"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hari Valentine : Tumpu Pada Pencegahan Maksiat - Dr Asri

SHAH ALAM, 13 FEB: Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainol Abidin menyeru semua pihak agama Islam menumpukan perhatian terhadap pencegahan maksiat, dan bukannya menyerang sesuatu yang berkala seperti Sambutan Hari Valentine yang kini dihujani kontroversi kerana beberapa gerakan dan jabatan agama Islam serta bukan Islam bertelagah mengenai isu ini.

Asri yang ditemui TV Selangor hari ini mengulas mengenai penguatkuasaan dan serangan ke atas Hari Valentine, sedangkan pada hakikatnya, sambutan lain dibenarkan.

"Saya nak ingatkan masa sambutan Tahun baru sama juga tapi mereka endorse juga. Saya tahulah sambutan tahun baru tu tapi banyak perkara buruk berlaku," katanya.

Jumaat lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melancarkan Kempen Awasi Jerat Hari Valentine untuk mengajak umat Islam terutamanya golongan remaja supaya tidak meraikan sambutan Hari Kekasih itu Isnin ini.

Hari yang sama juga, Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia (Pemuda CCM) hari ini menuntut Siti Nor Bahyah permohonan maaf atas kenyataanya yang "tidak bertanggungjawab", "mengaibkan" dan "amat menyakitkan hati" dan dibuat tanpa fakta yang dikaji teliti.

Bahyah dalam satu rancangan televisyen siaran Media Prima didakwa telah berkata: "Maksiat, disko, 'couple-couple', bersunyi-sunyian, inilah tradisi bagi masyarakat yang beragama Kristian."

Menurut Asri walaupun mengakui sambutan Valentine berunsur negatif dan berasal dari Barat, adalah salah menuduh Kristian yang turut tidak mengiktiraf sambutan ini.

"Secara umumnya Valentine ini membawa perkara negatif terutamanya kepada pasangan yang belum berkahwin dan seumpamanya, ini budaya barat. Walaupun ada unsur sejarah tersendiri tetapi kita tak boleh kaitan dengan Kristian kalau mereka tak iktiraf. Tapi kita juga tak boleh mengikut perkara yang tak baik," katanya.

Justeru Asri menyeru agar mereka diberi didikan secara berhemah bagi dan bukannya penguatkuasaan paksaan bagi mencegah maksiat tanpa mengira masa kerana itulah isu sebenar yang dihadapi masyarakat Islam Malaysia.

"Saya fikir mereka ni 'happy go lucky sahaja, nak seronok saja, Valentine dan tak valentine, So kita tangani maksiat dahulu. Nak tangani maksiat pun kena ada peraturan, tak bolehlah nak ketuk bilik ke bilik (kacau) privacy orang, saya tak setuju. Tapi boleh pergi jumpa masyarakat, orang muda, beri nasihat, ambil kesempatan dekati mereka dengan nasihat Islam," katanya.
-tvsnews-

Tiada ulasan: