Sharyn Lisa Shufiyan, 24, berkata rakyat Malaysia tidak perlu disogok dengan propaganda kerajaan atas nama perpaduan kerana ia sepatutnya sudah sebati dalam jiwa setiap rakyat.
"Malangnya kita masih lihat diskriminasi dan polarisasi kaum. Persepsi ethno-sentrik masih menebal bahawa orang Melayu adalah kaum yang dominan dan hak mereka perlu dilindungi serta orang bukan Melayu selama-lamanya dianggap orang asing, kata Sharyn yang bekerja sebagai pakar pemuliharaan.
"Untuk konsep 1Malaysia berjaya, kerajaan harus menghentikan amalan politik perkauman. ia meletihkan.... sehingga sekarang kita diwajibkan mengisi "bangsa" kita dalam setiap borang," kata beliau.
Sharyn juga menggesa supaya amalan memberi gambaran negatif terhadap golongan bukan Melayu dihentikan manakala usaha menerapkan perasaan kekitaan di kalangan masyarakat ditingkatkan.
"Saya berpendapat penghalang utama kepada perpaduan kaum disebabkan konsep "Ketuanan Melayu" yang dicanangkan. Lebih baik hak Melayu diubah kepada hak asasi. jadi selagi kita tidak mereformasi status Bumiputra atau dasar mengenai hak asasi, tidak mungkin kita boleh mencapai perpaduan sejati," kata cicit Tunku itu.
"Tidak seorang pun patut berasa asing di dalam rumah mereka sendiri. Seorang sahabat karib saya berbangsa Cina pernah berkata,'Saya tidak berasa patriotik sebab saya tidak pernah menikmati perasaan bahawa Malaysia adalah tanah air saya dan saya juga rasa tidak wujud hubungan dengan negara China sebab saya tidak pernah tinggal di situ.'.
"saya mempunyai beberapa kawan dari kalangan Baba Nyonya yang mempunyai susur galur keluarga sehingga beberapa ratus tahun. Saya adalah rakyat Malaysia generasi keempat. Jika saya seorang Bumiputra mengapa mereka tidak boleh dianggap demikian?" kata Sharyn lagi.
Konsep 1Malaysia yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri Najib Razak sejak beliau memegang jawatan tersebut April lalu telah dikritik sebagai dasar hipokrik kerana berlawanan dengan tindakan berbanding dengan slogan yang dilaungkan.
Umpamanya Najib menyeru kepada perpaduan dan integrasi kaum tetapi media milik Umno terus memainkan sentimen perkauman dalam penulisannya.
Begitu juga kerapuhan di dalam BN yang memperlihatkan keadaan porak peranda dan perselisihan faham di antara beberapa parti komponen yang berasaskan kepada perkauman.
Isu kepala lembu yang didalangi oleh beberapa pemimpin Umno baru-baru ini membuktikan bagaimana konsep 1Malaysia hanyalah satu fatamorgana dan tidak lebih dari itu.
-tvantara.com-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan