"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UMNO, PKDK & PERKASA Bangang sebab Tak Paham Soalan!

ZULKIFLI YAHAYA
Cuba pembaca teliti dengan sebaik-baiknya dua soalan berikut:
1. Sejauh manakah bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini (Kedah) dihormati oleh kerajaan Pusat?

2. Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam, nyatakan perkara tidak boleh tersebut?
Jika kurang jelas juga maksudnya, bacalah berkali-kali sehingga faham. Tiada seorang pun yang mempunyai akal fikiran yang waras atau sekurang-kurangnya yang ‘sederhana’ tahap pemikirannya akan memahami bahawa soalan tersebut bertujuan mempertikaikan kuasa Sultan atau menghina Sultan.

Anehnya, itu pula yang difahami oleh Yang Dipertua sebuah persatuan yang mendakwa kononnya ada kaitan dengan raja-raja. Pemimpin persatuan tersebut, Dato' Tengku Zainol RASHID dalam kenyataannya di hadapan media mengecam ADUN PAS Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa yang membawa soalan tersebut dalam Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini kerana ‘menghina’ Sultan.

“Kami mencela perbuatan sombong dan angkuh itu dan menggesa YB Kubang Rotan memohon ampun kepada Sultan,” ujarnya.

Yang betulnya, YDP persatuan yang mengaku ada kaitan dengan istana itu langsung tidak membaca soalan asal yang dibawa ADUN Kubang Rotan. Jika dia membaca masakan dia tidak faham sehingga terpancul perkataan ‘sombong dan angkuh’.

Begitu juga media talibarut BN dan pemimpin-pemimpin Umno yang mengangggap soalan tersebut sebagai mempertikaikan kuasa Sultan. Pening juga kita dibuatnya, ayat yang begitu mudah pun sukar difahami. Maka istilah paling tepat untuk golongan seperti ini ialah ‘bangang’!

“Tidak wujud walau sepatah perkataan yang mempertikai kuasa KDYMM Sultan dalam soalan tersebut.

“Sama ada secara tersurat atau tersirat, soalan saya langsung tidak mempertikaikan bidang kuasa Sultan seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana. Apatah lagi kata-kata yang bermaksud menghina Sultan,” tegas Mohd Nasir dalam satu media yang diadakan di pejabatnya.

Dua dari empat soalan lisan Mohd Nasir telah menjadi kontroversi di Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini apabila ketua pembangkang Dato’ Seri Mahdzir Khalid bangun mendesak speaker supaya soalan tersebut ditarik balik dengan alasan ianya menyentuh ‘bidang kuasa Sultan.’

Setengah-setengah soalan ditanya bukan bertujuan untuk mendapatkan penjelasan kerana penyoal tidak tahu. Ada soalan dibuat, macam kata pepatah ‘sudah gaharu cendaca pula’.

Dalam soalan (a) yang dipertikaikan itu, Mohd Nasir mahu dijelaskan, bahawa Kerajaan Pusat sebenarnya tidak menghormati bidang kuasa Sultan Kedah sebagai ketua agama Islam.

Sebagai contoh, Kerajaan Pusat melalui JAKIM telah memanggil imam-imam seluruh negeri Kedah di SP Inn pada 4 April 2010. Program itu dirasmikan oleh Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Kerajaan Pusat.

Tidak salah untuk mereka anjurkan program di negeri, tetapi apa salahnya meminta izin terlebih dulu dari ketua agama negeri iaitu Sultan Kedah. Mengapa tidak tahu menghormati bidang kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam?

Dalam soalan (b) pula, Mohd Nasir mahu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak pernah dengan sesuka hati dan sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai masjid hanya kerana sebab politik kepartian, seperti tuduhan yang dibuat oleh ADUN Bakar Bata, Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah baru-baru ini.

ADUN Bakar Bata dalam laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 6 April 2010 bertajuk ‘Pegawai Masjid Dipaksa Bersara’ telah menghasut pegawai-pegawai masjid tertentu supaya tidak mengisi borang M4 seperti yang diminta oleh Pejabat Agama Daerah Kota Setar. Tindakan ini terang-terangan telah mencampuri bidang kuasa KDYMM Sultan.

Tuduhan bahawa pelantikan dan pemecatan imam adalah kerana ‘arahan politik’ Kerajaan Negeri adalah tidak benar dan berniat jahat.

Pertikaian Ketua Pembangkang terhadap soalan tersebut bukan kerana Mohd Nasir ‘mempertikaikan kuasa Sultan’ tetapi kerana menyedari bahawa hasil dari soalan ini akan mendedahkan tindakan-tindakan mereka selama ini yang mencampuri dan tidak menghormati bidang kuasa Sultan. Ia merbahaya di saat Umno kini hanya bergantung harap kepada undi Melayu semata-mata untuk berkuasa.

Tidak dapat dipastikan sama ada Umno telah memperkudakan Tengku Zainol Abidin untuk mengeluarkan kenyataan tidak berasas terhadap ADUN Kubang Rotan. Tetapi melihatkan kepada kenyataan yang dikeluarkan adalah ‘lebih Umno dari Umno’ maka tidak syak lagi bahawa kenyataan itu adalah dari kilang propaganda pihak pembangkang, iaitu BN. Ia disokong dengan sikap Tengku Zainol Abidin dan gerombolannya yang membisu seribu bahasa, apabila Dato’ Ahmad Bashah mempertikaikan bidang kuasa Sultan apabila menuduh pihak pentadbir agama (di bawah kuasa Sultan) memaksa imam tertentu supaya bersara. Jika dia ikhlas, mengapa tidak kecam Ahmad Bashah sebelum ini?

Terbaru, dalam sidang media yang diadakan oleh Menteri Besar, wartawan dikejutkan dengan status persatuan yang dikepalai oleh Dato’ Tengku Zainal Abidin itu sebenarnya tidak lagi dinaungi oleh Tuanku Sultan. Persatuan mereka juga khabarnya telah ‘diusir’ dari Istana Kuning yang mereka tumpang selama ini.

Ada logiknya jika tindakan diambil terhadap persatuan tersebut, kerana sewajarnya sebagai persatuan yang dikaitkan dengan pihak istana ketuanya mestilah menjaga adab dan susila setanding dengan kedudukan mereka yang dihormati masyarakat. Apakah ‘berdemo tepi jalan’ macam budak-budak Umno layak dilakukan oleh sebuah persatuan yang mahu dikaitkan dengan istana?

Tiada ulasan: