Highlands, Pahang.

"Siasatan awal mendapati pasangan terbabit membekalkan beberapa pucuk senjata api kepada warga Israel itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata hasil siasatan menemukan sepucuk pistol di dalam kereta jenis Honda Jazz milik pasangan itu.

Razarudin berkata pasangan terbabit mengaku membeli pistol itu di negara jiran untuk diserahkan kepada lelaki warga Israel tersebut.

"Kesemua mereka kita tahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Semalam, Razarudin dilaporkan berkata seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, Rabu lepas.

Beliau berkata lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia pada 12 Mac lepas menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mendakwa datang ke negara ini untuk membunuh rakan senegaranya susulan masalah keluarga.

Razarudin berkata suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 31 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

- Bernama

Perisik Israel: Suspek ini 'sangat tegar' - Datuk Seri Ayob Khan

Aliza Shah
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki Israel dipercayai perisik yang ditangkap di Ampang Rabu lalu disifatkan 'suspek yang tegar'.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata soal siasat masih diteruskan.

"Suspek ini 'sangat tegar'," katanya ringkas kepada New Straits Times.

Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Razarudin Husain semalam berkata lelaki Israel berusia 36 tahun ditangkap di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lalu.

Suspek itu, katanya, mendakwa dia datang ke Malaysia untuk membunuh seorang lagi lelaki Israel kerana pertikaian keluarga - cerita yang polis tidak percaya sepenuhnya.

Razarudin berkata, polis kini berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap keselamatan orang awam dan pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim; Raja dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang mengenai isu Palestin-Israel.

Mengapa miliki enam pistol untuk bunuh seorang?

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Mengapa warga Israel yang ditahan dipercayai perisik memiliki enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup.

Pada masa ini siasatan masih giat dijalankan bagi mendapatkan maklumat mengapakah suspek utama berusia 36 itu memiliki pistol melebihi satu.
Enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup yang dirampas daripada suspek lelaki warga Israel dalam serbuan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu. - Foto NSTP
Enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup yang dirampas daripada suspek lelaki warga Israel dalam serbuan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu. - Foto NSTP
Enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup yang dirampas daripada suspek lelaki warga Israel dalam serbuan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu. - Foto NSTP
Enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup yang dirampas daripada suspek lelaki warga Israel dalam serbuan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu. - Foto NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang menyiasat dari semua sudut dan tujuan utama pistol berkenaan.

"Timbul persoalan di sini mengapakah suspek memerlukan pistol dan peluru yang begitu banyak sedangkan sebelum ini dia memberikan alasan kononnya ingin membunuh seorang warga Israel yang ada di sini disebabkan masalah peribadi.

"Jadi buat masa ini siasatan menjurus ke arah itu dan kita juga tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai agenda lain seperti saya nyatakan sebelum ini bahawa mengancam keselamatan Yang di-Pertuan Agong atau Perdana Menteri Malaysia atau juga orang berkepentingan lain.

"Semua ini adalah intipati utama dalam penyiasatan kita," katanya kepada BH hari ini.

Razarudin berkata, sehingga ini, sepasang suami isteri warga tempatan yang ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, semalam, bertanggungjawab membekalkan semua enam pistol kepada suspek.

Katanya, pasangan terbabit disyaki memperoleh pistol dari negara jiran sebelum menjualnya kepada suspek dengan pembayaran menggunakan mata wang kripto.

"Kita sedang menantikan tempoh reman terhadap kedua-dua suspek terbabit sebelum siasatan lanjut ke atas pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu dijalankan.

"Malah kita juga sedang mengenal pasti tujuan utama mereka menyimpan sepucuk lagi pistol yang dirampas," katanya.

Pada masa ini secara keseluruhan polis merampas tujuh pucuk pistol selain menahan seorang lagi lelaki dipercayai pemandu kepada lelaki Israel di Cameron Highlands, pagi semalam.

Terdahulu, lelaki Israel itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, Rabu lalu, sebelum membawa kepada penemuan enam pucuk pistol.

Suspek warga Israel disahkan memasuki negara ini menggunakan pasport warganegara Perancis pada 12 Mac lalu dan dikesan menginap di tiga hotel berbeza sebelum ditahan di Jalan Ampang.

Makhluk haramjadah tunjuk jari tengah lepas ditegur merokok dalam restoran

KOSMO!
Tangkap layar video berkenaan di laman X.
PETALING JAYA – Seorang pemuda sempat membalas dengan menggunakan jari tengah selepas mendapat teguran daripada seorang pelanggan yang tidak senang dengan tingkah lakunya yang merokok dalam restoran.

Melalui satu klip video tular di laman X sejak semalam, kelihatan seorang pemuda tidak berpuas hati dengan teguran yang dibuat oleh salah seorang pelanggan di restoran tersebut yang dikatakan turut membawa seorang bayi berusia empat tahun.

“Apa yang sedang berlaku, merokok di kawasan restoran makan awam, tiada siapa yang kisah. Bila ditegur disebabkan ada bayi berusia empat tahun di situ mereka pula yang marah,” jelas hantaran melalui video tersebut.

Rata-rata orang ramai yang menyaksikan klip video tersebut berpendapat, tindakan yang sepatutnya dibuat oleh pihak berkuasa ketika ini tiada dan terlampau longgar.

“Bukan nak kata, kebanyakan restoran mesti ada kaum yang macam ni. Penguat kuasa aku tengok tak ada pun yang datang, tapi kalau bab rampas kedai Melayu mereka la yang paling cepat,” jelas M Rosli.

“Penguatkuasaan kurang, tengok la dekat R&R, bersepah orang merokok, tak ada apa pun aku tengok.

“Sama saja di restoran, tolong la hormat orang sikit, kalau dah tak tahan sangat nak merokok tu keluar dulu, merokok jauh-jauh,” jelas Farah Nadia.

“Pernah alami perkara sama, saya tegur sebab bawa isteri dan dua orang anak kecil, mereka boleh balas kalau nak merokok juga kau nak buat apa. Susah la kalau ada mentaliti macam ni,” kata Iser Jaafar. – KOSMO! ONLINE

Lelaki mabuk ingin solat di masjid

KOSMO
Lelaki yang memakai kemeja-T hitam ditolak dan dihalau oleh jemaah di masjid kerana didakwa mabuk. – IG, @lambe_turah
JAKARTA – Seorang lelaki yang ingin menunaikan solat subuh di masjid dihalau oleh seorang jemaah kerana didakwa mabuk, lapor akhbar Tribunnews semalam. 

Menurut klip video yang tular selepas dikongsikan di platform X kelmarin, lelaki yang memakai baju-T hitam itu ditolak dan dihalau oleh jemaah tersebut kerana didakwa mabuk.

Lelaki itu kemudian memberitahu jemaah terbabit bahawa dia  tidak mempunyai hak untuk menilainya.

Selepas kehadiran jemaah lain dan seorang ustaz, jemaah itu segera memberitahu mereka bahawa lelaki itu mabuk.  

Ustaz meleraikan mereka berdua dan mengatakan bahawa lelaki mabuk itu tetamu Allah dan membenarkannya solat di masjid di hujung saf dan tidak bercampur dengan jemaah lain.

Video tular itu menimbulkan pelbagai reaksi dan pandangan netizen. Ada juga netizen yang mengesyaki video itu hanyalah demi konten semata-mata. – AGENSI

Pekerja kurier baling, tendang barang pelanggan

KOSMO
Pekerja syarikat kurier dilihat membaling dan menendang bungkusan-bungkusan barangan pelanggan sebelum diletakkan ke dalam lori. - @fakta.jakarta.
JAKARTA –  Dua pekerja lelaki sebuah syarikat kurier bertindak membaling dan menendang bungkusan-bungkusan  pelanggan sebelum diletakkan ke dalam lori, lapor akhbar Abatanews semalam.

Tindakan dua pekerja tersebut dilihat melalui sebuah klip video yang kini tular di media sosial. Rakaman itu dikongsikan dalam akaun Instagram @fakta.jakarta.

“Kurier ini memindahkan sejumlah bungkusan ke dalam lori dengan membaling dan menendang, walaupun barangan itu ditampal pelekat tertera perkataan ‘rapuh’, menunjukkan kandungan di dalamnya mudah rosak,” demikian menurut kapsyen klip video tersebut.

Dua lelaki itu sedang menyusun bungkusan yang akan dihantar. Selepas mengimbas kod bar bungkusan itu, salah seorang lelaki terbabut melemparkan bungkusan itu ke dalam lori.

Pakej yang dilemparkan itu kemudian ditendang oleh lelaki lain seperti bola, malah lelaki tersebut dilihat terbaring sambil menghisap rokok di dalam lori.

Tindakan mereka mengundang kemarahan netizen kerana boleh merosakkan barangan pelanggan. – AGENSI  

Perkahwinan remaja 16 tahun dengan wanita 41 tahun berkecai

KOSMO!
KEVIN berkahwin dengan Mariana berlangsung di Sambas, tahun lalu. - Foto TikTok
JAKARTA  –  Perkahwinan antara seorang remaja lelaki berumur 16 tahun bersama isterinya yang berusia 41 tahun berkecai tidak sampai setahun mereka mendirikan rumah tangga, lapor portal berita Tribun Trends semalam.

Kevin mendirikan rumah tangga dengan Mariana pada tahun lalu di Sambas, wilayah Kalimantan Barat, manakala perkahwinan mereka tular di media sosial.

Malah, remaja itu turut memeluk agama Islam pada Ogos 2023 sebelum berkahwin dengan isterinya.

Menurut ibu Kevin yang dikenali sebagai Lisa di platform Facebook, anaknya berpisah dengan wanita tersebut kerana mereka kerap bergaduh. 

Bagaimanapun, Mariana meminta kembali telefon bimbit dan cincin perkahwinan yang diberikannya kepada Kevin, kata ibu remaja berkenaan.

Ini adalah kerana semua perbelanjaan perkahwinan remaja itu ditanggung oleh Mariana.

Lisa turut mengaku bahawa ketika ini Kevin masih menguruskan perceraiannya dengan Mariana melibatkan agensi berkaitan. – AGENSI  

Polis tingkat keselamatan Agong, PM ekoran penahanan lelaki disyaki ejen perisikan Israel

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh negara termasuk terhadap golongan kenamaan.

Ia susulan tangkapan seorang lelaki warga Israel bersama enam senjata serta 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan berwaspada dengan mengambil langkah awal meningkatkan kawalan keselamatan terhadap golongan kenamaan.

"Melihat kepada isu Palestin-Israel ketika ini, kita perlu berwaspada dengan tahap keselamatan golongan kenamaan membabitkan Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim), Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta beberapa individu lain.

"Dakwaan dia datang ke Malaysia untuk membunuh individu dari Israel juga tidak boleh diterima sepenuhnya kerana lelaki terbabit mungkin ada agenda lain.

"Disebabkan itu, kita perlu tingkatkan kawalan keselamatan terhadap mereka (Agong dan Perdana Menteri)," katanya pada sidang media pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Amin, Markas Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki warga Israel berusia 36 tahun itu ditahan bersama enam senjata api serta kira-kira 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu.

Razarudin dipetik berkata, lelaki itu memiliki dua pasport iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

Menurutnya, hasil soal siasat dilakukan, suspek mendakwa kononnya dia masuk ke Malaysia bagi membunuh seorang individu warga Israel berkaitan isu keluarga.

Hangat!! Lelaki warga Israel ditahan di Ampang, 6 senjata api dan 200 peluru dirampas

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Israel ditahan bersama enam senjata api serta kira-kira 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Ketika serbuan dilakukan, kami menemui dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

"Pemeriksaan lanjut juga menemui enam senjata api termasuk SIG Sauer, Smith and Wesson serta Glock yang diletakkan di dalam beg berserta 200 peluru. Malah, tiga daripada senjata api itu turut diisi peluru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Amin, Markas Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, hasil soal siasat dilakukan, suspek mendakwa kononnya dia masuk ke Malaysia bagi membunuh seorang individu warga Israel berkaitan masalah keluarga.

"Hasil soal siasat itu juga mendapati lelaki terbabit membeli enam senjata api berkenaan menggunakan mata wang kripto yang kita percaya ditempah sebaik dia tiba di sini.

"Siasatan lanjut dilakukan mendapati suspek terbabit pernah menetap di beberapa hotel lain sebelum ditahan di hotel berkenaan (Jalan Ampang)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek tidak bergerak secara solo dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kenalan lelaki itu.

"Mungkin lelaki itu ada agenda lain yang mendorong dia datang ke sini. Justeru, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti motifnya secara menyeluruh termasuk kebarangkalian dia seorang ejen perisikan Israel.

"Pada masa sama, kita juga akan kesan individu yang membekal senjata api kepada lelaki berkenaan.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 31 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 dan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Kemasukan warga asing patut diketatkan: 54 ‘call girl’ warga asing dicekup Imigresen

MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Penguat kuasa Imigresen menahan seramai 54 call girl warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Johor menahan seramai 54 ‘call girl’ warga asing susulan serbuan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, di sini tengah malam tadi.

Pengarah JIM Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, dalam serbuan tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam itu, seramai 93 individu diperiksa dan 63 individu berusia lingkungan 19 hingga 49 tahun ditahan.

“60 warga asing yang ditahan itu disyaki bekerja sebagai ‘call girl’ termasuk enam pekerja premis itu. Turut ditahan seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan yang disyaki sebagai penjaga premis,” katanya kepada pemberita hari ini.

Baharuddin berkata, ‘call girl’ yang ditahan terdiri daripada 48 wanita Vietnam, tiga wanita Thailand, seorang wanita warga Indonesia dan dua wanita warga China yang ditugaskan untuk menemani pelanggan untuk minum minuman keras.

“Setiap minuman keras yang dipesan bersama tempahan bilik akan mendapat komisen serta tips sebanyak RM20 untuk setiap pesanan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua wanita itu menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Isteri kepada Warganegara, dan juga tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya.-KOSMO! ONLINE

420 kilogram gula yang mahu diseludup ke negara jiran ditemui dalam hutan

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
Anggota tentera memeriksa gula yang disorok di dalam hutan di Kampung Punang, Ba'kelalan yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran. - Foto TENTERA DARAT
Anggota tentera memeriksa gula yang disorok di dalam hutan di Kampung Punang, Ba'kelalan yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran. - Foto TENTERA DARAT
KUCHING: Anggota Tentera Darat mengesan tempat transit penyeludupan gula ke negara jiran di Ba'kelalan, di utara Sarawak, pagi ini.

Gula terbabit ditemui ditutup dengan kanvas, kira-kira 900 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Jurucakap Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat berkata, turut ditemui tiga tong diesel sebanyak 105 liter.

"Ketika menjalankan rondaan berdekatan sempadan pada 9.45 pagi, anggota Tentera Darat menjumpai bungkusan kanvas dengan 35 karton gula berjumlah 420 kilogram dan tiga tong minyak diesel," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil rampasan itu dianggarkan bernilai RM1,400.

Beliau berkata, laporan polis dibuat di Pondok Polis Ba'kelalan dan semua barangan rampasan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Lawas minggu depan.

Bapa mengaku salah rogol, cabul anak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Penganggur mengaku salah kerana merogol dan mencabul kehormatan anak perempuannya berusia 19 tahun di Mahkamah Sesyen Ipoh, antara Februari dan Mac lalu.

Tertuduh, 38, membuat pengakuan itu selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa merogol anak kandungnya di mana perhubungan itu tidak dibenarkan bawah undang-undang, hukum agama, adat, dan kebiasaan terpakai untuk berkahwin.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Batu Gajah pada 10 hingga 12 malam, Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak lebih 10 sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Astro Awani.

Tertuduh turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa di lokasi sama pada 8.30 pagi, 20 Mac 2024.

Pendakwaan bagi kes itu dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 April untuk hukuman dan fakta kes.

Pegawai atasan polis mungkin terbabit lindungi sindiket

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan ada pegawai atasan lain yang terbabit melindungi sindiket susulan penahanan pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM tidak menolak kemungkinan ada pembabitan pegawai lebih atasan dipercayai terbabit dengan sindiket itu, bagaimanapun ia masih dalam siasatan kerana pegawai kanan ditahan itu dipercayai tidak melakukannya bersendirian.

Menurutnya, pegawai terbabit disambung reman tiga hari lagi dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan wang diterimanya sebelum ini.

"Kita akan siasat berapa lagi wang yang diterimanya daripada sindiket terbabit dan akan mengesan siapa lagi yang turut terlibat.

"Kita juga sedang mengesan aset dan maklumat lain aset yang diperoleh atau sudah dibelanjakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pegawai kanan polis di IPK Kuala Lumpur ditahan SPRM kerana melindungi aktiviti haram membabitkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur,

Menurut sumber, suspek utama iaitu lelaki berusia 40-an disyaki menerima suapan antara tahun 2021 hingga 2024 daripada sindiket dalam bentuk tunai sebagai balasan melindungi aktiviti haram membabitkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.

Suami aktres terkenal ditahan rasuah

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Harvey Moeis (kiri) saat ditahan oleh petugas Pejabat Peguam Negara. Sandra Dewi, isteri Harvey Moeis (kanan). (Sumber: Tribunnews)
Harvey Moeis (kiri) saat ditahan oleh petugas Pejabat Peguam Negara. Sandra Dewi, isteri Harvey Moeis (kanan). (Sumber: Tribunnews)
JAKARTA - Suami kepada pelakon Indonesia, Sandra Dewi, Harvey Moeis ditahan atas dakwaan menerima rasuah terkait perlombongan biji timah yang merugikan negara.

CNN Indonesia melaporkan, menerusi pemeriksaan oleh pejabat Peguam Negara, mereka menemukan bukti yang cukup untuk mengaitkan Harvey dalam tuduhan rasuah berkenaan.

"Setelah dilakukan pemeriksaan yang menyeluruh, pasukan kami mempunyai bukti yang jelas bagi mengaitkan Harvey dalam kes ini," demikian menurut Pejabat Peguam Negara, Kuntadi, pada Khamis.

Pejabat Peguam Negara mencatatkan jumlah kerugian sebanyak 271 triliun rupiah dalam kes berkenaan.

Harvey yang juga merupakan usahawan arang batu itu didapati menjadi orang tengah kepada projek perlombongan biji timah secara haram dan mendapatkan rasuah selepas kesepakatan setelah ia berjaya diluluskan kerajaan.

Dalam isu berkaitan, Sandra juga akan dipanggil untuk disoal siasat berkaitan isu rasuah oleh suaminya itu.

Harvey kini ditahan oleh polis dan ditempatkan di Rumah Tahanan (Rutan) Jakarta selama 20 hari untuk disoal siasat.

Menyingkap kehidupan selebriti tersebut mereka kerap berkongsi peristiwa romantis serta berbagi momen mewah menerusi media sosial mereka.

Harvey berkahwin dengan Sandra Dewi pada 8 November 2016.

Pernikahan keduanya pernah menarik perhatian umum kerana melangsungkan perkahwinan mewah di Cinderella’s Castle, Disneyland, Tokyo, Jepun. - Agensi

Betulkah ‘Ustaz, ustazah, cikgu di Pasti tak fikir pasal gaji’?

Harapandaily

Seorang penyokong tegar Pas dilihat cuba mempertahankan isu gaji terlalu rendah guru yang diperoleh Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

Pengguna Facebook, Johan Raup Joe Noi berkata, dirinya sendiri bekerja di masjid tidak memikirkan tentang gaji besar dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya ini berapa tahun sudah kerja di masjid. Saya tak fikir pasal gaji besar dan KWSP.

“Begitu juga ustaz ustazah dan cikgu yang mengajar di sekolah-sekolah Pasti seluruh Malaysia, mereka pun tak fikir pasal gaji.

“Insya-Allah, kami semua tunggu gaji kami di akhirat nanti. Hanya Allah yang mengeatahui segalanya.

“Semoga Allah menerima amalan kami. Aamiinn,” katanya lagi.

Selama ini, guru Pasti dinafikan hak sebagai pekerja dengan dibayar gaji rendah daripada kadar gaji yang ditetapkan di bawah Perintah Gaji Minimum 2022.

Mereka juga tidak dicarum KWSP dan Perkeso, memetik memo daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Memo JTK tersebut mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti.

Turut diarah untuk disiasat adalah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI).

Kesemua tadika dan sekolah yang dikendalikan Pas itu didakwa membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500.

Ada orang curi nombor IC KJ untuk daftar Padu

Malaysiakini
story-imageBekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin akan membuat laporan polis selepas nombor kad pengenalannya digunakan pihak lain dalam Pangkalan Data Utama (Padu).

Dia mengetahui perkara itu selepas gagal mendaftar dalam sistem itu apabila dia gagal berbuat demikian kerana akaunnya telah wujud.

“Baru nak daftar dah kecundang,” tulisnya di media sosial sambil berkongsi tangkapan layar mesej daripada sistem Padu.

Bekas ketua Pemuda Umno itu juga meluahkan rasa terkejut kerana dia tidak pernah mendaftar di Padu sebelum ini.

Dia bagaimanapun kemudian berkongsi maklumat bahawa isu itu telah selesai dan Padu berjaya set semula log masuk untuk nombor kad pengenalannya.

“Ada orang daftar guna nombor kad pengenalan saya. 

“Identitinya didedahkan di atas talian, yang tindakan itu saya tidak pasti bagus atau tidak.

“Dua kesilapan tidak menjadikan sesuatu itu benar. 

“Perkara yang betul untuk dilakukan ialah lapor polis berkaitan kecurian identiti, yang saya akan buat. Bukan dedah maya dan dedahkan maklumat peribadi pihak ini atas talian.

“Perkara itu akan mengundang lebih banyak keraguan pada Padu,” kata bekas anggota parlimen Rembau itu.

‘Selamat berjaya’ - pelaku dikenal pasti

Sementara itu, Farhan Akmal, setiausaha akhbar kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberi amaran supaya orang ramai tidak menggunakan kad pengenalan pihak lain untuk mendaftar Padu.

Dia juga berkata pihak yang melakukan perkara itu telah dikenal pasti.

“Senang saja untuk kesan,” katanya.

Dia juga berkata tiada kebocoran data berlaku kerana pelaku itu tidak berjaya melepas proses pengesahan imbasan kad pengenalan dan wajah yang dinamakan e-KYC.

“Kepada pihak itu, selamat berjaya,” tulis Farhan.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Rafizi telah diminta menjelaskan isu berkaitan pendaftaran padu kepada kabinet minggu ini.

Anwar berkata penjelasan perlu dibuat susulan kebimbangan Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg terhadap sistem itu.

Terkejut jumpa segenggam paku dalam lemang

ATIQ MAISARAH SUHAIMI
Tangkap layar paku besi yang ditemui di dalam buluh lemang
PETALING JAYA – Seorang peniaga lemang terkejut apabila pelanggannya memberitahu lemang yang baru sahaja dibeli mengandungi paku di dalamnya.

Menerusi perkongsian video peniaga tersebut di laman TikTok @ummu.saifullah, kira-kira segenggam paku besi yang berukuran lebih kurang 50 milimeter (mm) itu ditemui berada di dalam buluh lemang tersebut serta ada beberapa yang telah termasuk ke dalam isi lemang.

Bagaimanapun, peniaga terbabit juga hairan dengan penemuan paku-paku besi itu kerana menurutnya, sebelum mula mengisi beras ke dalam buluh, dia akan memastikan buluh dalam keadaan bersih dan hanya dia yang menyediakannya ketika itu.

“Dah sampai dekat pelanggan tetiba kurang lebih 10 minit dia call. Kenapa ada paku dalam lemang.? Aku pun macam ehh paku? Mana mai paku, sebab aku yang basuh buluh, yang potong buluh, yang buat A – Z. Memang tiada paku.

“Nasib baik pelanggan baru potong, belum masuk mulut. Dia perasan pun lepas dia nak potong bahagian bawah lemang,” ujarnya di ruangan kapsyen.

Peniaga tersebut bersyukur kerana pelanggan tersebut segera memberitahunya dan dia telah menggantikan lemang yang baru untuknya kerana kebetulan memang ada memasak lebih untuk hari itu.

“Kebetulan memang aku masak extra lemang, ganti yang baru buka depan mata pelanggan. Lagipun saya masak memang tujuh batang je. Memang qc ( periksa kualiti) siap-siap,” ujarnya.

Sementara itu, teka-teki tentang siapa pelaku kepada kejadian pelik ini akhirnya terjawab apabila peniaga tersebut sendiri mengakui bahawa dia menggunakan buluh tambahan milik anaknya dan mungkin ia telah digunakan sebagai tempat penyimpanan paku.

“Saya dah habis buluh, pergi ambik buluh spare. Rupanya dia buat main. Nasib memang masak extra untuk makan sendiri. Jadi ganti terus lemang customer,” ujar peniaga tersebut yang membalas komen seorang pengguna.

Setakat ini video perkongsian tersebut telah mendapat 370,700 tontonan, 5356 tanda suka, dan 826 perkongsian. – KOSMO! ONLINE

Mengapa walaun perlu berhenti mengeji?

Harapandaily

Tidak berkesudahan pembangkang terutamanya penyokong Pas atau mesra dipanggil walaun memperlekehkan kerajaan Madani malah mengeji Perdana Menteri.

Padahal, dalam penegasan memerangi genosid dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa menjadi Duta Khas ke Timur Tengah pun tidak selantang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin baru-baru ini, Perdana Menteri membidas kegagalan negara-negara Barat untuk bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza.
Ucapan Anwar di Jerman hangat diperkatakan di seluruh dunia lantaran teguh mempertahankan Palestin dan mengkritik hipokrasi Barat mengenai genosid dilakukan Zionis Israel.
Pemimpin Muslim ke-11 paling berpengaruh di dunia itu tegas mengkritik sikap “selektif” mereka terhadap kekejaman di Palestin yang telah berlarutan tujuh dekad.

Tidak hairanlah pendirian teguh Anwar memperjuangkan keadilan Palestin meraih sokongan individu berpengaruh dalam pelbagai bidang di seluruh dunia.

Di Malaysia, ahli akademik dan agamawan juga memuji kelantangan Perdana Menteri mempertahankan hak rakyat Palestin di hadapan pemimpin Barat.

Sidang media PMX bersama Scholz pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau di Federal Chancellery, Berlin, Jerman pada 12 Mac lalu.
Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, kredit patut diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun berbeza politik kepartian.

“Sehingga hari ini bacaan Qunut Nazilah masih berjalan kerana peperangan di sana (Palestin) masih belum berakhir.

“Kita juga kena beri kredit kepada Perdana Menteri yang sangat berani memberi pandangan yang lantang terhadap saudara kita di Palestin.

“Mungkin kita ada perbezaan sedikit tentang perkara atau pandangan beliau yang lain dalam politik tetapi dalam mempertahankan hak Palestin, sepatutnya kita beri sedikit pujian (kepada Perdana Menteri),” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam podcast Fikrah Dan Hujjah (Siri 15) bertajuk “Ramadan – Antara Adat & Ibadat” baru-baru ini.

Dimoderatorkan oleh Rizal Azizan, turut menjadi panelis ialah Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Mengulas lanjut, Rozaime menyeru agar mana-mana pemimpin di negara ini yang menjadi Perdana Menteri juga seperti Anwar Ibrahim memiliki pendirian teguh memperjuangkan hak Palestin.

“Saya mengajak untuk semua supaya dalam isu Palestin ini, kita semua letak politik kepartian ke tepi. Kita bersatu dan berdiri di atas kepimpinan yang membela rakyat Palestin.

“Walaupun mungkin di luar kita mungkin tak undi dia, dia telah menjadi pemimpin kita. Apabila dia mengeluarkan kenyataan, kita rasa bangga.

“Tak ramai pemimpin Muslim di luar sana yang berani untuk menyatakan pendirian bersama Palestin di hadapan pemimpin Barat.
“Ini satu pendirian yang kita kena sokong dan kita doakan inilah pendirian setiap pemimpin Malaysia apabila mereka menjadi Perdana Menteri.

“Mereka perlu menjadi Perdana Menteri yang tegas kerana kita mahu menghentikan keganasan,” kata Rozaime lagi.

Jika warga dunia dan agamawan di negara ini memuji kesungguhan kerajaan Malaysia yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Palestin, tidak ada sebab walaun masih terus mengeji.

Burung unta 'kesunyian' nekad larikan diri

TERJEMAHAN SINAR HARIAN
Haiwan digelar Tadori itu bagaimanapun berjaya ditangkap dan dihantar semula ke taman ekologi selepas berkeliaran selama hampir sejam di Seongnam. Foto Agensi
SEONGNAM - Pengguna jalan raya di sebuah bandar di Korea Selatan gempar dengan kemunculan seekor burung unta yang kelihatan seperti 'hilang arah' pada Selasa lalu.

Haiwan digelar Tadori itu bagaimanapun berjaya ditangkap dan dihantar semula ke taman ekologi selepas berkeliaran selama hampir sejam di Seongnam.

Menurut laporan Korea Herald, Tadori 'lolos' dari kurungannya melalui celah sempit antara pagar di taman tersebut.

"Mujur tiada orang awam yang cedera. Hanya Tadori yang mengalami kesan lebam ringan pada kakinya," jelas laporan itu lagi.

Penjaganya memaklumkan haiwan itu menunjukkan tanda tertekan dan agresif sejak kematian pasangannya, Tasuni pada bulan lalu.

Difahamkan, kedua-dua haiwan itu diletakkan di dalam kurungan yang sama sejak masih kecil.

Ia bukanlah kali pertama burung unta 'melarikan diri' daripada kurungan.

Pada Januari 2021, spesies sama pernah 'lolos' dari sebuah zoo peribadi di Karachi, Pakistan dan turut berkeliaran di jalan raya.

Kisah haiwan tertekan kerana 'kesunyian' juga pernah berlaku ke atas kuda belang digelar Sero di Seoul Children's Grand Park, kira-kira setahun lalu.

Mamalia jantan itu menunjukkan tanda tertekan dan enggan makan serta bertindak agresif terhadap haiwan lain selepas ketiadaan ibu dan bapanya. - Agensi

Budaya cop saf solat masih berlaku pada tahun 2024?

Sinar Harian 

SOLAT berjemaah terutama di masjid sangatlah digalakkan kerana mendapat ganjaran yang lebih besar berbanding solat sendirian di rumah. Ketika solat berjemaah, ramai yang berebut-rebut nak dapatkan tempat di saf pertama di belakang imam.

Namun, baru-baru ini ada kisah hangat yang menimbulkan perbahasan netizen di media sosial. Selepas tular isu jemaah wanita enggan merapatkan saf, lompong sana-sini, heboh pula kali ini dengan kisah cop saf pertama oleh seorang lelaki warga emas.

Dia beri special memo, menitipkan pesanan kepada jemaah dari luar kariah yang nak solat tarawih supaya hormat budaya di masjid kariah tersebut. Mudah kata, jangan buat macam masjid sendiri bila masuk masjid orang lain.Hormat ‘tuan rumah’. Jangan sesuka hati katanya nak ambil saf yang kosong terutama di barisan paling depan kerana ia sudah ada ‘tuannya’.

Aduhai! Masih ada mentaliti sebegini lagi pada zaman sekarang? Mana dalil yang membezakan ahli kariah dan orang singgah? Boleh bayangkan tak perasaan orang yang datang awal ke masjid dan sudah duduk di depan disuruh pindah ke belakang dengan alasan tempat itu dah ada yang punya?

Bagi Merak Jalanan, individu yang suka cop saf solat ini memang ada masalah hati agaknya. Masalah pada dirinya sendiri. Suka-suka cop tempat solat, macam juga geng suka cop parkir di kawasan perumahan atau di pasar raya.

Masjid rumah ALLAH, hak seluruh umat Islam, bukan milik individu tertentu, bukan milik VIP. Kerana nila setitik, yang lain pun terpalit sama. Kerana sikap beginilah yang menyebabkan segelintir jemaah malas nak ke masjid untuk hadap ‘perangai bukan-bukan’.

Tapi Merak Jalanan harap tak semua yang berperangai seperti warga emas tersebut. Tiada istilah jemaah sebagai pendatang dan orang dagang. Siapa datang awal, dialah dapat saf pertama. Mudahkan?

Dicekup sertai perarakan bakar mercun di simpang lampu isyarat

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Suasana di lokasi kejadian kes bakar mercun di pekan Banting semalam.
KUALA LANGAT – Seorang pekerja bengkel diberkas selepas terlibat dalam satu perarakan bermotosikal yang turut membakar mercun di persimpangan lampu isyarat di pekan Banting di sini, semalam.

Pemeriksaan mendapati lelaki berusia 28 tahun itu turut positif dadah dan memiliki rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai satu perarakan pengebumian dan membakar mercun di lokasi itu pukul 2.28 petang.

Jelas beliau, hasil maklumat membawa kepada penahanan lelaki tempatan itu di sekitar Banting, kira-kira pukul 3.30 petang hari sama.

“Suspek dipercayai menyertai perarakan itu tanpa bertopi keledar bersama beberapa individu bermotosikal lain yang menahan kenderaan awam dan membakar mercun.

“Semakan lanjut mendapati suspek memiliki rekod jenayah dan narkotik manakala saringan air kencingnya didapati positif amphetamine serta methamphetamine,” katanya ketika dihubungi petang ini.

Ahmad Ridhwan memberitahu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, tiga saman berkaitan lalu lintas dikeluarkan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya sedang giat mengesan dua lagi suspek bagi membantu siasatan dan orang ramai
dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan kes itu.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat dimita menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berdekatan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Rancangan televisyen Itali menjemput bayi kembar sembilan


ROME: Bayi kembar sembilan dari Mali yang pernah menggemparkan dunia melakukan penerbangan buat kali pertama ke Eropah selepas menerima undangan untuk muncul dalam rancangan televisyen, Lo Show dei Record. 

Bayi kembar sembilan itu memecahkan Guinness World Records bagi bilangan bayi yang paling ramai hidup selepas dilahirkan pada 2021. Kesemua kanak-kanak itu membesar dengan baik sehingga kini.

Ibu sembilan anak itu, Halima Cisse mengaku bukan senang untuk menjaga mereka lebih-lebih lagi ketika mahu menidurkan kesemua anaknya pada waktu malam. 

“Mereka suka didodoi, jadi, setiap malam saya akan memeluk mereka supaya boleh tidur dengan mudah,” katanya.  

Sejurus melahirkan anak-anaknya pada 4 Mei 2021 menerusi kaedah pembedahan, Halima diterbangkan ke Maghribi oleh kerajaan Mali untuk mendapatkan penjagaan pakar.

Sembilan bayi itu yang terdiri daripada lima anak perempuan dan empat lelaki, dilahirkan ketika usia kandungan 30 minggu. 

Berat mereka ketika dilahirkan adalah antara 500 gram hingga 1 kilogram.

Bayi lelaki bernama Mohammed VI, Oumar, Elhadji dan Bah, manakala bayi perempuan diberi nama Kadidia, Fatouma, Hawa, Adama dan Oumou. 

Pasangan ini turut mempunyai seorang anak sulung, Souda yang kini sudah berusia enam tahun.   

Sebelum ini, rekod itu dipegang oleh wanita dari Amerika Syarikat (AS), Nadya Suleman yang melahirkan lapan bayi pada 2009.  

Setakat ini, belum ada mana-mana kelahiran di dunia yang berjaya mengatasi rekod bilangan bayi paling ramai hidup selepas dilahirkan.-AGENSI
-utusanonline

Sami Buddha Sri Lanka dipenjara kerana hina orang Islam

 BHarianonline 
Anggota polis mengiringi sami Buddha Galagodaatte Gnanasara ke penjara di mahkamah tinggi Colombo. - Foto AFP
Anggota polis mengiringi sami Buddha Galagodaatte Gnanasara ke penjara di mahkamah tinggi Colombo. - Foto AFP
COLOMBO: Mahkamah Sri Lanka hari ini menjatuhkan hukuman kerja buruh selama empat tahun kepada seorang sami Buddha yang berpengaruh kerana menimbulkan kebencian pengikutnya terhadap penduduk minoriti Islam di pulau itu.

Mahkamah Tinggi Colombo mendapati Galagodaatte Gnanasara bersalah menghina orang Islam dengan membuat kenyataan yang meremehkan Islam pada sidang akhbar 2016.

"Sami itu dijatuhi hukuman kerja keras selama empat tahun dan denda 100,000 rupee (RM1,561) dan dia dihantar ke penjara untuk mula menjalani hukumannya." kata seorang pegawai mahkamah.

Gnanasara dituduh menghasut keganasan terhadap umat Islam di negara majoriti agama Buddha itu, di mana kira-kira 10 peratus daripada 22 juta orang menganut agama Islam.

Selain itu, dia dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Wirathu, seorang sami pelampau yang berpangkalan di Myanmar.

Difahamkan ini bukan kali pertama Gnanasara dipenjarakan.

Pada tahun 2018, dia dijatuhi hukuman enam tahun kerana menakutkan isteri seorang kartunis yang hilang dan menghina mahkamah tetapi dia dibebaskan sembilan bulan kemudian selepas bekas presiden, Maithripala Sirisena mengampuninya.

Kemudian, bekas presiden, Gotabaya Rajapaksa menjadikan Gnanasara sebagai ketua panel untuk mengesyorkan pembaharuan undang-undang bagi memastikan keharmonian agama di negara itu. - AFP

Bank dah tak terima duit syiling, habis yang menabung selama ini macam mana?

ROSLAN ZAMAN

Hati bapa manakah yang tidak berbangga apabila anak yang baru berusia empat tahun sudah mula mempunyai kesedaran untuk menabung wang ringgit.

Walaupun belum mempunyai pendapatan, kanak-kanak tersebut gigih mengumpul duit syiling lebihan milik ibu dan bapanya untuk dimasukkan ke dalam tabung.

Berhasrat untuk memberi dorongan kepada anak gadisnya untuk terus menabung, sang bapa mencadangkan agar duit syiling yang sudah banyak itu disimpan di bank.

Melihat wajah anak begitu teruja, lelaki yang dikenali sebagai Salkukhairi itu pergi ke sebuah bank tempatan untuk membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Namun alangkah kecewanya Salkukhairi apabila diberitahu bahawa bank berkenaan tidak menerima deposit pembukaan akaun dengan menggunakan duit syiling.

Hairan dengan polisi bank terbabit, Salkukhairi bagaimanapun tidak terus melatah dan memberi wang kertas miliknya untuk membuka akaun ASB anaknya.

Pihak bank turut memaklumkan bahawa bapa tersebut perlu terus pergi ke pejabat Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) untuk mendepositkan wang syiling itu.

“Adakah wang syiling ini tiada nilai di mata pihak bank sehingga ditolak mentah-mentah begitu sahaja untuk deposit wang syiling. Saya betul-betul tak faham.

“Disebabkan ada hal kecemasan, saya keluarkan wang kertas daripada beg duit sebagai untuk menggantikan duit syiling yang tidak berjaya dideposit itu.

“Terpaksalah saya mengusung semula tabung duit syiling anak saya itu. Rasanya ada dalam tiga ke empat kilo (kilogram),” luah lelaki tersebut di platform atas talian.

Tidak ingin mengecewakan anaknya yang penat menabung, lelaki berkenaan membuat keputusan untuk membawa wang syiling tersebut terus ke pejabat ASNB.

Bersiap sedia dengan lebih awal, Salkukhairi turut mengasing wang berkenaan di dalam beberapa plastik yang berlainan mengikut nilai syiling tersebut.

Salkukhairi sekali lagi merasa hampa apabila pegawai ASNB memberitahu bahawa intitusi berkenaan turut tidak menerima deposit menggunakan wang syiling.

“Maaf encik, kami tidak boleh terima wang syiling. Kalau encik nak masuk wang yiling kena pergi ke bank,” jelas pegawai yang bertugas di kaunter ASNB itu.

Merasa dirinya dilayan bagai bola, Salkukhairi yang tidak dapat menahan emosi itu tampil mempersoalkan tindakan pegawai menolak wang syiling depositnya.

Rupa-rupanya, pegawai ASNB menjelaskan bahawa mereka sebenarnya menerima duit syiling namun proses tersebut memakan masa selama tiga hari.

Tidak berpuas hati, Salkukhairi hairan mengapa polisi yang wujud di Malaysia sering menindas golongan yang kurang berkemampuan ataupun marhaen.

Rumah dipecah masuk, senapang bersama 200 peluru hilang

BERNAMA

Seremban: Selaras senapang bersama peluru milik seorang penoreh getah dilaporkan hilang selepas rumahnya dipecah masuk di Kampung Air Kuning Selatan, Tampin dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Amiruddien Sariman berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian kehilangan senjata api jenis shortgun 12 bore dan 200 peluru itu pada 9.51 malam.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara 2.30 petang hingga 8 malam, mangsa lelaki berusia 60 tahun berada di Gemas ketika kejadian. Turut hilang ialah satu peti simpanan senapang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Fatahulmoin Mat Isa atau Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di talian 06-4431999 atau 06-4411222.

Peniaga jus tembikai masuk tapak jual popia punca gaduh besar

TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI

PETALING JAYA – Bermula dengan perselisihan faham mengenai tapak bazar Ramadan di Taman Medan, di sini, dua peniaga dan anak-beranak akhirnya ‘meletus’ dan bergaduh.

Difahamkan, perselisihan faham dan pergaduhan bermula pada Selasa lalu di antara peniaga wanita yang berniaga jus tembikai dan peniaga lelaki yang menjual popia.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, peniaga lelaki terbabit tidak berpuas hati dan mendakwa peniaga wanita masuk ke kawasan tapak perniagaannya.

“Disebabkan kejadian itu, terjadi pertengkaran antara mereka berdua sehingga peniaga lelaki memukul wanita itu dengan sebatang besi dan berlaku kekecohan.

“Mereka dibawa ke balai polis dan kedua-duanya telah berpakat untuk menyelesaikan secara baik kerana sudah lama kenal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Bagaimanapun, anak-anak kepada peniaga lelaki terbabit bertindak menyerang anak saudara wanita yang sedang berniaga kira-kira pukul 5.30 petang semalam kerana masih tidak berpuas hati.

“Kita menahan kesemua mereka yang terlibat merusuh terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

“Mereka direman dua hari bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan kerana merusuh mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Pilu tidak dapat ziarah jenazah isteri kerana tiada duit tambang

KOSMO
Wakyani pilu tidak dapat pulang ke rumah apabila isterinya meninggal dunia kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar tambang pengangkutan awam, - TRIBUNJABAR
JAKARTA  – Seorang penjual susu warga emas tidak dapat pulang ke rumah apabila isterinya meninggal dunia kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar  tambang pengangkutan awam, lapor akhbar TribunJabar semalam. 

Kisah sedih itu tular di media sosial selepas dimuat naik dalam akaun TikTok @_nautami.

Penjual susu berusia 80 tahun bernama Wakyani itu berasa pilu kerana tidak dapat menatap wajah isterinya buat kali terakhir dan mengerjakan solat jenazah. 

Wakyani berkata, isterinya meninggal dunia di kampung ketika dia mengembara jauh. Oleh kerana kewangannya sempit, dia tidak mempunyai wang membayar tambang untuk pulang ke rumah.

“Saya tidak boleh bayangkan bagaimana isteri saya meninggal dunia seminggu lalu tetapi saya tidak boleh menemani dan berdoa kerana saya tidak mempunyai wang untuk pulang ke rumah,” kata Wakyani sambil menangis ketika menceritakan kisahnya. 

Wakyani dilihat bekerja keras menolak troli jualannya tanpa jemu, biarpun dalam hujan.

Video tersebut tular di media sosial dan mendapat lebih 1.2 juta tontonan. Ramai netizen menyalurkan derma bagi membantu membiayai  kos Wakyani untuk pulang ke kampung halamannya. – AGENSI

Semua PM setuju isu subsidi bersasar

Harapandaily

Semua Perdana Menteri bersetuju bahawa pelaksanaan dasar subsidi bersasar adalah untuk kebaikan rakyat.

Sejak zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak lagi, polisi mengenai subsidi bersasar disebut.

Semasa membentangkan Belanjawan 2017, Najib berkata, dasar subsidi bersasar perlu menggantikan subsidi pukal.

Menurutnya, dasar subsidi pukal jelas membebankan kewangan negara dan menggalakkan ketirisan.

Era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, mekanisme subsidi bersasar juga ditekankan.

Ketika itu, kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan subsidi petrol bersasar sampai kepada golongan yang layak.

Seterusnya, Tan Sri Mahiddin Mohd Yassin pula sependapat bahawa hanya golongan sasar iaitu mereka dalam kumpulan B40 dan B60 sahaja berhak menerima subsidi.

Mahiaddin juga tahu pada masa ini semua pihak tanpa mengira status kaya atau miskin, warga asing atau tempatan menikmati subsidi yang sama.

Malah, beliau sendiri pernah menyatakan bahawa kajian mendapati 50 atau 51 peratus daripada subsidi kerajaan digunakan oleh mereka dalam kategori orang berada.

Melangkah ke era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,kerajaan ketika itu sedang mencari mekanisme terbaik untuk merangka subsidi bersasar.

Usaha itu, kata Ismail bagi memastikan rakyat yang berhak tidak tercicir atau tertinggal daripada menikmati subsidi itu.

Sehubungan itu, tindakan pembangkang pada masa ini yang terus menerus mempersoalkan pelaksanaan subsidi bersasar selain menyindir kenaikan harga barang dilihat hanya permainan politik kepartian yang tidak menguntungkan rakyat.

Mayat tergantung pada pokok

Amirul Aiman Hamsuddin
bhnews@bh.com.my

HULU SELANGOR: Seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan tergantung pada dahan pokok berdekatan tangki air di Kampung Sekolah, Batang Kali, di sini.

Penemuan mayat berkenaan dilaporkan kepada polis oleh orang awam pada jam 7.15 semalam sebelum sepasukan anggota pasukan keselamatan itu dihantar ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata petugas perubatan dari Hospital Kuala Kubu Bharu juga tiba tidak lama kemudian sebelum mengesahkan kematian mangsa.

"Semakan mendapati mangsa berusia 42 tahun dan warga tempatan. Mayat lelaki itu lengkap berpakaian kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan mati mengejut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mana pergi 14 juta kampit beras tempatan

Mohammad Arif Nizam

PUCHONG – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) menyifatkan isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) di negara ini masih belum selesai sehingga hari ini.

Ketua Petugas Khas Pemantauan kepada Kluster Makanan NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ini kerana pemeriksaan dan tinjauan ke 173 lokasi di kedai dan pasaraya besar terpilih mendapati hanya tujuh lokasi menjual BPT

Namun yang menghairankan katanya, beras putih import (BPI) tidak pula berdepan kekurangan stok di pasaran.

“Isu beras belum selesai dan petugas saya telah ke 173 lokasi seperti pasaraya-pasaraya dan daripada jumlah itu, yang hanya ada beras putih tempatan di tujuh lokasi sahaja. Ini hari yang kelapan selepas keputusan mesyuarat (NACCOL) dibuat.

“BPI tiada masalah dan sentiasa ada, dan ini menghairankan kita padahal BPT sepatutnya 60 peratus dan BPI sebanyak 40 peratus. Tetapi sampai hari kita buat tinjauan tiada BPT dan ia menghairankan,” katanya, di sini, semalam.
WhatsApp-Image-2024-03-28-at-12
Antara Ahli Parlimen BERSATU yang hadir majlis berbuka puasa di rumah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (tengah).
Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin Hafiz menjelaskan, beliau membuat laporan kepada perdana menteri setiap kali membuat lawatan dan pemeriksaan menujukkan sistem penghantaran BPT telah gagal di pasaran negara ini.

“Selepas perdana menteri membuat keputusan mesyuarat (NACCOL) dan diberi jaminan diberikan Ketua Pengarah (LP) Kawal Selia Padi, keberadaan 140,00 tan metrik bersama 14 juta kampit sedia disedarkan, namun tak dapat diedarkan.

“Jadi apa berlaku gagalnya sistem penghantaran. Maka orang yang gagal mesti bertanggungjawab dan KP Kawal Selia Padi kena jawab mana pergi 140,000 tan metrik atau 14 juta kampit.

“Beliau sebut ada kilang, kilang mana akan keluarkan dan jelaskan kepada rakyat. Berapa kilang terlibat dan mana kilang? Kalau kilang jawab hantar ke mana dan jadi rakyat jelas. Dan ini yang berlaku orang salahkan perdana menteri. Sedangkan beliau penuh ambil berat untuk kurang kos sara hidup rakyat dan edar BPT berharga RM26,” katanya. – MalaysiaGazette