"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagan Pinang petanda keputusan PRU 13 / UBN Najib Altantuya

Amin Iskandar

Hari penamaan calon pada 3 Oktober di Bagan Pinang, Negri Sembilan menyaksikan pertandingan satu lawan satu diantara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (Pakatan). BN diwakili oleh bekas MB Negri Sembilan, Tan Sri Isa Samad. Manakala Pakatan pula diwakili oleh calon dari PAS, Zulkefly Omar.

Ribuan penyokong kedua-dua pihak membanjiri pejabat daerah Port Dickson sejak awal pagi bagi memberikan sokongan kepada calon-calon mereka. Pemimpin-pemimpin BN dan Pakatan tidak ketinggalan untuk memberikan sokongan kepada calon masing-masing.

Bagan Pinang dimenangi oleh BN dalam pilihanraya umum (PRU) ke 12 lalu dikawasan parlimen Teluk Kemang yang tumbang ketangan calon PKR, Datuk Kamarul Baharin. Ertinya, kerusi Bagan Pinang boleh dikatakan kubu kuat kepada BN.

Manakala Pakatan turut mempunyai kelebihan oleh kerana kerusi Parlimen Teluk Kemang berada dalam kekuasaan mereka. Dalam sejarah pilihanraya kecil (PRK) selepas PRU 12, Pakatan hanya berjaya merampas kerusi BN sekali sahaja di kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Selebihnya, mereka hanya mempertahankan kerusi yang dimenangi seperti di Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir. Manakala di Batang Ai pula, Pakatan tewas.

PRK kesembilan selepas PRU 12 yang kali ini berlangsung di Negri Sembilan ini akan menjadi penentu kepada halatuju politik Malaysia pada masa akan datang.

Bagi BN, mereka mempunyai banyak sebab untuk memenangi kerusi Bagan Pinang. Pertama, semenjak Datuk Seri Najib Razak naik sebagai perdana menteri Malaysia yang keenam, BN hanya memenangi satu PRK iaitu di Batang Ai, Sarawak.

Selebihnya, BN tewas seperti di Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai dan Permatang Pasir.

Ketika masih timbalan perdana menteri, Najib menggepalai BN dalam dua PRK iaitu di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dimana menyaksikan BN tewas dikedua-dua kerusi. Lebih malang lagi, kerusi Kuala Terengganu yang sebelum ini disandang oleh calon BN, dirampas oleh PAS.

Dalam ertikata lain, Najib dilihat sebagai seorang ketua yang tidak mampu memberikan kemenangan kepada BN dalam pilihanraya walaupun umum mengetahui BN mempunyai banyak kelebihan dalam mana-mana pilihanraya oleh kerana jentera kerajaan dan media arus perdana bersama mereka.

Jika BN tewas di Bagan Pinang, penyokong-penyokongnya akan hilang keyakinan kepada kepimpinan Najib dan tidak mustahil lebih ramai lagi “orang-orang BN” yang akan berhijrah ke Pakatan Rakyat.

Kedua, BN hilang kuasa dua pertiga di DUN Negri Sembilan dalam PRU 12 lalu. Jika tewas kali ini, kerusi Pakatan akan bertambah sekaligus akan mengoncangkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Mohammad Hassan.

BN hanya mempunyai kelebihan enam kerusi di DUN berbanding Pakatan dimana BN mempunyai 21 kerusi manakala Pakatan mempunyai 15 kerusi. Jika tewas, kerusi Pakatan dalam DUN akan bertambah menjadi 16 dan ini bahaya kepada BN dalam PRU akan datang.

Ketiga, BN terutamanya Umno yakin undi orang-orang Melayu akan sentiasa memihak kepada mereka. Oleh kerana di Bagan Pinang terdapat ,8,577 atau 62.77 peratus pengundi Melayu, kekalahan di Bagan Pinang akan memberikan signal bahawa orang-orang Melayu sudah mula meninggalkan BN.

Keempat, Selatan Semenanjung Malaysia adalah kawasan kubu kuat Umno. Semenjak zaman berzaman Umno dan BN kuat di Negri Sembilan, Melaka dan Johor. Amat sukar bagi parti pembangkang untuk menang dalam pilihanraya di negeri-negeri berikut. Jika Pakatan menang di Bagan Pinang, ertinya kekuatan Umno dan BN di Selatan Semenanjung Malaysia telah dirobek. Ini akan memberikan kekuatan kepada Pakatan untuk terus mengasak Selatan Semenanjung Malaysia.

Sebab itu Umno dan BN tidak mempunyai pilihan selain meletakkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon mereka dalam PRK Bagan Pinang walaupun bekas MB Negri Sembilan itu pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah politik dalam pemilihan agung Umno satu ketika dahulu.

Telah diketahui umum, MB Negri Sembilan, Mohammad Hassan tidak selesa Isa dijadikan calon. Pada peringkat awal, ketika Umno Teluk Kemang mengumumkan bahawa mereka hanya meletakkan satu nama iaitu Isa, beliau bertegas mahukan tiga nama calon dari bahagian tersebut.

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak awal-awal lagi menentang tindakan meletakkan Isa sebagai calon BN di Bagan Pinang. Apabila Umno dan BN sebulat suara untuk meletakkan Isa, Dr Mahathir mengambil sikap untuk tidak turun berkempen untuk PRK kali ini.

Umno Teluk Kemang, sejak awal-awal lagi telah sebulat suara untuk meletakkan Isa sebagai calon mereka. Jika Umno Pusat mempunyai calon lain, dikhuatiri episod sabotaj dalaman akan berulang seperti apa yang berlaku di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Jadi, risiko inilah tidak mahu diambil oleh kerana objektif Umno kali ini hanya satu, iaitu menang. Pengaruh Isa di Bagan Pinang sangat kuat dikalangan orang-orang Melayu. Jika Isa tidak diletakkan sebagai calon, dikhuatiri beliau dan pengikut-pengikutnya melakukan sabotaj kepada BN.

Dari segi jangkamasa panjang, tindakan meletakkan Isa akan menyukarkan Najib untuk meyakinkan rakyat bahawa beliau ingin membersihkan BN dan melakukan reformasi. Ini juga akan menjadi “modal besar” Pakatan untuk menyerang BN.

Bagi PAS dan Pakatan pula, mereka “underdog” di Bagan Pinang. Dalam ertikata lain, tekanan yang mereka rasakan tidak seberat Umno dan BN. Mengurangkan majoriti yang dimenangi BN sudah menjadi satu kemenangan kepada Pakatan. Oleh yang demikian, PAS dan Pakatan lebih tenang untuk berkempen kali ini.

Tambahan lagi, Zulkefly, calon yang diletakkan oleh Pakatan tidak mempunyai “baggage sejarah” hitam sepertimana yang dipunyai oleh Isa. Pengalaman di PRK Permatang Pasir telah menyaksikan Umno dan BN telah menghabiskan banyak masa untuk menjawab serangan Pakatan yang membangkitkan isu skandal penyelewengan calon mereka, Rohaizat Othman.

Apakah di Bagan Pinang juga episod yang sama akan berulang?

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof terdapat 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos. Sejak awal lagi PAS telah membangkitkan isu pengundi pos. Jumlah 4,604 pemilih merupakan satu jumlah yang besar.

Tidak banyak yang boleh dilakukan lagi buat masa kini dalam isu undi pos ini oleh kerana sistem pengundiannya sendiri tidak menjamin “kerahsiaan” pengundi-pengundinya apabila salinan kad ID pengundi pos perlu dikepilkan sekali bersama kertas undi. Dari segi perjalanan proses pengundian pos, tidak ada banyak masalah. Semua pihak yang bertanding dibenarkan untuk memantau.

Apa-apa pun 11 Oktober ini merupakan satu tarikh yang ditunggu-tunggu oleh peminat politik Malaysia oleh kerana Bagan Pinang akan merubah lanskap politik negara. Kemenangan BN atau Pakatan akan memberikan indikator terbaru dalam politik Malaysia.

Selamat mengundi diucapkan kepada 13, 664 pemilih berdaftar di Bagan Pinang. Kepada petugas-petugas BN dan Pakatan, rayakanlah demokrasi dengan bersopan dan bertamadun.

Tiada ulasan: