"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majoriti tipis, menang BN tak berbaloi- Anwar

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 26 April:
Kemenangan tipis Umno Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor semalam tidak berbaloi dengan wang yang dihabiskan ratusan juta ringgit.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BN sekurang-kurangnya menghabiskan RM65,000 untuk setiap 1,725 majoriti yang dimenangi mereka.

Apatah lagi seluruh jentera kerajaan digunakan BN termasuk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), namun hasil yang diperolehi langsung tidak memadai.

"Lebih dari RM100 juta dihabiskan oleh BN untuk memenangi majoriti tipis di Hulu Selangor: iaitu sebanyak RM65, 000 untuk setiap orang.

"Puluhan menteri berkempen setiap hari, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sekali lagi melanggar etika tanggungjawab mereka untuk memastikan pilihanraya adil, dan polis melakukan dooble standard kepada penyokong PR malah ada laporan bahawa mereka menghalang beberapa pengundi melaksanakan tanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.

Jumlah majoriti tipis itu kata Anwar, menunjukkan BN tidak pernah belajar dari pilihan raya umum Mac 2008 lalu di mana rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan sebarang taktik kotor dan penyalahgunaan kuasa.

"Ini bermakna bahawa Barisan Nasional tidak belajar apa-apa sejak pilihanraya umum pada Mac 2008. Pembunuhan karakter, perkauman, rasuah dan keganasan digunakan untuk membantu mereka memenangi pilihanraya kecil. Tapi rakyat tidak akan tertipu," katanya.

Pakatan Rakyat jelasnya tidak pernah putus semangat berdepan dengan segala penyalahgunaan kuasa BN sepanjang pilihan raya.

Malah katanya akan terus berusaha memberi kesedaran kepada rakyat khususnya di Selangor termasuk ke kawasan tanah-tanah Rancangan Felda.

"Kita akan meningkatkan sokongan rakyat di Hulu Selangor. Kita banyak yang perlu kita lakukan agar sasaran menarik pengundi di kawasan pedalaman dan Felda tercapai," katanya.

Ucapan terima kasih turut dirakamkan kepada seluruh jentera Pakatan khususnya dari PAS dan DAP yang memberikan sokongan padu kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

"Saya berterima kasih kepada petugas dari Pakatan Rakyat termasuk rakan-rakan kita dari DAP dan PAS yang menyokong calon PKR di Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim.

"Puluhan ribu penyokong PR bergabung dengan kami untuk untuk membuktikan setiap rakyat mempunyai hak untuk keamanan, keadilan, dan kemakmuran.

"Saya bersyukur atas sokongan luar biasa yang telah dipaparkan. Komitmen anda untuk mengubah kepada yang lebih baik," katanya.

Tiada ulasan: