"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kg Baru: MB Selangor tawar pelan alternatif bulan depan

Boo Su-Lyn
KUALA LUMPUR, 20 Jun
: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru bulan depan untuk menawarkan pelan alternatif kepada rancangan dibawa kerajaan pusat.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak memberitahu, beliau bercadang untuk meminta penduduk Kampung Baru agar menilai syor-syornya sebagai pilihan kepada pelan yang dikemukakan Putrajaya baru-baru ini.

“Saya akan menemui penduduk Kampung Baru pada Julai untuk memberi pandangan saya,” kata Khalid hari ini.

Justeru kata beliau, biar penduduk Kampung Baru menilai syor yang pihaknya akan kemukakan.

Khalid memberitahu rancangan pembangunan semula disediakan kerajaan negeri Selangor adalah lebih baik berbanding cadangan kerajaan pusat.

“Saya mahu minta Kampung Baru agar menilai cadangan-cadangan (yang pernah dibuat) oleh saya 15 hingga 20 tahun lalu,” kata Khalid yang menambah, kerajaan pusat pernah memintanya agar menyediakan rancangan pembangunan semula kawasan itu kira-kira 15 tahun lalu dengan mengekalkan hak pemilikan orang Melayu.

Ketika ditanya mengenai butiran rancangannya, Khalid berkata, ia masih “rahsia.”

Kata Khalid, beliau hanya akan mendedahkannya selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru.

Meskipun Kampung Baru kini terletak di Kuala Lumpur, Khalid memberitahu Selangor mempunyai tanggungjawab pentadbiran untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Kampung Baru merupakan sebahagian daripada kawasan dalam Selangor sebelum Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibentuk.

Sebelum kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, anak syarikat kerajaan negeri Selangor Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor merupakan entiti bertanggungjawab ke atas pembangunan Kampung Baru dan undang-undang menyebut bahawa hak pengurusan masih kekal di tangan Menteri Besar Selangor.

Rabu lalu, Lembaga Pentadbiran Penyelesai Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) sekiranya ia tidak memasukkan ahli lembaga sebagai anggota perbadanan itu.

Pemangku Naib Yang Dipertua lembaga pentadbiran itu Mashuti Mat Soom berkata pihak lembaga berpendapat penubuhan PPKB tidak akan memberi kebaikan kepada pembangunan di situ dan sekali gus juga akan melupuskan lembaga pentabiran itu yang telah mentadbir kawasan tersebut selama 110 tahun.

Beliau berpendapat adalah tidak logik dengan sewenangnya hak mutlak yang diwarisi oleh orang yang terdahulu diserahkan kepada badan yang belum lagi terbukti kemampuannya.

Tiada ulasan: