Hidir Reduan Abdul Rashid
Dr Mahathir Mohamad menganggap Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai seorang pembohong demi kepentingan peribadi dan sejak 25 tahun lalu tidak pernah memberikan bukti kukuh menunjukkan bekas perdana menteri itu pernah menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan.
Dalam sanggahan 60 halaman terhadap pernyataan pembelaan Anwar terhadap saman fitnahnya, bekas ahli parlimen Langkawi itu menegaskan, bahawa defendan merujuk kepada apa yang dipanggil dokumen sebagai bukti tetapi akan memberi alasan apabila enggan mendedahkan bukti tersebut.
Ahli politik veteran berusia 97 tahun itu menegaskan pembelaan Anwar tidak mengandungi sebarang bukti walaupun pengerusi PH itu - pada 7 April lalu - dilaporkan media sebagai berkata, dia sedia untuk mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya terhadap plaintif.
Mahathir mendakwa ia bertentangan dengan pendapat Anwar tentang kerajaan menyelamatkan KPB (kini dikenali sebagai Pos Logistics Bhd), sebuah syarikat yang anak plaintif, Mirzan, adalah pemegang saham majoriti dan pengarah.
Defendan sendiri sebagai timbalan perdana menteri ketika itu (Mac 1998) memberitahu media bahawa ia bukan langkah penyelamatan tetapi sekadar "keputusan perniagaan".
Mahathir berkata Anwar - yang merupakan sebahagian daripada jemaah menteri pada awal dan pertengahan 1990-an - berada di parlimen pada 1997 untk memberitahu Ahli Parlimen Lim Guan Eng bahawa penjualan saham Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam MISC Bhd kepada Petronas bukanlah satu tindakan bailout.
Bekas orang kuat Umno itu menegaskan Anwar ketika itu memberitahu Dewan Rakyat perjanjian tersebut menunjukkan ketelusan pentadbiran ketika itu yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana perniagaan milik keluarga yang meminta bantuan kerajaan.
"Ini jelas menunjukkan defendan mempunyai ciri-ciri pembohong. Ini kerana defendan mempunyai pendirian yang berbeza (pada 1990-an) daripada apa yang dinyatakan dalam pembelaannya hari ini.
"Begitu juga dengan keengganan defendan sehingga hari ini untuk mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.
"Ini menunjukkan defendan akan berkata sesuatu dan kemudian mengubah pendiriannya sambil memfitnah asalkan ia memenuhi faedah peribadi defendan," kata Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan