"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 Kementerian Cukuplah !

Nobisha
Tahniah kepada Barisan Nasional kerana diberikan mandat untuk kali ketigabelas bagi terus membentuk kerajaan.

Cabaran seterusnya bagi Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ialah untuk membentuk sebuah kerajaan yang berwibawa, inklusif dan responsif kepada rakyat.

Pelbagai cadangan diberikan oleh rakyat sama ada melalui media massa atau massa sosial. Saya percaya Perdana Menteri akan mengambilkira aspirasi rakyat dalam membentuk kabinet.
Saya berpendapat untuk meningkat kecekapan pengurusan kerajaan, eloklah anggota kabinet dikecilkan melalui penyatuan kementerian. Dengan cara ini koordinasi antara kementerian dan jabatan yang selalu melambatkan sistem penyampaian dapat diatasi.

Apabila fungsi jabatan disatukan di bawah sebuah kementerian dan menteri, keputusan dapat dibuat dengan lebih pantas dan fungsi yang bertindih dalam disatukan. Ia merupakan satu proses rasionalisasi sektor awam. Jawatan baru dalam sektor awam diwujudkan manakala jawatan bertindih dimansuhkan.

Maka, timbul persoalan mampukah menteri yang sedikit melakukan kerja yang banyak? Di sinilah saya fikir kepada keperluan untuk menghakupayakan (empower) penjawat awam. Berikan mereka kuasa penuh kepada Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah untuk membuat keputusan sementara menteri fokus kepada memberikan kepimpinan saja.

Selain itu, Najib juga boleh melantik lebih ramai timbalan menteri bagi membantu tugas-tugas menteri. Di Sarawak, ini sudah lama dilakukan. Saya juga mencadangkan agar diwujudkan semula jawatan Setiausaha Parlimen (dimansuhkan selepas pilihanraya 2008) untuk membolehkan ahli-ahli Parlimen yang sesuai dilantik bagi membantu tugas-tugas menteri di Parlimen.

Berikut ialah cadangan 10 kementerian (tidak termasuk Jabatan Perdana Menteri):

Dikekalkan kementerian berikut:

(1) Kementerian Kewangan

(2) Kementerian Keselamatan Dalam Negeri

(3) Kementerian Pertahanan

(4) Kementerian Luar Negeri

Kementerian baru diwujudkan hasil gabungan kementerian-kementerian sedia ada:

(5) Pendidikan dan Modal Insan (Education and Employment)

Gabungkan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Sumber Manusia.

(6) Pertanian, Perladangan dan Makanan

Gabungkan Kementerian Pertanian dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Industri.

(7) Sains, Teknologi dan Komunikasi

Gabungkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

(8) Pembangunan Negara

Gabungkan Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah, dan Kementerian Kerja Raya.

(9) Pembangunan Usahawan

Gabungkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pelancongan, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna.

(10) Pembangunan Sosial

Gabungkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pembangunan Bandar.

Saya juga mencadangkan agar diwujudkan jawatan baru iaitu "jurucakap kerajaan" (government spokeman) bagi meningkatkan komunikasi dengan rakyat dan jawatan "menteri penerangan" dimansuhkan. Jawatan yang dicadangkan ini boleh dipegang oleh Ahli Parlimen yang sesuai.

YAB Perdana Menteri, mohon dipertimbangkan!

Tiada ulasan: