FAZLI RADZI
Anggapan Presiden Pas, Datuk Sri Abdul Hadi Awang bahawa keputusan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 sebagai jahil agama sendiri dilihat mengundang deretan sindiran warganet.
Orang ramai menyelar kenyataan Duta Khas ke Asia Barat berkenaan yang dilihat seolah-olah hanya pengundi Pas celik agama di Malaysia ini.
Antaranya, penguna Facebook Spark Nauza menyoal kembali mengapa Pas boleh sahaja bekerjasama dengan Bersatu merupakan komponen PH pada PRU 2018.
“Muhyiddin dan geng-geng dia bertanding masa PRU lepas bawa nama PH. Dah tu, kenapa tok guru pergi kerjasama dengan puak tu?” soalnya.
Tindakan Pas turun ke Tanjung Piai untuk menyokong MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu pada 2019 turut dibangkitkan netizen.
“Semasa PRK Tanjung Piai, Hadi reti pula suruh undi calon MCA,” kata Mat Lutfi.
Untuk rekod, dalam ucapannya pada Ceramah Perdana BN pada 2019, Hadi berkata Pas boleh menyokong calon MCA itu kerana Islam yang diajar bukan sahaja satu agama tetapi mengajar hidup bermasyarakat yang majmuk.
Tidak kurang juga kalangan warganet secara menyindir berharap supaya rakyat negara ini memaafkan saja Hadi yang dikenali dengan amanat penuh kontroversinya pada 1981 itu.
Seorang warganet menulis, “Dah biasa (Hadi) berkata-kata begitu. Maafkan dia. Dah lama tak pergi Timur Tengah. Mungkin terlupa.”
Terdahulu, Abdul Hadi dalam Amanat Khas Presiden dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di Alor Setar mengaitkan tindakan tidak mengundi Pas pada PRU14 sebagai jahil agama.
“Malangnya kita menghadapi orang Islam yang jahil agama, tak tahu agama dia sendiri.
“PRU14 pilih orang bukan-Islam jadi wakil rakyat, pilih orang liberal menjadi wakil rakyat. Berlaku kerajaan yang kacau bilau, Kerajaan Pakatan Harapan, yang lebih teruk daripada Umno.
“Umno ada masalah, tapi PH lebih mencabar Islam, mencabar Perlembagaan, mencabar Raja-raja. Gejala-gejala menghina Islam. Ini kerana kejahilan orang Islam. Kita mesti bersabar menghadapi kejahilan orang Islam,” dipetik Harakahdaily.
Susulan itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri dalam kenyataannya berkata, tindakan menyalahkan pengundi yang tidak memilih Pas pada PRU14 lalu sebagai jahil agama adalah tidak wajar.
Jelasnya, Abdul Hadi harus memahami kedudukan umat Islam yang terpedaya dengan janji manis yang tidak realistik, bukan kerana mereka tidak mengenal Islam sepenuhnya.
“Pada PRU14, bukan saja PAS, malah BN yang terbukti berpengalaman, berjaya membangunkan negara dan menjalankan dasar sejajar Islam pun dikaramkan dengan dakyah fitnah akhir zaman ini,” kata Syed Mohd Johan dalam hantaran di Facebook hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan