"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zulkefly Mohammad bin Omar yang saya kenal / Nizar / PKF

Mujahid Yusof Rawa

Kali ini saya berada di Bagan Pinang untuk turut serta berkempen bagi memenangkan calon PAS Sdr Zulkefly Mohd Bin Omar.Saya memilih untuk menulis tentang calon PAS di N31 kerana beberapa sebab, pertama saya mengenali beliau selaku rakan seperjuangan dalam Dewan Pemuda PAS Pusat, kedua kerana saya sering bertandang ke Negeri Sembilan semasa terlibat dengan PAS Melaka dan banyak mengadakan program khususnya ketika peringkat awal penubuhan Kelab Penyokong PAS di Seremban.

Ketiga, saya mahu mengalih tajuk 2 siri tentang Islamic State Revised and Revisited untuk menulis sesuatu yang ringan dan bersantai kali ini.

Adapun tentang calon BN, iaitu Tan Sri Isa Samad, memang saya mengenali beliau selaku seorang Menteri Kabinet dan Mentri Besar Negeri Sembilan satu ketika dahulu. Saya juga mengenali beliau sebagai seorang calon Naib Presiden Umno yang menang dan dibatalkan kemenangannya kerana kes politik wang.

Tan Sri Isa menjadi terkenal atas sebab yang salah dan menerima hukuman 3 tahun digantung dari Umno dan hanya baru-baru ini iddah 3 tahun itu berakhir dan kini dia kembali. Memanglah sesuatu yang biasa seseorang itu kembali ke pangkuan partinya setelah dihukum dan ia menunjukkan keikhlasan seorang aktivis tetapi agak mengejutkan apabila kembalinya ia bukan sebagai aktivis biasa lagi tetapi sebagai calon pilihanraya kecil!

Sukar untuk memahami budaya Umno, walaupun dipalit dengan rasuah dalam partinya beliau tetap menjadi calon pilihan untuk diundi oleh rakyat! apakah seolah Umno sudah ketandusan calon yang bersih? Saya setuju bahawa Tan Sri Isa telah menerima hukumannya dan soal dia bertaubat atau tidak bukan masalah manusia untuk menentukannya, tetapi kesalahan rasuah dalam parti sepatutnya diberi ketegasan.

Jikalau calon yang rasuah dalam pemilihan partinya masih boleh diberi peluang menjadi calon pilihanraya yang akan dipilih oleh rakyat, saya tidak boleh bayangkan di mana maruah parti itu? Tetapi saya tidak heran, itulah “Satu Malaysia” yang gah slogannya itu tetapi hampeh gara-gara pencalonan Isa Samad!

Berbalik kepada calon PAS, sdr Zulkefli Mohd Bin Omar, dia seorang anak muda berumur 45 tahun yang agak meyakinkan latarbelakang pendidikannya dan teruji ketahanannya dalam perjuangan parti PAS dan dikenali kerana menjadi wira bagi penduduk Broga dalam kempen “no Incinerator”

Saya bukan setakat mengenali beliau tetapi turut sama dalam aktiviti yang dipimpin sendiri oleh beliau term[poster_calon1_n31.jpg]asuklah program menubuhkan Kelab Penyokong PAS di kalangan masyarakat bukan Islam dan pertemuan dengan masyarakat bukan Islam dalam dialog-dialog yang diadakan.

Saya tertarik dengan kemesraan beliau yang mudah bergaul dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini. Sdr Zulkefli Mohd Bin Omar juga dikenali dalam masyarakat kerana semasa beliau menjadi Pesuruhjaya PAS NS sejak 2007 hingga kini banyak program kebajikan telah dijalankan khusus dalam membela kelompok masyarakat miskin di Negeri Sembilan, saya tahu kerana turut terlibat sebagai perasmi program yang dijalankan.

Dalam konteks isu masyarakat Madani, beliau memimpin jawatankuasa penduduk Broga memprotes pembinaan Incinerator yang akhirnya penduduk memenangi kes itu dan telah dibatalkan projek itu kerana kesan radioaktif yang memudaratkan kesihatan penduduk.

Ramai yang tidak mengetahui aktiviti sebegini melambangkan ciri-ciri masyarakat yang maju dan melambangkan kuasa masyarakat madani bagi mengimbangi kerakusan pihak berkuasa yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.

Bagi saya apa yang diperjuangkan oleh sdr Zulkefly dan kejayaan beliau memimpin masyarakat berbilang kaum bagi menterjemahkan lambang masyarakat yang maju dan bertamadun sepatutnya meletakkan beliau sebagai orang yang paling layak mewakili pengundi di Bagan Pinang. Inilah calon yang berwibawa ditonjolkan oleh PAS, bukan sdr Zulkefly sahaja, ramai lagi yang seumpama sdr Zulkefly dari sumber manusia PAS yang mampu membawa pengundi di Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Sdr Zulkefly juga sebagai seorang sahabat adalah seorang yang setia dengan persahabatan, beliau juga seorang bapa dan suami yang baik, anak-anak beliau begitu mesra dengan beliau dan kami sering bertemu dalam program bersantai bersama keluarga pimpinan PAS.

Saya pernah sekali bertandang ke rumah beliau dan bermalam di sana dan layanan sebagai tetamu di rumah beliau cukup memuaskan. Paginya dia membawa saya di belakang rumahnya yang luas untuk menunjukkan pokok gaharu dan beliau begitu ghairah menceritakan pengalamannya sebagai pengusaha pokok gaharu.

Satu lagi keistimewaan sdr Zulkefly ialah ketahanan diri untuk terlibat sepenuh masa dalam politik walaupun dengan kengkangan kewangan dan menyara keluarga 6 orang anak.

Bagi saya ini adalah juga satu bentuk ketahanan kerana untuk berpolitik selain dari seni-seni politik yang kita harus mahir, kita juga dituntut untuk mempunyai ketahanan diri yang tinggi khususnya terpaksa melalui tekanan-tekanan kehidupan. Saya kira sdr Zulkefly telah melalui proses itu dan sebagai persediaan diri seorang ahli politik, tidak syak lagi beliau layak diberi kemenangan oleh pengundi di N31.

Itulah Zulkefly Mohamad Bin Omar yang saya kenali, saya tidak perlu memperkenalkan calon BN, Tan Sri Isa Samad kerana seluruh negara telah mengenali beliau. Saya kurang pasti apakah beliau lebih terkenal kerana kes politik wangnya yang membawa kepada hukuman gantung 3 tahun, ataukah beliau lebih terkenal kerana jawatannya selaku Menteri Besar dan Menteri Kabinet satu ketika dahulu.

Apakah pengundi di N31 mahu calon seperti Tan Sri Isa ataukah calon seperti Zulkefly Mohamad Bin Omar untuk membawa Malaysia kearah politik yang lebih bermoral dan berwajah baru?

Saya tidak mempunyai jawapannya kerana kuasa berada di tangan pengundi, jika menang Tan Sri Isa itu tandanya pengundi tidak ada masalah dengan calon politik wang dan menolak calon yang berwibawa, jika menang Sdr Zulkefly Mohamad Bin Omar, itu tandanya pengundi berani membuat perubahan dan menolak calon rasuah.

Yang akhir itu menjadi berita baik kepada PRU ke 13 nanti, jika sebelumnya, PAS dan PR mesti bekerja lebih keras dalam meledakkan arus transformasi di Malaysia. Selamat Mengundi di N31!

Tiada ulasan: