Sharyn Shufiyan
Terdapat banyak perkara yang telah kita warisi dari zaman penjajahan British; mereka telah membantu kita memberi bentuk kepada Perlembagaan Persekutuan serta menjadi model kepada sistem Parlimen dan undang-undang negara kita.
Pengaruh dan impak yang diberikan oleh British telah membawa implikasi yang positif, tetapi malangnya tanpa kita sedari, kita juga telah mewarisi sebahagian dari implikasi negatif seperti mengamalkan sikap paternal dan meneruskan sistem pengasingan kaum.
Masyarakat Malaysia sebahagian besarnya telah terlindung dari sejarah politik yang aktif. Minda kecil kita telah berulangkali diingatkan bahawa seandainya kita lantang bersuara , maka kita akan menerima padah.
Penerimaan hukuman adalah melalui gas pemedih mata yang dilepaskan secara rawak, atau tangkapan dibawah akta ISA, EO atau OSA tanpa pembelaan peguam.
Lima puluh enam tahun sejak mencapai kemerdekaan, kita telah mengalami indoktrinasi yang berpanjangan dan pemerintahan mutlak oleh pihak tunggal. Situasi ini melenyapkan segala rasional dan makna demokrasi.
Kami adalah sebuah negara yang muda dan kerana itu, kenangan pahit masa silam tidak terlalu jauh dari ingatan kita. Kerana itulah pemerintah dengan begitu mudah menakut-nakutkan kita supaya hanya menyerah dan berserah.
Begitu mudah untuk mereka mengeksploitasikan satu paranoia yang telah sedia ada dengan menyebarkan retorik politik yang mempergunakan kelemahan utama kita – iaitu dengan isu bangsa dan agama.
Mereka telah memberi ancaman ketidakstabilan negara hanya untuk satu motif agar mereka kekal berkuasa. Kita ‘bagai orang mengantuk disorongkan bantal’ dengan mudah menerima retorik-retorik ini!
Bukalah mata; sudah sekian lama kita hidup bersama tanpa sebarang masalah perkauman yang begitu kritikal. Masyarakat Malaysia sudah matang, sudah maju, sudah berpelajaran tinggi – kita tidak senang lagi untuk diperdaya.
Sudah terlalu lama kita diumpan dan diancam dengan satu motif agar kedudukan mereka kukuh dan tidak boleh dicabar. Kita telah diberitahu berulangkali untuk menghargai jasa-jasa mereka dan bersyukur.
Kita sentiasa diingatkan mengenai perkhidmatan yang telah disediakan oleh ‘tuan’ kita, bahawa ‘tuan’ menjaga kita dengan memberikan perkhidmatan serta manifesto janji, ‘janji telah ditepati’.
Ikatan retorik politik
Perkhidmatan yang seolah-olah umpan sagu hati yang diberikan kepada kita tanpa diminta, walhal hakikat yang nyata perkhidmatan ini sebenarnya adalah tugas sebuah kerajaan dan bukan umpan manifesto yang berunsur “udang di sebalik batu”!
Ingatlah rakyat Malaysia, adalah menjadi kewajiban sesiapapun yang dilantik sebagai pemimpin negara untuk menyediakan perkhidmatan sosial, membangunkan ekonomi negara, dan memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat sentiasa dijaga.
Apa yang lebih menyedihkan, sejak merdeka, kita masih terpenjara dan terperangkap dalam ikatan retorik politik yang telah dimuntahkan dari satu generasi ke generasi.
Yang lebih memalukan apabila retorik-retorik ini adalah perkara sama yang diulangkan berulangkali umpama cakera lagu yang diputarkan tanpa henti.
Ini sangat mengecewakan untuk melihat betapa mudahnya sesetengah pihak memanipulasi dan membuat satu penghinaan terhadap institusi-institusi yang penting kepada demokrasi, terutamanya pihak media.
Media arus perdana adalah boneka malang yang hanya mengikuti irama tuannya, yang tidak dapat membebaskan diri daripada tali yang mengikatnya kepada dalang.
Bacalah akhbar harian, tidak cukup terang lagi bias yang diterbitkan? Ia adalah satu situasi yang membimbangkan bahawa institusi kita – media, badan kehakiman, agensi anti-rasuah, polis – tidak lagi berkhidmat kepada rakyat tetapi kepada siapa yang mebayar gaji bulanan mereka.
Saya faham, mereka hanya menjaga periuk nasi mereka. Tetapi saya tertanya, sewaktu mereka melepaskan gas pemedih mata kedalam restoran yang dipenuhi oleh keluarga yang sedang menikmati juadah tengah hari, atau menyeret seorang wanita, atau membelasah orang dalam tahanan, atau menerbitkan satu pembohongan demi satu pembohongan, adakah makhluk yang bergelar manusia ini dapat tidur dengan nyenyak pada waktu malam?
Institusi-institusi ini yang sepatutnya bebas sama sekali telah diranap sehingga kemarahan dan kesangsian dikalangan orang ramai meningkat hari demi hari.
Perdana Menteri Pertama kita, Allahyarham Tunku Abdul Rahman berpesan kepada Tengku Razaleigh sebelum dia meninggal dunia bahawa jika dia (Razaleigh) mendapat kuasa suatu hari kelak, dia haruslah meminda perlembagaan untuk menentukan bahawa kebebasan maklumat dijamin.
Ia adalah salah satu perkara yang paling dikesali beliau kerana gagal untuk melaksanakan mandat tersebut ketika beliau menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia. Beliau mengakui bahawa tanpa kebebasan media dan pendapat umum yang aktif, kita tidak boleh mengelak pemerintahan diktator di negara ini.
Malangnya, hasrat beliau tidak dapat dipenuhi dan apa yang telah dirisaukan telah menjadi satu kenyataan.
Politik yang sepatutnya
Apabila Presiden Obama telah dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat pada awal tahun ini, beliau membuat satu ucapan yang menyayatkan hati. Beliau berkata:
“Inilah sebabnya kita melakukan ini. Inilah politik yang sepatutnya. Inilah sebabnya pilihan raya penting. Ia bukan satu perkara yang kecil, ia adalah amat besar. Ia adalah penting. Demokrasi di negara 300 juta boleh menjadi huru-hara dan rumit. Kita semua mempunyai pendapat kita sendiri. Setiap daripada kita ada kepercayaan masing-masing. Dan apabila kita melalui masa yang sukar, apabila kita membuat keputusan yang besar sebagai sebuah negara, ia semestinya membangkitkan emosi, membangkitkan kontroversi.
“Itu tidak akan berubah selepas malam ini, dan ia tidak sepatutnya berubah. Hujah-hujah yang kita ada adalah tanda kebebasan kita. Kita tidak boleh lupa bahawa sambil kita bercakap sekarang ini, penduduk-penduduk di negara-negara lain sedang mempertaruhkan nyawa mereka hanya bagi peluang untuk berdebat mengenai isu-isu yang penting dan peluang untuk mengundi seperti yang kita lakukan hari ini. ”
Ya, orang lain di negara-negara lain sanggup mempertaruhkan nyawa mereka supaya dunia dapat mendengar suara mereka, supaya mendapat peluang mengamalkan demokrasi. Tetapi kita sudah diamanatkan demokrasi dan kita masih lagi lena.
Jika anda masih lagi belum sedar, sedarlah sekarang untuk kebaikan kita semua. Terdapat satu sebab yang wajar mengapa panggilan reformasi politik sedang didengari dengan lebih kuat dan lebih hebat di seluruh negara.
Terdapat isu-isu serius yang perlu dialamatkan – isu-isu harian yang melibatkan diri anda dan saya. Isu kemiskinan, penyalahgunaan hak asasi manusia, ketidaksamaan ekonomi, rasuah. Rasuah yang berlaku secara terang-terang dan telah didedahkan seperti kes penipuan keluarga Taib Mahmud tetapi mereka sehingga ini masih lagi tidak dibawa ke muka pengadilan!
Malaysia kini berada di persimpangan yang menarik; kita belum pernah mengenali jalan lain tetapi jalan yang telah diambil sejak zaman kemerdekaan lagi dan ya, jalan alternatif memang menakutkan kerana kita belum pernah mencuba.
Tetapi ia tidak perlu ditakuti. Kita tidak perlu ditipu dan dimanipulasikan lagi. Sekarang pilihanraya umum ke-13 semakin hampir, marilah kita lakukan yang terbaik.
Rakyat Malaysia tanpa mengira umur, bangsa dan agama haruslah bersama-sama mengambil semula hak dan amanat kita sebagai rakyat Malaysia.
Tidak malukah kita apabila mereka menghina kepintaran kita dan memperbodohkan kita dengan memberi token RM500 sini, RM100 sana walhal mereka telah meneksploitasikan kekayaan negara demi kepentingan mereka sendiri?
Mereka yang berkuasa dan rakan-rakan kroni mereka telah terlalu selesa dengan kuasa sehingga mereka menjadi angkuh dan rakus.
Kini, sebagai pengundi kali pertama, saya tidak sabar untuk menjalankan tugas saya sebagai seorang warganegara yang taat setia kepada Malaysia. Saya tidak mahu lagi lihat negara saya ditindas, dirabak dan dirompak oleh sesetengah individu yang hanya pentingkan diri sendiri.
Saya ingin mengingatkan kepada individu-individu ini bahawa mereka harus berkhidmat kepada rakyat Malaysia dan bukan kepada poket mereka. Dan kerana itulah saya akan turun mengundi datangnya 5 Mei.
Sharyn Shufiyan bekerja untuk sebuah badan persekitaran mapan dan tanggungjawab sosial.
Berlatarbelakangkan bidang antropologi sosial, beliau cuba memahami masyarakat dan budaya rakyat Malaysia dalam penulisannya. Beliau adalah pengundi kali pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan