"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tanpa SELCAT, penyelewengan dana oleh BN masih tersembunyi / UBN Najib Altantuya

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 7 Okt : Dengan kerjasama yang baik diberikan oleh para pegawai daerah dan kakitangan kerajaan negeri kepada SELCAT, telah mendedahkan kepada umum beberapa penyelewengan harta dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh wakil rakyat-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selama ini.

Isu seperti percutian ke Disneyland dan Morocco yang melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, peruntukan RM500,000 kepada Adun-Adun BN yang habis selama sebulan setengah, Balkis dan dana tambahan RM10 juta untuk setiap daerah adalah antara beberapa kes yang terbongkar ketika sesi pendengaran awam SELCAT dilaksanakan.

Demikian pendapat yang dinyatakan salah seorang anggota SELCAT, Shaari Sungib (PAS-Hulu Kelang) ketika ditanya peranan dan kepentingan SELCAT atau dikenali juga sebagai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor.

"Tanpa pendengaran awam ini, sudah pasti penyelewengan dan penyalahgunaan BN masih tersembunyi tanpa pengetahuan umum yang akhirnya akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri manakala dana rakyat dan kuasa diguna sewenang-wenagnya tanpa sebarang pantauan.

"Lihat sahaja apa yang berlaku kepada PKFZ dan skandal BMF dahulu. Ini terjadi kerana tiada akauntabiliti dan institusi yang memantau seperti SELCAT," katanya kepadaHarakahdaily.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kontroversi yang tercetus baru-baru ini tentang proses pengendalian pendengaran awam itu yang mendapat kritikan.

"Saya tidak mahu komen lanjut. Nanti pelbagai tafsiran pula terhadap PAS dan pihak-pihak lain.

"Cuma saya nak beritahu kerjasama yang diberikan oleh pegawai daerah dan kakitangan kerajaan sangat baik.Tanpa penjelasan mereka, kita tidak tahu penyelewengan yang berlaku dan mana-mana kaedah pentadbiran serta pengurusan kewangan yang perlu diperbaiki," katanya

Shaari juga menjelaskan fungsi SELCAT boleh diumpamakan seperti Suhakam yang hanya bertindak menjanlankan proses pendengaran awam semata-mata dan tidak mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan kepada yang bersalah.

Salah faham inilah yang menyebabkan ramai yang yang menyangka SELCAT bersifat menghukum sedangkan institusi itu hanya menyerahkan penyata dan laporan kepada Dewan untuk mengambil langkah seterusnya.

Sungguhpun ianya sekadar pendengaran awam, namun ianaya memberi kesan dan impak yang amat besar kepada masyarakat apabila rakyat mendapat pendedahan, media membuat liputan yang meluas manakala pihak berkuasa dan mahkamah merujuk laporan yang disediakan untuk membuat sesuatu tindakan.

Seperti contoh, kes Kesas yang dilaporkan oleh Suhakam pada 2001, telah menyebabkan Mahkamah membuat keputusan bahawa 11 orang OKT dalam kes perhimpuan �100,000 rakyat di Lebuhraya Kesas' yang berlaku 9 tahun yang lalu tidak bersalah.

Berdasarkan Kertas Laporan Suhakam berhubung Inkuiri Kes Suhakam yang dikeluarkan pada Ogos 2001 jelas mengatakan bahawa hujah pendakwaan adalah tidak berasas sebaliknya pihak Polis telah melakukan pelanggaran hak asasi manusia dengan mengkasari orang ramai dengan secara keterlaluan hingga menyebabkan kecederaan kepada orang ramai.

"Dewan yang membahas dan mengusulkan sesuatu tindakan dan melalui 'Privilege Committee' sesuatu hukuman dilaksanakan.

"Bagi kes Khir Toyo kita sudah beri dia peluang untuk membela diri sama ada di SELCAT atau di Dewan tetapi dia tidak mengendahkannya. Justeru satu tindakan dikenakan kerana sikap dia yang menghina Dewan," kata beliau menjelaskan kedudukan secara ringkas prosiding yang dijalankan.

SELCAT kata Adun Hulu Kelang itu mendedahkan kepada masyarakat tentang apa yang berlaku di sebalik tabir sebuah pemerintahan negeri terutama dalam hal berkaitan kewangan dan harta yang sepatutnya sampai dan disalurkan kepada rakyat setempat.

"Dengan adanya institusi ini, tiada wujud pemusatan kuasa atau salah guna yang melampau oleh para pemimpin baik daripada BN mahupun oleh Pakatan Rakyat.

"Ianya membuatkan kita berfikir dengan waras dan bukannya 'angguk dan membuta tuli' mengikut arahan pemimpin. Mesti ada fakta dan penjelasan yang kukuh sebelum membuat sesuatu," katanya.

SELCAT katanya diamalkan di Negara-negara Komanwel, meliputi pengurusan kewangan, rang undang-undang dan pentadbiran seperti di England, Kanada, New Zealand dan lain-lain.

Selain SELCAT, dewan negeri juga telah menubuhkan tiga jawatankuasa lain iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Anak-anak Syarikat (GLC) dan Badan Berkanun serta Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pejabat Daerah dan Tanah, kata Shaari.

Menurut Shaari sistem ini perlu diteruskan pentadbiran kerajaan negeri merangkumi sistem 'check and balance'.

"SELCAT adalah institusi yang amat baik, yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri bukan sahaja untuk menilai dan menyelidik segala penyelewengan dan salahguna kuasa oleh badan-badan yang berkaitan kerajaan negeri Selangor,

"Tetapi bagaimana harta dan wang yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat digunakan," katanya.

Tiada ulasan: