DR MUHAIMIN SULAM
Setelah hampir sepurnama Ustaz Nik Omar, anak arwah Tok Guru Nik Aziz berkampong di bumi Pasir Salak, tibalah waktu dia kembali ke kediamannya di Kajang. Sepanjang di Pasir Salak, mereka menyewa di homestay kampong bagi memudahkan urusan kempen pilihanraya.
Ustaz Nik Omar bersama isterinya, Ustaz Wan Subki Wan Salleh dan keluarga serta rakannya ke rumah kami dalam perjalanan pulang ke Kajang.
Apabila namanya dicalonkan untuk bertanding di parlimen Pasir Salak, kami sangat mengalu-alukan. Ketika itu memang ada segelintir di kalangan kami mahu pengesahan status keahlian Nik Omar dalam parti. Adakah ia masih Amanah atau sudah menjadi PKR?
Persoalan itu secara umum adalah suatu yang lumrah. Soal politik tidak pernah terhenti atau mati. Tambahan pula Amanah sudah mencalonkan namanya untuk bertanding di Kuala Krai. Tiba-tiba namanya dicalonkan oleh PKR bertanding di Pasir Salak.
Nik Omar bijak memposisikan diri untuk jawapan yang adil buat semua. Jawapannya telah menambahkan semangat para penyokong PH untuk bekerja lebih kuat. Dia tidak merendahkan Amanah dan menghargai kepercayaan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang akan memimpin negara.
Sedaya upaya kami membantu menyediakan jentera pilihanraya terbaik bagi menyumbangkan satu kerusi di parlimen. Apabila saya tidak jadi bertanding di Changkat Jong, saya mempunyai masa untuk berkempen membantunya di Pasir Salak.
Saya pernah bertanding di parlimen Pasir Salak pada pilihanraya umum 2004 dan sebelum itu pada 1999 di dun Sungai Manik. Apabila Nik Omar bertanding di tempat saya, wajib saya bantu.
Rakannya, Ustaz Wan Subki adalah Pengarah Pilihanraya Pasir Salak. Sebelum ini, saya hanya mengenali Ustaz Wan Subki dari kejauhan sahaja. Rupa-rupanya dia bukan calang-calang orang di kalangan ulama tanah air dan juga antarabangsa. Difaa adalah ahli Majlis Umana’ Kesatuan Ulama Sedunia yang pernah dipimpin oleh Dr. Yusuf Qardawi. Di Malaysia, dia adalah Yang Dipertua kesatuan tersebut.
Sebagai ‘orang luar’, Ustaz Subki cermat mengatur perjalanan kempen di tempat yang asing. Ini satu cabaran buat dirinya dan juga kami mencari titik keserasian bekerja.
Namun belum rezeki untuk PH dan Ustaz Nik Omar menang di sini. Pas Pasir Salak menang 3-0 dan mencipta sejarah dunia.
Dalam sembangnya, Ustaz Nik Omar berkongsi pandangan tentang cabaran politik masa hadapan negara. Antara yang disentuhnya adalah soal memahami kebudayaan hidup bermasyarakat terutamanya Melayu luar bandar seperti Pasir Salak.
Ini adalah perihal daripada keputusan pilihanraya umum yang dicorakkan atas naratif garis kaum. Pasir Salak merupakan kawasan yang mempunyai majoriti Melayu yang tinggi. Lawatannya dari satu Pusat Deaerah Mengundi (PDM) seluruh kawasan yang ditandinginya adalah memberi suatu input dan inspirasi pada dirinya sendiri memahami Melayu luar bandar. Pasir Salak mempunyai lebih 50 PDM dan keluasannya tidak mampu dilawati dalam tempoh sehari.
Anak Tok Guru itu menyebut tentang keperluan dan peranan ulama dalam mengisi perjuangan siasah. Peranan dan posisi mereka harus diperkasakan. Unsur tradisionalis yang tidak bertentangan dengan Islam dalam masyarakat perlu dipelihara dan disuburkan.
Golongan ulama dan berpendidikan agama mempunyai tanggungjawab dakwah yang berat terutama dalam menghadapi budaya takfiri dan extremisme. Tambahan pula apabila presiden Pas mahu menyasarkan anak muda jahil politik dan agama sebagai penentu kemenangan Pas dalam pilihanraya umum ke 15. Anak muda perlukan bimbingan dan bukan angin kejahilan. Lupakah pepatah lama yang menyebut, ‘Siapa menabur angin akan menuai badai’?
Masyarakat yang konservatif seperti di Pasir Salak dan juga di tempat sepertinya tidak boleh dipaksa dengan idea progresif. Lebih-lebih lagi menggunakan pendekatan yang radikal, agresif dan segera. Pepatah Melayu menyebut tentang pendekatan, ‘tarik rambut dalam tepung. Rambut dapat ditarik dan tepung tidak pecah’. Begitulah adab Melayu melerai apa jua masalah bersama.
Dalam tempoh empat tahun ke hadapan, PH mesti mempunyai teras-teras utama yang mampu menyediakan platform golongan traditionalis. Ketika itu, siapa yang bakal menerajui kerajaan dan negara masih dalam teka-teki. Maknanya samada PH jadi kerajaan atau tidak, usaha itu mesti diteruskan oleh PH.
Persoalan yang paling penting adalah usaha memperkasakan peranan ulama dalam PH. Ulama adalah kunci kepada kefahaman masyarakat melalui tradisi ilmu yang dimiliki dan kebijaksanaan berdakwah.
Ustaz Nik Omar juga bersetuju untuk hadir ke Pasir Salak selepas ini menyambung tugas menyampaikan ilmu melalui kuliah-kuliah atau memberi pengisian kepada ahli, penyokong dan masyarakat di Pasir Salak.
Di rumah, kami sediakan juadah pelapik kata bicara kami. Mangga, popia dan biskut kering keluaran bumiputera dari Lekir serta teh tarik Thermomix.
Seusai mereka beredar pergi meninggalkan kami, isteri saya buka cerita arwah Tok Guru yang dikongsi oleh isteri Ustaz Nik Omar semasa mereka berbual. Sembang orang perempuan sesama mereka memang yang ringan-ringan. Tidak seperti sembang lelaki yang sarat idealisme, harapan dan memerah otak.
Sembang mereka begini:
Suatu ketika Anwar Ibrahim datang menziarahi Tok Guru di Pulau Melaka. Tok Guru cadangkan minuman kopi tetapi ketika itu, tiada simpanan kopi di dapur. Akhirnya isteri Tok Guru dapatkan kopi dari jiran rumah.
Kopi itulah yang Tok Guru hulur dengan tangannya sendiri kepada Anwar Ibrahim. ‘Hmmm sedapnya kopi ni…’ puji Anwar Ibrahim. ‘Kopi cap apa?’ tanya tetamu itu. Tok Guru tersenyum kerana dia sendiri tidak tahu.
Kemudian baru Tok Guru dan Anwar berbicara soal umat dan negara.
Begitulah ceritanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan