Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan berkata isu peristiwa pembunuhan kejam yang dikenali sebagai “Batang Kali Massacre” itu berlanjutan menerusi demonstrasi dan tuntutan sejak lebih 60 tahun lepas.
Grab a Celcom Blue Bear(TM) and stand to walk away with RM10,000!
Bagi memastikan isu itu selesai, kerajaan disaran menubuhkan satu inkuiri awam untuk memaklumkan masyarakat apa sebenarnya yang berlaku dalam kejadian tersebut.
“Ia perlu bagi memberikan keadilan dan balasan setimpal kepada waris mangsa yang sudah menanti sejak sekian lama,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Kerajaan Britain tidak boleh berbuat demikian dalam isu itu kerana baru-baru ini, ia memohon maaf secara terbuka kepada Ireland Utara berhubung kejadian “Bloody Sunday” yang berlaku pada 30 Jan 1972.
Dalam kejadian itu, seramai 13 orang awam ditembak mati oleh tentera British ketika berhimpun secara aman bagi menuntut hak sivil mereka.
Perdana Menteri Britain David Cameron telah menyifatkan perkara itu sebagai “Peristiwa pembunuhan kejam pada hari Ahad yang tiada justifikasi dan tidak dapat dijustifikasikan.”
Sehubungan itu, Mohd Hamdan berkata kerajaan Britain perlu melakukan perkara sama kepada waris keluarga mangsa Batang Kali, demi keadilan dan hak asasi mereka.
“Kami mahukan keadilan untuk 24 waris dan keluarga mangsa pembunuhan kejam tentera British. Jika British boleh mengaku tenteranya salah ketika melakukan tindakan yang sama di Ireland Utara, kenapa tidak dilakukan sedemikian rupa terhadap rakyat negara ini,” katanya.
Beliau berkata inkuiri awam dan siasatan baru berhubung tragedi berdarah itu perlu dilakukan dan dilihat mampu menarik perhatian kerajaan Britain.
Mohd Hamdan berkata dalam peristiwa kejam itu, tentera Britain tergamak membakar sebuah kampung di Batang Kali itu hanya kerana bimbangkan ancaman komunis walaupun penduduk kampung itu sebenarnya tidak bersenjata mahupun membahayakan tentera terbabit.
Sementara itu, pakar sejarah negara Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Khim berkata kerajaan perlu membawa isu tersebut kepada pengetahuan umum dan antarabangsa supaya keadilan bagi keluarga mangsa dapat dituntut.
“Ia perlu dilakukan dengan cara yang sihat dan diplomatik bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.”
“Ini kerana sesetengah pihak yang tidak faham tujuan sebenar perkara ini dibangkitkan, akan tersalah tafsir dan kelak membawa kepada keburukan kepada keluarga mangsa,” katanya.
Beliau berkata tuntutan berupa permohonan maaf, bayaran saguhati dan sebagainya, boleh diperoleh sekiranya mendapat sokongan kuat badan bukan kerajaan dan kerajaan bagi menyuarakan kehendak waris keluarga mangsa ini.
“Apa yang lebih penting adalah proses membawa perkara ini kepada pengetahuan kerajaan kita, kemudian dibawa kepada perhatian kerajaan Britain dan seterusnya, bolehlah mendapatkan tuntutan jika segala maklumat dan siasatan telah lengkap,” katanya.
Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said pula berpendapat masyarakat perlu dididik untuk mengetahui segala peristiwa bersejarah yang berlaku di negara ini termasuk tragedi “Batang Kali Massacre”.
Katanya artikel, pementasan teater, filem, penerbitan novel, esei dan segala yang berkaitan dapat menyedarkan masyarakat mengenai apa yang berlaku di negara ini, selain membangkitkan semangat patriotisme.
“Haruslah perkara ini (tuntutan) wujud bukan kerana desakan mana-mana pihak, sebaliknya atas dasar inginkan keadilan setimpal bagi keluarga mangsa.”
“Ini salah satu nilai sejarah bagaimana sesuatu peristiwa berlaku dan ia perlu dihargai dan diingati oleh sekalian rakyat negara ini,” katanya.
Pembunuhan beramai-ramai Batang Kali itu dilaporkan berlaku pada 12 Dis 1948 apabila Platun ketujuh G Company mengepung sebuah kebun getah di Sungai Rimoh, Batang Kali, Selangor dan menembak 24 penduduk yang tidak bersenjata dengan disaksikan isteri dan anak-anak mereka.
Walaupun beberapa tuntutan dibuat sejak 1948, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup kes itu pada 1997 kerana kekurangan bukti.
Pada 30 Jan 2009, kerajaan Britain menolak desakan waris keluarga yang menuntut supaya satu inkuiri awam ditubuhkan berhubung tragedi itu, tetapi kerajaan Malaysia menimbangkan keputusan itu.
Pada 2 April lepas, saksi terakhir peristiwa itu, Tham Yong, 78, meninggal dunia tanpa sempat melihat sebarang perkembangan positif dalam tuntutan tersebut.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan