"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tetak leher isteri hingga mati akibat cemburu

Juwan Riduan

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Angkara cemburu, seorang lelaki tergamak menetak leher isterinya sehingga mati di bilik sewa pasangan terbabit di tingkat 3, Jalan Segama, di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 23 tahun itu ditemui terbaring berlumuran darah di tilam oleh polis selepas suaminya menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan dia menetak wanita itu pada 11.47 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 10.50 malam selepas suspek dikatakan bertengkar dengan isterinya.

Katanya, suspek yang berang kemudian ke dapur lalu mengambil pisau sebelum bertindak menyerang mangsa.

"Akibat daripada serangan itu, mangsa mengalami cedera di leher kanan, muka, tangan dan luka di perut.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, susulan itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bertindak menahan suspek yang masih berada di lokasi kejadian.

"Motif kejadian dipercayai cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti puncanya.

"Suspek yang menghubungi talian kecemasan 999 dan memaklumkan menetak isterinya dengan pisau sehingga mati dan hendak menyerah diri," katanya.

Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian merampas sebilah pisau dan parang pemotong daging dan salah satunya dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

"Suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Suspek akan direman untuk tindakan lanjut manakala mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bagi tujuan calitan Covid-19 dan bedah siasat," katanya.

Mohd Zaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tiada ulasan: