"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib akan meletak jawatan pada hujung tahun ini ?

NILUKSI KOSWANAGE & YANTOULTRA NGUI

PENGERUSI BN, Najib Abdul Razak mungkin akan meletak jawatan pada hujung tahun ini, menurut sumber Umno, walaupun parti itu berjaya melanjutkan hayat pemerintahannya setelah 56 tahun berkuasa. Ia merupakan pilihan raya terburuk bagi BN.

Najib, 59, sememangnya mendapat tekanan puak konservatif dalam parti tersebut kerana gagal mendapatkan majoriti lebih kukuh, walaupun keadaan ekonomi amat memberangsangkan dan sebanyak US2.6 bilion dolar ditaburkan kepada golongan miskin.

BN menang 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, sekali gus gagal mendapat majoriti dua pertiga – sama seperti kekalahannya pada 2008.
Pakatan Rakyat menang 89 kerusi, bertambah tujuh kerusi berbanding 2008 tetapi masih gagal menumbangkan salah satu kerajaan yang paling lama memerintah di dunia itu.

“Kita mungkin akan melihat Najib meletakkan jawatan hujung tahun ini,” kata seorang pegawai kanan Umno, yang memimpin BN.

“Dia mungkin akan memberi tentangan, kita tidak tahu, tapi yang pasti dia menunjukkan persembahan yang sangat buruk,” kata pegawai itu yang enggan identitinya didedahkan.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad - yang masih cukup berkuasa dalam Umno - pernah memberitahu Reuters tahun lepas bahawa Najib mesti memperbaiki persembahannya dengan menambah kerusi daripada 140 kerusi yang dimenangi pada 2008; jika tidak keadaan beliau tidak akan stabil.

Bursa Saham Kuala Lumpur melonjak 7.8 peratus 6 Mei lalu – satu rekod yang tinggi – ekoran pelabur merasa lega kerana pembangkang yang belum diuji gagal mengambil alih kuasa. Nilai ringgit melonjak naik, tertinggi dalam masa 20 bulan.

Kaum Cina yang mewakili satu perempat rakyat Malaysia terus menolak BN, meneruskan trend yang berlaku pada 2008.

Turut mengejutkan Najib, sokongan orang Melayu juga semakin lemah, kata sumber Umno itu lagi, sebagai petanda golongan pertengahan Melayu kini mula berubah.

“Perpaduan Melayu kini terancam. Setengah daripada orang Melayu menolak Umno. Itu cukup jelas,” kata sumber itu.

Masyarakat Cina kini berpihak pada pembangkang kerana tertarik dengan tawaran dan janji, antaranya untuk menghapuskan rasuah.

“Kita akan wujudkan dasar yang lebih moderat dan mengambil berat dalam negara ini,” kata Najib dengan wajah yang muram kepada pemberita selepas majoriti kemenangan BN diumumkan.

“Kita telah lakukan yang terbaik, tetapi beberapa faktor telah timbul... kita tidak mendapat sokongan yang banyak daripada kaum Cina untuk rancangan pembangunan kita.”

BN juga gagal mendapatkan balik negeri industri yang sangat penting iaitu Selangor walaupun berusaha keras mendapatkannya.

Proses pengundian dicemari pelbagai kepincangan, kata Anwar Ibrahim, 65, bekas Timbalan Perdana Menteri dalam tahun 1990-an yang dipecat ketuanya, Mahathir.

Gabungan pembangkang tiga parti itu cukup yakin untuk memenangi pilihan raya kali berdasarkan sambutan cukup menggalakkan pada ceramah dan himpunan.

Apabila pengiraan dibuat lewat malam Ahad lalu, jelas pembangkang gagal memperolehi kemenangan yang diharapkan.

Selepas mendakwa bahawa pada pengiraan awal pembangkang menang, Anwar kemudian menolak keputusan dengan mendakwa bahawa ia “penuh dengan penipuan”.

Beliau mendakwa BN membawa masuk sehingga 40,000 pengundi “diragui” termasuk orang asing, ke seluruh negara untuk mengundi di tempat-tempat yang sengit perlawanannya.

BN berkata mereka hanya membantu pengundi pulang ke kampung halaman mereka untuk mengundi.

Pakar ekonomi Bank Amerika, Merrill Lynch menjangkakan kerajaan Malaysia akan memberi fokus kepada kecairan fiskal selepas begitu banyak digunakan sebagai habuan pilihan raya. Mereka menjangkakan kerajaan akan memotong subsidi minyak pada suku kedua dan juga mengenakan cukai pengguna tahun depan.

Ia dijangkakan mempunyai banyak risiko, termasuk pemilihan Umno dalam bulan Oktober di mana Najib mungkin akan dicabar.

“Apabila keadaan reda, anda akan melihat bukan sahaja kaum Cina yang akan menjauhkan diri daripada BN.

“Terdapat juga gelombang mini di kalangan orang Melayu bandar menolak Umno,” kata seorang pegawai kanan Umno.

“Dalam pemilihan Umno akan datang, kita akan menyaksikan ramai yang akan menyuarakan ketidakpuasan hati dan meminta Najib meletakkan jawatan,” kata seorang pegawai yang mempunyai kedudukan dalam kabinet Najib.

Katanya, Mahathir sudah tentu akan menyokong suara-suara tidak puas hati itu.

Keputusan pilihan raya 2008 memberi isyarat pecahnya politik tradisional apabila minoriti kaum Cina dan India, serta kebanyakan majoriti orang Melayu menolak politik naungan BN yang menjurus kepada korupsi dan melebarkan jurang perbezaan.

Parti-parti Cina yang bersekongkol dengan BN menderita kekalahan teruk pada 2008 dan mereka dihukum sekali lagi pada pilihan raya ini. MCA hanya menang lima kerusi berbanding 15 pada 2008.

Ia menjadikan BN kini lebih didominasi orang Melayu yang mewakili 60 peratus daripada jumlah penduduk, sekali gus meningkatkan polarisasi kaum di negara ini. >> 
Artikel Reuters ini diterjemah oleh MUHAMMAD NOR ABD SAMAD

Tiada ulasan: