"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH buat laporan polis, gesa siasat komplot mahu jatuhkan badan kehakiman negara

FAZLI RADZI

AMANAH tampil membuat laporan polis secara serentak di seluruh negara mulai petang semalam susulan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menggesa agar pihak polis memulakan siasatan berhubung dakwaan terdapat komplot yang mahu menjatuhkan badan kehakiman negara.

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, intimidasi terhadap Mohd Nazlan itu melanggar hak kebebasan badan kehakiman di negara ini dan menunjukkan kelemahan kepimpinan kerajaan BN dan PN diterajui Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Institusi kehakiman yang sangat diberi kepercayaan oleh rakyat sudah dinodai dan dilanggar oleh sebuah badan siasatan

“Kita harap ada siasatan menyeluruh dapat dilakukan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Biro Mobilisasi AMANAH.

“Badan kehakiman di negara kita harus bebas, berintegriti dan dihormati oleh rakyat,” katanya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam.

Untuk rekod, Mohd Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan kesalahan terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung kes SRC International pada 28 Julai 2020.

Pada 20 April lalu, penulis blog Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang melibatkan Najib.

Menerusi portalnya Malaysia Today, Raja Petra mendakwa Mohd Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaun.

Ekoran itu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan yang terkandung dalam artikel yang ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya dalam kenyataannya menegaskan artikel itu adalah palsu dan tidak berasas.

Mengulas lanjut, Sany yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Selangor berharap badan kehakiman dihormati dan tidak dicemari.

“Sudahlah rakyat hilang kepercayaan terhadap orang politik di negara ini.

“Jangan pula hilangkan kepercayaan rakyat terhadap satu institusi di negara ini yang sangat penting iaitu badan kehakiman,” tegas Sany lagi.

Tiada ulasan: