Hariz Mohd
Cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya negara Asia menubuhkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) versi rantau ini dan mengurangkan pergantungan mereka kepada dolar AS mendapat pujian pakar.
Ahli ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dan penganalisis Pong Teng Siew menyatakan sokongan mereka terhadap idea itu, berkata memiliki Tabung Kewangan Asia (AMF) akan menyediakan negara rantau ini alternatif yang lebih baik semasa krisis.
Jomo berkata penubuhan AMF sekarang adalah tepat pada masanya, dan dia sentiasa menyokong idea itu sejak ia dicadangkan berikutan krisis 1997.
"Anda tidak boleh menubuhkan dana sedemikian di tengah-tengah krisis. Jadi sudah tiba masanya untuk berfikir ke hadapan.
"Ia mengurangkan kelemahan kami tanpa mengikat terlalu banyak sumber," katanya melalui pesanan teks kepada Malaysiakini.
Ahli ekonomi itu menambah cadangan untuk AMF oleh Anwar juga membuktikan bahawa perdana menteri bukanlah konco IMF sebagaimana tuduhan yang dilemparkan terhadapnya pada 1998.
Sementara itu, Pong berkata IMF sering menawarkan "preskripsi" yang akhirnya "menjadi lebih teruk daripada apa yang diberikan oleh penawar itu.
"IMF versi Asia yang tidak berpegang kepada ekonomi preskriptif neoliberal IMF menawarkan alternatif yang munasabah kepada negara-negara yang tidak mahu mengalami kesakitan jangka pendek yang dikaitkan dengan aliran pemikiran IMF.
"Laluan tidak konvensional yang dilalui oleh Malaysia selepas krisis kewangan Asia boleh dikatakan sama berjaya seperti laluan yang ditetapkan IMF, (tetapi) tanpa (melibatkan) kos terhadap manusia dan dislokasi yang dikaitkan dengan dasar IMF standard," kata Pong kepada Malaysiakini.
Penganalisis itu merujuk kepada krisis kewangan Asia pada 1997, yang menyaksikan penurunan mendadak nilai mata wang dan pasaran saham di beberapa negara Asia dan menyebabkan peningkatan pengangguran dan kemiskinan.
Ia kemudiannya menyaksikan IMF meminjamkan lebih AS$100 bilion pinjaman jangka pendek kepada Thailand, Indonesia dan Korea Selatan; yang mana bantuan datang dengan senarai syarat yang perlu dipenuhi oleh negara berkenaan.
Perkara yang sama ditawarkan kepada Malaysia tetapi kerajaan kemudiannya memutuskan untuk tidak mengambil pinjaman IMF. Sebaliknya, ia mengambil beberapa langkah tidak konvensional, termasuk menambat ringgit berbanding dolar AS.
Keputusan ini kemudiannya dipuji oleh IMF sebagai langkah yang tepat.
Pong juga mendakwa bahawa penyelesaian yang ditawarkan oleh IMF itu "secara politiknya tunduk" kepada kepentingan korporat dan kewangan AS.
Menurutnya, pihak berkenaan "menunggu di luar sana untuk mengambil peluang situasi kesusahan yang dibuka oleh preskripsi IMF itu,”
Menurut Pong, jika tersedia dana selain IMF maka negara yang dilanda krisis tidak akan kehilangan kawalan ke atas sumber domestik dengan harga murah kepada pemilikan asing yang akhirnya "tidak benar-benar menambah apa-apa nilai berikutan rampasan terhadap kawalan mereka ke atas aset domestik."
Minggu lalu, Anwar memberitahu parlimen bahawa tidak ada sebab untuk negara seperti Malaysia terus bergantung kepada dolar AS dalam menarik pelaburan ke negara itu, dan mengulangi cadangan untuk menubuhkan AMF.
Dia juga berkata Bank Negara telah membuat cadangan untuk menggunakan ringgit dan renminbi dalam rundingan antara Malaysia dan China.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz kemudiannya memberitahu CNBC, media yang berpangkalan di AS bahawa Anwar telah mencetuskan idea untuk mengurangkan kesan dolar yang kukuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan