"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

(Gambar) Budak didakwa bawa iPad pada 1941

KOSMO!
SEORANG budak lelaki (kanan) mengepit peralatan yang didakwa sebagai iPad pada 1941. - Foto Alamy
WASHINGTON  – Sekeping gambar hitam putih yang dirakam pada tahun 1941 mencetuskan ‘kekecohan’ di internet tentang kewujudan komputer riba keluaran syarikat Apple, iPad, lapor akhbar The Sun semalam.

Gambar itu dirakam oleh Edwin Rosskam di South Side Chicago, Amerika Syarikat (AS). Ia  menunjukkan ramai kanak-kanak beratur untuk memasuki pawagam.

Imej budak lelaki paling kanan telah menarik perhatian netizen.

Ahli-ahli teori konspirasi bermata tajam percaya bahawa mereka melihat budak lelaki itu mengepit sebuah iPad.

Generasi pertama iPad dikeluarkan pada 2010, 69 tahun selepas gambar itu dirakam.

Gambar itu disiarkan di platform Reddit dan mendapat pelbagai komen daripada netizen.

Seorang netizen menulis: “Bagaimanakah kanak-kanak pertama dalam barisan ini memegang Apple iPad pada tahun 1941?”

Namun, seorang netizen menulis bahawa apa yang dilihatnya ialah budak itu membawa sebuah buku.

Satu perkara yang dipersetujui oleh ramai netizen ialah kesemua budak itu memakai pakaian sopan dan bergaya ketika beratur untuk menonton filem. – AGENSI

Membuka pintu kecemasan ketika kapal terbang: Penumpang diarah bayar lebih RM2 juta

KOSMO!
GAMBAR fail pintu pesawat yang dibuka oleh Lee. Foto News 1 GAMBAR fail pintu pesawat yang dibuka oleh Lee. Foto News 1
SEOUL  – Seorang lelaki diperintahkan membayar ganti rugi lebih  700 juta won (RM2.26 juta) kepada syarikat penerbangan Asiana Airlines kerana membuka pintu pesawat pada pertengahan tahun lalu, lapor portal berita VnExpress kelmarin.

Mahkamah Daerah Daegu, Korea Selatan memutuskan bahawa penumpang berusia 32 tahun yang hanya dikenali dengan nama keluarga Lee perlu membayar jumlah ganti rugi itu.

Ini adalah  kerana dia telah melakukan kemusnahan dan kerosakan harta benda, demikian menurut akhbar Korea, Joongang Daily.

Mahkamah sama turut memutuskan bahawa tindakan Lee menyebabkan para penumpang terpaksa turun daripada  pesawat tersebut dengan menggunakan gelongsor kecemasan.

Pada Mei tahun lalu, semasa penerbangan dari Jeju ke Daegu dengan 194 penumpang berada di dalam pesawat tersebut, Lee membuka pintu kecemasan ketika kapal terbang itu bersiap sedia untuk mendarat pada ketinggian antara 213 hingga 243 meter. 

Insiden itu menyebabkan sembilan penumpang dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas.

Lee kemudiannya ditangkap oleh polis kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan dan menyebabkan kerosakan pada pesawat.

Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan menganggarkan kos pembaikan untuk pintu kecemasan yang rosak dan gelongsor adalah sekitar 640 juta won (RM2.07 juta), lapor Korea Bizwire. – AGENSI

Kanak-kanak 10 tahun hilang di masjid

HARRITH HISHAM
Mohammed Ahil Sekh.
HULU SELANGOR – Polis sedang mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang sejak malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, mangsa, Mohammed Ahil Sekh Abdul Alim dipercayai kali terakhir dilihat di Masjid Madrasah Tahfiz al-Quran Al Walid, Bukit Beruntung kira-kira pukul 8.20 malam.

“Kanak-kanak tersebut yang berbangsa India dan beragama Islam menetap di Bukit Sentosa, Rawang.

“Mangsa kali terkahir dilihat memakai baju bewarna merah lengan panjang berlogo Manchester United serta berseluar panjang hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan kanak-kanak terbabit boleh menghubungi pegawau penyiasar jenayah Inspektor Muhamad Adib Muhamad Helmi di talian 0360641222. – KOSMO! ONLINE

Kedah: Air melimpah di Kedah, empat kampung dilanda banjir kilat

Harapandaily

Sekurang-kurangnya empat kampung sekitar Yan, Kedah dilapor terkesan akibat banjir kilat selepas hujan lebat lebih sejam.

Air deras melimpah dari pergunungan di kawasan air terjun Seri Perigi dan Titi Hayun, di Yan menyebabkan beberapa sungai turut dilimpahi air.

Antara kampung yang terkesan adalah Kampung Seberang Pekan Yan, Kampung Raga, Kampung Ruat dan Kampung Titi Bakong.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali menasihatkan penduduk sentiasa berwaspada untuk sebarang kemungkinan, memetik BH Online.

Beliau turut menasihatkan pengunjung mengelak berkunjung ke kawasan peranginan terbabit buat masa ini, selain berhati-hati serta waspada dengan perubahan air di kawasan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sejak beberapa tahun lalu, limpahan air deras akibat kejadian kepala air dari kawasan peranginan Air Terjun Seri Perigi dilapor kerap berlaku.

Pada Mei 2023, kawasan air terjun Titi Hayun dan Seri Perigi dilanda kepala air dengan limpahan air deras turun dari puncak bukit selepas hujan lebat.

Hujan lebat di atas puncak Gunung Jerai menyebabkan air mengalir deras dan kepala air berlaku.

Paling menggemparkan tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kawasan itu pada 18 Ogos 2021 yang meragut tujuh nyawa.

Lebih 2,000 kediaman penduduk terjejas manakala kawasan peranginan itu dipenuhi lumpur dan kayu selain permukaan tar jalan turut rosak akibat kejadian kepala air.

Lelaki parah ditetak parang akibat cemburu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan kerana menetak mangsa dengan parang hingga parah di tepi Jalan Kampung Dew, Taiping, Rabu lalu.

Ketua Polis Taiping, Mohamad Nasir Ismail, berkata laporan diterima sekitar 7.20 malam daripada isteri suspek yang memaklumkan suaminya menetak mangsa berusia 29 tahun.

Menurutnya, mangsa yang parah di belakang badan, bahu dan tangan dihantar ke Hospital Taiping dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Taiping digerakkan bagi mengesan suspek berusia 25 tahun.

Suspek yang memandu kereta ditahan di sekitar Taiping kira-kira lima jam kemudian, katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada rasa cemburu suspek.

Katanya, suspek direman enam hari hingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Lelaki separuh bogel curi pakaian dalam wanita ditahan

Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan bersama beberapa pakaian dalam wanita dipercayai di curi dari asrama sebuah kolej di Likas, di sini, Selasa lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam selepas ditemui dalam keadaan mencurigakan dan hanya berseluar dalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kejadian disedari mangsa seorang wanita yang juga penuntut kolej berusia 21 tahun.

Katanya, mangsa mendapati pintu utama asramanya dalam keadaan terbuka sebelum menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam asrama berkenaan.

"Ketika ditemui, suspek dalam keadaan separuh bogel dengan hanya berseluar dalam.

"Bimbang dengan keselamatan dirinya, mangsa terus membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasim berkata, bertindak atas laporan, suspek yang membawa beg sandang ditahan di lokasi sama sejurus selepas itu.

Katanya, hasil pemeriksaan pada beg sandang berkenaan, polis menemui beberapa pakaian dalam wanita dipercayai dicuri suspek.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379/448 Kanun Keseksaan," katanya.

Wanita Turkiye-Amerika mati ditembak di Tebing Barat

AFP
AYSENUR Ezgi Eygi. FOTO Pergerakan Solidariti Antarabangsa
AYSENUR Ezgi Eygi. FOTO Pergerakan Solidariti Antarabangsa
Baitulmaqdis: Seorang wanita Turkiye-Amerika mati ditembak pada Jumaat ketika menyertai demonstrasi menentang penempatan Israel di bandar Beita, Tebing Barat yang diduduki rejim, di mana tentera Israel mengakui melepaskan tembakan.

Turkiye mengenal pasti wanita itu sebagai Aysenur Ezgi Eygi dan negara berkenaan mengecam kematian itu, manakala Amerika Syarikat (AS) menggelarnya sebagai peristiwa tragis seterusnya mendesak sekutunya Israel untuk menyiasat.

Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, tentera Israel membunuh Aysenur dengan "tembakan di kepala", manakala seorang jurugambar AFP melihat pegawai perubatan membawanya ke hospital Nablus dengan kepalanya dibalut.

PBB berkata, Aysenur , 26, menyertai protes antipendudukan secara aman di Beita, tempat demonstrasi mingguan.

Penempatan Israel di Tebing Barat yang menjadi tempat tinggal kira-kira 490,000 orang adalah penempatan haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Aysenur tiba di hospital Rafidia di Nablus, dengan kesan tembakan di kepala dan kemudian disahkan meninggal dunia, kata pengarah hospital, Fouad Nafaa.

Turkiye berkata, Aysenur dibunuh oleh askar Israel, dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan mengutuk tindakan Israel sebagai biadab.

Sekutu utama Israel, Washington berkata, ia sudah menghubungi kerajaan itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Kami amat terganggu dengan kematian tragis seorang warga Amerika," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karine Jean-Pierre.

Qatar, negara pengantara utama dalam rundingan gencatan senjata untuk menamatkan perang Gaza juga mengutuk pembunuhan oleh tentera pendudukan Israel terhadap Aysenur dengan menyifatkannya sebagai jenayah keji.

"Sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa dalam menghadapi pelanggaran yang mengerikan ini adalah insentif baharu untuk (pihak) pendudukan untuk melakukan lebih banyak kekejaman," kata satu kenyataan kementerian luarnya.

Aysenur adalah ahli Pergerakan Solidariti Antarabangsa (ISM), sebuah organisasi pro-Palestin, dan berada di Beita untuk demonstrasi mingguan menentang penempatan Israel, kata Neta Golan, pengasas bersama kumpulan itu.

Datuk Bandar Beita Mahmud Barham berkata, beliau diberitahu seorang askar Israel melepaskan dua das tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membantah sebuah pos penempatan Israel, dengan satu peluru mengenai Aysenur di kepala.

Bingung telur rebus tiada kuning telur

KOSMO!
TELUR rebus yang tidak mengandungi bahagian kuning di Okinawa. - Foto @tsudajunko/X/@Ritta_wander
TOKYO – Seorang wanita di Jepun terkejut apabila dia tidak menemui bahagian kuning ketika memecahkan sebiji telur rebus, lapor portal berita MSNews semalam.

Penemuannya  dimuat naik di media sosial sekali gus menjadi tular dan menarik minat ramai netizen. 

Video wanita itu telah menarik lebih 3 juta tontonan dan 88,000 tanda suka di media sosial. 

Ia mendapat lebih 140 komen daripada netizen yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai telur misteri itu.

Dia juga menyiarkan beberapa kemas kini untuk menjelaskan pertanyaan tentang masalah tersebut. 

Wanita itu berkongsi bahawa dia telah membeli telur tersebut di sebuah pasar tani di Itoman, Okinawa.

Bagaimanapun, menurut netizen, telur itu tidak mempunyai bahagian kuning adalah hasil daripada ayam-ayam yang diberi hanya makanan  nasi. 

Menurut laman web Allrecipes.com, warna kuning telur dipengaruhi secara langsung oleh makanan ayam. 

Kuning telur itu diperoleh kerana ayam betina memakan makanan yang kaya dengan xanthophylls dan provitamin A. – AGENSI

Terengganu: Lebih separuh orang dewasa Terengganu alami obesiti

Sebanyak 51 peratus daripada golongan dewasa di Terengganu mengalami masalah obesiti atau berlebih berat badan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dr Kasemani Embong berkata data itu diperolehi hasil daripada tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada tahun lalu.

Katanya kadar obesiti di Terengganu juga didapati meningkat iaitu daripada 47.5 peratus pada 2015 menjadi 49 peratus pada 2019.

"Masalah obesiti atau lebih berat badan paling tinggi dalam kalangan individu berusia 25 hingga 50 tahun.

"Boleh dikatakan satu daripada dua orang dewasa di Terengganu berdepan masalah berkenaan.

"Situasi ini agak merisaukan kerana boleh membawa risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi yang turut mencatatkan peningkatan kes setiap tahun," katanya.

Kasemani berkata demikian selepas merasmikan sambutan Funwalk 10,000 Steps & Wellness Hub Open Day di Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus hari ini.

Seramai 1,000 peserta termasuk warga JKNT dan komuniti setempat menyertai acara yang bertujuan membudayakan gaya hidup sihat melalui senaman serta pemakanan itu.

Dalam perkembangan lain, Kasemani berkata, setakat ini tiada jangkitan cacar monyet (mpox) di Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, JKNT turut membuat persiapan dengan memberi taklimat kepada pegawai perubatan dan kakitangan di hospital serta klinik kesihatan mengenai ancaman jangkitan.

"Ekoran pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi keutamaan antarabangsa, kami turut bersiap siaga dengan memberikan taklimat kepada petugas hospital bagi memastikan mereka tahu apa perlu dibuat sekiranya ada kes dilaporkan," katanya.

- Bernama

Tuduhan beri tanah kepada Vincent Tan: Izham saman Harakah, Zaharah Sulaiman

Harapandaily

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim akan mengambil tindakan mahkamah terhadap lidah rasmi Pas, Harakah dan aktivis sejarah, Zaharah Sulaiman.

Beliau menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap Harakah dan Zaharah berhubung tuduhan kononnya kerajaan Selangor memberi tanah sepanjang Sungai Klang kepada pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan.

“Ini adalah fitnah! Kita akan teliti dan bincang untuk ambil tindakan undang-undang terhadap Harakah dan puan (Zaharah Sulaiman) yang membuat kenyataan ini,” katanya menerusi akaun X.

Terdahulu, tular petikan video ucapan Zaharah yang mendakwa kerajaan Selangor memberi Vincent Tan tanah sepanjang Sungai Klang.

“Susah sangat ke untuk mendalamkan sungai sampai harga RM10 bilion?” katanya disiarkan Harakahdaily.

Wanita berkenaan juga berkata, projek mendalamkan sungai itu boleh diserahkan kepada syarikat kontraktor kelas A terdiri daripada orang Melayu yang dakwanya, tiada kerja pada masa ini.

“Kenapa tidak dibahagi-bahagikan satu projek yang besar kepada seramai mungkin kontraktor yang tiada projek hari ini,” ujarnya.

Tuduhan pemberian tanah percuma kepada Vincent Tan dilihat mula dibangkitkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Ogos tahun lalu.

Menteri Besar Kedah itu dalam Jelajah Mega PN Best Sayangi Kedah Sejahtera di Dataran Darul Aman, Jitra, mendakwa wujud skandal antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan Vincent yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Tuduh Sanusi lagi, sebagai timbal balas, taikun berkenaan akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan Selangor sekitar RM180 juta.

Pemuda maut jerut leher sebab tertekan dengan isteri

SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Mayat pemuda warga asing ditemui dalam kereta di Bagan Ajam, kelmarin.
SEBERANG PERAI – Angkara mengalami tekanan perasaan setelah berdepan masalah dengan isteri di kampung dipercayai menjadi punca seorang pemuda warga asing bertindak menjerut leher dan badannya dengan tali pinggang keledar kereta hingga maut, kelmarin.

Mayat lelaki berusia 19 tahun itu ditemui orang awam di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di tapak letak kenderaan terpakai di Bagan Ajam, di sini, kira-kira pukul 2 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman, hasil siasatan awal mendapati mangsa dijumpai terbaring dengan bahagian leher serta badannya terjerut tali pinggang bahagian tempat duduk belakang.

“Siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah yang dikesan di tempat kejadian dan mayat mangsa kemudiannya hantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa yang mengalami tekanan perasaan baru sahaja datang dari Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah kedai cuci kereta lebih kurang tiga hari.

“Ia susulan rakan sekerjanya sering mendengar mangsa sering bertengkar semasa berhubung bersama isterinya melalui telefon,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Lelaki fitnah anggota polis terkorban insiden Ulu Tiram ditahan

BERNAMA

Ipoh: Polis menahan seorang lelaki tempatan berkaitan hantaran komen berbaur fitnah menerusi Facebook terhadap anggota polis yang terkorban dalam insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai dakwaan fitnah berkenaan daripada waris keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pada 29 Ogos lalu.

"Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang juga pemilik akaun Facebook berkenaan di sebuah rumah di Masai, Johor, pada 8 malam Khamis lepas.

"Polis merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang bekerja di sebuah kilang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Naim berkata, suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001.

Dalam kejadian pada 17 Mei lepas, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terkorban akibat ditembak serta ditetak dalam serangan dilakukan seorang lelaki berusia 21 tahun yang turut maut dalam serangan berkenaan.

Selain Ahmad Azza Fahmi, 22, kejadian itu turut mengorbankan Muhamad Syafiq, 24 yang ketika itu masing-masing berpangkat konstabel dan kedua-duanya dinaikkan pangkat secara posthumous (anumerta) kepada Koperal pada 14 Jun lepas.

Terdahulu, dalam hantaran komen tular di media sosial itu, seorang pemilik akaun menggunakan nama 'Wan Qayyum' dipercayai suspek menulis komen mendakwa mangsa insiden serangan Balai Polis Polis Ulu Tiram mengambil rasuah.

Semakin tak ramai orang Cina

Mohsin Abdullah

Berdasarkan kalendar Cina, tahun ini Tahun Naga. Ia dikaitkan dengan kehebatan dan segala macam kebaikan kerana naga mengikut kepercayaan masyarakat Cina ialah mahluk agung. Oleh itu juga ramai percaya Tahun Naga ialah tahun paling bagus bagi pasangan suami isteri dikurnia anak. Malangnya perangkaan kelahiran bayi Cina tahun ini tidak menunjukkan angka yang diharapkan. Malah perangkaan mengenai perkahwinan pasangan Cina juga menurun sejak kemuncaknya pada 2016.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia jumlah kelahiran sehingga suku kedua tahun 2024 merekodkan penurunan sebanyak 10.2% iaitu 100,732 berbanding 112,197 kelahiran untuk tempoh yang sama tahun lalu. Pasangan suami isteri Melayu menyumbang 67.4% daripada jumlah kelahiran bagi suku kedua tahun ini. Untuk tempoh yang sama tahun 2023 kelahiran Melayu adalah 67.1%. Ertinya jumlah kelahiran Melayu meningkat. Kelahiran kaum Bumiputera lain juga menunjukkan peningkatan yakni 12.9% — naik daripada 12.5 yang direkod tahun lalu.

Bagi masyarakat Cina kelahiran menurun 9.7% manakala masyarakat India juga mengalami penurunan yakni 3.7%.

Pada 14 Februari lalu Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin menggunakan Hari Mengingati Kekasih atau Valentine’s Day untuk membuat posting di Facebook mengenai perkahwinan dan kelahiran anak. Menurut Sim, beliau curious mengapa tidak ramai bayi Cina dilahirkan. Hasil penelitiannya didapati hanya 40,000 bayi Cina dilahirkan berbanding 423,124 kelahiran yang dicatatkan pada 2022. Itu kata beliau adalah kurang 10% daripada kelahiran keseluruhan.

Menurut Sim, perangkaan rasmi juga menunjukkan perbezaan ketara kadar perkahwinan am atau General Marriage Rates antara orang Muslim dan bukan Muslim. Apabila saya tengok statistik saya dapati masyarakat Cina Malaysia bukan sahaja tidak punya ramai anak tetapi juga tidak ramai yang berkahwin. Itu hakikat walaupun tentu mereka ada sebab tersendiri.

Statistik kata beliau menunjukkan bagi setiap 1,000 Muslim, 61 perkahwinan berlangsung manakala bagi bukan Muslim hanya 22 perkahwinan bagi setiap 1,000 orang bukan Muslim. Ini perangkaan tahun 2021.

Boleh disimpulkan semakin ramai orang Cina atau masyarakat bukan Islam yang membujang dan terus stay single, kata Sim. Jelas tren ini berlarutan sehingga ke hari ini. Seperti dikatakan tadi tahun ini pun tidak menyaksikan banyak perkahwinan pasangan Cina walaupun ini Tahun Naga yang dikatakan ideal untuk mendirikan rumah tangga.

Kata Sim ini mempunyai impak ke atas kadar kelahiran khususnya dalam kalangan masyarakat Cina — less mariages less babies. Lantas beliau menyarankan pasangan Cina get married and have babies.

Namun saranan itu tidak disenangi ramai terutama netizen masyarakat Cina. Sim dikritik dan dituduh tidak sensitif terhadap faktor sara hidup yang meningkat, beban kewangan apabila mempunyai anak, dan peralihan nilai masyarakat atau shifting societal values.

Adakah keadaan akan berubah tahun depan? Rasanya tidak jika mengambil kira kepercayaan masyarakat Cina. Ikut kalendar Cina tahun 2025 adalah Tahun Ular dan menurut kepercayaan orang Cina perkahwinan tidak sesuai diadakan pada Tahun Ular.

Menurut akhbar The Star walaupun ramai dalam kalangan orang muda masyarakat Cina tidak berpegang akan kepercayaan seperti itu, didapati juga tempahan untuk dewan dan restoran yang biasanya digunakan untuk majlis perkahwinan dilapor agak lesu.

Berdasarkan fakta dan statistik rasmi kesimpulannya ialah populasi atau penduduk orang Melayu-Islam kian bertambah manakala masyarakat bukan Melayu khususnya Cina berkurangan.

Ini berita baik kepada golongan yang bimbang dan takut orang Cina akan mendapat kuasa politik dan menguasai dan memerintah negara ini secara mutlak. Rilek lah bro dan sis… Orang Cina makin lama makin tak ramai.

Begitu juga golongan yang tidak suka akan kewujudan sekolah Cina. Bak kata Ahli Parlimen Bayan Baru yang disebut tadi kekurangan kelahiran bayi etnik Cina sejak sedekad lalu menimbulkan persoalan terhadap sistem pendidikan Cina atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Tiada pelajar tiada sekolah. Adakah SJKC akan bertahan, tanya beliau.

Realitinya jumlah rakyat Malaysia keturunan Cina mengecil dan terus mengecil. Bagi saya ini bukan sesuatu yang menggembirakan walaupun saya dilahir dan dibesarkan di Kampung Baru, penempatan orang Melayu di tengah-tengah kota Kuala Lumpur.

Bagi saya kecemerlangan negara ini jika mahu dicapai ialah dengan tenaga dan usaha semua rakyatnya — apa jua bangsa dan agama. Jurang perbezaan antara majoriti dan minoriti eloklah diimbangi. Meskipun tidak seimbang pada saya majoriti tidak terlalu besar, minoriti tidak terlalu kecil.

Sekolah ajar kemahiran mencuri

KOSMO!

NEW DELHI – Tiga buah kampung di negeri Madhya Pradesh, tengah India terkenal kerana mempunyai ‘sekolah’ untuk melatih kanak-kanak miskin mencuri, demikian menurut saluran berita NDTV kelmarin.

Ada ibu bapa menghantar anak mereka yang berumur sekitar 13 tahun ke sekolah tersebut yang digelar sebagai ‘sekolah pencuri’. Kanak-kanak terbabit akan menyertai kumpulan penjenayah tempatan dan menerima latihan kemahiran mencuri.

Kurikulum sekolah itu termasuk menyeluk saku, meragut beg di tempat sesak, mengelak daripada polis, menjual arak, berjudi dan tahan dibelasah.

Ibu bapa perlu membayar sebanyak 200,000 rupee (RM10,321) hingga 300,000 rupee (RM15,482) sebagai yuran selama setahun untuk anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah tersebut.

Mereka dilatih untuk bergaul dengan keluarga kaya supaya dapat menghadiri majlis perkahwinan masyarakat kaya yang paling eksklusif untuk mencuri barangan kemas.

Polis menyatakan bahawa lebih 300 kanak-kanak dari sekolah sedemikian terlibat dalam jenayah mencuri dalam majlis perkahwinan di seluruh India.

“Sukar untuk polis mengambil tindakan memandangkan kebanyakan penjenayah terbabit adalah kanak-kanak atau remaja bawah umur,” kata pegawai polis tempatan, Inspektor Ramkumar Bhagat.

Menurutnya, lebih 300 kanak-kanak dari sekolah-sekolah sedemikian didapati terlibat dalam aktiviti mencuri semasa majlis perkahwinan di serata India.

Pada 8 Ogos lalu semasa satu majlis perkahwinan mewah di bandar Jaipur, barat laut India, seorang pencuri melarikan barang kemas berharga 15 juta rupee(RM77,431) bersama wang tunai berjumlah 100,000 rupee (RM5,162).

Mereka yang didapati bersalah kerana mencuri di India berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. – AGENSI

Hanya kerana tersalah masuk barisan, murid ditampar guru

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

Kuala Selangor: Hanya kerana tersalah masuk barisan, seorang murid Tahun Dua ditampar guru lelaki di sebuah sekolah rendah di daerah ini, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia lapan tahun selesai menjalani latihan rumah sukan dan diminta beratur mengikut kelas masing-masing sebelum pulang ke rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, terdahulu ibu mangsa yang mengambil anak lelakinya kira-kira 5.50 petang mendapati ada kesan bengkak pada pipi kanan.

"Apabila pengadu bertanya kena apa, mangsa memaklumkan ditampar seorang guru lelaki kerana tersalah masuk barisan.

"Pengadu kemudian membawa anaknya ke sebuah klinik swasta dan doktor memberitahu pipi mangsa sakit disebabkan kesan pukul," katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Mohd Ambia berkata, ibu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jeram kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati guru lelaki terbabit menampar mangsa dengan menggunakan tangan kanan dan menampar secara tangan belakang (backhand) sebanyak satu kali.

"Mangsa menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang dan ulasan doktor terdapat soft tissue injury (kecederaan tisu lembut)," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Bayi lelaki 8 bulan ditemukan meninggal dunia di taska

Amir Mamat
am@hmetro.com.my
BEBERAPA ahli keluarga mangsa dilihat di Hospital Alor Gajah, sebentar tadi. FOTO Amir Mamat
BEBERAPA ahli keluarga mangsa dilihat di Hospital Alor Gajah, sebentar tadi. FOTO Amir Mamat
Alor Gajah: Bayi lelaki berusia lapan bulan ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah taska di Kelemak, di sini, hari ini.

Bayi berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 9.15 pagi tadi.

Difahamkan, bayi terbabit baru beberapa hari dihantar ke taska berkenaan.

Tinjauan di lokasi kejadian kira-kira 7.30 malam ini mendapati pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berada di premis terbabit bagi menjalankan siasatan lanjut.

Perkarangan Unit Forensik Hospital Alor Gajah turut dipenuhi ahli keluarga dan kenalan ibu bapa bayi terbabit yang menunggu proses bedah siasat dijalankan.

Dilaporkan, bayi berkenaan akan dikebumikan pada malam ini sejurus selesai proses bedah siasat.

Malaysia peroleh kemenangan mutlak, Mahkamah Agung Belanda tolak rayuan pihak Sulu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kerajaan memperoleh kemenangan akhir yang penting hari ini susulan keputusan Mahkamah Agung Belanda menolak rayuan oleh kumpulan Sulu, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Beliau berkata keputusan luar biasa itu menyokong keputusan dibuat Mahkamah Rayuan The Hague pada 27 Jun 2023, sekali gus menamatkan cubaan kumpulan terbabit untuk menguatkuasakan tuntutan terhadap Malaysia.

(Keputusan dibuat Mahkamah Rayuan The Hague) mengangkat usaha Malaysia mencabar permohonan pihak menuntut itu di Belanda bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan ‘Final Award’ diberikan Dr Gonzalo Stampa di Paris pada 28 Februari 2022, katanya di Facebook.

Pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan The Hague menolak permohonan lapan individu yang mendakwa waris bekas Kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan award USD15 bilion yang diperolehi dalam timbang tara terhadap kerajaan Malaysia.

Mahkamah Rayuan Paris pada 16 Mac lalu mengekalkan perintah menangguhkan penguatkuasaan award akhir di Perancis yang diperolehi pada 12 Julai 2022, sementara menunggu keputusannya.

Kumpulan terbabit berusaha menyita aset kerajaan di Perancis, Belanda, dan Luxembourg selepas sebuah mahkamah timbang tara di Paris dikendalikan Stampa sebelum ini menganugerahkan award USD14.9 bilion kepada mereka.

Hakim di The Hague berkata keputusan hakim di Paris untuk menangguhkan penguatkuasaan award itu bermakna tuntutan mereka tidak boleh dikuatkuasakan di Belanda.

Stampa didakwa pada Disember tahun lalu atas tuduhan menghina mahkamah dan tiada kelayakan amalan profesional kerana mengingkari keputusan mahkamah Madrid untuk membatalkan kes tuntutan Sulu.

Bila kerbau betina naik angin...

Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my
MOHD Arshad menunjukkan kecederaan dialami akibat ditanduk kerbau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.

MOHD Arshad menunjukkan kecederaan dialami akibat ditanduk kerbau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Kuala Pilah: Dua kali ditanduk kerbau, itu kejadian malang yang menimpa seorang warga emas berusia 63 selepas ditanduk seekor kerbau betina.

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah kolam udang di Kampung Jumbang, Seri Menanti jam 5.30 petang Rabu lalu, Mohd Arshad Lebar mengalami luka di bahagian dada akibat ditanduk kerbau berkenaan.

Dia yang juga pekerja di kolam udang berkenaan berkata ini kali pertama dia diserang dan ditanduk kerbau biasanya berada di sekitar kawasan itu.

Katanya ketika kejadian ada sekumpulan kerbau berada di situ sebelum kerbau betina berkenaan datang meluru ke arahnya yang sedang memberi makanan kepada udang di dalam kolam.

"Akibatnya saya tercampak ke dalam kolam kering berhampiran dan sebaik terjatuh kerbau itu sekali lagi menanduk saya.

"Kerbau itu cuba untuk menanduk saya buat kali ketiga namun saya memegang tanduknya dan membenamkan kepala kerbau dianggarkan seberat 200 kilogram ke tanah.

"Saya ambil kesempatan untuk melarikan diri dengan badan berlumuran darah, "katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mertang, Seri Menanti hari ini.

Mohd Arshad berkata dia kemudian menunggang motosikal sehingga ke sebuah warung kira-kira 150 meter dari kolam udang berkenaan.

Dia kemudian dihantar ke klinik berhampiran oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Roslee Othman sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

"Saya dibenarkan keluar wad semalam dan kini sedang berehat di rumah abang. Biarpun masih terkejut dengan kejadian yang tidak disangka ini, saya tidak mahu memanjangkan kes kerana apa yang berlaku adalah dengan kehendak Allah SWT malah urusan dengan pemilik kerbau itu juga sudah selesai. Saya berharap kejadian seperti ini tidak berlaku lagi, "katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Gani mengesahkan menerima laporan polis kejadian itu.

Pemandu mabuk dipenjara 10 tahun, denda RM70,000, hilang kelayakan memandu 10 tahun

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Lee Han Wee, 45, didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan kematian kakitangan MBMB tiga tahun lalu. - NSTP/ MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
Lee Han Wee, 45, didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan kematian kakitangan MBMB tiga tahun lalu. - NSTP/ MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
MELAKA: Penyelia syarikat hiasan dalaman dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, selain denda RM70,000 dan hilang kelayakan memandu 10 tahun selepas disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian seorang lelaki, tiga tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi terhadap Lee Han Wee, 45, di akhir kes pembelaan hari ini selepas meneliti secara maksimum keterangan saksi bersama hujahan kedua-dua pihak, selain rayuan dan pemberatan.

Beliau berkata, mahkamah berpuas hati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes itu, manakala pendakwaan sebaliknya membuktikan kes melampaui keraguan dan mensabitkan tertuduh bersalah.

"Tertuduh dengan ini dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dari tarikh sabitan hari ini dan didenda RM70,000 gagal bayar 12 bulan penjara.

"Selain itu lesen memandu kelas D digantung 10 tahun selepas tertuduh menjalani hukuman penjara," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Han Wee didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan kematian Abdul Rahim Mohamad, 53, di Jalan Limbongan, Klebang pada jam 12.45 pagi, 29 November 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dan boleh dihukum mengikut akta sama.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tuan Ahmad Sazali Omar dan Sharina Farhana Nor Sa'ari, manakala tertuduh diwakili peguam Al Hirzan Mohd akhir.

Peguam memohon penangguhan pelaksanaan hukuman bagi mengemukakan rayuan di mahkamah tinggi, atas beberapa alasan termasuk tertuduh cedera tulang pinggul dan memerlukan rawatan susulan di hospital pakar, namun dibantah pendakwaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam bagi penangguhan hukuman penjara manakala denda perlu dibayar hari ini selain jaminan dinaikkan kepada RM20,000.

Sementara itu, bekas isteri mangsa, Norizan Mat Isa,43, melahirkan rasa syukur atas hukuman diputuskan mahkamah dah menganggap kematian arwah suaminya yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah sudah terbela.

Peniaga kuih itu berkata, tiga anaknya iaitu Wardah,23;Nurul A'liyah,16, dan Sofia U'mairah,14, turut terbabit dalam kemalangan itu dan mengalami kecacatan kekal.

"Pada lengan Wardah masih terdapat besi, manakala Nurul A'liyah cedera pada bahagian otak yang menyebabkan dia lambat untuk memproses maklumat. Sofia U'mairah pula patah tangan dan menjejaskan pergerakannya," katanya.

Kes Sembunyi kematian, 4 individu dipenjara 20 bulan di Melaka

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Empat tertuduh dengan diiringi polis dibawa ke lokap mahkamah selepas prosiding kes selesai di Mahkamah Majistret 2, Ayer Keroh hari ini- Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Empat tertuduh dengan diiringi polis dibawa ke lokap mahkamah selepas prosiding kes selesai di Mahkamah Majistret 2, Ayer Keroh hari ini- Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
MELAKA: Empat individu dijatuhi hukuman penjara 20 bulan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyembunyikan kematian dua lelaki pada Julai tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Khairunnisak Hassni terhadap Lok Kian Seng, 48; Daniel Ho Chin Cher, 34; Woon Chee Weng, 45, dan Lim Chien Voon, 42, selepas meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas dengan sengaja dan mempunyai sebab untuk menghilangkan keterangan bagi kesalahan dengan menyembunyikan kematian Stanley Chew Kok Kin, 24, dan Soo Yao Long, 26, di rumah No 6, Jalan Melur 2, Taman Paya Rumput Perdana, di sini, antara 7 hingga 10 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan (KK), sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar.

Peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah mewakili tertuduh pertama, Lok manakala Nahdan Rengganathan Abdullah mewakili Daniel dan Lim. Tertuduh ketiga, Woon tidak diwakili.

Dalam rayuannya, Asyraaf menyatakan Lok seorang duda dan bekerja sebagai kontraktor sebelum ditangkap serta menyara dua anak masih belajar berusia 20 dan 17 tahun serta ibu berusia 80 tahun.

Katanya, tertuduh turut menghidap gout dan merayu hukuman penjara minimum antara 18 hingga 20 bulan dari tarikh ditangkap.

Rengganathan turut memohon hukuman ringan atas alasan Daniel yang juga penjual sayur dan Lim (pemandu Grab) sudah insaf dan mengaku bersalah sejurus ditawarkan pertuduhan pilihan hari ini, selain mereka turut mengalami tekanan mental sebelum ini kerana dituduh membunuh mengikut Seksyen 302 KK.

Sementara itu, tertuduh ketiga, Woon memberi alasan sudah berpisah dengan isteri dan menanggung tiga anak serta ayah berusia lebih 70 tahun.

Pihak pendakwaan bagaimanapun berhujah supaya hukuman berat dikenakan terhadap semua tertuduh.

"Tindakan semua tertuduh menyembunyikan mayat kedua-dua mangsa menyebabkan polis hilang peluang untuk menyiasat punca kematian. Pohon hukuman setimpal dikenakan," katanya Wardah.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Lok, Daniel dan Lim bermula dari tarikh ditangkap 20 Julai 2023, manakala Woon (23 Julai 2023).

Mengikut fakta kes, polis menerima aduan awam mengenai penemuan bungkusan dipercayai mengandungi mayat manusia di tepi jalan hujung padang Cheng.

Hasil pemeriksaan polis menemui dua mayat lelaki berbungkus ditinggalkan di tepi jalan bersemak berhampiran kubur Kristian yang kemudiannya disahkan sebagai Stanley Chew Kok Kin dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan Soo Yao Long beralamat di Taman Cahaya Kota Putri, Masai, Johor.

Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan(KK) dan berjaya menahan empat lelaki iaitu tertuduh.

17 murid maut dalam kebakaran asrama sekolah

AFP

Nairobi: Sekurang-kurangnya 17 murid meninggal dunia selepas kebakaran memusnahkan asrama sekolah mereka pada waktu malam di tengah Kenya, kata pihak polis pada Jumaat.

Kebakaran di Akademi Hillside Endarasha di daerah Nyeri itu berlaku sekitar tengah malam, menurut polis, menghanguskan asrama tempat kanak-kanak itu tidur.

"Terdapat 17 kematian dalam insiden ini dan terdapat juga yang dibawa ke hospital dengan kecederaan serius," kata jurucakap polis kebangsaan Resila Onyango.

Polis tidak mengeluarkan maklumat mengenai umur mangsa.

"Mayat yang ditemui di tempat kejadian terbakar sehingga sukar dikenali," katanya.

Beberapa yang lain cedera, kata Onyango, 16 daripada mereka mengalami kecederaan serius dan dibawa dibawa ke hospital berhampiran.

"Lebih banyak mayat mungkin akan ditemui setelah tempat kejadian diproses sepenuhnya," katanya.

Punca kebakaran masih belum diketahui, katanya, tetapi siasatan sudah dilancarkan.

Bapa, anak lelaki didakwa tembak maut murid, guru di sekolah

AFP 
Colin Gray. FOTO  Barrow County Sheriff's Office via REUTERS
Colin Gray. FOTO Barrow County Sheriff's Office via REUTERS
Washington: Seorang bapa bersama anak lelakinya berusia 14 tahun didakwa di mahkamah atas tuduhan menembak sehingga menyebabkan kematian di sebuah sekolah di Amerika Syarikat (AS), Rabu lalu.

Remaja itu menghadapi empat pertuduhan selepas didakwa membunuh dua rakan murid berumur 14 tahun serta dua guru di Sekolah Tinggi Apalachee di negeri selatan Georgia, pada hari kejadian.

Bapa suspek, Colin Gray, 54, ditahan dan menghadapi empat pertuduhan membunuh tanpa sengaja, dua pertuduhan pembunuhan tahap dua dan lapan pertuduhan kekejaman terhadap kanak-kanak, menjadikannya ibu bapa AS terbaharu yang menghadapi pertuduhan jenayah selepas seorang kanak-kanak terbabit dalam satu tembakan beramai-ramai.

Pengarah Biro Siasatan Georgia (GBI), Chris Hose berkata, pertuduhan dibuat selepas Gray sedar membenarkan anaknya memiliki senjata.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, CNN melaporkan, pistol yang digunakan dalam serangan itu, senapang serangan gaya AR 15, dibeli bapa itu untuk remaja terbabit sebagai hadiah percutian.

GBI berkata, suspek akan didakwa sebagai orang dewasa. Dia dijadualkan dibicarakan di mahkamah hari ini (Jumaat) dengan lebih banyak pertuduhan dijangka.

"Siasatan ke atas kes tembakan di Apalachee HS masih aktif dan berterusan.

"Ini adalah hari kedua siasatan yang sangat kompleks dan integriti kes itu adalah yang terpenting," kata agensi itu dalam catatan di X.

Pihak berkuasa berkata, sembilan orang kebanyakannya kanak-kanak yang cedera dalam serangan itu sedang dirawat dan dalam proses pemulihan.

Tembakan di sekolah adalah kejadian yang mengejutkan di AS, di mana senjata api melebihi jumlah orang dan peraturan untuk membeli senapang gaya tentera yang berkuasa pun adalah longgar.

Tanggungjawab ibu bapa dalam tembakan besar-besaran, terutama yang dilakukan kanak-kanak bawah umur, semakin mendapat perhatian sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

April lalu, ibu bapa seorang remaja yang membunuh empat orang dalam tembakan sekolah di Michigan dijatuhi hukuman penjara 10 hingga 15 tahun, dalam kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan diawasi dengan teliti.

Jennifer dan James Crumbley adalah ibu bapa pertama penembak sekolah yang disabitkan dengan pembunuhan tanpa sengaja di AS kerana tindakan anak mereka.

Tinjauan menunjukkan, majoriti pengundi memihak kepada kawalan yang lebih ketat ke atas penggunaan dan pembelian senjata api, tetapi Persatuan Rifle Kebangsaan (NRA) berkata, lobi pemilikan senjata api yang berkuasa menentang sekatan tambahan dan penggubal undang-undang telah berulang kali gagal bertindak.

Calon presiden dari parti Demokrat, Kamala Harris dalam satu kenyataan di X, berkata, tembakan di sekolah bukan sekadar realiti kehidupan.

"Ia tidak semestinya begini. Kita boleh mengambil tindakan untuk melindungi anak-anak kita dan kita akan melakukannya," tulisnya.
-hmetro 

'Kepala beruk' laris di pasaran...

Nazdy Harun
bhnews@bh.com.my
Alias menunjukkan tumbuhan dipanggil kepala beruk yang diperoleh di hutan berhampiran kampungnya. - NSTP/Nazdy Harun
Alias menunjukkan tumbuhan dipanggil kepala beruk yang diperoleh di hutan berhampiran kampungnya. - NSTP/Nazdy Harun
KUALA BERANG: Permintaan tinggi terhadap 'kepala beruk' mendorong seorang penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini, berulang-alik ke hutan untuk mendapatkan tumbuhan itu.

Alias Pelong, 59, berkata jualan tumbuhan hutan yang turut dikenali sebagai 'sarang semut' yang hidup liar dan menumpang pada pokok hutan lain itu membolehkannya menjana pendapatan lebih RM1,000 sebulan.

Beliau berkata, pokok 'kepala beruk' yang digunakan dalam perubatan tradisional mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli di Jeli, Kelantan, sejak 10 tahun lalu.

Katanya, tumbuhan itu biasanya hidup menumpang pada pokok besar seperti neram, meranti dan seraya, namun untuk mendapatkannya bukan mudah kerana perlu memanjat pokok berkenaan.

"Kepala beruk yang diperoleh akan diikat dan diturunkan menggunakan tali kerana tumbuhan tumpang itu mudah pecah jika dikendalikan tidak cermat.

"Apabila ke hutan, ada kalanya saya hanya dapat satu atau dua kepala beruk saja yang kemudian dikumpul hingga beratnya mencecah 100 hingga 200 kilogram (kg).

"Tumbuhan ini tidak boleh disimpan lama kerana mudah reput dan jika cukup jumlah berat kepala beruk yang diinginkan, saya akan menjualnya kepada pembeli.

"Bagi berat sekilogram kepala beruk dijual dengan harga RM5 hingga ke RM6, jadi saya memerlukan kuantiti yang banyak sebelum menghantarnya kepada pembeli di Jeli," katanya.

Alias berkata, dalam tempoh seminggu, dia mampu mengumpul antara 200 hingga 300 kilogram kepala beruk dan kerja itu dilakukan bersama ahli keluarganya.

Katanya, tumbuhan itu mudah diperoleh di atas pokok yang kedudukannya berdekatan sungai, namun agak sukar untuk membawa pulang dalam kuantiti banyak kerana saiznya yang besar dan berat.

"Selagi kudrat masih kuat, saya akan terus melakukan kerja mencari kepala beruk kerana permintaan tidak putus-putus sejak mula mencari hasil hutan itu.

"Disebabkan ia hanya boleh diperoleh di hutan dan sukar untuk memperolehnya, jadi saya tiada saingan dalam bidang ini kerana sudah ada pembeli tetap," katanya.

‘Bawa kurta sertai larian’, 29 warga Pakistan dihalang masuk Langkawi

FMT Reporters
Sebanyak 29 warga Pakistan dihalang memasuki Langkawi selepas imigresen curiga niat mereka ke pulau peranginan itu. (Gambar Imigresen)
PETALING JAYA: Imigresen mengeluarkan notis penolakan masuk terhadap 29 warga Pakistan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kerana curiga motif kehadiran mereka atas alasan ingin sertai sukan lasak di Pulau Tuba.

Dalam insiden sekitar 2 petang semalam, mereka disyaki dari kawasan pedalaman Pakistan untuk menyertai larian ‘Tuba Cross Country Run’ yang dijadualkan esok.

Pemeriksaan imigresen di kaunter mendapati, warga asing terbabit hanya membawa kurta dalam beg masing-masing tanpa persalinan dan kasut sukan bersesuaian.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata pemeriksaan lanjut dan soal siasat mendapati kumpulan itu membelanjakan hampir RM2,000 untuk kos penerbangan dan perbelanjaan lain, sedangkan yuran penyertaan acara cuma RM45 dan hadiah utama hanya RM300.

“Mereka tiba dengan berpakaian sukan, tapi hanya bawa kurta dalam beg masing-masing tanpa persalinan dan kasut sukan bersesuaian untuk acara terbabit.

Adakah ini strategi untuk sembunyikan motif sebenar, mengapa tidak dibawa pakaian bersesuaian, katanya menurut Berita Harian.

Ridzzuan berkata, modus operandi mereka adalah menempah bilik di sebuah hotel bajet di Langkawi dan membeli tiket pulang ke Dubai sehari selepas acara, bukan meninggalkan Malaysia segera selepas program larian berakhir.

Biasanya, kebanyakan peserta dari luar yang menyertai program di Langkawi akan ambil kesempatan melancong, meneroka lokasi menarik sebelum meninggalkan pulau itu. Penganjur program di Pulau Tuba turut mengesahkan tiada peserta asing lain kecuali kumpulan warga Pakistan ini, katanya.

Katanya, atas niat dan motif ‘tidak munasabah’, pegawai imigresen di kaunter memutuskan menolak kemasukan kumpulan tersebut mengikut Seksyen 8(3)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana mereka disyaki bukan pelancong sebenar.

Keputusan ini diambil untuk memastikan keselamatan dan integriti acara serta negara, katanya.

Bapa tergamak suruh anak melutut tengah jalan demi pujuk isteri

KOSMO!
Tiga kanak-kanak tersebut diarah melutut di tengah jalan. - South China Morning Post
BEIJING – Seorang bapa di Foshan, wilayah Guangdong tergamak menggunakan tiga anaknya yang masih kecil untuk memujuk isterinya dengan menyuruh mereka melutut di tengah jalan, lapor laman berita South China Morning Post.

Kejadian berlaku pada 15 Ogos lalu apabila kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun itu disuruh oleh si bapa bernama Ling, melutut di tengah jalan yang sibuk.

Seorang anggota polis yang sedang meronda di kawasan itu kemudian melihat mereka sebelum membawa kanak-kanak berkenaan ke tepi jalan.

Ketika perbuatan itu dilakukan, Ling hanya duduk di tepi jalan sambil memerhatikan ketiga-tiga anaknya.

Kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut laporan akhbar Southern Metropolis Daily, Ling, 30, mahu memujuk isterinya kembali kepadanya selepas wanita tersebut mahu berpisah dengannya.

Disebabkan terdesak untuk memujuk isterinya, Ling menggunakan anak-anak mereka bagi melembutkan hati wanita itu.

Ling tidak dikenakan sebarang hukuman, sebaliknya hanya diberikan amaran oleh polis berkenaan.

Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen dengan ramai yang mengecam tindakan Ling.

“Menggunakan anak-anak sebagai ‘umpan’ seperti ini merupakan tindakan mendera kanak-kanak dan melanggar hak anak-anak atas keselamatan peribadi,” kata seorang netizen.

“Sungguh memalukan apabila seorang bapa tidak tahu cara-cara untuk menyayangi dan melindungi anaknya,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI 

Polis tangkap pemandu bas sekolah rakam kanak-kanak

Malaysiakini

Polis telah menahan pemandu bas yang merakam video murid sekolah rendah dan memuat naiknya di TikTok.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul tiga pagi di Simpang Renggam, hari ini.

Lelaki itu kini disiasat di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15(2) Akta Kanak-kanak 2001.

Polis tembak mati lelaki Afrika dalang samun, geng sama suspek kes Bandar Sunway

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my
Anggota polis mengusung mayat suspek kes samun yang maut berbalas tembakan dengan polis. - NSTP/ SAFEEK AFFENDY RAZALI
Anggota polis mengusung mayat suspek kes samun yang maut berbalas tembakan dengan polis. - NSTP/ SAFEEK AFFENDY RAZALI
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Afrika maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Pusat Perdagangan KLH di Bandar Puchong Jaya, dekat Serdang, di sini, tengah malam tadi.

Kejadian berlaku di tingkat sembilan Menara KLH ketika sepasukan polis melakukan serbuan jam 10.50 malam.

Berdasarkan maklumat, suspek dilaporkan cuba menyerang anggota dengan melepaskan dua das tembakan, memaksa pihak polis melepaskan tembakan balas.
Mayat suspek kes samun yang maut berbalas tembakan dengan polis dibawa ke hospital untuk bedah siasat. - NSTP/ SAFEEK AFFENDY RAZALI
Mayat suspek kes samun yang maut berbalas tembakan dengan polis dibawa ke hospital untuk bedah siasat. - NSTP/ SAFEEK AFFENDY RAZALI
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kejadian itu dengan suspek antara anggota kumpulan lelaki Afrika yang dilapor terbabit beberapa kes jenayah.

Sebelum ini, katanya seorang lagi lelaki warga Afrika yang juga anggota kumpulan sama maut ketika berbalas tembakan dengan polis di Bandar Sunway, dekat sini, pada 20 Ogos lalu.

Mengulas serbuan malam tadi, katanya sepasukan pegawai dan anggota JSJ yang menerima maklumat berdasarkan risikan dijalankan datang ke unit kediaman di tingkat sembilan Menara KLH ini untuk memberkas suspek.

"Bagaimanapun pihak polis tidak mendapat kerjasama ketika hendak menangkapnya, malah diserang suspek dengan dua das tembakan yang dilepaskan dari senjata jenis revolver.

"Hasil siasatan kita menemui dua bilah parang, beberapa nombor pendaftaran palsu, sebuah beg mengandungi wang palsu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Shuhaily berkata, secara keseluruhan dua ahli kumpulan penjenayah ini maut ditembak dalam tempoh lebih dua minggu, dengan tiga lagi lelaki warga Afrika ditahan.

Kumpulan penjenayah sama dilapor turut sempat menyamun seorang lelaki yang juga ahli perniagaan warga Jepun pada 25 Ogos lalu di Mid Valley, dekat sini mengakibatkan kerugian AS$320,000.
Kenderaan polis dan forensik di lokasi kejadian suspek kes samun maut ditembak di Pusat Perdagangan KLH di Bandar Puchong Jaya. - NSTP/ SAFEEK AFFENDY RAZALI
Kenderaan polis dan forensik di lokasi kejadian suspek kes samun maut ditembak di Pusat Perdagangan KLH di Bandar Puchong Jaya. - NSTP/ SAFEEK AFFENDY RAZALI
Dalam kejadian 6.50 petang 20 Ogos itu, seorang lelaki warga Afrika maut ditembak polis ketika berbalas tembakan di Bandar Sunway, dekat sini.

Siasatan mendapati suspek dalam kes di bandar Sunway itu sebahagian daripada kumpulan dianggotai lebih 10 orang yang terbabit 45 kes jenayah sejak 2018 yang membabitkan kerugian RM8 juta.

Modus operandi kumpulan terbabit adalah mengiklankan khidmat transaksi menerusi media sosial termasuk menjual barang kemas, pertukaran wang asing serta beberapa perniagaan lain.

Suspek akan bertemu mangsa di hotel dan diarah ke lokasi seterusnya menaiki kenderaan bersama, sebelum ahli kumpulan lain menyerang menggunakan senjata.

Mohd Shuhaily dilapor berkata siasatan terperinci dijalankan berhubung kes di Bandar Sunway itu, termasuk menyiasat aliran wang hasil rompakan mencecah lebih RM8 juta itu digunakan.

Papagomo meninggalkan kenyataan berbaur fitnah dan menghina Perdana Menteri di siaran langsung Vladimir Putin

Tergamak Papagomo memfitnah di siaran langsung Vladimir Putin

Harapandaily

Tergamak Papagomo meninggalkan kenyataan berbaur fitnah dan menghina Perdana Menteri semasa siaran langsung YouTube Presiden Russia, Vladimir Putin hari ini.

Tangkap layar komentar biadab Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris itu tersebar di media sosial.

Rata-rata mengecam tindakan bekas Exco Pemuda UMNO itu selain mempersoal faedah yang dia dapat dengan berperangai begitu.

“Bagaimana dia boleh hidup setiap hari dengan begitu banyak kebencian di dalam hatinya? Habis kata-kata dah dengan manusia seorang ni (Papagomo),” tulis seorang pengguna X.

Dalam masa sama, Papagomo, 41, dilihat sebagai menghina maruah Malaysia selain memmpamerkan kebodohannya sendiri kepada seluruh dunia.

Justeru, warganet berharap tindakan mahkamah dikenakan terhadap tentera siber pembangkang yang menggunakan nama ‘Sir Azri’ itu.

“Harap sangatlah PMX sendiri minta semua bukti. Kalau tiada, kasi saman sampai terkubur terus kehidupan bekas polis korup tu,” kata @aarif_twts pula.

Papagomo yang sebelum ini juga dikenali sebagai blogger dilihat kerap mencetuskan kenyataan berbaur kontroversi dan fitnah.

Antaranya, dia pada 8 November 2023 didakwa mengeluarkan kenyataan mengandungi hasutan di laman Facebook Halid (Halid Mat Kool) bahawa kerajaan pro kepada Israel dan Barat.

Pada hujung April lalu pula, polis menahan Papagomo kerana disyaki mengeluarkan kenyataan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi satu hantaran video berdurasi dua minit 46 saat, Papagomo mempersoalkan tindakan Agong bertemu pemilik kedai serbaneka KK Mart di Istana Negara.

Ayah dukung anak sakit ambil ijazah

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan Yeni didukung oleh bapanya untuk mengambil ijazah pada majlis konvokesyen. - Instagram
JAKARTA  – Perbuatan seorang lelaki mendukung anaknya naik ke pentas untuk menerima ijazah dalam satu majlis konvokesyen di Bima, wilayah Nusa Tenggara Barat mengundang perhatian orang ramai. 

Saluran berita Tribunnews melaporkan semalam bahawa pelajar dikenali sebagai Yeni itu menghidap sejenis penyakit yang menyebabkan dia sukar berjalan. 

Menerusi rakaman di platform Instagram oleh akaun @undercover.id, si ayah dilihat mendukung Yeni ke atas pentas untuk menerima ijazah daripada rektor. 

Detik manis itu membuatkan orang ramai bersorak dan bertepuk tangan kerana bangga dengan perjuangan bapanya. 

Kejadian berlaku di Universiti Muhammadiyah Bima beberapa hari yang lalu. 

Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 

“Begitu sayangnya si ayah kepada anak perempuannya,” kata seorang netizen. 

“Video ini terlalu banyak ‘bawang’,” kata netizen lain. – AGENSI

JPPK diarah buat laporan polis terhadap pemilik TikTok ‘Abang Bas’

HARRITH HISHAM
Tangkap layar antara kandungan yang dimuat naik di TikTok 'Abang Bas'.
PETALING JAYA – Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) diarahkan untuk membuat laporan polis terhadap seorang pemandu bas sekolah yang memuat naik video kanak-kanak di media sosial.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perlakuan merakam dan memuat naik video kanak-kanak di media sosial adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya dinormalisasikan.

“Saya telah mengarahkan JPKK untuk membuat laporan polis dengan segera dan kami bersedia bekerjasama dengan D11 IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor,” katanya menerusi hantaran di laman X, hari ini.

Sebelum ini, seorang pengguna X melahirkan kebimbangan terhadap kandungan yang dimuat naik di TikTok ‘Abang Bas’ yang memaparkan gelagat murid perempuan sekolah rendah di dalam kenderaan tersebut.

Menerusi hantarannya, @JatIkhwan mempersoalkan tindakan serta tajuk kapsyen yang digunakan lelaki itu.

“Kamu tidak boleh siarkan (video) anak perempuan seseorang yang masih sekolah rendah dengan kapsyen ‘hari ini crush kita buat homework’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Rider sergah wanita bonceng motosikal suami

KOSMO
Si isteri melihat suaminya dengan wanita lain di sebuah stesen minyak. - Instagram
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang penunggang teksi motosikal online (ojol) ‘menangkap’ suaminya membonceng wanita lain di sebuah stesen minyak, lapor laman berita RBTV kelmarin.

Berdasarkan video yang dimuat naik di laman Instagram, rider ojol wanita itu dilihat memberhentikan motosikal yang dinaiki oleh suaminya bersama wanita lain.

Dengan nada suara yang tinggi, penunggang ojol itu meminta wanita berkenaan turun dari kenderaan tersebut.

“Turun, turun!” katanya dengan penuh kemarahan.

Dalam masa sama, gadis dipercayai teman wanita suaminya turun daripada motosikal sambil si isteri cuba ditenangkan oleh suaminya.

Tidak dinyatakan tindakan lanjut rider tersebut, namun video itu menjadi tular dengan ramai yang memberikan pelbagai komen.

“Sudahlah miskin, masih buat hal. Langsung tidak bersyukur isteri membantu mencari wang dengan bekerja sebagai ojol,” kata seorang netizen.

Seminggu hilang OKU ditemui mati di kebun sawit dipercayai kelaparan

Alias Abd Rani
bhnews@bharian.com.my
Warga emas OKU yang hilang sejak seminggu lalu ditemui meninggal dunia dalam kebun sawit di Yong Peng. - Foto Alias Abd Rani
Warga emas OKU yang hilang sejak seminggu lalu ditemui meninggal dunia dalam kebun sawit di Yong Peng. - Foto Alias Abd Rani
BATU PAHAT: Lelaki orang kurang upaya (OKU) warga emas yang dilaporkan hilang sejak hampir seminggu lalu, ditemukan meninggal dunia dalam kebun sawit di Yong Peng, dipercayai kelaparan.

Mayat Kasnon Sabari, 76, ditemui seorang lelaki sekitar jam 11 pagi semalam dalam keadaan terbaring di sebuah kebun sawit, kira-kira 60 kilometer dari rumahnya di Sungai Kluang Darat, Rengit.

Adik saudaranya, Sumardi Marmin, 62, berkata, berita menyedihkan itu diterima jam 12 tengah hari ketika kebanyakan ahli keluarga mengharapkan dia pulang dalam keadaan selamat.

Katanya, mereka menerima panggilan polis memaklumkan penemuan mayat arwah dan diminta ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pengecaman.

"Saya dimaklumkan kemungkinan dia meninggal dunia disebabkan kelaparan selepas motosikalnya kehabisan minyak dan tidak dapat pulang ke rumah. Dia tidak memakai topi keledar sejak keluar dari rumahnya sehingga mayatnya ditemui

"Petang sebelum kehilangannya, saya sempat minum bersamanya, namun pelik mengapa dia menunggang hingga ke sana (Yong Peng) sedangkan sebelum ini, arwah tidak pernah berjalan jauh.

"Kalau dia keluar membeli barang, dia akan pulang segera ke rumahnya. Dia masih bujang dan menumpang di rumah anak saudara berdekatan," katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui motosikal serta beberapa dokumen peribadi dan juga wang tunai padanya.

"Arwah disedari hilang selepas kelibatnya tidak kelihatan ketika menunaikan solat Jumaat sedangkan dia antara individu paling awal tiba di masjid.

"Puas kami mencarinya di merata-rata tempat namun kelibatnya tidak kelihatan. Ketika jasadnya ditemui, dia dipercayai sudah meninggal lebih dua hari.

"Arwah seorang insan istimewa walaupun dilahirkan sebagai OKU namun tidak pernah meminta ihsan orang lain. Walaupun tidak beristeri, tetapi arwah sentiasa disayangi anak dan cucu serta saudaranya.

"Apa yang membanggakan kami, arwah tidak pernah meninggalkan solatnya walaupun terkadang dia diuji dengan keuzuran yang teruk dan kami reda dengan pemergiannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, polis mengklasifikasikan kematian warga emas itu sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan ke atas jasad warga emas itu dan tiada sebarang unsur jenayah mengaitkan kematiannya.

Parkir halang kereta lain cetus perselisihan faham, tetak guna pisau pemotong

Ilah Hafiz Aziz
ilahhafiz.abdulaziz@bh.com.my
Tangkap layar daripada rakaman video tular yang menunjukkan insiden perselisihan faham disebabkan kereta terhalang di pekan Kepong, semalam.
Tangkap layar daripada rakaman video tular yang menunjukkan insiden perselisihan faham disebabkan kereta terhalang di pekan Kepong, semalam.
KUALA LUMPUR: Perselisihan faham disebabkan kereta terhalang dipercayai menjadi punca seorang lelaki parah sehingga menerima 35 jahitan akibat ditetak di pekan Kepong, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata terdahulu dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang, sebuah kereta Perodua Myvi didakwa telah menghalang Perodua Alza milik ibu saudara mangsa di kawasan parkir.

Susulan itu, beliau berkata, pemilik Perodua Alza terbabit membunyikan hon berkali-kali sebelum suspek dikatakan berjalan ke arah Perodua Myvi berkenaan kira-kira setengah jam kemudian.

"Bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan anak saudara pemilik Perodua Alza terbabit. Susulan itu, suspek didakwa menumbuk muka mangsa dan mengambil sebilah pisau pemotong di dalam kereta.

"Suspek lelaki berusia 27 tahun itu didakwa menetak mangsa, termasuk di bahagian kepala, dengan menggunakan pisau sepanjang 32 sentimeter berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, mangsa lelaki berusia 24 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang dan menerima 35 jahitan, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Berikutan itu, beliau berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Sentul, di lokasi kejadian sekitar jam 6.45 petang semalam dan merampas sebilah pisau di lokasi kejadian.

"Suspek didapati memiliki tiga rekod lampau membabitkan kes dadah, dan kini direman enam hari hingga 10 September ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Kalau di Korea Utara pegawai gagal tangani banjir dihukum bunuh, kat Malaysia ni pengkhianat dan pihak yang gagal menangani pendatang haram pun patut dikenakan hukuman berat

BHarianonline 
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menaiki bot penyelamat ketika meninjau keadaan di sebuah sungai yang melimpahi tebing. - Foto AGENSI
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menaiki bot penyelamat ketika meninjau keadaan di sebuah sungai yang melimpahi tebing. - Foto AGENSI
SEOUL: Korea Utara menghukum bunuh sekurang-kurangnya 30 pegawai kerajaan kerana gagal menangani kesan banjir besar pada akhir Julai lalu, yang mengorbankan ribuan penduduk di wilayah utara negara itu.

TV Chosun, memetik seorang pegawai kerajaan Korea Selatan yang tidak dinamakan, berkata kira-kira 20 hingga 30 pegawai kerajaan wilayah di kawasan yang dilanda banjir itu ditembak mati pada Ogos.

Banjir yang dahsyat itu mungkin mengorbankan sehingga beberapa ribu orang di kawasan yang paling terjejas di wilayah Jagang, lapor TV kabel berkenaan.

Jurucakap Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan berkata pihaknya memantau dengan teliti keadaan selepas mendapat risikan berkaitan perkembangan itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Kementerian Penyatuan Korea Selatan yang mengendalikan hubungan dengan Utara enggan mengulas mengenainya.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, pada mesyuarat tergempar parti pada akhir Julai lalu, berkata beliau akan menghukum dengan tegas mereka yang 'amat mengabaikan' tugas, sekali gus bertanggungjawab ke atas korban yang terlalu tinggi.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berjalan di atas benteng menuju ke kereta api semasa lawatan ke kawasan yang dilanda banjir berhampiran sempadan dengan China, di Wilayah Pyongan Utara, Korea Utara. - Foto REUTERS
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berjalan di atas benteng menuju ke kereta api semasa lawatan ke kawasan yang dilanda banjir berhampiran sempadan dengan China, di Wilayah Pyongan Utara, Korea Utara. - Foto REUTERS
Alat propaganda Korea Utara mengedarkan gambar Jong-un sedang menyelia usaha menyelamat susulan bencana itu tetapi tidak melaporkan sebarang kematian.

Media negara Korea Utara melaporkan, hujan lebat merosakkan kira-kira 4,100 rumah, menghanyutkan jalan raya dan rangkaian kereta api serta memusnahkan kira-kira 3,000 hektar tanah ladang di bandar Sinuiju.

bandar terbabit adalah sebuah hab perdagangan yang disambungkan ke China melalui jambatan dan daerah berdekatan, Uiju.

Agensi Berita Pusat Korea melaporkan, kira-kira 5,000 orang diselamatkan dalam bencana alam itu.

TV Chosun berkata, kerosakan akibat banjir lebih meluas ke utara di wilayah Jagang, yang bersempadan dengan China dan menjadi lokasi bagi hulu dan tengah Sungai Yalu, dikenali sebagai Sungai Amnok di Korea.

Media Korea Selatan melaporkan, beberapa mayat ditemukan ketika kerja pembersihan tanah selepas paras air surut. - AGENSI

Penyeludup lembu, kerbau tertinggal MyKad di tebing Sungai Golok

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Penyeludup lembu, kerbau cabut lari tertinggal MyKad di tebing Sungai Golok.
TANAH MERAH – Dua lelaki yang sedang menyeludup sembilan ekor lembu dan kerbau lari lintang-pulang sehingga salah seorang daripadanya tertinggal MyKad dan motosikal selepas kegiatan mereka di tebing Sungai Golok, di sini dikesan anggota tentera darat semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua lelaki itu didapati sedang menyeludup haiwan ternakan itu di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia dekat sempadan Malaysia-Thailand kira-kira pukul 6.15 petang.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu sempat melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke kawasan Thailand sewaktu serbuan dijalankan.

“Mereka meninggalkan sembilan ekor kerbau dan seekor lembu yang dianggarkan bernilai RM 78,705 di sempadan negara ini. Penyeludup juga tertinggal sebuah motosikal dan beberapa barangan peribadi termasuk MyKad,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya sudah membuat laporan di Balai Polis Lalang Pepuyu, Tanah Merah dan kesemua rampasan lembu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Katanya, kes penyeludupan itu disiasat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga.

“Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak tiga kes rampasan haiwan ternakan oleh pasukan operasi tentera darat sepanjang tahun ini iaitu sebanyak 69 ekor lembu pada 16 Jun, 17 ekor lembu pada 19 Ogos lalu dan kes terbaharu semalam.

“Kesemua lokasi rampasan haiwan ternakan itu berlaku di kawasan yang berhampiran antara satu sama lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Atlet Olimpik maraton maut selepas dibakar teman lelaki

Reuters
REBECCA (tengah) dibakar oleh teman lelakinya. FOTO Reuters
REBECCA (tengah) dibakar oleh teman lelakinya. FOTO Reuters
Nairobi: Pelari maraton Olimpik Uganda, Rebecca Cheptegei, meninggal dunia, beberapa hari selepas dia disimbah petrol dan dibakar oleh teman lelakinya di Kenya, dalam serangan terbaharu terhadap atlet wanita di negara itu.

Media Kenya dan Uganda melaporkan bahawa Rebecca, 33, yang bertanding dalam Paris 2024, mengalami kecederaan terbakar pada lebih dari 75 peratus badannya dalam serangan Ahad lalu, menjadikannya atlet wanita ketiga yang dibunuh di Kenya sejak Oktober 2021.

"Kami mendapat berita sedih mengenai pemergian atlet Olimpik kami, Rebecca Cheptegei... berikutan serangan kejam oleh teman lelakinya," kata Donald Rukare, Presiden Jawatankuasa Olimpik Uganda, dalam satu hantaran di X.

"Semoga rohnya yang tenang berehat dalam keamanan dan kami dengan tegas mengecam keganasan terhadap wanita," katanya.

Pelari yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-44 di Paris, dimasukkan ke hospital di bandar Eldoret, Lembah Rift Kenya selepas serangan itu.

"Rebecca meninggal dunia pagi ini pada pukul 5:30 pagi selepas organ-organ tubuhnya gagal berfungsi," kata Owen Menach, Pengarah Kanan Perkhidmatan Klinikal di Hospital Pengajaran dan Rujukan Moi, kepada Reuters, menambah bahawa laporan penuh mengenai keadaan kematiannya akan dikeluarkan pada malam ini.

Menteri Sukan Kenya, Kipchumba Murkomen, menggambarkan kematiannya sebagai satu kehilangan 'kepada seluruh rantau'.

"Tragedi ini adalah peringatan jelas bahawa kita perlu melakukan lebih banyak untuk memerangi keganasan berasaskan jantina dalam masyarakat kita, yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini muncul dengan wajah buruknya dalam kalangan elit sukan," katanya dalam satu kenyataan.

Persatuan Olahraga Uganda menyeru agar keadilan diberikan kepada Rebecca.

Peter Ogwang, Menteri Negara Uganda untuk sukan, berkata pihak berkuasa Kenya sedang menyiasat pembunuhan itu, yang menarik perhatian kepada keganasan yang dialami oleh wanita di negara Afrika Timur itu.

Hampir 34% gadis dan wanita Kenya berusia 15-49 tahun mengalami keganasan fizikal, menurut data kerajaan dari 2022, dengan wanita yang berkahwin berada pada risiko yang lebih tinggi.

Kajian 2022 mendapati bahawa 41% wanita berkahwin menghadapi keganasan.