"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH-BN Boleh Menang 53 Kerusi DUN Dalam PRN Selangor

MALAYSIADATELINE

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berpotensi untuk menawan kira-kira 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika kedua-duanya bergabung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata jumlah itu diperoleh berdasarkan dapatan awal menerusi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dengan 40 kerusi DUN memihak kepada PH.

“Berdasarkan dapatan (awal) PRU15 lalu, PH kuasai dalam 40 kerusi. Tetapi jika PH dan BN bergabung dan adanya kestabilan undi antara parti ini, kita mampu untuk menang di 53 daripada 56 kawasan DUN.

Bagaimanapun kita kena lihat dahulu sentimen rakyat dalam tempoh enam bulan akan datang dan  isu kebolehpindahan undi di samping pelaksanaan beberapa program dan isu di peringkat Persekutuan dan Selangor (untuk menang PRN),” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor bagaimanapun berkata setakat ini PH masih belum mengadakan perbincangan dengan BN berhubung kerjasama itu.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya Nasional berkata isu dalaman UMNO tidak akan mempengaruhi persediaan PH khususnya PKR untuk berdepan PRN yang dijangka berjalan serentak di keenam-enam negeri pada pertengahan tahun ini.

“PH akan terus buat persiapan dengan sasaran PH boleh pertahankan ketiga-tiga negeri (Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang) dan kita menyasarkan akan menang di kerusi tradisional di Kedah,” katanya.

Katanya gerak kerja bagi PRN keenam-enam negeri itu dijadual akan dimulakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu Rafizi berkata, pihaknya akan terus membuat bantahan pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya wujud ucapan berbaur perkauman dalam tempoh kempen dalam PRN akan datang seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Bagaimanapun Rafizi berkata pihaknya tidak mahu memanjangkan soal ucapan-ucapan berbaur perkauman yang didakwa diucapkan oleh Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau berkempen dalam PRU kerana ia akan memberi ruang kepada lebih banyak polemik.

Menyentuh tentang isu pemecatan bekas Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua bersama empat lagi ahlinya pula , Rafizi berkata semua ahli yang dipecat boleh merayu dalam masa 14 hari sekiranya ingin kembali kepada parti itu.

“Lembaga Rayuan selepas meneliti rayuan, akan membentangkan kembali perkara itu kepada MPP (Majlis Pimpinan Pusat) untuk membuat keputusan akhir. Saya rasa, terpulang kepada dia untuk rayu terus kepada presiden dan sebagainya, itu hak dia.

Namun kita juga kena berlaku adil kepada semua (ahli lain yang dipecat) dan proses itu adalah melalui Lembaga Rayuan,” katanya yang mengulas mengenai status bekas Ahli Parlimen Batu itu yang didakwa membuat terus rayuan berhubung perkara itu kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

— BERNAMA

KJ dedah video 'perwakilan import'

Ahmad Suhael Adnan

ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas mendakwa wujud 'Langkah Dewan Merdeka' untuk memastikan kelulusan usul dua jawatan tertinggi UMNO tak dipertandingkan, Khairy Jamaluddin sebentar tadi memuat naik satu lagi video mengenai 'perwakilan import' seperti dimaksudkannya.

Video itu dimuat naik bekas Ketua Pemuda UMNO itu melalui Instagram menunjukkan sekumpulan individu berbaju Melayu diberi taklimat dalam satu bilik khas di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Beliau turut menyertakan kapsyen: "Perwakilan 'import' diberi taklimat sebelum masuk Dewan Merdeka untuk menyokong usul 'no contest' (tiada pertandingan).

Isham minta Khairy tunjukkan perwakilan import yang mengundi

Dalam video, kedengaran individu memaklumkan arah untuk masuk ke Dewan Merdeka, selain beberapa perwakilan UMNO bertanyakan mengenai 'password' (kata laluan).

Terdahulu, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau mendakwa wujud komplot 'Langkah Dewan Merdeka' untuk meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Khairy mendakwa, 'tag' (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO sudah ditanggalkan ketika ini sebagai usaha membawa masuk 'perwakilan import' bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mempelawa bekas Khairy hadir ke Dewan Merdeka dan menunjukkan individu yang didakwa sebagai `perwakilan import'.

Beliau berkata, ini kerana tuduhan bekas Menteri Kesihatan itu berhubung wujud perwakilan import terbabit tidak benar sama sekali dan berunsur fitnah.

Sehubungan itu, beliau meminta Khairy meminta maaf secara terbuka kepada semua perwakilan UMNO kerana menuduh mereka diimport selain pemeriksa pas masuk serta Skuad Sabil Pemuda kerana memfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Umno akan terkubur, warganet kritik ‘top 2’ tak dipertanding

FMT Reporters

PETALING JAYA: Keputusan Perhimpunan Agung Umno meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan mendapat kritikan warganet.

Rata-rata pengguna media sosial menjangkakan keputusan itu hanya akan membiarkan Umno “terkubur” dan memberi risiko terhadap kedudukan parti yang sebelum ini kalah teruk pada PRU15 dengan hanya memperoleh 26 kerusi Parlimen.

Seorang pengguna Facebook Ali Jaafar menulis di ruangan komen, “Umno akan terkubur selepas ini kerana tiada pertandingan jawatan tertinggi”.

Manakala seorang lagi pengguna, Nordin Lokman menerusi ruangan komen di Umno Online berkata, “nampaknya Umno akan terus karam jika kepimpinan sekarang terus berkuasa setelah kalah teruk pada PRU15”.

Dalam pada itu, menerusi ruangan komen di Facebook Umno Online ada juga sebilangan warganet mengkritik usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan kerana ia memberi gambaran Umno seakan menolak demokrasi dan takut kalah bertanding.

“Umno bangkit mencanak lepas pemilihan 1987, kali ini kalau tiada pemilihan Umno tidak bangkit bersama pimpinan yang takut kalah bertanding,” tulis warganet dengan akaun bernama Syed Faisol Aljafree

“Aku tidak sangka parti yang aku sayang cintai adalah sebuah parti yang tolak demokrasi,” tulis Mohd Nasrihan.

Sementara di Twitter, pengguna bernama @mrfirdausjailan pula menulis, keputusan itu menandakan demokrasi dalam Umno terkubur bersama karier politik bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini mendakwa wujud “perwakilan import” untuk menyokong usul tersebut.

Terdahulu, majoriti perwakilan menyokong usul dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan sekali gus menandakan jawatan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan pada pemilihan mesti dibuat sebelum 19 Mei.

Pemilihan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

Lembaga Disiplin Umno bincang tindakan terhadap KJ

Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Umno akan berbincang mengenai tindakan terhadap Khairy Jamaluddin yang mendakwa terdapat cubaan membawa masuk “perwakilan import” pada sesi pengundian usul, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, ia kemudian akan diserahkan kepada jawatankuasa pengurusan peringkat bahagian.

Khairy adalah timbalan ketua Umno Bahagian Rembau manakala Timbalan Presiden Mohamad Hasan adalah ketua bahagiannya.

“Ia akan dibincangkan oleh pegawai disiplin dan akan dibawa ke jawatankuasa pengurusan yang diuruskan ketua bahagiannya,” kata Zahid pada sidang media selepas sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

Terdahulu, media melaporkan Khairy mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul sempena PAU.

Menerusi satu video di TikTok, beliau berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan “perwakilan import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Sementara itu, Zahid turut menafikan dakwaan Khairy.

“Mana boleh masuk kalau tiada kad ini.”

Ismail Sabri tercicir dari senarai 'menteri angkat' Zahid

Malaysiakini

Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob diketepikan daripada tanggungjawab menjaga Umno negeri-negeri melalui 'projek menteri angkat' yang diperkenalkan Ahmad Zahid Hamidi.

Nama Ismail Sabri tiada dalam senarai tersebut di sebalik langkah presiden Umno berkenaan memberikan kepercayaan kepada dua naib presiden lain.

Mohamed Khaled Nordin yang juga menteri pengajian tinggi dilantik menjadi menteri angkat bgi Terengganu, manakala Mahdzir Khalid menjaga Kedah.

Bagaimanapun ketika ini Mahdzir bukanlah anggota kabinet selepas kalah di kerusi Padang Terap dalam PRU ke-15 lalu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan diberi kepercayaan 'menjaga' Negeri Sembilan. Mohamad ialah menteri pertahanan.

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir pula menjadi pilihan Ahmad Zahid mengelolakan Kelantan, manakala ahli parlimen Pengerang Azalina Othman Said di Pulau Pinang.

Azalina ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang dan reformasi institusi, manakala Zambry kini menjadi menteri luar.

Bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pula menjadi menteri angkat bagi Selangor.

Senarai itu diumumkan Ahmad Zahid semasa menggulung perbahasan petang ini.

Senarai tersebut dikeluarkan Ahmad Zahid sebagai menjawab persoalan dibangkitkan perwakilan mengenai persediaan Umno menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

"Untuk memastikan fokus dan strategi gerak kerja dapat disusun dengan baik, sesuai dengan cadangan yang dikemukakan oleh jurucakap, kita akan melantik anggota MT (majlis tertinggi) dan menteri angkat bagi setiap negeri yang terlibat," katanya.

Bagi memastikan semua gerak kerja tersebut berjalan lancar pula, Ahmad Zahid berkata, Majlis Kerja Tertinggi Umno bersetuju melantik bekas ahli parlimen Kepala Batas, Reezal Merina Naina Merican sebagai penyelaras operasi PRN.

Umno lulus usul jawatan ‘top 2’ tak dipertanding

Anne Muhammad dan Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno (PAU) meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan menerusi pungutan suara dilakukan sebentar tadi.

Ini bermakna jawatan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Mei ini.

Pemilihan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

Dalam kalangan perwakilan, beberapa negeri mencadangkan jawatan “top 2” parti dipertandingkan, manakala beberapa negeri menolak cadangan itu.

Sumber memberitahu FMT, 3/4 dewan menyokong usul itu manakala baki yang tidak menyokong dikehendaki bangun.

Kata sumber yang enggan dinamakan itu, sejurus proses pengundian selesai, separuh dewan kembali kosong.

“Mungkin mereka malas nak dengar Zahid berucap atau mereka dah ‘fed up’,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Khairy Jamaluddin mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul sempena PAU.

Menerusi satu video di TikTok, beliau berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan “perwakilan import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.

Beliau menganggap dakwaan Khairy sebagai fitnah dan meminta bekas menteri kesihatan itu memohon maaf kepada semua perwakilan Umno dan petugas yang hadir.

Sementara itu, Isham dalam catatan di Facebook mengesahkan semua usul termasuk usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar, diterima dan disokong majoriti perwakilan.

PRN Selangor: Rafizi ramal PH mampu menang 45 kerusi, hilang 8 kerusi

Yasmin Ramlan

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menjangkakan Pakatan Harapan (PH) mampu menang sekurang-kurangnya 45 kerusi dewan undangan negeri di Selangor sekiranya jentera berkerja keras, pada pilihan raya negeri akan datang.

Melihat ia sebagai sasaran yang realistik, Rafizi berkata ia kerana faktor pengundi yang disifatkan sebagai “celik ekonomi.”

Rafizi turut menjangkakan bahawa PH kemungkinan akan hilang tujuh hingga lapan kerusi daripada 51 kerusi yang dimenangi pada PRU ke-14, iaitu ketika Bersatu juga merupakan sebahagian daripada PH.

Namun, menurut Rafizi, jumlah itu juga bergantung kepada prestasi kerajaan persekutuan sepanjang kira-kira empat bulan ini dan peralihan pengundi Umno kepada PH selepas menubuhkan kerajaan persekutuan bersama.

“Setakat ni kalau kita tengok kepada beberapa kaji selidik yang berasingan menunjukkan bahawa pengundi PH yang menerima dengan baik gabungan ini

“Jadi hypothetically, sepatutnya untuk mengekalkan 40 kerusi tu agak mudah kerana tanda-tandanya paling menyokong dan menerima realiti kerajaan perpaduan ini, adalah penyokong PH terutamanya penyokong di kawasan bandar dan separuh bandar, yang faham tentang keperluan dan dasar nak dibuat.

“Di Selangor, risiko yang kita belum tahu lagi maksudnya ketidaktentuan berapa banyak undi Umno yang boleh dipindahkan kepada PH, not so much (tidak begiru banyak) berapa banyak pengundi PH itu akan menyokong PH ataupun PH-BN,” katanya dalam sidang media selepas berucap di Konvensyen PKR untuk PRN Selangor di IDCC, Shah Alam, Selangor hari ini.

Katanya, meskipun tugas untuk menjelaskan kepada akar umbi Umno agak rumit, tetapi ia akan tidak mustahil walaupun memakan masa.

Gelombang PAS macam ‘kocak air dalam cawan kecil’

Pada masa sama, Rafizi yang juga menteri ekonomi meminta supaya perwakilan di Selangor tidak bimbang dengan “gelombang hijau” dari Perikatan Nasional bagi berdepan PRN, susulan keputusan pada PRU15 lalu.

Ini kerana menurutnya, negeri itu akan dapat dipertahankan pada PRN akan datang sekiranya parti itu kekal mengamalkan pendekatan yang sama dengan rakyat sewaktu menjadi pembangkang, meskipun telah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

“Tahun 2018 masa PAS dan Umno cukup yakin boleh rampas Selangor, kita (PH) menang besar… sebab itu gelombang yang PAS rasa sedang mereka bawa di Selangor ini bagi saya macam kocak air dalam cawan kecil,” katanya.

Rafizi sebaliknya memberi jaminan bahawa gelombang PAS atau dikatakan gelombang hijau itu akan surut berdasarkan prestasi yang akan ditonjolkan oleh kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab menjaga soal ekonomi negara dan rakyat.

“PN nak enjoy sangat biarlah, biarlah dua tiga bulan ini... Pandangan saya kita akan pertahankan Selangor dengan selesa, selepas ini Insya-Allah kita kejutkan orang ramai terutama geng PAS yang seronok sekarang ini.

"Dengan PAS ni kita tahu perangai dia, kalau kita lihat PAS di media sosial ini tahap keyakinan mereka ini tinggi, macam dia kalahkan Perancis main bola, kekuatan dan kemahiran tidak seberapa di media sosial tetapi dia macam hendak ambil alih Malaysia," katanya dalam ucapannya di hadapan ratusan perwakilan PKR Selangor.

Katanya, selepas menampuk kuasa di Selangor selama empat penggal, PH telah kenal dengan citarasa pengundi di negeri itu yang tidak sukakan pemimpin yang terlalu banyak protokol dan bergantung kepada kekuatan kerajaan ketika berkempen.

“Kita selalu dilihat sebagai parti yang dekat dengan rakyat. Kalau kita kekalkan, kita bukan saja pertahankan Selangor, tapi boleh menang bergaya daripada yang disangkakan,” katanya.

Dua wanita ketakutan dikejar, diganggu dua lelaki

MOHD SHARKAWI LONDING

TANGKAP layar video yang menunjukkan dua lelaki mengganggu wanita dalam kejadian di Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan, Johor Bahru, Selalu lalu sebelum kedua-dua suspek dikesan dan saman dikeluarkan polis IPD Johor Bahru Selatan

JOHOR BAHRU – Dua wanita ketakutan apabila diganggu dua lelaki ketika menunggang motosikal dalam kejadian di sekitar Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan di sini.

Difahamkan, ketika kejadian itu, kedua-dua mangsa berusia 20-an menaiki motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Country Garden menghala ke pusat bandaraya.

Mangsa kemudiannya didatangi dua lelaki yang tidak memakai topi keledar keselamatan menaiki motosikal jenis Yamaha 160ZR dan mengganggu mereka.

Berdasarkan video berdurasi tular itu, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9.42 malam, 11 Januari lalu sebelum dimuat naik dilaman sosial pada Rabu lalu.

Kedua-dua wanita itu bagaimanapun selamat apabila penunggang motosikal lain yang menyedari kejadian itu dan mengekori dari arah belakang lalu menegur perbuatan suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian itu berlaku di dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Ujar Raub, pihaknya berjaya mengesan kedua-dua suspek yang membuat gangguan terhadap orang awam itu dan tindakan saman telah dikeluarkan.-KOSMO! ONLINE

Ramesh Rao, Pegawai khas Zahid Hamidi meninggal dunia

FMT Reporters

Ramesh Rao dilantik menjadi Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri pada 24 Dis tahun lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri Ramesh Rao dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.

Menurut Malaysiagazette, mendiang yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ramesh dikenali kerana aktif memperjuangkan kebajikan masyarakat di negara ini terutamanya kaum India.

Pada 24 Dis lepas, Ramesh, juga seorang pemimpin NGO dan penyokong Barisan Nasional, dilantik menjadi pegawai khas Zahid.

Tian Chua: ‘Tolong maafkan saya, terimalah balik’

Faisal Asyraf

PETALING JAYA: Bekas naib presiden PKR dipecat, Tian Chua, berharap Anwar Ibrahim yang juga presiden parti itu memaafkannya kerana melanggar peraturan dan menerimanya semula sebagai ahli.

Keahliannya ditamatkan minggu lalu susulan tindakan bertanding sebagai calon bebas menentang calon PKR, pada PRU15, November lalu.

Beliau diberikan tempoh 14 hari mengemukakan rayuan, namun bekas Ahli Parlimen Batu dua penggal yang juga penyokong kuat Anwar, mengakui tidak mempunyai alasan “mempertahankan diri”.

“Saya bertanding sebagai bebas dan melanggar peraturan disiplin parti,” katanya kepada FMT. “Terpulang kepada presiden sama ada beliau akan memaafkan saya atau tidak.

“Anwar boleh menggunakan kuasanya sebagai presiden untuk memaafkan saya.

“Isunya adalah belas ihsan, bukan hukuman.”

Chua bertembung dengan calon PKR, P Prabakaran dan lapan lagi calon lain bagi kerusi Batu, di mana beliau hilang deposit selepas sekadar meraih 4,603 undi.

Pada 7 Jan, Majlis Pimpinan Pusat PKR memecatnya dan empat ahli lain kerana bertanding pada PRU15 dan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, pada 2021, tanpa restu parti.

Empat yang lain membabitkan Puah Chee Haur (bahagian Parit Buntar), Ahmad Tarmizi Ghazali (Gopeng), M Mohganan (Taiping) dan Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya).

Chua berkata, beliau belum menerima surat rasmi status keahliannya, justeru menangguhkan membuat rayuan rasmi.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR Tan Yee Kew, memberitahu FMT, “surat itu sepatutnya dalam penghantaran”.

Tan berkata, penghantaran surat itu tertangguh kerana perlu ditandatangani Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Kalau Nak Makan Durian, Beli Buahnya, Jangan Beli Kebun Durian

NIK HASYUDEEN

Pagi ini saya membaca satu hantaran Puan Ainon Mohd (Puan Ainon Mohd) berkenaan kos tetap di dalam perniagaan. Dia pesan jika nak minum susu, beli susunya, bukan beli lembu.

Ini mengingatkan saya berkenaan cadangan supaya Tabung Haji membeli Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di satu masa lalu.

Di kala itu MAS menghadapi masalah dan ada pihak yang mencadangkan supaya Tabung Haji membelinya kerana memudahkan Tabung Haji menjalankan urusan hajinya.

Lalu, insan yang mengilhamkan Tabung Haji iaitu Ungku Aziz telah menegur “jika nak makan durian belilah buahnya, jangan beli kebun durian”. Ini adalah satu teguran yang amat bernas. Akhirnya, MAS dibantu dengan cara lain.

Semasa saya berkhidmat di Suruhanjaya Sekuriti (SC), ada sahabat yang selalu mengingatkan “janganlah kita mewujudkan penyelesaian yang mencari masalah”.

Ini adalah kerana SC sentiasa membentuk polisi yang diguna pakai di pasaran modal. Pesanan berkenaan adalah supaya polisi kita tidak menjadi sebab mewujudkan masalah yang baharu yang tidak wujud sebelum polisi demikian diperkenalkan.

Puan Ainon mahu mengingatkan usahawan supaya berfikir betul-betul di dalam menyelesaikan masalah perniagan mereka. Janganlah penyelesaian itu membawa masalah yang lebih besar dan berpanjangan.

Pak Ungku pula mungkin mahu menegur isu yang lebih besar. Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menguasai dana yang besar.

Maka, ada lah pihak yang mahu mengambil kesempatan dengan membawa pelbagai cadangan supaya dana berkenaan dapat mereka tebuk.

Untuk mencantikkan kerja mereka ini, mereka wujudkan slogan yang sedap bunyinya. Tabung Haji sebagai tunggak ekonomi umat Islam. Bila dah jadi tunggak mudahlah berbelanja di sana sini.

Saya pernah membaca kertas cadangan Pak Ungku berkenaan Tabung Haji. Matlamatnya satu sahaja, mahu membantu orang Islam untuk menabung supaya mereka tidak perlu menjual aset-aset yang lain seperti rumah, tanah dan binatang peliharaan mereka apabila sampai masa untuk menunaikan haji.

Dana yang dikumpulkan dilabur di dalam pelaburan yang bersesuaian selari dengan sebuah tabungan.

Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji Malaya (PWSBH) yang ditubuhkan di dalam tahun 1963 hanyalah sebuah institusi yang menguruskan tabungan semata-mata. Ia tidak ada tanggungjawab untuk menguruskan kerja-kerja haji.

Lembaga Urusan dan Tabung Haji hanya ditubuhkan pada tahun 1969 di mana tabungan dan urusan haji digabungkan. Jadi, konsep subsidi haji pun adalah satu ”bid’ah” yang diperkenalkan hanya pada tahun 2001.

Kegilaan untuk membeli kebun durian hanya kerana teringin nak makan durian ini banyak masalahnya. Kebun durian perlu diurus secara pakar.

Kalau salah urus boleh membawa kerugian pula. Dari nak makan durian akhirnya kena menanggung biawak hidup.

Saya amat berharap kita mencari penyelesaian dengan cara yang berhati-hati terutamanya apabila melibatkan dana awam atau dana pihak ketiga seperti yang diuruskan oleh GLIC.

Jika penyelesaian yang dipilih menyebabkan rakyat, pendeposit, pencarum dan pesara menanggung kos yang tidak patut mereka tanggung, itu adalah satu pengkhianatan walaupun dibuat di atas slogan-slogan berbunyi “mulia”.

Di akhirat nanti, macam mana nak jawab?

Ku Li cabar keputusan PRU15, dakwa calon PAS beli undi

Malaysiakini

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi parlimen berkenaan.

Petisyen itu difailkan oleh Mohd Azmi Mahmood, bagi pihak pemimpin veteran Umno itu pada 3 Jan lalu.

Tengku Razaliegh diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, Mohd Hafarizam Harun, Abu Bakar Isa Ramat dan Mohd Baharudeen Mohd Ariff.

Menurut laporan Astro Awani, petisyen itu menamakan Ahli Parlimen Gua Musang dari PN, Mohd Azizi Abu Naim, pegawai pengurus pilihan raya Ab Fattah Hasbullah, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Petisyen berkenaan antara lain meminta agar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang dibatalkan dan menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi tersebut.

"Anak guam kami mendakwa berlaku politik wang dalam pilihan raya tersebut selain beberapa situasi yang mengganggu perjalanan proses pengundian," kata Abu Bakar seperti dilapor portal berita itu.

Abu Bakar berkata, selai pemberian wang kepada pengundi, anak guamnya mendakwa beberapa peti undi dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) tidak dikira, selain kertas undi tidak dikembalikan.

Pengurusan kes itu dibacakan buat kali pertama di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Nik Habri Muhamad, di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Khamis. Manakala pengurusan kes seterusnya akan didengar pada 25 Januari.

Pada PRU15, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li gagal mempertahankan kerusi parlimen Gua Musang untuk penggal ke-12 apabila tewas kepada Mohd Azizi dari PAS.

Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis 163 undi selepas memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh mendapat 21,663 undi.

Hamzah Zainudin: 'Wallahi... sehari selepas PRU, Mohamad Hasan datang ke rumah saya'

Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@nstp.com.my

TUMPAT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa bahawa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak bercakap jujur apabila menyatakan DAP lebih baik berbanding PAS yang menjadi antara alasan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mendakwa, ia kerana Ahli Parlimen Rembau itu bercakap sebaliknya sebelum ini.

"Saya wallahi nak cerita... sehari selepas Pilihan Raya Umum (PRU), beliau (Mohamad) ada datang ke rumah saya.

Takiyuddin sahkan ada pertemuan PN, pimpinan tertinggi BN diketuai Mohamad Hasan

"Apa yang disampaikan kepada saya ialah: 'Brother, saya hendak maklumkan sekiranya Presiden UMNO mahu bekerjasama dengan DAP, saya orang pertama yang akan menentang'.

"Malah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menjadi saksi pertemuan dan kata-kata itu.

"Namun, apabila beliau kini menyatakan DAP lebih ikhlas dan lebih baik... apahal manusia macam ini. Sejak akhir-akhir ini, mereka sentiasa bercakap pusing-pusing," dakwanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir, PN Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok, di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dan Takiyuddin.

Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam, berkata UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU15 kerana parti itu tidak bermuka-muka serta tidak berpura-pura dalam setia kawan.

Sebaliknya, Mohamad berkata, UMNO sukar bekerjasama dengan PAS kerana mendakwa PAS tidak pernah setia atau ikhlas, malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan atau 'janda' UMNO.

Mengulas lanjut, Hamzah mengaku terkejut apabila mendengar ucapan Mohamad pada perhimpunan agung parti itu, semalam.

"Jika mereka menyatakan DAP lebih baik daripada PAS, ini bermakna UMNO sudah tidak betul... mana boleh DAP lebih baik (daripada PAS).

"Justeru, saya yakin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, rakyat sudah pasti tidak akan menyokong mereka yang menyatakan DAP lebih baik berbanding PAS," katanya.

‘Pemimpin Umno dibebas mahkamah tak boleh nak tuduh AG niat jahat’

Hidir Reduan Abdul Rashid

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir mengingatkan Umno bahawa pembebasan semata-mata beberapa pemimpin parti itu yang didakwa di mahkamah semasa Tommy Thomas memegang jawatan Peguam Negara (AG) adalah tidak mencukupi untuk menuduhnya membuat pendakwaan yang salah terhadap mereka.

Salim berkata demikian ketika mengulas gesaan Pemuda Umno yang mengajak para pemimpin parti itu yang dibebaskan supaya berpakat menyaman Thomas atas niat jahat dan fitnah.

“Secara amnya, budi bicara pihak berkuasa pendakwaan (AG) adalah non-justiciable (tidak boleh dicabar di mahkamah) atau peguam negara tidak perlu menjawab setiap keputusan untuk mendakwa di mahkamah. Ini dikecuali dapat dibuktikan bahawa budi bicaranya diselubungi dengan niat jahat dan penipuan.

“Sekadar pembebasan daripada pertuduhan sahaja tidak bermakna institusi prosiding jenayah tidak mempunyai sebab yang munasabah.

“Pemberian pembebasan sahaja dan mendakwa diri tidak bersalah tidak boleh mengekalkan saman salah guna dalam jawatan awam dan pendakwaan berniat jahat, kerana secara ideal alasan pembebasan mungkin disebabkan oleh banyak aspek di bawah undang-undang.

“Seseorang (yang berniat untuk menyaman Peguam Negara atas dakwaan pendakwaan berniat jahat) mesti menunjukkan bahawa pendakwaan terhadapnya dimulakan tanpa sebab yang munasabah dan dengan niat jahat untuk mencederakan tertuduh, dan berdasarkan alasan mengabaikan undang-undang dan fakta kes secara terang-terangan,” kata Salim kepada Malaysiakini.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemimpin parti yang didakwa di mahkamah semasa Thomas menjadi peguam negara dan kemudian dibebaskan perlu menyaman Thomas atas niat jahat dan fitnah.

Dia mendakwa terdapat unsur pendakwaan terpilih dan pengaruh politik dalam badan kehakiman negara pada ketika itu.

“Pemuda Umno ingin mencadangkan agar semua pemimpin Umno yang telah dibebaskan oleh mahkamah agar bersepakat menyaman Tommy Thomas yang terbukti berniat jahat hanya untuk memalukan dan merosakkan reputasi Umno dengan pendakwaan politik terpilih.

"Biar (tindakan menyaman itu) menjadi pengajaran bahawa Melayu-Umno ini bangsa yang tidak pernah tunduk kepada ugutan, tidak mengemis belas kasihan, tidak melutut kepada kezaliman," tegas Asyraf ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung tahunan Pemuda Umno yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Thomas dilantik sebagai AG selepas Pakatan Harapan berkuasa pada 2018. Dia berkhidmat sehingga Februari 2020 sebelum meletak jawatan apabila kerajaan persekutuan PH runtuh akibat rampasan kuasa politik.

Semasa Thomas berkhidmat sebagai peguam tertinggi negara, sebilangan besar pemimpin Umno telah didakwa di mahkamah.

Mereka termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, yang sejak itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan rasuah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.

Antara pemimpin lain yang didakwa ketika itu, Shahrir Samad, Ahmad Maslan, Abdul Azeez Abdul Rahim, Musa Aman, Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Bung Moktar Radin dan Isa Samad.

Sejak itu, beberapa daripada mereka telah dibebaskan oleh mahkamah termasuk Tengku Adnan, Shahrir dan Ahmad Maslan.

Tragedi ngeri Bukit Raja

Ruwaida Md Zain

am@hmetro.com.my
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan ada mangsa tersepit dan meninggal dunia. FOTO ihsan BOMBA

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan ada mangsa tersepit dan meninggal dunia. FOTO ihsan BOMBA
Shah Alam: Seorang lelaki yang juga pemandu kereta maut tersepit sejurus kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Persekutuan susur keluar Bukit Raja di sini.

Dalam kejadian jam 7.47 pagi tadi, dua mangsa turut cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan lima kereta.

Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, siasatan mendapati kemalangan membabitkan enam kenderaan yang dirempuh berturut-turut.

"Akibat perlanggaran itu, tiga mangsa tersepit manakala dua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam.

"Kedua-dua mangsa mengalami cedera parah dan diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans," katanya.

Sementara itu katanya, seorang lagi mangsa lelaki yang tersepit di dalam kereta model Proton dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

"Mayat mangsa berusia 57 tahun itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu katanya, bomba menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan konsep RECEO iaitu memotong kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.49 pagi," katanya.

Usul tak pertanding jawatan ‘top 2’ Umno dibentang, perwakilan sambut dengan ‘boo’

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Sidang Perhimpunan Agung Umno 2022 menyaksikan pembentangan usul tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden parti pada pemilihan Mei ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi mengesahkan pembentangan usul tidak mencabar jawatan “top two” itu kepada FMT.

Katanya, usul dicadangkan oleh Umno Negeri Sembilan, dengan sokongan Umno Marang.

“Undian esok,” katanya, menerusi WhatsApp.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan Dewan Negara dimana berlangsungnya mesyuarat tahunan Umno itu kecoh, kerana beberapa perwakilan mengebu usul itu.

Pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno belum memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi itu akan dipertandingkan pada pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei, atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Semalam, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, meminta ahli yang mahu bertanding lima jawatan tertinggi parti termasuk presiden dan timbalan presiden, membuat pengumuman secara terbuka menjelang pemilihan yang akan diadakan pertengahan tahun ini.

Katanya, individu yang mahu bertanding jawatan berkenaan diingatkan tidak membuat “gerakan dalam gelap” di belakang parti untuk merebut kedudukan itu.

Pendedahan Zahid boleh 'makan diri'

FARAH SHAZWANI ALI

SHAH ALAM - Tindakan mendedahkan seramai 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri boleh ‘memakan diri’.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tindakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga disifatkan sebagai ‘ketakutan’ dalam menghadapi pemilihan jawatan Presiden.

Menurut Ahmad Atory, pendedahan itu juga akan memberikan tanggapan serong kepada Ahmad Zahid kerana sanggup ‘berkomplot’ dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekerjasama dengan DAP sedangkan akar umbi UMNO berpegang teguh terhadap prinsip No Anwar, No DAP.

“Kenapa bercerita tentang itu (10 nama) sedangkan beliau (Ahmad Zahid) sendiri melanggar ketetapan PAU dan MKT. Saya rasa pendedahan itu tidak memberi kesan kerana ahli UMNO dan rakyat tahu siapa 10 orang itu.

“Mereka bukan ahli biasa tapi merupakan ahli Parlimen. Ahli UMNO yang setia, tahu gelagat pemimpin mereka.

“Mungkin tindakan Zahid itu untuk mendapatkan sokongan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Tapi tindak-tanduknya diperhatikan akar umbi. Mereka tunggu masa dan melihat pilihan raya negeri (PRN) nanti, bagaimana penerimaan rakyat. Adakah ahli UMNO merestui atau tidak ‘hubungan’ UMNO dan DAP?” katanya

Pendedahan 10 ahli Parlimen itu dibuat oleh Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Rabu.

Ahmad Atory berkata, tindakan 140 Ketua UMNO Bahagian bersolidariti agar jawatan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO dijangka Mei nanti, juga sebagai tidak demokratik.

“Ahli UMNO tidak boleh ‘dirantai’. Mana boleh sebuah parti menghalang jawatan utama tidak dipertandingkan, ia melanggar perlembagaan parti,” jelasnya.

PH anggap MB Terengganu, Exco ‘boikot’ PM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pakatan Harapan Terengganu menganggap Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar dan Exco memboikot Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana tidak ada alasan berasas mewajarkan ketiadaan mereka ketika lawatan kerja ketua kerajaan pusat itu.

Ketua Penerangan Mohd Sufian Mat Ali menolak alasan tiada makluman rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri kerana setiausaha kerajaan negeri sendiri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, hadir menyambut Anwar.

“Menteri besar dan Exco perlu muhasabah dan perbaiki profesionalisme mereka bagi kepentingan negeri berbanding politik mereka,” katanya dalam kenyataan.

Selepas lawatan kerja yang antara lain menyaksikan Anwar menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin, perdana menteri mengumumkan pertemuan dengan kerajaan negeri akan dibuat selepas “suhu politik dileraikan”.

Sultan Terengganu telah diberitahu mengenai perkara itu, yang tidak dijelaskan dalam kenyataan perdana menteri. Anwar berikrar setiap negeri akan diberi layanan setara dan saksama.

PH Terengganu membandingkan tindakan menteri besar Terengganu dan exconya dengan pemimpin Kelantan, yang sekalipun tidak membelakangi perdana menteri. Terengganu dan Kelantan masing-masing ditadbir PAS.

“Hubungan antara kerajaan negeri dan pusat seharusnya dilangsung dengan baik demi kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri,” kata Sufian.

Apa sudah jadi dengan Kuala Lumpur sekarang?

LAMBAKAN warga asing yang mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar ibu kota sempena cuti umum. – UTUSAN/AMIR KHALID

SAUDARA PENGARANG,

APA sudah jadi dengan Kuala Lumpur? Sana sini kita boleh melihat warga asing berniaga secara terang-terangan.

Operasi penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti banyak tertumpu di Pasar Borong Selayang tetapi kurang atau tiada di Jalan Silang, Chinatown, Pudu dan Bukit Bintang yang nampaknya sudah menjadi macam wilayah Bangladesh dan Myanmar. Malah, peniaga warga Indonesia dan Pakistan pula seperti memonopoli sekitar Chow Kit.

Ingat lagi ketika zaman Tan Sri Annuar Musa menjawat jawatan Menteri Wilayah, ketika itu, penguat kuasa DBKL agresif membuat operasi di lokasi warga asing berniaga. Semua tempat mereka terjah. Sebenarnya memang boleh buat jika ada keseriusan.

Pembuat dasar mengenai sosioekonomi tidak sedarkah bahawa peniaga-peniaga tempatan teutama bangsa Melayu di ibu kota berniaga di bawah payung di tepi jalan manakala warga asing seperti Bangladesh dan Pakistan mampu membuka kedai sendiri, malah mampu menyewa lot dalam kompleks beli belah seperti di Plaza Low Yat dan Kenanga Wholesale? Lebih hebat ada yang mempunyai cawangan pasar raya di beberapa lokasi.

Justeru, saya sarankan agar pengurusan tertinggi DBKL turun padang dan melihat sendiri suasana Kuala Lumpur di lokasi yang disebut terutama ketika hari Ahad dan cuti umum. Keadaan di sana sudah berubah wajah sama sekali.

Pengunjung warga asing berkerumun seperti semut di kedai-kedai milik rakyat sebangsa. Pelancong asing yang pertama kali ke Kuala Lumpur pun naik hairan tengok suasana di tengah bandar raya Kuala Lumpur yang tidak ubah seperti Dhaka dan Yangon.

Inikah imej ibu negara Malaysia yang hendak ditunjuk pada orang luar? Jabatan Imigresen juga perlu menyiasat bagaimana warga asing yang asalnya masuk sebagai buruh tetapi kini menguasai sektor perniagaan. Sementara rakyat kita pula sampai ke tahap meminta kerja dengan warga asing.

Peniaga dan pekerja asing sudah menjadi isu yang jauh lebih besar daripada masalah pendatang tanpa izin (PATI) ekoran warga asing menguasai ekonomi negara ini sedangkan rakyat sendiri susah sehingga mereka terpaksa memohon bantuan daripada kerajaan.

Mohon juga Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengambil berat isu ini kerana bumi yang dipijak kini betul-betul menjadi milik orang akibat kealpaan kita. -UTUSAN

PEMERHATI

Kuala Lumpur

Takiyuddin: PRN sebelum tamat tempoh penggal DUN

Wanna Abd Rahim

TUMPAT: Pas mengekalkan pendirian untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri bagi negeri-negeri yang dikuasai mereka sebelum tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia akan berlaku sebelum habis tempoh mandat iaitu sehingga Mei 2023 nanti.

"Ia akan dibuat sebelum habis tempoh lima tahun," katanya di Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir, PN Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok, di sini, pada Khamis.

Untuk rekod, enam negeri tidak membubarkan DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang berada di bawah Pakatan Harapan (PH), dan Terengganu, Kelantan dan Kedah yang berada di bawah Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) itu mengesahkan, berlakunya pertemuan antara PN dengan kumpulan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) di Hotel St Regis sebelum kerajaan baharu dibentuk pasca PRU15.

Takiyuddin berkata, pemimpin BN membawa senarai tawaran yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) kepada BN.

Terdahulu, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan wujudnya 'Langkah St Regis' yang membabitkan beberapa Ahli Parlimen daripada parti itu dengan pemimpin PN.

Kurang Ajar!! Kehadiran PM di T'ganu tak disambut pimpinan kerajaan negeri

Malaysiakini

Pada Disember lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghulurkan "salam perdamaian" kepada kerajaan PN di Kelantan dan Terengganu dengan mengumumkan bantuan sebanyak RM50 juta susulan banjir yang melanda dua negeri itu.

Namun, timbul pertikaian pihak mana yang harus mengendalikan bantuan itu jika ia tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Bantuan itu sebaliknya diuruskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) iaitu agensi di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

Dipercayai ia menyebabkan kedatangan Anwar ke Terengganu hari ini tidak disambut kerajaan negeri mahupun wakilnya.

Ia walaupun Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar memang ada di negeri itu hari ini. Dia antara lain hadir di acara mengagihkan bantuan banjir anjuran PN di Besut.

Ditanya berkenaan dakwaan Terengganu dipinggirkan, Samsuri berkata kerajaan persekutuan sepatutnya menghormati Perlembagaan Persekutuan.

"Saya tidak mahu komen soal anak tiri atau tidak, tetapi minta kerajaan persekutuan menghayati semangat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan dari segi bidang kuasa jadual bersama antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Jadual tersebut berkenaan bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk soal bantuan sosial.

Kata Samsuri, segala perbincangan dan penyelarasan perlu dihormati dalam melaksanakan kuasa berdasarkan jadual itu.

"Kita percaya mereka tidak ingin laksanakan politik sengketa, namun terpulang kepada mereka," katanya lagi.

Begitu juga dengan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob yang berkata kerajaan negeri tidak tahu bagaimana bantuan tersebut akan diagihkan kepada penduduk di negeri itu.

"Kita berpegang pada janji perdana menteri kata nak beri RM50 juta kepada Kelantan dan Terengganu dan sekarang disalurkan kepada JPP negeri Kelantan.

"Jadi kita tak tahu macam mana bantuan itu akan diagih kepada rakyat Kelantan," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan banjir Perikatan Nasional (PN) di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata kunjungannya ke Terengganu hari ini "bukan untuk mencerca sesiapa" tetapi demi rakyat.

"Saya amat berharap kita dapat menghormati pilihan yang telah dibuat rakyat pada PRU15 yang lalu dan hentikan sentimen politik yang keterlaluan dan merosakkan," katanya.

Kata Anwar, dia berharap dapat bertemu kerajaan Terengganu setelah keadaan politik mereda.

Dia bagaimanapun tidak menyentuh soal dana RM50 juta tidak disalurkan secara terus kepada masing-masing kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun dia berkata telah bertemu dengan ketua-ketua jabatan persekutuan di Terengganu harini dan mengingatkan mereka bahawa setiap negeri perlu dilayan secara setara.

"Saya adalah perdana menteri untuk semua negeri, dan layanan kepada setiap negeri adalah setara dan saksama," katanya lagi.

Anwar dedah banyak kecurangan keterlaluan di MOF

NAZRIN ZULKAFLI

KUALA NERUS - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat banyak kecurangan yang dianggap keterlaluan di Kementerian Kewangan (MOF).

Beliau berkata, kecurangan itu dilihat ketika menyemak fail-fail di kementerian terbabit.

“Namun urusan untuk menyiasat bukan urusan saya. Urusan saya adalah menetapkan dasar dan menegakkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu di Dewan Senat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Khamis.

Anwar berkata, perkara tersebut disentuh kerana beliau mahu penjawat awam memahami bahawa ketelanjuran tidak harus berterusan.

“Sebagai contoh, projek tebatan banjir adalah hal mendesak dan ia akan diluluskan tanpa tender bagi memudah dan menyegerakan projek tersebut kerana ia melibatkan keselamatan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, budaya kesederhanaan yang dilakukannya bermula dari peringkat atasan kerana adalah tidak adil untuknya menyergah pejabat daerah atau negeri terlebih dahulu.

“Tetapi di peringkat Persekutuan budaya itu kekal bobrok.

“Saya hadir ke Terengganu tadi bukan untuk mencerca sesiapa, tetapi untuk berpakat demi kepentingan rakyat,” katanya.

Anwar juga mengingatkan semua pegawai kanan dan ketua jabatan kerajaan Persekutuan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua negeri.

Oleh itu katanya, layanan kepada setiap negeri adalah setara dan saksama.

“Insya-ALLAH saya akan ketemu kerajaan Terengganu setelah suhu politik dileraikan.

“Saya turut memberitahu perkara tersebut kepada Tuanku Sultan Terengganu dalam sesi menghadap pagi tadi,” katanya.

Beliau juga menyeru penjawat awam agar menerapkan prinsip akauntabiliti demokrasi dalam mendirikan kebijakan yang baik untuk rakyat.

“Kita sebagai pembuat dan pelaksana dasar tidak harus bersikap leka dan mesti buat sedaya upaya untuk memungkinkan perubahan,” katanya.

Anwar amat berharap agar semua dapat menghormati pilihan yang telah dibuat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan hentikan sentimen politik yang keterlaluan serta merosakkan.

Murid patah kaki kanan saman cikgu

Zatul Iffah Zolkiply

zatuliffah@hmetro.com.my
NOR Azlina berbincang dengan Mohd Hazwan  (tengah) di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
NOR Azlina berbincang dengan Mohd Hazwan (tengah) di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Murid tahun tiga memfailkan saman sivil terhadap seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) yang didakwa menyebabkan cedera parah sehingga patah tulang kaki kanan pada Julai tahun lalu.

Saman sivil terhadap guru Kafa, Ahmad Mursyidin Abdullah, 38, dan Yayasan Islam Terengganu itu dikemukakan ibu plaintif, Nor Azlina Mohamad Yasin, 37, yang mewakili anaknya menerusi peguam, Mohd Hazwan Hamidun dari Firma Guaman Tetuan Rafaei & Co di Mahkamah Sesyen di sini.

Saman sivil itu difailkan terhadap dua defendan bagi tuntutan ganti secara bersama dan berasingan sebanyak RM410,000 termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta ganti rugi khas.

Mohd Hazwan berkata, tuntutan sivil bagi anak guamnya dilakukan kerana tindakan defendan pertama mengangkat dan menghempaskan plaintif ke atas sebuah kerusi menyebabkannya patah tulang kaki kanan dan keretakan pada bahagian yang lain.

Katanya, tindakan defendan pertama turut menyebabkan plaintif yang ketika itu berusia sembilan tahun terpaksa menjalani rawatan pemulihan dan kemungkinan perlu menjalani pembedahan sekali gus berisiko mengalami kecacatan kekal akibat kecederaan dialaminya.

"Plaintif turut mengalami tekanan emosi dan mental di atas kejadian menimpanya selain ketinggalan di dalam sesi pembelajaran di sekolah akibat terpaksa menjalani rawatan pemulihan disebabkan tindakan defendan pertama.

"Tindakan defendan pertama adalah tidak wajar sama sekali sebagai seorang pengajar yang sedang mendidik pelajar yang berumur sembilan tahun bertentangan dengan tingkah laku serta akhlak sebagai seorang pendidik selain jelas gagal mengawal emosinya dalam menangani tingkah laku pelajar di bawah umur," katanya.

Mohd Hazwan berkata, sebagai majikan, defendan kedua mempunyai tugas memastikan tenaga pengajar yang dilantik adalah berkelayakan menjalankan tugas dan kerja-kerja mendidik dengan cara yang baik serta berhemat bersesuaian dengan pelajaran yang akan diajar.

"Defendan kedua melakukan kecuaian di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan kepada plaintif disebabkan perbuatan defendan pertama.

"Walaupun defendan pertama sudah didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Marang pada 12 Oktober tahun lalu, kita failkan tindakan sivil supaya anak guam saya mendapat ganti rugi disebabkan kecederaan dialaminya yang membataskan pergerakannya," katanya

Susulan saman difailkan itu, mahkamah menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan kes.

Sementara itu, Nor Azlina berharap anaknya mendapat keadilan ke atas kecederaan yang dialaminya selain berharap tuntutan itu dapat digunakan anaknya pada masa akan datang.

"Kejadian itu menyebabkan anak saya patah tulang dan tentunya dia akan berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana tidak boleh melakukan kerja-kerja yang berat.

"Selain itu, kejadian itu turut menyebabkan anak trauma sehingga terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri dan sehingga kini, anak masih mendapatkan rawatan secara berkala di Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya.

Warga emas rentung terperangkap rumah terbakar

Bernama

PADANG BESAR: Seorang wanita warga emas yang tinggal bersendirian maut dalam kejadian kebakaran di kediamannya di Felcra Lubuk Sireh hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata dalam kejadian lebih kurang 1.20 tengah hari itu, wanita tersebut terperangkap di dalam rumahnya.

“Setelah kebakaran berjaya dipadamkan oleh sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat pada 1.35 tengah hari, mereka menemukan mayat seorang wanita berusia 61 tahun itu di dalam sebuah bilik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa terbakar hampir 90 peratus dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.

Katanya kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak bomba.

Dron pelancong China langgar Menara Merdeka 118

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas kecoh dua kejadian pencerobohan puncak bangunan kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka 118, timbul pula insiden pelancong dari China yang menerbangkan dron di menara berkenaan.

Pelancong China terbabit menerbangkan dron untuk mengambil gambar dan video menara berkenaan sebelum terlanggar bangunan itu dan terhempas.

Dalam video yang dimuat naik di aplikasi media sosial China, Bilibili, individu berkenaan memaklumkan dia menerbangkan dron bagi menunjukkan ketinggian Menara Merdeka 118.

Ketika berada di kawasan bangunan berkenaan, pelancong itu bertanyakan kepada pekerja warga asing sama ada dibenarkan menerbangkan dron berhampiran menara itu.

Pekerja warga asing itu kemudian terus membawa pelancong berkenaan ke laluan di bahagian belakang dan selepas memilih tempat di platform yang tinggi, pelancong itu kemudian menerbangkan dron untuk mengambil gambar dan video di ruang udara sekitar bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, dron itu kemudian hilang kawalan sebelum dan melanggar bangunan terbabit sebelum terhempas menyebabkan lelaki terbabit panik.

Pelancong berkenaan yang dilihat panik berlari di sekitar bangunan itu untuk mendapatkan semula dron terbabit dan video berkenaan tamat dengan gelagat lelaki itu berlari dalam keadaan panik untuk mencari dron miliknya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan tiada laporan diterima pihaknya berhubung kejadian itu setakat ini.

Sementara itu, pihak PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang membuat semakan berhubung perkara berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di menara Merdeka 118 susulan terdapat satu lagi rakaman video tular bangunan berkenaan diceroboh sekumpulan lelaki, baru-baru ini.

PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad dalam kenyataan, kelmarin, memaklumkan insiden itu berlaku pada 1 Mei tahun lalu.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan dari Rusia, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau memuat naik rakaman dari puncak berkenaan di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pasangan itu turut menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara itu untuk naik ke puncak.

Beri rakan bergambar dengan senjata, anggota polis disiasat

FMT Reporters
Gambar tular menunjukkan seorang lelaki memegang senjata milik anggota polis. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA: Polis Johor menyiasat seorang anggotanya kerana membenarkan rakan bergambar sambil memegang senjata api miliknya sebelum memuat naik gambar itu di media sosial.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata gambar itu yang kini tular di media sosial didapati dirakam di depan Balai Polis Taman Johor Jaya, pada 2.43 pagi Rabu lalu, lapor Sinar Harian.

“Polis telah mengesan satu gambar tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam polis sedang menghisap rokok bersama seorang orang awam yang sedang memegang senjata api milik anggota polis berkenaan.

“Orang awam yang merupakan rakan kepada anggota tersebut dilihat memegang senjata api jenis HK-MP5,” katanya yang memberitahu anggota itu bertugas di pos pengawal ketika gambar diambil.

Katanya, siasatan mendapati anggota polis, orang awam yang memegang senjata api dan seorang lagi individu awam yang merakam gambar itu adalah rakan dan semuanya berusia 25 tahun

“Difahamkan, tujuan gambar tersebut diambil adalah sebagai kenang-kenangan, namun ia dimuat naik ke media sosial sehingga menjadi tular,” katanya.

Menurutnya, tindakan anggota polis itu yang membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah kesalahan yang melanggar tatakelakuan.

“Siasatan lanjut dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Seri Alam.

“Anggota terlibat boleh dikenakan tindakan bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

'Guru diugut, tayar ditoreh lepas mengadu rakan sekerja ponteng'

Malaysiakini

Seorang guru di Sabah berkata dia menerima ancaman terhadap keselamatannya dan tayar keretanya ditoreh selepas dia berulang kali membangkitkan isu ponteng rakan sekerja di sekolahnya.

Nurhaiza Ejab, 37, seorang guru di SMK Taun Gusi ketika itu, memberi keterangan bahawa rakan sekerjanya mengingatkannya supaya tidak "mencemarkan nama baik sekolah" dengan mengadu ketidakhadiran guru Bahasa Inggeris Mohd Jainal Jamran kepada pegawai pendidikan daerah Kota Belud.

Menjawab soalan peguam persekutuan Fazriel Fardiansyah semasa perbicaraan pada Selasa, dia juga mengesahkan bahawa sebelum ini dia telah memberi keterangan tayar keretanya telah ditoreh pada 2015 dan dia membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Fazriel merujuk kepada keterangannya pada November lalu apabila dia berkata dia "diugut" oleh ketua Jabatan Bahasa Norhana Idek, dan seorang lagi guru, Awang Erawan, jika dia bercakap mengenai ponteng sekolah Jainal.

"Saya dimalukan, dimarahi, dipersalahkan, menjadi kambing hitam dan dua kali diugut bunuh, dan tayar kereta saya dipotong beberapa hari sejurus selepas ugutan bunuh itu," katanya kepada Hakim Leonard David Shim di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 25 Nov.

Dia berkata aduan dan laporannya juga tidak didengari pada 2015, jadi apabila isu itu berulang dengan guru yang sama pada 2017, dia mengambil strategi berbeza.

Ini termasuk membuat 80 rakaman video kelas dengan rekod masa ketika Jainal sepatutnya mengajar tetapi tidak hadir ke kelas, katanya.

Guru itu saksi kesepuluh dalam saman sivil oleh tiga bekas pelajar SMK Taun Gusi, Kota Belud - Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung.

Para pelajar yang kemukakan saman sivil bersama barisan pegiam mereka.

Mereka menamakan guru Bahasa Inggeris Tingkatan 4 mereka Jainal, pengetua sekolah Suid Hanapi, ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.

Ketiga-tiga mereka berkata Jainal tidak hadir untuk mengajar selama beberapa bulan pada 2017, manakala defendan lain tidak mengambil tindakan munasabah walaupun dimaklumkan mengenai ketidakhadirannya.

Ini saman kedua yang difailkan oleh pelajar terhadap defendan yang sama.

Kes pertama difailkan oleh bekas pelajar SMK Taun Gusi Siti Nafirah Siman pada 2018 manakala kes kedua difailkan pada 2020.

Kes Siti Nafirah (gambar, atas) merujuk kepada dakwaan Jainal ponteng sekolah pada 2015.

Pada Selasa (10 Jan), peguam persekutuan mengesahkan bahawa ugutan itu berlaku pada 2015, untuk membezakannya daripada saman kedua, yang berkaitan dengan insiden pada 2017.

Transkrip mahkamah dan notis prosiding dibekalkan kepada Malaysiakini oleh kumpulan advokasi Tiada Guru, yang memperjuangkan kes plaintif.

Guru sahkan dua bulan tidak hadir

Sementara itu, defendan pertama Jainal turut memberi keterangan pada Selasa dan Rabu (11 Jan).

Katanya, selain menjadi guru Bahasa Inggeris, dia mempunyai tugasan lain termasuk menjadi jurulatih bola keranjang sekolah, bertanggungjawab ke atas koperasi sekolah dan data peperiksaan serta pemain boling daerah untuk ‘Karnival Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajar’.

Oleh itu, dia mungkin tidak dapat hadir ke kelas untuk menjalankan tugas lain, katanya.

Jainal turut mengesahkan berdasarkan dokumentasi jabatan pendidikan negeri, dia tidak hadir dalam pelajaran Bahasa Inggeris di kelas plaintif sebanyak 11 kali pada Ogos 2017 dan 11 kali lagi pada bulan berikutnya.

Ini bersamaan dengan semua kelas plaintif untuk pelajaran Bahasa Inggeris pada bulan-bulan tersebut.

Sementara itu, Jainal juga memberi keterangan dia berada di sekolah itu selama dua hari berkenaan.

Guru itu juga bersetuju berdasarkan dokumen jabatan pendidikan negeri, dia juga tidak hadir pada 6, 17 dan 20 Julai 2017, tetapi menegaskan dokumen itu disediakan selepas bertukar ke SMK Taun Gusi 2.

Jainal bagaimanapun menafikan dakwaan plaintif bahawa dia telah memberikan mereka "soalan peperiksaan bocor" untuk peperiksaan akhir Bahasa Inggeris 2017.

Sebaliknya, katanya, ia adalah soalan ramalan.

'Tiada tindakan kerana hanya pelajar yang mengadu'

Turut memberi keterangan pada Rabu ialah defendan kedua, pengetua sekolah Suid Hanapi, yang telah bersara daripada tugasnya.

Dia memberi keterangan mengenai menerima aduan Jainal ponteng sekolah pada November 2017.

“November 2017 sudah akhir persekolahan tetapi saya telah mengarahkan Ketua Bidang Bahasa menggantikan Encik Jainal Jamran bermula Januari 2018 sehingga Disember 2018,” katanya memberi keterangan.

Ditanya mengapa tiada tindakan lain diambil terhadap Jainal, Suid berkata tiada laporan rasmi terhadap Jainal selain aduan daripada seorang pelajar.

Dia juga berkata pelajar tersebut berkemungkinan tidak mengambil serius perkara itu kerana mereka hanya mengadu pada lewat penggal.

Suid turut menafikan dia mengetahui Jainal sering ponteng sekolah walaupun mengesahkan menerima aduan daripada seorang pelajar.

Saksi akhir defendan, ketua jabatan bahasa sekolah itu Norhana bersetuju dengan pengetua yang telah bersara bahawa aduan berkenaan terlalu lewat pada tahun tersebut.

Bagaimanapun, dia juga setuju dengan peguam plaintif Sherzali Asli bahawa isu ketidakhadiran Jainal diketahui sebelum 2017.

Sesi penghujahan dijadual berlangsung pada 27 Mac depan.

MP Jelebu: Tandatangan SD sokong Muhyiddin bukan khianat BN

Haspaizi Zain

Menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15 bukan bermaksud mengkhianati parti, jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Jalaluddin Alias.

Sebaliknya, kata Jalaluddin pengkhianatan kepada parti apabila bersama dengan pembangkang untuk mengalahkan calon BN.

Ahli Parlimen Jelebu itu antara 10 wakil rakyat Umno memberi akuan bersumpah (SD) kepada Muhyiddin selepas PRU15.

"Tentang 10 ahli parlimen termasuk saya ketika itu, kita buat satu keputusan berdasarkan kepada naratif parti. Tetapi bila parti sudah buat keputusan akhir untuk menerima kerajaan perpaduan, maka yang 10 itu menarik diri, buat pembatalan SD dan mengikut keputusan parti.

"Saya tidak fikir itu satu perkara yang membelakangkan parti atau boleh dikatakan khianat kepada parti.

"Khianat kepada parti ialah (apabila) kita bersama dengan parti pembangkang untuk mengalahkan calon BN ketika kita menghadapi pilihan raya umum (PRU), itu khianat kepada parti.

"Yang saya maklum, termasuk saya, ketika kita menghadapi PRU kita berusaha sebaik mungkin untuk menangkan parti," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, ketika taklimat presiden pada PAU2022 mendedahkan 10 ahli parlimen Umno yang menyerahkan SD sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Jalaludin antara 10 ahli parlimen Umno yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

Bagaimanapun, SD sokongan terbabit ditarik balik selepas BN membuat keputusan bersetuju untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Jalaluddin berkata, dia yang bertanding atas tiket BN akur dengan apa juga keputusan ditetapkan oleh parti.

Tak nampak negatif ucapan presiden

"Saya bertanding atas (tiket) BN. Bila parti buat keputusan, kita akur.

"Saya tak nampak sudut negatif dalam ucapan presiden atau timbalan presiden. Ini ucapan yang lebih realistik, futuristic dan memiliki visi yang menampakkan perjalanan ke hadapan yang lebih jelas.

"Bila parti sudah buat keputusan, bahawa ini keputusan parti untuk menerima Pakatan Harapan (PH) sebagai sebahagian gabungan dalam kerajaan perpaduan, kita okay dan tarik SD berkenaan.

"Kecuali bila parti dah buat keputusan, kita masih kekal dengan pendirian itu, itu sudah khianat pada keputusan parti," katanya lagi.

Ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap pengkhianat parti, Jalaluddin berkata ia perlu melihat sama sesuatu tindakan itu melanggar perlembagaan parti atau sebaliknya.

A Kadir Jasin: Umno umpama kutu dipelihara semut

A Kadir Jasin

Dalam taklimat menjelang Perhimpunan Agung Umno yang bermula semalam, ahli diseru optimistik ketika menghadapi cabaran. Izinkan saya membuat sedikit catatan mengenai parti tua itu.

Walaupun saya sudah keluar parti itu sejak 2015, namun saya masih ingat sejarah dan sumbangannya kepada negara kita, Malaysia.

Umno terpelanting daripada tampuk kuasa mulai pilihan raya umum 2018 bukan kerana orang Melayu suka-suka menolaknya atau tergila-gila menyokong Pakatan Harapan (PH).

Sebahagian orang Melayu, termasuk di kubu-kubu kuat Umno di kampung tradisional dan rancangan Felda sejak pilihan raya umum 2018 menolak Umno kerana tingkah laku buruk dan perbuatan jenayah pemimpin-pemimpinnya sendiri.

Mereka menolak Umno bukan kerana tarikan (pull factor) oleh pembangkang tetapi kerana tolakan (push factor) oleh Umno sendiri.

Faktor tolakan dari dalam akibat tingkah laku buruk dan perbuatan jenayah pemimpin Umno masih mendalam dan berterusan seperti terbukti dalam PRU Ke-15 November lalu.

Walaupun bekas presidennya, Najib Razak, telah didapati bersalah dan dipenjarakan, isterinya, Rosmah Mansor, didapati bersalah dan dihukum tetapi masih merayu, dan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, telah diperintah membela diri, namun keyakinan terhadap parti itu belum pulih.

Malah dengan adanya parti serpihan, Bersatu, yang bekerjasama dengan Pas, sokongan kepada Umno menjadi lebih buruk. Dalam PRU 19 November, calon Umno hanya memperoleh 13.55 peratus undi. Maksudnya, daripada setiap 100 orang Melayu yang megundi, hanya 13 orang pangkah calon Umno.

Daripada 109 kerusi yang dimenangi dalam PRU 2004, kehadiran Umno dalam Dewan Rakyat jatuh kepada 79 pada 2008, naik sikit kepada 88 pada 2013, jatuh semula kepada 54 pada 2018 dan sekarang tinggal 26 saja.

Ahli Umno boleh mengekalkan Ahmad Zahid serta pemimpin lain yang toksik dan Umno tidak akan mati. Cuma mungkin dalam keadaan hidup segan mati tak mahu.

Hal itu akan terjadi kerana PH sendiri, khususnya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tidak mahu Umno mati. Mereka memerlukan Umno untuk mencukupkan bilangan bagi mengekalkan kerajaan campuran. Umno penting kepada PH kerana ia mewakili undi Melayu. PH tidak mempunyai parti Melayu yang cukup kuat setelah Bersatu menarik diri pada tahun 2020.

Kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad jatuh apabila Bersatu menarik dari. Kerajaan campuran Anwar boleh mengalami hal yang sama jika Umno menarik diri.

Tetapi dengan kekuatan Umno yang ada sekarang, kedudukannya dalam kerajaan campuran bolehlah diibaratkan umpama afid (kutu tumbuh-tumbuhan) yang dipelihara oleh semut. Atau Umno boleh mengukuhkan semula organisasinya dengan memilih barisan kepemimpinan yang diyakini dan, seperti dirumuskan oleh Khairy Jamaluddin, menjalin persefahaman jangka panjang dengan PH.

Dalam erti kata lain, Umno menjadi parti Melayu dalam PH. Kata Khairy, kalau dia ketuai Umno, itulah yang akan dia lakukan.

Musuh dan saingan Umno bukan lagi PH tetapi Perikatan Nasional (PN) dan pemimpin-pemimpinnya sendiri yang toksik.

Skandal di balai polis

Agensi
POLIS wanita berkenaan. FOTO Agensi  POLIS wanita berkenaan. FOTO Agensi

Washington: Beberapa pegawai polis dipecat dan digantung tugas selepas siasatan mendapati mereka melakukan hubungan seksual walaupun ketika bertugas dan di balai polis.

Mirror UK melaporkan, siasatan dilakukan terhadap Jabatan Polis La Vergne di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) selepas menerima aduan daripada Datuk Bandar La Vergne, Jason Cole.

Menurut laporan penyiasatan, Datuk Bandar menghubungi jabatan sumber manusia polis dan memetik sumber yang tidak dinamakan dalam mendedahkan perkara itu.

Difahamkan, seorang pegawai wanita menjalinkan hubungan intim dengan pegawai lelaki jabatan yang sama, termasuk dengan salah seorang isteri pegawai, dakwa sumber berkenaan.

Datuk Bandar juga memetik maklumat mengenai pesta tab mandi panas di rumah seorang sarjan.

Salah seorang pegawai lelaki terbabit dalam siasatan turut melaporkan kebimbangan serius mengenai kesihatan mental pegawai wanita itu.

Dalam soal siasat, dua pegawai mengaku melakukan hubungan intim secara berasingan dengan pegawai wanita itu ketika bertugas secara aktif di balai polis dan di gimnasium jabatan.

Susulan kejadian, beberapa pegawai polis dipecat dan digantung tugas.

Cole dalam satu kenyataan berkata, kes itu kini dalam siasatan.

Kemelut Sabah - Siapa Main Siapa?

Shahbudin Husin 

Melihat senarai susunan kabinet baru Sabah yang mengangkat sumpah pagi tadi, persoalan utama yang bermain dalam pemikiran kebanyakan orang tentunya ialah siapa main siapa dan siapa akhirnya kena main?

Walaupun Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Zahid Hamidi turun sendiri ke Sabah untuk menyelesaikan kebuntuan dan kemudian mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan, tetapi Ketua Menteri, Hajiji Noor ternyata enggan akur kepada cadangan tersebut.

Selain mengenepikan UMNO dan Warisan dalam barisan baru kabinetnya, Hajiji turut membawa masuk PH ke dalam kabinet kerajaan negeri, manakala salah seorang daripada lima Adun UMNO yang dikategori belot pula telah diberikan jawatan Timbalan Ketua Menteri menggantikan Bung Mokhtar Radin.

Seorang lagi daripada lima Adun berkenaan juga diberikan jawatan menteri.

Kecewa dengan perlantikan tersebut dan keputusan Hajiji mengenepikan UMNO, Bung Mokhtar selaku Pengerusi UMNO Sabah mengumumkan tidak mengiktiraf kedudukan mereka dalam kerajaan negeri bagi mewakili UMNO.

Ini bermakna, UMNO secara rasmi adalah pembangkang di Sabah walaupun sebelum ini adalah sebahagian daripada kerajaan.

Status lima Adun itu tentunya menjadi perhitungan selepas ini dan apakah tindakan yang bakal UMNO ambil terhadap mereka?

PH pula, daripada kedudukan sebelum ini sebagai pembangkang kini telah bertukar menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Warisan yang dulu adalah pembangkang dan cuba bekerjasama dengan UMNO untuk menjatuhkan Hajiji, tetap kekal sebagai pembangkang.

Yang aneh lagi pelik, walaupun UMNO dan Warisan adalah pembangkang di Sabah dalam pembentukan kerajaan baru ini, tetapi mereka adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat pusat yang diterajui Anwar.

Persoalan paling besar, bagaimana Hajiji boleh menolak cadangan kerajaan perpaduan yang disarankan Anwar, tetapi dalam masa yang sama membawa masuk dua wakil PH dalam kabinetnya?

Jika idea kerajaan perpaduan Anwar boleh ditolak oleh Hajiji, siapa pula yang memberi restu kemasukan dua wakil PH itu ke dalam kabinet kerajaan negeri?

Ikut logik, jika idea kerajaan perpaduan yang dicadangkan Anwar telah ditolak oleh Hajiji, beliau sebagai Pengerusi PH juga sepatutnya tidak membenarkan penyertaan dua wakil PH itu dilantik sebagai menteri.

Yang paling malang dalam kemelut ini tidak lain ialah UMNO kerana dengan kehilangan status sebagai sebahagian dalam kerajaan negeri,parti itu dikira sebagai pihak yang tewas dan kecundang.

Siapa main siapa dan siapa telah kena main?

Tidak terkecuali menjadi persoalan, apakah keberanian Hajiji menolak cadangan kerajaan perpaduan itu ada kaitan dengan kedatangan Hamzah Zainuddin ke Sabah menemuinya dua hari lalu?

Sebagaimana ditulis dalam artikel sebelum ini – elok-elok jadi kerajaan, UMNO kini sudah jadi pembangkang di Sabah akhirnya.

Walaupun UMNO Sabah pasti ketika ini sedang kecewa dengan nasib mereka, tetapi siapa yang mahu dipersalahkan?

Adakah ia salah Bung Mokhtar yang berpakat dengan Warisan untuk menjatuhkan Hajiji?

Atau ia salah Presiden UMNO, Zahid Hamidi kerana gagal berperanan sewajarnya dalam memastikan penyelesaikan menang-menang dalam kemelut tersebut?

Kebetulan dengan Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung Jumaat dan Sabtu ini,

Sayap-sayap Umno desak singkirkan 'pengkhianat'

Shakira Buang, Hasapaizi Zain, Hariz Mohd & Ng Xiang Yi

Sudah tiba masanya untuk Umno bertindak lebih tegas dalam berdepan dengan pengkhianatan dari dalam parti itu sendiri.

Lebih-lebih lagi selepas kekalahan teruk Umno dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu.

Desakan itu dibuat oleh ketiga-tiga sayap parti itu dalam ucapan dasar ketua-ketuanya hari ini.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pengkhianat perlu disingkirkan daripada terus merosakkan institusi politik Melayu terbesar itu.

Asyraf berkata, gunting dalam lipatan itu hanya mengutamakan diri berbanding parti.

"Episod ‘tikam belakang’ dalam Umno bermula selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, yang segelintir pemimpinnya dikatakan lebih taat terhadap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berbanding presiden parti sendiri.

"Atas asas inilah, dalam dua ucapan dasar sebelum ini, Pemuda tidak pernah berganjak dengan pendirian untuk terus mempertahankan institusi kepimpinan parti without fear or favour.

"Justeru, Pemuda mendesak agar saki baki pengkhianat parti yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengutamakan diri daripada parti agar disingkirkan daripada terus menjadi barah yang merosakkan seluruh organ dan jasad parti Umno ini," katanya.

Tegas Asyraf, Pemuda Umno juga tidak boleh hipokrit dengan “melambung pemimpin tatkala menang, tetapi memijak lumat pemimpin tatkala jatuh kecundang”.

"Lebih menyedihkan apabila kewujudan api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut yang berkempen dalam pilihan raya dengan cara mengutuk parti dan presidennya sendiri.

"Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi,' katanya.

Tambahnya, sesetengah calon Umno juga memilih untuk menjadi ‘hero’ dengan mencerca parti.

"Dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan Umno yang sesat, rosak dan korup. Seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna, dan paling hebat segala-galanya.

"Apa hodoh sangatkah Umno yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri? Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti?” soalnya.

‘Perlu pembaharuan segera’

Desakan yang sama turut dibuat Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad yang berkata parti itu perlu melakukan pembaharuan penting itu dengan kadar segera.

"Semalam, presiden (Ahmad Zahid Hamidi) dan timbalan presiden (Mohammad Hassan) telah menyentuh bahawa kekalahan kita adalah berpunca daripada faktor luaran dan dalaman.

"Dari luar, kita kalah akibat permainan persepsi yang amat-amat dahsyat didorong oleh sumber kewangan yang tidak dijangka seperti yang telah ditularkan.

"Dari dalam pula, kita kalah akibat sebahagian daripada kita yang tidak pernah berhenti menembak kaki sendiri.

"Kekurangan ini menginsafkan kita bahawa Wanita memerlukan tekad untuk melangkah ke hadapan. Pembaharuan penting mesti segera dilaksanakan dan pembersihan dalaman parti harus dilakukan secara total tanpa kompromi," kata Noraini.

Zahida ingatkan pada disiplin parti

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan mengingatkan semua perwakilan dan seluruh kepimpinannya bahawa parti itu mempunyai disiplin.

Tegasnya, mana-mana pemimpin yang merasakan dirinya lebih besar daripada parti harus diambil tindakan disiplin.

"Mana-mana yang terbukti cuba memusnahkan parti perlu diambil tindakan segera. Berparti ada adabnya, tiada tempat untuk mereka yang biadap terhadap parti.

"Saya ulang, kita tidak boleh bertolak-ansur dengan mereka yang mengkhianati parti tidak kiralah ahli biasa atau yang memegang jawatan, tindakan mesti diambil segera," katanya.

Tambah Zahida, pengkhianat parti adalah barah kepada Umno.

"Barah jika tidak dipotong dia akan merebak dan merosakkan seluruh sistem tubuh yang bernama Umno.

"Kita kena sanggup sakit dibedah hari ini daripada kita menderita di peringkat kelima yang akan memusnahkan seluruh tubuh badan kita," katanya.