"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS serah bukti BN rasuah tentera kepada SPRM / UBN Najib Altantuya

Hazayani Zakaria
PUTRAJAYA, 10 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan segera ke atas dua pemimpin BN yang didakwa melakukan rasuah politik kepada tentera dalam kempen pilihanraya kecil Dun Bagan Pinang.

Gesaan itu dibuat ketuanya Ustaz Nasrudin Hasan dalam satu aduan rasmi kepada SPRM petang semalam berhubung tindakan Menteri Pertahanan Dato' Seri Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato' Seri Utama Mohamad Hassan yang menjanjikan pelbagai projek pembangunan kepada tentera jika mereka mengundi Barisan Nasional.

Dalam aduan dua muka surat itu, Pemuda PAS memberikan maklumat lengkap mengenai rasuah politik yang dilakukan dua pemimpin BN itu dan diserahkan kepada seorang pegawai SPRM, Siti Fairuz.

Menurut Nasrudin, pihak SPRM menerima aduan tersebut dan berjanji akan memanjangkannya kepada pihak atasan dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan,aduan itu dibuat kerana perbuatan dua pemimpin itu merupakan satu kesalahan pilihanraya dan melanggar peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Nota:Seksyen 10) AKP.

Zahid dan Mohamad Hassan juga telah menggunakan kedudukan mereka sebagai penjawat awam dan pemimpin kerajaan untuk masuk berkempen di kem tentera di Bagan Pinang bertujuan untuk mempengaruhi anggota tentera yang merupakan pengundi pos untuk mengundi BN.

Semalam, Nasrudin mendedahkan kepada media rakaman ucapan Zahid dan Mohamad Hasan dalam satu majlis hari raya yang diadakan di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Kem Kampung Sawah di Port Dickson sekitar jam 10 pagi 6 Oktober lalu.

Dalam rakaman 10 minit ucapan yang diperdengarkan kepada media itu, kedua-dua pemimpin BN itu menjanjikan pelbagai projek pembangunan kepada tentera sekiranya mereka mengundi BN.

Antara janji dan rasuah politik yang ditawarkan ialah bantuan pendidikan kepada anak tentera, pembinaan kolam renang dan gelanggang futsal di dalam kem, penyediaan perkhidmatan internet tanpa wayar serta sumbangan bernilai RM100, 000 untuk menaik taraf surau IJED.

Cakera padat rakaman ucapan berkenaan yang diberikan kepada media semalam turut diserahkan kepada SPRM sebagai bukti dakwaan tersebut.

Nasrudin dalam pada itu berkata, perbuatan pemimpin BN itu juga mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan mencalarkan integriti BN sebagai sebuah kerajaan yang memerintah.

"BN ajak kita(PAS) sertai pilihanraya tapi meletakkan kita dalam suasana yang tidak seimbang. Kita tak dibenarkan masuk berkempen dalam kem. Tapi mereka boleh masuk bahkan menawarkan pelbagai rasuah politik,"katanya.

Beliau juga berharap pengundi di Bagan Pinang khususnya pengundi pos dapat berfikir dengan baik dan sedar mengenai rasuah yang ditaburkan BN itu.

"Sekaligus kita ingin nyatakan kepada pihak pengundi di Bagan Pinang bagaimana sikap tidak adanya satu kejujuran dan juga satu ketelusan dalam politik mereka.Integritai yang mereka laungkan selama ini juga satu kepalsuan. Mereka terlibat dengan rasuah dan menyogok pengundi dengan mengggunakan kelebihan material yang mereka ada,"katanya lagi.

Mengenai laporan kepada dua pihak lagi iaitu pihak polis dan Suruhanjaya Pilihanraya, Pemuda PAS menyerahkan perkara tersebut kepada jentera operasi PAS untuk diambil tindakan.

Pemuda PAS ujarnya menunggu tindakan positif dari pihak SPRM berhubung aduan yang dibuat itu.

Tiada ulasan: