"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rasuah bukan isu penentu Bagan Pinang? / UBN Najib Altantuya

Haris Zalkapli

TELUK KEMANG, 6 Okt: PAS memulakan kempen di pilihan raya kecil Bagan Pinang di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan agak yakin, sekurang-kurangnya berdasarkan pilihan calon kedua-dua parti bertanding.

Dengan memilih Tan Sri Isa Abdul Samad yang pernah disabitkan dalam kes rasuah politik oleh lembaga disiplin partinya, PAS mendapat modal untuk menyerang calon Umno seperti dilakukan di Permatang Pasir lebih sebulan lalu.

Walau bagaimanapun, isu rasuah yang menjadi perhatian PAS dan parti-parti pembangkang lain dinilai sebagai bukan isu utama yang akan mencorakkan pilihan pengundi di Bagan Pinang.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, isu rasuah bukan isu dominan bagi pengundi di kawasan pilihan raya itu.

"Pada pandangan saya, isu rasuah Isa bukan lagi isu dominan jika kita lihat pada isu dalam kempen di sini, dan tidak berperanan besar dalam menentukan aliran pengundi,"kata Abu Hassan.

Jelas beliau, kes Isa itu, yang sudah sedia diketahui umum, lebih kepada isu dalaman Umno.

"Pihak oposisi, khasnya PAS tidak akan mendapat kesan besar dari segi undi sekiranya memberi fokus pada isu rasuah.

"Rasionalnya, isu rasuah tidak boleh tentukan kemenangan," ujarnya.

PAS dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir memberi tumpuan pada rekod peribadi calon Barisan Nasional, Rohaizat Othman.

Walau bagaimanapun, disebabkan sikap sebahagian besar pengundi sudah terbentuk sejak Pilihan Raya Umum ke-12, isu calon tidak memberi kesan besar kepada pengundi.

Permatang Pasir yang terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai jumlah penyokong Pakatan Rakyat yang besar dan realiti ini dilihat pada keputusan-keputusan pilihan raya sejak Mac 2008.

Bagi Abu Hassan, isu yang lebih utama dan bersifat jangka panjang ialah berkaitan penstrukturan pembangunan kawasan terbabit.

"Pembangunan yang perlu diberi perhatian bukan sahaja melibatkan hotel dan sebagainya, tetapi pembangunan sebuah daerah pelancongan yang disusun dengan lebih bijak,"katanya.

Beliau menegaskan kawasan terbabit, yang dikenali sebagai kawasan pelancongan perlu membangun tanpa mengorbankan budaya setempat.

Abu Hassan juga menekankan isu pemilikan tanah di Bagan Pinang sebagai isu yang perlu diberi perhatian, disebabkan nilainya yang akan meningkat pada masa akan datang.

"Isu tanah ini akan menjadi isu dominan pada masa akan datang, khususnya kepada orang Melayu yang sering melihat pembangunan mengorbankan hak milik tanah mereka,"tegas Abu Hassan.

Beliau juga melihat kualiti hidup penduduk tempatan sebagai isu yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan kawasan Bagan Pinang.

"Kualiti hidup penduduk Melayu di kawasan ini masih tidak jauh berbeza, walaupun Negeri Sembilan itu dilihat sebagai salah sebuah negeri yang agak berjaya dari segi ekonomi," kata Abu Hassan.

Ibrahim Sufian, pengarah pusat tinjauan pendapat Merdeka Center juga berpendapat isu rasuah Isa bukan penentu utama dalam pilihan raya kecil ini, tetapi mengingatkan bahawa pengundi semakin memberi perhatian pada soal kelayakan calon.

Ibrahim berpandangan isu berhubung rekod Isa memberi kesan kepada Umno, berdasarkan reaksi defensif parti itu sejak bekas menteri besar itu dipilih.

BN masih memberi penjelasan tentang pemilihan Isa sebagai calon di Bagan Pinang.

Terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata di Paris, Perancis bahawa Isa sudahpun menjalani hukuman dan perlu diberi peluang kedua.

"Ramai yang akui Isa seorang yang mesra, rendah diri dan mudah didekati, tetapi semenjak Pilihan Raya Umum ke-12, rakyat semakin peka dengan isu integriti,"katanya.

Beliau mengatakan Isa turut membawa pembangunan semasa tempoh beliau menjadi menteri besar dan ini menyumbang kepada populariti beliau.

"Tetapi kalaupun pengundi memilih BN, pilihan itu bukan disebabkan pembangunan itu tetapi kerana pilihan-pilihan peribadi,"kata Ibrahim.

Walau bagaimanapun, pemilihan Isa sebagai calon Umno di Bagan Pinang akan membawa kesan kepada BN pada masa akan datang.

"Hal ini akan mendatangkan implikasi nasional kepada BN, seperti yang disebut (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), mungkin menang di Bagan Pinang tetapi selepas ini belum pasti lagi," tegasnya.

Mengulas mengenai kempen PAS memberi tumpuan pada rekod Isa dan dilihat sesetengah pihak sebagai pembunuhan karakter, Ibrahim berkata ada perbezaan antara penilaian seorang penjawat awam dengan pembunuhan karakter.

Menurut Ibrahim, Isa ialah seorang penjawat awam dan rekodnya boleh dinilai.

"Sebagai penjawat awam, tindak-tanduknya semasa memegang jawatan ialah rekod awam yang memang boleh diketahui orang ramai,"jelasnya.

Tiada ulasan: