PETALING JAYA: “Apabila kita meminta kemukakan bukti, bawa bukti daripada akaun palsu, apa ini? Main tangkap muat sahaja,” soal Datuk Mohd Kazim Elias terhadap “bukti” yang dikemukakan oleh Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Sehubungan itu Kazim mempersoalkan kredibiliti Mufti Perlis, Dr. Asri atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza di akaun Facebooknya yang bersandarkan kepada akaun Twitter palsu sebagai bukti dirinya mengeluarkan hadis palsu.
Kazim menerusi Facebooknya telah memuat naik ‘printscreen’ yang memaparkan Facebook Dr. Maza telah menggunakan Twitter palsu yang menggunakan nama “Ustaz Kazim Elias” sebagai bukti dakwaan Kazim mengeluarkan hadis palsu.
Menerusi ‘printscreen’ itu, Dr. Maza menyatakan buat sementara waktu, bagi yang meminta bukti segera, mereka boleh melawati Facebook Ustaz Mohd Kharil Anwar dan Ustaz Kadir Sahak terlebih dahulu memandang dirinya sedang sibuk.
Dalam khutbah Jumaat di surau Institut Jantung Negara hari ini, Dr Asri turut menimbulkan penggunaan ayat-ayat palsu yang disandarkan dengan Islam.
Walaupun tidak mengaitkan tindakan membuat kenyataan sebagai berkaitan hadis dengan ustaz atau guru agama semasa, beliau mengingatkan ia merupakan kesalahan besar dalam Islam.
Kazim turut mempersoalkan bagaimana seorang mufti boleh mengeluarkan bukti bersandarkan kepada akaun Twitter palsu yang menggunakan namanya.
Sebelum ini, sekeping surat rasmi dalaman Jabatan Mufti Perlis kepada pengurusan penganjuran satu forum agama telah tersebar secara meluas di laman Facebook sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan pengguna laman sosial itu.
Isi kandungan surat tersebut menyatakan ketidaksetujuan jabatan itu terhadap jemputan seorang ahli panel pada program sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis yang ke-72 sehingga mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.
Surat yang ditandatangani oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abdidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza itu menjelaskan pihaknya tidak bersetuju sekiranya penganjur mahu menjemput Datuk Kazim Elias sebagai panel jemputan.
Bagaimanapun, tulis Dr. Maza di dalam surat itu bahawa pihaknya menyambut baik hasrat penganjuran forum tersebut, namun, panel yang diundang itu dianggap terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan